Docstoc

Kisah Nabi Yusuf

Document Sample
Kisah Nabi Yusuf Powered By Docstoc
					                              Nabi Yusuf

Dua pelajaran diperolehi daripada kisah Nabi Yusuf. Pertama, mengenai
makna sepatah perkataan Arab di dalam al-Qur'an. Perkataan itu ialah "rasul" yang
lazimnya diguna untuk "Rasul Allah", atau "Utusan Allah". Akan tetapi, pada
sebuah ayat dalam surah Yusuf perkataan itu digunakan oleh Allah untuk seorang
utusan atau pembawa berita kepada seorang raja. Inilah ayatnya:

"Raja berkata, 'Datangkanlah dia (Yusuf) kepadaku.' Apabila rasul (utusan) datang
kepadanya, dia (Yusuf) berkata, 'Kembalilah kepada pemelihara (raja) kamu, dan
tanyalah dia, 'Bagaimanakah dengan wanita-wanita yang memotong tangan
mereka?' Sesungguhnya Pemeliharaku mengetahui muslihat mereka.'" (Qur'an
12:50).

Maka perkataan rasul bukan sahaja diguna untuk Rasul Allah, malah ia boleh
digunakan untuk orang yang tugasnya seperti utusan atau pembawa berita bagi
orang lain.

Rasul di dalam ayat tadi adalah orang suruhan bagi seorang raja yang dihantar,
atau diutus, untuk berjumpa dan membawa Nabi Yusuf dari penjara ke istana.
Begitulah sedikit kisah Nabi Yusuf yang menarik disebut di sini.

Dengan itu, membawa kepada pelajaran kedua dalam kisah Nabi Yusuf dengan
adik-beradik, ibu dan bapanya. Cerita-cerita mereka merupakan suatu pelajaran
juga, seperti kata Allah:

"Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka adalah pelajaran bagi orang-orang yang
mempunyai minda" (12:111).

Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam Surah ke-12 al-Qur'an. Nama surah itu pun
mengambil sempena nama Nabi Yusuf, iaitu Yusuf. Menurut suatu sumber,
baginda dikatakan tinggal di sekitar tahun 1700 S.M, iaitu kira-kira 3,700 tahun
dahulu. Atau, kurang lebih dua ribu tiga ratus tahun sebelum kemunculan Nabi
Muhammad.

Kisah Nabi Yusuf adalah cerita yang paling baik dalam al-Qur'an. Firman-Nya:

"Kami menceritakan kepada kamu cerita yang paling baik dalam apa yang Kami
mewahyukan kamu, al-Qur'an ini" (12:3).

Cerita bermula dengan mimpi Nabi Yusuf semasa dia kanak-kanak. Mimpi itu
diceritakannya kepada bapanya Yaakub, yang juga menjadi seorang Nabi.
"Apabila Yusuf berkata kepada bapanya, 'Ayah, saya melihat sebelas bintang, dan
matahari, dan bulan; saya melihat mereka sujud kepada saya" (12:4).

Setelah mendengar cerita Yusuf, bapanya melarang mimpi itu daripada diceritakan
kepada saudara-saudaranya. Dia juga memberi tahu Yusuf bahawa Tuhan telah
memilihnya dan mengajarnya interpretasi mimpi.

Abang-abangnya tidak suka padanya kerana mereka sangka Yusuf dan adiknya
lebih dicintai oleh bapa mereka daripada mereka. Lalu mereka bercadang untuk
membunuh atau membuang Yusuf ke tempat lain. Akan tetapi,

"Seorang daripada mereka berkata, 'Tidak, janganlah membunuh Yusuf, tetapi
lemparlah dia ke dasar perigi, dan sebahagian pengembara akan memungutnya,
jika kamu mahu melakukan'" (12:10).

Setelah menetapkan rancangan itu mereka pergi kepada bapa mereka, meminta
kebenarannya, supaya Yusuf dapat pergi bersama mereka untuk bersuka-suka dan
bermain-main pada keesokan hari.

Pada mulanya bapa mereka keberatan untuk membenarkan Yusuf pergi bersama
mereka, dengan berkata "Ia menyedihkan aku bahawa kamu pergi dengannya, dan
aku takut akan serigala memakannya sedang kamu lalai daripadanya" (12:13).

"Maka apabila mereka pergi dengannya, dan mereka bersetuju untuk meletakkan
dia di dasar perigi, lalu Kami mewahyukannya, 'Kamu akan memberitahu mereka
mengenai perbuatan mereka ini apabila mereka tidak menyedari'" (12:15).

Mereka balik kepada bapa mereka pada waktu isyak, menangis dan berkata,
"Ayah, kami pergi berlumba lari, dan meninggalkan Yusuf dengan barang-barang
kami, lalu serigala memakannya. Tetapi ayah tidak akan mempercayai kami,
walaupun kami berkata benar."

Dan, mereka menunjukkan baju Yusuf dengan darah palsu padanya. Bapanya
berkata, "Tidak, tetapi jiwa kamu menghasut kamu untuk melakukan sesuatu
perkara. Tetapi marilah, kesabaran yang manis! Dan pertolongan Allah dipohonkan
terhadap apa yang kamu menyifatkan."

Tidak lama kemudian, pengembara-pengembara datang ke perigi di mana Yusuf
berada di dasarnya. Mereka mengutus seorang pengambil air lalu dia menurunkan
timbanya. Tiba-tiba dia berkata, "Oh, berita gembira! Ini seorang anak lelaki
muda."

Mereka mengambil Yusuf dan merahsiakannya sebagai barang dagangan; dan
Allah mengetahui apa yang mereka buat. Kemudian mereka menjual Yusuf dengan
harga yang murah, hanya beberapa dirham sahaja, kerana mereka tidak
menghargainya.

Orang yang membelinya, dari Mesir, berkata kepada isterinya, "Berilah dia tempat
tinggal yang mulia, dan boleh jadi dia akan bermanfaat kepada kita, atau kita
mengambil dia sebagai anak sendiri."

Dengan itu, Tuhan meneguhkan Yusuf di bumi supaya Dia mengajarnya
interpretasi mimpi.

Maka tinggallah Nabi Yusuf bersama orang Mesir yang membelinya sehingga
dewasa. Dia menjadi seorang lelaki yang amat kacak. Kekacakan beliau
membuatkan perempuan, yang di rumahnya dia tinggal, tergoda.

Perempuan itu menutup pintu-pintu seraya berkata, "Marilah kepadaku!" Yusuf
menjawab, "Pada Allah berlindung! Sesungguhnya tuanku telah memberi aku
tempat tinggal yang baik!"

Kalau tidak kerana pertolongan Allah, Nabi Yusuf turut tergoda pada perempuan
itu. Kedua-duanya lari ke pintu, dan perempuan tersebut mengoyakkan baju Yusuf
dari belakang.

Mereka mendapati ketua mereka di depan pintu. Perempuan itu berkata, "Apakah
balasan bagi orang yang menghendaki kejahatan terhadap keluarga kamu,
melainkan bahawa dia dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?"

Yusuf berkata, "Dia yang menggoda saya". Lalu seorang daripada ahli keluarga itu
memberi suatu penjelasan, "Jika bajunya dikoyakkan di bahagian depan, maka
perempuan itu telah berkata benar, dan Yusuf berdusta, tetapi jika bajunya
dikoyakkan di bahagian belakang, maka perempuan itulah yang berdusta, dan
Yusuf orang yang benar."

Apabila ketua mereka melihat bajunya dikoyakkan dari belakang, dia berkata, "Ini
muslihat perempuan daripada kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar. Yusuf,
berpalinglah daripada ini, dan kamu, perempuan, mintalah ampun atas kesalahan
kamu; sesungguhnya kamu bersalah."

Kejadian itu sampai ke telinga wanita-wanita tertentu di kota. Mereka berbisik,
"Isteri Gabenor menggoda pemudanya yang menundukkan hatinya dengan cinta!"

Setelah isteri Gabenor mendengar bisikan-bisikan licik mereka, dia mengutus
kepada mereka, dan menyediakan bagi mereka tempat-tempat bersandar, kemudian
dia memberikan tiap-tiap seorang daripada mereka sebilah pisau.

Kemudian, dia menyuruh Yusuf pergi kepada perempuan-perempuan tersebut.
Apabila mereka melihatnya, mereka sangat kagum padanya, lalu mereka
memotong tangan-tangan mereka, dengan berkata, "Dijauhkan Allah! Bukanlah ini
manusia; dia tidak lain, hanyalah seorang malaikat yang mulia."

Lalu isteri Gabenor berkata, "Inilah dia orangnya yang kamu mencela aku
dengannya. Benar, aku telah menggoda dia, tetapi dia menolak. Dan, jika dia tidak
membuat apa yang aku memerintahkannya, dia akan dipenjarakan."

Yusuf berkata, "Pemeliharaku, penjara lebih aku menyukai untukku daripada apa
yang mereka menyeru aku kepadanya, dan jika Engkau tidak memalingkan
muslihat mereka daripada aku, tentu aku akan berkeinginan benar pada mereka,
dan aku menjadi orang yang bodoh."

Pemeliharanya pula menyahutinya, dan Dia memalingkan daripadanya muslihat
perempuan-perempuan itu; sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang
Mengetahui.

Maka Yusuf dimasukkan ke dalam penjara. Bersama dia adalah dua orang pemuda.
Seorang daripada mereka berkata, "Aku bermimpi bahawa aku memerah anggur."
Berkata yang lain, "Aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku dan
burung-burung makan sebahagiannya. Beritahulah kami interpretasinya. Kami
melihat bahawa kamu adalah orang yang berbuat baik."

Yusuf berkata, "Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada kamu,
dia akan menuangkan minuman arak untuk tuannya; bagi yang satu lagi, dia akan
disalib, dan burung akan makan sebahagian daripada kepalanya."

Kemudian dia berkata kepada orang yang dia menyangka akan diselamatkan antara
keduanya, "Sebutlah aku kepada tuan kamu." Akan tetapi, syaitan menjadikan dia
lupa untuk menyebutnya, supaya dia tetap di dalam penjara selama beberapa tahun.

Suatu hari, raja berkata, "Aku melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk,
dan tujuh yang kurus memakan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan
tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku
mimpiku."

Tiada seorang pun antara mereka yang tahu. Kemudian pemuda yang telah
diselamatkan dahulu berkata, setelah teringat, "Aku sendiri akan memberitahu
kamu interpretasinya, maka utuslah aku."

"Wahai Yusuf orang yang benar, putuskanlah kepada kami mengenai tujuh ekor
lembu yang gemuk, yang tujuh yang kurus memakan, dan tujuh tangkai bijirin
yang hijau, dan tujuh yang lain kering, supaya aku kembali kepada mereka agar
mereka mengetahui."
Yusuf berkata, "Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai,
tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan.
Kemudian sesudah itu, akan datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang
memakan apa yang kamu menyediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang
kamu simpan. Selepas itu, akan datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan
hujan, dan padanya mereka memerah."

Raja berkata setelah mendengar interpretasi mimpi oleh Yusuf yang dibawa oleh
utusannya, "Datangkanlah dia kepadaku." Apabila utusan itu tiba, Yusuf berkata,
"Kembalilah kepada tuan kamu, dan tanyalah dia, mengenai wanita-wanita yang
memotong tangan mereka?"

Raja bertanya, "Apakah urusan kamu, perempuan-perempuan, apabila kamu
menggoda Yusuf?" Mereka menjawab, "Dijauhkan Allah! Kami tidak mengetahui
kejahatan padanya."

Isteri Gabenor berkata, "Sekarang yang benar akhirnya menjadi nyata. Sayalah
yang menggodanya."

Raja berkata, "Datangkanlah dia kepadaku. Aku akan mendekatkannya dengan
diriku." Setelah Yusuf berada dengannya, dia berkata kepada Yusuf, "Pada hari ini,
kamu berkedudukan teguh dalam sokongan kami, dan dalam kepercayaan kami."

Yusuf berkata, "Lantiklah saya kepada perbendaharaan bumi ini; saya adalah
penjaga yang alim (berpengetahuan)."

"Maka Kami meneguhkan Yusuf di bumi untuk dia menetap di mana sahaja dia
kehendaki, dan Kami tidak mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik"
(12:56).

Suatu hari, saudara-saudara Yusuf datang lalu masuk kepadanya. Dia kenal akan
mereka, tetapi mereka tidak mengenalinya. Mereka datang untuk meminta
pertolongan makanan.

Setelah Yusuf menyiapkan bekal untuk mereka, dia berkata, "Datangkanlah
kepadaku saudara kamu yang tertentu daripada bapa kamu. Tidakkah kamu melihat
aku menepati sukatan, dan aku yang terbaik daripada penerima-penerima tamu?
Tetapi jika kamu tidak mendatangkan dia kepadaku, maka tidak akan ada sukatan
bagi kamu denganku, dan tidak juga kamu dapat mendekatiku."

Mereka menjawab, "Kami akan memujuk bapa kami; itu kami akan buat."

Lalu Yusuf menyuruh budak-budak suruhannya meletakkan balik barang-barang
mereka (yang dibawa untuk mengganti bekalan makanan daripada Yusuf) ke
dalam pundi-pundi mereka supaya mereka mengenalinya apabila mereka balik
kepada keluarga mereka.

Apabila mereka kembali kepada bapa mereka, mereka berkata, "Ayah, sukatan itu
akan dinafikan kepada kami, maka utuslah bersama kami saudara kami supaya
kami mendapatkan sukatan itu. Sesungguhnya kami akan menjaganya."

Bapa mereka berkata, "Adakah aku akan mempercayai kamu kepadanya seperti
aku mempercayai kamu kepada saudaranya dahulu?"

Dan, apabila mereka membuka barang-barang mereka, mereka mendapati barang-
barang mereka dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata, "Ayah, apakah yang
kita menginginkan lagi? Barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan kita
mendapat bekalan makanan untuk keluarga kita, dan kita akan menjaga saudara
kita; kita akan mendapat tambahan beban seekor unta. Itulah sukatan yang mudah."

"Aku tidak akan mengutusnya bersama kamu sehingga kamu memberi aku satu
janji yang teguh dengan Allah, bahawa kamu pasti akan mendatangkannya kembali
kepadaku, kecuali kamu diliputi." Apabila mereka telah memberikannya janji
mereka, dia berkata, "Allah menjadi Wakil atas apa yang kami ucapkan."

Maka apabila mereka masuk kepada Yusuf sekali lagi, dia mengambil
saudaranya kepadanya, seraya berkata, "Aku saudara kamu; maka janganlah kamu
berdukacita terhadap apa yang mereka buat."

Kemudian, apabila Yusuf menyiapkan persiapan untuk mereka, dia meletakkan
gelas minumannya ke dalam pundi saudara yang diambilnya.

Sedang mereka mula bertolak untuk kembali kepada keluarga mereka, datang pula
orang yang menyeru, "Hai kafilah, kamu adalah pencuri!"

Mereka bertanya sambil mendekati orang yang menyeru, "Apa yang kamu
hilang?"

"Kami kehilangan gelas berkaki kepunyaan raja. Sesiapa mendatangkannya akan
mendapat beban seekor unta; itu aku jamin."

Mereka berkata, "Demi Allah, kamu mengetahui bahawa kami tidak datang untuk
membuat kerosakan di bumi. Kami bukanlah pencuri."

"Apakah balasannya jika kamu adalah pendusta?"

"Balasannya - dalam pundi sesiapa ia didapati, maka dialah balasannya. Begitulah
kami membalas orang-orang yang zalim."
"Maka dia (Yusuf) memulakan dengan karung-karung mereka sebelum karung
saudaranya, kemudian dia mengeluarkannya daripada karung saudaranya.
Begitulah Kami membuat muslihat untuk Yusuf; dia tidak boleh mengambil
saudaranya, menurut agama (pengadilan) raja, kecuali apa yang Allah
menghendaki.

Mereka berkata, "Jika dia seorang pencuri, seorang saudaranya adalah seorang
pencuri dahulu." Tetapi Yusuf merahsiakannya di dalam dirinya, dan tidak
menampakkannya kepada mereka, dengan berkata, "Kedudukan kamu lebih buruk;
Allah sangat mengetahui apa yang kamu menyifatkan."

Mereka berkata, "Wahai al-aziz (yang perkasa), dia mempunyai bapa yang sangat
tua; maka ambillah salah seorang antara kami untuk mengganti tempatnya; kami
melihat bahawa kamu adalah antara orang-orang yang berbuat baik."

Berkata, "Allah menegah bahawa kami patut mengambil sesiapa sahaja kecuali
orang yang kami mendapati barang kami padanya, kerana jika kami berbuat
demikian, tentulah kami menjadi orang-orang yang zalim" (12:76-79).

Apabila mereka kembali kepada bapa mereka dan menceritakan hal saudaranya
yang mencuri dan ditahan di Mesir kedukaan bapanya bertambah,

"Dan dia berpaling daripada mereka, dan berkata, 'Aduhai, dukacitaku untuk
Yusuf!' Dan kedua-dua matanya menjadi putih kerana kesedihan yang
mencekiknya di dalam dirinya" (12:84).

Kemudian dia berkata, "Wahai anak-anakku, pergilah dan carilah berita mengenai
Yusuf dan saudaranya. Janganlah berputus asa daripada kesenangan Allah;
daripada kesenangan Allah, tiada yang berputus asa melainkan kaum yang tidak
percaya (kafir)."

Lalu mereka pergi kepada Yusuf dan berkata, "Wahai al-aziz, penderitaan telah
menyentuh kami dan keluarga kami. Kami datang dengan barang-barang yang
tidak berharga. Tepatilah kepada kami sukatan, dan bersedekahlah kepada kami;
sesungguhnya Allah membalas orang-orang yang bersedekah."

Yusuf bertanya, "Adakah kamu mengetahui apa yang kamu melakukan terhadap
Yusuf dan saudaranya, ketika kamu orang-orang yang bodoh?"

Mereka menjawab, "Mengapa, adakah kamu benar-benar Yusuf?"

Dia berkata, "Aku Yusuf. Ini saudaraku. Sungguh, Allah telah berbudi baik kepada
kami. Sesiapa bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-
siakan upah orang-orang yang berbuat baik."
Mereka berkata, "Demi Allah, sesungguhnya Allah lebih menyukai kamu daripada
kami, dan sesungguhnya kami bersalah."

Yusuf berkata, "Tidak ada celaan pada hari ini kepada kamu; Allah mengampuni
kamu; Dia yang paling berpengasihan daripada yang berpengasihan. Pergilah,
ambil baju ini, dan kamu lemparlah ia kepada muka ayahku, dan dia akan
memperoleh kembali penglihatannya; kemudian datangkanlah kepadaku keluarga
kamu kesemuanya."

Maka, apabila kafilah telah berangkat, bapa mereka berkata, "Sesungguhnya aku
mendapati bau Yusuf, melainkan kamu menuduh aku nyanyuk."

Mereka berkata, "Demi Allah, sungguh kamu adalah dalam kesesatan kamu yang
dahulu."

Tetapi apabila pembawa berita gembira datang kepadanya dan melemparkan baju
Yusuf ke mukanya, tiba-tiba dia kembali dapat melihat. Dia berkata, "Tidakkah
aku mengatakan kepada kamu bahawa aku mengetahui daripada Allah apa yang
kamu tidak tahu?"

Mereka berkata, "Ayah kami, mintalah ampun untuk kami atas kesalahan-
kesalahan kami; sesungguhnya kami bersalah."

"Sungguh, aku akan meminta Pemeliharaku untuk mengampuni kamu;
sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang Pengasih."

Kemudian mereka berangkat ke Mesir untuk menemui Yusuf.

"Maka, apabila mereka masuk kepada Yusuf, dia mengambil ibu dan bapanya
kepadanya, dengan berkata, 'Masuklah kamu ke Mesir, jika Allah mengkehendaki,
dalam keadaan aman.'

Dan dia menaikkan ibu dan bapanya ke atas singgahsana; dan yang lain, jatuh
bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah, inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu;
Pemelihara saya telah membuatnya benar. Dia telah berbudi baik kepada saya
apabila Dia mengeluarkan saya dari penjara, dan Dia mendatangkan kamu dari
gurun setelah syaitan menyelisihkan antara saya dan saudara saya. Pemelihara saya
halus terhadap apa yang Dia mengkehendaki; sesungguhnya Dialah Yang
Mengetahui, Yang Bijaksana.

Wahai Pemeliharaku, Engkau telah memberikan aku untuk memerintah, dan
Engkau telah mengajar aku interpretasi mimpi. Wahai Pemula langit dan bumi,
Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam
kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih" (12:99-101).

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags: nabi, yusuf
Stats:
views:81
posted:8/6/2011
language:Malay
pages:8