HUKUM TAKLIFI DAN HUKUM WAD’I SERTA PERKAITANNYA DENGAN MASA DAN TEMPAT TERHADAP PERUBAHAN HUKUM ISLAM IAITU AL-BU’D AL ZAMANI DAN AL-BU’D AL MAKANI by abdmurad

VIEWS: 1,433 PAGES: 12

									  HUKUM TAKLIFI DAN HUKUM WAD’I SERTA PERKAITANNYA DENGAN
  MASA DAN TEMPAT TERHADAP PERUBAHAN HUKUM ISLAM IAITU AL-
                   BU’D AL ZAMANI DAN AL-BU’D AL MAKANI


                           Prof. Dato Hj. Abdul Murad Ahmad JP


                      EAST WEST COLLEGE, SEREMBAN MALAYSIA
                                        JULY 2011




Pendahuluan

Islam adalah agama Allah yang diturunkan sebagai panduan hidup manusia sejak zaman
berzaman. Wahyu telah diturunkan kepada manusia bagi menjelaskan dan menentukan
norma-norma tingkah laku manusia iaitu hukum. Dengan itu, maka wujudlah hukum-hukum
dalam Islam bagi menggariskan panduan untuk umatnya agar sentiasa berada di jalan yang
benar dan diredai Allah.

Islam bukan sekadar ibadah seperti sembahyang, puasa dan haji akan tetapi Islam adalah
jalan hidup bagi manusia. Jalan hidup yang dimaksudkan antara lain menjamin kemashalatan
dan menjauhkan kemudaratan bagi manusia.

Hukum diperlukan bagi memastikan fitrah manusia dapat menjamin kebaikan dan
menjauhkan kemudaratan. Hukum meliputi harapan keamanan dan ketenteraman hidup tanpa
batas waktu. Menurut Asy Syatibi, tujuan hukum dalam Syariat Islam adalah untuk mencapai
kemaslahatan hamba baik di dunia dan akhirat. Antaranya adalah memelihara agama, jiwa,
akal, keturunan dan kekayaan.




                                                                            Page 1 of 12
Jenis-jenis Hukum dalam Islam

Hukum Islam menurut pandangan ulama usul fiqh ialah sebagai khitab Allah, merupakan nas
atau dalil-dalil syarak. Manakala ulama fiqh menyatakan hukum adalah sebagai kesan hukum
yang boleh dikeluarkan daripada dalil-dalil syarak mengenai sesuatu perkara.

Apabila dikaji hukum-hukum Islam, kita akan menemui bahawa ia memiliki beberapa cirri
yang cukup istimewa. Ciri-ciri tersebut adalah seperti hak asasi orang ramai diunggulkan di
atas hak asasi individu. Maksud hak asasi adalah hak untuk memperoleh kemashalatan dan
menjauhi kemudaratan.

Yang kedua, hak asasi untuk jangka masa panjang diunggulkan di atas hak asasi untuk
jangka pendek. Seterusnya ialah pencegahan diunggulkan sebelum datang mudarat. Dengan
erti kata lain, mencegah lebih elok atau lebih baik dari mengubati.




Hukum Taklifi

Hukum terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu hukum taklifi dan hukum wad‟i. Definisi
hukum taklifi adalah sebagai hukum tugasan kerana ia berkait ketetapan dan arahan untuk
melakukan sesuatu (talab al-fi‟l), meninggalkan (talan al-kaf) atau membuat pilihan (takhyir).
Hukum taklifi dibahagikan kepada wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Hukum wajib dapat ditentukan dari dalil yang berbentuk iqtida‟ yang bermaksud dalil yang
mengandungi arahan tegas terhadap perkara yang wajib dilakukan. Contohnya seperti solat
fardhu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.

Hukum sunat juga dikenalpasti menerusi dalil berbentuk iqtida‟. Walaubagaimanapun,
arahan tersebut tidak secara tegas di mana ianya digalakkan untuk melakukan amalan
tersebut. Contohnya seperti berbuat baik kepada anak yatim, bersedekah dan sebagainya.




                                                                                 Page 2 of 12
Berbeza pula dengan hukum haram yang juga ditentukan dari dalil berbentuk iqtida‟, umat
Islam dilarang secara tegas untuk melakukan sesuatu seperti berzina, meminum air yang
memabukkan, membunuh dan lain-lain. Meninggalkan sesuatu yang haram adalah amat
dituntut oleh Syarak.

Bahagian hukum yang seterusnya ialah hukum makruh. Hukum ini juga dikenal pasti melalui
dalil yang berbentuk iqtida‟ yang menyatakan tidak secara tegas sesuatu perkara tidak perlu
dilakukan. Ini membawa maksud digalakkan meninggalkan perkara makruh dan ianya bukan
satu kemestian.

Akhir sekali ialah hukum harus dimana dikenali melalui dalil syarak berbentuk takhyir. Ini
tidak dinyatakan tentang larangan atau arahan untuk diikuti secara tegas atau tidak.
Contohnya ialah berburu, makan makanan lazat dan sebagainya.




Hukum Wad’i

Seterusnya ialah bahagian hukum utama yang kedua iaitu hukum Wad‟i. Hukum ini boleh
ditakrifkan sebagai hukum ketentuan dimana Allah menjadikan sesuatu perkara sebagai
sebab kepada perkara yang lain atau syarat kepadanya atau halangan (mani‟) daripadanya.

Terdapat tiga bahagian hukum yang terkandung iaitu sebab, syarat dan halangan. Ini
dianggap sebagai hukum ketentuan kerana ia menentukan sah atau batalnya sesuatu hukum
fiqh.   Menurut istilah syarak sebab adalah suatu keadaan atau peristiwa yang dijadikan
sebagai sebab adanya hukum, dan tidak adanya keadaan atau peristiwa itu, menyebabkan
tidak adanya hukum. Syarat ialah sesuatu yang dijadikan syarie (Hukum Islam),sebagai
pelengkap terhadap perintah syarie ,tidak sah pelaksanaan suatu perintah syarie , kecuali
dengan adanya syarat tersebut. Manakala Mani‟ adalah suatu keadaan atau peristiwa yang
ditetapkan syarie menjadi penghalang bagi adanya hukum atau membatalkan hukum.




                                                                              Page 3 of 12
Terdapat dua bentuk hukum iaitu yang tidak boleh ditakwilkan dan hukum yang masih
mnenerima pentakwilan. Pembahagian ini timbul disebabkan perbezaan status thubut dan
dalalah bagi dalil yang menjadi sandaran sesuatu hukum. Bentuk hukum yang boleh
ditakwilkan adalah lebih banyak jadi disebabkan itu maka hukum Islam sentiasa berkembang
mengikut perubahan masa dan tempat.

Namun demikian, prinsip syariat dan dalil-dalil hukumnya seperti al-Quran dan Sunnah
adalah bersifat muqaddas. Ianya tidak boleh dikritik ataupun berubah dalam apa jua keadaan.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana ianyalah adalah disebabkan perbezaan
dan penafsiran terhadap sesetengah kandungan dalam kedua-dua sumber di atas.




Perkaitan Masa dan Tempat terhadap Perubahan Hukum Islam

Hukum Islam sentiasa berubah mengikut perkembangan realiti, perubahan masa dan
pengaruh tempat. Isu ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah. Kaedah Fiqh‟ tidak boleh
disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa secara jelas memberi
bukti dan mengiktiraf boleh berlaku pembinaan hukum bersifat sementara.

Sumber hukum Islam boleh dibahagi kepada dua iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Al-Quran
berperanan sebagai sumber panduan hidup, menperjelaskan tujuan hidup, mengisi
kekosongan jiwa dan menerangkan hukum-hukum Allah. Terdapat pelbagai jenis hukum,
antaranya ialah hukum ibadah, hukum Siyasah (politik), hukum jenayah, hukum
kekeluargaan, hukum hubungan sesama manusia dan alam, dan hukum ekonomi.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan apabila menjadikan
al-Quran sebagai sumber hukum. Kebanyakan hukum yang terkandung dalam al-Quran
bersifat umum. Hal ini disengajakan supaya hukum tersebut sentiasa dapat dikaitkan dengan
perbezaan masa dan tempat. Sebagai contoh ayat “…supaya harta itu tidak hanya beredar di
antara orang-orang kaya dari kalangan kamu”, perkataan harta bersifat umum tanpa terhad



                                                                               Page 4 of 12
kepada emas dan perak sahaja. Oleh itu apa sahaja harta seperti wang ringgit, saham, projek
hartanah dan lain-lain termasuk dalam hukum ayat tersebut.

Ayat-ayat di dalam al-quran terbahagi kepada dua bentuk iaitu ayat Muhkamat dan ayat
Mutasyabihat. Ayat Muhkamat adalah ayat yang mengandungi petunjuk hukum yang jelas di
dalamnya. Ayat Muhkamat membentuk dasar kepada hukum-hukum di dalam al-Quran.
Manakala ayat Mutasyabihat adalah ayat-ayat yang mengandungi petunjuk hukum yang
samar-samar sehingga memungkinkan penafsiran hukum yang pelbagai daripadanya. Maka
kaedah mengeluarkan hukum antara kedua-dua bentuk ayat di atas adalah ayat Mutasyabihat
ditafsir berdasarkan ayat Muhkamat.

Bagi sumber hukum yang kedua pula ialah al-Sunnah yang membawa maksud segala
perkataan, perbuatan, persetujuan dan sifat-sifat Rasulullah s.a.w seperti sifat akhlak dan
fizikal baginda. Al-Sunnah diriwayatkan oleh para sahabat yang dinamakan sebagai „hadis‟.

Hadis terbahagi kepada dua bahagian iaitu sunnah yang dijadikan sumber hukum iaitu
Sunnah Tasyri‟ dan Sunnah Ghairu Tasyri‟. Sunnah Tasyri‟ boleh dikategorikan kepada
beberapa jenis hukum seperti hukum ibadah, hukum siyasah, hukum jenayah dan sebagainya.

Manakala Sunnah Ghairu Tasyri‟ pula ialah sunnah yang tidak dijadikan sumber hukum. Ini
merujuk kepada tindak tanduk Rasulullah s.a.w sebagai manusia biasa. Contohnya adalah
seperti cara baginda menyikat rambut, makanan kegemaran baginda tidak menjadi sumber
hukum.




Al-Bu’d Al-Zamani

Ulama telah mengaitkan Al-Bu‟d Al-Zamani dengan pengaruh masa dan tempat terhadap
perubahan hukum. Istilah ini membawa maksud peringkat-peringkat masa yang dialami
dalam proses penurunan ayat-ayat al-Quran dan penerangan hukum-hukum menerusinya
dalam tempoh 23 tahun. Dalam tempoh 23 tahun, perbincangan al-Bu‟d al-Zamani


                                                                              Page 5 of 12
menerangkan hukum-hukum syarak menerusi Sunnah Rasulullah s.a.w kepada para sahabat.
Para ulama membincangkan samada peringkat-peringkat tersebut berkaitan dengan
penurunan atau pengucapan sabda Rasulullah s.a.w, dianggap mempunyai signifikan atau
sebaliknya. Mereka turut membincangkan samada pengertian dalalah dalam bahasa Arab
yang digunakan sebagai perantaraan dalam al-Quran mahupun Sunnah boleh dikembangkan
mengikut perkembangan semasa sejak dari zaman awal penurunannya sehingga sekarang
atau sebaliknya.




Al-Bu’d Al-Makani

Istilah ini merujuk kepada perkaitan di antara kedudukan geografi benua Arab serta cara
kehidupan masyarakatnya dengan penurunan ayat-ayat al-Quran dan Sunnag rasulullah s.a.w
ketika baginda masih hidup. Para ulama sedang cuba menghubungkaitkan di antara kesan
penurunan al-Quran dan Sunnah dengan kehidupan masyarakat Arab meliputi aspek
kebudayaan, keilmuan, bahasa, tamadun dan sebagainya.

Para ulama telah membangkitkan persoalan tentang pemahaman terhadap nas dan
pengamalannnya mesti berdasarkan pemahaman dan pengamalannya pada zaman Rasulullah
s.a.w yang bertempat di benua Arab sahaja ataupun mengikut zaman sekarang di mana
tempatnya mengikut kedudukan negara masing-masing.




Penafsiran Nas yang Masih Boleh Dipengaruhi oleh Masa dan Tempat

Terdapat empat bentuk utama dalam penafsiran nas yang boleh dipengaruhi oleh masa dan
tempat. Pertama, nas hukum yang menyentuh tentang perkara yang dilakukan mengikut
kapasiti sebagai manusia biasa. Contohnya boleh dilihat menerusi pelbagai Sunnah
Rasulullah khususnya menyatakan tentang kehidupan baginda seperti pemakanan dan
pemakaian.


                                                                           Page 6 of 12
Kedua ialah nas yang dinyatakan Rasulullah mengikut pengalaman peribadinya. Contohnya
ketika baginda menegur tindakan penduduk Madinah yang mendebungakan pohon tamar
supaya mereka tidak melakukannya. Pada tahun tersebut, hasil buah kurma telah
berkurangan. Lalu mereka bertanya kepada baginda. Baginda memberitahu “kamu lebih
mengetahui dalam urusan keduniaan kamu”.

Yang ketiga, nas hukum yang boleh ditafsirkan sama ada mengikut konteks fatwa seorang
Rasul, keputusan pemerintah atau hakim. Sabda Rasulullah s.a.w kepada Hind r.a setelah
beliau mengadu tentang sikap suaminya yang tidak memberi nafkah yang secukupnya kepada
diri dan anak-anaknya. Baginda menyatakan: “Ambillah (wang suamimu secara senyap-
senyap) dalam kadar yang mencukupi keperluan diri dan anakmu”.

Terdapat sedikit perbezaan pandangan bagi menentukan status Rasulullah s.a.w ketika
memberikan kebenaran kepada Hind untuk melakukan tindakan di atas. Segelintir ulama
berpandangan sabda baginda dibuat sebagai rasul yang menyatakan hukum dan fatwa.
Walaubagaimanapun terdapat percanggahan pendapat ulama lain yang mengatakan sabda
baginda adalah sebagai keputusan hakim atau qadi.

Keempat, nas hukum yang mengandungi maksud untuk merealisasikan kepentingan dan
kemashalatan umum. Contohnya, sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabat apabila mereka
bertanya mengenai hukum unta yang sesat dan terlepas dari tuannya. Baginda
menjawab;”Apa (yang menyusahkan) kamu daripadanya (yakni tidak perlulah kamu
mempedulikannya)”. Namun demikian, Sayyidina „Uthman telah mentafsirkan maksud di
sebalik larangan tersebut adalah bertujuan menjaga kepentingan pemilik asalnya. Beliau
mengarahkan agar unta tersebut ditangkap dan dijual. Bayaran yang diterima atas hasil jualan
tersebut akan disimpan dan diberikan kepada pemilik unta tersebut apabila telah dikenalpasti.

Ibn Farhun melihat faktor insani berpengaruh dalam melahirkan beberapa perbezaan hukum
sesuai dengan perubahan masa dan keadaan yang memerlukan penyelarasan baru
dikemukakan bagi mencapai kemashalatan. Lanjutan itu, beliau mengemukakan pandangan
al-Quran yang memperlihatkan suatu bentuk hubungan timbal balik antara hukum syarak dan


                                                                                Page 7 of 12
perubahan terhadap individu, masyarakat, tempat, keadaan mahupun masa. Kesan Perubahan
Sosial Terhadap Hukum Islam (1999) H.116.

“Bahawa terdapat banyak juga hukum-hukum yang dibina oleh mujtahid berasaskan
suasana yang ada pada zamannya. Oleh itu, hukum-hukum tersebut akan berbeza dengan
berbezanya masa kerana berlaku perubahan „urf ahlinya (penduduk setempat) atau kerana
berlaku darurat atau kerana kerosakan akhlak masyarakat. Kalau dikekalkan hukum itu atas
sifar yang dahulu juga akan menimbulkan mashaqqah (kesukaran) dan kemudaratan kepada
manusia dan akan menyalahi kaedah-kaedah syariat yang diasaskan atas dasar meringan,
memudah dan menolak kemudaratan dan kerosakan bagi tujuan mengekalkan system hidup
di atas hukum-hukum yang terbaik. Kerana inilah anda dapat lihat para fuqaha mazhab
telah menyalahi hukum yang dinaskan oleh imam mujtahid mereka dalam banyak masalah
yang dibina berasaskan suasana pada zamannya. Mereka berpendapat kalau beliau masih
hidup pada zaman mereka, nescaya beliau akan memberi fatwa seperrtimana mereka
berfatwa berdasarkan kaedah-kaedah mazhabnya.” 1

Ibn      „Abidin    al-Hanafi     menggambarkan         tentang    proses    penerapan     hukum      perlu
menitikberatkan faktor-faktor seperti keadaan, masa dan tempat. Pengubahsuaian hukum
hanya akan boleh dilakukan mengikut keperluan dan alasan tertentu. Ini bererti hukum sedia
ada dalam batas-batas tertentu boleh menerima modifikasi atau mengekalkannya bergantung
kepada faktor-faktor tersebut. Perkara tersebut merupakan langkah pemeribumian hukum
yang melibatkan suatu proses transformasi atau pemindahan satu hukum atau fahaman fiqh
yang sedia ada kepada suatu bentuk hukum yang baru.

Yusuf al-Qardawi menyatakan bahawa hukum yang berasaskan kepada maslahah ia akan
berubah dan hukum yang berasaskan kepada „urf atau tidak boleh berterusan. Shari‟at al-
Islam (1997) H127-128. Hukum perlu ditinjau semula kerana ada kemungkinan pandangan
tersebut tidak lagi sesuai pada zaman dan keadaan tersebut. Sekiranya diterapkan pada masa




1
    Dipetik dari Mustafa Ahmad al-Zarqa (1998), al-Madkhal al-Fiqh al-Am,j.1, Damshiq:Dararal-Qalamn, h.102.


                                                                                              Page 8 of 12
kini ia tidak lagi sesuai disebabkan berlaku perubahan yang belum pernah difikirkan oleh
generasi terdahulu.

Mustafa Ahmad Al-Zarqa telah merumuskan bahawa terdapat empat factor yang sangat
berpengaruh dalam menetapkan hokum baru. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi
dalam penetapan hukum baru adalah menarik kemaslahatan, menolak kerosakan, tindakan
pencegahan dan perubahan zaman.

Menarik kemashalatan (jaib al-Masalih) ialah perkara-perkara yang diperlukan masyarakat
untuk membangun kehidupan manusia di atas asas yang kukuh. Contohnya ialah memungut
cukai secara adil dengan kadar yang sesuai dengan keperluan untuk perkhidmatan umum dan
peraturan-peraturan penting yang bermanfaat.

Menolak kerosakan (Dar al-Mafasid) ialah perkara-perkara yang memudaratkan manusia
sama ada individu mahupun masyarakat baik kemudaratannya menyentuh soal fizikal
(maddiyyah) ataupun spiritual (adabiyyah)

Tindakan pencegahan (Sadd al-Dhariah) iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada
mensia-siakan perintah syariah dan memanipulasikannya atau membawa kepada berlakunya
larangan syarak sekalipun itu tidak dimaksudkan.

Perubahan zaman (Taghyir al-Zaman) iaitu keadaan manusia, akhlak dan tuntutan-tuntutan
umum yang berbeza dari masa sebelumnya. Keempat-empat faktor di atas merupakan
keperluan untuk memperbaharui hokum-hukum sosial untuk kebaikan masyarakat.

Sebagai contoh, Umar „Abd al-Aziz pernah memutuskan tentang syarat penerimaan seorang
saksi dan sumpah pendakwa untuk membuat keputusan ketika di Madinah. Tetapi ketika
beliau menjadi khalifah di Damsyiq, beliau menegah dan menguatkuasakan keperluan dua
orang saksi bagi setiap kes. Ini berlandaskan kepada „sesungguhnya aku dapati masyarakat di
Syam tidak seperti masyarakat di Madinah‟. Menurut beliau, memperbaharui hukum
terhadap manusia berdasarkan kepada kadar kerosakan yang mereka lakukan. Ini
menunjukkan bahawa keputusan hukum turut dipengaruhi perubahan dan perkembangan bagi


                                                                              Page 9 of 12
isu semasa. Perubahan-perubahan inilah yang menjadi titik kajian bagi menghasilakn apa
yang diistilahkan oleh al-Qardawi sebagai Fiqh al-Waqi‟i.

Terdapat dua faktor perubahan hukum dalam Islam iaitu perubahan kemashalatan dan
perubahan „urf dan tempat. Hukum yang dilandasi dengan kemaslahatan semasa boleh
menerima perubahan hukum jika sandaran kepada kemaslahatan itu sendiri telah berubah.
Contohnya, masalah dalam membezakan antara penganut pelbagai agama dimana „Umar
„Abd al-Aziz telah berkata “kerana mereka (ahl al-Dhimmah) bercampur dengan orang
Islam, maka mereka perlu dibezakan dengan kita”. Pada masa lalu, asas kemaslahatan untuk
membezakan identiti agama seseorang adalah berasaskan cara pemakaiannya. Pada masa
kini, passport dan kad pengenalan memudahkan identiti agama dibezakan. Jadi, pemerintah
tidak perlu menguatkuasakan cara pemakaian bagi penentuan identiti agama.

Perubahan „urf, tempat dan masa antara faktor berpengaruh dalam perubahan hukum.
Contohnya pengguguran saksi kerana dia berjalan tanpa menutup kepala. Kes ini
mengandungi nilai dari sudut pandangan masyarakat berbeza dan memberi kesan terhadap
penerimaan atau penolakan nilai tersebut. Pada asasnya, ini telah diterima dengan baik oleh
kalangan fuqaha apabila mereka memutuskan kaedah penetapan hukum berdasarkan „urf,
masa dan tempat akan berubah jika faktor tersebut telah berubah.

Antara contoh hukum yang boleh berubah akibat daripada pengaruh masa dan tempat adalah
seperti berikut. Abu Hanifah berpendapat bahawa pengajaran al-Quran tidak boleh dilakukan
secara berupah kerana ia adalah salah satu amalan ibadat. Walaubagaimanapun, masyarakat
kini tidak lagi bersedia melakukan hal tersebut. Jadi para fuqaha telah mengeluarkan fatwa ia
boleh dilakukan (berupah) supaya pengajaran al-Quran dapat diteruskan.

Contoh lain adalah dalam situasi pengagihan daging korban. Daging korban digalakkan
untuk diberi kepada golongan fakir dan miskin sama ada ianya mentah mahupun telah
dimasak. Mengikut perkembangan terkini, amalan tersebut telah diubah dimana dengan
usaha menjual daging korban secara komersial. Hasil daripada jualan tersebut didanakan bagi
membiayai pengajian anak-anak fakir miskin.


                                                                               Page 10 of 12
Kesimpulan

Pada asasnya, hukum dalam Islam sentiasa berkembang mengikut perubahan zaman. Ini
kerana syariat Islam itu sendiri yang bersifat komprehensif dan bersesuaian sepanjang zaman.
Aplikasi hukum Islam perlu fleksibiliti kerana pengaruh kepada perubahan masa dan tempat.
Oleh itu, hukum boleh dipengaruhi dengan perubahan masa dan tempat. Sumber hukum perlu
digunapakai bagi memberi panduan dan landasan dalam penetapan hukum Islam. Islam
bersifat komprehensif perlu bersesuaian dengan realiti semasa.

Pengetahuan tentang keadaan realiti dengan baik dapat menghasilkan keputusan hukum
dengan lebih tepat. Ini kerana kemahiran memahmi nas dan objektif syarak semata-mata
belum memampukan seseorang itu membuat perbandingan antara berbagai keadaan dan nilai
bagi membantu usaha menentukan keutamaan. Apatah lagi jika yang difahami itu hanyalah
semata-mata pandangan para ulama terdahulu khususnya yang banyak dipengaruhi oleh
realiti semasa pada waktu pandangan itu diberikan. 2

Ini kerana sekalipun semua hukum dan nilai Islam itu pada asasnya terkandung dalam al-
Quran dan al-Sunnah namun masih banyak prinsip yang terdapat dalam kedua-dua sumber
hukum itu menganjurkan dan menggalakkan agar merujuk kepada realiti hidup semasa.
Malah dalam beberapa hal, kefahaman terhadap nas dan objektif syarak juga mungkin
bergantung ataupun berkait rapat dengan kefahaman terhadap realiti semasa.

Pengetahuan mencakupi realiti dari segi positif mahupun yang negatif. Ia menilai sesuatu
factor yang mempengaruhi keadaan realiti secara objektif. Fakta ditimbang tidak sekadar

2
  Paizah Ismail (1999),Fiqh al-Awlawiyat” dalam Abdul Karim Ali dan Raihanah Hj.Azahari (eds.), Hukum
Islam Semasa Bagi Masyarakat Malaysia Yang Membangun, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, h.79


                                                                                        Page 11 of 12
bersandar kepada imiginatif dan sebagainya yang boleh mencacatkan pemahaman terhadap
realiti. Kefahaman yang mendalam tentang realiti hidup boleh terbina melalui pembacaan,
penelitian dan penyelidikan ilmiah tentang realiti hidup semasa dalam berbagai-bagai aspek
yang berkaitan bagi mementukan hukum baru yang relevan dan mengikut garis panduan
syarak.

Rujukan

Himpunan risalah dalam beberapa persoalan ummah. Retrieved February 17, 2010 from
          http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah-5/tajuk%204.htm

Mahmood Zuhdi Ab.Majid (1994), Siasah syar‟iyyah dalam pemerintahan Negara. Jurnal
          Syariah, 2, Julai 1994

Muhammad Zaidi Abdul Rahman & Raja Hisyamuddin Raja Sulong (2008). Pengaruh
          perubahan    hukum       dalam   pembinaan   hukum   siyasah   syar‟iyyah. Shariah
          Journal, 16(17-31).        Retrieved     February      17,       2010        from
          http://www.myais.fsktm.um.edu/7223/1/BAB_2.pdf




                                                                              Page 12 of 12

								
To top