Docstoc

CIRI-CIRI RABBANI DALAM KEHIDUPAN MUSLIM DAN HUBUNGKAIT DENGAN KEAMANAN SEJAGAT

Document Sample
CIRI-CIRI RABBANI DALAM KEHIDUPAN MUSLIM DAN HUBUNGKAIT DENGAN KEAMANAN SEJAGAT Powered By Docstoc
					       CIRI-CIRI RABBANI DALAM KEHIDUPAN MUSLIM DAN
             HUBUNGKAIT DENGAN KEAMANAN SEJAGAT



                        Prof. Dato Hj. Abdul Murad Ahmad JP


                 EAST WEST COLLEGE, SEREMBAN MALAYSIA
                                       JULY 2011




PENDAHULUAN

Seperti yang kita fahami dan ketahui pengertian bagi perkataan insan adalah sebagai
manusia. Siapakah manusia? Pertanyaan itu dijawab oleh dua sumber, akal dan naqal.
Jawapan akal berasal dari manusia, sedangkan jawapan naqal berasal dari Allah. Frasa yang
selalu didengari adalah insan kamil. Insan kamil membawa maksud manusia yang sempurna,
baik dan bersih dari noda. Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh terbaik insan yang kamil.

Manusia merupakan makhluk yang paling mulia. Kemuliannya antara lain adalah kerana
dianugerahi akal dan fikiran. Tanpa akal, pangkat atau darjat manusia jatuh sama seperti
binatang. Darjah manusia bukanlah terletak pada badannya tapi pada akalnya kerana dari segi
jasmaniah tidak banyak beza manusia dan binatang.

“Tidak dijadikan oleh Allah suatu makhluk yang terlebih mulia disisiNya daripada akal”

                                                          (Riwayat sebahagian Ahli Sunan)

Manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling istimewa. Ia terbentuk dari roh dan jasad. Ia
mempunyai ciri-ciri tersendiri yang berbeza dengan makhluk hidup yang lain iaitu ilmu


                                                                              Page 1 of 12
pengetahuan yang membezakannya dengan binatang. Ini mengangkat manusia sebagai
makhluk yang bijak berfikir.

Kalimah Rabbani pula bersandar kepada kalimah ar-Robb yang membawa maksud Tuhan.
Manakala perkataan Rabbani di maknakan di dalam kamus Bahasa Melayu dengan
„Ketuhanan‟. Secara tepat dan ringkas, perkataan Rabbani adalah berasal dari perkataan
Robb iaitu Allah, Tuhan yang Maha Esa, satu-satunya Pencipta, Pemilik, Pentadbir alam
semesta ini. Firman Allah yang bermaksud

“Segala puji bagi Allah Tuhan Pencipta sekalian alam”.

                                                                   (Surah al-Fatihah: 2)

Rabbani bermaksud sesuatu yang dinisbahkan kepada Allah atau sesuatu yang bersumberkan
daripadaNya. Ianya membawa erti bahawa Islam ini datangnya daripada Allah. Manusia
hanya sebagai pelaksana segala ketentuan yang telah ditetapkan. Seseorang itu disebut
rabbani apabila mempunyai hubungan yang erat dengan Allah. Islam menjadikan hubungan
yang baik dengan Allah dan mendapat keredhaanNya. Ajaran Islam bersangkutan dengan
aqidah, muamalah, akhlak dan lain-lain adalah bertujuan untuk menyiapkan manusia supaya
menjadi hamba kepada Allah. Rabbani bersumberkan kepada wahyu Ilahi kepada Rasulullah
yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Kehidupan manusia perlu dibimbing
dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan
keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan.

CIRI-CIRI RABBANI DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

Kalimah rabbani telah digunakan oleh Syeikh Said Hawa dalam satu risalah kecilnya Ihya’
ar-Rabbaniyyah yang bermaksud menghidup kembali generasi rabbani. Ini bagi
menggambarkan generasi yang akan menyelamatkan Islam pada masa kini. Beliau
berpandangan, hanya generasi rabbani sahaja yang mampu diharapkan untuk mengembalikan
kegemilangan Islam di zaman moden ini.



                                                                           Page 2 of 12
Golongan rabbani telah diungkapkan oleh Allah seperti di dalam Surah al-Mukminun ayat 1-
11 yang membawa maksud dan menerangkan tentang sifat-sifat yang dimiliki orang beriman
serta balasan yang akan diperolehnya. Yang dimaksud dengan beriman adalah beriman
kepada rukun iman. Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa sungguh beruntunglah orang-
orang yang beriman kerana walaupun mereka menurut perhitungan banyak mengerjakan
amal kebajikan tetapi semua amalnya akan sia-sia saja di akhirat nanti hanya kerana tidak
berlandaskan iman kepada-Nya.

Insan rabbani merujuk kepada segolongan manusia yang mempunyai ilmu yang luas dan
mendalam berkenaan dengan agama. Dengan bekalan ilmu, jangan berhenti beramal demi
mencari keredaan Allah. Selain itu, insan rabbani mampu menjalankan amal ma’ruf nahi
munkar, dengan penuh kesabaran serta istiqamah.

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan
kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-
penyembahku bukan penyembah Allah,” akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu
menjadi orang-orang Rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan
kamu tetap mempelajarinya.

                                                                   (Surah Ali Imran ayat 3)

Ayat di atas jelas menunjukkan salah satu ciri-ciri insan rabbani yang menuntut agar manusia
mencari ilmu. Rabbani bagi ayat di atas ialah orang yang sempurna ilmu dan takwanya
kepada Allah swt. Insan Rabbani perlu mempunyai ilmu yang mantap bagi membimbing dan
memimpin insan-insan lain. Dengan cara ini, manusia akan saling memperingati antara satu
sama lain bagi mencapai kehidupan sejagat yang harmoni. Kekukuhan akidah yang benar
hanya terbina di atas dasar ilmu yang benar. Firman Allah Taala yang bermaksud:




                                                                               Page 3 of 12
“Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan dia yang menegakkan
keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian
itu)…”

                                                                (Surah Ali Imran ayat 18)

Ilmu yang mantap adalah merupakan bekalan yang perlu ada dalam setiap insan rabbani.
Tanpa ilmu, manusia akan ditindas dan menerima banyak keaiban dan boleh mendatangkan
krisis-krisis keyakinan kepada masyarakat. Pepatah Arab ada menyatakan: “Orang yang tidak
mempunyai apa-apa tidak akan memberikan apa-apa”.

Ciri-ciri bagi insan rabbani yang seterusnya ialah menanam keyakinan terhadap syahadah.
Syahadah atau ucapan kepercayaan merupakan penyataan kepercayaan dalam keesaan Allah
dan Nabi Muhammdah s.a.w sebagai rasulnya. Mengucap dua kalimah syahadah merupakan
salah satu daripada lima Rukun Islam. Apabila dinyatakan dengan kuat secara ikhlas,
seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan diri sebagai penganut baru Islam.
Setelah seseorang mengucapkan syahadah maka wajib bagi beliau menunaikan hak kalimah.

Hak kalimah adalah untuk disebarkan kepada mereka yang tidak mengucapkan kalimah
dengan menerangkan kepada mereka maksud kalimah iaitu Tiada Tuhan selain Allah, Tiada
yang Berkuasa selain Allah, Tiada yang beri faedah dan bahaya selain Allah dan Muhammad
itu pesuruh Allah sehingga mereka yakin dan tanpa paksaan mereka mengucap syahadah.
Inilah dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabat sebelum datang
perintah solat.

Kita wajib memahami dan meyakini konsep syahadah yang telah diucapkan. Firman Allah
yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah
dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu…”

                                                            (Surah Al-Hujuraat‟ Ayat 15)


                                                                             Page 4 of 12
Seterusnya ialah taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Islam merupakan penyerahan diri
kepada Allah. Ketaatan kepada Allah dan RasulNya dengan melaksanakan segala
perintahnya dalam kehidupan seharian merupakan bukti kekukuhan tauhid kepada Allah.
Islam adalah agama yang berasaskan ketauhidan kepada Allah. Konsep tauhid mengesakan
Allah serta menjauhi syirik merupakan asas utama kepada ajaran Islam yang dibawa oleh
semua nabi dan rasul yang diutuskan kepada manusia. Perbezaan yang wujud hanyalah di
sudut cabang amalan syariat yang mengikut kesesuaian umat dan zaman. Manakala ucapan
syahadah tauhid adalah merupakan pintu masuk kepada akidah Islam.

Islam bersumberkan wahyu Allah yang diturunkan kepada para nabi dan rasul. Wahyu yang
diturunkan sama ada melalui suhuf-suhuf atau kitab-kitab. Al-Quran merupakan kitab yang
terakhir yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ia merupakan sumber utama
dalam Islam. Firman Allah dalam Surah al-Najm ayat 3-4 yang bermaksud:

“Dan dia (Muhammabd) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama
Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya, bahkan ia (kata-katanya) merupakan wahyu
daripada Allah”

Islam bersifat sempurna dan lengkap. Islam adalah agama yang serba lengkap dan
menyeluruh dalam pelbagai hidup iaitu dari aspek aqidah, syariah dan akhlak yang memiliki
unsur kekuatannya yang tersendiri dengan keunikannya yang bercirikan syumul kerana
bersifat terbuka kepada seluruh umat manusia. Ia menyusun hubungan manusia dengan
Tuhannya, mengatur hubungan manusia sesama manusia, bahkan ia memandu hubungan
manusia dengan alam sejagat.

Insan rabbani akan menjauhi larangan Allah dan RasulNya. Mereka perlu sentiasa
mengawasi serta mengawal diri daripada melakukan sebarang perbuatan yang bertentangan
dengan syariat Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“… sesungguhnya orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu) maka pasti
Allah mengharamkan syurga baginya, dan tempat ialah neraka…”



                                                                             Page 5 of 12
                                                                (Surah Al-Maidah ayat 72)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang
ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab
beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan
kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

                                                                     (Surah Al-Imran:110)

Dalil di atas dengan jelas menyatakan kita sebagai manusia yang sempurna dengan akal perlu
menjauhi larangan yang telah digariskan dan diterangkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Ini kerana segala perbuatan yang telah kita lakukan sama ada perbuatan baik atau buruk akan
dikira dan dinilai di Padang Mahsyar. Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar R.A
berkata:

“Semua anggota akan menjadi saksi di atas segala perbuatan di Padang Mahsyar”.

Firman Allah S.W.T telah bersabda :

"Di hari itu (Kiamat) akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidahmu, tanganmu dan
kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (di dunia dahulu)."

                                                                   (Surah An Nur Ayat 24)

Berdoa kepada Allah merupakan salah satu daripada ciri-ciri insan rabbani. Berdoa
membawa pengertian kepada memohon atau meminta sesuatu yang bersifat baik kepada
Allah SWT seperti meminta keselamatan hidup, dimurahkan rezeki yang halal dan juga
keteguhan iman. Sebaik-baiknya kita berdoa kepada Allah SWT setiap saat kerana Dia akan
selalu mendengar permintaan kita.

Berdoa membuktikan kebenaran syahadah tauhid yang kita ucapkan untuk mengesakan Allah
serta bertawakal kepadaNya. Firman Allah yang bermaksud:



                                                                              Page 6 of 12
“Berdoalah kepadaKu, Aku akan memenuhi permintaanmu.”

                                                             (Surah Al-Mukminun Ayat 60)

Berdoa adalah memohon dan meminta serta berharap. Pemohon sudah pasti memiliki darjat
yang lebih rendah daripada Pemberi. Begitulah kita dengan Allah SWT. Jelas menunjukkan
kita memerlukan Allah SWT dan memohon pelbagai perkara di dalam kehidupan kita ini.
Darjat kita terlalu jauh malah amat jauh sehinggakan langsung tiada darjat atau juga
sebenarnya tidak boleh membuat perbandingan langsung berbanding kebesaran Allah SWT.

Berdoa itu merendahkan darjat kita sehingga daripada kita rasa ada apa-apa kepada tiada apa-
apa langsung. Kita meletakkan diri kita benar-benar berada di bawah. Kita memohon dan
berharap sesuatu daripada Allah SWT. Dengan berdoa kita lebih jelas siapa kita dan kepada
siapa kita memohon. Kita sedar kedudukan kita dan sedar kedudukan Allah SWT.

Seterusnya adalah bersyukur kepada Allah. Sebagai insan yang rabbani, kita perlu sentiasa
bersyukur dengan nikmat yang telah Allah swt berikan dan kurniakan kepada kita. Bersyukur
merupakan salah satu kewajiban setiap orang kepada Allah.

Selain ucapan syukur, melaksanakan segala perintah allah serta meninggkan laranganNya
juga sebahagian daripada konsep syukur. Firman Allah yang bermaksud:

“…syukurlah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya sahaja kamu menyembah”.

                                                                  (Surah Al-Nahl ayat 114)

Insan yang rabbani akan selalu mencontohi Rasulullah s.a.w dalam kehidupannya. Segala
yang dipamerkan oleh peribadi baginda sebagai seorang nabi merupakan hasil panduan
wahyu daripada Allah Taala. Oleh sebab itu, ketauhidan kita kepada Allah mewajibkan kita
mencontohi Rasulullah s.a.w dalam segala aspek. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu…”



                                                                               Page 7 of 12
                                                                   (Surah Al-Ahzab ayat 21)

HUBUNGKAIT DENGAN KEAMANAN SEJAGAT

Islam merupakan agama sejahtera, agama keamanan dan kedamaian. Islam mengatur
hubungan antara sesama manusia, bangsa dan negara. Mereka disatukan dengan rasa cinta
akan kedamaian dan kesejahteraan. Mereka diasuh supaya membenci permusuhan dan
pertumpahan darah. Lantaran itu, Islam tidak membenarkan umatnya melakukan keganasan
dan kekejaman.

Keamanan sejagat boleh didefinasikan sebagai pencinta kepada keamanan yang seharusnya
diaplikasikan di setiap pelosok negara. Sebagai manusia yang mendiami bumi Allah, maka
hendaklah kita menjaga keamanan sesama negara bagi mengekalkan perpaduan dan
kehidupan yang harmoni.

Namun apa yang kita perhatikan, jelas terpampang di dada-dada akhbar berita yang amat
mengecewakan. Keamanan yang diharapkan dan diimpikan semakin hari semakin tipis. Ini
kerana perebutan kuasa-kuasa besar yang berlumba-lumba menunjukkan kekuatan masing-
masing telah menyebabkan negara yang miskin semakin tertindas. Akibatnya, kesengsaraan
yang dialami oleh mereka yang ditindas.

Jadi apabila seseorang individu telah dididik menjadi insan yang bersifat rabbani, seterusnya
akan mewujudkan keluarga yang harmoni, masyarakat yang memahami dan saling
menyayangi, maka semua penindasan tidak akan berlaku seperti yang sedang terjadi kini.
Sekiranya seseorang itu telah dapat kita kategorikan sebagai insan rabbani seperti yang telah
dibincangkan di atas, maka sudah tentu manusia yang begini boleh memainkan peranan
dalam mempromosikan keamanan sejagat.

Ini kerana budi pekerti yang tinggi serta mempunyai keilmuan yang mencukupi, sudah tentu
ianya dapat memberi sumbangan dari segi pandangan dan idea dalam proses pencarian
keamanan sejagat yang dinanti-nanti oleh semua pihak yang mencintai keamanan. Sebagai
contoh kemakmuran yang kita rasai di Malaysia. Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati


                                                                                Page 8 of 12
di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat Allah yang dicapai menerusi perpaduan dan
keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan.
Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi
oleh generasi akan datang.

Bagi umat Islam Malaysia, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal
harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada dapatlah usaha-usaha
ditingkat bagi kebaikan agama Islam dan penganut-penganutnya. Harga sebuah keamanan
dan kemakmuran itu sangat penting kerana umat Islam di negara-negara yang lain belum
mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam keagamaan berbanding dengan apa
yang telah dicapai oleh umat Islam di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah
merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Selain dari itu, salah satu dari tujuan perjuangan umat Islam ialah memmastikan kita sentiasa
berada di hadapan sebagai pemimpin negara bagi maksud menegakkan keadilan dan
kesejahteraan rakyat. Ini penting kerana dunia hari ini memerlukan suatu kepimpinan yang
berwibawa dan adil. Demikianlah juga kita rakyat Malaysia. Kita sentiasa yakin bahawa
mereka yang bertaqwa dapat mengurus dan memimpin dengan sebaik-baiknya.

Setiap individu berhak hidup dengan aman dan tenteram dalam sebuah masyarakat Islam.
Seseorang tidak boleh dibunuh sewenang-wenangnya kecuali menurut peruntukan undang-
undang. Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan bebas. Kebebasan setiap individu tidak
boleh diceroboh oleh sesiapapun dengan sewenang-wenangnya. Maruah dan peribadi, nilai
diri dan nama baik setiap ahli masyarakat tidak boleh dihina dan dicela sesuka hati.

Keamanan sejagat seharusnya dinikmati oleh semua insan yang mendiami bumi. Ahli sains
sosial mentakrifkan masyarakat majmuk sebagai masyarakat berbilang bangsa, bahasa,
kebudayaan dan agama. Biar apapun definisi tentang masyarakat majmuk, ia menepati
masyarakat Islam yang pertama wujud di Madinah. Masyarakat pada masa itu terdiri
daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, budaya dan kelas. Jadi seharusnya kita sebagai




                                                                                 Page 9 of 12
manusia perlu saling menghormati dan bekerjasama bagi menyatupadukan masyarakat
majmuk.

Selain daripada itu, kita sering kali dikejutkan dengan kejadian bencana alam yang besar
seperti tsunami, taufan, kemarau dan sebagainya. Islam telah mengingatkan kita supaya
sentiasa menjaga alam sekitar. Bencana alam adalah teguran Tuhan. Perkara ini sering diberi
peringatan oleh Allah dalam banyak bentuk seperti mengajak manusia berfikir akan kejadian
alam dan dikaitkan dengan apakah kesudahan yang akan menimpa manusia sekiranya
tuntutan menjaga alam diabaikan. Terutamanya bagi manusia yang mempunyi sifat tamak
dan keinginan mengejar kemajuan ekonomi serta pembangunan sehingga sanggup
menggadai dan mengenepikan soal kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.

Oleh itu, kita sebagai manusia seharusnya menyedari bahawa setiap bencana alam yang
berlaku adalah kerana perbuatan manusia itu sendiri. Firman Allah dalam Surah ar-Ruum
ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab-
sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang
mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Apabila kita telah diuji, maka sebagai manusia kita haruslah sedar dengan kesilapan dan
menerima ketentuan Allah dengan hati yang terbuka tanpa menimbulkan kerosakan kepada
alam sekitar. Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan
pendekatan yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan
kepada kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni agama, bertanggungjawab dengan alam,
membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan secara serius. Pembangunan
sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya perlu diterapkan
kepada seluruh peringkat masyarakat. Penyelidikan dan pemantauan terhadap alam perlu
dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan tidak mendatangkan risiko
yang tinggi kepada kehidupan sejagat.


                                                                             Page 10 of 12
KESIMPULAN

Individu atau insan merupakan komponen yang paling penting dalam proses pembentukan
keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya akan menghasilkan keamanan sejagat. Oleh itu,
Islam amat mementingkan sikap dan ciri-ciri insan rabbani perlu dipupuk di dalam diri setiap
individu bagi mencorakkan institusi keluarga yang harmoni, masyarakat dan negara yang
saling memahami dan aman. Manifestasi keagungan Allah sebagai pencipta dan pembimbing
manusia memberikan panduan kepada kita dalam kehidupan sesama insan. Dengan ini,
kerjasama dapat dipupuk dan keamanan yang diidamkan dapat dinikmati bersama.

Risalah yang bertajuk Ihya’ ar-Rabbaniyyah yang membawa maksud menghidup kembali
generasi rabbani telah digunakan oleh Sheikh Said Hawa dalam usaha mengembalikan
kegemilangan Islam di zaman moden ini. Banyak ilmu dan amal yang perlu diterapkan oleh
insan bagi mewujudkan generasi rabbani ini.

Insan rabbani merujuk kepada golongan manusia yang mempunyai ilmu yang luas dan
mendalam berkenaan dengan agama. Islam merupakan agama yang mementingkan keamanan
dan kesejahteraan.     Insan yang rabbani perlu mempunyai ilmu yang mantap bagi
membimbing dan memimpin insan-insan lain. Dengan cara ini, manusia akan saling
mengingati antara satu sama lain. Jadi objektif keamanan sejagat dapat di capai.

Umat manusia boleh menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai satu contoh terbaik.
Keperibadiannya merupakan yang terbaik dan sangat wajar untuk dicontohi. Segala yang
dipamerkan oleh peribadi baginda sebagai seorang nabi dan rasul merupakan hasil panduan
dan paduan wahyu Allah. Kesempurnaan akhlaknya wajar diikuti. Jadi tidak ada sebarang
masalah bagi seseorang individu jika ingin menjadi insan rabbani kerana kita mempunyai
idola atau contoh yang baik.

RUJUKAN



                                                                                   Page 11 of 12
Ahmad Fauzi Morad & Ahmad Tarmizi Talib.(Eds).(1997). Tamadun Islam. Serdang:
      Penerbit Universiti Putra Malaysia.,

Haron Din (2002). Manusia dan Islam : jilid tiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan
      Pustaka.

Taat dan cinta kepada Allah dan RasulNya. Retrieved February 28, 2010 from
      http://www.cybermq.com/pustaka/detail/fiqih/142/taat_cinta_kepada_Allah_dan_rasu
      lnya.htm




                                                                         Page 12 of 12

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Tags:
Stats:
views:1333
posted:7/13/2011
language:Malay
pages:12