Docstoc

Rencana

Document Sample
Rencana Powered By Docstoc
					>   Rencana   >>   Islam Hadhari

Pemantapan Hubungan Etnik Berteraskan Prinsip Islam Hadhari
14 December 2006

KEPELBAGAIAN kelompok etnik di negara ini diterima oleh semua dan ia merupakan
sumber kekuatan. Dari segi sejarah, kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai bangsa
dan kaum di negara kita bermula dengan apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial
antara etnik terbesar di negara ini. Kontrak sosial adalah satu persetujuan di kalangan
masyarakat berbilang kaum melalui proses muafakat dan musyawarah ke arah peralihan
kuasa pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris dan dimanifestasikan melalui
kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955.

Semangat kontrak sosial ini berasaskan semangat kerjasama dan setiakawan serta
perkongsian kuasa yang kemudiannya terjelma dalam perjuangan menuntut
kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Pemuafakatan formula
perkongsian kuasa telah dipersetujui oleh semua pihak sejak daripada dulu lagi.

Semangat dan falsafah Islam Hadhari telah terjelma ketika itu lagi dengan adanya sikap
bermuafakat, bermusyuawarah dan keadilan dalam menjalani kehidupan secara bersama
dengan aman, harmoni, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain
walaupun berbilang agama, bangsa dan keturunan.

1. Keimanan dan Ketakwaan kepada Ilahi

Hubungan etnik yang utuh lagi jitu akan dapat dibina sekiranya ia dijalin berteraskan
ajaran agama bersekali dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Islam
sebagai Al-Din telah secara holistik mengintegrasikan hubungan kemanusiaan dan
kemasyarakatan (termasuk komuniti dan hubungan etnik) dengan hubungan manusia-
Allah, manusia-makhluk dan hubungan manusia-alam. Justeru, hubungan kemanusiaan
dan sosial sudah terkandung dalam ajaran Islam yang mementingkan perpaduan,
perdamaian, keharmonian dan keamanan tanpa mengira bangsa, ras, kaum dan etnik.
Kesejahteraan hidup hanya akan dapat direalisasikan sekiranya manusia dan
masyarakat berpandukan ajaran Allah s.w.t.

Integrasi iman dan takwa serta amal bukan hanya dijuruskan dalam aspek hubungan
etnik tetapi dilihat secara menyeluruh dalam komponen pembangunan insan, komuniti
dan negara yang akhirnya menganjak paradigma dalam aspek peningkatan kualiti hidup
dan taraf hidup, kehidupan bermasyarakat dan bernegara, kemajuan dan pembangunan
negara (emosi, mental, fizikal dan spiritual masyarakat).

Orang yang kuat iman dan takwanya adalah mereka yang menjalin dan memelihara
hubungan baik dan beradab sesama manusia walaupun dengan bukan Islam kerana ia
adalah ajaran Islam dan suruhan Allah serta Junjungan Besar Rasulullah s.a.w.

Islam mewajibkan penganutnya menjalin hubungan yang baik sama ada sesama Muslim
ataupun dengan bukan Muslim. Islam juga mengajarkan penganutnya agar
menghindarkan diri daripada mewujudkan permusuhuan, perseteruan, perselisihan
faham yang negatif dan fitnah. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal, ayat 25 yang
bermaksud:

”Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang
bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kaum secara khusus,
(tetapi akan menimpa kaum secara umum).”

Dengan kekuatan imanlah, orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang lain,
bukannya dengan dasar keturunan atau pertalian darah atau kewarganegaraan semata-
mata. Allah s.w.t telah menjelaskan dalam Surah Ali Imran ayat 102 – 103, bahawa
takwa adalah asas perpaduan sesama Muslim dan dalam konteks bernegara orang
Muslim menjadikan takwa sebagai tunggak untuk menjamin hubungan etnik yang baik
dengan kaum agama lain.
Orang-orang Islam juga tidak dapat bertolak ansur untuk menjalin hubungan dan
memperkukuhkannya sesama Muslim. Ia adalah satu kemestian dan kewajipan
sepertimana dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

”Kasih sayang Mukmin itu dengan Mukmin yang lain bagaikan struktur binaan yang
saling mengeratkan.”

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda menjelaskan, yang bermaksud:

”Orang Mukmin, dalam soal kasih sayang, cinta dan belas ihsan sesama mereka,
bagaikan badan, jika ada anggota yang sakit, maka seluruh badan itu juga turut berasa
sakit, lalu demam dan tidak dapat tidur.”

2. Kerajaan Adil dan Beramanah

Dasar keadilan dan amanah kerajaan juga telah lama dilaksanakan dalam konteks
memantap dan memperkukuhkan hubungan etnik. Kerajaan Malaysia dalam ruang yang
ada sejak daripada selepas Peristiwa 13 Mei 1969 berusaha membentuk perpaduan dan
keutuhan masyarakat berbilang kaum yang mempunyai identiti nasional dan tidak
menghalang hak-hak bukan Islam dalam menjalani semua aktiviti kehidupan.
Kepelbagaian budaya dan agama diterima sebagai satu entiti kekuatan, bukannya
melemahkan. Kerajaan juga sentiasa berwaspada dan berusaha mengelakkan
ketegangan dan pergaduhan etnik walau apapun puncanya. Respons kerajaan kepada
tuntutan etnik minoriti sentiasa adil dan saksama, maka kerana itulah ketegangan dan
perbalahan antara etnik dapat diatasi dengan bijak dan saksama.

Etnik majoriti merasa selamat dan etnik minoriti pula turut menikmati keamanan,
pembangunan dan kemajuan negara secara bersama. Ini mengurangkan rasa tersisih
dan kurang selamat di kalangan etnik minoriti. Kita percaya, tidak ada sebuah
negarapun yang mampu melahirkan rasa selamat golongan minoriti kecuali dalam kes
Malaysia. Golongan minoriti kadangkala menikmati lebih kelebihan (walaupun
kebiasaannya sedikit berkurang) dalam sektor pekerjaan, kemajuan ekonomi dan
pembangunan fizikal kerana peluang, dasar dan ruang yang diwujudkan oleh pihak
kerajaan.

Kerajaan juga telah secara perlahan-lahan menghapuskan pengkelasan dan identifikasi
kelompok etnik mengikut jenis pekerjaan ataupun aktiviti ekonomi kesan daripada
strategi penjajahan British ke atas negara kita dahulu.
Kerajaan telah mengatur pelan dan strategi perpaduan melalui beberapa dasar sedia ada
untuk membentuk masyarakat berbilang kaum yang utuh lagi padu. Dasar Kebudayaan
Kebangsaan (DKK) telah digubal sebagai garis panduan dalam membentuk, mengwujud
dan mengekalkan identiti nasional negara dan masyarakat berbilang kaum yang bersatu
padu. Mengakui kerumitan pelaksanaannya, kerajaan meminta rakyat agar insaf serta
faham tentang kepentingan perpaduan antara kaum dan perlunya dihakis kebudayaan
kesukuan yang menidakkan kebudayaan nasional.

Apa yang lebih penting ialah kerajaan ingin melihat masyarakat berbilang kaum
berbudaya keperibadian kebangsaan Malaysia yang lebih ekstensif menjangkau batasan
suku kaum sempit dengan Islam dijadikan sebagai komponen utama kebudayaan
nasional. Betapa pentingnya perpaduan kaum dan semangat muhibah dipupuk di
peringkat awal lagi, kerajaan telah memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) hasil daripada ilham YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji
Ahmad Badawi. Polisi ”Bersih, Cekap dan Amanah” pula menampilkan integriti tinggi
yang dikehendaki kerajaan di kalangan kakitangan awam khususnya.
3. Rakyat Berjiwa Merdeka

Setiap kelompok etnik menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan. Maka
sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah menghayati hakikat perjuangan tersebut dan
sama-sama memastikan kesinambungan kemerdekaan negara dikecapi oleh generasi
masa hadapan.

Hubungan etnik di Malaysia tidak lagi berkisar dalam soal-soal keagamaan (walaupun
agama adalah sandaran) tetapi yang lebih penting ialah keadilan kerajaan dalam
memenuhi kehendak dan keperluan rakyat yang berbilang agama dan kaum, program-
program sosioekonomi untuk meningkatkan status ekonomi mereka yang memerlukan,
pembangunan yang lebih ditumpukan di kawasan luar bandar dan desa, pembangunan
sektor pertanian dan industri asas tani dan seumpamanya.

Kerajaan sedang berusaha untuk membentuk bangsa Malaysia menerusi berbagai-bagai
usaha termasuklah pengukuhan konsep perpaduan nasional agar terhasil rakyat
Malaysia yang berjiwa merdeka, iaitu yang menyumbang dan berbakti kepada negara
serta menumpahkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara di
samping bersatu padu, saling menghormati, tolong menolong dan berkongsi masa
depan. Kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan ‟Membudayakan Perpaduan,
Meraikan Kepelbagaian‟ dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang kuat. Islam
mewajibkan manusia Muslim sentiasa tolong menolong atas dasar kebaikan dan
ketaqwaaan dan bukannya atas dasar perlakuan dosa, pencerobohan atau perseteruan.

Sebagai warganegara Malaysia yang berjiwa merdeka, Rukun Negara merupakan teras
ke arah mengwujudkan bangsa yang berwibawa dan berprinsip. Rakyat mestilah
mendokong kepercayaan kepada Tuhan dan menolak atheisme.

Oleh sebab itu, bukanlah seseorang itu dianggap sebagai warganegara Malaysia
sekiranya ia mengaku tidak beragama atau tidak mempercayai Tuhan. Rakyat juga
sama-sama tanpa mengira bangsa dan agama menumpahkan kesetiaan kepada Raja
dan negara, pemimpin dan pemerintah, menjunjung kedaulatan undang-undang dan
menghayati kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat berbilang kaum.

Ancaman penjajahan pemikiran, ekonomi, politik dan budaya serta globalisasi negatif
adalah dua musuh yang dihadapi oleh semua kelompok etnik di Malaysia. Oleh kerana
masalah yang ditimbulkan oleh keduanya sama-sama memberikan kesan buruk kepada
setiap kelompok etnik, maka kelompok etnik yang bersatupadu akan lebih kuat
menghadapi musuh-musuh ini. Justeru, Islam sentiasa menyuruh umatnya untuk
berpegang teguh dengan agama Allah dan jangan berpecah belah.

Sepanjang sejarah Islam juga kita akan dapati rekod pemerintahan Islam dan layanan
yang baik untuk kelompok agama lain dan dari sudut hubungan diplomatik dan
antarabangsa. Begitu juga rekod pemerintahan negara kita.

4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan

Kerajaan sentiasa menganjurkan rakyatnya agar sentiasa menguasai ilmu pengetahuan.
Islam mewajibkan umatnya untuk mencari dan menuntut ilmu pengetahuan. Dalam
konteks Malaysia, jalinan hubungan etnik akan menjadi lebih padu sekiranya masing-
masing melihat signifikan hubungan etnik dalam konteks ilmu dan realiti, bukannya
emosi, perasaan dan prasangka.

Dialog tamadun atau dialog antara agama akan berlaku dengan wujudnya interaksi
individu. Nabi Muhammad s.a.w banyak menggunakan dialog dan hikmah ketika
berhujah dengan orang Musyrikin Mekah. Orang Melayu tidak mempunyai masalah
dalam interaksi tamadun. Agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian dapat
berkembang di Kepulauan Melayu kerana pemahaman orang Islam berasaskan ilmu al-
Quran yang mementingkan toleransi dan menerima hakikat kepelbagaian agama dan
keturunan dan hidup bersama dalam kerukunan, aman dan damai kecuali pada waktu
darurat. Orang Melayu juga menerima bahasa kelompok etnik lain walaupun bahasa
kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Pakaian kebangsaan yang berasaskan kemelayuan
diterima oleh semua kelompok etnik walaupun setiap kelompok etnik mempunyai
pakaian etnik masing-masing. Kerana Islam mengharuskan mengambil makanan yang
halallah, orang-orang Melayu boleh menerima makanan orang asing (yang halal) seperti
makanan segera Barat (asal daripada Barat), Char Koay Teaw (asal daripada China) dan
Tosai (asal daripada India). Semua ini diterima oleh orang Islam berasaskan
pemahaman ilmu.

Tamadun India yang masyhur dengan falsafah dan matematik, tamadun China dengan
ilmu hisab, perpuluhan dan aritmatik dan tamadun Islam yang menampilkan konsep
angka dan meletakkan asas dalam matematik moden dan bidang astronomi cerapan
telah bersama-sama menjayakan interaksi tamadun hasil daripada penguasaan ilmu
pengetahuan. Maka kelompok etnik Cina, India dan Melayu dan lain-lain sepatutnya
tidak mempunyai masalah memperkukuh hubungan etnik di Malaysia hasil daripada
interaksi sains dan teknologi dan interaksi budaya tamadun masing-masing terdahulu.
Penguasaan ilmu pengetahuan adalah faktor pembentukan dan kesinambungan kejayaan
ketiga-tiga tamadun di atas. Ungkapan Arab, ”Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri
China” membuktikan dua aspek; pertama interaksi dan dialog tamadun, kedua;
transmisi ilmu dan pengejaran ilmu pengetahuan.

YAB Perdana Menteri juga telah menawarkan Malaysia sebagai `focal point` untuk
mengadakan usaha-usaha perbincangan terbuka berkaitan Islam. [Ucapan PM, Asia
Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005] Maksudnya ialah sebagai pusat
dialog antara agama ataupun dialog peradaban. Usaha yang lebih perlu dilipatgandakan
oleh berbagai pihak bermula daripada masyarakat awam, pemimpin masyarakat,
pemimpin tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pendidikan untuk
mengadakan dialog antara Muslim dan bukan Islam. Dialog, perbincangan dan interaksi
sebenarnya menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat tentang hakikat kelompok
etnik dan agama-agama lain. Ruang-ruang untuk perbincangan mestilah dibuka dan
dikendalikan dengan keadaan yang baik dalam suasana dan semangat setiakawan. YAB
Perdana Menteri telah melahirkan keyakinannya, katanya:

“Islam sebenar yang toleran, berkebajikan dan yang utama mengajarkan keamanan
antarabangsa, keselamatan dan kerjasama akan melonjak. Orang-orang Islam di mana-
mana sahaja bukan sahaja mempunyai kewajipan untuk mengembalikan kegemilangan
Islam, bahkan menganjurkan rasa saling bersama antara satu sama lain di kalangan
agama-agama di dunia.” [Ucapan YAB Perdana Menteri, Asia Society of Australia,
Sydney, Australia, 8 April 2005]

Apa yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri adalah berlandaskan kepada ajaran
Islam yang menganjurkan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan.

5. Pembangunan Ekonomi yang Komprehensif dan Seimbang

Malaysia adalah sebuah masyarakat berbilang kaum yang sentiasa hidup dalam aman
dan harmoni, penuh dengan perasaan saling menghormati dan bertoleransi. YAB
Perdana Menteri telah menekankan bahawa perkara ini tercapai bukanlah secara
kebetulan tetapi menerusi pengurusan hubungan etnik berlandaskan perkongsian kuasa
dalam pembentukan kerajaan dan penumpuan kepada pengurusan ekonomi yang
mampan serta pembahagian ekonomi yang seimbang. [Ucapan PM, Asia Society of
Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan
semula masyarakat harus dilihat juga signifikannya dari sudut hubungan etnik.
Pencapaian DEB yang diharapkan iaitu 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam semua
bidang dan peringkat ekonomi akan memobilasikan Bumiputera untuk bergerak maju
dan berdaya saing seiring dengan bukan Bumiputera.

Status sosial dan pendapatan Bumiputera diharapkan akan setara dengan bukan
Bumiputera. Objektif penyusunan semula masyarakat yang menyumbang kepada
pengukuhan hubungan etnik akan dapat direalisasikan. Sebab itu, DEB harus dilihat
signifikannya daripada sudut hubungan etnik.

Pelan dan strategi pembangunan jangkamasa pendek dan panjang akan memberi impak
yang positif kepada keutuhan perpaduan kaum. Antara dasar berkaitan ialah seperti
Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Kependudukan
Malaysia Ke Arah 70 Juta Penduduk, Dasar Pertanian Nasional Ketiga (1998-2010),
Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar, Dasar Urbanisasi Negara
(DUN), Dasar Sains dan Teknologi Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pembentukan dan kejayaan integrasi nasional sepatutnya juga dilihat kepada
pelaksanaan dan kejayaan Dasar Sosial Negara, Dasar Pembangunan Negara, Dasar
Ekonomi Baru, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan secara
komprehensif di mana setiap komponen masyarakat majmuk dan kerajaan turut sama
menyumbang dan berbakti. Semua dasar negara akan tercapai sekiranya orang Islam
memahami bahawa asas keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi adalah pemangkin
kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

6. Kehidupan Berkualiti

Hubungan etnik yang baik akan menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti.
Berdasarkan kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia, kita dapati hubungan etnik boleh
dikaitkan dengan banyak perkara dalam kehidupan kita. Indeks Kualiti Hidup Malaysia
merangkumi 11 aspek, iaitu:

(i) Dunia pekerjaan – Hubungan etnik boleh dimantapkan dengan menjalin hubungan
yang baik di tempat kerja. Dalam aspek pekerjaan, semua kaum mendapat peluang
yang sama rata untuk memberikan tenaga dan bakti dalam apa jua profesion.

(ii) Pengangkutan dan komunikasi – Kemalangan jalan raya kadangkala mengakibatkan
perbalahan berasaskan sentimen etnik. Ini perlu dielakkan, biarlah mahkamah
menentukan sesiapa yang bersalah ataupun tidak. Berbudi bahasa dan bersopan santun
di jalanraya dan ketika menggunakan pengangkutan awam adalah amalan mulia dan
amalan kesedaran sivik yang tinggi. Alat telekomunikasi seperti fax, telegraf, e-mail dan
SMS boleh menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik.

(iii) Kehidupan berkeluarga – Individu yang baik dan beradab akan melahirkan keluarga
yang baik. Keluarga yang baik akan melahirkan komuniti dan masyarakat yang baik.
Masyarakat yang baik adalah pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.
Di Malaysia, walaupun keakraban keluarga semakin baik, setiap ahli keluarga perlulah
mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga kelompok etnik yang lain.

(iv) Keselamatan dan ketenteraman awam – Rakyat pelbagai kaum mestilah sama-sama
memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara dan
mengelakkan daripada menjadi pencetus kepada perselisihan faham ataupun konflik
etnik, menimbulkan provokasi ataupun isu-isu sensitif.

(v) Pendapatan dan pengagihannya – Kita mendapat tempat untuk mencari rezeki hasil
daripada kemakmuran dan kesejahteraan negara yang diusahakan pemerintah dan
rakyat dengan izin Allah s.w.t. Tidak lagi timbul rasa cemburu dan iri hati kerana kita
sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Wang pembayar
cukai digunakan untuk membangunkan keluarga, masyarakat dan juga negara.

(vi) Kesihatan – Isu-isu seperti HIV AIDS, dadah, sakit jantung dan kanser melibatkan
semua kaum. Kita mesti bersatu untuk memerangi dan menanganinya.

(vii) Pendidikan – Bidang pendidikan sendiri sama ada di peringkat rendah, menengah
dan tinggi adalah satu wadah yang boleh digunakan untuk menyatupadukan kaum.
Secara teorinya, semakin tinggi pendidikan seseorang itu, semakin tinggilah juga
kesedaran dan amalan dalam memperkasa hubungan etnik dan intra etnik.

(viii) Perumahan – Terdapat kecenderungan pembeli rumah membeli rumah di kawasan
kelompok etnik sendiri. Sikap ini perlu dibendung kerana ia boleh mengwujudkan
polarisasi kaum. Banyak kawasan perumahan yang mempunyai pelbagai kelompok etnik.
Maka usaha perlu dijalankan untuk memperkukuh hubungan etnik di kawasan kediaman
terlebih dahulu.

(ix) Alam sekitar – Isu alam sekitar sebaiknya ditangani secara bersama. Kempen
gotong royong pembersihan taman perumahan yang melibatkan pelbagai kelompok
etnik boleh mengwujudkan semangat dan sikap kerjasama berkumpulan dan tolong
menolong.

(x) Penglibatan sosial – Kerja-kerja sukarela sama ada di peringkat komuniti dan
masyarakat boleh mewujudkan sikap sayang menyayang dalam konteks hubungan
etnik. Begitu juga kerja sosial dan pembangunan komuniti dan masyarakat.

(xi) Budaya dan hiburan – Program kebudayaan dan hiburan yang melibatkan
penyertaan pelbagai kelompok etnik mestilah sentiasa digalakkan kerana ia boleh
memperkukuhkan hubungan etnik.

Sukan ternyata boleh mewujudkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat
Malaysia sekali gus mempereratkan hubungan kaum dan integrasi nasional. Sudah ada
langkah-langkah menggunakan sukan sebagai alat untuk memupuk hubungan kaum
yang erat. Orang Cina sudah ada yang bermain sepak takraw yang sebelum ini
didominasi oleh orang Melayu. Orang Melayu sudah bermain bola keranjang walaupun
sebelum ini sukan ini didominasi oleh orang Cina. Kita perlu sukan yang boleh
menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Badminton, hoki, bola sepak dan
squasy adalah di antara sukan yang boleh membangkitkan perasaan patriotisme rakyat.

Orang boleh menangis kesedihan kalau negara kalah dalam sesuatu jenis sukan, dan
begitu juga orang boleh menangis kegembiraan kalau negara menang dalam sesuatu
jenis sukan.

7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita

Islam telah lebih 1400 tahun yang lampau memperjuangkan konsep hubungan etnik dan
hak-hak asasi manusia. Islam menjamin hak-hak bukan Islam dan warga dunia. Jaminan
ini akan memperkukuhkan hubungan etnik di negara yang diperintah oleh orang Islam.
Pengisytiharan Universal Islam Mengenai Hak-hak Asasi Manusia di Paris pada
September 1981 antara lain mengiktiraf hak-hak manusia untuk hidup, hak kebebasan
manusia, hak persamaan dan larangan diskriminasi terlarang, hak keadilan, hak
perbicaraan yang saksama, hak mendapat perlindungan daripada penyalahgunaan
kuasa, hak perlindungan daripada penyeksaan, hak perlindungan maruah dan reputasi,
hak pelarian, hak-hak minoriti, hak dan obligasi untuk menyertai pengurusan hal ehwal
awam, hak untuk menganut mana-mana agama dan berucap, hak amalan keagamaan,
hak untuk berkumpul dan menubuhkan persatuan, hak melakukan aktiviti ekonomi, hak
perlindungan harta benda, status dan maruah pekerja, hak keselamatan sosial, hak
berkeluarga dan yang berkaitan dengannya, hak wanita yang telah berkahwin, hak
pendidikan, hak „privacy „ dan hak bergerak dan menginap.

Kumpulan minoriti terdiri daripada golongan bukan Islam, anak yatim, warga emas,
kanak-kanak istimewa, orang kurang upaya, fakir miskin dan ibu tunggal. Prinsip ini
menampilkan hak-hak kumpulan minoriti dan wanita akan dijaga dan dibela serta
memastikan mereka berada dalam arus perdana kemajuan dan pembangunan negara.

8. Keutuhan Budaya dan Moral

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersama-sama memerangi elemen
negatif budaya dan pemikiran Barat yang bertentangan dengan nilai agama dan
ketimuran. Budaya dan moral bangsa Malaysia mestilah dipertahankan demi keutuhan
budaya kebangsaan dan menghalang ia daripada dicemari oleh budaya yang
merosakkan akhlak dan moral serta budi bahasa rakyat Malaysia.

Budaya dan moral yang kuat lagi jitu adalah pemangkin dalam usaha kita menjadi
negara maju dan ke arah pencapaian Wawasan 2020. Nilai-nilai murni dan budi bahasa
rakyat Malaysia adalah di antara identiti rakyat Malaysia yang mesti dipertahankan
walaupun kita sudah moden dan membangun. Ketua keluarga mestilah memastikan
keutuhan budaya dan moral ahli keluarga masing-masing. Pemimpin masyarakat pula
bertanggungjawab terhadap masyarakat masing-masing. Kerajaan ingin wujudkan
masyarakat yang mempunyai personaliti unggul (towering personality) agar bangsa
Malaysia dapat duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Personaliti
unggul terletak pada diri dengan kekuatan hemah yang tinggi, berilmu pengetahuan
tinggi, tinggi pencapaian, ketokohan dan keintelektualan.

Perayaan-perayaan kaum di Malaysia boleh menjadi satu mekanisme memupuk
semangat muhibah di kalangan masyarakat berbilang kaum. Bagi orang Islam, amalan
kunjung mengunjung ke rumah kaum lain ketika perayaan tertentu bukanlah bermakna
merestui sistem kepercayaan agama lain, tetapi lebih sebagai satu amalan mengeratkan
perasaan saling menghormati, persefahaman dan persahabatan dengan kawan-kawan
lain walaupun yang bukan seagama dengan mereka. Ini patut dijadikan budaya hidup
kita.

9. Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar

Rakyat Malaysia pelbagai kaum mestilah sama-sama memelihara dan memulihara alam
sekitar demi kepentingan bersama dan untuk generasi akan datang. Alam sekitar dan
persekitaran yang kondusif bersekali denan penjagaan kesihatan yang sempurna akan
memastikan masyarakat yang sihat, kuat dan sejahtera.

Rakyat Malaysia mestilah memperjuangkan isu-isu alam sekitar mengikut saluran yang
betul dan peraturan dan benar-benar ikhlas demi kepentingan negara, bukannya
kepentingan peribadi atau kelompok berkepentingan tersendiri.
Kempen gotong royong kebersihan dan seumpamanya di kawasan penempatan
masyarakat berbilang kaum boleh mempupuk perasaan muhibah, kasih sayang dan
tolong menolong.

10. Kekuatan Pertahanan

Program Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) sudah menunjukkan tanda-tanda
penumpuan dan perkembangan integrasi nasional, perpaduan kaum dan semangat
patriotisme. Generasi muda perlu disedarkan tentang keperluan mempertahankan
kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh. Mungkin sudah ada usaha
sedemikian di peringkat pendidikan rendah yang lebih bersifat kekuatan jatidiri.
Penyertaan kelompok etnik bukan Melayu dalam pasukan beruniform seperti Angkatan
Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia masih ditahap yang rendah dan perlu
dipertingkatkan.

Penyertaan berbagai-bagai kelompok etnik dalam Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA)
dan pasukan Pertahanan Awam boleh dibanggakan. Ini juga boleh memantapkan
perpaduan kaum. ”Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” adalah pepatah yang
melambangkan perpaduan dan kerjasama. Jika dikaitkan dengan kekuatan pertahanan,
maka asas kepada perfahaman yang utuh ialah perpaduan yang jitu.

Perumpamaan ”bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”
menggambarkan signifikan kerjasama berkumpulan, bermesyuwarah dan saling
memahami serta tolong menolong. Tanpa muafakat dan terlalu banyak persengketaan
akan menyebabkan negara kita mudah untuk ditewaskan oleh musuh.

”Menang sorak, kampung tergadai” menggambarkan bahawa yang penting ialah
“substance” (isi) bukannya slogan atau cakap-cakap kosong. Kita perlu mengotakan apa
yang telah dijanjikan dan konteks sayangnya kita kepada negara dan para pemimpin.
Rakyat Malaysia berbilang kaum mestilah menanam dalam diri mereka prinsip ”biar
putih mata, jangan putih tulang” dalam konteks pertahanan negara. Semua bangsa
mestilah menanam dalam diri mereka semangat dan sikap sayangkan negara dan
sanggup mempertahankannya ke titisan darah terakhir dan sentiasa komited sebagai
warganegara yang baik dan berguna. Dalam Islam, orang yang mempertahankan negara
dan mati kerana mempertahankan agama dan negara diberi penghormatan tinggi oleh
Allah.

Iklan TV3 ”Ikan di laut, asam di darat” membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang
berbilang kaum boleh menjalin hubungan baik dan bersatu padu. Media massa adalah
mekanisme paling berkesan untuk memupuk perasaan muhibah dan hubungan etnik
yang positif. Sebab itu media massa perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk
memupuk integrasi nasional dan perpaduan kaum bukannya perpecahan dan polarisasi.
Bantuan-bantuan kemanusian (humanitarian) terhadap mangsa peperangan atau
malapetaka alam menonjolkan ciri terbaru hubungan etnik yang menjangkau batas
geografi dan sempadan antarabangsa. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum telah sama-
sama menyumbang bagi menolong mangsa gempa bumi di Qum, Iran, mangsa perang
Amerika-Iraq, mangsa gempa bumi di Kashmir dan malapetaka Tsunami.

Kesimpulannya, pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan bertujuan untuk membawa
perubahan kepada mentaliti dan sikap masyarakat serta peralihan kepada yang lebih
baik dalam konteks kemajuan dan pembangunan negara. Pendekatan ini akan membawa
pembaikan dalam semua aspek kehidupan untuk menuju ke arah sebuah masyarakat
dan negara maju dan mencapai objektif Wawasan 2020. Orang bukan Islam tidak perlu
bimbang terhadap pendekatan ini kerana ia akan membawa kebaikan kepada semua
golongan tanpa mengira perbezaan agama dan etnik.
http://www.yadim.com.my/Hadhari/IsHadhariFull.asp?offset=5&Id=111

				
DOCUMENT INFO
Categories:
Tags:
Stats:
views:226
posted:2/18/2011
language:Malay
pages:8