Docstoc

Sulh; maksud, matlamat, & prosedur

Document Sample
Sulh; maksud, matlamat, & prosedur Powered By Docstoc
					                                                                                                1


                                            SULH


1. Maksud Sulh


        Sulh menurut bahasa diertikan sebagai “penamatan sesuatu pertikaian” atau
“berbuat baik”. Manakala menurut istilah syara’ pula adalah “suatu aqad yang
dengannya tamat sesuatu pertikaian”. Majallah Al-Ahkam Al-Adliyyah, al-Sheikh
Nazzam dan Qadri Basha menerangkan sulh ialah akad yang menamatkan pertikaian
secara sukarela dan redha meredhai.


        Ada juga yang merujuk sulh dalam terma yang lain iaitu mediasi. Mediasi
boleh didefinisikan sebagai “proses di mana satu pihak (pihak ketiga atau mediator)
membantu dua pihak yang bertikai antara satu sama lain berunding dan mencapai
penyelesaian secara damai”. Ini bermakna mediasi merupakan ‘perundingan secara
terpimpin’ (assisted negotiation) secara langsung kepada pihak-pihak yang bertikai
oleh mediator.


        Dari segi undang-undang, di Negeri Selangor contohnya, tiada peruntukan
yang mendefinisikan sulh dengan jelas. Namun demikian terdapat peruntukan
mengenai sulh dan meletakkan bahawa sulh itu dalam suatu bentuk proses
berdasarkan prosedur tertentu 1 yang digalakkan2.


        Berdasarkan definisi yang diberikan di atas, dapat disimpulkan bahawa sulh
merupakan keputusan atau hasil dari suatu perdamaian atau persetujuan oleh pihak-
pihak yang bertikai atau bersengketa hasil dari proses mediasi.


        Manakala Majlis Sulh pula merupakan suatu proses perundingan terpimpin
yang dijalankan sesuai dengan peraturan yang diperuntukkan oleh hukum syara’ dan
undang-undang bagi tercapai sulh. Kaedah Sulh bukan sahaja dapat menjimatkan kos

1
  Seksyen 88-91 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor (1999) dan Kaedah-kaedah Tatacara
Mal (Sulh) Selangor 2001.
2
  Seksyen 87 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor (1991) / Seksyen 99 Enakmen Tatacara
Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
                                                                                                       2


dan masa malahan dapat menyelesaikan sesuatu pertikaian secara terbuka dan
sukarela, bukannya melepaskan dendam.


        Rumusan yang boleh diberikan mengenai pentakrifan sulh yang diamalkan di
Mahkamah Syariah dari sudut undang-undang dan praktikalnya ialah, sulh
merupakan suatu kaedah penyelesaian secara damai dan redha meredhai di mana
pihak-pihak bertikai terhadap sesuatu tuntutan atau permohonan menghadiri satu
proses perbincangan di dalam suatu majlis perundingan yang dipimpin secara rasmi,
yang diatur oleh pegawai Mahkamah. Sebarang penyelesaian yang dicapai oleh
kedua-dua belah pihak akan direkodkan di hadapan hakim dan dijadikan suatu
perintah di mana keputusan ini adalah mengikat.3


        Jadi, secara mudahnya, sulh bermaksud menyelesaikan pertelingkahan secara
damai. Secara asasnya, semua permasalahan yang timbul adalah lebih baik
diselesaikan secara damai di antara pihak-pihak yang terlibat.


        Kalau pada zaman dulu-dulu, proses sulh juga berlaku sama ada secara
disedari atau tidak disedari. Kebiasaannya, apabila satu-satu pasangan menghadapi
krisis dalam rumah tangga mereka, mereka akan mencari orang tengah dalam
kalangan anggota keluarga mereka yang dihormati oleh pihak-pihak yang terlibat.


        Segala masalah rumahtangga yang menjadi konflik antara suami isteri akan
dibincangkan dan cadangan penyelesaian oleh orang tengah yang dilantik dan
dipersetujui tadi akan diambil kira oleh pihak-pihak yang terlibat untuk
menyelematkan rumah tangga mereka. Tetapi pada hari ini, oleh sebab semakin
rapuhnya hubungan silaturrahim antara ahli keluarga dalam masyarakat kita, praktis
sebegini jarang berlaku, walaupun penulis tidak menafikan kewujudannya.


        Oleh hal yang demikian, langkah mahkamah syariah yang mengambil kira
prosedur sulh sebelum sesuatu kes kekeluargaan diteruskan di peringkat mahkamah

3
 Lihat Siti Noraini binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan, Perlaksanaan Sulh dan Keberkesanannya Di
Mahkamah Syariah Selangor, m/s: 2-3.
                                                                                    3


adalah satu langkah yang harus di puji bagi mencari titik damai antara pasangan yang
bertelingkah.


           Dari segi prosedurnya, kita boleh katakan bahawa sulh ialah proses
perdamaian di antara suami dan isteri di luar mahkamah kerana penyelesaian dibuat
sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah.


           Islam memang menitikberatkan perdamaian selagi mana ianya tidak
menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal. Rasulullah S.A.W.
bersabda yang bermaksud:


           “Perdamaian (sulh) atau kompromi adalah perkara harus antara
           orang-orang Islam, kecuali sulh untuk menghalalkan perkara haram
           atau mengharamkan perkara halal.”4


           Sudah pasti kompromi bagi menghalalkan perkara yang haram dan
mengharamkan perkara yang halal adalah tidak dibenarkan. Dan selain daripada itu,
apa sahaja yang dipersetujui dalam majlis sulh adalah dibenarkan oleh Islam.


           Dan apabila pihak-pihak yang bertikai tadi sudahpun bersetuju dengan janji
mereka, mereka adalah terikat dengan janji mereka itu. Tidak sepatutnya mereka
memungkiri terhadap apa yang telah mereka persetujui sebelumnya. Sebab itulah,
apa yang dipersetujui oleh pihak-pihak dalam majlis sulh akan diendorskan sebagai
satu perintah persetujuan oleh hakim dan mana-mana pihak yang meningkarinya
boleh disabitkan sebagai mengingkari perintah mahkamah dan tindakan pelaksanaan
perintah boleh diambil kepada pihak yang mungkir.


           Antara asas lain dalam pelaksanaan sulh adalah berdasarkan kepada firman
Allah s.w.t.:




4
    Hadith riwayat Ibn Hibban.
                                                                                                     4


        “Dan jika seseorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya
        nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya maka tidaklah salah bagi
        mereka (suami/isteri) membuat perdamaian di antara mereka
        berdua (secara baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi
        mereka daripada bercerai-berai)”.5


        Konsep sulh ini telah diterima dan dikanunkan di Negara kita. Sebagai
contohnya di dalam Seksyen 99 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah
Persekutuan) 1998 yang berbunyi:


        “Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana
        peringkat prosiding itu, mengadakan sulh untuk menyelesaikan
        pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah yang ditetapkan atau,
        jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak.”6


        Antara kes-kes yang boleh diselesaikan mengikut kaedah sulh ialah seperti
berikut:
        (i)      Mut’ah;
        (ii)     Nafkah tertunggak;
        (iii)    Hutang maskahwin;
        (iv)     Hadhanah (hak penjagaan anak);
        (v)      Mengubah perintah;
        (vi)     Kembali taat;
        (vii)    Nafkah ‘iddah;
        (viii)   Harta sepencarian;
        (ix)     Hal-hal yang difikirkan munasabah;
        (x)      Tuntutan nafkah anak;
        (xi)     Permohonan pelaksanaan perintah mahkamah; dan



5
  Surah An-Nisa’: 128. Lihat juga ayat-ayat yang lain contohnya Surah An-Nisa’: 114, Surah Al-Hujurat:
9.
6
  Lihat juga peruntukan-peruntukan yang lebih kurang sama contohnya dalam Seksyen 87 Kanun
Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991, dan Seksyen 87 Ordinan Acara Mal Syariah (Sarawak) 1991.
                                                                                                  5


        (xii)    Wali enggan.7


2. Matlamat Sulh


        Antara matlamat-matlamat sesuatu majlis sulh diadakan adalah sebagaimana
berikut:
        (i)      Membantu pihak-pihak menyelesaikan pertikaian mereka melalui
                 perundingan secara damai;
        (ii)     Membantu pihak-pihak menyelesaikan kes mereka dengan cepat dan
                 teratur;
        (iii)    Membantu mahkamah mempercepatkan penyelesaian kes; dan
        (iv)     Mengurangkan kadar kes tertunggak di mahkamah.8


        Antara matlamat lain yang boleh terhasil daripada konsep sulh juga ialah
dapat menghilangkan perasaan dendam di hati pihak-pihak yang bertelagah dan
akan dapat mengukuhkan tali perhubungan di antara mereka, lebih-lebih lagi
perhubungan di antara keluarga sekiranya berlaku perselisihan di antara anggota
keluarga.9


        ‘Umar bin al-Khattab seorang yang dikenali pakar dalam penghakiman Islam
telah mengingatkan para hakim supaya berusaha semaksima mungkin untuk
menganjurkan sulh. Diriwayatkan bahawa Umar telah berkata:


        “Hendaklah disuruh mereka yang bertikai itu supaya membuat
        penyelesaian sesama mereka secara damai, kerana jika diselesaikan
        secara     kehakiman      (berdasarkan       keputusan      hakim)      akan
        menimbulkan perasaan benci dan dendam.”


7
  Lihat Khairol Azri bin Saari, Unit Sulh. 2010, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.
8
  Lihat brosur Unit Sulh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri
Sembilan Darul Khusus.
9
  Lihat Ahmad Daud, Sulh dan Pelaksanaannya, Nota Undang-undang Prosedur Mal Islam untuk
pelajar-pelajar Kursus Diploma Lanjutan Undang-undang dan Amalan Syariah di Pusat Undang-undang
Harun M. Hashim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), m/s. 1.
                                                                                 6


       Tidak dinafikan bahawa mahkamah boleh menyelesaikan pertikaian melalui
hukuman yang wajib dilaksanakan dan dipatuhi. Namun demikian hukuman
mahkamah tidak semestinya boleh menghapuskan dendam dan sakit hati atau
memuaskan hati pihak-pihak bertikai.


       Kemungkinan kes itu akan memihak kepada pihak yang bijak berhujah
meskipun dia bukanlah orang yang berhak atas keputusan tersebut. Sebaliknya pihak
yang satu lagi akan merasa kecewa walaupun dia meyakini kes itu tidak sepatutnya
memihak kepadanya. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi jika pihak tersebut
(yang menerima keputusan negatif) meyakini bahawa keputusan itu sepatutnya
memihak kepadanya.


       Kemungkinan ini ialah suatu yang boleh terjadi kerana keputusan hakim
dibuat berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan. Boleh jadi
keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan adalah palsu dan keputusan hakim
yang dibuat berdasarkan keterangan yang telah dipalsukan akan merugikan pihak-
pihak yang sepatutnya keputusan itu memihak kepadanya.


       Kemungkinan juga keputusan itu diperolehi disebabkan oleh pihak yang satu
lagi kurang teliti ketika mengemukakan hujah sehingga menyebabkan tuntutan atau
rayuannya ditolak. Keadaan ini akan menambahkan lagi rasa benci, dendam dan
ketidakpuasan hati kepada pihak yang merasa dirugikan dan seterusnya melebarkan
lagi jurang permusuhan antara mereka. Hal-hal seperti inilah yang cuba dihindarkan
oleh Islam.


       Sesungguhnya penyelesaian secara sulh ini wajar digalakkan kerana
adakalanya keputusan mahkamah tidak dapat memuaskan hati pihak-pihak yang
terlibat. Sedangkan sulh adalah lahir dari perasaan tolak ansur dan reda meredai
yang akhirnya membawa kepada           penyelesaian secara muafakat. Penyelesaian
secara sulh juga lebih tepat dalam mencapai keadilan kerana kedua-dua pihak lebih
mengetahui tentang hak yang sepatutnya diperolehi. Prinsip mengutamakan sulh ini
                                                                                                         7


bukan sahaja digalakkan kepada mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan
sahaja malahan kepada semua orang.10


3. Bagaimana Sulh Diuruskan


        Pegawai Sulh perlu memberikan perhatian dan mematuhi prosedur sulh
seperti yang termaktub di dalam Manual Kerja Sulh JKSM dan Pekeliling Ketua Hakim
MSS 1/2002 (Kod Etika Pegawai Sulh dan Manual Kerja Sulh MSS), Pekeliling Ketua
Hakim MSS 9/2002 [Bidangkuasa Pegawai Sulh (Hakim)], Arahan Amalan JKSM
3/2002 (Pemakaian Sulh), Arahan Amalan JKSM 7/2002 (Cara Menyimpan dan
Melupuskan Catatan Pegawai Sulh) dan Arahan Amalan JKSM 8/2002 (Prosedur
Penyerahan Notis Sulh). Prosedur sulh bermula dari pendaftaran dan akan berakhir
hingga selesai kes tersebut di mahkamah.11


        Prosedur Sulh adalah sebagaimana berikut:


     1. Ketua Pendaftar/Pendaftar selaku Pengerusi Sulh akan menetapkan tarikh
        bagi Majlis Sulh melalui Notis Majlis Sulh yang akan dihadiri oleh kedua-dua
        pihak yang terlibat dalam kes berkenaan tidak lewat daripada dua minggu
        sebelum penetapan tarikh sebutan kes.12 Kegagalan mana-mana pihak di
        dalam Majlis Sulh boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah. 13 Ketua
        Pendaftar/Pendaftar boleh mengarahkan mana-mana Pegawai Sulh bertindak
        sebagai Pengerusi Sulh bagi sesuatu kes yang baru didaftarkan.


        Perlu diketahui bahawa pihak-pihak yang hadir dalam majlis sulh tidak boleh
        diwakili oleh Peguam Syarie atau mana-mana orang tanpa kebenaran
10
   Raihanah Azhari, Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia
Islam: Sorotan Terhadap Perkembangan Terkini Pelaksanaannya di Mahkamah-Mahkamah Syariah di
Malaysia, IsoIT 2004, m/s: 174.
11
   Lihat Siti Noraini binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan, Perlaksanaan Sulh dan Keberkesanannya Di
Mahkamah Syariah Selangor, m/s: 7.
12
   Walau bagaimanapun, jika di lihat pada Kaedah 3, Kaedah-kaedah Prosedur Mal (Sulh) (Wilayah-
wilayah Persekutuan) 1996, kaedah tersebut tidak menetapkan masa bagi pihak-pihak mengadakan
sulh dan terpulanglah kepada budibicara Pendaftar untuk menentukan tarikh bagi pihak-pihak
mengadakan sulh dan menyampaikan notis kepada mereka.
13
   Lihat sebagai contohnya di dalam Kaedah 4, Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.
                                                                                                   8


        Pendaftar.14 Ini adalah kerana supaya pihak-pihak tidak dipengaruhi oleh
        orang luar semasa mencari jalan damai. Dan ini pastinya menjimatkan masa
        dan kos pihak-pihak yang terlibat.


        Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa pihak-pihak tidak
        boleh menggunakan khidmat nasihat guaman. Khidmat guaman memang
        diperlukan semenjak dari awal lagi supaya pihak-pihak memahami isu dan
        prosedur serta dapat mempersiapkan diri menghadiri majlis sulh tersebut.15


     2. Setelah kedua-dua pihak hadir di dalam Majlis Sulh, Pegawai Sulh akan
        menjalankan acara ta’aruf16 ringkas dan menerangkan tujuan dan konsep
        Sulh kepada pihak-pihak hingga mereka benar-benar memahaminya. Di
        dalam majlis ta’aruf awal ini, pihak-pihak digalakkan mengemukakan
        sebarang persoalan sama ada berkaitan Hukum Syarak dan perundangan
        Undang-undang Keluarga Islam kepada Pegawai Sulh bagi membangkitkan
        kefahaman kedua-dua pihak.


     3. Setelah selesai ta’aruf awal, setiap pihak dibenarkan bercakap dan
        mengemukakan keterangan mengikut giliran. Proses ini memerlukan suasana
        tenang di antara pihak-pihak dan dijalankan dalam keadaan sopan. Pihak-
        pihak tidak dibenarkan menyerang peribadi pihak lawan. Sebelum majlis Sulh
        dimulakan, pihak-pihak diminta membuat akujanji mematuhi peraturan-
        peraturan ini.


     4. Setelah diadakan majlis sulh peringkat awal di atas, Pegawai Sulh akan
        menyusun dan mengurus maklumat yang diperolehinya bagi menentukan
        perkara-perkara berikut:


             (i)     Isu atau masalah yang perlu diselesaikan;

14
   Perkara ini dijelaskan sebagai contohnya di dalam Kaedah 5, Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh)
Selangor 2001.
15
   Lihat Sisters in Islam, Proses Sulh-Bolehkah Ditemani Peguam, www.sisterinislam.org.my
16
   Ta’aruf bermaksud pengenalan, berasal daripada perkataan arab.
                                                                                                     9


             (ii)       Kedudukan pihak-pihak yang bertikai;
             (iii)      Kepentingan mereka; dan
             (iv)       Alternatif (pilihan) penyelesaian.


        Proses perbincangan bersama di antara pihak-pihak bertikai akan diadakan di
        dalam proses ini. Walau bagaimanapun, terpulang kepada keperluan Pegawai
        Sulh sama ada perlunya mengadakan pertemuan sebelah pihak bagi
        kepentingan pihak-pihak yang terlibat.


     5. Di akhir prosedur sulh, Pegawai Sulh akan memutuskan sama ada sulh yang
        dijalankan berjaya sepenuhnya ataupun tidak. 17 Sekiranya sulh berjaya,
        Pegawai Sulh akan menderaf satu Perjanjian Penyelesaian yang dipersetujui
        kedua-dua pihak dan akan dikemukakan kepada Hakim untuk endorsement
        perjanjian tersebut sebagai suatu Perintah Persetujuan.18 Hal ini sebagai
        contohnya sesuai dengan Aturan 6 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh)
        Selangor 2001, Seksyen 88 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Negeri
        Selangor) No. 7/1991 dan Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Syariah
        Selangor 2003.


        Seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003 menyatakan
        bahawa:
                     “Jika dengan persetujuan pihak-pihak sesuatu tindakan telah
                     diselesaikan, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan
                     persetujuan    pihak-pihak       itu    merekodkan         hakikat
                     penyelesaian itu dengan terma-termanya, dan rekod
                     penyelesaian itu hendaklah menjadi pembelaan dengan cara
                     res judicata dalam tindakan kemudiannya bagi kausa
                     tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada
                     matanya adalah sama”.

17
   Selalunya jika majlis sulh berjaya, laporan akan disediakan menggunakan kertas berwarna kuning,
manakala bagi majlis sulh yang gagal, laporan akan disediakan menggunakan kertas berwarna putih.
18
   Lihat Khairol Azri bin Saari, Prosedur Perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah, 2009, Jabatan
Kehakiman Syariah Pahang.
                                                                                               10




        Bagi Majlis Sulh yang gagal baik sebahagiannya atau keseluruhannya akan
        dibawa ke hadapan Hakim untuk proses sebutan dan perbicaraan sebelum
        keputusan atau perintah dibuat oleh Hakim Bicara.19


4. Penutup
        Keunggulan sulh sebagai kaedah dalam menyelesaikan pertikaian adalah
suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Berdasarkan data-data yang terkumpul,
dan laporan-laporan media massa di Malaysia memperlihatkan hasil yang
membanggakan dalam pengurusan kes-kes kekeluargaan di Mahkamah-Mahkamah
Syariah di Negara kita. Selain dari berjaya menangani masalah kes-kes tertunggak
pelaksanaan kaedah ini juga dilihat mampu memberikan kepuasan hati kepada
pihak-pihak yang bertikai, disamping beberapa faedah lain seperti pengurangan kos
tanggungan oleh pihak-pihak bertikai. Adalah menjadi harapan semua, meskipun
perubahan yang telah dilakukan kepada sistem yang digunapakai ini dapat
mempermudah dan meringkaskan prosedur-prosedur kehakiman serta memberikan
impak yang positif kepada pengurusan kes-kes kekeluargaan, dalam masa yang sama
ia perlulah terus memastikan prinsip keadilan dapat ditegakkan.20




19
   Lihat sebagai contoh, Aturan 7 dan 8 Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.
20
   Raihanah Azhari, Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-kes Pertikaian Keluarga di Dunia
Islam, m/s: 189.
                                                                                  11


Bibliografi:
   1.     Ahmad Daud, 2011. Sulh dan Pelaksanaannya, Nota Undang-undang
          Prosedur Mal Islam.
   2.     Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus, Brosur Unit Sulh
          Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.
   3.     Khairol Azri bin Saari, 2009. Prosedur Perlaksanaan Sulh di Mahkamah
          Syariah. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.
   4.     Khairol Azri bin Saari, 2010. Unit Sulh. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.
   5.     Noraini binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan, Perlaksanaan Sulh dan
          Keberkesanannya Di Mahkamah Syariah Selangor.
   6.     Raihanah Azhari. 2004. Perkembangan dan Pelaksanaan Sulh dalam Kes-
          kes Pertikaian Keluarga di Dunia Islam: Sorotan Terhadap Perkembangan
          Terkini Pelaksanaannya di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia.
          IsoIT.
   7.     Sisters   in   Islam,    Proses    Sulh-Bolehkah     Ditemani    Peguam,
          www.sisterisinislam.org.my


Senarai Statut:
   1. Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998
   2. Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991
   3. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
   4. Kaedah-kaedah Prosedur Mal (Sulh) (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1996
   5. Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001
   6. Ordinan Acara Mal Syariah (Sarawak) 1991

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Tags:
Stats:
views:2678
posted:2/13/2011
language:Indonesian
pages:11