; SOALAN NO 10
Documents
Resources
Learning Center
Upload
Plans & pricing Sign in
Sign Out
Your Federal Quarterly Tax Payments are due April 15th Get Help Now >>

SOALAN NO 10

VIEWS: 313 PAGES: 5

  • pg 1
									SOALAN NO 10: SKEMA JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH 2
STPM SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH 2010



  Huraikan faktor-faktor yang mencetuskan Revolusi China pada tahun 1911
  dan Revolusi Siam pada tahun 1932.


  Pengenalan ( 3/2 m )
  Revolusi China yang berlaku pada tahun 1911 dan Revolusi Siam pada tahun
  1932 tidak bertujuan untuk mengusir penjajahan Barat; sebaliknya merupakan
  peristiwa penentangan yang berpunca daripada rasa tidak puas hati rakyat
  terhadap pemerintah di negara masing-masing. Kedua-dua revolusi ini telah
  digerakkan oleh golongan intelektual yang merasakan pembaharan perlu
  dilakukan untuk membangunkan negara dan ianya mendapat sokongan luas
  daripada golongan massa. Revolusi China dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen dan
  Kang Yu Wei sementara Revolusi Siam diketuai oleh Pridi Panomyong.

  Isi (20 m)

  A. Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi China 1911 (10m)

  i. Kelemahan pemerintahan Manchu

  a. Revolusi ini bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti Manchu
  yang dianggap oleh rakyat sebagai lemah dan telah kehilangan mandat dari
  tuhan untuk terus memerintah China. Kelemahan kerajaan Manchu bermula
  dengan kekalahan China kepada Inggeris dalam Perang China-Inggeris Pertama
  (Perang Candu 1) pada tahun 1839-1842, dan kalah sekali lagi dalam Perang
  Inggeris-China Kedua (Perang Candu 2) pada tahun 1856.

  b. Kekalahan China dalam kedua-dua peperangan itu yang diikuti dengan
  termeterainya perjanjian-perjanjian berat sebelah menyebabkan pintu negara
  China dibuka secara paksa oleh kuasa-kuasa Barat, keadaan huru hara,
  masalah rasuah dan inflasi yang meruncing. Keadaan ini menyebabkan
  tercetusnya beberapa gerakan penentangan seperti Pemberontakan Taiping
  (1850-1864), Pemberontakan Panthay (1885), Pemberontakan Nien (1853-
  1868), serta munculnya gerakan kongsi-kongsi gelap seperti White Lotus Society
  (Kumpulan Teratai Putih) dan Tried Society (Kumpulan Bertiga Syurga).
  Kedaaan ini telah menelan perbelanjaan yang banyak sehingga menyebabkan
  masalah kewangan. Tambahan pula, Putera Kung yang dilantik sebagai
  pemangku raja selepas kemangkatan Maharaja Kuang-Hsu pada tahun 1908
  merupakan seorang raja yang tidak berwibawa dan gagal menstabilkan keadaan
  politik dan ekonomi China.
ii. Kesengsaraan hidup rakyat

a. Majoriti rakyat China adalah petani yang mendiami wilayah-wilayah di selatan
China terutamanya Kwangsi dan Kwantung. Bilangan penduduk China telah
meningkat dengan pesat kepada lebih 400 juta orang menjelang awal abad ke-
20. Ini menimbulkan masalah kekurangan tanah pertanian dan meningkatnya
pengangguran. Kehidupan petani tambah menderita akibat bencana alam
terutamanya banjir dan kemarau seperti yang berlaku di Ahnwei, Chiking dan
Shantung yang mengurangkan hasil pertanian. Kerajaan Manchu juga banyak
berhutang dengan negara barat seperti Rusia dan Peranchis bagi membayar
gantirugi perang. Bagi meningkatkan pendapatan kerajaan, kadar cukai telah
ditingkatkan dan ini menambahkan lagi beban rakyat. Keadaan ini meningkatkan
kemarahan rakyat kepada kerajaan Manchu. Rakyat menyalahkan kerajaan
Manchu yang dianggap ‘penyebab’ kesengsaraan hidup rakyat.


iii. Pencerobohan kuasa Barat

a. Kemasukan orang Barat ke China telah memberi kesan negatif kepada aspek
perdagangan dan keagamaan. Masyarakat China merasakan untuk menjadi
maju mereka perlu menerima idea-idea daripada Barat dan disesuaikan di China.
Malangnya idea ini tidak disenangi oleh pemerintah Manchu lalu melaksanakan
dasar tutup pintu. Pada waktu yang sama, Jepun telah membenarkan Dr. Sun
Yat Sen menubuhkan Tung Meng Hui semasa di Jepun dan memberikan
penerangan serta mendorong orang Cina di seberang laut untuk menyokong
gerakan revolusioner.

iv. Penguasaan ekonomi oleh kuasa asing

a. Termeterainya beberapa siri perjanjian seperti Perjanjian Nanking (1842),
Perjanjian Bogue (1844) dan Perjanjian Tientsin (1858) di antara China dan
Inggeris selepas kekalahan China dalam Perang Candu pertama dan kedua
telah membuka ruang kepada kuasa-kuasa Barat menceroboh wilayah dan
menguasai ekonomi China. Akibatnya kuasa Barat seperti British, Peranchis,
Rusia dan Amerika Syarikat telah menguasai pelabuhan-pelabuhan utama di
China dan bandar utama Peking. Menerusi perjanjian ini juga, China kehilangan
punca kewangannya kerana terpaksa membayar pampasan perang kepada
kuasa Barat dan Timur. Contohnya Perjanjian Shimonoseki yang ditandatangani
bagi menamatkan Perang Jepun-China (1894-1895) memaksa China membayar
gantirugi sebanyak 450 juta tael kepada Jepun.

v. Peranan golongan intelektual

a. Golongan terpelajar seperti Dr. Sun Yat Sen telah memainkan peranan
penting dalam mempengaruhi masyarakat dan meniupkan semangat
nasionalisme mengenai kelemahan pemerintahan Manchu. Usaha ini telah
menyumbang secara langsung kepada meletusnya Revolusi China 1911.

vi. Kemudahan sistem perhubungan

a. Kemudahan sistem perhubungan yang terdapat di China seperti rangkaian
jalan keretapi, jalanraya, perkhidmatan pos, telegraf dan media cetak telah
mempercepatkan lagi penyebaran sentimen anti-Manchu. Dr. Sun Yat Sen
sendiri misalnya pernah menerbitkan akhbar Min Pao atau The People untuk
menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dan revolusi.

vii. Isu pembinaan jalan keretapi

a. Tindakan kerajaan Peking meminjam wang dari Britain, Jerman, Amerika
Syarikat dan Peranchis untuk membina jalan keretapi yang menghubungkan
Hankow-Szechwan diprotes oleh pemerintah wilayah Kwantung, Hunan, Hupen
dan Szechwan. Mereka bimbang dan marah kerana terpaksa menanggung
beban hutang tersebut Pinjaman itu juga dilihat sebagai bertambahnya dominasi
kuasa-kuasa Barat ke atas China. Akibatnya tercetus beberapa rusuhan di
wilayah-wilayah terbabit yang menyebabkan sentimen anti-Manchu semakin
memuncak.



B. Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi Siam 1932 (10m)

i. Kelemahan pemerintahan Raja Vajiravudh (Rama VI 1910-1925)

a. Zaman pemerintahan Vajiravudh (Rama VI 1910-1925) menyaksikan pelbagai
kelemahan dan masalah pentadbiran. Usaha Vajiravudh cuba memperkukuhkan
semula sistem raja berkuasa mutlak dan institusi diraja dilihat sebagai satu
langkah anakronis berbanding pemerintahan Mongkut dan Chulalongkorn
sebelumnya. Akibatnya tercetus percubaan rampasan kuasa untuk
menggulingkan baginda dalam Pemberontakan R.S. 130 tetapi gagal.

b. Vajiravudh juga bersikap pilih kasih apabila baginda menubuhkan Kong Sua
Pa (Pasukan Harimau Liar / Wild Tiger Corps) yang membangkitkan kemarahan
angkatan tentera sedia ada. Sepanjang tempoh pemerintahannya, Vajiravudh
banyak menerima kecaman terhadap pendekatan politik dan peribadinya. Rasa
tidak puas hati di kalangan pegawai dan rakyat timbul kerana tidak menyukai
cara baginda menggantikan pegawai-pegawai berkebolehan dan setia dengan
pegawai-pegawai berpangkat rendah dan kurang berpengalaman.

c. Vajiravudh juga kurang mengambil berat tentang tugas dan tanggungjawabnya
sebagai Perdana Menteri kabinetnya, sebaliknya lebih suka meluangkan masa
dengan kegiatan sastera, seni dan drama. Dasar kewangan dan ekonomi yang
dilaksanakan oleh Vajiravudh juga mengakibatkan keadaan ekonomi yang
hampir muflis. Sir Edward Cook Penasihat Kewangan Siam melaporkan bahawa
ketidakcekapan Vajiravudh dalam urusan kewangan dan sikap borosnya dalam
membiayai aktiviti-aktiviti kesenian dan sastera merupakan punca utama
kemerosotan ekonomi Siam pada tahun 1925.

ii. Kelemahan pemerintahan Raja Prajadhipok (Rama VII 1925-1935)

a. Pada masa pemerintahan baginda, masalah ekonomi dan kewangan Siam
kian meruncing antara tahun 1913-1925 dalam mana perbelanjaan negara
meningkat sehingga 50% berbanding pendapatan hanya sekitar 25%. Dasar
retrenchment (berjimat cermat) yang dilaksanakan Prajadhipok dengan
memotong gaji pegawai dan mengurangkan jumlah kakitangan serta
mengenakan cukai baru untuk memulihkan ekonomi Siam ternyata kurang
disenangi oleh pegawai kerajaan dan rakyat amnya.

b. Tindakan Prajadhipok membubarkan Pasukan Harimau Liar yang telah
ditubuhkan oleh Vajiravudh telah menimbulkan kemarahan di kalangan anggota
tentera berkenaan yang kehilangan pekerjaan. Rasa tidak puas hati golongan
tentera terbukti apabila mereka melancarkan percubaan menggulingkan
Prajadhipok pada tahun 1912 dan 1917 tetapi gagal.

iii. Dasar pilih kasih Prajadhipok

a. Baginda juga dituduh bersikap diskriminasi dengan melantik golongan kerabat
diraja menjawat jawatan-jawatan tinggi kerajaan sehingga mengabaikan rakyat
yang berpendidikan. Baginda cenderung mempercayai golongan diraja sahaja
dalam membantu pemerintahan negara melalui penubuhan kementerian.
Misalnya pada tahun 1925, baginda telah menubuhkan Majlis Penasihat yang
dianggotai oleh putera-putera diraja. Ini telah membangkitkan semangat
penentangan terhadap institusi diraja.

iv. Peranan golongan berpendidikan Barat

a. Idea pembaharuan politik, ekonomi dan sosial Siam dicetuskan oleh Profesor
Nai Pridi Panomyong yang mendapat sokongan golongan berpendidikan Barat
seperti Mejar Phibul Songkram iaitu Ketua Turus Angkatan Tentara Siam.
Mereka terpengaruh dengan idea demokrasi Barat dan anti kuasa mutlak raja
serta sistem monarki yang dianggap telah ketinggalan zaman dan menghalang
kemajuan. Golongan ini juga merasakan hak mereka untuk menjawat jawatan
yang setaraf dengan kelulusan mereka telah dinafikan kerana kebanyakan
jawatan penting didominasi oleh golongan aristokrat.


v. Perselisihan antara golongan pemerintah / istana
a. Imej golongan diraja / istana di mata rakyat mula terjejas pada tahun 1931
akibat perselisihan di antara Putera Bovaradej (Menteri Pertahanan) dengan
Putera Purachatra (Menteri Perdagangan). Perselisihan berkisar mengenai
langkah penyelesaian masalah ekonomi Siam. Bovaradej mencadangkan
kenaikan gaji untuk golongan tentera tetapi ditolak oleh Prajadhipok.

vi. Peranan Parti Rakyat

a. Pemimpin Parti Rakyat seperti Pridi Panomyong, Pya Bahul dan Phibul
Songkram telah melancarkan satu cop de’tat (rampasan kuasa tanpa
pertumpahan darah) pada 26 Jun 1932 ketika Prajadhipok berada di luar negara.
Sekembalinya baginda dua hari selepas pemberontakan, baginda telah bersetuju
untuk menerima perlembagaan yang diusulkan oleh Parti Rakyat. Peristiwa ini
menandakan berakhirnya sistem pemerintahan monarki atau raja berkuasa
mutlak di Siam.


Kesimpulan ( 2/3 m )

Revolusi China dan Revolusi Siam merupakan dua peristiwa revolusi yang
tercetus akibat daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap sistem
pemerintahan beraja yang dianggap mengongkong pembaharuan dan
pembangunan politik, ekonomi dan sosial di negara masing-masing. Bezanya di
China, revolusi ditujukan kepada menggulingkan pemerintahan Dinasti Manchu
yang merupakan sebuah kerajaan asing yang berasal dari Manchuria; manakala
di Siam, golongan revolusioner bertujuan menamatkan absolutisme
pemerintahan beraja

								
To top