Docstoc

Penerimaan Islam Terhadap Agama Yahudi dan Kristian

Document Sample
Penerimaan Islam Terhadap Agama Yahudi dan Kristian Powered By Docstoc
					       Penerimaan Islam terhadap agama
             Yahudi dan Kristian
                      H A R U N            Y A H Y A

Kita sedang hidup di satu zaman di mana dunia amat dahagakan keamanan,
persahabatan, dan perpaduan. Ketegangan dan konflik yang mencorak abad ke-20
kini terus menyeliputi alaf baru, dan jiwa yang tidak berdosa di seluruh dunia terus
merana kerananya.

Biarpun keperluan untuk perpaduan dan kerjasama amat mendesak, beberapa
gerombolan membangkitkan konflik, terutamanya di antara dua tamadun dunia yang
hebat dan teguh. Isu ini perlu diteliti kerana peperangan tamadun yang mereka
rancangkan ini akan mengakibatkan malapetaka yang dahsyat. Satu daripada cara
terbaik untuk menghalang bencana tersebut adalah dengan menguatkan
persefahaman dan kerjasama di antara kedua-duanya. Ini bukanlah satu tugas yang
sukar kerana tiada perbezaan di antara Islam dan Yahudi-Kristian dunia barat.
Sebaliknya, terdapat banyak persamaan dasar di antara mereka. Dengan meneliti
situasi semasa dan kerencaman masalah dunia, nilai-nilai yang sama ini akan
membolehkan persefahaman yang diidam tercapai.

Hari ini, perjuangan ideologi terus memecah-belahkan dunia. Namun, pihak Muslim
bukan di satu pihak dan Yahudi dan Kristian juga tidak berada di pihak yang
bertentangan. Hakikatnya, satu pihak mewakili golongan yang mempercayai
kewujudan dan keesaan Allah, manakala satu pihak lagi mewakili golongan yang
tidak percaya, yang yakin kepada pemikiran anti-agama sebagaimana materialisme
dan Darwinisme. Hanya terdapat satu cara untuk menumpaskan pakatan kumpulan
anti-agama pada satu tahap pemikiran: musnahkan pengaruh-pengaruh
materialisme anti-agama yang negatif dan merosakkan serta sebarkan pemangkin
masyarakat yang didominasi oleh moral, kegembiraan, ketenangan, keselamatan,
dan kemakmuran. Ini dapat dilakukan dengan membentuk satu pakatan dari orang-
orang yang saksama, yakni, penganut Kristian yang taat, bersama dengan Yahudi
dan Muslim yang beriman, yang akan bergerak seiringan dan bersepakat ke arah
satu tujuan yang sama.

Beberapa pertikaian dan perselisihan telah berlaku di antara ketiga-tiga agama ini
pada masa lalu, namun itu adalah kesan daripada pemikiran salah dan motif durjana
beberapa negara, bangsa, dan individu yang mementingkan keuntungan ekonomi
dan politik masing-masing tanpa menghiraukan pokok ajaran agama Yahudi,
Kristian, dan Islam. Satu daripada tujuan agama samawi ini adalah untuk membawa
kegembiraan, keselamatan, keamanan, dan ketenangan kepada semua manusia
dengan cara mengelakkan konflik.

Justeru, persefahaman dan pakatan ini akan bertunjangkan pencarian golongan
yang taat terhadap keadilan, keamanan dan sokongan untuk semua bangsa
manusia. Hasilnya tidak hanya terhad kepada musyawarah dan muktamar semata-
mata, namun akan memperkukuh satu pakatan di antara golongan yang
memperjuangkan nilai dan tujuan yang sama, serta mencari penyelesaian terbaik
untuk masalah-masalah umumnya.

Golongan Muslim, Kristian, dan Yahudi mempunyai persamaan prinsip dari segi
keimanan, penyembahan, dan nilai-nilai moral serta menghadapi ancaman-ancaman
yang serupa. Justeru, Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) diseru untuk bersatu dengan
golongan Muslim sebagai anggota agama dalam menghadapi tipu daya ateisme,
gerakan anti-agama, serta keruntuhan moral dan sosial. Semua Yahudi, Kristian, dan
Muslim yang taat, saksama, bertoleransi, membantu, bersifat mendamaikan, waras,
bertakwa, aman, dan adil dalam menyedari bahawa kita mempercayai Tuhan yang
sama serta bersungguh-sungguh untuk menghidup dan menyebarluaskan jangkauan
nilai moral yang baik, perlu menyebarkan kebaikan ini ke seluruh dunia.

Kami umat Islam mencintai nabi Musa (a.s) dan nabi Isa (a.s), mengetahui bahawa
mereka disayang dan dikasihi di hadirat Tuhan, dan beriman kepada semua nabi-
Nya. Tambahan pula, kami menghormati kepercayaan, nilai moral, dan tradisi
bangsa Yahudi dan Kristian, memandangkan Allah menghendaki kami mengajak Ahli
Kitab supaya “bersatu kepada satu ketetapan”:

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat
(ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita
sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan
tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain
Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah,
bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).”
(Surah Al-‘Imran, ayat 64)

Umat Islam merupakan golongan yang beriman kepada Al-Quran yang diwahyukan
kepada nabi Muhammad (s.a.w) dan juga kitab-kitab sebelumnya: Kitab nabi Ibrahim
(a.s), Taurat nabi Musa (a.s), Zabur nabi Daud (a.s), serta Injil nabi Isa (a.s). Namun
seiring dengan peredaran waktu, kitab-kitab ini telah ditahrif sehingga mengandungi
isi yang benar (misalannya: keimanan kepada Tuhan, kebaikan, hari pembalasan,
dan penolakan terhadap berhala), dan kandungan yang diubah. Antara ayat yang
membenarkannya adalah seperti berikut:

Dia menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya;
membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat
dan Injil.
(Surah Al-‘Imran, ayat 3)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada)
petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan
perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah,
oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan
mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi
terhadapnya.
(Surah Al-Maa-idah, ayat 44)

Allah menyatakan bahawa Ahli Kitab juga merupakan golongan yang beriman seperti
dalam ayat berikut:
Mereka itu tidak sama; di antara Ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku
lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari,
sedang mereka juga bersujud (sembahyang). Mereka beriman kepada Allah
dan hari penghabisanmereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah
dari yang munkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan;
mereka itu termasuk orang-orang yang saleh. Dan apa saja kebajikan yang
mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalangi (menerima
pahala)nya; dan Allah Maha Mengetahui orang-orang yang bertakwa.
(Surah Al-‘Imran, ayat 113-115)

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab ada orang yang beriman kepada Allah
dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan yang diturunkan kepada
mereka sedang mereka berendah hati kepada Allah dan mereka tidak
menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit. Mereka memperoleh
pahala di sisi Tuhan-nya. Sesungguhnya Allah amat cepat perhitungan-Nya.
(Surah Al-‘Imran, ayat 199)

Justeru, sikap seseorang Muslim terhadap Ahli Kitab mencerminkan kemungkinan
wujudnya penganut sejati di kalangan mereka. Hanya Tuhan yang mengetahui hati
manusia, dan Dia memberitahu bahawa beberapa golongan Yahudi dan Kristian
telah mendapat rahmat-Nya.

Tuhan mendedahkan bahawa Dia telah mencipta satu jalan dan cara untuk semua
bangsa. Sepanjang sejarah, Dia telah mengutus nabi dan rasul kepada manusia
untuk mengajar hukum, suruhan, dan larangan-Nya. Paling penting, semua utusan-
Nya telah mengajak umat masing-masing untuk beriman dan menyembah kepada-
Nya serta mematuhi batasan yang telah ditetapkan-Nya untuk kemanusiaan. Dengan
erti kata lain, semua agama wahyu yang asal adalah berlandaskan prinsip yang tidak
menyekutukan-Nya dan hidup demi mendapat keberkatan, kasih sayang, dan Syurga
dari-Nya. Semua bangsa diharap untuk mengikut jalan Tuhan tanpa lalai dan
melakukan kebaikan demi mendapat ganjaran dari-Nya:

Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki,
niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji
kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat
kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu
diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.
(Surah Al-Maa-idah, ayat 48)

				
DOCUMENT INFO
Stats:
views:37
posted:10/15/2010
language:Malay
pages:3
Description: Biarpun keperluan untuk perpaduan dan kerjasama amat mendesak, beberapa gerombolan membangkitkan konflik, terutamanya di antara dua tamadun dunia yang hebat dan teguh. Isu ini perlu diteliti kerana peperangan tamadun yang mereka rancangkan ini akan mengakibatkan malapetaka yang dahsyat.