Docstoc

tokoh

Document Sample
tokoh Powered By Docstoc
					Haji Abdul Rahman Limbong merupakan seorang ulama memiliki peribadi yang
sangat menarik dan warak. Beliau juga seorang ulama pejuang menentang
penjajah di Terengganu yang sangat disegani. Nama sebenarnya ialah Haji Abdul
Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir. Sumber sejarah menerangkan
bahawa ayahanda beliau berasal dari keturunan Patani. Tarikh kelahiran Haji
Abdul Rahman Limbong sebenarnya tidak dapat dipastikan. Tapi dari sekian
banyak maklumat dan rujukan dapat dipastikan beliau dilahirkan sekitar tahun
1285H/1868M.

Semasa kecilnya, seperti kanak-kanak lain, beliau dihantar oleh ayahandanya
untuk mendalami pengajian agama Dan sememangnya di zamannya,
perkembangan Islam cukup pesat. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika beliau
sejak kecil lagi sudah menerima pendidikan agama. Ada sumber-sumber yang
menjelaskan bahawa sejak kecil lagi beliau menghabiskan masa bersama-sama
bapa saudara beliau iaitu Haji Tun Muhammad Zain di Makkah. Setelah dewasa,
beliau dibawa semula kembali ke Terengganu. Kepesatan perkembangan pondok-
pondok pengajian yang begitu banyak di zaman itu mendorong beliau untuk
mendalami lagi pengajian agama. Di antara pondok-pondok yang terdapat di
jajahan Terengganu, pondok Tokku Palohlah yang terkenal serta menjadi tumpuan
para pelajar. Timbullah keinganan beliau untuk mengaji di pondok Tokku Paloh.
Sebelum itu, sebagai persiapan ke pondok Tokku Paloh, beliau terlebih dahulu
berguru kepada Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga dalam pelajaran nahu saraf
dan feqah. Dan beliau dikatakan hanya mengambil masa selama kira-kira dua
bulan sahaja untuk menguasai pelajaran tersebut.

Dikatakan juga bahawa Haji Abdul Rahman Limbong sebagai seorang murid yang
agak luar biasa kecerdasan akalnya. Sehingga dengan itu beliau mampu untuk
mengajar murid-murid Haji Yaakob Paya Bunga yang lain. Dan sememangnya
sejak kecil lagi telah terlihat pada diri beliau tanda-tanda yang beliau akan
menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah.

Setelah tamat mengaji kepada Haji Yaakob Paya Bunga, beliau mengaji pula
kepada Haji Wan Musa. Dengan ilmu yang telah diperolehi dari Haji Yaakob Paya
Bunga dan Haji Wan Musa, barulah beliau mula untuk merapatkan diri dengan
pondok pengajian Tokku Paloh. Untuk pergi ke pondok pengajian Tokku Paloh dari
tempat kediaman beliau, terpaksalah beliau berulang alik menaiki perahu.
Semuanya ini dilakukan dengan penuh kesabaran dan ketabahan demi mendalami
lagi pengetahuan agama. Hal yang semacam inilah yang dilalui oleh para ulama di
zaman beliau sebelum mereka terkenal sebagai seorang ulama terkemuka.

Pada peringkat awal pengajian beliau dengan Tokku Paloh, beliau hanya menjadi
khadam kepada Tokku Paloh. Beliau bertugas sebagai menyapu halaman rumah,
membersihkan surau, menyediakan kayu api, mengisi air di kolah surau dan
sebagainya. Dan sememangnya cara sedemikian dilalui oleh kebanyakan para
ulama sufi demi peningkatan rohani. Melalui pendidikan seperti inilah akhirnya
mereka menjadi tokoh-tokoh terkemuka di zaman mereka. Dan ini juga merupakan
salah satu proses pendidikan tasauf demi untuk melahirkan manusia yang benar-
benar bertaqwa.

Lama kelamaan, kelakuan beliau akhirnya diketahui oleh Tokku Paloh. Timbul
rasa kasih Tokku Paloh terhadap beliau kerana kesungguhannya untuk belajar.
Dan akhirnya beliau diterima menjadi murid kepada Tokku Paloh dan belajar
bersama-sama pelajar-pelajar lain.

Haji Abdul Rahman Limbong mempunyai kecekapan yang agak luar biasa. Dalam
masa yang singkat sahaja beliau dapat telah menguasai segala pelajaran yang
diajarkan. Di samping itu beliau terkenal sebagai seorang yang sangat
menghormati guru. Segala suruhan serta arahan guru-gurunya, dilaksanakan
serta dipatuhi dengan segera. Apabila berhadapan dengan tuan gurunya, Tokku
Paloh, beliau tidak pernah untuk mengangkat muka, betapalah pula untuk
bertentangan mata. Kerana semuanya ini merupakan adab-adab dalam berguru
sebagaimana yang telah diterangkan dengan panjang lebar oleh Imam al-Ghazali
di dalam Ihya Ulumuddin.

Oleh kerana beliau boleh dikatakan di antara murid Tokku Paloh yang terpintar
serta baik akhlaknya, maka tidak hairanlah mengapa Tokku Paloh begitu sayang
dan kasih terhadap beliau. Tokku Paloh semacam mengharapkan Haji Abdul
Rahman Limbong sebagai pengganti beliau selepas beliau meninggal dunia. Dan
akhirnya ternyata bahawa Haji Abdul Rahman Limbong mewarisi kepimpinan
serta perjuangan yang dilaksanakan oleh Tokku Paloh.

Oleh kerana beliau menjadi khadam kepada Tokku Paloh, membuat kerja yang
berbagai-bagai, maka kuranglah masa beliau untuk dapat menghadiri majlis
pengajian ilmu. Oleh kerana itu beliau hanya mendengar pengajian di tepi kolah
sambil menatap kitab yang digunakan oleh Tokku Paloh. Hal ini dilakukan tanpa
disedari oleh sesiapa pun. Dan apabila selesai sahaja pengajian, beliau
menyembunyikan kitabnya di celah-celah atau surau. Ini menunjukkan yang yang
beliau tidak mahu diketahui turut sama-sama belajar dengan murid-murid Tokku
Paloh yang lain.

Oleh kerana Tokku Paloh memimpin tarekat Naqsyabandiyah, maka dengan tidak
secara langsung Haji Abdul Rahman Limbong juga turut mengamalkan tarekat
tersebut. Tarekat Naqsyabandiyah boleh juga dikatakan sebagai satu tarekat yang
cukup terkenal serta banyak diamalkan dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Di
gugusan Kepulauan Melayu, tarekat Naqsyabandiyah boleh dikatakan memenuhi
pondok-pondok pengajian di masa itu. Dan oleh kerana itu, peranan tarekat ini
cukup besar sekali dalam pembentukan masyarakat Islam di sebelah sini.

Hasil dari pengajian tasauf serta amalan tarekat Naqsyabandiyah, lahirlah pada
diri beliau sifat-sifat yang terpuji seperti zuhud, merendah diri, berakhlak tinggi
dan sebagainya. Di antara sikap beliau ialah tidak suka menonjolkan diri
walaupun beliau boleh dikatakan sebagai murid yang terpintar di antara murid-
murid yang lain. Oleh kerana itu kita dapat difahamkan bahawa beliau lebih suka
mengasingkan diri dari murid-murid Tokku Paloh yang lain. Beliau juga dikatakan
mengulangkaji segala pelajaran secara bersendirian. Keadaan seumpama ini
adalah melambangkan keperibadian seorang yang layak menjadi tokoh di tengah
masyarakat. Sebab itu tidak hairan mengapa orang yang seumpama ini tetap
menjadi ikutan serta tumpuan orang ramai.

Sifat Peribadi Yang Menarik

Sebenarnya, sejak kecil lagi telah terlihat sifat serta peribadi beliau yang terkenal
warak, bersopan-santun, merendah diri, tenang hati dan sebagainya. Ini semuanya
hasil didikan Tokku Paloh yang bertindak sebagai guru beliau. Demikianlah beliau
menjalani alam pendidikan pondok sehingga akhirnya menjadi seorang ulama
serta pemimpin yang berjuang ke tengah masyarakat. Kealiman beliau dalam
bidang agama serta kesungguhan beliau mengamalkan tarekat Naqsyabandiyah,
sehingga menyebabkan beliau mempunyai keperibadian yang cukup baik.

Haji Abdul Rahman Limbong memanglah diakui sebagai seorang yang sangat
mengasihi kanak-kanak serta memuliakan orang-orang miskin serta anak-anak
yatim. Lebih dari itu, beliau sanggup merendahkan diri dengan mencuci air
kencing kanak-kanak yang sering datang ke surau beliau. Inilah satu sikap yang
perlu ada kepada seorang pemimpin, iaitu perlu menunjukkan contoh serta teladan
kepada mereka yang berada di bawah pimpinan mereka. Keadaan seumpama ini
bukan menurunkan darjat mereka, bahkan akan menyebakan bertambahnya
kepercayaan orang ramai terhadap mereka.

Di antara sikap Haji Abdul Rahman Limbong ialah suka sekali menolong orang
yang sedang berada dalam kesusahan. Di samping itu beliau juga terkenal kuat
beribadah kepada Allah SWT. Sementara pada siang harinya digunakan untuk
mengajar murid-murid yang datang kepada beliau. Atas dasar inilah maka
sebahagian orang menganggap beliau sebagai salah seorang Wali Allah serta
mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat. Kebaikan serta
kesolehan beliau terkenal oleh seluruh rakyat Terengganu.

Oleh kerana kebaikan serta kesolehan beliau terkenal di seluruh Terengganu,
ramailah orang yang datang ke rumah beliau untuk berziarah serta meminta
nasihat atau minta untuk diselesaikan masalah yang timbul. Segala masalah yang
didatangkan kepada beliau tidaklah pernah beliau hampakan, malah sedaya upaya
beliau cuba menyelesaikannya. Ini dengan sendirinya menambahkan lagi
kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap beliau.

Suatu hal yang istimewa mengenai peribadi beliau ialah sikap warak beliau. Beliau
amat menghalusi tiap-tiap perkara yang haram dan subahat, terutama dalam soal
makan dan minum. Ini mungkin beliau berpegang kepada hadis Rasulullah s.a.w.
yang di antara lain menyebut bahawa hati manusia itu ditempah oleh makan dan
minum. Apabila makanan dan minuman itu mengandungi perkara subahat, sudah
tentu ianya akan dengan sendirinya merubah sikap serta peribadi seseorang. Dan
atas dasar inilah maka beliau amat menjaga makan dan minum beliau serta hal-
hal yang lainnya.

Mereka yang mengenali serta pernah bersama-sama beliau menyebutkan bahawa
beliau tidak pernah singgah atau makan dan minum di kedai. Kerana lazimnya
makan dan minum di kedai dengan sendirinya menjatuhkan kewibawaan
seseorang pemimpin masyarakat. Umumnya diketahui bahawa di kedai-kedai
selalu belaku perkara-perkara yang mungkar. Oleh kerana itu tidak hairanlah
mengapa beliau tidak mahu singgah apatah lagi makan minum di kedai.

Seorang ulama serta pejuang di tengah masyarakat, sudah tentu merupakan orang
yang sanggup mengorbankan kepentingannya demi perjuangan yang didukungnya.
Lebih dari itu kebendaan bukanlah menjadi tujuan serta harapan dalam
perjuangan. Apa yang menjadi harapan bagi mereka ialah untuk semata-mata
membangunkan syariat Allah bertapak kukuh di atas muka bumi. Oleh kerana itu
tidaklah hairan mengapa Haji Abdul Rahman Limbong tidak pernah sekali-kali
meletakkan kebendaan sebagai suatu perkara yang penting.

Ini dapat diteliti berdasarkan kepada kehidupan rumahtangga beliau yang
memang agak sederhana sekali. Tidak terdapat apa-apa perhiasan yang berharga
di dalam rumah beliau kecuali barang-barang yang dianggap perlu dalam
kehidupan. Seorang ahli tarekat apatah lagi seorang syeikh tarekat, sudah tentu
tidak mahu keadaan rumahnya itu bersarang dengan bentuk-bentuk keduniaan.
Kerana kehidupan yang agak mewah dengan sendirinya akanmenyebabkan
penghuninya lalai serta berat dalam mengerjakan amal ibadah. Ini dapat
diperhatikan jika kita mengikuti pengajian-pengajian tasauf yang amat
menitikberatkan persoalan ini. Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. sendiri pun
berulangkali menerangkan bahawa kehidupan dunia ini serta segala macam
perhiasan dunia ini merupakan penipuan kepada manusia yang hidup di atas
muka bumi.

Haji Abdul Rahman Limbong memang sentiasa mengenakan pakaian yang
melambangkan ciri-ciri keIslaman. Oleh kerana itu beliau sentiasa memakai baju
Melayu atau jubah putih serta memakai serban. Ke mana-mana pun beliau
sentiasa memakai terompah yang diperbuat sendiri atau pun dibeli dari orang lain.
Kewarakkan beliau nampak jelas dengan sikap beliau yang tidak suka sama sekali
memakai kasut yang diperbuat di kedai apatah lagi yang diperbuat oleh orang
kafir. Lebih hebat lagi, apabila beliau berjalan melalui perkampungan orang-orang
kafir, beliau akan menyamak kaki beliau.
Sebagai seorang ulama yang warak lagi taat kepada Allah SWT dan di samping
sebagai seorang masyaikh tarekat Naqsyabandiyah, beliau amat kuat menjaga
syariat. Ketelitian beliau dalam menjaga syariat dapat dilihat berdasarkan kepada
kehidupan beliau sendiri. Tidak pernah sama sekali beliau bertentangan mata
dengan kaum wanita walaupun dengan murid-murid beliau sendiri. Beliau juga
akan menundukkan pandangan serta menyisihkan diri apabila bertembung dengan
kaum wanita.

Sebagaimana guru-guru serta ulama pondok yang lain, beliau juga mempunyai dua
khadam yang secara sukarela menolong beliau menyelesaikan tugas-tugas di
rumah. Kedua-dua mereka ialah Haji Hussin bin Muhammad dan Haji Ali Yaakob.
Mereka mendakwa bahawa mereka sama sekali tidak pernah melihat isteri Haji
Abdul Rahman Limbong. Mereka berdua hanya dibenarkan mengangkat air untu
kegunaan beliau setakat di hadapan pintu sahaja. Setelah mereka berdua pergi,
isteri beliau akan membawa air itu masuk ke dalam rumah.

Demikian keterangan bagaimana kuatnya beliau menjaga syariat. Isteri beliau
akan sentiasa mengenakan pakaian jilbab apabila keluar rumah bersama beliau
kerana sesuatu urusan. Di kampung beliau sendiri, diadakan sekatan tempat
permandian di antara kaum lelaki dan kaum wanita. Peraturan ini sengaja beliau
adakan bertujuan tidak berlaku fitnah apabila lelaki dan wanita bercampur-gaul.

Keramat dan Kewaliannya

Sebenarnya, bakat kepimpinan serta keistimewaan yang ada pada beliau itu sudah
pun kelihatan sejak beliau masih lagi berguru kepada Tokku Paloh. Beliau suka
beruzlah (mengasingkan diri) daripada murid-murid Tokku Paloh yang lain.
Seringkali beliau berulang-alik dari rumahnya ke pondok dengan bersendirian,
walaupun jarak di antara rumahnya dengan pondok pengajian Tokku Paloh agak
jauh. Keadaan beliau yang begini menimbulkan kehairanan di kalangan orang-
orang yang sering memerhatikan segala kelakuan beliau.

Diceritakan bahawa ada tiga orang lelaki telah mengintai kelakuan Haji Abdul
Rahman Limbong yang boleh menhilangkan diri dari pandangan manusia. Ketiga-
tiga lelaki tersebut memanjat pokok kelapa di tepi sungai tempat beliau
menyeberang sungai. Timbul kehairanan di hati mereka kerana di tepi sungai
tersebut tidak pun terdapat perahu, rakit atau sebagainya.

Haji Abdul Rahman Limbong kelihatan duduk berselimut di atas batu yang agak
besar di tepi sungai. Tiba-tiba sahaja beliau hilang dari pandangan dan sudah
berada di tebing seberang sungai tersebut. Ini adalah beberapa keramat yang Allah
SWT izinkan terjadi kepada beliau.

Mengikut cerita yang lain pula, Haji Abdul Rahman Limbong juga dipercayai tidak
basah apabila ditimpa hujan walaupun cuma berterendak. Keadaan yang sama
dikatakan pernah dialami oleh seorang mudridnya yang berteduh di dalam jubah
beliau semasa mereka bersama di dalam perahu menghilir sungai, manakala orang
lain yang menjadi pengayuh basah ditimpa hujan.

Suka Mengembara

Selain mengajar, Haji Abdul Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka
mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk
mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja
penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan
Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang.
Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi,
Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid
Haji Abdul Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang,
tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan
Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdul Rahman Limbong menggunakan
perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan
murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa
mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh
dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Penjajahan & Campur Tangan Inggeris

Haji Abdul Rahman Limbong juga dikatakan sebagai seorang tuan guru yang sama
masyhurnya dengan Tokku Paloh di masa itu. Oleh kerana itu, tidaklah begitu
menghairankan jika Haji Abdul Rahman Limbong mendapat sambutan yang baik
dari orang ramai yang mengenali beliau. Syed Sagof merpakan murid kesayaangan
Haji Abdul Rahman Limbong. Bahkan lebih dari itu, beliau sentiasa
mengharapkan bahawa suatu masa kelak Syed Sagof akan menggantikan beliau
untuk meneruskan perjuangan yang beliau dukung selama ini.

Untuk itu, mereka merasakan perlu ada penentangan terhadap pihak penjajah
Inggeris yang mana tujuan utama mereka turut campur tangan dalam
pemerintahan ialah untuk menghancur serta meleburkan syariat Islam. Pihak
penjajah telah sedikit demi sedikit menanamkan perasaan bencikan agama kepada
golongan atasan serta rakyat sekeliannya. Ini dilakukan oleh mereka dengan
membawakan bentuk kehidupan mewah serta pendidikan yang secara terang-
terangan bertentangan dengan cara hidup beragama.

Para ulama serta tuan guru-tuan guru yang mempunyai jiwa cintakan agama telah
bangkit menyeru rakyat untuk melakukan penentangan terhadap pihak penjajah
Inggeris. Sungguh pun begitu, pada peringkat awal penentangan itu dilakukan
bukan dengan bentuk senjata. Tetapi akhirnya terpaksalah mereka bengkit
menentang menggunakan senjata setelah penentangan secara perlahan tidak
berjaya memadamkan pengaruh penjajah yang semakin hari semakin meningkat.

Sebenarnya, kemasukan pihak penjajah dalam pentadbiran negeri-negeri Tanah
Melayu bertujuan untuk menyerapkan unsur-unsur kehidupan dan kebudayaan
mereka ke dalam kehidupan orang-orang Melayu yang pada ketika itu kuat
berpegang dengan agama. Kita tidak hairan mengapa kehadiran mereka tidak
disukai oleh rakyat. Tambahan pula kehadiran mereka ke negeri-negeri sebelah
timur adalah sebagai lanjutan dari Peperangan Salib yang berlaku selama beberpa
abad.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi
Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh
rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di
mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya
hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah
Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki
adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor
bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama.
Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu
Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur
Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap
tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Setelah menggunakan berbagai tipu helah maka pihak Inggeris telah berjaya turut
campur tangan dalam pemerintahan kerajaan Terengganu yang pada asalnya
berasaskan perundangan Islam. Pihak penjajah sengaja mengenepikan
perundangan Islam, sebaliknya menampilkan undang-undang ciptaaan mereka
sendrri. Di samping itu mereka juga telah membawa unsur-unsur kehidupan serta
kebudayaan mereka yang akhirnya berjaya mengubah akhlak serta kehidupan
umat Islam sehingga ke hari ini.

Para ulama yang mempunyai jiwa cintakan agama memberi kesedaran kepada
umat agar kembali semula kepada ajaran Islam. Tetapi seruan mereka hanya
mendapat perhatian di kalangan rakyat berbanding dengan golongan atasan.
Sementara itu, peraturan-peratauran yang dikenakan oeleh pihak penjajah
Inggeris cuba mnekan kehidupan masyaraat yang kebanyakkannya terdiri dari
kaum tani yang miskin.
Lama kelamaan pihak penjajah mula meragui Haji Abdul Rahman Limbong serta
menganggap beliau sebagai merbahaya kerana dikatakan menghasut rakyat untuk
menentang kerajaan. Sungguhpun demikian, pihak Inggeris tidak berani
mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau. Ini mungkin disebabkan bahawa apa
yang beliau lakukan tidak menampakkan apa-apa kesalahan.

Di samping itu terdapat seorang tokoh ulama yang turut menyeru rakyat
menentang pihak penjajah. Beliau ialah Haji Musa bin Abdul Ghani Minangkabau.
Beliau telah menebut kepaa rakyat bahawa barangsiapa yang membayar pas
menebas pas menebas (cukai) dan hasil-hasil tanah akan termasuk golongan kafir.
Beliau juga berkata, ”Barangsiapa yang tidak mahu mengikut hukum syarak, Nabi
tidak mengaku umatnya.”

Penentangan 21 Mei 1928

Akhirnya berlakulah peristiwa penentangan rakyat Terengganu terhadap pihak
penjajah. Puncak kebangkitan rakyat menentang kerajaan ini ialah pada 21 Mei
1928. Kebangkitan 1928 melibatkan konflik berdarah, apabila perkumpulan dan
kemaraan petani telah ditentang oleh pihak kerajaan di Ulu Telemong.

Dalam perkara ini Haji Abdul Rahman Limbong disalahkan sebagai orang yang
bertanggungjawab menimbulkan pemberontakan dan penentangan ini. Oleh
kerana itu, pihak penjajah meneluarkan ancaman untuk menangkap beliau. Untuk
meredakan suasana yang berlaku, maka Haji Abdul Rahman Lombong menyerah
diri di Istana Maziah. Tidak ada seprang pun yang berani mendekati beliau semasa
berada di istna tersebut. Beliau menafikan tuduhan yang mengatakan bahawa
beliaulah yang menjadi punca berlkunya penetangan rakyat terhadap pihak
penjajah.

Atas tuduhan tersebut, Haji Abdul Rahman Limbong dihadapkan ke perbicaraan
mahkamah. Perbicaraan tersebut dibuat di padang dan disaksikan oleh pegawai
Inggeris serta orang ramai. Kebetulan pula kerusi yang beliau duduki itu
menghadap ke arah kiblat, maka beliau terus menerus bersolat sepanjang majlis
perbicaraan tersebut berjalan.

Akhirnya keputusan diambil oleh pihak Inggeris yang mana Haji Abdul Rahman
Limbong dibuang negeri ke Makkah. Sebelum itu terdapat pihak-pihak yang
mensyorkan supaya beliau dibuang negeri ke China. Tetapi akhirnya keputusan
diambil bahawa beliau dibuang negeri ke Makkah. Dan sememangnya haji Abdul
Rahman Limbong sendiri bercadang untuk menghabiskan sisa-sisa umurnya ke
Makkah.

Pembuangan Di Makkah & Wafatnya
Sungguhpun beliau telah dibuang ke Makkah, namun pengajaran dan perjuangan
yang beliau bangunkan masih tetap utuh. Beliau masih tetap mengajar walaupun
berada di Makkah. Ramai murid-murid beliau yang menyambung semula
pengajian kepada beliau di Makkah ataupun menemui beliau sewaktu menunaikan
ibadah haji.

Sewaktu beliau di Makkah, pernah beliau meminta kebenaran untuk pulang
sebentar ke Terengganu. Tetapi malangnya permintaan beliau ditolak dengan
alasan bahawa beliau nanti akan menimbulkan semangat kepada rakyat
Terengganu. Akhirnya, setelah sekian lama beliau berkhidmat mengajar berbagai
pengetahuan tentang agama di Makkah, maka beliau pun dijemput oleh Allah SWT
untuk mangadapNya. Beliau meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 1348 (1929)
kerana menghidap penyakit di dalam perut. Dengan itu berakhirlah perjuangan
seorang ulama yang berpengaruh serta pengajarannya cukup ketara di dalam
kehidupan masyarakat Islam Terengganu sehinggalah ke hari ini.

Demikianlah beliau yang dengan ketokohannya menjadi seorang ulama, dapat
menjadi contoh serta teladan kepada generasi para ulama selepas beliau. Dan tidak
sepatutnya para ulama hanya mendiamkan diri tanpa membuar sesuatu untuk
kepentingan agama. Sepatutnya hendaklah diketahui, bahawa perjuangan yang
dilaksanakan oleh Haji Abdul Rahman Limbong ialah untuk menegakkan kesucian
agama dari pengaruh-pengaruh Barat yang menjejaskan keimanan umat Islam di
waktu itu.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:233
posted:8/16/2010
language:Malay
pages:10