Bincangkan hukum adat yang diamalkan di Malaysia sebelum campur

Document Sample
Bincangkan hukum adat yang diamalkan di Malaysia sebelum campur Powered By Docstoc
					1.     Jelaskan perubahan peranan raja atau sultan sebelum dan semasa zaman
       penjajahan British di Tanah Melayu.

Pendahuluan. (3/2m)

        Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah
Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan peranan penting dalam bidang
politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu
menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan
dalam politik, ekonomi dan sosial. Walaupun kuasa sultan kian terhakis pada zaman
penjajahan British namun sultan tetap menjadi unsur penting dalam sistem pemerintahan
di Tanah Melayu.

Isi – (20m)

A.     Peranan sultan sebelum penjajahan British (10m)

i.      Politik

a.       Sultan sebagai ketua kerajaan

       Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan
pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa
mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah
sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-
undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum
manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang,
menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah

b.     Peranan sultan melantik pembesar

      Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan
pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan
Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik
penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.

c.     Sultan menentukan hubungan diplomatik

       Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan
ketua-ketua negara asing. Sebarang tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan
oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak
luar tidak sah tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu
ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan




                                          1
d. Sultan berperanan sebagai ketua tentera.

    Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku
peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada
serangan musuh atau menakluk negara lain.

 ii.    Ekonomi

a)      Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian
dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam
soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan
menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil
pungutan cukai negerinya. Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih
timah) dari Kelang daripada Raja Mahdi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang
dikenakan di Muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian
sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para
pembesar negeri.

b)      Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat
dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh
masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi
tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih
sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang
biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka
yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-
baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini
menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

iii.    Sosial

a)     Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat.
Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi
membolehkannya memerintah dengan berkesan.            Kewibawaan seseorang sultan
bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat
terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan
mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan
supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula
dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

b)     Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan
dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat
Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di
dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan
penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu




                                              2
B.   Perubahan peranan sultan akibat penjajahan (10m)

a)      Selepas campur tangan British, British telah memperkenalkan sistem Residen. Di
bawah sistem Residen, Residen merupakan kuasa yang tertinggi dalam pemerintahan di
negeri-negeri Melayu. British memperkenalkan pentadbiran berbentuk birokrasi, iaitu
ditadbir oleh sekumpulan pegawai. Sultan telah kehilangan kuasa mentadbir yang
dinikmati sebelum ini.

b)     Sultan kehilangan kuasa mutlak. British memperkenalkan sistem perundangan
baru. Baginda tidak lagi berkuasa menjatuhkan hukuman. British memperkenalkan sistem
perundangan yang lebih teratur dengan melantik hakim-hakim untuk melaksanakan
sistem kehakiman.

c)     Majlis Sultan diganti dengan Majlis Negeri. Walaupun sultan menjadi Residen
Majlis Negeri tetapi semua keputusan Majlis Negeri dibuat oleh residen. Sultan
kehilangan kuasa sebagai ketua pentadbir. Walaupun sultan masih menjadi ketua negara,
namun kuasa mentadbir berada di tangan residen.

d)      Sultan kehilangan kekuasaan terhadap ekonomi kepada Residen British. Urusan
percukaian, import-eksport tidak lagi berada di bawah kekuasaan sultan tetapi di tangan
British.British secara beransur-ansur memperkembangkan ekonomi kapitalis dan secara
beransur-ansur ekonomi tradisional terhakis.

e)      Pada zaman penjajahan British sultan juga tidak dibenarkan mempunyai tentera
sendiri. Pentadbir British telah membentuk pasukan polis dan askarnya sendiri. Hal ini
bermakna bidang keselamatan terlepas daripada kekuasaan sultan. Sultan hanya
memainkan peranan dalam upacara kerajaan negeri sahaja.

f)     Pengenalan Persekutuan pada tahun 1896 menyebabkan sultan kehilangan kuasa.
Kuasa berpusat di tangan Residen Jeneral. Raja-raja Melayu hanya berkuasa dalam soal
agama dan adat istiadat orang Melayu sahaja. Kekuasaan sultan semakin tergugat apabila
British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946. Walaupun kuasa sultan
dipulihkan semula dengan pengenalan Persekutuan 1948 tetapi kuasa sebenar masih di
tangan British.

Kesimpulan (2/3m)

        Dari perbincangan di atas adalah jelas bahawa sultan memainkan pernan yang
cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Namun
kedatangan penjajah British telah merubah sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat
Melayu tradisional di Tanah Melayu. Peranan sultan yang lebih luas dan berwibawa
sebelum kedatangan penjajah telah terhakis dengan kedatangan penjajah. Kedatangan
penjajah dan penguasaannya ke atas Tanah Melayu menyebabkan pengenalan sistem
pentadbiran dan perekonomian baru yang menjadikan sultan kehilangan kuasa dan
hanya sekadar lambang kekuasaan, kuasa sebenar di tangan Residen.




                                          3
2. Bincangkan hukum adat yang diamalkan di Malaysia sebelum campur tangan
   British.

Pendahuluan (3/2m)

       Sebelum campur tangan British, masyarakat di Tanah Melayu, Sabah dan
Sarawak telahpun mempunyai undang-undang mereka tersendiri. Undang-undang ini
dipanggil hukum adat. Hukum adat merupakan peraturan dan undang-undang yang
diamalkan secara turun-temurun. Sesiapa yang melanggarnya boleh dihukum. Hukum
adat ini dilaksanakan bagi menjamin hak anggota masyarakat dan memastikan
masyarakat hidup dalam keadaan aman dan selesa. Di Tanah Melayu terdapat dua hukum
adat yang diamalkan iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Di Sarawak hukum adat
yang diamalkan ialah Adat Dusun Tunggu manakala di Sabah pula ialah Adat Tenom,
Adat Dusun dan Adat Temogun.

Isi - (20m)

i.     Adat Perpatih ( 7m)

a)      Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari
Pagar Ruyung, Sumatera dan dibawa ke Tanah Melayu oleh orang Minangkabau. Adat
ini berkembang di Negeri Sembilan dan Naning pada abad ke-17.

b)      Dari segi politik Adat Perpatih bersifat demokrasi, iaitu perlantikan pemerintah
dibuat dari bawah, iaitu Anak buah memilih buapak, buapak memilih lembaga , lembaga
memilih Undang dan Undang akan melantik Yamtuan Besar (Raja). Ini bermakna
Yamtuan Besar tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan pembesar kerana
perlantikan itu dibuat oleh para pembesar yang berada di hierarki yang lebih ke bawah.
Selain itu keputusan yang dibuat oleh Yamtuan Besar juga adalah berdasarkan keputusan
bersama dengan Undang.

c)      Dari segi kekeluargaan dan perkahwinan, Adat Perpatih mengamalkan hidup
secara bersuku-suku, iaitu hidup secara berkeluarga dengan ahli-ahlinya terdiri daripada
satu ikatan sedarah sedaging. Setiap suku mempunyai nama tersendiri seperti Biduanda,
Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu
Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka, Tiga Batu.

d)     Dalam soal perkahwinan Adat Perpatih mengamalkan eksogami iaitu tidak
membenarkan perkahwinan sesama suku. Selepas berkahwin, si suami akan
meninggalkan keluarganya kerana si isteri akan membawanya tinggal di rumah pusaka
(rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibu si isteri.
Jika berlaku penceraian atau si isteri meninggal dunia, maka si suami akan kembali
semula kepada sukunya yang asal manakala anak-anaknya mereka bukan menjadi hak
keluarga asas pasangan suami isteri tersebut tetapi hak rumpun ibunya.




                                           4
e)      Adat Perpatih juga bersifat matriarchal/matrilineal, iaitu mengutamakan
kedudukan wanita. Wanita dianggap sebagai pengasas suku. Harta pusaka turun-temurun
adalah kepunyaan suku. Pewarisan harta diberatkan di sebelah ibu dan anak perempuan
menjadi asas wujudnya suku dan ini menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Si suami
tidak berhak ke atas harta pusaka.

f)     Dari segi undang-undang jenayah, hukuman dalam Adat Perpatih bersifat
pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan
akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi. Contohnya jika
seseorang dari suku itu dicederakan, dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau
kambing sebagai ganti darah yang mengalir, besar atau kecil binatang itu bergantung
kepada besar atau kecil luka yang dialami. Bagi kes kecurian hukumannya ialah
memulangkan semula barang yang dicuri atau dibayar ganti rugi. Bagi kesalahan
membunuh, si pembunuh mesti menanggung hidup keluarga si mati. Hukuman bunuh
hanya boleh dikenakan ke atas kesalahan serius seperti mendurhaka. Adat Perpatih
berpegang kepada konsep orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai
mereka. Pelaksana undang-undang biasanya dijalankan oleh Buapak atau Lembaga
kecuali hukuman bunuh yang hanya boleh dijatuhi oleh Yamtuan Besar

ii.   Adat Temenggung (7m)

a)      Adat ini berasal dari Palembang, Sumatera dan diasaskan oleh Datuk
Ketemenggungan. Adat ini telah diresapi oleh unsur-unsur Islam mengikut mazhab
Shafie. Adat ini dipercayai dibawa ke Tanah Melayu oleh keturunan Diraja Palembang.
Disebar luaskan ke seluruh Tanah Melayu kecuali Negeri Sembilan dan kawasan Naning
di Melaka.

b)      Dari segi politik Adat Temenggung bersifat autokrasi,iaitu kuasa terletak di
tangan pemerintah atau raja. Raja atau sultan terlalu istimewa dan kuasanya
diperkukuhkan dengan konsep daulat dan durhaka. Kuasa raja dikaitkan dengan kesaktian
dan sesiapa yang melanggarnya terkena tulah raja. Raja mempunyai keistimewaan
tertentu yang dilambangkan dengan penggunaan warna tertentu dan bahasa dalam yang
hanya dikhaskan untuknya. Raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak dan berhak
melantik pembesar sama di peringkat negeri, jajahan, mukim mahupun kampung.
Jawatan sultan adalah bersifat warisan iaitu putera sulungnya akan dilantik menjadi
sultan jika berlaku kemangkatan sultan kecuali di Perak.

c)      Dari segi pembahagian harta Adat Temenggung mengutamakan kaum lelaki
(bersifat patriarchal) yang dianggap akan melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Sifat
ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga.
Anak lelaki akan mewarisi harta pusaka dengan kadar 2/3 berbanding anak perempuan.
Ini berdasarkan tanggungjawab anak lelaki yang lebih besar dalam keluarga berbanding
anak perempuan. Jika berlaku pencerian lazimnya cara pembahagian harta suami isteri
dibuat mengikut hukum syarak. Harta yang didapati semasa perkahwinan dipanggil harta
sepencarian. Bagi harta sepencarian, ia akan dibahagikan dua sama banyak kepada isteri




                                           5
yang diceraikan dan jika isteri yang diceraikan tidak bekerja si isteri hanya berhak
mendapat 1/3 bahagian sahaja.

d)      Dalam soal perkahwinan Adat Temenggung mengamalkan endogami, iaitu
membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja dengan syarat ia tidak bertentangan
dengan hukum syarak. Seseorang perempuan yang berkahwin dikehendaki tinggal
bersama-sama dengan keluarga ibu bapa suaminya kerana si isteri lazimnya akan menjadi
ahli keluarga si suami.

e)     Dari segi Udang-undang Adat Temenggung bersifat menghukum atau
pembalasan. Oleh itu pelaksanaan sesuatu undang-undang dibuat dengan tegas. Ia
bertujuan untuk memberi ikhtibar kepada orang lain dan pembalasan kepada si pesalah.
Contoh kesalahan membunuh akan dihukum bunuh. Dalam Adat Temenggung sultan
atau pembesar yang akan menjadi pelaksana undang-undang. Pembesar boleh
mengendalikan semua kesalahan kecuali yang melibatkan hukuman bunuh. Kesalahan
yang melibatkan hukuman bunuh hanya dikendalikan oleh sultan.

iii.   Hukum adat masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak (6m)

a)     Masyarakat di Sabah dan Sarawak juga mempunyai adat yang tersendiri seperti di
Tanah Melayu bagi menjamin keharmonian hidup. Masyarakat bumiputera Sarawak
mengamalkan Adat Tunggu (denda dan kesalahan) dan Undang-undang Mahkamah
Melayu. Hukum adat mengawal soal bertanam padi dan tempat kediaman orang Iban.
Hukum adat menentukan tanah kampung halaman adalah kepunyaan bersama sesuatu
kumpulan masyarakat. Semua penduduk Rumah Panjang dalam kumpulan tersebut
berhak bercucuk tanam, memburu, dan mengambil hasil hutan di kawasan kampung
mereka. Antara kesalahan yang dikenakan hukuman denda ialah sesiapa yang gagal
melaporkan sebarang bencana, kecemasan , tidak bekerjasama dalam sesuatu tindakan
yang telah dipersetujui, dan pelawat yang memasuki rumah panjang tanpa menanggalkan
parangnya.

b)     Di peringkat kampung adat dilaksanakan oleh ketua kampung atau Majlis Orang
Tua-Tua. Dalam mengendalikan sesuatu perbicaraan biasanya Pengeran Temenggong
atau Datuk Orang Kaya yang mewakili Sultan Brunei dan dua orang wakil suku yang
akan bertindak sebagai hakim. Masyarakat Sabah mengamalkan Adat Dusun, Adat
Tenom, dan Adat Timogun. Hukum adat ini dikendalikan oleh oleh “Orang Tua”

Kesimpulan (2/3m)
       Hukum adat memainkan peranan penting dalam mengekalkan peraturan hidup. Ia
menjamin keharmonian dalam masyarakat, menentukan hak dan mengawal tingkah laku
individu dalam masyarakat. Namun selepas kedatangan penjajah undang-undang adat
semakin dipinggirkan kerana British memperkenalkan undang-undang Barat . Undang-
undang barat mula mengantikan peranan undang-undang adat di Tanah Melayu, Sabah
dan Sarawak. Hanya bahagian-bahagian tertentu undang-undang adat dikekalkan oleh
British dengan sedikit penyesuaian bagi mengambil hati penduduk tempatan dan
mengelakkan penentangan daripada penduduk tempatan.



                                         6
3. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di
   Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Pendahuluan ( 3/2 m )

    Getah berasal dari Brazil. Tokoh penting yang membawa benih getah dari Brazil ialah Sir
Hanry Wickham. Beliau telah membawa 70,000 biji getah untuk ditanam di Kew Gardens di
London untuk tujuan percambahan. Daripada jumlah itu hanya 4% sahaja yang tumbuh. Pada
tahun 1877, 22 spesis getah telah dihantar ke Singapura, sebahagiannya ditanam di Botanical
Gardens Singapura dan sebahagiannya ditanam di kediaman Sir Hugh Low di Kuala Kangsar.
Pada peringkat awal getah tidak popular di Tanah Melayu kerana para peladang kurang
kemahiran berkaitan tanaman getah. Lantaran itu mereka lebih tertumpu kepada tanaman lain.
Tanaman getah mula mendapat perhatian dan ditanam secara besar-besaran pada awal abad ke-
20. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah
Melayu

Isi - ( 20 markah )

i)      Usaha H. N. Ridley

a)      Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan
perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah mengembara ke seluruh Tanah Melayu memujuk
orang ramai supaya menanam getah. Dengan usahanya jugalah banyak penyelidikan telah
dijalankan tentang cara penanaman getah yang betul, kesesuaian tanah dan pembekuan getah.
Hasil penyelidikan telah diedarkan kepada pengusaha getah malalui Straits And FMS
Agriculturul Bulletin. Akibat daripada usaha-usahanya itu menyebabkan beliau digelar “Ridley
Getah atau Ridley Gila”.

b)      Pada tahun 1897 beliau telah memperkenalkan sistem torehan ibedem atau sistem torehan
tulang ikan herring. Sistem torehan ini dapat mengelakkan pokok daripada rosak dan melanjutkan
usia pokok. Beliau juga memperkenalkan cara yang lebih selamat untuk mengangkut anak-anak
pokok ke tempat yang lebih jauh, iaitu dengan cara anak-anak pokok dibalut dengan arang yang
lembab bagi mengelak daripada mati akibat kekurangan air. Usaha-usaha Ridley menampakkan
hasil apabila pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 getah mula ditanam secara meluas.
Contohnya pada tahun 1896, 16 hektar tanaman getah diusahakan oleh Tan Choy Yan. Menjelang
tahun 1904, tanaman getah berskala besar mula ditanam di Kedah dan di Johor. Sehingga tahun
1911, terdapat lebih kurang satu juta ekar tanah telah ditanam dengan getah dan pada tahun 1930
getah telah menjadi eksport penting Tanah Melayu.

ii)     Kemerosotan harga kopi.

     Antara tahun-tahun 1896-1900, harga kopi telah mengalami kemerosotan di pasaran dunia
akibat pengeluaran yang berlebihan. Kopi juga mengalami kemerosotan akibat serangan penyakit
kupu-kupu Beehawk. Kejatuhan harga kopi menyebabkan peladang-peladang beralih tumpuan
kepada tanaman getah. Bagi menggalakkan tanaman getah kerajaan Perak telah menjual 32, 000
biji getah dan 60,000 anak benih getah untuk ditanam di seluruh ladang di Tanah Melayu.




                                              7
iii)   Permintaan terhadap getah yang meningkat.

a)      Pada awal abad ke-20 permintaan terhadap getah meningkat akibat daripada Revolusi
Perindustrian yang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Pelbagai barangan telah dicipta
yang berasaskan getah. Contohnya perkembangan industri kereta menyebabkan permintaan
terhadap getah meningkat kerana getah digunakan untuk membuat tayar. Pada tahun 1888, J.B.
Dunlop telah mencipta tayar angin. Pada tahun 1910, Amerika Syarikat telah menghasilkan
500,000 buah kenderaan. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat khususnya
dari Amerika Syarikat. Pada tahun 1907, Amerika Syarikat telah membeli 37% daripada getah
dunia dan telah meningkat kepada 77% pada tahun 1917.

b)       Pada tahun 1839 Goodyear telah menemui kaedah mencampurkan getah dengan
belerang dan haba supaya keras. Melalui kaedah ini dapat menghalang getah daripada menjadi
lembut dan meleket apabila panas; menjadi keras dan rapuh apabila sejuk. Kaedah ini dkenali
“Vulcanization”. Kejayaan kaedah ini telah menambahkan kepelbagaian penggunaan getah
seperti kasut getah, pakaian kalis air, barangan elektrik, peralatan perubatan, getah pemadam,
paip air dan lain-lain.

c)      Permintaan yang tinggi terhadap getah telah meningkatkan harga getah. Contohnya pada
tahun 1890 harga getah $1.30 sepaun telah meningkat kepada $2.50 sepaun pada tahun 1906.
Harga getah tertinggi pernah dicapai ialah $ 5.50 sepaun pada tahun 1910. Peningkatan terhadap
harga getah telah menggalakkan pelabur Eropah dan Cina menanam getah secara ladang. Antara
ladang yang dibuka oleh pelabur Eropah ialah Guthrie, Harrison and Crossfield (Golden Hope),
Socfin, Sime Darby dan Syarikat Getah Dunlop. Sementara itu, orang mula menggantikan
tanaman kopi dengan tanaman getah. Perluasan tanaman getah telah menyebabkan pengeluaran
getah Tanah Melayu meningkat. Contohnya pada tahun 1905 Tanah Melayu mengeluarkan 400
tan getah dan telah meningkat kepada 11,000 tan pada tahun 1911. Pada tahun 1922 Tanah
Melayu mengeluarkan sebanyak 212,000 tan getah.

iv)    Tenaga buruh yang murah

a)      British telah membawa masuk secara beramai-ramai orang India ke Tanah Melayu pada
awal abad ke-20. Kedatangan orang-orang India telah dapat membekalkan buruh yang murah
kepada sektor getah. Pada tahun 1883 Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan
kerajaan India untuk membawa masuk buruh India secara terancang

b)      Orang India dibawa masuk melalui sistem kontrak dan sistem kangany. Pada tahun 1908
sejumlah 43,515 orang buruh India di ladang-ladang getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Jumlah ini telah meningkat kepada 139, 480 orang pada tahun 1918. Kehadiran buruh dengan
jumlah yang besar telah membolehkan pemodal-pemodal Eropah membuka ladang-ladang getah
yang lebih besar.

v)     Penyelidikan getah secara saintifik

a)      Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan
terhadap getah. Pada tahun 1907 Pertubuhan Penanaman Getah ditubuhkan. Pertubuhan ini
menjalankan kerjasama dengan kerajaan British bagi menjalankan penyelidikan untuk
memperbaki hasil dan mutu getah serta menambah keluasan kawasan getah. Pada tahun 1926
kerajaan telah menubuhkan Institut Penyelidikan Getah. Institut ini telah menghasilkan cara-cara
yang lebih baik bagi penanaman getah, penggunaan baja, kawalan serangga, memproses susu
getah, pisau menoreh yang sesuai, cara mengawet dan memekatkan susu getah.


                                               8
vi)    Galakan daripada Kerajaan

a)      Kerajaan British memberi galakan kepada perusahaan getah. Pada tahun 1897 kerajaan
telah mengenakan cukai yang rendah ke atas tanah yang ditanam dengan getah, iaitu sebanyak 10
sen bagi setiap 0.405 hektar bagi sepuluh tahun yang pertama dan selepas 10 tahun cukai
dinaikkan kepada 50 sen. Duti ke atas getah hanyalah 2.5% bagi setiap lima belas tahun yang
pertama dari tarikh kerja-kerja tanaman dimulakan.
b)      Selepas tempoh tersebut duti tersebut tidak akan melebihi 5%. Pada tahun 1899 kerajaan
telah memperuntukkan sebanyak $ 4000 bagi menjalankan eksperimen getah dan tanaman lain.
Pada tahun 1904 syarikat-syarikat Eropah diberi keutamaan memperoleh pinjaman khas dengan
kadar faedah yang rendah. Sebanyak $ 500, 000 diperuntukkan bagi menjayakan skim itu. Pada
tahun 1908 jumlah itu ditambah tiga kali ganda. Kerajaan British juga memberi hak milik kekal
kepada mereka yang membuka tanah untuk menanam getah.

vii)     Penglibatan pelabur Eropah

a)      Penglibatan pelabur Eropah menyumbang kepada perkembangan perusahaan getah.
Penglibatan mereka telah menyebabkan tanaman getah secara besar-besaran terlaksana. Antara
syarikat Eropah yang melibatkan diri dengan perusahaan getah ialah Guthrie, Dunlop, Sime
Darby, Harrison dan Crosfield. Penglibatan syarikat Eropah telah menyebabkan pengeluaran
getah di Tanah Melayu meningkat dengan pesatnya. Cntohnya pada tahun 1914 lebih daripada
setengah bekalan getah dunia datangnya dari Tanah Melayu.

Kesimpulan (2/3 m)

        Jelaslah bahawa pengenalan tanaman getah di Tanah Melayu telah berjaya menjadikan
Tanah Melayu sebagai pengeluar utama getah dunia. Getah mula menjadi sumber ekonomi
penting Tanah Melayu seperti juga bijih timah. Walau bagaimanapun pada tahun-tahun 1920-an
dan 1930-an perusahaan getah mengalami kemerosotan akibat kemerosotan ekonomi dunia
sehinggakan kerajaan British pada ketika itu terpaksa mengambil beberapa langkah bagi
mengatasinya.




                                              9
4.   Jelaskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membanteras ancaman
     komunis sehingga tahun 1960.

Pendahuluan (3/2 m)

          Pada tahun 1948 Parti Komunis Malaya (PKM) telah bertindak semakin ganas dan
mengambil keputusan untuk melancarkan pemberontakan bersenjata kerana gagal mengambil alih
kuasa secara perlembagaan. Strategi gerakan komunis di Tanah Melayu dibahagi kepada tiga
peringkat, iaitu melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, mewujudkan zon bebas daripada kerajaan
dan melancarkan serangan secara terbuka. Kemuncak kepada keganasan             PKM, ialah
pembunuhan 3 orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak. Sir Edward
Gent, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan darurat di seluruh
Tanah Melayu pada 19 Jun 1948. Sehubungan dengan perisytiharan darurat beberapa langkah
telah diambil untuk membanteras masalah komunis, iaitu pengisytiharan undang-undang darurat,
perang psikologi, rancangan Briggs dan sebagainya.

Isi - (20 m)

i)    Perisytiharan Undang-undang darurat

a)      Langkah pertama yang dilakukan oleh kerajaan ialah mengisytiharkan undang-undang
darurat pada 7 Julai 1948. Tujuan undang-undang darurat diperkenalkan adalah untuk mengawal
keselamatan Tanah Melayu. Melalui undang-undang darurat kerajaan telah mengharamkan parti-
parti politik atau pertubuhan berhaluan kiri untuk menghalang mereka daripada terlibat dalam
kegiatan komunis. Pemimpin-pemimpin politik berhaluan kiri diberkas dan dipenjarakan seperti
Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad. Antara parti-parti politik yang dibubarkan ialah
Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) dan beberapa badan lain seperti Angkatan Pemuda
Insaf ( API ) dan Angkatan Wanita Sedar ( AWAS).

 b)      Melalui undang-undang darurat kerajaan boleh menangkap tanpa bicara sesiapa sahaja
yang disyaki terlibat dalam kegiatan komunis. Kerajaan juga boleh membuang negeri sesiapa
yang dianggap menganggu atau mengugat keamanan negara. Bagi orang Cina dan India mereka
yang terlibat dengan kegiatan komunis akan dihantar pulang ke China atau India. Pada akhir
tahun 1948 seramai 5100 telah ditahan di bawah Undang-undang Penahanan. Tempat penahanan
yang terbesar ialah di Taiping dan Batu Gajah , Perak.

c)       Melalui undang-undang darurat, setiap penduduk di Tanah Melayu yang berumur 12
tahun ke atas mesti mendaftar diri dan wajib memiliki kad pengenalan yang harus dibawa
bersama-sama. Langkah ini diambil bertujuan untuk memudahkan pasukan keselamatan
mengenal pasti setiap penduduk dan membezakan mereka dengan komunis dan setiap langkah
mereka dapat diawasi. Melalui kad pengenalan pihak kerajaan dapat mengesan orang yang
memberi bantuan kepada komunis. Kad pengenalan juga digunakan untuk mendapatkan bekalan
makanan dan tapak rumah di kawasan kampung baru.

d)       Melalui    penguatkuasaan Undang-undang Darurat, kerajaan juga memperkenalkan
beberapa peruntukan khas yang membolehkan seseorang ditahan tanpa had masa dan tanpa
bicara. Undang-undang darurat memberikan kuasa kepada kerajaan untuk memenjarakan
seseorang sehingga sepuluh tahun, jika memiliki dokumen subversif atau membantu kegiatan
komunis, menembak sesiapa sahaja jika berada di kawasan hitam, memindahkan sesiapa saja
yang didapati bersubahat dengan komunis dan mengadakan sekatan makanan di tempat-tempat



                                            10
tertentu serta menangkap sesiapa sahaja tanpa waran bagi melemahkan kesatuan-kesatuan sekerja
yang didapati menyokong komunis.

ii)     Langkah Ketenteraan

a)      Melalui undang-undang darurat juga kerajaan telah memperkuatkan bidang ketenteraan.
Pada tahun 1952, Sir Gerald Templer telah bertindak menambahkan pasukan tentera. Pasukan
Polis Persekutuan telah diperbesarkan dan terdiri daripada 70,000 orang. Rejimen Askar Melayu
telah ditambah menjadi 7 batalion. Pasukan Pengawal Kampung ditambah menjadi 250,000
orang.Tentera kerajaan juga dibantu oleh tentera-tentera dari negara-negara Komanwel seperti
Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika Timur. Hasil daripada penambahan kekuatan tentera ini
pihak kerajaan dapat melancarkan serangan lebih agresif dan dapat mematahkan gerakan komunis
di hutan.

b)      Di samping itu, kerajaan juga menyediakan pasukan-pasukan polis bantuan diadakan
khas untuk mengawal kawasan-kawasan lombong bijih timah dan ladang getah yang sering
menjadi sasaran gerila-gerila komunis. Perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan-kawasan
di mana kegiatan komunis semakin aktif. Perintah berkurung ini memudahkan pasukan
keselamatan mengenal dan mengesan pengganas-pengganas komunis. Kerajaan British juga
mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di merata-rata tempat di bawah kawalan pasukan
keselamatan untuk memastikan supaya komunis tidak mendapat bekalan senjata dan makanan.

c)       Pada tahun 1952 ,Sir Gerald Templer telah memperkenalkan „kawasan hitam dan
„kawasan putih‟. Kawasan yang komunis bergiat aktif akan diisytiharkan sebagai kawasan hitam.
Kawasan ini akan dikawal rapi dan pasukan tentera akan ditambah. Kawasan-kawasan yang mana
komunis dikalahkan dan kegiatan komunis berkurangan telah diisytiharkan sebagai „kawasan
putih‟. Kawasan putih yang pertama diisytiharkan ialah Melaka.

d)      Kerajaan British memperkenalkan perkhidmatan negara yang mewajibkan belia
mendapat latihan ketenteraan dan berkhidmat dalam tentera jika perlu. Perintah berkurung juga
dikuatkuasakan di kawasan-kawasan yang kegiatan komunis masih aktif. Perintah berkurung ini
memudahkan pasukan keselamatan mengenal dan mengesan pengganas-pengganas komunis.

iii)    Rancangan Briggs

a)      Pada tahun 1950, Leftenan Jeneral Sir Harold Briggs dilantik menjadi Pengarah Gerakan
di Tanah Melayu. Tugas utamanya ialah menamatkan keganasan komunis dan menamatkan
darurat dan melaksanakan koordinasi antara pihak perkhidmatan awam dengan pasukan
keselamatan . Bagi mengatasi masalah komunis Briggs telah mengumpulkan para setinggan yang
bertaburan di pinggir-pinggir hutan ke petempatan berkelompok yang dikenali sebagai Kampung-
kampung Baru. Tujuan utama Kampung-kampung Baru diperkenalkan ialah memutuskan
hubungan komunis dengan masyarakat setinggan yang menjadi tali barut.

 b)     Kebanyakan setinggan yang dipindahkan ke Kampung-kampung Baru, ialah orang Cina.
Hubungan mereka dengan komunis diputuskan sama sekali kerana Kampung-kampung Baru
dipagar kawat dan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan supaya kawalan lebih terjamin.
Rancangan Briggs membawa serampang dua mata iaitu Masyarakat Min Yuen terlindung
daripada ancaman dan ugutan pengganas komunis dan pihak kerajaan dapat melemahkan
kegiatan komunis kerana mereka akan kekurangan maklumat, senjata, bekalan makanan dan ubat-
ubatan. Rancangan ini juga dikenali sebagai „Gerakan Kelaparan‟.



                                             11
c)      Melalui Rancangan Briggs pembinaan Kampung-kampung Baru telah mula dilaksanakan
di Johor dan sehingga akhir tahun 1952 sebanyak 480 buah kampung baru di seluruh Tanah
Melayu telah wujud. Hampir separuh daripada kampung baru terletak di Perak dan Johor.
Kebanyakan Kampung Baru disediakan kemudahan asas seperti sekolah, klinik ,pasar, bekalan air
dan elektrik, balai polis rumah ibadat dan kemudahan-kemudahan lain.Rancangan Briggs telah
berjaya menjamin perlindungan nyawa harta benda rakyat dan menyekat komunis daripada terus
mengganas dan menakut-nakutkan penduduk dan dapat menghalang penyusupan fahaman
komunis.

 d)    Selain Rancangan Kampung-kampung Baru, Briggs juga telah membentuk Jawatankuasa
Kerja Perang di peringkat Persekutuan ,negeri dan daerah. Jawatankuasa Kerja Perang terdiri
daripada Lef.Jeneral Briggs, Ketua Setiausaha, Pesuruhjaya Polis dan komender-komender
angkatan tentera darat dan udara Tanah Melayu. Jawatankuasa Kerja Perang ini bekerjasama
dengan pegawai-pegawai tadbir, tentera dan polis. Pengerusi jawatan kuasa ini di peringkat negeri
ialah Menteri Besar dan di peringkat daerah ialah pegawai daerah. Penubuhan Majlis Perang
Persekutuan dan Jawatankuasa Kerja Perang telah mewujudkan koordinasi antara semua pihak
yang terlibat dalam perancangan gerakan menentang komunis.

iv)     Perang Saraf

a)       Selain itu juga, Sir Malcolm MacDonald iaitu Pesuruhjaya Tinggi Inggeris telah
membentuk sebuah Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum pada awal tahun 1949. Jawatan
kuasa ini berusaha mengikis perasaan perkauman. Ini terbukti berjaya apabila berlakunya
gabungan antara UMNO dan MCA dalam Perikatan 1952. Dengan gabungan ini perselisihan
faham antara kaum Melayu dan Cina dapat diatasi. Kedua-dua kaum ini telah bekerjasama
membasmi kegiatan komunis.

b)       Sir Gerald Templer telah melancarkan pelbagai perang psikologi untuk menarik „hati dan
fikiran rakyat bagi membanteras kegiatan komunis. Pada tahun 1952 , beliau telah meminda
peraturan-peraturan kewarganegaraan. Syarat-syarat mendapat kewarganegaraan dilonggarkan
supaya lebih ramai orang bukan Melayu terutama kaum Cina menjadi warga negara Tanah
Melayu. Langkah ini diambil bertujuan supaya orang-orang Cina tidak menyokong dan memihak
kepada komunis.

c)      Langkah seterusnya ialah menggalakkan penubuhan parti-parti politik bukan Melayu
ditubuhkan. Penubuhan MCA oleh Tan Cheng Lock dan beberapa pemimpin Cina lain telah
menyatukan orang Cina dan mengalihkan perhatian orang Cina daripada PKM kepada Tanah
Melayu. Parti politik yang berorientasikan Tanah Melayu seperti MCA dapat mengalihkan
pandangan masyarakat Cina yang sebelum ini tertumpu kepada kegiatan politik di negara China.

d)      Kerajaan Inggeris juga mengambil langkah supaya Tanah Melayu berkerajaan sendiri.
Sebagai langkah pertama pilihan raya Majlis Perbandaran telah diadakan . Tujuannya adalah
untuk mewujudkan perasaan tanggungjawab dalam kalangan rakyat. Pilihan raya pertama
diadakan bagi Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Dalam pilihan raya ini UMNO
dan MCA membentuk Perikatan.

 e)     Di samping itu, hadiah wang tunai yang lumayan juga ditawarkan kepada orang ramai
yang memberikan maklumat yang membolehkan kerajaan menangkap pengganas komunis mulai
April 1955. Ganjaran yang ditawarkan berbeza mengikut jawatan dalam PKM. Jawatan
Setiausaha Agung ( Chin Peng ) RM 250,000, Ahli Biro Politik RM 200,000, Ahli Jawatankuasa
RM 150,000, Ahli Jawatan kuasa Negeri dan Daerah RM 120,000 dan anggota biasa RM 2,500 –


                                               12
RM 2000. Kerajaan juga menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada ahli komunis bagi
memulakan penghidupan baru jika mereka menyerahkan diri secara sukarela. Tawaran ini
dilakukan dengan menggugurkan risalah dari udara ke dalam hutan. Akibat langkah-langkah ini
ancaman komunis semakin berkurangan.

v)     Rundingan Baling

a)      Rundingan Baling diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955. Kerajaan diwakili oleh
Tunku Abdul Rahman , David Marshall dan Tan Cheng Lock. Manakala, pihak komunis diwakili
oleh Chin Peng, Chen Tian dan Rashid Maidin. Dalam rundingan ini pihak kerajaan telah
menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada komunis dan anggota komunis yang menyerah
diri akan dilayan sebagai rakyat biasa. Pihak komunis pula menuntut agar kerajaan mengiktiraf
PKM sebagai sebuah parti politik yang sah dan boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya.
Kerajaan enggan mengiktraf PKM dan ini menjadi faktor kepada kegagalan rundingan Baling
kerana PKM tidak mahu menerima tawaran kerajaan selagi kerajaan enggan memenuhi tuntutan
mereka.

Kesimpulan (2/3 m)

        Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi membanteras ancaman komunis.
Usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan telah berjaya menyekat ideologi komunis daripada
disebarkan di Tanah Melayu. Walaupun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan berjaya
menyekat pengaruh komunis ia telah banyak mengorbankan nyawa, wang dan masa. Setelah
komunis dapat ditewaskan kerajaan British telah menyediakan Tanah Melayu bertaraf
berkerajaan sendiri dan seterusnya memberkani kemerdekaan kepada Tanah Melayu tanpa perlu
berjuang secara kekerasan.




                                             13
5      Bincangkan perubahan-perubahan perlembagaan di Sabah dan Sarawak
       antara tahun 1840-an hingga merdeka.

Pendahuluan. (3/2m)

   Syarikat Borneo Utara British (SBUB) menguasai Sabah pada tahun 1881.
Pentadbiran mereka di Sabah dilakukan dengan menggabungkan pentadbiran British
dengan institusi-institusi tempatan dalam pentadbiran awam Sabah. Sementara di
Sarawak pemerintahan Raja Putih pada tahun 1840an adalah bersifat monarki mutlak.
Namun demikian, sistem pemerintahan tradisional juga diteruskan. Selepas berlaku
penyerahan pentadbiran kepada kerajaan British pada tahun 1940an pentadbiran di Sabah
dan Sarawak mengalami perubahan-perubahan sehingga merdeka.

Isi – (20m)

A. Perubahan Pentadbiran di Sabah, 1881 hingga 1946 (10m)

a)     Sabah yang ditadbir oleh SBUB merupakan sebuah syarikat awam yang
mempunyai hubungan dengan Kerajaan British melalui „ Protectorate
Arrangement‟.Struktur pentadbirannya terdiri daripada Pengerusi, Pengarah Urusan dan
Lembaga Pengarah.Pembesar-pembesar tempatan juga memainkan peranan penting
dalam pentadbiran negeri.

i)     Gabenor

       Gabenor di Sabah dilantik oleh pengarah SBUB dengan persetujuan Kerajaan
Inggeris. Gabenor Sabah yang pertama ialah W.H.Treacher . Gabenor dibantu oleh
sebuah Majlis Penasihat terdiri daripada pegawai-pegawai kanan syarikat seperti
Setiausaha Kerajaan, Bendahari dan Ketua Pasukan Keselamatan. Untuk memudahkan
pentadbiran Gabenor Sabah dibahagikan kepada 5 unit pentadbiran yang dikenali sebagai
Residensi, antaranya Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan Pedalaman
.
ii)    Residen

      Ketua Residensi dipanggil Residen. Setiap residensi dibahagikan kepada 7 daerah
yang diketuai oleh Pegawai Daerah. Residen bertanggungjawab menjaga keamanan,
mengutip cukai dan perbendaharaan serta keadilan disetiap negeri.

iii)   Daerah

       Setiap daerah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah berbangsa Eropah dan
dibantu oleh Ketua Pegawai Anak Negeri. Antara tugas-tugas Pegawai Daerah ialah
menjalankan tugas-tugas keamanan, mengendalikan keadilan , mengutip cukai,
membahagikan tanah dan menguruskan hal pertanian.




                                         14
iv)    Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri

a)      Pada tahun 1915 sebuah Majlis Penasihat Ketua-Ketua anak Negeri ditubuhkan.
Majlis ini berfungsi sebagai orang tengah antara kerajaan dengan rakyat. Tugas lain ialah
menjadi pembantu kanan Pegawai Daerah, menentukan pertanian yang seharuskan
dijalankan dan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan masyarakat tempatan. Di
Sabah orang-orang tempatan Islam dan bukan Islam mempunyai ketua-ketua mereka
masing-masing.

b)     Ini bermakna SBUB memerintah kaum Bumiputera melalui ketua-ketua mereka
masing-masing. Ketua-ketua ini mentadbir orang-orang tempatan melalui mahkamah-
mahkamah tempatan. Mereka diberi kuasa kehakiman dalam mahkamah-mahkamah
tempatan dan dibenarkan mengadili kes-kes jenayah orang-orang tempatan sahaja.
Terdapat juga pegawai-pegawai anak negeri yang dilantik sebagai Penolong Residen.
Walaupun ketua-ketua Anak Negeri mempunyai kuasa-kuasa tertentu, tetapi kuasa
sebenarnya terletak di tangan Residen dan Pegawai-pegawai Daerah.

v)     Majlis Orang Tua

a)     Di peringkat kampung Orang Tua dilantik oleh SBUB untuk menjaga pentadbiran
kampung. Antara tugas-tugas Orang Tua ialah menjadi hakim mahkamah peribumi dan
mengadili kes-kes berkaitan dengan warisan dan tanah serta menghadiri Durbar yang
diadakan di Sandakan pada tahun 1887.

b)     Majlis Orang Tua merupakan satu badan penting di bawah SBUB yang merupakan
perjumpaan tahunan antara Ketua-ketua Anak Negeri . Majlis ini merupakan penghubung
antara SBUB dengan rakyat. Ahli-ahlinya terdiri daripada Gabenor, Setiausaha Gabenor,
Residen Pantai Barat Sabah, semua ketua tempatan gred 1 dan sembilan ketua tempatan.

vi)    Mahkamah Anak Negeri

a)     Diwujudkan secara tradisional dalam kalangan penduduk peribumi Sabah. Ia
dikekalkan semasa pentadbiran SBUB. Jawatan ini dikekalkan untuk membolehkan pihak
SBUB mendapat sokongan pemimpin-pemimpin tempatan. Mahkamah ini diketuai oleh
seorang Ketua Anak Negeri yang bertindak sebagai hakim tempatan . Mahkamah ini
megendalikan kes-kes yang berkaitan dengan hukum adat dan syariah.

v)      Majlis Mesyuarat Undangan

a)      Ia ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Penasihat . Fungsi majlis ini ialah untuk
memperoleh pandangan pelbagai kaum dalam penggubalan undang-undang. Ia dianggotai
7 ahli rasmi dan 4 orang ahli tidak rasmi. Ahli tidak rasmi diwakili oleh kaum Cina dan
kaum peladang di Pantai Timur dan Pantai Barat.




                                           15
Perubahan Pentadbiran British di Sabah 1946 hingga 1963

a)      Pada 15 Julai 1946, Sabah diserahkan kepada kerajaan British. Sebab penyerahan
ini disebabkan KBBU tidak mempunyai keupayaan dan sumber kewangan yang
mencukupi untuk mentadbir Sabah semasa Perang Dunia ke-2. Pentadbiran British di
Sabah diketuai oleh seorang Gabenor dengan dibantu sebuah Majlis Penasihat.

b)     Pada Oktober 1950 Perlembagaan baru telah diperkenalkan . Mengikut
perlembagaan ini, Gabenor dibantu oleh Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan Negeri.
Majlis Eksekutif mempunyai 9 orang ahli yang bertugas menasihatkan Gabenor atas hal-
hal pentadbiran dan dasar kerajaan yang penting. Majlis Mesyuarat Undangan
mempunyai 22 orang ahli, sementara 4 orang ahli terdiri daripada penduduk tempatan.
Ahli-ahli Majlis adalah dilantik oleh Gabenor.

c)     Pada tahun 1952 sebuah Majlis Tempatan telah ditubuhkan. Majlis Tempatan
yang pertama diasaskan di Daerah Kota Belud, Sipitang 1955, Papar 1956. Tujuan Majlis
Tempatan ditubuhkan ialah memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk
mengambil bahagian dalam pentadbiran kawasan masing-masing.                Majlis ini
bertanggungjawab dalam hal-hal seperti kewangan, pendidikan,kesihatan,bekalan elektrik
serta pertanian dan penternakan. Majlis Tempatan kemudian diubah kepada Majlis
Daerah.


B. Pentadbiran Sarawak 1841hingga 1946 (10m)

i)     Pentadbiran James Brooke

a)     Sarawak adalah di bawah pemerintahan Raja Putih yang mengamalkan
pemerintahan monarki. Pentadbiran beliau telah mengubahsuai sistem Barat dengan
menggabungkannya dengan unsur tempatan. James Brooke mengekalkan jawatan ketua
Melayu Sarawak sebagai penasihat kanan dalam pentadbirannya seperti Dato‟ Patinggi,
Dato‟ Temenggung, Dato‟ Bandar dan Dato‟ Imam. Pembesar-pembesar ini dibenarkan
memungut cukai di kawasan masing-masing tetapi dikehendaki menyerahkan sebahagian
daripada hasil yang mereka pungut itu kepada pentadbiran Brooke.

b)       Pada tahun 1855 James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi. Majlis ini
bertujuan membuat dasar pentadbiran Sarawak. Majlis ini memberi peluang kepada
pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk membuat dasar-dasar pentadbiran. Majlis
ini bersidang sebulan sekali dengan James Brooke sebagai presidennya dan anggotanya
terdiri daripada orang Eropah dan orang Melayu. James Brooke telah mengenakan cukai
ke atas barangan yang dibawa dari luar untuk mengatasi masalah kewangan di Sarawak.

ii)    Pentadbiran Charles Brooke

a)     Semasa pemerintahan Charles Brooke 1868-1917 beliau meneruskan sistem
pemerintahan tradisional James Brooke masih diteruskan.Terdapat juga perubahan



                                         16
dilakukan dalam pentadbiran iaitu dengan menubuhkan sebuah Majlis Negeri pada tahun
1865. Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, pegawai-pegawai kanan
kerajaan dan pegawai-pegawai tempatan. Majlis ini boleh meluluskan undang-undang
serta membuat dasar pentadbiran Sarawak, tetapi tidak boleh menggubal undang-undang.

b)      Sarawak pula dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu setiap bahagian ditadbir oleh
seorang Residen Eropah yang dibantu oleh Pegawai Anak Negeri, pegawai rendah dan
ketua-ketua suku. Residen bertanggungjawab dalam pentadbiran umum dan berperanan
sebagai Presiden mahkamah.

c)     Di peringkat kampung telah dilantik ketua Melayu dan Cina untuk mentadbir
kampung mereka. Mereka ini bertanggungjawab memelihara keamanan dan memungut
cukai.

Pentadbiran Charles Vyner Brooke

a)      Pada tahun 1941 Charles Vyner Brooke telah menubuhkan sebuah perlembagaan
baru . Perlembagaan ini menyerahkan kuasa mutlak Charles Vyner Brooke kepada Majlis
Tertinggi dan Majlis Negeri. Majlis Tertinggi akan berfungsi sebagai Majlis Eksekutif
sementara Majlis Negeri sebagai Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi akan mempunyai
lima orang ahli. Manakala Majlis Negeri 25 orang ahli.Raja Brooke melantik sendiri ahli
ke dua-dua majlis tersebut. Sarawak pula dijanjikan kemerdekaan.Perlembagaan Sarawak
tidak dapat dilaksanakan kerana serangan Jepun pada tahun 1941.

b)     Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British. Perlembagaan 1941
dikekalkan selama 10 tahun yang pertama.Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan
untuk memberi latihan kepada penduduk peribumi dalam pemerintahan. Majlis ini
berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya dan
pungutan cukai.Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pilihan raya tempatan
mula diperkenalkan buat pertama kali pada bulan November 1957 untuk memilih Ahli
Majlis Perbandaran Kuching.

c)     Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud
untuk membantu Gabenor Sarawak.Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis
Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari
Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri.

d)      Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan diadakan. Ahli Majlis
Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-
wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri. Pilihan raya untuk memilih Majlis Tempatan ini terus
dikekalkan sehingga Sarawak menyertai Malaysia.




                                          17
Kesimpulan    (2/3m)

       Perubahan-perubahan pentadbiran yang berlaku di Sabah dan Sarawak telah
memberi impak kepada masyarakat tempatan dari sudut politik, ekonomi dan sosial.
Perubahan politik di Sarawak, umpamanya telah menyebabkan kuasa pembesar-pembesar
peribumi semakin terhakis. Oleh itu ,timbul beberapa pemberontakan seperti peristiwa
penentangan Syarif Masahor, Rentap, Abdul Ghafur, dan Banting. Manakala, di Sabah
berlaku kebangkitan Mat Salleh dan Antanum. Mereka kebanyakannya kehilangan
pengaruh dan kuasa ke atas sumber ekonomi dan politik. Semuanya telah diambil alih
oleh pemerintah Barat yang memperkenalkan undang-undang dan perlembagaan baru.
Kuasa diserahkan kepada golongan pegawai-pegawai yang dilantik oleh kerajaan.




                                        18
6.     Huraikan rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dari
       tahun 1957 hingga tahun 1963.

Pendahuluan (3/2m)

        Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, perbezaan jurang
ekonomi antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain masih berterusan. Justeru, kerajaan telah
memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi luar bandar dengan matlamat untuk
menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi agar dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di Tanah
Melayu. Rancangan pembangunan ekonomi dari tahun 1957 hingga tahun 1963 adalah untuk
mengatasi masalah sosioekonomi seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi yang telah
wujud akibat dasar kolonial British. Pada keseluruhannya, terdapat dua fasa penting rancangan
pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu Rancangan Malaya Pertama (1956
– 1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961 – 1965).

Isi – (20m)

A.     Rancangan Malaya Pertama 1956 – 1960 (10m)

a)      Rancangan Malaya Pertama ialah rancangan pembangunan ekonomi yang pertama
dilaksanakan selepas negara kita mencapai kemerdekaan. Matlamat utama rancangan ini adalah
untuk membangunkan sektor ekonomi di luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi
antara penduduk bandar dan luar bandar. Selain itu, rancangan ini juga bermatlamat untuk
mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar. Kerajaan
memperuntukkan lebih daripada $1000 juta untuk mencapai matlamat rancangan tersebut.

b)     Di bawah Rancangan Malaya Pertama bidang-bidang yang diberi tumpuan ialah sektor
ekonomi sebanyak 60%, sektor perkhidmatan sosial sebanyak 30% dan sektor awam sebanyak
10%. Dengan tumpuan ini adalah diharapkan bahawa ketidakseimbangan ekonomi antara
kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

c)     Dalam sektor ekonomi perkara-perkara yang diutamakan ialah :

     -Penanaman semula getah di ladang dan kebun kecil.
     -Pembukaan tanah baru untuk pertanian.
     - Kepelbagaian keluaran petani dan nelayan.
     - Peluasan perusahaan perlombongan.
     - Galakan terhadap pembangunan perusahaan.
     - Pembentukan dasar penggunaan tanah yang sesuai.

d)      Sektor perkhidmatan sosial pula mengutamakan kemajuan kesihatan, pendidikan,
perumahan, pembaikan dan pemodenan dalam sistem perhubungan yang ada serta pembangunan
majlis perbandaran dalam jangka masa 10 tahun. Seterusnya, dalam sektor awam diutamakan
perkhidmatan yang bercorak ketenteraan dan keselamatan serta pembinaan balai polis, pejabat
pos, mahkamah dan rumah kerajaan.

e)      Rancangan ini juga bertujuan mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya negara kita
tidak terlalu bergantung kepada pengeluaran komoditi getah dan bijih timah sahaja,
menambahkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat luar bandar, mengurangkan
ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan luar bandar dan bandar, meningkatkan sumber



                                             19
pendapatan negara dan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan perumahan
bagi penduduk luar bandar.

f)      Untuk menjayakan Rancangan Malaya Pertama , dua agensi kerajaan telah ditubuhkan
iaitu Rural Development Industrial Authority (RIDA) atau Lembaga Pembangunan Industri Luar
Bandar dan Federal Land Development Authority (FELDA) atau Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan. RIDA ditubuhkan sejak tahun 1953 bermatlamat untuk membangunkan dan
memajukan penduduk luar bandar melalui pembangunan ekonomi, sosial dan kemudahan kepada
penduduk. Antara peranan RIDA yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat
(MARA) ialah :

         -     Menggalakkan, membimbing dan melatih orang Melayu dalam sektor
               perdagangan dan perindustrian.

         -     Memberi pinjaman kepada usahawan Melayu yang ingin memulakan perniagaan.

         -     Menggalakkan orang Melayu mengusahakan perusahaan kecil di luar bandar
               berasaskan kegiatan tradisional seperti kilang padi, perusahaan kampung
               pemprosesan makanan dan buah-buahan.

         -     Memperkenalkan program latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan
               penduduk luar bandar, terutamanya golongan belia.

         -     Menyediakan bantuan modal teknikal bagi kaum Bumiputera untuk menceburi
               bidang perusahaan dan perniagaan.

g)      FELDA pula ditubuhkan pada tahun 1956 sebagai badan berkanun yang
bertangggungjawab melaksanakan pembangunan tanah dan petempatan di luar bandar. Pada
amnya, FELDA dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perkara-perkara berikut :

     -         Membuka tanah-tanah baru untuk penanaman getah dan kelapa sawit.

     -         Menempatkan penduduk luar bandar dalam skim FELDA yang disediakan
               kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya, klinik dan
               sekolah.

     -         Memberikan tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah atau tidak cukup
               tanah.

     -         Meninggikan taraf hidup penduduk luar bandar yang kebanyakannya menyara
               hidup sebagai petani.

h)      Secara keseluruhannya, skim FELDA telah ditanam dengan kelapa sawit sebanyak 59.6
% dan getah sebanyak 40.4 %. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar ditubuhkan
pada tahun 1959 yang diketuai oleh Dato‟ Abdul Razak bin Dato‟ Hussein, Timbalan Perdana
Menteri pada masa itu. Kementerian ini bertanggungjawab menjalankan tugas menyelaras,
mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar. Agensi RIDA dan
FELDA telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggiatkan pembangunan ekonomi di
kawasan luar bandar.




                                            20
i)      Pada keseluruhannya, Rancangan Malaya Pertama kurang mencapai matlamatnya kerana
pada masa itu negara masih menghadapi ancaman komunis. Sebanyak 54.5% daripada
peruntukan rancangan ini terpaksa digunakan untuk keselamatan negara bagi menghadapi
ancaman komunis. Pada masa yang sama, negara menghadapi masalah kewangan akibat
kejatuhan harga getah dan bijih timah sedangkan kedua-dua komoditi ini merupakan sumber
pandapatan utama bagi kerajaan.

B.       Rancangan Malaya Kedua 1961 – 1965 (10m)

a)      Rancangan Malaya Kedua dilaksanakan dengan tujuan untuk meneruskan objektif-
objektif Rancangan Malaya Pertama seperti penyediaan lebih banyak kemudahan asas dan
menggalakkan kepelbagaian ekonomi di kawasan luar bandar. Selain itu, beberapa matlamat baru
diperkenalkan setelah menyedari kepincangan Rancangan Malaya Pertama dan beberapa masalah
yang perlu diberi pertimbangan.
b)      Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $3,180 juta untuk menjayakan Rancangan
Malaya Kedua. Antara tujuan-tujuan baru yang ada ialah usaha mempelbagaikan ekonomi dan
pertanian supaya tidak terlalu bergantung kepada getah dan bijih timah, memesatkan lagi
perusahaan pembuatan supaya dapat mengatasi masalah pengangguran dalam negara dan
meninggikan pengeluaran bahan-bahan makanan.

c)      Di bawah Rancangan Malaya Kedua, FELDA telah memainkan peranan penting dalam
mempergiatkan rancangan pembukaan tanah dan petempatan wilayah untuk memberikan peluang
pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar. Antara tahun-tahun 1956 hingga 1963,
FELDA telah membuka kawasan-kawasan tanah yang luas. Setiap skim FELDA meliputi
kawasan seluas 1600 – 2000 hektar. Getah ataupun kelapa sawit telah ditanam, sementara
perumahan dan kemudahan-kemudahan lain juga disediakan.

d)      Masalah besar yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil ialah pemasaran hasil tanaman
mereka. Untuk mangatasi masalah ini Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah
ditubuhkan oleh kerajaan.FAMA ditubuhkan dengan tujuan untuk memperbaiki dan
mempertingkat sistem penyimpanan dan pemasaran hasil pertanian, terutama yang dihasilkan
oleh petani di luar bandar.

e)       Seterusnya, objektif-objektif lain penubuhan FAMA ialah :

     -          Menjamin pasaran hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan
                koko.

     -          Mengurangkan monopoli orang tengah.

     -          Menentukan harga yang berpatutan kepada petani.

     -          Memberi dorongan kepada petani supaya menambahkan pengeluaran.

f)      Dua strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam melaksanakan Rancangan Malaya
Kedua ialah :

     -          Penyertaan dan penglibatan rakyat dalam proses perancangan dan pelaksanaan.

     -          Perancangan program oleh kerajaan berdasarkan permintaan rakyat setempat.



                                               21
g)       Dato‟ Abdul Razak bin Dato‟ Hussein telah menubuhkan Bilik Gerakan Negara yang
berpusat di Kuala Lumpur untuk membuat rancangan pembangunan ekonomi. Bilik Gerakan ini
juga ditubuhkan di setiap pejabat daerah seluruh negara. Pegawai Daerah dipertanggungjawabkan
untuk melaksanakan program pembangunan di daerah masing-masing.Bilik Gerakan Negara
mengadakan kawalan rapi terhadap pembangunan ekonomi dengan mengumpulkan segala
perangkaan, peta dan carta yang menunjukkan kemajuan setiap kawasan.

h)     Maklumat-maklumat yang dikumpulkan dimuatkan dalam Buku Merah yang
mengandungi peta, carta dan butir-butir kemajuan tentang projek-projek pembangunan luar
bandar yang sedang dijalankan. Selain itu, jentera pentadbiran di peringkat negeri, daerah dan
mukim telah ditubuhkan untuk menggerak, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan.

Kesimpulan (2/3m)

        Jelaslah di sini menunjukkan bahawa kerajaan memang mengambil langkah yang positif
dalam usaha meninggikan taraf hidup masyarakat luar bandar, dan menghapuskan atau
merapatkan jurang ekonomi antara penduduk peribumi di kawasan luar bandar dengan penduduk
di bandar. Walaupun usaha yang dilakukan oleh kerajaan tidak berjaya sepenuhnya, namun
setidak-tidaknya usaha dan inisiatif kerajaan adalah berhasil mencapai tujuan dan matlamatnya.
Perkembangan ekonomi luar bandar lebih menampakkan kejayaan dalam Rancangan Malaya
Kedua kerana dengan penubuhan FAMA membolehkan petani menjual hasil pertanian mereka
dan menambahkan pendapatan.




                                             22
7.        Huraikan sistem ekonomi tradisional di India dan China sebelum
          kedatangan kuasa Barat.


Pendahuluan (3/2m)

        Sektor ekonomi merupakan salah satu faktor penting yang harus diberikan perhatian
dalam melihat struktur masyarakat di Asia Selatan dan Asia Timur. Secara umumnya, masyarakat
tempatan di India dan di China mengamalkan sistem ekonomi sara diri sebelum kedatangan kuasa
Barat. Sistem ekonomi sara diri ini melibatkan kegiatan pertanian sebagai asas ekonomi di
samping kegiatan-kegiatan lain seperti penangkapan ikan, pemungutan hasil-hasil hutan dan
kegiatan perlombongan serta perdagangan secara kecil-kecilan.

Isi – (20m)

A.        Sistem ekonomi tradisional di India (10m)

a)      Pertanian sara diri merupakan aktiviti utama dalam sistem ekonomi sara diri di India
sebelum kedatangan kuasa Barat. Aktiviti pertanian sara diri di India bersifat milik komunal atau
bersama yang dilaksanakan oleh ahli keluarga. Tanah menjadi milik kerajaan tetapi rakyat
dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka dan bersedia untuk berkhidmat kepada pemerintah
atau membayar cukai jika diperlukan.

b)        Daya pengeluaran pertanian sara diri di India adalah rendah kerana penggunaan sistem
tradisional dan kebergantungan petani kepada hujan turut menjejaskan hasilnya. Selain itu,
masyarakat petani yang miskin turut mengalami penindasan daripada tuan-tuan tanah (zamindar)
yang sering sahaja menekan para petani dengan kadar cukai yang sentiasa berubah. Di samping
itu, institusi kasta yang menjadi teras dalam masyarakat India turut dilihat mengikat masyarakat
yang menjalankan sistem ekonomi sara diri di India kerana mereka tetap hidup sebagai petani
buat selama-lamanya.

c)      Secara umumnya, dalam sistem ekonomi sara diri di India terdapat beberapa ciri yang
nyata iaitu :

      -          Sistem ekonomi sara diri adalah berteraskan sektor pertanian. Malah melalui
                 bancian pekerjaan pada tahun 1872, didapati bahawa 68.5% orang lelaki dewasa
                 bekerja sebagai petani. Hal ini bermakna masyarakat petani merupakan
                 kumpulan yang terbanyak dalam masyarakat di India.

      -          Perkampungan merupakan unit asas ekonomi dan sosial India, iaitu hampir 90%
                 penduduk India tinggal di kawasan ini. Aktiviti pertanian masih lagi bersifat
                 milik bersama sementara hak individu masih lagi asing kepada masyarakat luar
                 bandar.

      -          Bidang pembuatan di kawasan kampung juga berkembang perlahan dan setiap
                 kampung mempunyai kelas pertukangan mereka sendiri yang bertanggungjawab
                 membuat peralatan pertukangan yang hanya digunakan di kampung tersebut
                 sahaja.




                                               23
d)      Tumpuan utama aktiviti pertanian di India ialah kegiatan penanaman padi yang
dijalankan secara meluas. Padi ditanam di kawasan lembah-lembah sungai seperti lembah Sungai
Ganges, Sungai Indus dan Sungai Mahanadi. Selain itu, aktiviti ini juga bergantung sepenuhnya
kepada hujan. Wilayah Bengal atau Benggala di timur India merupakan kawasan penanaman padi
utama. Di samping penanaman padi, penanaman kapas juga merupakan aktiviti penting yang
dijalankan oleh petani-petani di India. Kapas menjadi sumber asas terpenting untuk pembuatan
kain-kain kapas di India sejak beberapa abad yang lalu. Pedagang India telah menjadikan kain
kapas sebagai hasil dagangan mereka dan diperdagangkan hingga ke Asia Tenggara.

e)      Terdapat dua jenis kain kapas yang penting di bahagian utara India, iaitu kain calico dan
muslin yang dihasilkan di Dacca, Lucknow, Patna dan Mitnapore. Di bahagian barat laut India
terdapat kain kapas jenis bafta, muslin, dhoti dan chintz yang dikeluarkan di Surat, Cambay,
Ahmadebad dan Poona.

f)       Aktiviti penternakan terutama penternakan lembu turut menjadi aktiviti sampingan
kepada petani. Binatang ternakan selalunya dibiarkan berkeliaran untuk meragut rumput di
sekeliling perkampungan mereka.

B.      Sistem ekonomi tradisional di China (10m)

a)       Di China aktiviti sara diri turut menjadi sektor ekonomi yang penting sebelum
kedatangan kuasa Barat terutama di kawasan yang mempunyai tahap kesuburan tanah yang tinggi
seperti di lembah-lembah sungai.

b)      Kekerapan berlakunya banjir bukan sahaja membawa kemusnahan kepada masyarakat
China malah sebenarnya turut membawa faedah yang besar. Tanah lumpur tinggalan banjir yang
telah surut sebenarnya menjadi kawasan lembah sungai sebagai kawasan yang sangat subur.
Kesuburan ini membolehkan pelbagai jenis tanaman dapat ditanam dan menjadi sumber utama
kepada petani-petani China.

c)      Secara umumnya, pada abad ke-19, 80% penduduk Negara China merupakan petani dan
sebahagian daripada mereka menjalankan aktiviti pertanian yang bersifat sara diri. Hal ini
bermakna bahawa hasil daripada aktiviti pertanian sebenarnya hanyalah sekadar „cukup hidup‟
sahaja. Bencana alam seperti banjir dan kemarau menjadi musuh utama kepada petani di China
kerana akan memusnahkan tanaman mereka.

d)       Padi merupakan tanaman sara diri utama di China di sekitar lembah Sungai Yang-tze dan
Sungai Hwang-ho terutama di selatan dan tenggara China. Di kawasan Szechwan terdapat
tanaman padi yang dijalankan pada musim sejuk dan juga padi huma di bahagian utara China.
Selain daripada tanaman padi penanaman sekoi dan kacang soya yang disifatkan sebagai tanaman
kering turut dijalankan di bahagian utara dan timur laut China. Seterusnya tanaman gandum dan
millet juga diusahakan oleh petani-petani di bahagian tengah Negara China manakala tanaman
rumput dijalankan di bahagian sempadan Mongolia yang dikenali sebagai padang rumput
Mongolia.

e)      Selain itu, masyarakat China juga banyak menanam sayur hingga melahirkan idea
„vegetable civilization‟, iaitu semua tanah kosong termasuklah di halaman atau di belakang
rumah dijadikan kawasan menanam sayur seperti kailan, sawi dan kacang panjang. Di samping
kegiatan pertanian, kegiatan penternakan juga dijalankan di China. Antara binatang ternakan yang
penting termasuklah ayam, itik dan khinzir yang menjadi makanan penting masyarakat di China.



                                               24
Kesimpulan (2/3m)

       Kedatangan kuasa Barat ke Asia Selatan dan ke Asia Timur telah membawa perubahan
yang besar dalam sistem ekonomi di India dan di China terutama pada abad ke-20. Sistem
ekonomi tradisional yang menjadi amalan masyarakat sebelum ini telah bertukar kepada sistem
ekonomi komersial yang telah diperkenalkan oleh kuasa-kuasa Barat yang bertapak di India dan
di China. Meskipun sektor pertanian masih dijalankan, tetapi sistem ekonominya telah berubah
kepada sistem ekonomi pertanian secara komersial.




                                            25
8    Huraikan Peranan Pembesar di Myanmar dan Thailand sebelum Perluasan
     Pengaruh Barat

Pendahuluan (3/2m)

        Institusi pemerintahan di Asia Tenggara bukan sekadar mengandungi raja yang
berada di kemuncak hierarki sahaja, malah institusi ini turut disokong oleh institusi
pembesar. Secara amnya, pembesar bermakna pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik
oleh raja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan tugas-tugas dalam bidang
kuasa yang ditetapkan kepadanya. Di Myanmar dan Thailand, pembesar memainkan
peranan penting dalam sistem pemerintahan dan berada pada kedudukan kedua selepas
kedudukan raja dalam melaksanakan pentadbiran. Di Myanmar sistem pembesar yang
diamalkan pada abad ke-19 adalah di bawah sistem feudal yang berakar umbi dan
menjadi kuat sejak kemunculan dinasti Konbaung pada 1752. Ia mengandungi 11 dinasti
sebelum kejatuhannya di tangan Inggeris semasa pemerintahan Maharaja Thibaw 1878.
Sementara di Thailand sistem pembesar feudal menjadi kukuh pada zaman dinasti
Chakri yang diasaskan oleh Pya Taksin pada 1767 hingga kini.

Isi- (20m)

A.     Peranan Pembesar di Myanmar (12m)

       Pembesar memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan.Mereka
membantu raja dalam melaksanakan pentadbiran. Pembesar di Myanmar dapat di
bahagikan kepada beberapa peringkat:

1.     Pembesar Pusat

i.     Wungyi atau Ketua Menteri.

a)      Raja menurunkan kuasa kepada empat Wungyi yang mengandungi Hlutdaw (
Majlis Pelaksanaan Tertinggi Diraja). Mereka ini adalah menteri-menteri berjawatan
tinggi dan biasanya orang-orang yang berkebolehan. Mempunyai taraf yang tinggi dan
menjalankan kuasa raja.Mereka terdiri daripada empat orang menteri kanan.

b)      Sungguhpun Hlutdaw cuma meluluskan semua titah perintah raja , namun dia
boleh membuat keputusan-keputusan yang biasanya diperkenankan oleh raja. Bidang
kuasa Hlutdaw adalah seperti bidang jenayah dan timbang tara awam. Hlutdaw yang
bijak mampu menyekat kemutlakkan raja terutama apabila raja itu bersedia mendengar
nasihat yang diberikannya. Terdapat juga Hlutdaw yang tidak mampu menyekat
kemutlakan raja terutama apabila raja yang bersifat autokratik. Kadang-kala ada yang
menentang akan dipenjarakan atau dipecat.




                                         26
c)     Dari segi prinsipnya Hlutdaw memiliki kuasa yang besar sebagai Majlis Tertinggi
Kerajaan. Sungguhpun kuasa mereka menjangkau ke seluruh kerajaan tetapi pada
amalannya kerajaan daerah dikuasai oleh Myowun (gabenor).

ii) Wundauk atau Menteri Muda


a)   Di bawah Wungyi terdapat Wundauk yang bertugas sebagai penolong-penolong
Wungyi. Mereka ini dianggap sebagai menteri-menteri kelas ke dua.

iii. Atwinwun atau pegawai istana

a)     Tugasnya mengawal dan mengendalikan petugas-petugas istana. Darjatnya
lebih rendah daripada Wundauk tetapi lebih berkuasa daripada Wundauk kerana
hubungannya yang rapat dengan raja. Bilangan Atwinwun antara empat hingga lapan
orang.

b)     Pentadbiran di dalam istana sendiri berada di dalam tangan Atwinwun. Bilangan
mereka adalah seramai empat hingga lapan pegawai. Mereka diberi tugas mengawal
terus beberapa ratus orang yang melakukan berbagai-bagai tugas mengawal terus
beberapa ratus orang yang melakukan berbagai tugas di istana.

c)         Mereka juga bertindak sebagai „Privy Councillor‟ kepada raja. Dengan itu
pengaruh mereka kadang kala lebih besar daripada empat Wungyi yang berpangkat
tinggi. Semasa pemerintahan Raja Thibaw golongan ini memainkan peranan besar di
istana sehingga merekalah yang menjalankan tugas Hlutdaw . Ahli-ahli dari keluarga
diraja sahaja yang boleh memasuki Atwinwun.

2.     Pembesar Daerah

i. Myowun atau gabenor

a)     Bertindak sebagai pembesar daerah atau wilayah. Pengaruh pembesar wilayah
bergantung kepada hubungannya dengan raja. Semakin rapat hubungannya dengan raja
maka semakin berkuasa dan berpengaruhlah Myowun. Myowun bertanggungjawab
terhadap pentadbiran wilayah.

b)      Myowun yang berada di kawasan luar kerajaan menjalankan kuasa atas dasar
feudal. Tugas mereka adalah seperti memungut cukai-cukai rumah berdasarkan 10-15%
daripada hasil tahunan rakyat.Mereka kemudian akan menghantar 60-80% kepada raja.
Bakinya akan disimpan untuk kegunaan mereka sendiri.

c)     Myowun yang berada di sempadan-sempadan diberi peranan lebih penting kerana
mengiringi diplomat-diplomat asing yang datang. Umpamanya Myowun di Pegu, Bhamo,
dan Akyab biasanya membuat persediaan menyambut diplomat asing.Mereka boleh
memberi layanan baik dan buruk kepada diplomat asing ,misalnya Hiram Cox diberi



                                         27
layanan buruk oleh Myowun Pegu. Sebaliknya, Michael Symes telah diberi segala
kerjasama untuk melicinkan perjalannnya ke ibu negeri.

d)      Akunwun pula adalah pegawai yang membantu Myowun yang bertugas sebagai
pemungut cukai dan pengawas jelapang. Sitke pula bertugas sebagai pengawal polis,unit-
unit tentera tempatan dan hal ehwal agama.Di pelabuhan Wun-wun tambahan mengawal
perkapalan, kastam dan eksais dan kemudahan-kemudahan pelabuhan.

e)      Terdapat juga Hlutdaw wilayah yang dipanggil Myoyon bertindak sebagai
mahkamah awam. Semua ahli-ahlinya adalah pegawai-pegawai kanan yang
bertanggungjawab kepada Myowun . Denda-denda yang dikenakan oleh Myoyon akan
diagih kepada Myowun sama banyak.

ii).   Myosa

a)    Merupakan tuan-tuan tanah yang kaya. Mereka terdiri daripada golongan
bangsawan daripada keluarga raja yang memegang jawatan perkhidmatan awam dan
menjadi pengiring raja. Mereka memperoleh pendapatan daripada cukai-cukai yang
dikumpulkan di bandar-bandar dan kampung yang terletak di bawah kekuasaan mereka.

iii)   Myothugyi (Ketua-ketua Bandar)

a)     Ketua- ketua ini bertanggungjawab mengawal nyawa rakyat. Ketua-ketua ini
menerima penghormatan dan taat setia dari orang-orang kampung mereka. Jawatan ini
disandang secara turun temurun. Mereka dikecualikan daripada cukai dan dibenarkan
menggunakan alatan yang diperbuat daripada Perak. Ia juga bertugas sebagai wakil sosial
rakyatnya.

iv)    Taikthughi/Ywthughi /Ketua kampung

a)    Di Bahagian Hilir Burma yang masyarakatnya kurang stabil dari segi politiknya.
Bahagian-bahagian kecil bandar Myothughi telah diberikan kepada pemerintahan ketua
kampung yang digelar Taikthughi. Mereka juga bertanggungjawab terhadap pungutan
cukai dan menjalankan undang-undang diperingkat kampung. Jawatan ini diwarisi
seumur hidup.


B. Peranan Pembesar di Thailand (8m)

a)      Pembesar memainkan peranan penting dalam membantu raja dalam pentadbiran
Pembesar daripada keluarga diraja digelar sebagai golongan Chao.Golongan Chao
terbahagi kepada tiga peringkat ,iaitu Chao Fa, iaitu putera raja yang memerintah dengan
permaisuri. Phra Ong Chao, iaitu putera raja dengan gundik atau putera kepada Chao
Fa dengan isterinya berkedudukan Chao. Man Chao, anak Chao Fa dengan dengan
isterinya yang tidak berkedudukan Chao.




                                          28
b)     Kalangan pembesar turut membentuk satu bahagian penting dalam keseluruhan
sistem pemerintahan di Thai. Kalangan pembesar ini terdiri daripada kalangan
bangsawan yang digelar Khunnang, serta anak-anak raja. Pembesar atau Khunnang di
bahagikan kepada beberapa jabatan (krom). Antaranya, Krom Mahattai atau Jabatan Hal
Ehwal Pentadbiran Awam . Ia merupakan jabatan yang paling berprestij. Krom Klahon
atau jabatan pertahanan Krom Khlang atau jabatan kewangan dan hubungan
luar.Pembesar yang mengetuai ketiga-tiga krom /jabatan ini adalah pembesar kanan yang
berhubung terus kepada raja.

c)       Ketua krom Mahattai memakai gelaran Samuha Nayok yang turut
bertanggungjawab mengawal wilayah utara Siam. Ketua Krom Kalahon memakai
gelaran Samuha Phra Kalahon atau Ketua Menteri yang mentadbir bahagian Selatan dan
turut menjaga aspek pertahanan.Ketua Krom Khlang memakai gelaran Chao Phraya Phra
Khlang yang bertanggungjawab mengawal kawasan pesisir pantai dan teluk Siam.

d)      Di bawah Ketua Krom Kalahon dan Mahattai terdapat para pembesar yang
berjawatan lebih rendah. Mereka ini terdiri daripada empat Krom yang termasuk dalam
kebinet pemerintah Siam. Keempat-empat krom ini dikenali Jatusadom atau 4 jabatan
kanan yang bertanggugjawab melicinkan pentadbiran Siam. Keempat-empat jabatan ini
terdiri daripada Krom Muang atau Jabatan Ibu Kota yang bertanggungjawab terhadap
pentadbiran ibu kota dan kawasan sekitarnya. Krom Na atau jabatan tanah yang
bertanggungjawab kepada pentadbiran tanah. Krom Wang atau jabatan Istana yang
bertanggungjawab kepada soal istana. Satu lagi ialah Krom Khlang.

e)      Matlamat utama sistem pentadbiran pusat dan wilayah di Thai ialah untuk
melicinkan pentadbiran kerajaan. Mereka juga mempunyai matlamat untuk menguasai
sumber tenaga manusia, iaitu unsur penting yang dapat menjamin kedudukan ekonomi,
politik dan sosial mereka.

Kesimpulan (2/3m)

        Tidak boleh dinafikan bahawa sistem pembesar merupakan satu aset penting
dalam sistem pemerintahan di Thai dan Myanmar. Mereka telah membantu raja di negara
masing-masing di peringkat kuasa masing-masing. Selepas kedatangan kuasa Barat pada
abad ke-19, pihak Inggeris telah menghapuskan peranan pembesar feudal ini. Sistem
pemerintahan bercorak British diperkenalkan dan jauh berbeza dengan sistem
pemerintahan tradisional. British amat menekankan undang-undang, manakala
pemerintahan tradisional bersifat terbuka dan bergantung kepada raja. Di Thai kerajaan
beraja tidak pernah diganti oleh Barat hingga sistem feudal yang bernaung di bawah raja
kekal berterusan. Namun terdapat perubahan-perubahan dilakukan oleh Maharaja
Mongkut dan Chulalongkorn . Modenisasi dilakukan untuk memenuhi hasrat Barat yang
menguasai Asia Tengara pada abad ke-19. Oleh itu, sistem pentadbiran daerah
diperkenalkan yang dinamakan Thesaphiban pada tahun 1893, dibawah kendalian
Kementerian Dalam Negeri.Dengan ini pngaruh pembesar-pembesar daerah dihapuskan
dan kerajaan pusat bertambah kuat.




                                          29
9.   “ Perbezaan nilai Barat dengan Timur telah mencetuskan Perang Candu 1 (1839-1842)
      di China dan Perang Inggeris Burma III (1885-1886) di Myanmar”. Bincangkan.

Pendahuluan (3/2m)

         Perang Inggeris-China Pertama juga dikenali sebagai Perang Candu. Perang ini
menandakan kemerosotan Dinasti Manchu dan bermulanya perluasan pengaruh Barat ke atas
China. Perang Inggeris-Burma Ketiga pula merupakan lanjutan daripada Perang Inggeris-Burma
pertama dan kedua. Perang Inggeris-Burma Ketiga menandakan penguasaan sepenuhnya
Inggeris ke atas Burma. Tidak dapat disangkal bahawa kedua-dua perang ini berlaku adalah
diakibatkan oleh pertembungan nilai antara negara-negara yang terlibat dengan tidak menafikan
faktor lain juga menyumbang ke arah perang tersebut.

Isi – (20m)

1.      Faktor pertembungan nilai (10m)

i.     China

Konsep kebudayaan dan prinsip persamaan taraf yang bertentangan

a)      China menganggap dirinya bertamadun (middle kingdom )dan barat sebagai orang tidak
bertamadun (barbarian) dan hantu siang. China enggan mengadakan hubungan diplomatik atas
dasar persamaan taraf. China menganggap negaranya "Chung Kuo" atau Pusat Dunia yang
bertamadun. Raja China pula dianggap anak syurga dan pemerintah universal. Oleh itu orang
barat dianggap bertaraf rendah. Orang Cina enggan menjalinkan hubungan dengan kuasa Barat,
atas dasar persamaan taraf.. Orang Barat yang ingin mengadakan hubungan dengan China, mesti
melakukan adat meniarap sebanyak 9 kali ( Kow tow ) di hadapan Maharaja China. Adat ini
bertujuan mengakui kekuasaan serta tunduk kepada Maharaja China.

Undang-undang Bertentangan

a)       Konsep undang-undang China bertentangan dengan undang-undang Barat. Dalam sistem
mahkamah di negeri China, tidak terdapat badan penasihat undang-undang. Badan kehakimannya
juga tertakluk kepada kerajaan sedangkan di Barat badan kehakiman merupakan satu badan yang
bebas. Dalam undang-undang China, seseorang tahanan adalah dianggap bersalah dan akan
ditahan sehingga ia dapat membuktikan bahawa ia tidak bersalah. Sebaliknya di Barat, seseorang
itu belum lagi dianggap bersalah sehingga ia diadili dan didapati bersalah oleh pihak mahkamah.
Dalam undang-undang China, jika orang yang bersalah dapat tidak dapat ditangkap dan dihukum,
maka ayah, ahli keluarga, orang kampung, majistret atau wizurai akan dipertanggungjawabkan.

b)      Bagi orang-orang Barat, undang-undang China tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.
Hukuman-hukuman yang dijatuhkan dianggap kejam seperti hukuman 'cekik sampai mati'.
Contohnya peristiwa kapal Lady Hughes ( rakyat Britain) yang melepaskan tembakan
penghormatan apabila sampai di Whampoa dan tembakan itu terkena dan membunuh seorang
rakyat China. Kelasi kapal itu telah dicekik sampai mati tanpa dibicarakan apabila diserahkan
kepada kerajaan China.




                                              30
Dasar Perdagangan yang bertentangan

a)      Terdapat pertentangan pandangan diantara orang Cina dengan Inggeris terhadap konsep
perdagangan. Orang-orang Cina merasakan ia tidak perlu menjalinkan hubungan dagang dengan
Inggeris memandangkan China dapat memenuhi segala keperluannya dan pertanian merupakan
sumber ekonomi utamanya. Orang Cina menganggap perdagangan adalah kegiatan yang hina.

b)      China mengamalkan ekonomi sara diri dan tidak memerlukan barang-barang dari luar.
China juga boleh menghasilkan sendiri barang-barang itu untuk keperluan dalam negeri. Barat
sangat berminat menjalinkan hubungan dagang dengan China kerana sumber ekonomi dan
kekayaan China dapat memenuhi keperluan perindustrian mereka. Oleh kerana nilai yang
berbeza terhadap aktiviti perdagangan, China telah mengadakan pelbagai peraturan perdagangan
yang menyusahkan British. China menghadkan pelabuhan Canton sahaja untuk pedagang asing
dan mereka hanya boleh menjalinkan hubungan dagang dengan Kesatuan saudagar China yang
digelar Co-Hong. Pedagang asing juga tidak dibenarkan membawa keluarga ke Canton. Cukai
yang tinggi dengan kadar yang tidak tetap juga dikenakan kepada pedagang asing ini.

c)       Tindak tanduk pegawai-pegawai China dan Co-Hong menimbulkan rasa tidak puas hati
dalam kalangan saudagar-saudagar Barat. Saudagar-saudagar Barat dikehendaki mengamalkan
cara hidup masyarakat bawahan yang dianggap menghina kedudukan mereka. Pegawai-pegawai
China mengadakan pelbagai peraturan untuk kepentingan mereka sendiri. Co-Hong juga
mendapat hak monopoli perdagangan yang sering kali mengambil kesempatan dengan
menggunakan pemerasan dan melakukan rasuah, walaupun perbuatan itu dilarang oleh kerajaan
China. Co-Hong juga sering berhutang dengan saudagar-saudagar asing tetapi hutang-hutang itu
tidak diselesaikan dengan baik.

ii)    Burma (Myanmar)

Masalah kasut

a)      Masalah timbul pada masa pemerintahan Mindon Min yang mengakibatkan terputusnya
hubungan diplomatik Burma-British. Menurut tradisi Burma orang Barat dimestikan
menanggalkan kasut dan duduk bersila ketika mengadap raja. Tindakan ini dianggap biadap pula
oleh orang barat (British). Tahun 1875 kerajaan British telah mengarahkan Douglas Forsyth
supaya tidak membuka kasut ketika mengadap raja Burma. Ini telah menimbulkan kemarahan
Raja Mindon Min dan beliau telah menghalau wakil British itu dan telah memutuskan hubungan
diplomatik dengan British.

2.     Faktor-faktor lain (10m)

i)      China

Masalah Candu

a)      British telah membawa candu ke China untuk mengimbangi perdagangan teh di China.
Import candu yang besar ke China telah berjaya mengimbangi eksport teh. Keadaan ini
membimbangkan kerajaan China kerana berlakunya pengaliran keluar wang perak yang
menjejaskan ekonomi China. Kerajaan China juga menentang import candu kerana menjejaskan
kesihatan orang-orang China. Tahun 1839, Maharaja China menghantar Lin Tsu-hse sebagai
Pesuruhjaya Imperial ke Canton untuk menghapuskan sama sekali perdagangan candu. Lin Tsu-
hse mengeluarkan perintah supaya orang asing menyerahkan candu kepada kerajaan China dan


                                            31
memberi akuan untuk tidak lagi membawa candu. Penguasa perdagangan British di Canton,
Kapten Elliot menyerahkan 20 283 buah peti candu tetapi enggan memberi surat akuan untuk
tidak membawa candu.


ii)    Burma (Myanmar)

Monopoli raja terhadap perdagangan

a)      Peraturan perdagangan terhad yang dikenakan oleh Burma telah menimbulkan rasa tidak
puas hati golongan pedagang British. Raja Burma tidak mematuhi perjanjian had monopoli raja
ke atas sumber ekonomi yang ditandatangani dengan British. Menurut perjanjian itu had
monopoli raja hanyalah ke atas minyak, batu permata dan kayu jati. Namun dari segi praktiknya
ia diperluaskan ke atas kapas, gandum, gula dan gading. Keadaan ini mendorong pedagang
British mendesak kerajaannya supaya campur tangan.

Kezaliman Raja Thibaw

a)     Raja Thibaw merupakan seorang pemerintah yang lemah. Baginda sering dipengaruhi
oleh permaisurinya Ratu Supayalat dalam setiap tindakan yang hendak dilakukannya. Ratu
Supayalat telah mengarahkan Raja Thibaw menyingkirkan ramai menterinya. Raja Thibaw
membunuh 80 orang keluarga diraja Myanmar. Pada tahun 1884, Raja Thibaw telah melakukan
pembunuhan beramai-ramai di Mandalay. Tindakan Raja Thibaw ini telah menimbulkan
kebimbangan Inggeris tentang keselamatan Residen dan saudagar-saudagar British di Myanmar.
Keadaan ini menyebabkan golongan saudagar ini telah mendesak kerajaan British menawan
Myanmar Hulu.

Hubungan baik Myanmar dengan Perancis

a)      Keretakan hubungan dengan British memberi peluang Raja Thibaw untuk mewujudkan
hubungan dengan kuasa Perancis. Satu perjanjian perdagangan Myanmar-Perancis telah
dimeterai pada 1885 di Paris. Peristiwa tersebut telah mengejutkan British dan lebih
membimbangkan ialah tersebarnya berita bahawa Perancis diberi kebenaran mengambil alih
monopoli diraja, menguasai sistem pos, mengendalikan kapal-kapal wap di sepanjang Sungai
Irrawady dan membuka perdagangan daratan di Tonking. Bagi British, peperangan dengan
negara Myanmar sudah tidak dapat dielakkan lagi. Gabenor Jeneral India iaitu Lord Dufferin
berazam untuk melancarkan serangan ke atas Myanmar sebagai membalas tindakan dan
kedegilan negara itu.


Masalah Syarikat Perdagangan Bombay Burma

a)      Syarikat Perdagangan Bombay Burma merupakan sebuah syarikat pembalakan kayu jati
di Myanmar. Syarikat yang dimiliki oleh Inggeris ini telah diberikan kontrak oleh pemerintah
Myanmar untuk menjalankan operasi pembalakan dan perdagangan kayu jati di Ninyan, Toungoo
dan Myanmar Hulu. Pada bulan Ogos 1885, Raja Thibaw telah menuduh syarikat ini
menjalankan kegiatan pembalakan melebihi jumlah yang dihadkan dan membalak di luar
kawasan yang ditetapkan. Di samping itu, Inggeris juga dituduh memberikan rasuah kepada
pegawai-pegawai Myanmar dan gagal membayar gaji pekerja Myanmar. Disebalik tuduhan itu
sememangnya Myanmar berhasrat untuk menamatkan kontrak syarikat itu dan diberikan kepada
Perancis.


                                             32
b)      Syarikat itu telah dibicarakan Hlutdaw dan didapati bersalah. Syarikat tersebut
dikehendaki menjelaskan denda sebanyak 23 juta rupee kepada Raja Thibaw dan hak membalak
di Ninyan dirampas. Keputusan ini dibantah oleh Syarikat dan memohon diadakan rundingan
bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi ditolak. Tindakan Raja Thibaw ini menyebabkan
hubungan Inggeris Myanmar semakin meruncing. Pihak Inggeris telah memberi kata dua kepada
Raja Thibaw pada 6 Oktober 1885 iaitu masalah berhubung dengan Syarikat Perdagangan
Bombay Burma harus diselesaikan oleh duta Inggeris dan dasar luar Myanmar diletakkan di
bawah kekuasaan Inggeris. Raja Thibaw diberi tempoh sehingga 10 November 1885. Sementara
menunggu jawapan daripada Raja Thibaw, Inggeris telah menghantar 10 ribu orang tentera ke
Ranggoon dan akan menyerang jika jawapan yang akan diberikan itu tidak memuaskan. Jawapan
yang diberikan oleh Thibaw tidak memuaskan hati pihak Inggeris. Akibatnya Inggeris telah
memutuskan untuk menyerang Myanmar Hulu dan akhirnya Myanmar Hulu telah berjaya
dikuasai dan dijadikan sebagai tanah Jajahan Inggeris.


Kesimpulan (2/3m)

            Kesimpulannya, jelaslah menunjukkan pertembungan nilai antara Barat dan Timur
telah menjadi pencetus kepada berlakunya Perang Candu 1 dan Perang Inggeris Myanmar III.
Akibat peperangan ini, Inggeris telah dapat menamatkan dasar tutup pintu China dengan
termeterainya perjanjian Nanking 1842 yang mana beberapa pelabuhan China telah dibuka
kepada Inggeris. Manakala dalam Perang Inggeris Myanmar III, Inggeris telah berjaya
menguasai seluruh negara Myanmar dan ia telah diletakkan di bawah pentadbiran British di India.
Dengan ini, Inggeris telah berjaya menamatkan pemerintahan Dinasti Konbaung di Myanmar.




                                              33
10.   Bincangkan peranan golongan berpendidikan Barat dalam                 gerakan
      nasionalisme di Vietnam dan Thailand pada awal abad ke-20

Pendahuluan (3/2m)

        Semangat Kebangsaan atau nasionalisme dalam kalangan masyarakat Vietnam
lahir apabila Vietnam jatuh ke tangan Perancis dan Maharaja Vietnam dijadikan boneka.
Pihak Perancis juga mengetepikan sistem pemerintahan tradisional Vietnam dan berlaku
penyingkiran anak-anak tempatan dalam anggota perkhidmatan awam. Nilai-nilai Barat
diterap dalam kehidupan masyarakat termasuk sistem pendidikan. Oleh itu, lahir
golongan berpendidikan Barat yang menjadi kelas menengah dalam hierarki masyarakat
Vietnam ketika itu. Golongan ini terpengaruh dengan tulisan Montesquieu, Voltaire dan
Rousseau yang memperjuangkan aliran liberalisme. Kejayaan Revolusi China 1911,
menambah azam mereka untuk menurut jejak langkah menyingkirkan penjajah. Di
Thailand pula, gerakan nasionalisme bukan bersifat menentang penjajah sebagaimana di
Vietnam. Aliran nasionalisme di sini lebih bersifat anti-monarki, anti-Cina dan
nasionalisme ekonomi serta kebudayaan. Kebangkitan nasionalisme di Thailand berakar
umbi sejak zaman permodenan Thai pada zaman Chulalongkorn mencapai kemuncak
apabila berlaku Revolusi Thai 1932.

Isi – (20m)

A.     Peranan Golongan berpendidikan Barat di Vietnam Awal Abad ke-20 (10m)

a) Menjelang tahun 1900 perjuangan nasionalisme di Vietnam memasuki fasa kedua.
Selepas kegagalan golongan Mandarin atau cendekiawan mengembalikan kedaulatan
Vietnam , di bawah pimpinan Raja Muda Ton That Thuyet dan beberapa pemimpin lain
seperti Raja Ham Nghi dan Pham Ding Phung.. Perjuangan mereka dikenali sebagai „
Can Voung‟ yang bermatlamat mengembalikan maruah, kedudukan dan hak raja.
Kegagalan ini telah melemahkan pengaruh sekolah aliran Confucius. Mulai saat itu,
pengaruh sekolah-sekolah Perancis mulai meningkat. Golongan berpendidikan Barat ini
sedar akan nilai-nilai Barat, kebebasan dan pemerintahan sendiri. Mereka berpendapat
bahawa menyingkirkan penjajah Perancis akan membolehkan rakyat bebas daripada
kesengsaraan.

b) Beberapa orang tokoh muncul dan berperanan besar dalam gerakan nasionalisme di
Vietnam, seperti Phan Boi Chau dan Pan Chau Trinh. Kedua-duanya mempelopori aliran
perjuangan yang berbeza. Pan Boi Chau memperjuangkan aliran Revolusioner , manakala
Pan Chau Trinh mempelopori aliran perjuangan aliran Liberalisme Perancis.

c) Peranan Pan Boi Chau amat besar dalam perjuangan nasionalisme di Vietnam. Beliau
masih lagi berjuang untuk mengembalikan kuasa monarki „Can Voung‟ tetapi bukan
monarki yang bersifat tradisional. Sebaliknya beliau menginginkan sistem monarki yang
telah dimodenkan sebagaimana di Jepun. Selain itu, beliau juga mengutamakan
perjuangan bercirikan golongan menengah atau „borjuis‟ kerana terpengaruh dengan idea
pembaharuan yang dilakukan oleh Kang Yu Wei, iaitu seorang reformis negara China



                                         34
yang muncul pada tahun 1890-an. Golongan ini termasuk Pan Boi Chau sendiri
mengetepikan pengaruh Confucius, yang sebelum ini begitu diagungkan oleh golongan
Mandarin. Pan Boi Chau beranggapan doktrin Confucius sebagai sempit.

d)      Pan Boi Chau menggunakan beberapa cara untuk menentang Perancis. Antaranya
melalui tulisan yang menggambarkan kedudukan politik Vietnam. Antara tulisannya,
ialah „ Vietnam Vong Quoc Su‟ (Sejarah Jatuhnya Vietnam) dan „ Hau Cau Huyet Le
Tan Thu‟ ( Buku Seberang Laut Ditulis dengan Darah). Selain menulis beliau juga
meminta bantuan China, Jepun dan Filpina untuk menghalau Perancis daripada Vietnam.

e)     Kebangkitan Pan Boi Chau amat menggusarkan penjajah Perancis sehingga Pan
Boi Chau sendiri terpaksa melarikan diri ke China akibat tekanan yang diterima daripada
pihak Perancis. Semasa di China beliau telah menyusun semula gerakan dengan
mengambil contoh daripada gerakan Boxer (1900). Semasa di China beliau juga
mendalami idea-idea Liberal Demokrasi Barat seperti Voltaire dan Rousseau. Apabila
berlaku Perang Rusia-Jepun 1905, beliau menyeludup masuk ke Vietnam untuk
meneruskan penentangan.

f)     Pan Boi Chau kemudian melarikan diri ke Jepun dan di sana beliau menubuhkan
„Pan Nam Duy Tan Hoi‟ (Persatuan Bagi Memodenkan Vietnam). Kegiatannya turut
dibantu oleh kongsi gelap dan aktif di Tonkin. Matlamat pertubuhan ini ialah
membebaskan Vietnam daripada penjajahan Perancis dan mengembalikan semula takhta
kerajaan Vietnam. Persatuan ini menyelitkan pendidikan moden kepada rakyat dan
menyeru mereka meninggalkan amalan tradisional seperti berambut panjang dalam
kalangan laki-laki. Gerakan ini dinamakan „Pemotong Rambut‟ atau Hair Cutter.

g)     Seorang lagi pemimpin berpendidikan Barat yang terkenal ialah Pan Chu Trinh.
Aliran perjuangan beliau agak berbeza jika dibandingkan dengan Pan Boi Chau. Beliau
mahu bekerjasama dengan Perancis untuk memajukan Vietnam. Beliau menolak
pemerintahan       beraja       dan       menerima       pemerintahan      bercorak
demokrasi.Walaubagaimanapun, perjuanganya lebih lembut berasaskan liberalisme
Perancis. Perjuangan beliau lebih ke arah tuntutan sosio- ekonomi Vietnam yang
dianggap masih belum memuaskan. Pan Chu Trinh menuntut pengurangan cukai dan
menentang dasar cukai kerajaan.

h)      Pada tahun 1908 berlaku krisis politik di Vietnam apabila Perancis melantik Duy
Tan yang baru berusia 8 tahun dan menurunkan takhta Raja Thanh Tai . Berikutan itu
berlaku penentangan dalam kalangan petani yang dipimpin oleh golongan cendekiawan
seperti di Hanoi dan Annam. Tambahan pula pada tahun yang sama berlaku masalah
petani di Annam. Mereka menuntut pengurangan cukai dan dasar kerja kerah di lombong
arang batu. Selain itu, mereka menentang amalan rasuah pegawai-pegawai kerajaan.
Pihak Perancis mengambil tindakan dengan menangkap para pemimpin, termasuk Pan
Chu Trinh dan dibuang negeri.




                                          35
i)     Pihak Perancis cuba membetulkan sosio-ekonomi Vietnam selepas itu, iaitu
dengan dengan melaksanakan dasar asimilasi di bawah Albert Sarraut. Dasar ini
membenarkan kemasukan lebih ramai orang Vietnam ke dalam pentadbiran dan
menambah perwakilan dalam Majlis Kolonial. Namun, tindakan ini tidak cukup untuk
memuaskan hati orang Vietnam kerana tidak memenuhi harapan mereka.Pada tahun 1913
dengan bantuan kongsi gelap pemimpin reformis meletupkan kawasan hartawan Perancis
di Saigon. Pada tahun 1916 mereka mendesak Raja Duy Tan mengetuai rancangan
menyingkirkan Perancis, tetapi gagal kerana Perancis melantik Maharaja Khai Dinh
menggantikannya. Akhirnya pada tahun 1917 pemberontakan yang dilakukan oleh Pan
Boi Chau gagal dan berakhir apabila beliau ditangkap oleh Perancis pada tahun 1925.

j)     Dalam tahun-tahun selepas Perang Dunia Pertama gerakan nasionalisme di
Vietnam memperlihatkan corak sederhana, iaitu bekerjasama dengan Perancis untuk
mencapai kerajaan sendiri. Pada tahun 1923 golongan nasionalis sederhana lain, daripada
golongan intelek,pegawai kerajaan dan tuan-tuan tanah telah menubuhkan Parti
Perlembagaan. Ia diketuai oleh Bui Quang Chien, sementara pemimpin lain seperti
Doung Van Giao dan Nguyen Phan Long. Parti ini menuntut satu perlembagaan Vietnam
dan perwakilan Vietnam yang lebih besar dalam Majlis Kolonial. Mereka juga menuntut
hak menubuhkan kesatuan dan kebebasan akhbar. Namun demikian, parti ini tidak
mendapat sambutan rakyat Vietnam. Ia kemudian bergabung dengan badan-badan lain
untuk mewujudkan Parti Rakyat Progresif Vietnam pada tahun 1926, tetapi menemui
kegagalan kerana tidak diiktiraf oleh Perancis.

k)     Pada tahun 1925 hingga tahun 1930-an gerakan nasionalisme Vietnam yang
dipimpin oleh golongan berpendidikan Barat kembali bersifat radikal. Nyuyen Thai Hoc
seorang cendekiawan menubuhkan Parti Nasional Vietnam atau Vietnam Quoc Dan Dang
(VNQDD). Sebahagian besar ahli gerakan ini terdiri daripada wartawan guru, askar dan
pegawai-pegawai rendah. Parti ini memperjuangkan kemerdekaan daripada Perancis
melalui kekuatan tentera dan kemudian mewujudkan negara Vietnam yang bersifat
Republik Demokratik. Pada tahun 1930 VNQDD menentang Perancis secara terbuka dan
kekerasan. Pemberontakan ini dikenali sebagai Yen Bay. Ia berlaku kerana eksploitasi
ekonomi dan dasar monopoli Perancis dalam perdagangan candu, garam dan arak.
Kemelesetan ekonomi dunia menambah kemarahan rakyat. Pemberontakan ini berjaya
dipatahkan dan Nguyen Tai Hoc ditangkap dan dihukum mati.

l)     Kejatuhan Parti VNQDD telah membuka peluang kepada kemunculan komunis
mengetuai gerakan nasionalisme. Beberapa orang pemimpinnya yang terkenal pernah
mendapat pendedahan di Eropah, seperti Ho Chi Minh atau Nguyen Ai Quoc, yang
pernah bekerja dan mendalami fahaman sosialis dan komunis di London dan Paris.
Beliau juga mampu menguasai bahasa Inggeris dan Perancis serta beberapa bahasa
Eropah yang lain. Pemimpin lain ialah Tran Van Giau dan Ta Thu Thau, yang menuntut
di Universiti Moscow dan Universiti di Perancis.




                                          36
m)      Perjuangan mereka ialah untuk menubuhkan sebuah kerajaan Demokratik pada
peringkat awal tetapi berhasrat untuk mendirikan kerajaan komunis kemudian. Melalui
tulisannya “ La Proces de la Colonization‟ Ho Chi Minh menterjemahkan ideanya.
Kegagalan VNQDD dan kemelesetan ekonomi dunia memberi peluang kepada golongan
komunis untuk memenangi hati kaum petani. Akhirnya tunjuk perasaan dan pemogokan
secara besar-besaran di ladang-ladang dan di kilang-kilang yang dilakukan oleh para
petani hasil perancangan komunis. Pihak Perancis telah mengambil tindakan tegas
dengan menangkap pemimpin-pemimpin komunis dan dihukum mati. Ho Chi Minh
sempat melarikan diri ke Hong Kong. Malangnya beliau berjaya ditangkap dan
dibebaskan beberapa kali oleh pihak berkuasa British di Hong Kong 1931 dan Parti
Koumintang di China pada tahun 1940.


B.     Peranan Golongan Berpendidikan Barat di Thailand awal Abad ke-20(10m)

a)         Pada abad ke-20 di Eropah telah berlaku perubahan yang pesat dalam perkara
menuntut kebebasan dan hak yang sama. Unsur-unsur ini menyerap masuk ke Thai
melalui dua cara. Pertama, melalui orang-orang Barat yang masuk ke Thai kerana
hubungannya yang luas dengan negara ini. Kedua, melalui pelajar-pelajar Thai yang
melanjutkan pelajaran ke luar negara. Raja Mongkut dan Chulalongkorn telahpun
memulakan perubahan pendidikan. Ramai golongan bangsawan dihantar ke luar negara
dan raja Vajiravuth pula tidak saja menghantar golongan bangsawan malahan rakyat
biasa juga. Hasilnya, lahir tokoh-tokoh dalam kalangan bangsawan seperti Putera
Damrong, Putera Devawongse,Putera Rabi,dan Putera Bowaradej . Dalam kalangan
rakyat pula muncul tokoh-tokoh seperti Nai Pridi Phanomyong, Luang Phibul Songgram,
Kuang Apaiwong, Pya Bahol dan Pya Manopakorn.

b)      Oleh itu, wujud golongan elit yang mengkaji dan memahami beberapa idea politik
seperti fahaman demokrasi, kerajaan berparlimen dan hak kebebasan. Kefahaman
terhadap idea demokrasi ini menyebabkan mereka berpendapat pemerintahan beraja
mutlak telah menjadi penghalang kepada pembentukan negara Thai moden. Golongan
berpendidkan di Thai memperjuangkan gerakan nasionalisme dengan menyebarkan
fahaman anti-pemerintahan beraja yang berkuasa mutlak, membebaskan ekonomi negara
daripada dimonopoli oleh orang Cina, kapitalis Barat dan golongan bangsawan serta
kaum kerabat raja.

c)      Peranan golongan ini dalam gerakan nasionalisme di Thai mula jelas pada zaman
Raja Prajadhipok. Tindakan baginda yang awal ialah memecat pegawai-pegawai yang
dipilih atas dasar pilih kasih semasa pemerintahan Vajiravudh. Kemelesetan ekonomi
dunia ( 1929-1932) menyebabkan raja mengambil langkah berjimat cermat dengan
memotong gaji, penyekatan kenaikan pangkat dan memperkenalkan cukai baru.
Tambahan pula baginda memperkukuhkan kedudukan golongan diraja dengan melantik
mereka dalam pentadbiran sebagaimana yang berlaku pada zaman Chulalongkorn.
Golongan Menengah ( Khunnang), berasa mereka kehilangan banyak kuasa dan kerugian
dengan dasar yang dilaksanakan oleh raja.




                                         37
d)      Pada Oktober 1931, berlaku pertikaian antara Menteri Pertahanan,iaitu Putera
Bowaradej dengan Menteri Perdagangan, Putera Purachtra mengenai masalah ekonomi.
Krisis ini menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan. Oleh itu, pada 24 Jun
1932 berlaku peristiwa rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah. Tokoh –tokoh yang
merancang rampasan kuasa ini ialah Nai Pridi Phanomyong, Pya Manopakorn, Pibul
Songgram dan Pya Bahol. Mereka telah membentuk Parti Rakyat yang mengecam
keborosan raja, ketidakcekapan dalam pentadbiran kemelaratan rakyat dan masalah
pengangguran.

e)     Revolusi 1932 ini dkenali juga sebagai revolusi kelas menengah, kerana dia
dipimpin oleh dua kumpulan yang berpendidikan Barat. Kumpulan Tua di pimpin oleh
Pya Manopakorn dan Pya Bahol yang mendapat pendidikan di Jerman dan Perancis.
Manakala Kumpulan Muda dipimpin oleh golongan awam terutamanya bekas pelajar
Barat termasuk pegawai-pegawai muda tentera seperti Nai Pridi Phanomyong,seorang
peguam dan pensyarah di Universiti Chulalongkorn dan Pibul Songgram seorang
pegawai tentera.

f)      Revolusi ini berlaku pada subuh 24 Jun 1932, apabila Pridi Phanomyong
mengepung istana raja. Raja diberi kata dua semasa raja berehat di istananya di Hua Hin
,di pantai Barat Teluk Siam ,sama ada menerima kerajaan berperlembagaan atau baginda
akan digantikan. Untuk mengelakkan pertumpahan darah raja menerima tuntutan
golongan revolusioner tersebut kerana jaminan keselamatan. Pridi kemudian
menyerahkan pucuk pimpinan kepada Kumpulan Tua yang diwakili oleh Pya
Manopakorn.

f)     Pada 10 Disember 1932, Perlembagaan Tetap diisytiharkan oleh Phrajadiphok.
Perlembagaan ini menamatkan kuasa mutlak raja. Pya Manopakorn dilantik menjadi
Perdana Menteri dengan nasihat Dewan Perhimpunan Kebangsaan.

Kesimpulan (2/3m)

       Perjuangan nasionalisme di Vietnam sejak akhir abad ke-19 hingga awal abad ke -
20 memperlihatkan perjuangan bercorak revolusioner. Namun gagal mencapai hasrat
untuk merdeka daripada tangan pihak berkuasa Perancis. Namun demikian pada tahun 10
Mac 1945, Jepun menawan Vietnam daripada Perancis. Pihak Jepun telah berpakat
dengan Maharaja Bao Dai untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Jepun pula tewas pada
1945 menyebabkan kemerdekaan Vietnam ini tidak diiktiraf oleh Vietnam Utara di
bawah pimpinan Ho Chi Minh. Pada 25 September tidak lama selepas Bao Dai meletak
jawatan Ho Chi Minh telah mengisytiharkan “ Republik Demokratik Vietnam” dan dia
menjadi Presidennya yang pertama. Selepas berakhirnya Revolusi Thai 1932 membawa
banyak perubahan dalam sistem politik Thai. Kerabat diraja kehilangan banyak jawatan
dan kedudukan mereka. Selain itu, perlembagaan Baru 1932 membawa banyak
perubahan tentang kedudukan raja, rakyat dan pemilihan anggota Dewan Undangan.
Perubahan juga berlaku dari segi kebebasan akhbar,pelajaran dan cukai pendapatan .
Nasionalisme Thai juga menjadi lehih aktif ketika Phibun Songgram menjadi Perdana
Menteri.



                                          38
11.    Bincangkan gerakan komunis di Indonesia dan China sebelum Perang Dunia Ke 2.

Pendahuluan (3/2 m)

           Fahaman komunis di Indonesia telah berkembang setelah F.J.M. Hendrick Sneevliet
telah menubuhkan Parti Buruh Demokrat Sosial yang berasaskan fahaman Karl Marx. Parti ini
tidak mendapat sambutan kerana kebanyakan rakyat Indonesia beragama Islam. Setelah itu , Parti
Sosial Demokrat Indonesia ditubuhkan dan parti ini disertai oleh pemimpin-pemimpin cawangan
Sarekat Islam seperti Semaun, Darsono, Tan Melaka , Musso, dan Jamaludin Tamin . Melalui
Sarekat Islam fahaman komunis telah dikembangkan. Setelah pemimpin-pemimpin berfahaman
komunis disingkirkan daripada Sarekat Islam, Parti Komunis Indonesia telah ditubuhkan secara
rasmi. Fahaman komunis di China pula telah berkembang selepas Revolusi China 1911 kerana
negara berada dalam keadaan kacau bilau dan tidak stabil. Fahaman komunis semakin
berkembang selepas berlakunya Gerakan 4 Mei 1919. Terdapat banyak pusat penyebaran ajaran
komunis di bandar-bandar besar seperti Peking dan Shanghai. Pada 12 Julai 1920 Parti Komunis
China ditubuhkan dengan rasmi di Shanghai oleh Chen Tu-hsiu dan Li Ta-Chao.

Isi- (20m)

A.     Parti Komunis Indonesia ( PKI ) (10 m)

 a)      PKI telah ditubuhkan secara rasminya pada 23 Mei 1920. Semaun telah dilantik sebagai
Presiden, Darsono sebagai naib Presiden, Berrgsma sebagai setiausaha dan H.W. Dekker sebagai
Bendahari. Setelah PKI ditubuhkan ia mengadakan hubungan yang rapat dengan Comintern (
Pertubuhan Komunis Antarabangsa ) yang beribu pejabat di Moscow. Hubungan di antara PKI
dengan Comintern ini telah menguatkan lagi gerakan PKI. PKI telah menerima arahan-arahan dan
bantuan-bantuan dari Comintern terutamanya dalam bentuk fikiran , kewangan, kursus-kursus
ajaran Marxisme dan indoktri program-program komunis.

b)       Sebelum PKI ditubuhkan secara rasmi, gerakan komunis di Indonesia bergerak melalui
parti Sarekat Islam. Ini bermakna ISDV ( Parti Sosial Demokratik Indonesia ) telah wujud dalam
Sarekat Islam seperti „Duri Dalam Daging‟ kepada Serakat Islam juga dikenali Seksi B. Akibat
kemasukan fahaman komunis dalam Sarekat Islam corak dan aliran perjuangan Sarekat Islam
menjadi lebih tegas, agresif dan radikal. Sarekat Islam dan pihak komunis mula bertindak secara
militan bagi menentang Belanda.

c)      Pada tahun 1918, pihak Komunis dan Sarekat Islam telah melancarkan satu revolusi bagi
menggulingkan kerajaan Belanda tetapi gagal, Hendrick Sneevliet telah ditangkap dan dibuang
negeri dan kepimpinan ISDV diambil alih oleh Semaun dan Darsono.Melalui Kongres Comintern
di Calcutta telah mengarah ISDV melancarkan revolusi bersenjata bagi menentang kapitalisme
dan menggulingkan penjajahan Belanda. Akibatnya ISDV dan Sarekat Islam telah melancarkan
beberapa rusuhan seperti di Toli-toli di Sulawesi, di Garut , Jawa Barat dan pemimpin komunis
berjaya menguasai 22 buah kesatuan sekerja.

d)      Cadangan-cadangan supaya Sarekat Islam bertindak lebih militan telah menyebabkan
pemimpin berfahaman sederhana yang diketuai Agus Salim dalam Sarekat Islam telah menolak.
Dalam Kongres yang berlangsung di Surabaya Agus Salim telah mencadangkan anggota-anggota
Sarekat Islam tidak boleh menjadi anggota parti lain. Akibatnya pemimpin-pemimpin komunis
telah menubuhkan Parti Komunis Indonesia.



                                              39
e)      Setelah berpisah dengan Sarekat Islam, perjuangan PKI di Indonesia mempunyai dua
matlamat iaitu berusaha menghancurkan Sarekat Islam dan bersedia melancarkan revolusi bagi
menumpaskan kerajaan Belanda di Indonesia. Bagi menghancurkan Sarekat Islam, PKI telah
meluaskan pengaruhnya dalam kalangan penduduk bandar dan cawangan-cawangannya di desa.
Dalam kongresnya di Semarang PKI telah menetapkan untuk menubuhkan sebuah ibu pejabat
Sarekat Islam Merah di setiap cawangan Sarekat Islam. PKI juga akan merekrutkan ahli-ahlinya
dan ideologi komunis. Pada kongresnya di Bandung cawangan Sarekat Islam Merah telah
digabung menjadi Sarekat Rakyat dan dianggap menjadi asas kepada PKI.

f)       Sarekat Rakyat bergiat untuk menerapkan fahaman komunis dalam kalangan rakyat
Indonesia yang bukan beragama Islam. Sarekat Rakyat ini telah berjaya mempengaruhi
sebilangan besar kaum tani dan kaum buruh. Menjelang tahun 1923, PKI menjadi sebuah parti
politik yang popular dalam kalangan rakyat Indonesia.PKI telah menyebarkan prinsip-prinsip dan
teori komunis melalui akhbar-akhbar seperti API, Suara Merdeka dan Suara Rakyat. Pada akhir
tahun 1924 PKI mempunyai 340 cawangan dan ahli seramai 31,000 orang.

g)      Antara tahun 1922-1927 , PKI sering melancarkan pemogokan dan kekacauan untuk
menggulingkan kerajaan Belanda dan menubuhkan Republik Komunis Indonesia. Pada awal
tahun 1922, PKI memberikan tumpuan dalam kesatuan-kesatuan sekerja. Mereka telah
menganjurkan mogok dalam kalangan pekerja-pekerja yang dikelolakan oleh Kesatuan Buruh
Revolusiner Pusat. Mogok ini gagal dan Tan Melaka terpaksa melarikan diri ke Russia. Pada 3
Sept. 1922, Semaun telah berjaya mengabungkan Kesatuan Buruh Hindia. PKI telah berjaya
melancarkan mogok pada bulan Mei 1923 dan kira-kira 8000 orang pekerja kereta api terlibat.
Mogok ini telah gagal dan Semaun telah ditangkap dan dibuang negeri.

h)      Dalam persidangan Buruh Seluruh Pasifik yang dinaungi oleh Comintern mengarahkan
pemimpin komunis supaya menumpukan gerakan melalui kesatuan-kesatuan sekerja dan
meningkatkan disiplin ahli.Pada tahun 1925 peminpin PKI telah terpengaruh oleh pemimpin yang
ekstrim seperti Dahalan dan Sukra dan mendapat sokongan daripada Alimin dan Musso.
Manakala peminpin PKI seperti Semaun , Darsono dan Tan Melaka beranggapan PKI belum
bersedia melancarkan revolusi.

i)      Pemimpin-pemimpin ekstrim telah berjaya menguasai PKI dan mereka telah menolak
segala perintah dan arahan dari Comintern. Persidangan Jawatan kuasa PKI pada bulan Oktober
1925 di Candi Prambahan telah mengambil keputusan untuk melancarkan revolusi iaitu pada 18
Jun 1926. Rancangan PKI ini telah diketahui oleh Kerajaan Belanda. Belanda telah bertindak
mengharamkan perhimpunan pertubuhan-pertubuhan berfahaman komunis daripada mengadakan
perjumpaan di seluruh Indonesia. Perintah tersebut menyukarkan PKI menyelaraskan aktiviti.
Bagi mengelakkan berlakunya rusuhan-rusuhan ,Belanda juga menangkap pemimpin-pemimpin
buruh yang berfahaman komunis. Pemimpin PKI yang masih berada di Indonesia juga ditangkap
seperti Darsono, Aliarcham dan Mardjoha.

j)      Akibat tindakan Belanda ini revolusi yang dirancangkan pada 18 Jun 1926 terpaksa
ditangguhkan sehingga 12 November 1926. Akhirnya revolusi telah meletus pada malam 12
Nov. 1926. Revolusi ini hanya berlaku di Bantam, Jawa Barat dan Residensi pantai Barat
Sumetera. Revolusi ini telah gagal, ramai daripada Pemimpin PKI ini ditangkap ataupun
melarikan diri dari Indonesia. Pemberontakan yang dilancarkan oleh PKI telah gagal. Seramai
13,000 ahli PKI telah ditangkap. 4,500 orang telah di penjara, 1308 telah ditahan dan 823 orang
dihantar ke Khemah Tahanan Tanah Merah di Irian Barat. Selepas itu gerakan PKI di Indonesia
menjadi lemah sehingga Perang Dunia Kedua.



                                              40
B.     Parti Komunis China (10 m)

 a)      Parti Parti Komunis China (PKC) ditubuhkan pada 1 Julai 1921 di Shanghai dalam satu
perjumpaan yang dihadiri oleh tokoh-tokoh terkemuka China seperti Lee Ta-Chao, Chen Tu-hsiu
dan Mao Tze -Tung. Chen Tu-Shiu dilantik sebagai pengerusi pertama. Ideologi komunis dapat
menarik golongan intelektual dan cerdik pandai China kerana kejayaan Revolusi Rusia dan
menganggapkan sebagai model untuk menyelesaikan masalah di China. Oleh itu, fahaman
Marxisme dapat diterima di China. Minat kepada ideologi komunis menyebabkan banyak
pertubuhan berfahaman komunis ditubuhkan seperti New Tide Society dan Marxist Research
Society.

b)       PKC ditubuhkan bertujuan mewujudkan masyarakat tanpa kelas menerusi revolusi
golongan proletariat ( pekerja ) dan petani yang menentang imperialisme dan kapitalisme asing.
PKC menjadi ahli Comintern yang beribu pejabat di Moscow. Bagi menggerakkan PKC ,
Comintern telah menyatukan PKC dan KMT dalam Barisan Bersatu pada tahun 1923-1927.
Penggabungan ini adalah bertujuan membolehkan KMT disusun semula dengan nasihat daripada
Rusia . Di samping itu, ia membolehkan ahli-ahli PKC menjadi ahli KMT. Dengan ini, PKC
boleh mengembangkan ideologi dalam kalangan ahli-ahli KMT. Namun, kerjasama dengan KMT
terjejas selepas kematian Dr.Sun Yet-sen. Di bawah pimpinan Jeneral Chiang Kai Shek ahli
komunis tidak dibenarkan memegang jawatan dalam KMT dan tidak dibenarkan mengkritik dasar
KMT.

c)      Pada tahun 1927, PKC telah menghasut pekerja-pekerja kilang untuk mengadakan mogok
dan pasukan pro komunis telah menawan Nanking. Jeneral Chiang Kai Shek melancarkan satu
kempen anti komunis bagi menghalang PKC menawan Shanghai, Hangchow, Nangkin dan
Canton. Dengan bantuan golongan sederhana dan kongsi-kongsi gelap, Chiang Kai Shek telah
berjaya membubarkan kesatuan-kesatuan sekerja dan menghapuskan kegiatan-kegiatan komunis
di bandar. Akibatnya PKC terpaksa bergerak di bawah tanah dan berundur ke kawasan-kawasan
terpencil.

d)      Kemunculan Mao Tze –tung dalam kepimpinan PKC merubah gerakan PKC. Beliau telah
memberi tumpuan kepada program-program luar bandar. Beliau telah mengembangkan fahaman
komunis dalam kalangan petani kerana beliau berpendapat revolusi mesti dimulakan oleh
golongan petani.Mao Tze-tung dan Chu Te bersama sekumpulan kecil tentera telah berpindah ke
pergunungan Chiang-Kang Shan sempadan Yunan dan Kiangsi yang terpisah jauh daripada
pengawasan KMT. Beliau telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan kecil yang bernama
Republik Soviet China. Beliau telah menjadi Presiden. Dengan ini Jawatan kuasa Pusat PKC
telah berpindah dari Shanghai ke Kiangsi.

e)      Kejayaan Mao Tze-tung membangunkan luar bandar telah menyebabkan Chiang Kai
Shek telah membangunkan kawasan-kawasan luar bandar khususnya dalam sektor pertanian. Di
samping itu juga beliau telah mengambil tindakan ketenteraan ke atas Mao dan PKC. Pada tahun
1934 tentera KMT telah melancarkan serangan secara besar-besaran ke atas pengkalan-pengkalan
tentera komunis di Kiangsi. Akibat tindakan ini tentera komunis terpaksa mengundurkan diri
sejauh kira-kira 12,800.KM menuju ke Yenan di Wilayah Shensi, China Utara. Peristiwa ini
dikenali sebagai Perjalanan Jauh. ( Long March) yang melibatkan 100,000 orang dan sampai ke
Yenen pada tahun 1935. Di Shensi, Mao Tze-Tung berjaya menyusun semula partinya dari segi n
ketenteraan hingga akhirnya berjaya menawan seluruh negara China.




                                             41
 f)     Semasa serangan Jepun ke atas China pada tahun 1937, PKC telah menawarkan
kerjasama dengan KMT bagi menghadapi Jepun dalam satu pertubuhan yang dinamakan Barisan
Bersatu. Kerjasama di antara PKC-KMT telah memberi kesempatan kepada PKC untuk membina
kekuatannya. Pasukan tentera PKC semakin diperbesarkan. Bilangan tentera PKC telah
bertambah dari 80,000 tahun 1937 kepada 910,000 orang pada tahun 1945. Apabila Jepun
menyerang China PKC tidak pernah menentang Jepun secara terbuka. Hanya KMT secara
bersendirian menentang Jepun. Akibatnya pakatan tentera menentang Jepun telah dimansuhkan
pada tahun 1945.

g)      Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Perang saudara telah meletus di China. PKC telah
berjaya mengalahkan tentera KMT. Jeneral Chiang Kai Shek dan tentera KMT terpaksa berundur
ke Taiwan. PKC telah mengisytiharkan kerajaan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949.
Mao Tze-tung dilantik menjadi Presiden pertama.

Kesimpulan (2/3 m)

               Daripada penjelasan di atas jelaslah menunjukkan bahawa gerakan PKI dan PKC
memainkan peranan yang sangat penting dalam gerakan nasionalisme dan perjuangan
menegakkan ideologi komunis di kedua-dua buah negara. Ideologi komunis menghadapi pelbagai
rintangan sebelum berjaya menjadi ideologi negara. Di Indonesia ideologi komunis dapat disekat
oleh pemerintah Belanda. Manakala di China gerakan parti komunis dan ideologi komunis
akhirnya berjaya menguasai pentadbiran di China.




                                             42
12.   Bincangkan sistem pemerintahan di Vietnam dan Filipina selepas Perang Dunia
      Kedua.


Pendahuluan (3/2m)

         Selepas Perang Dunia Kedua hampir semua negara di Asia Tenggara telah mencapai
kemerdekaan daripada pihak penjajah. Oleh yang demikian, sistem pemerintahan yang
diamalkan di negera-negara yang baru mencapai kemerdekaan ini berbeza dari segi strukturnya
kerana telah diperintah oleh bangsa sendiri. Filipina telah mencapai kemerdekaan daripada
Amerika Syarikat pada 4 Julai 1946 dengan Manual Roxas sebagai Presiden pertama.Vietnam
pula telah mencapai kemerdekaan pada 2 September 1945 daripada Perancis dengan
pembentukan Kerajaan Republik Demokratik Vietnam tetapi tidak diiktiraf oleh Perancis dan
golongan Parti Komunis.

Isi- (20m)

A.     Sistem pemerintahan di Filipina (10 m)

a)      Selepas merdeka, sebuah pemerintahan ala Amerika telah dibentuk di Filipina. Filipina
telah memulakan pemerintahan bercorak Republik Demokrasi. Walau bagaimanapun, kuasa
sebenar masih lagi dipegang oleh Presiden. Presiden memegang kuasa eksekutif, mengawasi
kerajaan tempatan, merupakan ketua tertinggi angkatan tentera, melantik ketua jabatan, biro dan
pegawai kerajaan. Di samping itu, presiden juga mempunyai kuasa veto dalam kongres. Walau
bagaimanapun, dengan undi dua per tiga kongres berhak membatalkan kuasa veto Presiden.

b)      Badan perundangan Filipina diletakkan di bawah kuasa kongres. Kongres dibantu oleh
Senat yang terdiri daripada 24 orang Senator dan Dewan Perwakilan yang mengandungi tidak
lebih daripada 120 orang perwakilan. Senator dipilih oleh rakyat untuk tempoh enam tahun
sepenggal. Kongres mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan mengisytiharkan perang.

c)      Keseluruhan pentadbiran Filipina dibahagikan kepada unit-unit yang lebih kecil iaitu
pentadbiran wilayah, perbandaran dan bandar raya. Filipina dibahagikan kepada 56 wilayah dan
setiap wilayah diketuai oleh seorang gabenor. Gabenor pula akan dibantu oleh naib gabenor dan
dua orang ahli lembaga wilayah yang dipilih untuk tempoh empat tahun.

d)       Di peringkat wilayah, kongres telah membentuk sebuah badan pentadbir awam dan
dikawal oleh undang-undang perbandaran. Pegawai-pegawai yang bertugas di peringkat ini
terdiri daripada Datuk Bandar, Naib Datuk Bandar dan empat hingga lapan orang ahli majlis.

d)      Pentadbiran Filipina telah berjaya membentuk 39 buah bandar raya berpiagam. Bandar
raya berpiagam ini diberikan kuasa mengenakan cukai, membuat ordinan, menyediakan
perlaksanaan kerja-kerja awam dan berfungsi menguruskan pasukan keselamatan.




                                              43
B.     Sistem pemerintahan di Vietnam (10 m)

a)       Setelah mencapai kemerdekaan daripada Perancis, pemerintahan Vietnam telah terbahagi
dua, iaitu Vietnam Utara yang berfahaman komunis dan Vietnam Selatan yang mengamalkan
demokrasi. Perbezaan ideologi politik turut mewujudkan struktur pentadbiran yang berbeza.
Bagi Vietnam Utara yang terletak di bawah rejim komunis diketuai oleh seorang Presiden yang
dipilih oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan. Seorang presiden mempunyai kuasa memerintah
selama empat tahun . Presiden mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri dan anggota
kabinet kerajaan. Selain itu presiden mempunyai tugas seperti mengumumkan undang-undang,
menganugerahkan pingat kebesaran , memberi pengampunan dan mengadakan pehubungan
dengan negara luar. Seorang Naib Preseden dilantik untuk membantu tugas-tugas Presiden.

b)       Pada 1 Januari 1960 sebuah perlembagaan baru diisytiharkan Di Vietnam Utara. Di
bawah perlembagaan ini kerajaan Vietnam Utara diletakkan di bawah kekuasaan Regim Presiden.
Seiringan dengan itu Dewan Perhimpunan Kebangsaan ditubuhkan. Ia merupakan dewan
tertinggi bagi Vietnam Utara dan dipilih oleh penduduk tempatan yang berusia 18 tahun ke atas
untuk tempoh 4 tahun. Dewan ini akan bersidang 2 kali setahun dan boleh dipanggil untuk sesi-
sesi tertentu. Ketika dewan ini tidak bersidang Jawatankuasa Tetap akan mengambil alih
peranannya. Jawatankuasa ini terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Penolong
Setiausaha dan beberapa ahli yang lain.

c)      Vietnam Utara di bahagikan kepada tiga wilayah yang ditiru daripada pembahagian
wilayah komunis di China. Bahagian yang paling luas dikenali sebagai wilayah. Ini diikuti
dengan wilayah autonomi dan bandar raya di bawah kawalan kerajaan pusat seperti Hanoi dan
Haipong. Bagi memudahkan pentadbiran, setiap wilayah akan dibahagikan kepada unit seperti
daerah, bandar raya dan sesebuah daerah pula di bahagikan kepada kampung dan bandar. Di
peringkat wilayah kerajaan tempatan dibentuk dan dipilih secara langsung oleh rakyat untuk
tempoh 3 tahun.

d)       Vietnam Selatan pula, mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Ketua negara
pentadbir ialah Presiden. Vietnam Selatan lebih mencerminkan sebuah negara Republik
Demokratik, seperti Filipina dan Indoesia. Pada 26 Oktober 1956 sebuah perlembagaan
diumumkan bagi menentang fahaman Komunis. Perlembagaan ini juga menjelaskan pembahagian
kuasa kepada Badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Badan Eksekutif mempunyai kuasa
yang lebih besar atau lebih khusus yang dirujuk kepada Presiden. Presiden merupakan kuasa
tertinggi dalam pemerintahan Vietnam Selatan . Oleh yang demikian, Presiden menguasai semua
aspek pentadbiran, perundangan dan kehakiman. Dengan kata lain, Presiden mempunyai kuasa
untuk menolak atau menerima mana-mana perkara yang dirasakan perlu. Ia juga merupakan ketua
negera dan ahli Badan Eksekutif. Jawatan Presiden dan Naib Presiden dipertandingkan lima
tahun sekali melalui pilihan raya. Jawatan Presiden boleh dilanjutkan tempohnya untuk 3
penggal. Presiden bertindak sebagai ketua kerajaan, melantik ahli kabinet dan Ketua Angkatan
Tertinggi Tentera Vietnam Selatan.

e)     Badan perundangan Vietnam Selatan ialah Dewan Perhimpunan Kebangsaan yang
dianggotai oleh rakyat melalui pilihan raya. Seramai 123 orang ahli Dewan Perhimpunan
Kebangsaan. Dewan ini bersidang 2 kali setahun dan berfungsi untuk menggubal dan meluluskan
undang-undang serta menentukan dasar pemerintahan negara , tetapi boleh diveto oleh Presiden.
Ahli Dewan boleh membatalkan veto ini menerusi ¾ undi daripada ahli dewan . Pentadbiran
tempatan Vietnam Selatan di bahagikan kepada 40 wilayah (tinh). Setiap wilayah diperintah oleh
ketua menteri yang dilantik dan bertanggungjawab ke atas Presiden. Manakala wilayah pula


                                             44
dibahagikan kepada daerah. Daerah di bahagikan pula kepada daerah-daerah tertentu (huyen),
kampung , bandar dan bandar raya. Di peringkat bandar-bandar besar diwujudkan Majlis
Perbandaran yang diketuai oleh datuk Bandar

Kesimpulan (2/3m)

        Kesimpulannya, jelaslah menunjukkan bahawa Filipina telah mencapai kemerdekaan
daripada Amerika Syarikat dan sistem pemerintahannya adalah berdasarkan kepada sistem
pemerintahan bercorak Amerika Syarikat. Di Vietnam pula, sistem pemerintahannya terbahagi
kepada dua iaitu Vietnam Utara sistem pemerintahannya bercorak komunis dan Vietnam Selatan
bercorak demokrasi. Walaubagaimanapun, akhirnya Vietnam telah disatukan di bawah satu
sistem pemerintahan komunis apabila Vietnam Utara yang berfahaman komunis dapat
mengalahkan Vietnam Selatan dalam perang saudara.




                                           45
SULIT*
                                             2

                                        Bahagian A

Jawab dua soalan sahaja

1.     Jelaskan perubahan peranan raja (sultan) sebelum dan semasa zaman penjajahan British
       di Tanah Melayu.
                                                                                       [25]
2.     Bincangkan hukum adat yang diamalkan di Malaysia sebelum campur tangan British.
                                                                                       [25]
3.     Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah
       Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
                                                                                       [25]
4.     Jelaskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membanteras ancaman
       komunis sehingga tahun 1960.
                                                                                       [25]
5.     Bincangkan perubahan-perubahan perlembagaan di Sabah dan Sarawak antara tahun
       1840-an hingga merdeka.
                                                                                       [25]
6.     Huraikan rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dari tahun
       1957 hingga tahun 1963.
                                                                                       [25]


                                        Bahagian B

7.     Huraikan sistem ekonomi tradisional di India dan China sebelum kedatangan kuasa
       Barat.
                                                                                         [25]
8.     Huraikan peranan pembesar di Myanmar dan Thailand sebelum perluasan pengaruh
       Barat.
                                                                                         [25]
9.     “ Perbezaan nilai Barat dengan nilai Timur telah mencetuskan Perang Candu 1 (1839-
       1842) di China dan Perang Inggeris Burma III (1885-1886) di Myanmar”. Bincangkan.
                                                                                         [25]
10.    Bincangkan peranan golongan berpendidikan Barat dalam gerakan nasionalisme di
       Vietnam dan Thailand pada awal abad ke-20.
                                                                                         [25]
11.    Bincangkan gerakan komunis di Indonesia dan China sebelum Perang Dunia Kedua.
                                                                                         [25]
12.    Bincangkan sistem pemerintahan di Vietnam dan Filipina selepas Perang Dunia Kedua.
                                                                                         [25]


940/2
*Kertas soalan ini SULIT sehingga peperiksaan kertas ini tamat.
                                                                                   SULIT*




                                            46