Documents
Resources
Learning Center
Upload
Plans & pricing Sign in
Sign Out

Asal usul

VIEWS: 3,269 PAGES: 10

									Asal Usul Nama Tempat
Wujudnya nama sesuatu tempat bergantung kepada beberapa sebab. Adan yang berpunca
daripada kepercayaan atau cerita-cerita lisan (Kampung Batu Badak). Ada yang berasal daripada
alam semulajadi seperti keadaan sekitar (Kukup), haiwan (Rengit) atau tumbuh-tumbuhan
(Gunung Pulai) dan ada mengambil sempena nama tokoh-tokoh tempatan (Tenang). Sesetengah
nama tempat pula lahir daripada peristiwa yang berlaku di tempat itu (Gelang Patah). Suatu hal
yang menarik ialah perubahan yang berlaku kepada sebutan nama sesuatu tempat itu. Ada
kalanya ia merupakan singkatan kata, pengubahan bunyi atau kepilatan sebutan.

Batu Pahat

Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di
pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh
angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam
abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga
sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi
daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada
„pangkal jeram‟, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang
bandar tersebut.

Muar

Muar lahir daripada perkataan „muara‟ iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal
di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam
kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian
Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad
ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada
tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.

Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan „muak‟ (jemu dan „mu-
aru‟ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.

Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama
Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu
Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar
itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar
itu, Maharani Fatimah.

Mersing

Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan
Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu
Mersing belum ramai penduduk. Pekerja tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi
terkenal di kawasan tersebut hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama Mersing.
Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama
Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati
oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu bakal menantunya.

Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya
membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing
bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun Awang tetap keras hati lalu
meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari
itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.

Segamat

Nama Segamat berasal dari ungkapan kata „segera amat‟ atau „segar amat‟. Kata-kata itu lahir
dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan
Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu.
Ketika sampai ke Lubuk Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-
pengiringnya ke tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu
cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok setelah mandi,
“Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini menjadi sebutan ramai pengikutnya
hingga kemudiannya menamakan petempatan yang mereka duduki dengan nama Segamat.

Pontian

Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata „Perhentian‟. Perhentian yang dimaksudkan itu
ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para
pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat
perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau
bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah
tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.

Kota Tinggi

Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas kawasan tinggi di tebing Sungai
Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis serangan Portugis yang berusaha hendak
melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.

Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk berteduh dari gelora Laut Cina
Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy
kawasan tersebut dikenali dengan nama Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan
permata dari zaman Han (SM200 - TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota
Tinggi.

Tangkak

Nama Tangkak timbul daripada „tang merangkak‟. „tang‟ berasal dari perkataan tentang yakni
tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara
terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri
Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya
ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.

Kluang

Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan
buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain.
Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal
menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu
dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan
mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di
bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk
kampung tersebut.




              Melaka ialah sebuah negeri yang terkenal dengan sejarahnya. Melaka
terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia serta bersempadan dengan Negeri
Johor dan Negeri Sembilan.


Negeri ini ialah negeri yang kedua terkecil selepas Perlis. Keluasannya cuma 1,657
kilometer persegi. Panjangnya dari utara ke selatan ialah 40 kilometer dan lebarnya dari
barat ke timur ialah 69 kilometer.



Menurut catatan sejarah, nama Melaka telah lama wujud iaitu daripada nama
kesultanan yang diasaskan oleh Parameswara atau Sultan Iskandar Syah . Daripada
catatan pedagang Cina yang datang ke Melaka, sudah ada tempat dagangan bernama
Melaka. Nama Melaka juga ada disebut dalam 'Syair Jawa' bertarikh 1324. Melaka
disebut sebagai negeri yang bernaung di bawah Siam dalam tahun 1360.


Nama Melaka pertama kali dikesan penggunaannya adalah pada abad ke -14. Terdapat
pelbagai cerita tentang bagaimana Melaka mendapat namanya.Walaubagaimanapun,
cerita yang diterima umum ialah cerita yang mengaitkan nama itu dengan sebatang
pokok yang disebut pokok Melaka.


Menurut cerita sewaktu Parameswara sedang memburu, tiba-tiba seekor pelanduk
putih dengan gagahnya menendang anjing baginda hingga jatuh ke laut. Baginda
terpegun dengan peristiwa ganjil itu lantas berpendapat bahawa tempat itu sangat
sesuai untuk dijadikan tapak negeri. Mengikut kepercayaan orang Melayu pada zaman
itu, kejadian ganjil seumpama itu melambangkan permulaan suatu pekerjaan yang akan
menghasilkan kejayaan.


Baginda memerintahkan supaya sebuah negeri dibuka dan negeri itu dinamakan
Melaka, mengambil sempena nama pokok tempat baginda sedang berteduh ketika
berlakunya peristiwa ganjil itu. Selain itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa
Melaka berasal dari perkataan 'Malagas'. Menurut Gasper Correa, penulis sejarah pada
tahun 1551 mengatakan bahawa Parameswara melarikan diri ke Melaka, didapati
sudah ada penempatan orang Melayu asli dan orang Laut.


Baginda mendapati di muara sungai itu ada sebuah perkampungan nelayan di mana
penduduknya melakukan kerja membuat ikan masin untuk dijual kepada pedagang-
pedagang yang datang dari luar. Tempat itu dikenali sebagai 'Malagas' atau 'Mulagas',
sempena namanya sebagai pusat menjual ikan masin.


Dalam buku 'Suma Oriental', nama Melaka dikatakan berasal daripada perkataan 'Malaya' yang
bermaksud 'tempat perlindungan'. Menurut cerita, semasa Parameswara sampai ke Muar,
sekumpulan Orang Selat telah bertemu dangan baginda dan memohon supaya baginda merajai
mereka di suatu tempat yang lebih sesuai iaitu di Bertam lalu Parameswara bertitah kepada
mereka, "kamu semua tahu dalam bahasa kita,seseorang yang melarikan diri itu dipanggil
'Melayo', oleh itu baiklah tempat ini dipanggil 'Malaya' kerana tempat ini tempat perlindungan
kita".


Pendapat lain pula mengatakan bahawa nama Melaka berasal daripada 'mirabolanos' iaitu sejenis
buah yang dikeringkan. Nama Melaka juga dikaitkan dengan 'Malayakolam' atau 'Malayaka'
yang bererti 'negeri orang Melayu'. Nama itu juga mempunyai persamaan dengan nama satu suku
yang terdapat di India yang pernah disebut dalam cerita 'Mahabhrata'.


Kedudukan geografinya yang strategik iaitu di Selat Melaka menyebabkannya menjadi pusat
tumpuan pedagang dari luar yang singgah di Melaka. Oleh itu, pedagang Arab memanggil
bandar pelabuhan itu 'Mulagah' yang bererti 'tempat berjumpa'. Kadang-kadang tempat itu
dipanggil 'Multaqam' (tempat berkumpul) kerana semua pedagang dari timur dan barat
berkumpul dan berjual beli di situ. Ada juga yang menyebut Melaka sebagai'malakat' atau
'malaqqa' yang bererti 'pasar' atau 'tempat berniaga'.



Pengasas negeri Melaka ialah Parameswara di mana baginda ialah anak raja Srivijaya
yang berasal dari Palembang. Baginda terbabit dalam satu pemberontakan di Sumatera
menentang kerajaan Majapahit. Setelah gagal dalam pemberontakan itu baginda lari
untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh oleh angkatan Majapahit. Akhirnya baginda
sampai di Temasik (nama lama bagi Singapura). Ketibaan baginda disambut oleh
pemerintah Temasik iaitu Temagi. Temagi adalah wakil pemerintah kerajaan Siam yang
memerintah di situ. Malangnya, Parameswara berniat jahat terhadap Temagi. Temagi
mati dibunuh oleh Parameswara dan kematian Temagi itu dituntut bela oleh Siam.




Parameswara dan pengikut-pengikutnya terpaksa melarikan diri sehingga sampai ke
suatu tempat yang akhirnya dinamakan Melaka. Tarikh pembukaan Melaka adalah
sekitar tahun 1402.




Catatan sejarah yang terdapat di dinding dataran di Kota Iskandar. Berikut adalah catatan sejarah
yang terdapat di situ.



1. B ulan Ogos adalah bulan kemerdekaan, tahun ini kita akan sambutnya buat yang ke 52 tahun.

2. Ahli bijak pandai antarabangsa bersependapat bahawa mereka yang tidak mahu belajar
daripada sejarah akan sentiasa dihukum dengan pelbagai kegagalan membangun ketamadunan
keluarga dan bangsanya.

3. Bersetuju dengan pendapat tersebut, Kerajaan Negeri Johor tidak pernah lupa akan sejarah
lampau untuk dijadikan panduan dan rujukan dalam membangunkan negeri secara berhemah,
tertib dan bersepadu mengikut keperluan semasa tanpa menjejaskan warisan ketamadunan
terdahulu.

4. Di Dataran Mahkota Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Negeri Johor atau lebih dikenali
sebagai Kota Iskandar terdapat banyak catatan menerangkan sejarah kegemilangan Negeri Johor
Darul Ta'zim melalui hasil kerja-kerja memahat di atas batu mar-mar hitam dengan sangat
kemas.

5. Terdapat pahatan yang menyenaraikan pemerintahan Kesultanan dan Raja-Raja Negeri Johor
iaitu bermula daripada pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah II pada tahun 1528 hinggalah
sekarang iaitu DYMM Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

6. Kebanyakan kita juga tidak tahu asal usul reka bentuk bendera Negeri Johor. Bendera Johor
yang pertama adalah berwarna putih telah dicipta sejak zaman Temenggung Ibahim iaitu
sebelum bulan Mac tahun 1855 . Selepas itu ianya telah diubah kepada warna hitam dengan
menempelkan warna putih di sudut atas kiri telah digunakan sehingga sekitar tahun 1865.

7. Apabila Temenggung Abu Bakar menaiki takhta Kerajaan, Baginda menggantikan warna
putih di sudut atas kepada warna merah berpangkah putih sehinggalah pada tahun 1871 bendera
tersebut digantikan dengan warna biru laut dan segi empat berwarna merah dengan bulan sabit
dan bintang pecah lima berwarna putih di penjuru atas kira. Bendera inilah yang digunakan
sehingga sekarang.

      warna biru laut melambangkan Kerajaan Negeri,
      warna merah melambangkan Hulubalang,
      warna putih melambangkan Raja yang berdaulat,
      manakala bulan bintang melambangkan agama Islam.


8. Antara pahatan yang paling membanggakan penulis ialah senarai nama-nama tokoh anak
Johor yang terbilang berserta dengan keterangan ringkas jasa bakti masing-masing. Nama-nama
tersebut adalah seperti berikut:

      Dato' Seri Amar Diraja Abdul Rahman bin Andak
       Setiausaha Sulit kepada Sultan Abu Bakar tahun 1885 dan Setiausaha Kerajaan Johor
       pertama pada tahun 1893
      Dato' Jaafar bin Haji Muhamad
       Menteri Besar Johor yang pertama untuk tahun 1886 hingga 1919
      Dato' Bentara Luar Mohamad Salleh bin Perang
       Pesuruhjaya Polis yang pertama tahun 1868
       Membuka bandar Maharani pada 1884
       Membuka bandar Penggaram pada tahun 1893
       Orang Melayu pertama melukis peta Johor dengan ukuran tepat dan maklumatnya ditiulis
       dalam tulisan Jawi pada tahun 1874 hingga 1878.
      Dato' Bentara Dalam Muhamad Said bin Abdullah
       Pengasas pendidikan Melayu Johor tahun 1883
      Leftenan Kolonel Musa bin Yusof (Pak Lomak)
       Bapa Ghazal Melayu Johor tahun 1906
      Dato' Abdul Rahman bin Haji Mohd Yassin
       Pengasas Persatuan Melayu Johor tahun 1945.
      Dato' Onn Jaafar
       Pengasas dan Presiden pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
      Haji Mohamed bin Hamzah
       Pereka cipta Bendera Malaysia - Jalur Gemilang tahun 1949.
      Tan Sri Hajah Zainon bin Sulaiman (Ibu Zain)
       Ketua Wanita UMNO Kebangsaan tahun 1950.
       Tokoh Pendidik 1963
      Tun (Dr.) Syed Nasir bin Ismail
       Pejuang Bahasa Kebangsaan
       Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1959 hingga 1968.
      Tan Sri Haji Abdul Kadir bin Yusof
       Anak Melayu pertama menjadi Peguam Negara pada tahun 1964.
       Menteri Undang-Undang tahun 1969.
      Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman
       Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1970
      Tun Hussien bin Onn
       Ketua Pemuda UMNO Malaysia pertama pada tahun 1946
       Perdana Menteri Malaysia ke 3 tahun 1976 hingga 1981
      Tun Sardon bin Haji Jubir
       Yang Dipertua Pulau Pinang tahun 1979 hingga 1981.
      Dato' (Dr.) Usman bin Awang
       Sasterawan Negara tahun 1983

9. Tokoh-tokoh Anak Johor terbilang seperti di atas sangat jarang diketahui umum di kalangan
rakyat Negeri Johor terutama generasi yang lahir selepas zaman cengkaman kolonial Jepun dan
Inggeris.

10. Adalah sangat wajar bagi kita semua mengambil tahu tentang jasa tokoh-tokoh tersebut
kerana tanpa mereka semua kita tidak akan dapat merasai keharmonian dan kesejahteraan hidup
di luar cengkaman penjajah serta mencapai kemuncak kejayaan pembangunan serba maju seperti
yang kita kecapi ketika ini.

11. Catatan mengenai bermulanya kehadiran tentera Jepun ke Negeri Johor juga ada direkodkan
di sini. Ianya bermula di Muar pada bulan Januari 1942, diikuti Batu Pahat, Air Hitam, Kluang,
Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

12. Pada ketika itu Negeri Johor telah ditadbir oleh seorang Gabenor Jepun dimana pejabat
Setiausaha Kerajaan dijadikan Biro Hal Ehwal Awam dengan diberi nama SOMUKA.
Penggunaan bahasa Inggeris diharamkan dan digantikan dengan bahasa Jepun. Setiap orang
wajib tunduk kepala sebagai tanda beri hormat kepada pemerintah Jepun.

13. Catuan telah dikenakan untuk pembelian beras dan penduduk tempatan dipaksa bekerja keras
menghasilkan bahan makanan yang banyak seperti ubi kayu, sagu, jagung dan lada hitam. Akibat
kekurangan makanan yang berzat, ramai penduduk mengalami penyakit berjangkit seperti beri-
beri, malaria, dan pelbagai penyakit kulit.

14. Kekejaman pemerintahan Jepun telah menimbulkan kesedaran untuk mewujudkan gerakan
anti penjajah di kalangan orang-orang Melayu yang kemudiannya membawa kepada tuntutan
kemerdekaan.
15. Setelah Jepun menyerah kalah dan berundur dari Tanah Melayu disebabkan pengeboman ke
atas Hiroshima dan Nagasaki, kolonial Inggeris telah kembali menjajah Tanah Melayu
menjadikan keadaan lebih buruk dan terancam. Hak orang Melayu mahu dihapuskan melalui
penubuhan Malayan Union sehingga mencetuskan pergaduhan kaum di Batu Pahat dan secara
liciknya penubuhan Malayan Union juga mahu menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu.

16. Justru, untuk menentang dan menghapuskan terus penubuhan Malayan Union, Pergerakan
Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) dan sebanyak lapan persagtuan Melayu pada ketika itu serta
para perwakilan daerah seluruh negeri Johor bersetuju menubuhkan satu badan siasah peringkat
Kebangsaan untuk menyatu padukan orang-orang Melayu. Maka pada 11 Mei 1946 lahirlah
sebuah pertubuhan keramat untuk perjuangan orang-orang Melayu yang dinamakan sebagai
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malays National Organization (UMNO).

17. Mereka bersepakat bahawa penubuhan UMNO adalah bertujuan untuk menyatukan orang
Melayu menentang Malayan Union, menjaga keselamatan orang Melayu ekoran pergaduhan
kaum di Batu Pahat, mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan kuasa Raja-
Raja Melayu, memupuk perasaan dan taat setia kepada tanahair, memberikan sokongan dan
kerjasama kepada kerajaan dan akhirnya menjadi sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak
serta kepentingan orang Melayu keseluruhannya.

18. Senarai pahatan itu semua sangat penting untuk masyarakat umum terutamanya generasi
sekarang dan akan datang supaya mereka tahu salahsiah Kesultanan Melayu di Negeri Johor
memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk Negeri Johor menjadi sebuah Negeri
yang makmur dan pesat membangun., justeru dapat memberi kesedaran kepada kita semua
bahawa betapa penting bagi kita mendaulatkan dan pertahankan institusi Raja-Raja Melayu buat
selamanya disamping dapat mengenali siapakan dikalangan tokoh-tokong gemilang anak Johor
supaya dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih sayangkan bangsa dan
tanahair,

19. Banyak lagi catatan yang menerangkan kegemilangan Negeri Johor yang terpahat di Dataran
Mahkota Kota Iskandar. Setiap pengunjung wajar melihat sendiri dengan penuh minat dan teliti
apabila berkunjung ke Kota Iskandar tersebut untuk meresapi betapa bangganya menjadi rakyat
dan anak jati Negeri Johor disamping yang bukan kelahiran Johor juga dapat mempelajari dan
mengenali sejarah Negeri Johor dengan lebih tepat lagi.

Oleh : Sang Nila Utama
Sumber : http://www.mykmujohor.com

								
To top