Docstoc

Ucapan long call

Document Sample
Ucapan long call Powered By Docstoc
					________________________________________________________________________

UCAPAN
NAMA NO. PETISYEN TEMPAT TARIKH NO. GILIRAN : : : : : AHMAD TERMIZI BIN ABDULLAH 18-319-04 MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR 3 HB MAC 2005 3

Yang Arif,

Ahmad Termizi Bin Abdullah dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Haji Abdullah Bin Ja’afar dan ibunya Che Yah Binti Ismail. Beliau dilahirkan pada hari Sabtu tanggal 12hb Jun, 1976, di Kampung Kangkong, Pasir Mas, Kelantan. Beliau merupakan anak bongsu daripada 4 orang adik-beradik. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba sederhana. Ayah beliau ketika hidupnya merupakan seorang bekas guru sekolah rendah dan ibu beliau seorang suri rumah sepenuh masa.

Sejarah awal pendidikan beliau bermula pada tahun 1983 iaitu di Sekolah Kebangsaan Kangkong, Pasir Mas dari Darjah Satu sehingga Darjah Enam. Bakat kepimpinan beliau mula diasah ketika di peringkat rendah lagi di mana beliau telah dilantik sebagai Penolong Ketua Darjah dan seterusnya Pengawas Sekolah. Kemudiannya beliau memasuki alam persekolahan menengahnya di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Pasir Mas dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Enam Rendah. Di peringkat menengah, beliau telah dilantik sebagai Penolong Ketua Darjah.

Yang Arif,

Pada 27 Jun, 1994 beliau menjejakkan kakinya buat kali pertama di Kuala Lumpur untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat Matrikulasi Undang-undang di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) setelah berjaya di dalam Sijil Pelajaran

Malaysia (SPM) dengan cemerlang. Setelah lulus dan berjaya memperoleh Sijil Matrikulasi Undang-undang selama dua tahun, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti yang sama.

Ketika bergelar mahasiswa, beliau aktif di dalam pelbagai bidang dan program yang dianjurkan oleh Universiti dan juga Persatuan-persatuan yang terdapat di UIAM. Beliau pernah menjadi fasilitator untuk beberapa program motivasi dan kepimpinan yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan di UIAM. Di dalam bidang sukan, beliau bergiat aktif mewakili UIAM di dalam sukan catur. Beliau juga berhasrat untuk mewakili Malaysia di dalam pertandingan catur, namun hasrat tersebut terpaksa disimpan dahulu memandangkan beliau sentiasa disibukkan dalam percaturan hidup di ibu kota yang mencabar ini.

Yang Arif,

Setelah menamatkan pengajian di Universiti, beliau telah mengambil keputusan untuk menimba ilmu dan pengalaman di dalam dunia pekerjaan. Beliau pernah bekerja sebagai Pegawai Akademik di sebuah kolej swasta dan seterusnya menceburi bidang akademik dengan bekerja sebagai Pensyarah di beberapa kolej swasta sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk memulakan Latihan Dalam Kamar di bawah tunjuk ajar En. Mohd. Kamri Bin Ismail di Tetuan Zul Kamri & Co. pada 5 Mei, 2004.

Tekanan begitu berat menghantui diri beliau semasa menjalani Latihan Dalam Kamar memandangkan ayah beliau baru sahaja meninggal dunia selepas dua bulan beliau memulakan latihan. Namun, atas dorongan dan semangat ibu, isteri dan keluarganya yang ingin melihat beliau berjaya, maka beliau bertekad untuk meneruskan latihannya di Kuala Lumpur. Di bawah didikan En. Mohd. Kamri Bin Ismail, beliau mendapat pengalaman undang-undang khususnya di dalam bidang Undang-undang Sivil seperti “Conveyancing”, “Banking”, dan “Corporate Financing”. Selain itu, pelbagai kerja guaman dan tunjuk ajar terutamanya dalam aspek “marketing” telah diberikan oleh En.

Mohd. Kamri kepada beliau dalam usaha menjadikan beliau sebagai seorang peguam yang berjaya.

Yang Arif,

Semasa bekerja sebagai Pensyarah dan semasa menjalani Latihan Dalam Kamar, beliau telah mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perbandingan Undang-undang di UIAM secara separuh masa. Pada bulan lepas, beliau telah mendapat pengesahan dari pihak Universiti bahawa tesis karangan beliau telah diluluskan untuk melayakkan beliau dianugerahi Sijil Sarjana Perbandingan Undangundang. Bukan itu sahaja, tesis yang ditulis oleh beliau tersebut telah dicadangkan oleh pihak penyelia dan pemeriksa untuk dibukukan sebagai bacaan awam umumnya dan sebagai rujukan kepada pelajar undang-undang dan pengamal undang-undang khususnya. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang gigih berusaha dalam meningkatkan kualiti dirinya dan tahun 2005 telah membuahkan natijah yang baik dalam percaturan hidup beliau.

Dikesempatan ini, pihak Pempetisyen ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada En. Mohd. Kamri Bin Ismail, para peguam dan juga kakitangan Tetuan Zul Kamri & Co. yang tidak henti-henti memberi tunjuk ajar, sokongan dan nasihat kepada Pempetisyen di sepanjang tempoh Latihan Dalam Kamar sehingga tamat tempohnya pada Februari 2005.

Terima kasih juga kepada ibu, isteri dan keluarga beliau yang selama ini telah banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada beliau sehingga sampai ke peringkat ini. Pempetisyen juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pensyarah-pensyarah yang telah banyak menurunkan ilmu yang berguna kepada beliau, rakan-rakan di Jabatan Peguam Negara dan Firma-firma guaman serta semua pihak yang telah membantu beliau secara langsung mahupun tidak langsung selama ini.

Seterusnya Yang Arif,

Saya percaya bahawa semua suratcara-suratcara Pempetisyen adalah teratur dan saya juga percaya bahawa ketiga-tiga rakan saya yang bijaksana iaitu dari Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur tiada bantahan terhadap permohonan Pempetisyen pada pagi ini.

Saya dengan rasa rendah diri memohon agar Pempetisyen diterima masuk dan didaftaraikan sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

Dengan itu, saya memohon Perintah seperti dipohon.


				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:1176
posted:2/8/2009
language:English
pages:4