Docstoc

KONSEP 5P DALAM KBSR

Document Sample
KONSEP 5P DALAM KBSR Powered By Docstoc
					KONSEP 5P DALAM KBSR

Konsep 5P merupakan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam
KBSR. Konsep ini merupakan aspek penting dalam pengajaran dan
pembelajaran kerana melalui proses ini pelajar dapat menyesuaikan
maklumat dalam ransangan serta menghasilkan satu pelajaran yang
bersepadu dan menyeluruh serta mengelakkan kebosanan dalam kalangan
murid. Konsep 5P terdiri daripada proses penggabungjalinan kemahiran,
penyerapan pengetahuan, penerapan nilai murni,
pemulihan dan juga pengayaan.


0.1 PENGGABUNGJALINAN KEMAHIRAN

Apa yang disebut sebagai strategi penggabungjalinan kemahiran ialah satu
proses yang menggabungkan pelbagai bidang kemahiran dalam satu pengajaran
dan pembelajaran bagi mewujudkan satu pelajaran yang intergratif dan
menyeluruh. Ia merupakan integrasi beberapa kemahiran yang berkaitan secara
bersepadu serta menyeluruh dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran.

Tujuan strategi ini dilaksanakan ialah bagi membantu murid dalam penguasaan
pelbagai kemahiran dalam sesuatu masa pengajaran dan pembelajaran secara
serentak serta meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran.

Selain itu strategi ini juga penting untuk menarik minat murid terhadap
proses pengajaran dan pembelajaran disamping menjadikan proses pengajaran
dan pembelajaran lebih bermakna murid. Proses penggabungjalinan kemahiran
juga dapat memberi ruang dan peluang bagi pertumbuhan dan perkembangan
murid secara seimbang dan menyeluruh melalui pelbagai aktiviti yang
dilaksanakan di dalam kelas yang melibatkan murid secara aktif serta seluruh
kelas. Terdapat tiga jenis bentuk penggabungjalinan kemahiran iaitu
penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran,
penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain dan
penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum. Penggabungjalinan pelbagai
kemahiran dalam satu mata pelajaran ialah apabila proses pengajaran dan
pembelajaran yang dijalankan melibatkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran
lisan atau pertuturan, membaca, menulis, mengira, melukis, mewarna dan lain-
lain.

Penggabungjalinan ini memerlukan sekurang-kurangnya dua kemahiran
yang digabungkan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.
Kemahiran-kemahiran ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kemahiran
fokus dan kemahiran sampingan. Kemahiran fokus merupakan kemahiran utama
yang hendak disampaikan sebagaimana yang terdapat dalam objektif
pengajaran dan pembelajaran manakala kemahiran sampingan pula ialah
kemahiran yang digabungkanjalinkan setelah dipilih berdasarkan kaitannya
dengan kemahiran yang di fokus.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam pelaksanaan
pengajaran yang melibatkan proses penggabungjalinan seperti membuat
penelitian terhadap keperluan mata pelajaran untuk mengenal pasti kemahiran
yang di fokus dan         kemahiran sampingan yang akan terlibat ketika
prosespengajaran dan pembelajaran berlangsung. Penilitian ini sangat penting
dalam menentukan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar
agar objektif pengajaran dapat dicapai. Di samping itu guru perlu
memastikan keutamaan kemahiran agar kemahiran fokus dapat dikuasai
oleh murid berbanding kemahiran sampingan.

Selain itu guru juga perlu menetapkan susunan atau tertib kedudukan
kemahiran-kemahiran tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai persediaan sebelum bermulanya proses pengajaran guru boleh
menyediakan keperluan bahan-bahan yang diperlukan bagi tujuan pelaksanaan
kemahiran-kemahiran tersebut selaras dengan objektif mata pelajaran.
Bentuk penggabungjalinan yang seterusnya ialah penggabungjalinan
kemahiran daripada mata pelajaran lain.Proses ini memerlukan penggabungan
kemahiran-kemahiran yang terdapat di dalam sesuatu mata pelajaran lain
ke dalam mata pelajaran yang diajar. Sebagai contoh yang jelas dapat
dilihat penggabungjalinan yang diaplikasikan ialah     seperti penggabungan
kemahiran dalam mata pelajaran        Pendidikan Seni Visual dengan mata
pelajaran Kajian Tempatan      iaitu melalui aktiviti seperti melukis Jalur
Gemilang atau pelan kedudukan sekolah. Penggabungjalinan ini perlu
diwujudkan antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran lain bagi
meningkatkan kemahiran dalam kalangan murid.

Penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum pula melibatkan
kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam kurikulum seperti kemahiran belajar
untuk proses pembelajaran murid, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dan
kemahiran menyelesaikan masalah. Setiap kemahiran ini mempunyai hubungan
dan berkait rapat dengan kehidupan seharian murid. Oleh itu kemahiran-
kemahiran ini perlu dititikberatkan ole setiap guru semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Selain itu guru yang juga perlu
menitikberatkan soal kemahiran pelbagai kecerdasan serta kemahiran generik
kerana kemahiran ini melibatkan kecerdasan murid dan penting untuk proses
pertumbuhan dan perkembangan murid.

Implikasi daripada proses penggabungjalinan kemahiran ini objektif bagi
setiap mata pelajaran dapat dicapai disamping menjadikan proses pengajaran
dan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Proses ini juga merupakan
suatu pengukuhan kepada kemahiran yang telah diperoleh oleh murid daripada
mata pelajaran lain. Kemahiran sampingan yang terdapat dalam
penggabungjalinan dapat membantu penguasaan kemahiran fokus sebagaimana
yang dikehendaki dalam objektif pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu murid-murid juga berpeluang untuk menyepadukan kemahiran-
kemahiran yang perlu dalam kehidupan. Kemahiran-kemahiran yang telah
mereka perolehi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat diaplikasikan
dalam aktiviti kehidupan seharian seperti membaca, menulis, melukis dan
mengira. Penggabungjalinan juga berkeupayaan untuk menimbulkan suasana
pembelajaran yang menarik dan dapat mengelakkan kebosanan murid
disamping menggalakkan proses pertumbuhan dan perkembangan murid-murid
secara seimbang, harmonis dan bersepadu.


0.2 PENYERAPAN PENGETAHUAN

Penyerapan pengetahuan melibatkan proses penyebatian dan penyepaduan
pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke
dalam isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar. Hal ini adalah kerana setiap
perkara yang dipelajari dalam suatu mata pelajaran adalah saling berkaitan dan
amat berguna bagi mata pelajaran lain. Sebagai contohnya isi pengetahuan
daripada mata pelajaran Sains dan Matematik diserapkan seiring dengan
penguasaan kemahiran-kemahiran dalam mata pelajaran Pendidikan Seni
Visual.

Konsep ini sedikit berbeza dengan konsep penggabungjalinan kerana
proses penyerapan pengetahuan melibatkan unsur pengetahuan dan bukannya
kemahiran. Dalam proses ini murid akan dapat melihat perkaitan antara suatu
mata pelajaran dengan mata pelajaran yang lain. Hasil daripada penyerapan
inimaka wujudlah beberapa kelebihan kepada proses pengajaran dan
pembelajaran antaranya seperti aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat
menjadi lebih menarik walaupun tajuk yang hendak dipelajari pada asalnya
bersifat sebaliknya.

Oleh itu secara tidak langsung aktiviti pengajaran dan pembelajaran
menjadi lebih produktif serta efektif. Penguasaan ilmu yang lebih luas juga
turut berlaku kerana pelbagai maklumat dapat disampaikan disamping murid-
murid menjadi lebih faham dengan sesuatu yang telah dipelajarinya melalui
penyerapan kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung
isi pengajaran telah dihubungkaitkan dengan pengetahuan dari mata pelajaran
lain. Guru haruslah bijak memilih isi pengetahuan yang menarik daripada mata
pelajaran lain untuk meransang minat murid terhadap pengajaran dan menjadi
lebih ceria, aktif serta progresif.
0.3 PENYERAPAN NILAI MURNI

Penyerapan nilai murni merupakan proses menerapkan nilai-nilai dalam
pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai murni ini
melibatkan semangat kewarganegaraan masyarakat Malaysia yang
berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Melalui
proses pengajaran dan pembelajaran, penyerapan nilai murni ini telah dilakukan
secara sedar dan terancang tetapi murid menyerap ilmu dan nilai tersebut secara
semulajadi dan sendirinya.


 Walaubagaimanapun, secara terperincinya penyerapan nilai-nilai murni ini
telah berlangsung melalui dua pendekatan iaitu pendekatan implisit dan
juga pendekatan eksplisit. Pendekatan implisit digunakan apabila guru-guru
secara tidak langsung telah menerapkan sesuatu nilai dalam proses
pengajaran dan pembelajaran seperti apabila guru bercakap benar, berpakaian
kemas dan adil. Pendekatan ini boleh berlangsung secara merentas kurikulum
serta oleh semuaguru kerana nasihat, bimbingan, teguran, contoh dan teladan
boleh berlangsung pada bila-bila masa dan di mana-mana yang difikirkan sesuai.

 Pendekatan eksplisit pula boleh diaplikasikan dengan mengadakan sesuatu
peraturan, arahan, pekeliling dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu
perkara yang diharapkan sepert arahan untuk tidak membuang sampah di
merata-rata serta menjaga kebersihan persekitaran. Terdapat juga sesetengah
pihak sekolah yang mengadakan program atau aktiviti yang khusus untuk
menerapkan sesuatu nilai murni dalam kalangan murid seperti program motivasi,
khemah ibadat, sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Guru, kempen kebersihan
dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian. Penyerapan nilai murni
melalui pendekatan eksplisit adalah lebih terancang bersesuaian dengan
matlamat dan kaedah pelaksanaan serta penilaian yang jelas.

 Terdapat 17 nilai murni yang perlu diserapkan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran iaitu:


NILAI CONTOH

Baik hati
 1. Belas kasihan
2. Bertimbang rasa
3. Murah hati
4. Saling memahami
5. Sedia memaafkan

Berdikari
1. Bertanggungjawab
2. Tidak berharap atau bergantung kepada bantuan orang lain
3. Jaya diri
4. Yakin kepada diri sendiri

Berhemah tinggi
1. Kesopanan
2. Mengaku kesalahan sendiri
3. Ramah mesra

Hormat-menghormati
1. Hormat kepada ibu bapa
2. Hormat kepada orang yang lebih tua
3. Taat kepada raja dan Negara
4. Hormat kepadda hak asasi
5. Hormat kepada undang-undang
6. Menghargai maruah diri

Kasih sayang
1. Sayang kepada nyawa
2. Sayang kepada alam sekeliling
3. Cinta kepada Negara
4. Cinta kepada keamanan dan keharmonian

Keadilan
1. Bertindak adil
2. Sentiasa saksama


Kebebasan
1. Kebebasan di sisi undang-undang
2. Kebebasan dalam sistem demokrasi

Keberanian
1. Berani dengan tidak membuta tuli
2. Berani kerana benar
3. Berani mempertahankan kebenaran
4. Berani bertanggungjawab

Kebersihan fizikal dan mental
1. Kebersihan diri
2. Kebersihan persekitaran
3. Pertuturan dan kelakuan yang sopan

Kejujuran
1. Bersifat amanah
2. Bercakap benar
3. Sentiasa ikhlas


Kerajinan
 1. Cekal
2. Daya usaha
3. Dedikasi
4. Gigih
5. Tekun


Kerjasama
1. Persaudaraan
2. Tanggungjawab bersama
3. Gotong-royong
4. Toleransi
5. Kebaikan bersama
6. Perpaduan


Kesederhanaan
1. Sederhana dalam meningkatkan kepentingan diri dan orang lain
2. Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku


Kesyukuran
1. Berterima kasih
2. Mengenang budi
3. Menghargai


Rasional
1. Boleh membuat pertimbangan
2. Boleh membuat penaakulan
3. Berfikiran logik dan terbuka


Semangat bermasyarakat
1. Bermuafakat
2. Kejiranan
3. Peka kepada isu-isu sosial dan masyarakat

Semangat kewarganegaraan
1. Berbangga menjadi rakyat Malaysia
2. Bersemangat patriotik
3. Berusaha ddan produktif
0.4 PEMULIHAN

Konsep seterusnya ialah konsep pemulihan. Konsep ini telah dibentuk dengan
melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi membantu murid yang mengalami
masalah dalam kemahiran asas 3M. Pendidikan pemulihan adalah lebih terbatas
dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan membaiki kelemahan
pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid yang lambat, iaitu mereka yang lembab
mencapai pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak yang lain. Pencapaian
pembelajaran murid-murid ini biasanya di bawah tahap pencapaian yang
sepatutnya (Koh Boh Boon, 1982).

 Rasionalnya pendidikan pemulihan adalah amat penting kerana melalui
pendidikan pemulihan murid-murid yang lemah dapat diasuh dan diberikan
tumpuan yang lebih berbanding murid lain. Hal ini berlaku kerana murid adalah
berbeza dari segi pengalaman, minat dan juga kebolehan. Oleh itu murid yang
lemah atau menghadapi masalah tertentu perlulah diberi perhatian dan
bimbingan. Objektif pendidikan pemulihan diadakan adalah untuk membolehkan
murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti-
aktiviti alternatif yang sesuai dengan murid.

Selain itu pendidikan pemulihan ini juga membolehkan murid-murid
mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan
perkembangan mental mereka di samping membolehkan murid mengurangkan
masalah yang dihadapi melalui bantuan guru-guru dan juga pihak lain.
Murid juga turut diberikan peluang untuk mencuba mengembangkan potensi
diri mereka dalam pelajaran dan minat mereka untuk mencuba ke tahap yang
lebihmaju serta sama-sama melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti
sosial sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

Antara faktor yang membawa kepada masalah pembelajaran ialah
apabilawujudnya perasaan tidak yakin, rendah diri dan takut dalam
kalangan murid. Selain itu masalah pembelajaran juga berlaku akibat
daripada sikap negatif yang ada dalam diri murid tersebut sendiri seperti tidak
mahu mengikut kata, tingkah laku yang kurang baik serta disiplin diri yang
rendah. Faktor kecacatan sejak lahir dan selepas lahir juga turut menyumbang
kepada masalah pembelajaran. Murid yang mengalami kecacatan ini akan
ditempatkan disekolah khas yang bersesuaian dengan keadaan mereka.

Aktiviti pemulihan boleh dilakukan melalui lima kaedah iaitu pengajaran
individu, pengajaran kumpulan kecil, pengajaran kumpulan besar, pengajran
bimbingan rakan sebaya dan juga pengajaran kolaboratif. Bagi pengajaran
individu guru akan membimbing murid bagi mengatasi masalah yang dihadapi
dengan alat bantuan yang sesuai manakala bagi pengajaran kumpulan kecil pula
guru akan membimbing murid yang berada dalam kelompok kumpulan yang
sama dan mempunyai masalah yang sama tetapi mendapat perhatian secara
individu dari guru.
 Berapa langkah khas harus diambil kira ketika menjalankan langkah-
langkah pemulihan bagi memastikan objektif aktiviti pemulihan tercapai seperti
membuat perancangan dan memilih teknik pengajaran yang sesuai, menentukan
masalah yang sama tidak berulang, mengikuti kemajuan murid dengan
menggunakan senarai semak dan juga membuat penentuan aktiviti penhukuhan
yang sesuai dan secocok bagi menyelesaikan masalah. Setelah selesai proses
pemulihan sebagaimana yang telah dijadualkan satu penilaian harus dilakukan
bagi menguji tahap penguasaan murid. Penilaian ini bertujuan bagi memastikan
sama ada objektif pengajaran pemulihan terlah tercapai atau tidak dan tindakan
susulan akan diambil ke atas murid.


0.5 PENGAYAAN


Cabang konsep yang terakhir ialah aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan
melibatkan murid-murid yang berpencapaian melebihi sederhana atau murid-
murid pintar cerdas. Konsep ini mengambil kira bahawa murid-murid yang pintar
cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan
kepada mereka. Konsep ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan
kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar
bilik darjah. Pada kebiasaannya aktiviti pengayaan dijalankan ke atas kumpulan
murid yang telah mencapai tahap yang memuaskan atau telah menguasai
kemahiran asas.

Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan
pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh murid.
Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang kepada murid untuk
mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta
dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga
masyarakat.

Objektif bagi aktiviti pengayaan adalah untuk membolehkan murid
menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereja disamping
menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah
perkembangan diri dan bakat mereka. Selain itu aktiviti ini juga dapat
membuatkan murid berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari
bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta
meelahirkan daya kreativiti menerusi pemikiran dan kebolehan untuk menilai
kerja mereka sendiri.

Secara keseluruhannya pelaksanaan konsep 5P ini dalam KBSR adalah penting
dan wajar demi meningkatkan kredibiliti anak bangsa. Konsep integrasi
dalam kurikulum dan pengajaran yang diterapkan adalah ke arah
pembangunan individu insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Di dalam KBSRkonsep ini membawa maksud
bahawa penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, bahasa dan pemupukan
nilai-nilai murni secara bersepadu dan menyeluruh.




SUMBER RUJUKAN
http://www.scribd.com/doc/5572516/KONSEP-5P-DALAM-KBSR
http://www.scribd.com/doc/5572616/KONSEP-5P-DALAM-PP
http://www.scribd.com/doc/nota4pf2216AAP_8sept
http://www.gurubashid.blogspot.com

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Stats:
views:2312
posted:5/24/2010
language:Malay
pages:9