PENDIDIKAN ALAM SEKITAR BAGAIMANA USAHA-USAHA

Document Sample
PENDIDIKAN ALAM SEKITAR BAGAIMANA USAHA-USAHA Powered By Docstoc
					     PENDIDIKAN ALAM SEKITAR: BAGAIMANA USAHA-USAHA
  DILAKUKAN DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

             Shahrom Md Zain, Noor Ezlin Ahmad Basri, Fatihah Suja,
                           Othman Jaafar & Hassan Basri
     Jabatan Kejuruteraan Awam & Struktur, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina
                         Universiti Kebangsaan Malaysia.


                                    ABSTRAK

Dalam merealisasikan hasrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk
menjadikan UKM Kampus Lestari, penerapan terhadap kepentingan penjagaan alam
sekitar adalah perlu diambil perhatian kepada semua pelajar dan warga UKM. Kertas
kerja ini akan membincangkan penekanan pendidikan alam sekitar di dalam kursus-
kursus di Jabatan Kejuruteraan Awam & Struktur dan usaha-usaha yang telah dan
akan dibuat dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk memberikan
pendidikan alam sekitar kepada pelajar-pelajar. Tinjauan terhadap tahap kesedaran
penjagaan alam sekitar dikalangan pelajar-pelajar tahun satu di Fakulti Kejuruteraan
& Alam Bina (FKAB) UKM turut dibincangkan untuk melihat sejauh mana
keprihatinan mereka terhadap alam sekitar.

Katakunci: pendidikan alam sekitar; kesedaran; UKM; kampus lestari; Fakulti
Kejuruteraan & Alam Bina


                                 PENGENALAN

Alam sekitar fizikal yang terdiri daripada air, udara dan tanah merupakan tempat di
mana setiap yang hidup di muka bumi ini melakukan pelbagai aktiviti untuk
mendapatkan keperluan dan kepentingan masing-masing. Adakah manusia sedar
mereka memerlukan ketiga-tiga komponen ini untuk kehidupan yang selamat dan
sejahtera? Mereka bebas menggunakan apa yang ada di muka bumi dan melakukan
pelbagai aktiviti ke atasnya untuk tujuan meningkatkan taraf hidup, tanpa menyedari
tentang kesan yang akan timbul akibat daripada tindakan yang dibuat. Alam sekitar
yang diciptakan oleh Allah adalah bersih dari segala kekotoran dan disediakan untuk
manusia mendiaminya sebagai tempat persinggahan. Walau bagaimanapun manusia
tidak sedar tindakan mereka telah menyebabkan berlakunya perubahan terhadap
keseimbangan alam sekitar dan seterusnya boleh merosakkan kualiti alam sekitar.
Sepatutnya anugerah Allah perlu dipelihara sebaik-baiknya dengan penuh rasa
tanggungjawab. Merujuk kepada terjemahan Al-Quran, surah al-Rum ayat 41 yang
bermaksud:
    “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
    dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang
    demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
    perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf
    dan bertaubat)”
Penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua sebagai
makhluk Allah yang diberikan akal untuk berfikir. Ayat Al-Quran di atas dengan jelas
mengingatkan kepada manusia bahawa banyak kerosakan yang berlaku di muka bumi
adalah disebabkan oleh tindakan manusia itu sendiri. Sekiranya nafsu menguasai diri,
segala kehendak dan keperluan tidak akan mencukupi, segala sumber akan diterokai
secara berlebihan untuk mendapatkan kekayaan. Kerosakan alam sekitar tidak akan
dihiraukan.
    Manusia sendiri yang melakukan kerosakan muka bumi yang didiami mereka, dan
bagaimana boleh diubah sikap dan minda manusia yang diberikan akal oleh Allah ini?
Pendidikan dilihat berperanan besar dalam membentuk minda, pemikiran dan sikap
manusia ke arah kebaikan. Maka pendidikan alam sekitar memberikan penekanan
kepada perubahan minda, sikap dan perlakuan seseorang ke arah mencintai alam
sekitar dalam apa jua tindakan yang diambil. Deklarasi Tbilisi (1978) telah
mendefinasikan pendidikan alam sekitar sebagai proses pembelajaran yang dapat
meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai berkaitan alam sekitar dan
cabaran-cabaran yang berkaitan dengannya; membangunkan kepakaran dan
kemahiran yang perlu bagi menangani cabaran berkenaan; membentuk sikap,
motivasi dan komitmen dalam membuat keputusan seterusnya mengambil tindakan
yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar (Tunku Khalkausar, 2006).
Komponen-komponen pendidikan alam sekitar seperti yang digariskan oleh United
Nations Environmental, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) adalah
meliputi:
    1. Kesedaran dan kepekaan terhadap alam sekitar dan cabaran-cabarannya
    2. Ilmu pengetahuan dan pemahaman terhadap alam sekitar dan cabaran-
        cabarannya
    3. Sikap dan keprihatinan terhadap alam sekitar untuk meningkatkan atau
        mengekalkan kualiti alam sekitar yang baik
    4. Kemahiran untuk membantu menyelesaikan cabaran-cabaran alam sekitar
    5. Turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyelesaikan cabaran-cabaran
        alam sekitar
 Komponen-komponen ini adalah merujuk kepada proses dalam memberikan
 pendidikan alam sekitar .
    Bagaimana pendidikan alam sekitar boleh digerakkan di peringkat pendidikan
tinggi? Piagam UKM Lestari telah menggariskan beberapa prinsip yang bertekad
mengamalkan pembangunan lestari sepenuhnya menjelang 2020 bagi kesejahteraan
kehidupan dan kesihatan ekosistem serta memupuk kelestarian alam semula jadi dan
alam binaan melalui pengurusan, pentadbiran, pendidikan, penyelidikan,
pembangunan dan amalan kehidupan komuniti kampus dan tempatan
(http://www.ukmlestari.ukm.my). Program-program yang digariskan adalah meliputi
program-program seperti berikut iaitu:
     Program Governans Kelestarian UKM
     Program Pengurusan Air Bersepadu UKM
     Program Pengurusan Tenaga Efisyen UKM
     Program Pengurusan Sisa Pepejal UKM
         Program Reka Bentuk Bangunan Dan Infrastruktur Lestari UKM
         Program Pengurusan Pengangkutan Lestari UKM
         Program Pemuliharaan Hutan Dan Lanskap Mesra-Ekosistem UKM
         Program Penggunaan Dan Pengurusan Bahan Lestari UKM
         Program Kelestarian Kurikulum UKM
         Program Kesejahteraan Insan UKM
         Program Pembinaan Keupayaan Kelestarian UKM
         Pelan Induk Kampus UKM Lestari 2020; dan
         Pelaksanaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) UKM.


 HASIL PEMBELAJARAN PO7 DAN KAITANNYA DENGAN KURSUS-KURSUS
           DI JABATAN KEJURUTERAN AWAM & STRUKTUR

Tujuan pengajian prasiswazah kejuruteraan adalah menghasilkan para jurutera dan
arkitek yang menggunakan pengetahuan saintifik untuk menjana kekayaan yang
meningkatkan taraf kehidupan (Fakulti Kejuruteraan, 2007). Jurutera perlu bersikap
inovatif, kreatif dan beretika tinggi dalam merekacipta dan mengeluarkan bahan-bahan
keperluan masyarakat. Dalam usaha menghasilkan jurutera-jurutera seperti yang
digariskan, Fakulti telah menetapkan 6 objektif dan 12 hasil pembelajaran (PO) yang
perlu dicapai. Antara PO yang berkaitan dengan alam sekitar adalah PO7 yang
menyatakan hasil pembelajaran yang perlu dicapai oleh para graduan semasa mereka di
universiti dan pada masa mendapat ijazah adalah “para graduan yang memahami
tanggungjawab sebagai seorang jurutera dan arkitek profesional dalam aspek sosial,
budaya, global dan alam sekitar serta keperluan pada pembangunan lestari”. Penulis
cuba mengaitkan PO7 ini dengan subjek-subjek yang diajar dalam Program Sarjana
Muda Kejuruteraan Awam & Struktur dan Program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam
& Sekitaran. Jadual 1 menunjukkan kursus-kursus yang dinyatakan hasil pembelajaraan
PO7 dalam proses pengajaran dan pembelajaran daripada tahun pertama hingga ke tahun
empat.
       Daripada senarai kursus dalam Jadual 1, hasil pembelajaran berkaitan alam sekitar
dan pembangunan lestari yang dinyatakan untuk tahun satu, dua & tiga adalah hanya
melibatkan 1-2 kursus. Berbeza dengan tahun empat di mana 10 kursus wajib ada
memberi penekanan kepada alam sekitar dan pembangunan lestari dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Kursus-kursus elektif kebanyakannya mempunyai elemen
berkaitan alam sekitar dalam proses pengajaran. Ini menunjukkan pencapaian PO7 iaitu
pelajar dapat memahami etika sebagai jurutera dan arkitek dalam aspek alam sekitar
banyak diperolehi oleh pelajar-pelajar semasa berada di tahun empat iaitu tahun akhir
mereka di UKM sebelum bergelar graduan.
    JADUAL 1: Kursus-kursus wajib (WJ) dan elektif (P) yang mengaitkan PO7 dalam
                       proses pengajaran dan pembelajaran

TAHUN BIL                                KURSUS-KURSUS
1     1            KF3283 Etika Kejuruteraan & Perkembangan Teknologi (WJ)
2     1            KH2173 Pengenalan Kejuruteraan Sekitaran (WJ)
3     1            KH3143 Kejuruteraan Pengangkutan (WJ)
                   KW3213 Prinsip Proses Kimia & Biologi (WJ)
4          1       KH4073 Kejuruteraan Bekalan Air dan Sistem Pembetungan (WJ)
                   KH4103 Projek Ilmiah I (WJ)
                   KH4203 Projek Ilmiah II (WJ)
                   KH4153 Rekabentuk Kejuruteraan I (WJ)
                   KH4193 Pengurusan Projek (WJ)
                   KH4223 Amalan Kejuruteraan Geoteknik (WJ)
                   KH4253 Rekabentuk Kejuruteraan II (WJ)
                   KH4323 Rekabentuk Struktur II (Kayu & Keluli) (WJ)
                   KW4023 Pengurusan Sisa Pepejal (WJ)
                   KW4113 Sistem Bioreaktor (WJ)
                   KH4033 Kejuruteraan Sungai (P)
                   KH4043 Teori Aliran Trafik (P)
                   KH4053 Pembaikan Tanah (P)
                   KH4063 Teknologi Konkrit Lanjutan (P)
                   KH4333 Kejuruteraan Air Tanah (P)
                   KH4353 Cerun & Struktur Penahan (P)
                   KH4363 Penilaian & Penyelenggaraan Binaan Konkrit (P)
                   KH4433 Kejuruteraan Awam Maritim (P)
                   KH4453 Geoteknik Sekitaran (P)
                   KH4533 Pengenalan Pengurusan Air Larian Hujan (P)
                   KH4543 Perancangan Pengangkutan Bandar (P)
                   KH4723 Konkrit Prategasan (P)
                   KH4743 Kawalan & Pengurusan Trafik (P)
                   KH4753 Kejuruteraan Geoteknik Lanjutan (P)
                   KH4943 Pemodelan Pengangkutan Bandar (P)
                   KH4953 Geosintetik (P)
                   KW4023 Kawalan Pencemaran (P)
                   KH4473/KW4033 Rawatan Air & Air Sisa (P)
                   KW4023 Pengurusan Sisa Merbahaya (P)
                   KW4053 Kimia Air (P)
                   KW4063 Rawatan Lanjutan dan Penggunaan Semula Air Sisa (P)
  USAHA-USAHA DALAM MEMBERIKAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR
                     KEPADA PELAJAR

Bagi mendapatkan gambaran awal terhadap tahap kesedaran alam sekitar di kalangan
pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB), satu kaji selidik dikalangan
pelajar-pelajar tahun satu FKAB telah dilakukan. Sebanyak 100 borang soal selidik telah
diedarkan kepada pelajar-pelajar FKAB di mana 20 borang diedarkan kepada pelajar-
pelajar setiap Jabatan (JKAS, JKEES, JKMB, JKKP & JSB). Soalan-soalan yang
diajukan kepada pelajar-pelajar tersebut adalah merupakan perkara-perkara asas berkaitan
alam sekitar dan dibahagikan kepada 5 soalan iaitu:
     Keprihatinan terhadap isu-isu alam sekitar
     Penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti yang berkait dengan penjagaan alam sekitar
     Penglibatan dalam aktiviti kitar semula
     Mengapakah mereka melakukan aktiviti-aktiviti tersebut
     Tahap pengetahuan berkaitan isu-isu alam sekitar
    Berdasarkan kepada keputusan kaji selidik keprihatinan pelajar terhadap isu-isu alam
sekitar menunjukkan kebanyakan pelajar tahun satu berada di tahap sederhana iaitu
sebanyak 42 % . Seterusnya apabila ditanya berkaitan penglibatan mereka dalam aktiviti-
aktiviti atau program-program yang berkaitan dengan alam sekitar, kebanyakannya
daripada mereka tidak terlibat (52 %). Walau bagaimanapun sebanyak 65 % pelajar-
pelajar tersebut mengitar semula barangan mereka dan kebanyakannya daripada mereka
melakukan aktiviti ini adalah kerana untuk menjaga alam sekitar. Daripada keputusan
keseluruhan menunjukkan tahap kesedaran pelajar-pelajar tersebut terhadap alam sekitar
adalah berada di tahap sederhana.
        Bagaimana tahap kesedaran alam sekitar ini boleh ditingkatkan di kalangan
pelajar-pelajar tahun pertama. Tahun pertama adalah tahun yang sesuai untuk diberi
pendedahan tentang kepentingan penjagaan alam sekitar. Peranan warga akademik dilihat
perlu dalam membantu meningkatkan kesedaran alam sekitar dikalangan pelajar-pelajar
melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Bagaimana boleh
dilakukan? Adakah cukup sekadar memberi nasihat, menyuruh mereka mengitar semula
barang-barang atau bagaimana? Pada peringkat ini pelajar-pelajar perlu diberi banyak
pendedahan berkaitan isu-isu alam sekitar untuk memberi kesedaran kepada mereka
betapa pentingnya penjagaan alam sekitar. Kesedaran merupakan komponen pertama
yang perlu dalam proses memberikan pendidikan berkaitan alam sekitar.
        Pelaksanaan kempen-kempen alam sekitar, aktiviti-aktiviti kitar semula dan gaya
hidup lestari warga UKM perlu digerakkan di peringkat universiti secara lebih tersusun
untuk menunjukkan betapa seriusnya UKM memperjuangkan konsep pembangunan
lestari di peringkat universiti. Bagi proses pengajaran & pembelajaran di UKM, antara
cara yang boleh dilaksanakan ialah dengan memberikan tugasan-tugasan berkaitan isu-isu
alam sekitar, projek berasaskan masalah (PBL) yang memberi fokus kepada masalah
alam sekitar, pertandingan dan seterusnya penglibatan pelajar-pelajar dalam pameran dan
kempen-kempen kesedaran alam sekitar hasil daripada tugasan yang diberikan.
        Kaji selidik berkaitan tahap kesedaran alam sekitar dikalangan pelajar-pelajar
tahun satu merupakan tugasan yang telah diberikan kepada pelajar-pelajar untuk program
pembimbing akademik. Selain dapat melatih mereka memberikan pengucapan dalam
bahasa Inggeris, pelajar juga dapat diberi pendedahan kepada isu-isu alam sekitar.
Shahrom et al., 2007, 2006 & 2005 dan Zain et al., 2008 banyak membincangkan proses-
proses pengajaran dan pembelajaran ke arah meningkatkan kesedaran alam sekitar di
kalangan pelajar-pelajar. Antara cara pengajaran yang dilakukan adalah melalui
pembelajaran berasaskan masalah (PBL) di mana dapat melahirkan kesedaran,
memperolehi ilmu yang manfaat, membentuk sikap, menggunakan kemahiran yang ada
dan seterusnya melaksanakan apa yang telah dinyatakan dapat memberikan satu
pengalaman yang dapat mendidik pelajar-pelajar tersebut mengutamakan kepentingan
penjagaan alam sekitar dalam apa jua tindakan yang diambil.
        Kumpulan Penyelidikan Ekosistem Lestari sedang dalam usaha untuk
mendapatkan kerjasama dengan pihak industri bagi menganjurkan satu pertandingan
“Sustainable Building Design” di peringkat universiti. Ianya bertujuan untuk melihat
sejauh mana pelajar-pelajar di FKAB mampu menghasilkan satu reka bentuk bangunan
yang berkonsepkan pembangunan lestari dengan mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah
diperolehi mereka. Melalui pertandingan ini juga, keprihatinan pelajar-pelajar terhadap
isu-isu alam sekitar menjadi perkara utama dalam menghasilkan reka bentuk tersebut dan
secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran mereka dalam penjagaan alam
sekitar. Pada peringkat permulaan, projek PBL berkaitan “Sustainable Building Design”
telah diberikan kepada pelajar-pelajar tahun 2 melalui kursus Pengenalan Kejuruteraan
Sekitaran KH2173 dan pelajar-pelajar tahun 4 melalui kursus Kawalan Pencemaran
KW4023 pada sesi 2008/2009 semester I.

                                   KESIMPULAN

Usaha-usaha ke arah memberikan pendidikan alam sekitar kepada pelajar-pelajar ini
diharap dapat membantu dalam merealisasikan hasrat UKM dalam memperjuangkan
pembangunan lestari melalui pendidikan.

                                     RUJUKAN

Al Quran. Al-Rum ayat 41.
Fakulti Kejuruteraan. 2008. Panduan Prasiswazah Sesi Akademik 2007-2008. Fakulti
     Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
http://www.ukmlestari.ukm.my
Shahrom Md Zain, Fatihah Suja, Noor Ezlin Ahmad Basri & Hassan Basri. 2007
     Pengarang. Penilaian Kemahiran Insaniah dalam Kursus Sistem Bioreaktor KW4113.
     Seminar Pendidikan Kejuruteraan dan Alam Bina 2007. Fakulti Kejuruteraan, UKM
     Bangi.
Shahrom Md Zain, Noor Ezlin Ahmad Basri, Hassan Basri, Fatihah Suja' & Wan Hanna
     Melini Wan Mokhtar. 2006. Pengajaran Kejuruteraan Alam Sekitar Berkonsepkan
     Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL). Seminar Pengajaran dan Pembelajaran
     Berkesan 2006. Fakulti Kejuruteraan, UKM Bangi, hlm. 66-76.
Shahrom Md Zain, Noor Ezlin Ahmad Basri, Hassan Basri& Fatihah Suja'. 2005. Ke arah
    pendidikan pembelajaran berasaskan masalah dalam kursus pengenalan kejuruteraan
    sekitaran. Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan 2005. Fakulti
    Kejuruteraan, UKM Bangi
Tunku Khalkausar Tunku Fathali. 2006. Environmental education and awareness.
    IMPAK, Issue 4. Department of Environment Malaysia.
Zain, S.M., Basri N.E.A., Basri, H. & Suja’, F. 2008. Pengenalan kejuruteraan sekitaran:
    pembelajaran berasaskan masalah (PBL) dalam meningkatkan kesedaran alam
    sekitar. Proceeding National Conference on Environment & Health 2008. School of
    Health Science USM, Kubang Kerian, Kelantan, hlm. 96-100.