MAKLUMAT MENGENAI PROGRAM PENGAJIAN IJAZAH PERTAMA UNIVERSITI

Document Sample
MAKLUMAT MENGENAI PROGRAM PENGAJIAN IJAZAH PERTAMA UNIVERSITI Powered By Docstoc
					              MAKLUMAT MENGENAI PROGRAM PENGAJIAN IJAZAH PERTAMA

                             UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP)

                                       BAGI SESI AKADEMIK 2010/2011



LATARBELAKANG DAN SEJARAH

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM)
diluluskan sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 25 Julai, 2001 dan mula beroperasi pada Jun,
2002. Tujuan utama penubuhan UniMAP ialah untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dan berkebolehan untuk
merekabentuk, membina, menguji dan menyelenggara pelbagai peralatan dan sistem. Tenaga kerja mahir ini juga
seharusnya berketerampilan dalam pelbagai bidang strategik dan berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai
bentuk masalah menerusi pemikiran yang inovatif. Mulai Sidang Akademik 2009/2010 yang lalu, buat pertama kalinya
UniMAP menawarkan program pengajian dalam bidang perniagaan. Salah satu matlamat penawaran program
pengajian berkenaan adalah melahirkan usahawan tekno yang berpengetahuan dalam bidang keusahawanan dan
perniagaan serta mempunyai kemahiran asas dalam kejuruteraan.


MISI UniMAP

Melahirkan modal insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara.


VISI UniMAP

Institusi akademik dan penyelidikan yang berdaya saing di persada antarabangsa.


KEDUDUKAN SEKARANG

Kampus tetap UniMAP (Kampus Alam) adalah di Ulu Pauh seluas (1028 ekar) dan di Sg. Chuchuh seluas (253 ekar)
dan masih di peringkat pembangunan. Buat masa ini, kampus UniMAP adalah merupakan kampus yang bersifat
bertaburan (distributed). UniMAP kini beroperasi di lokasi-lokasi seperti berikut:


Kangar: Jabatan Canselori (Pejabat Naib Canselor, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)), Jabatan Pendaftar, Jabatan Bendahari, Perpustakaan,
Jabatan Pembangunan, Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Kerjasama Industri, Unit Pengajian Ijazah Tinggi, Unit
Penyelidikan & Pembangunan (R&D), Kluster-kluster penyelidikan, Unit Pembangunan Agroteknologi, Unit
Pembangunan Korporat, Unit Pengajaran & Pembelajaran, Unit Kualiti, Unit Pembangunan Lestari, Unit Kajian
Strategik, Unit Multimedia, Unit Audit Dalam, Unit Perundangan, Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Unit
Enterprise Kecil Sederhana, Unit Agama Islam, Unit Kebudayaan & Rekreasi, Unit Pengurusan Harta, Jabatan
Keselamatan, dewan/bilik kuliah dan makmal.


Kubang Gajah: Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), PALAPES, Rumah Universiti, Galeri UniMAP, Unit
Komunikasi Korporat, Pusat Sukan (Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni), dewan kuliah dan makmal.


Jejawi: Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) (PPK Mekatronik, PPK Mikroelektronik, PPK Bahan, PPK Alam Sekitar dan
PPK Bioproses), Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan, dewan/bilik kuliah dan makmal.
* Dijangkakan PPK Mekatronik akan berpindah ke Kampus Tetap di Ulu Pauh mulai Sidang Akademik 2010/2011


Bintong: Kolej Kediaman & Pejabat SUKSIS


Kuala Perlis: Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK Komputer & Perhubungan, PPK
Pembuatan dan PPK Sistem Elektrik), Institut Matematik Kejuruteraan, Institut Kejuruteraan Nano Elektronik, Pusat
Kejuruteraan, Unit Penyelarasan Program Diploma, Kolej-Kolej Kediaman, Bilik Bersih (Semiconductor Clean Room),
Kilang Mengajar, Klinik Kesihatan, dewan/bilik kuliah dan makmal.
* Dijangkakan PPK Pembuatan akan berpindah ke Kampus Tetap di Ulu Pauh mulai Sidang Akademik 2010/2011




                                                        1
KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN

Secara ringkasnya infrastruktur fizikal yang terdapat di UniMAP pada ketika ini meliputi 124 buah makmal, 43
buah dewan & bilik kuliah, Perpustakaan, Pusat Kejuruteraan, Kilang Mengajar, Semiconductor Clean Room,
Stesen Penyelidikan Agroteknologi dan lain-lain lagi.

Selain itu, infrastruktur dan perkhidmatan ICT yang disediakan oleh Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi
UniMAP terbahagi kepada rangkaian komputer (contohnya capaian internet di semua lokasi kampus-punca data
UTP & wireless Access Point, akaun email staf-Zimbramail & pelajar-Qmail, Access Control System, Time
Management System serta IP camera) dan juga perkhidmatan sistem maklumat (contohnya lawan web dan
portal UniMAP, Sistem Pengurusan Akademik, Sistem Pengurusan Sumber Manusia, Sistem Kewangan
Universiti, Sistem Perpustakaan Universiti, Sistem k-Kedatangan serta Sistem E-Learning/E-Module).

Perpustakaan UniMAP turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti Mesin Peminjaman Secara Layan Diri (Self-
check), Mesin Pemulangan Secara Layan Diri (Book drop), ruang bacaan dan diskusi, Bilik Pembelajaran Berbantukan
Komputer (C.A.I), ruang tayangan dan sebagainya.

Buat masa ini pihak UniMAP belum lagi dapat menyediakan apa-apa kemudahan untuk golongan OKU memandangkan
lokasi kampus yang bersifat bertaburan (distributed campus). Walau bagaimanapun, perkara ini akan dititikberatkan
dalam pembinaan kampus tetap kelak.


MATLAMAT DAN FALSAFAH

Program Sarjana Muda Kejuruteraan di UniMAP mempunyai matlamat untuk menghasilkan graduan kejuruteraan yang
berketerampilan dalam pelbagai bidang strategik yang berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk
masalah menerusi pemikiran yang inovatif. UniMAP menitikberatkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran seiring
dengan perkembangan industri, sama ada dalam bentuk komponen teori mahupun amali. Kefahaman pelajar terhadap
kefahaman teori dipertingkatkan melalui pembelajaran amali yang disediakan di samping komponen rekabentuk,
penyelesaian masalah, kerja berkumpulan, penyediaan dan pembentangan laporan. Semasa mengikuti program
akademik, pelajar juga akan dibekalkan dengan kemahiran berkomunikasi, keusahawanan, pengurusan, perakaunan,
ko-kurikulum dan pembangunan sahsiah. Pelajar juga diwajibkan mengikuti kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia
serta Budaya dan Hubungan Etnik. Ini bertujuan untuk melahirkan jurutera yang bukan sahaja cekap dalam bidang
kejuruteraan yang mereka ikuti, tetapi juga berkebolehan untuk berdikari serta mempunyai sikap yang mulia dan
terpuji.

Dalam pada itu, salah satu matlamat penawaran program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan
Kejuruteraan) ialah melahirkan usahawan tekno dengan menyediakan pelajar segala pengetahuan khusus dalam
bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan serta ilmu dan kemahiran asas dalam bidang kejuruteraan.
Manakala, program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) bertujuan melahirkan graduan yang
berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan
kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa.


SISTEM PENGAJIAN

UniMAP mengamalkan sistem semester iaitu satu Sidang Akademik dibahagikan kepada dua (2) semester yang tiap-
tiap satunya mengambil masa 14 minggu pembelajaran. Penilaian akademik pelajar-pelajar adalah dilakukan
sepanjang semester dan gred-gred pencapaian dari tahun pertama pengajian sehingga tahun akhir pengajian akan
diambil kira untuk menentukan pencapaian keseluruhan pelajar di akhir pengajian.


PUSAT-PUSAT PENGAJIAN DAN PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan 24 program peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu 22 Program Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan dan 2 Program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, melalui 9 buah Pusat Pengajian seperti
berikut:


1)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mikroelektronik) - RK05
          Program ini direkabentuk untuk membekalkan tenaga mahir yang juga cekap dan berkebolehan
          mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari untuk menyokong pertumbuhan pesat industri mikroelektronik di
          negara kita. Graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam kedua-dua bidang
          rekabentuk dan fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan di bidang fabrikasi
          litar terkamir. Peluang kerjaya para graduan di bidang ini amat meyakinkan.




                                                          2
     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Elektronik) - RK86
          Program ini telah diperkenalkan untuk menentukan Malaysia terus mampu berdaya saing dalam industri
          semikonduktor. Para graduan yang dilahirkan akan boleh menyumbang sebagai tenaga mahir tempatan yang
          mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam bidang-bidang
          elektronik dan rekabentuk serta fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan
          dalam merekabentuk sistem-sistem mikroelektronik. Dengan kelebihan kemahiran secara 'lab-intensive',
          para graduan akan dapat menyesuaikan diri dalam masa yang singkat, sebaik sahaja berkhidmat sama ada
          di sektor industri mahupun penyelidikan dan pembangunan (R&D).

     c.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Fotonik) – RK89
          Program ini diperkenalkan sejajar dengan Pelan Pendidikan 2001-2010 untuk menghasilkan jurutera yang
          berupaya menangani cabaran-cabaran globalisasi dan K-ekonomi ke arah mencapai tahap negara maju
          sepenuhnya. Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera fotonik yang mempunyai ilmu pengetahuan
          asas yang tinggi di dalam bidang asas semikonduktor dan fotonik. Fotonik merupakan bidang sains dan
          teknologi yang melibatkan penjanaan dan pengawalan foton, terutamanya dalam spektrum cahaya nampak
          dan hampir kepada cahaya infra-merah. Fotonik adalah sains yang berhubung rapat dengan optik kuantum
          dan opto-elektronik. Opto-elektronik merupakan bidang fokus fotonik yang melibatkan elemen aktif seperti
          interaksi elektronik.


2)        Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Komputer) - RK20
          Program ini telah diperkenalkan untuk membekalkan tenaga pekerja mahir serta cekap dalam merekabentuk
          perkakasan dan perisian di mana penumpuan diberikan kepada rekabentuk sistem terbenam dan sistem
          komputer. Ia selaras dengan pertumbuhan pesat industri perkakasan dan perisian komputer di Malaysia.
          Dengan berbekalkan kelebihan sistem pengajaran secara 'lab-intensive' perisian-perisian dan perkakasan-
          perkakasan yang berkaitan dan terkini diperkenalkan di dalam pengajaran. Dengan pengetahuan
          tersebut para graduan akan mempunyai keyakinan yang tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan cepat
          sama ada dalam sektor industri atau R&D ke arah merealisasikan wawasan 2020 bagi mencapai status
          negara maju.

     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Perhubungan) - RK53
          Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan profesional yang mempunyai pengetahuan dan
          kemahiran khusus dalam bidang kejuruteraan perhubungan yang berkait rapat seperti industri
          telekomunikasi tanpa kabel, teknologi sistem gelombang mikro, sistem gentian optik, sistem perhubungan
          satelit dan teknologi antena. Graduan program Sarjana Muda Kejuruteraan Perhubungan berpeluang
          menceburi industri telekomunikasi negara yang kini pesat membangun. Para lulusan juga mempunyai pilihan
          kerjaya yang luas dalam sektor pengendalian perkhidmatan telekomunikasi sama ada di sektor industri,
          penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta firma-firma perundingan.

     c.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Rangkaian Komputer) – RK93
          Program ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan jurutera rangkaian komputer yang kompeten di dalam
          memahami, merekabentuk, menganalis dan mengenal pasti masalah-masalah yang berkaitan dengan peranti
          elektronik dan perisian di dalam sistem rangkaian komputer dan perhubungan. Asas pengukuhan jurutera
          yang dihasilkan adalah berdasarkan kepada bidang elektronik, sistem telekomunikasi dan pengetahuan
          tambahan yang berkaitan dengan rangkaian komputer dan perhubungan. Kepelbagaian sistem rangkaian
          pada masa kini dan akan datang sama ada berwayar atau pun tanpa wayar menjadi suatu kemestian bagi
          jurutera ini memahami teori yang berkaitan dengan asas elektonik, media dan sistem penghantaran digital,
          teknik pengkodan, pengaturcaraan, kejuruteraan trafik dan keselamatan rangkaian. Para graduan berpeluang
          bekerja di industri elektronik yang berkaitan, sektor IT terutama pengendalian sistem rangkaian dan
          penyelidikan di dalam bidang kejuruteraan elektronik, perhubungan, komputer dan rangkaian.


3)        Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Sistem Elektrik) - RK23
          Program ini tertumpu kepada beberapa bidang utama iaitu sistem kuasa, mesin elektrik dan kejuruteraan
          voltan tinggi. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi di dalam sistem kuasa
          merangkumi penjanaan, penghantaran, perlindungan dan pengagihan kuasa. Selain itu, kursus ini turut
          meliputi rekabentuk mesin elektrik dan teknik-teknik kawalan. Pelajar juga akan mempelajari bidang
          kejuruteraan voltan tinggi bagi mengukuhkan pengetahuan mereka. Secara umumnya bidang kejuruteraan
          sistem elektrik mempunyai skop yang luas terutamanya di sektor penjanaan kuasa dan pembaharuan tenaga
          elektrik.

     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Elektronik Industri) - RK45
          Program ini tertumpu kepada proses dan teknik kawalan mesin industri yang menggunakan litar elektronik.
          Pelajar yang mengambil kursus ini akan mempelajari aplikasi dan kawalan litar-litar elektronik di dalam
          sistem pengaturan, kawalan motor dan kawalan proses. Secara umumnya, bidang elektronik industri
          merangkumi skop yang luas terutamanya di dalam penggunaan robot, pemacu halaju berubah, pengawal
          mesin PLC dan sebagainya.




                                                          3
     c.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektrik Sistem Tenaga) – RK96

          Program ini tertumpu kepada aspek teknologi penjanaan dan pengurusan tenaga elektrik yang meliputi
          tenaga elektrik yang boleh diperbaharui serta sumber-sumber tenaga alternatif. Pelajar yang mengikuti
          kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi dalam sistem tenaga elektrik merangkumi penjanaan,
          penghantaran, perlindungan dan pengagihan serta pengurusan sumber tenaga. Secara umumnya bidang
          kejuruteraan elektrik sistem tenaga mempunyai skop yang luas terutamanya di sektor penjanaan kuasa dan
          pembaharuan tenaga elektrik.


4)        Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Bahan) - RK12
          Program ini bertujuan melahirkan jurutera bahan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi terutama
          dalam bidang sains bahan, sifat-sifat bahan, pengujian, pemilihan, pemprosesan bahan dan kegunaan
          bahan-bahan yang terbaik untuk kegunaan manusia sejagat. Ini meliputi bahan untuk rekabentuk barangan
          industri yang canggih dan berteknologi tinggi.

          Kejuruteraan Bahan adalah bidang yang memperihalkan pengkajian dan penggunaan prinsip sains bahan
          supaya bahan boleh direka bentuk menjadi benda atau barangan penting yang diperlukan manusia. Para
          jurutera bahan berkait rapat dengan pelbagai jenis bahan utama iaitu: logam, polimer, seramik, komposit,
          bahan elektronik, bahan-bio, semikonduktor dan superkonduktor. Kejuruteraan bahan mengaplikasikan
          prinsip sains dan kejuruteraan untuk memahami sifat-sifat bahan. Disiplin ini menjalinkan hubungan di
          antara kimia moden dengan fizik keadaan pepejal, selain daripada rekaan kejuruteraan dan analisis
          matematik.

     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Metalurgi) - RK56
          Program ini bertujuan untuk menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap
          jurutera metalurgi di dalam sektor perindustrian berasaskan logam. Keadaan ini juga disokong oleh
          pertumbuhan pesat sektor industri besi dan keluli itu sendiri dalam menampung kepesatan pembangunan
          negara seperti mana respon yang dibuat oleh MISIF (Malaysian Iron Steel Industries Federation). Trend
          terkini turut menunjukkan jurutera metalurgi sangat diperlukan di dalam sektor perindustrian berasaskan
          elektronik (pembungkusan elektronik), perindustrian berasaskan automotif, perindustrian berasaskan minyak
          dan gas dan perindustrian berasaskan aplikasi logam.

          Program ini memfokuskan kajian terhadap logam, keluli, aloi logam, komposit logam, logam termaju, aloi
          pintar, pengekstrakan dan pemprosesan logam (penggelekan, penyemperitan, metalurgi serbuk dan
          penuangan). Ia menyediakan kefahaman mengenai kaedah proses penghasilan dan sifat-sifat logam. Kursus-
          kursus yang ditawarkan oleh program ini adalah aloi kejuruteraan, metalurgi fizikal, metalurgi mekanikal,
          metalurgi pengekstrakan, metalurgi kimpalan, metalurgi serbuk, foundri, kejuruteraan kakisan, pencirian
          logam, pengujian logam dan ujian tak musnah. Perkembangan pesat dan permintaan yang tinggi terhadap
          produk logam turut menuntut keupayaan jurutera metalurgi yang berkemahiran tinggi dalam usaha
          menghasilkan produk bermutu pada kos yang optimum.

     c.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Polimer)- RK32
          Program ini bertujuan melatih pelajar bagi menyediakan tenaga mahir untuk memenuhi permintaan yang
          tinggi terhadap jurutera yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi di dalam sains polimer, sifat-sifat
          polimer, pengujian, rekabentuk produk/proses, pemilihan bahan dan pemprosesan polimer. Pertumbuhan
          pesat industri berkaitan bahan polimer seperti industri plastik, getah, elektronik, automotif, aeroangkasa,
          bio-material dan lain-lain industri pembuatan berkaitan bahan polimer di negara kita merupakan pendorong
          utama kepada program ini. Selain itu, perkembangan pesat dalam bidang komposit berkaitan bahan polimer
          juga memerlukan sokongan dari jurutera yang berkemahiran tinggi bagi mengaplikasikan pengetahuan dan
          sumber bagi menyumbang kepada penyelesaian pelbagai permasalahan berkaitan kejuruteraan polimer.

          Bidang kejuruteraan polimer adalah berkaitan dengan struktur dan sifat bahan-bahan polimer yang
          mempunyai aplikasi-aplikasi kejuruteraan. Kurikulum kejuruteraan polimer menekankan pemahaman pelajar
          dalam pengetahuan asas tentang sifat-sifat bahan polimer seperti termoplastik, elastomer, lateks dan
          termoset serta kaedah pemprosesannya kerana bahan-bahan ini merupakan keperluan di dalam hampir
          setiap industri. Sifat-sifat polimer merangkumi aspek berkaitan bahan polimer termasuk struktur, pengujian
          dan pencirian polimer. Manakala pemprosesan polimer merangkumi asas pengetahuan dan teknik di dalam
          pemprosesan termoplastik, termoset dan getah, sifat reologi, kaedah pemprosesan, penyelesaian kepada
          masalah pemprosesan, serta kaitan antara parameter pemprosesan dan kualiti hasilan.




                                                          4
5)        Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Pembuatan) - RK13
          Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan pembuatan melalui
          penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus
          telah dirangka ke arah melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengaplikasikan
          teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan merekabentuk, membangun dan
          melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan,
          maklumat dan tenaga.

          Dengan itu, kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani
          sebarang masalah dalam pelbagai industri. Graduan kursus ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam
          menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau
          tidak formal.

          Graduan jurusan ini mempunyai pengetahuan berbentuk 'inter-disciplinary', berkebolehan dalam bidang
          teknikal, pengurusan industri dan teknologi. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai jurutera
          pembuatan dalam pelbagai industri seperti automotif, elektronik, farmasiutikal, tekstil serta industri
          pemprosesan makanan.

     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Rekabentuk Produk) – RK84
          Objektif program ini adalah untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat ikhtisas yang mahir serta
          mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan rekabentuk produk. Para graduan juga
          akan diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan
          mampu berdikari sebagai usahawan profesional.

          Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera rekabentuk produk yang mempunyai ilmu pengetahuan asas
          dalam bidang teknologi pembuatan, sifat-sifat bahan, rekabentuk, pengujian, pemilihan dan pemprosesan
          bahan untuk menjadi produk kegunaan pelanggan seperti dalam industri automotif, aeroangkasa, elektronik
          dan sebagainya.

          Prospek pekerjaan dan kerjaya para graduan setelah tamat kursus amatlah memberangsangkan.


6)        Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mekatronik) - RK24
          Program ini bertujuan melahirkan tenaga profesional yang mahir dan mempunyai semangat profesionalisme
          yang tinggi serta mempunyai pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik. Justeru
          itu, struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-
          intensive’ agar pelajar mempunyai kebolehan untuk merekabentuk, mengendali dan menyelenggarakan
          peralatan-peralatan elektrik & elektronik, mekanikal & kawalan, perisian komputer dan teknologi maklumat.
          Graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas sama ada dalam syarikat-syarikat swasta, industri,
          jabatan kerajaan atau badan-badan berkanun. Ia merangkumi bidang-bidang seperti bidang kejuruteraan,
          pengeluaran, penyelidikan, rekabentuk, analisis, pembangunan, pengujian dan lain-lain bidang yang
          berkaitan.

     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mekanikal) – RK08
          Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir di peringkat iktisas serta mempunyai
          semangat profesionalisme dan pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

          Struktur kurikulum juga dibentuk dengan memberi penekanan secara ‘lab-intensive’ agar para graduan
          mempunyai kebolehan serta kepakaran dalam merekabentuk dan menghasilkan produk serta mampu
          mengadaptasi perubahan-perubahan sektor pekerjaan yang bakal ditempuhi. Selain daripada itu, para
          graduan diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal
          alam kerja sebenar di industri .

          Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang meluas di sektor awam dan swasta iaitu industri
          pembuatan, pengeluaran, institusi pembangunan dan penyelidikan, jabatan-jabatan kerajaan, badan
          berkanun dan lain-lain. Graduan juga bakal memperolehi kompetensi ilmu asas ‘broad-based knowledge’
          yang perlu dimiliki setelah tamat kursus. Graduan juga berpeluang menjadi perekabentuk dan pembangun
          segala aspek yang berkaitan mekanikal, thermal, aliran bendalir serta membangun produk-produk
          kejuruteraan dan produk pintar (smart products) yang mengintegrasikan bidang elektronik, mikropemproses,
          sistem kawalan dan bidang mekatronik.




                                                          5
     c.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan) - RK85
          Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berperanan untuk menghasilkan jurutera yang
          berkemampuan tinggi dari sudut teori dan praktikal yang diperlukan oleh pihak industri samada dalam
          bidang penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pemasaran dan
          pengurusan. Struktur kurikulum yang dibentuk menekankan kaedah pengajaran dan pembelajaran ‘lab-
          intensive’ iaitu hampir keseluruhan subjek teras mempunyai komponen teori dan amali.

          Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan merupakan bidang baru yang menggabungkan ilmu kejuruteraan
          elektrikal, elektronik, mekanikal dan bahan serta ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi, dan radiologi.
          Hasil dari gabungan-gabungan ilmu tersebut digunakan untuk membangunkan teknologi terkini dalam bidang
          perubatan.

          Bakal graduan kursus ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi sebagai seorang jurutera
          bioperubatan dengan pengaplikasian kejuruteraan elektronik, pemahaman dari sudut sistem manusia dan
          biomekanik serta manipulasi bahan yang sesuai untuk tubuh manusia kepada instrumen bioperubatan dan
          peralatan perubatan yang lain. Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar diberikan juga kemahiran
          sokongan terutamanya di dalam bidang ‘soft skills’ seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi
          dan IT.

          Mereka yang bergraduasi dari program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan bakal berkhidmat di hospital-
          hospital kerajaan mahupun swasta, syarikat-syarikat penyelenggaraan dan servis peralatan perubatan,
          institusi penyelidikan dan pembangunan produk perubatan serta juga kilang-kilang dan syarikat-syarikat
          berkaitan dengan peralatan elektronik.


7)        Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Bioproses) – RK28
          Program ini bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat profesional serta mempunyai pengetahuan yang
          kukuh dalam bidang kejuruteraan bioproses dan juga bidang berkaitan seperti bioteknologi yang semakin
          berkembang selaras dengan pelan perindustrian negara dan Dasar Bioteknologi Negara. Untuk itu, graduan
          yang dilahirkan mampu untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran untuk berdepan dan
          menyelesaikan masalah kejuruteraan, terutamanya kejuruteraan bioproses. Disamping itu, graduan yang
          dihasilkan dapat memenuhi aspirasi negara menjadikan bidang bioteknologi sebagai suatu bidang dalam
          penjanaan sektor ekonomi negara melalui perkembangan bidang teknologi bioproses yang merupakan teras
          dan pendokong utama dalam proses pengkomersialan hasil penyelidikan bioteknologi.

          Struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-intensive’.
          Lebih kurang 60% dari masa pertemuan merupakan aktiviti praktikal yang merangkumi amali makmal,
          pembelajaran berbantu komputer, kerja bengkel, latihan industri dan projek yang berlandaskan rekabentuk
          atau penyelesaian masalah teknologi. Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas di mana
          keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan bioproses amat tinggi selaras dengan
          matlamat kerajaan untuk memajukan bidang bioproses.

     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Biosistem) – RK90
          Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan yang profesional dan serba boleh dalam menangani
          bidang Kejuruteraan Biosistem yang meliputi pertanian, keselamatan makanan dan alam sekitar secara
          keseluruhan. Graduan berpengetahuan menggabungkan pengunaan prinsip-prinsip kejuruteran dan pelbagai
          aspek sistem biologi untuk menjamin kelasterian dan keselamatan sistem pengeluaran, mekanisasi dan
          automasi. Latihan secara ‘lab-intensive’ dan latihan industri akan menambahkan kemahiran para garaduan
          untuk menyesuaikan diri di alam perkerjaan dengan cepat.

          Graduan program ini berpeluang menceburi bidang pertanian, perladangan, penyelidikan dan pengurusan
          biosistem selaras dengan matlamat negara untuk memajukan sektor industri pertanian. Keperluan terhadap
          tenaga profesional dalam bidang ini adalah dalam industri perladangan, jabatan-jabatan kerajaan , badan-
          badan berkanun, institusi-institusi penyelidikan (kerajaan dan swasta) dan badan perundingan.

     c.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Operasi Loji Kimia) – RKXX

          Graduan program ini bakal menimba ilmu pengetahuan dalam teori dan praktikal dalam bidang kejuruteraan
          operasi loji kimia, mempunyai keupayaan dalam menyelesaikan masalah secara kreatif, inovatif dan inventif
          dan berkepakaran dalam menggunakan kemahiran menyepadukan ilmu pengetahuan kejuruteraan operasi
          loji kimia untuk penyelidikan berasaskan sumber asli. Di akhir tahun pengajian, pelajar akan menjalani
          kursus rekabentuk loji dan berpeluang untuk menjalankan projek tahun akhir yang diselia oleh pensyarah
          berpengalaman.

          Graduan program ini berpeluang menceburi bidang petrokimia, industri bahan berasaskan kimia, industri
          makanan, farmaseutikal dan bioteknologi. Bagi yang berminat untuk menjadi penyelidik, mereka boleh
          menyertai MARDI, PORIM, MINT dan sebagainya. Graduan akan dilatih agar berupaya menyumbang dalam
          menjana sektor ekonomi khusus dalam proses perindustrian negara berasaskan sumber asli.




                                                          6
8)        Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar

     a.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Alam Sekitar) – RK07
          Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat iktisas yang mahir serta
          mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan juga
          diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu
          berdikari sebagai usahawan profesional. Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar boleh dikaitkan dengan
          kurikulum yang dibina berpandukan falsafah pencegahan penjanaan sisa/sisa minuman dan pendedahan
          pelajar       kepada      aspek      kejuruteraan      sistem     sekitaran      (termasuk       teknologi
          elektrik/elektronik/mekanikal/komputer instrumentasi/kawalan proses dan informatik sekitaran) serta
          kurikulum yang holistik dan unik.

          Prospek pekerjaan dan kerjaya para graduan setelah tamat kursus amatlah luas kerana mereka dilatih secara
          multidisiplin yang melibatkan kajian mikrobiologi, kimia, ekologi selain dari prinsip-prinsip kejuruteraan.
          Antara sektor-sektor yang menawarkan peluang pekerjaan adalah seperti industri-industri berasaskan
          komoditi, industri petrokimia, industri kimia, industri olahan air, air sisa, sisa pepejal, sisa berbahaya,
          industri pemprosesan dan pembuatan, institusi-institusi penyelidikan dan pembangunan dan pendidikan,
          jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, JPS dan JKR, badan-badan berkanun seperti MARDI,
          PORIM, SEDC, NIOSH dan lain-lain serta NGO sekitar dalam dan luar negara.

     b.   Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Bangunan) – RK82
          Objektif program ini adalah bertujuan melahirkan para graduan yang berkelayakan akademik dan
          berkemahiran di dalam bidang kejuruteraan bangunan. Para graduan juga mampu mengaplikasikan ilmu
          yang diberikan dan menjadi jurutera profesional. Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan
          didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu mengenai kejuruteraan bangunan yang meliputi rekabentuk
          struktur bangunan, asas bangunan, teknologi konkrit dan besi, geomatik, penyelenggaraan bangunan,
          perkhidmatan bangunan, pengurusan projek binaan, IBS, teknologi bangunan pintar dan bahan binaan.

          Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah amat cerah kerana bidang ini sudah lama sinonim
          dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Bangunan akan mendapat
          peluang pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Mereka berpeluang berkhidmat sebagai kontraktor
          dan jurutera dalam industri pembinaan, jurutera perunding bangunan atau struktur, pegawai penyelidik
          (R&D) di institusi akedemik dan penyelidikan dan juga agensi kerajaan seperti JKR, JPS dan Majlis
          Perbandaran serta Kerajaan Tempatan


9)        Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan

     a.   Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa) – RE09

          Program ini bermatlamat untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan
          urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat
          dalam konteks perdagangan antarabangsa serta melahirkan tenaga pakar sebagai pengurus atau pekerja
          dalam apa jua dunia perniagaan. Maka, ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang isu global serta ilmu
          perniagaan antarabangsa merupakan persediaan penting untuk menghadapi dunia perniagaan yang lebih
          kompetitif.

          Graduan daripada program ini dapat memahami intipati untuk menjalankan pengurusan perniagaan di
          Malaysia dan di peringkat global di samping memahami faktor budaya, bahasa, sistem politik, geografi, dan
          sosio ekonomi di arena domestik dan global. Mereka juga mempunyai kebolehan menggabungkan dan
          mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, berketrampilan, boleh berdikari serta berupaya
          mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah melalui pemikiran yang inovatif dan kreatif serta
          mempunyai sifat mulia dan terpuji.

          Selain itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia
          dalam bidang pengurusan perniagaan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan pendidikan tinggi di
          Malaysia bertaraf dunia (world class education).

          Kerjaya utama bagi graduan lulusan program ini adalah sebagai pengurus dalam bidang pekerjaan yang
          berasaskan kemahiran pengurusan, operasi, kewangan, audit, pelaburan dan perbankan, sumber manusia ,
          pemasaran dan teknologi maklumat.      Graduan ini juga berkemampuan memberikan perkhidmatan pakar
          dalam sektor penyelidikan dan pembangunan industri perniagaan, khidmat nasihat perniagaan, urusniaga
          import-export, percukaian di syarikat multinasional, industri tempatan, industri kecil, universiti dan badan
          korporat, agensi kerajaan dan memberikan perkhidmatan dalam bidang perundingan dan penasihatan
          contohnya sebagai perunding pengurusan projek dan perancang perniagaan.




                                                          7
     b.   Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan Kejuruteraan) – RP52

          Program ini bermatlamat untuk melahirkan usahawan tekno yang menyediakan pelajar dengan segala
          pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan serta ilmu dan kemahiran
          asas dalam bidang kejuruteraan. Program ini direkabentuk untuk para pelajar yang berminat dalam bidang
          keusahawanan tetapi mahu membangunkan pengetahuan dan kemahiran asas ilmu kejuruteraan yang
          berkaitan dengan penghasilan dan pemasaran produk-produk berasaskan teknologi dan industri. Seterusnya,
          program ini berhasrat melahirkan siswazah yang mempunyai kefahaman dan kemahiran yang lebih seimbang
          tentang aspek keusahawanan dan teknikal melalui pembelajaran subjek-subjek asas kejuruteraan dan
          keusahawanan, berdikari, komited terhadap lapangan yang diceburi serta mempunyai daya saing yang tinggi
          untuk berhadapan dengan cabaran di era globalisasi masa kini.

          Graduan dari Keusahawanan Kejuruteraan mempunyai prospek kerjaya yang amat baik memandangkan
          mereka dilatih untuk menjadi usahawan tekno yang berjaya. Berbekalkan ilmu, kemahiran dan pengalaman
          mengikut program inkubator secara off-campus, siswazah diyakini mampu menceburkan diri secara sepenuh
          masa dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Tidak dinafikan, mereka akan berhadapan dengan segala
          risiko yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan, namun diyakini siswazah-siswazah keluaran program ini
          mempunyai komitmen, kecekalan dan daya saing yang tinggi untuk terus berjaya dalam alam perniagaan
          dan keusahawanan.


PUSAT-PUSAT PEMANTAPAN AKADEMIK
Selain dari pusat-pusat pengajian yang menawarkan program-program ijazah, terdapat beberapa pusat yang
ditubuhkan bagi menyokong kepentingan akademik UniMAP iaitu:


1)   Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan
     Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan (PKKK) pada awalnya ditubuhkan sebagai sebuah pusat
     perkhidmatan akademik. Ia tidak menawarkan apa-apa program akademik yang membawa kepada
     penganugerahan ijazah. Sebaliknya, ia menawarkan kursus-kursus keperluan universiti yang wajib diambil oleh
     semua pelajar termasuk ko-kurikulum, tanpa mengira program akademik yang diambilnya.

     Mulai Julai 2009, PKKK terus melangkah ke hadapan dengan mula menawarkan program akademik dalam bidang
     perniagaan dan keusahawanan yang dinamakan sebagai Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian. Walau
     bagaimanapun, PKKK masih mengekalkan penawaran kursus-kursus keperluan universiti yang wajib diambil oleh
     semua pelajar.


2)   Pusat Kerjasama Industri (Center For Industrial Collaboration, CIC)
     Pusat Kerjasama Industri berperanan menjalin hubungan dengan pihak industri dari pelbagai aspek, terutama
     dalam program-program yang berkait terus dengan pembelajaran pelajar. Program seperti Pendedahan Industri
     (IndEx), Program Syarahan Industri (InTeLect), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri (Industrial Talk),
     Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan lain-lain lagi diselia dan diselaraskan oleh pusat ini. Selain itu
     Program Keusahawanan Industri (IndEnt) juga diselaraskan oleh CIC dan ianya merupakan sebahagian daripada
     Kursus Keusahawanan Kejuruteraan. Sebahagian besar dari program ini wajib diikuti oleh semua pelajar.
     Maklumat mengenai program-program ini dihebahkan kepada pelajar dari masa ke semasa.


3)   Pusat Kejuruteraan
     Pusat Kejuruteraan ditubuhkan bagi mengendalikan makmal dan bengkel umum (gunasama) yang diperlukan
     oleh pelbagai program yang ditawarkan di UniMAP. Oleh kerana program-program kejuruteraan yang dijalankan
     pada dasarnya menitikberatkan kepada kaedah 'lab-intensive', maka penekanan yang lebih diberikan kepada
     amalan praktikal secara intensif. Di samping itu, Pusat Kejuruteraan juga menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan
     dan pembangunan (R&D) di UniMAP. Antara makmal yang terdapat di sini termasuklah Makmal Fabrikasi PCB,
     Makmal PLC, Makmal Asas Komputer, Makmal CAD/CAM, Bengkel Kejuruteraan Elektrik, Bengkel Kejuruteraan
     Mekanikal, Makmal Kejuruteraan Pembuatan dan juga Teaching Factory.


4)   Institut Matematik Kejuruteraan
     Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) adalah sebuah pusat bagi merancang menawaran dan pemantauan
     kurikulum matematik kejuruteraan di UniMAP. IMK juga berperanan sebagai institut penyelidikan matematik
     kejuruteraan dan juga sebagai pusat rujukan dan memberi khidmat kepakaran dalam bidang kaedah penyelidikan
     matematik, simulasi, kaedah statistik dan penyelidikan operasi. IMK juga sebagai pusat latihan bagi masyarakat
     kampus dan luar kampus dalam bidang yang berkaitan dengan matematik. IMK menawarkan kursus teras
     universiti seperti Matematik Kejuruteraan I, Matematik Kejuruteraan II, Matematik Kejuruteraan III & Statistik
     Untuk Jurutera bagi program ijazah.




                                                           8
MAKLUMAT LANJUT

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web UniMAP di www.unimap.edu.my atau menghubungi Pejabat Pendaftar
(Unit Kemasukan & Rekod Pelajar) seperti alamat di bawah:


                                     Bahagian Pengurusan Akademik
                                    Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar
                                            Jabatan Pendaftar
                                    Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
                             No. 34 dan 35, Bersebelahan Hong Leong Bank
                                              Jalan Bukit Lagi
                                           01000 Kangar, Perlis
                            Tel : 04-979 8701/8702/8706/8008 (Talian Am)
                                            Faks : 04-979 8703
                                   E-mel: kemasukan@unimap.edu.my




                                                    9