padi dan tamadun bangsa

Document Sample
padi dan tamadun bangsa Powered By Docstoc
					1.0    PENGENALAN


Masyarakat Melayu dan Kebudayaan Melayu merupakan suatu komponen yang perlu
seiring dan sejalan. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan masyarakat
merupakan manusia yang hidup bersama di suatu tempat dengan aturan dan cara hidup
tertentu sama ada masyarakat di kampung mahupun di bandar. Kamus Bahasa Melayu
pula mendefinisikan masyarakat sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama dalam
satu pergaulan yang beraturan walaupun dari mana seseorang berada, dia perlu mengikuti
kehendak dan ciri-ciri setempatnya. Kebudayaan pula dapat ditakrifkan sebagai
keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, perlakuan, berfikir serta segala
hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu
masyarakat, tamadun, peradaban, dan kemajuan akal budi. Manakala perkataan Melayu
pula membawa maksud nama suatu bangsa dan bahasa terutamanya di Semanjung
Malaysia. Berdasarkan maksud perkataan bagi masyarakat, kebudayaan dan Melayu di
atas, dapat disimpulkan bahawa kewujudan kebudayaan adalah hasil perkongsian dan
pengamalan sesuatu kaum. Begitulah juga dengan masyarakat Melayu yang mempunyai
nilai-nilai kebudayaan yang tersendiri dalam kelompok mereka.


       Perkembangan kebudayaan merupakan satu kayu ukur untuk menilai kebangkitan
dan kemahsyuran sesebuah tamadun. Edward L. Farmer mendefinisikan tamdun sebagai
satu unit budaya yang merangkumi noma-norma sosial, tradisi, dan institusi yang diwarisi
dari satu generasi ke satu generasi. Berdasarkan definisi tamadun yang dikemukakan oleh
Edward, budaya dan kesenian juga tidak dapat lari dari menjadi salah satu ciri utama
yang melambangkan jati diri serta kemadunan sesebuah tamadun dan masyarakat.
Kelahiran dan perkembangan daya kreativiti dalam menghayati falsafah, kesenian,
kesusasteraan dan nilai estetika yang dimiliki oleh setiap tamadun membuktikan lagi
pernyataan ini.


       Setelah mengetahui pengertian tamadun, masyarakat dan kebudayaan, dapat
disimpulkan bahawa budaya dan kesenian tidak dapat dipisahkan dalam kewujudan
sesuatu tamadun, malah kebudayaan dan kesenian telah dibuktikan adalah merupakan



                                                                                      1
komponen asas bagi pembentukan sesuatu tamadun yang mashyur lagi terbilang. Dalam
erti kata lain, tanpa nilai, budaya dan kesenian yang tinggi tidak mungkin sesuatu
pencapaian hidup masyarakat dalam segala aspek kehidupan dianggap sebagai tamadun
yang terbilang. Cara hidup akan melahirkan budaya yang melambangkan bangsa itu
sendiri yang membentuk jati diri dan identiti sesuatu tamadun. Malahan sesuatu tamadun
itu dilambangkan dengan bangsa, agama, dan budaya. Walau bagaimanapun,
pertempuran antara tamadun telah memperkayakan lagi nilai-nilai yang ada pada sesuatu
tamadun.


       Dalam konteks masyarakat Melayu di Malaysia, ketamadunan Malayu adalah
merupakan peradaban manusia yang sangat unik kerana budaya dan tamadun Melayu
telah mencapai tahap kematangan akibat daripada adunan dan pengaruh berbagai-bagai
tamadun dunia seperti India, Islam dan Barat hasil interaksi perdagangan, perkahwinan,
dan penjajahan. Adunan dan pengaruh berbagai-bagai tamadun dunia ini telah
memberikan satu gambaran atau ekspresi kepada masyarakat Melayu ini. Antara nilai
yang membawa kepada ekspresi ketamadunan bangsa Melayu ialah mengenai
kepercayaan dan adat dalam melakukan sesuatu perkara. Antara kepercayaan yang
melambangkan nilai-nilai msayarakat Melayu ialah kepercayaan tentang semangat padi
dan pelbagai upacara yang mengiringi kepercayaan ini.




                                                                                    2
2.0    KONSEP       KEPERCAYAAN           DAN      PANTANG        LARANG       DALAM
       MASYARAKAT MELAYU.


Padi ialah tanaman utama bagi masyarakat Melayu dan padi juga telah menjadi
sebahagian daripada hidup orang Melayu. Hal ini demikian kerana padi merupakan
sumber makanan utama bagi mereka, dahulu dan sekarang. Oleh sebab padi menjadi
tanaman utama bagi orang Melayu, maka dengan itu timbul berbagai-bagai perasaan,
harapan, rasa serah, rasa tidak selamat, takut dan ngeri yang akhirnya melahirkan
berbagai-bagai kepercayaan dan pantang larang yang berkaitan dengan tanaman ini, iaitu
padi dan penanaman padi. Kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan yang berkaitan
dengan padi dan penanaman padi dalam kalangan orang Melayu begitu banyak
jumlahnya, misalnya semangat padi, jembalang dan penunggu. Bagi menjaga, memujuk
atau menjauhkan dan membinasakan benda-benda yang dipercayai seperti di atas tadi
maka diadakan amalan-amalan tertentu. Upacara-upacara ini ada yang dibuat secara tetap
dan ada yang dilakukan sekali-sekala, iaitu apabila berlaku sesuatu bencana.


       Roh atau semangat ini perlu dipuja agar membawa kebaikan dan menambahkan
rezeki kepada orang yang mempercayai semangat tersebut. Keadaan ini seterusnya telah
mempengaruhi kehidupan orang Melayu kerana terdapatnya aktiviti-aktiviti seperti
memuja pantai atau semangat padi yang bertujuan menjamin keselamatan dan
menambahkan hasil padi. Dengan adanya semangat padi ini maka timbullah pula konsep
pantang larang, adat istiadat, undang-undang, kebudayaan dan sebagainya. Pantang
larang ialah suatu adat yang menggelakkan sebuah bangsa atau kaum daripada
melakukan sesuatu perkara. Kebiasaanya pantang larang adalah sesuatu yang tidak baik
dan ada sesetengahnya melanggar ajaran agama Islam. Walau bagaimanapun pantang
larang hanya diamalkan oleh orang-orang zaman dahulu namun pada zaman moden ini
terdapat juga sesetengah manusia yang masih lagi mempercayainya. Pantang larang
dikatakan membawa sial tetapi apabila datangnya agama Islam, semua kepercayaan itu
dibuang hal ini demikian kerana dengan adanya pantang larang ini kehidupan akan
menjadi tersekat kerana terlalu mempercayai sesuatu fakta yang tidak jelas.



                                                                                    3
       Selain itu, dengan adanya pemujaan semangat ini maka lahirlah juga pelbagai
tarian, nyanyian, drama, muzik, unsur mainan, mentera, adat menanam, adat kematian
dan sebagainya yang ada hubungan dengan kepercayaan tersebut. Kemunculan unsur
budaya seperti tarian, nyanyian, unsur mainan dan mantera sebenarnya berasaskan
kepada kepercayaan kuasa ghaib seperti memuja semangat padi, hantu laut dan
sebagainya. Unsur ini menjadi hiburan dan mainan yang pada asalnya merupakan upacara
yang berkaitan dengan kuasa ghaib. Contohnya menatau, upacara menyemai benih dan
upacara mengubah anak benih yang ada kaitan dengan unsur animisme dan lahirlah
upacara jampi serapah yang betujuan untuk melindungi tanaman padi daripada segala
bencana dan menghalau jin dan hantu daripada menggangu persembahan tersebut. Setiap
persembahan ada peraturan dan pantang larang kerana asal usul sesuatu jenis
persembahan selalunya dihubungkait dengan kuasa ghaib. Wujudnya pelbagai
kepercayaan tersebut maka telah melahirkan satu golongan masyarakat yang
dihubungkaitkan dengan upacara-upacara pemujaan seperti dukun, tabib, pawang, nenek
kebayan dan sebagainya yang bertanggungjawab menjamin ke arah pencapaian matlamat
iaitu supaya padi hidup dengan subur. Amalan agama dan kepercayaan yang diamalkan
oleh masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu membuktikan bahawa masyarakat
Melayu ketika itu sudah memiliki tamadun yang tinggi.




                                                                                  4
3.0    PADI


Padi merupakan satu daripada tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai
penduduk dunia termasuk Malaysia. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada
dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau
padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak ditanam
kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Selain itu juga padi sawah memerlukan
banyak menggunakan air, baja dan perlu di tanam dengan cara yang teratur.


       Salah satu komoditi yang diperdagangkan oleh masyarakat Melayu pada masa
dahulu malah sekarang juga ialah beras. Kegiatan penanaman padi ini dikatakan sudah
pun mantap dan lama bertapak di Malaysia sebelum mampu menghasilkan lebihan untuk
diperdagangkan. Jika dilihat pada masa dahulu sistem penanaman padi pada masa
tersebut ialah sistem sara diri. Walau bagaimanapun, apabila mereka berjaya menanam
padi dengan lebih banyak maka mereka akan menjual lebihan padi tersebut ke pekan
ataupun mereka akan membuat sistem pertukaran barang antara satu sama lain dengan
penduduk kampung.


       Padi yang telah diproses dan dibuang kulit dikenali sebagai beras. Pada masa
dahulu, pada akhir musim menuai padi, padi yang ditanam khas akan dijadikan emping
padi sebagai hidangan istimewa, bagi menandakan tamatnya musim menanam padi. Pada
suatu masa dahulu, di kawasan pantai timur, upacara puja pantai akan di akan pada akhir
musim menanam padi sebagai satu cara melepaskan penat lelah sepanjang musim
menanam padi yang lalu. Selain itu para petani akan bertukar-tukar masaalah, teknik dan
pengetahuan mengenai penanaman padi yang baru dituai, sama seperti pesta pertanian di
masa kini.




                                                                                     5
4.0    KEPERCAYAAN PENANAMAN PADI


Sejarah Orang Melayu sering dikaitkan dengan kumpulan Orang Melayu Asli/Melayu
Proto. Orang Melayu mempunyai asas kebudayaan yang sama dan telah diwarisi secara
turun-temurun sejak dari zaman dahulu lagi. Sebelum kedatangan agama Hindu-Buddha,
masyarakat Orang Melayu mengamalkan sistem kepercayaan primitif iaitu animisme dan
dinamisme. Kedua-duanya mempercayai bahawa setiap benda ada jiwa, roh atau
semangat yang mempunyai perwatakan sendiri, yang dapat membawa atau mendatangkan
kesan baik atau buruk. Antaranya ialah kepercayaan yang bercorak animisme seperti
kepercayaan kepada semangat, hantu jembalang, bapa langit, ibu bumi, amalan-amalan
berkorban, membuang ancak dan amalan menurun. Kira-kira pada abad pertama Masihi
telah datang pengaruh daripada kebudayaan India terutama sekali agama Hindu Brahma
dan Buddha Ramayana, selain Buddha Hinayana, Syivaisme dan Tantrisme. Agama ini
telah menekankan kepercayaan kepada kuasa magis dalam kalangan masyarakat Melayu
tradisional. (Hall 1964:16-24).


       Kepercayaan yang berkaitan dengan penanaman sebenarnya bermula dengan
pengaruh animisme setiap benda mempunyai semangat (roh). Semangat padi ialah
semangat yang khususnya dipunyai oleh padi. Pada konteks ini, penanaman padi
merupakan suatu kerja yang melibatkan pelayanan dengan semangat padi. Perhubungan
dengan semangat padi dilakukan dengan melalui bermacam-macam upacara dan dengan
menggunakan “bahasa jampi”. Kepercayaan semangat padi ini merupakan satu
kepercayaan kuno yang diwarisi dari zaman animisme. Semangat padi ini dipercayai
boleh berpindah ke tempat lain jika ia terkejut atau menerima layanan buruk atau tidak
memuaskan hatinya. Semangat ini perlu dipujuk atau dipanggil agar ke tempat asalnya.
Kekuatan dan kewujudan semangat padi boleh dilihat pada pokok padi dan hasil
pengeluarannya. Semangat padi yang kuat akan menghasilkan padi yang subur, daunnya
segar, pokoknya besar dan banyak anak. Para petani amat mementingkan semangat padi
sebagai unsur penting dalam memastikan pengeluaran padi meningkat.




                                                                                    6
       Semangat padi tidak mempunyai suatu bentuk yang identik. Ada yang berbentuk
“jelmaan” selain daripada bentuk “maya” yang digambarkan sebagai “pusingan angin”.
Semangat padi bukan sahaja diberi pendapat yang bermacam-macam mengenai
bentuknya bahkan nama yang diberi kepadanya juga bermacam-macam. Nama yang
diberi kepada semangat padi bergantung kepada keadaan, tempat dan juga orang yang
memanggilnya. Nama-nama yang dipanggil untuk semangat padi adalah seperti berikut
anak Sembilan Bulan, Anak Maharaja Cahaya ,Si Dang Sari, Si Dang Rupa Seri, Si Dang
Seri Tongkat, Si Dang Tatap, Si Dang Yas dan Seri Gading Gemala. Nama-nama yang
diberikan kepada semangat padi adalah nama-nama yang terhormat. Gelaran “sidang”
atau “tuk sidang” adalah panggilan hormat kepada ketua. Manakala “Seri” merupakan
panggilan yang memuliakan raja. “Dang” pula merupakan gelaran kepada wanita yang
tinggi kedudukannya. “Gemala” juga membawa maksud yang mulia iaitu “batu yang
bercahaya dan mempunyai hikmat”. Nama semangat padi adalah pengaruh daripada
agama Hindu kerana Seri adalah nama bagi dewi bijiran dalam agama Hindu (Goddes of
Grains).


       Menurut Amat Juhari Moain (1990), semangat       padi mengikut kepercayaan
masyarakat Melayu mempunyai perangai seperti manusia. Semangat padi dikatakan
mudah tersinggung, terganggu atau terperanjat serta ia sangat peka terhadap segala
kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Secara amnya, semangat padi juga mempunyai
sifat lemah-lembut. Itu sebabnya dalam upacara memanggil semangat padi suasana dan
keadaan hendaklah sentiasa hening dan tenang. Jika berlaku kegemparan, walaupun
sedikit, semangat padi akan cepat lari. Menurut kepercayaan orang Kadazan, semangat
padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan yang juga dikenali sebagai Bambaazon,
yang disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada kehidupan dan
kewujupan.


       Dalam memastikan semangat padi tidak lagi lari atau hilang, pelbagai upacara
dilakukan. Semasa mula-mula upacara ini dipengaruhi oleh kepercayaan anismisme.
Apabila kedatangan Hindu-Buddha, upacara semangat padi ini berubah dan menerima
pengaruh Hindu-Buddha. Bacaan mantera yang melibatkan kata-kata yang pelik sering



                                                                                 7
menjadi unsur penting dalam upacara pawang memelihara semangat padi. Selepas
kedatangan Islam, masyarakat mula merubah pegangan mengenai semangat padi. Islam
berpegang kepada aqidah islam itu sendiri, iaitu kepercayaan atau keyakinan hidup.
Unsur-unsur „Islam‟ akan ketara apabila bacaan mantera akan dimasukkan lafaz
basmalah, dan diakhiri dengan hamdalah dan syahadah (Haron Daud,2001). Kajian Amat
Juhari Moain (1990:105) di Sungai Dacing, Lenggeng Negeri Sembilan mendapati dalam
upacara berdoa dan memanggil semangat padi, pawang akan mengambil limau-limau
yang disediakan untuk „ditawarkan‟ dengan cara menepung tawar, menjampi dan
meludahnya tiga kali. Selepas itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah
untuk ditempatkan di tapak semaian padi agar padi subur dan selamat dari bencana.


       Masyarakat Melayu tradisional juga mempercayai bahawa kuasa ghaib dengan
wujudnya rengkasa dan jembalang yang menjadi musuh perosak kepada padi. Jika
berlaku menjadi penyakit padi, seperti penyakit merah atau penyakit karah maka itu
disebabkan oleh rengkesa. Apabila banyak binatang perosak seperti tikus, burung,
serangga serta ulat yang menyerang padi makan maka semua itu disebabkan oleh
jembalang. Binatang-binatang yang baru disebutkan di atas merupakan jin atau anak
jembalang. Selain itu juga, padi juga dipercayai mempunyai penunggu. Penunggu
merujuk kepada benda ghaib yang menjadi penjaga sawah dan ulu air tempat diadakan
semah. Benda yang dipercayai wujud ini bertugas bagi menjaga keselamatan sawah. Oleh
itu para petani perlu mengadakan upacara-upacara tertentu utnuk kepentingan penunggu
ini. Akhirnya kepercayaan kepada ketika, iaitu satu kepercayaan bahawa pada saat-saat
tertentu pada tarikh atau hari tertentu terdapat waktu yang baik (atau sial) untuk membuat
sesuatu pekerjaan dalam kegiatan bertanam padi. “Ketika” ini dapat diketahui oleh
pawang. Oleh sebab itu, pawang diberi tugas mencari ketika yang baik iaitu berdasarkan
perkiraan takwin dengan melihat hari, haribulan,      tahun, padi atau petang dan juga
tempatnya. Ketika yang baik itu dicari bagi memulakan kerja-kerja menanam padi.
Namun, arus kemodenan dan kedatangan Islam ke tanah melayu telah mengubah
pandangan masyarakat mengenai semangat padi ini. Ada yang masih mempercayai dan
ada yang sudah melupakannya.




                                                                                        8
4.1    Pawang dan Jampi /Mantera


Pawang mempunyai kedudukan yang istimewa dan             tersendiri kepada petani. Ini
bersesuaian dengan peranan yang yang dimainkan oleh mereka dalam masyarakat petani
Melayu. Pawang ialah golongan yang mengetahui secara mendalam tentang teori
kepercayaan dalam pandangan alam petani Melayu tradisional. Golongan pawang
merupakan orang yang arif dalam berurusan dengan mahluk-mahluk halus seperti
jembalang dan rengkesa. Pawang dikatakan orang yang serba tahu dan mampu membantu
petani. Malahan pawang juga dianggap perantaraan untuk menyampaikan hasrat petani
kepada Tuhan dan mahkluk-mahkluk tadi. Mereka adalah golongan yang mahir mengenai
sajian yang diperlukan oleh orang halus, tempat tinggal orang halus, mengetahui ketika
yang baik dan buruk, serta lain-lain termasuk ilmu agama dan ilmu ghaib.


       Pawang akan dijemput untuk menjalankan upacara tertentu seperti untuk
memulakan upacara turun ke sawah, memilih hari yang baik, mengambil semangat padi,
mengubat padi sakit, menjalankan upacara menatau dan lain-lain lagi. Pawang mendapat
ilmu daripada pelbagai sumber seperti belajar daripada seseorang, memperolehi ilmu
secara mimpi, atau mewarisinya secara keturunan. Ilmu yang diterima itu datang daripada
ajaran pelbagai agama termasuklah pengaruh animisme, ajaran Hindu dan agama Islam.
Kepercayaan kepada roh baik dan jahat, bapa bumi, ibu bumi dan penjaga empat penjuru
alam adalah berasal daripada pengaruh animisme sementara dewa-dewi, mantera, bertapa
dan sebagainya adalah pengaruh Hindu manakala jin, syaitan, malaikat, Allah,
Muhammad, sembahyang, wali,dan doa adalah pengaruh           agama Islam. Jampi dan
mantera juga memainkan peranan penting dalam setiap upacara yang dengan berkaitan
tanaman padi yang dilakukan oleh orang Melayu.

       Jampi mantera yang dibaca mempunyai tugas tersendiri dalam memberi kekuatan
jiwa kepada diri pengamal di samping memberi ketakutan dan kelemahan kepada roh
jahat. Jampi mantera dipercayai mempunyai kuasa ghaib yang kuat. Jampi mantera yang
digunakan oleh orang Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan nada mengikut keadaan
dan tujuan jampi mantera itu digunakan. Terdapat jampi mantera yang mempunyai nada



                                                                                     9
dan seni kata yang lemah lembut dan sopan. Bentuk ini adalah untuk merayu dan memuja
seperti semasa upacara mengambil semangat padi. Di samping itu, nada dan seni kata
yang lembut juga ditujukan kepada Allah, Nabi Muhammad S.A.W, raja sekalian bumi,
bapaku langit, ibuku bumi, pawang-pawang terdahulu dan sesuatu yang dikasihi oleh
mereka. Dalam keadaan tersebut,diri pemohon adalah lemah untuk mengatasi masalah
atau kesulitan yang dihadapi. Contoh jampi mantera yang mempunyai nada dan seni kata
yang lemah lembut dan sopan ialah :

       Mari Sunting! Mari, Malai!
       Aku nak sambutmu naik ke anjung istana
       Ke atas tilam perhiasan, permaidani
       Hai semangat anakku Maharaja Cahaya,
       Marilah Cik! Mak sambut.


       Manakala nada yang keras dan bahasa yang kasar serta sumpah seranah pula akan
digunakan kepada roh jahat yang dipercayai boleh mendatangkan kebinasaan.Tujuaanya
ialah supaya roh dan pengaruh jahat itu akan takut dan lari atau sekurang-kurangnya
mematuhi perintah mereka. Contoh jampi mantera yang bernada keras dan bahasa yang
kasar ialah:


        Hai jembalang Akhir,jembalang Awa
       Engkau undur simpang sebelah!
       Kalau engkau tak menyimpang sebelah,
        Aku sumpah engkau.

       Terdapat sesetengah jampi mantera yang menggunakan salasilah roh tersebut agar
ianya berasa gerun atau malu kerana telah diketahui asal-usulnya. Contoh jampi mantera
tersebut ialah:

        Jin jembalang,jin beranang,jin ebni jana,
       Aku tahu asal mulamu jadi,
       Imam Jamala nama bapam,



                                                                                   10
       Siti Indra Sendari nama ibumu.
       Rubiah Samin nama datukmu,
       Hakim Liar Suri nama moyangmu,
       Cicit Malim di rimba.

       Selain itu,terdapat juga jampi mantera yang menggunakan kekuasaan yang ada
pada tenaga ghaib besar yang lain bertujuan menggerunkan roh jahat itu. Dengan
menggunakan cara tersebut, dipercayai roh itu akan berasa takut dan gerun serta tidak
akan berani merosak atau mengusik barang kepunyaan tenaga ghaib besar itu kerana ia
lebih kuat dan berkuasa. Contohnya ialah:

       Hai Lengkesa!
       Hai Lengkesi!
       Diri berempat berlima dengan kami,
       Jangan dirosak dibinasakan anak kami,
       Ditimpa daulat Pagar Ruyung.

4.2    Pantang-Larang


Dalam kalangan masyarakat Melayu terdapat pelbagai pantang-larang yang mesti
dipatuhi untuk mengelakkan daripada berlakunya sesuatu perkara yang tidak baik kepada
tanaman   Antara pantang larang yang diamalkan masyarakat Melayu ialah pantang
menyeberangkan mayat di kawasan sawah. Kononnya semangat padi akan terkejut
dengan mayat. Akibatnya hasil padi berkurang atau tidak menjadi langsung. Bagi
mengelakkan apa-apa bencana daripada keadaan ini, mayat dielakkan diusung melalui
kawasan sawah. Sekiranya ia tidak dapat dielakkan, upacara “pemulihan tanah dan
tempat dilalui” perlu dilakukan bagi memulihkan semangat padi. Dengan itu keluarga si
mati dikenakan “wang pengeras”.


       Selain itu juga, masyarakat Melayu juga berpegang kepada pantang tidak boleh
melakukan perbuatan keji di kawasan sawah. Semangat padi boleh lari ke tempat lain
sekiraannya perbuatan keji dilakukan di kawasan sawah. Akibatnya padi menjadi lemah



                                                                                  11
dan terdedah kepada serangan penyakit. Pantang larang ini memenuhi salah satu pola
umum dalam alam pemikiran primitif iaitu kepercayaan masyarakat primitif terhadap
alam semula jadi sebagai sesuatu yang bersifat peribadi dari segi alam semester itu
menekankan keteraturan sosial dan turut memeliharanya. Ini bermaksud alam semula jadi
boleh bereaksi ke atas perlakuan moral dalam masyarakat. Kejadian lari semangat yang
disebabkan perbuatan keji di kawasan sawah merupakan satu contoh alam semula jadi
mencampuri hal-ehwal moral manusia. Bagi memulihkan semangat padi yang hilang atas
sebab perbuatan keji, upacara “bersemah” perlu dilakukan. Upacara bersemah ini
bermaksud untuk memanggil balik semangat padi.


        Di samping itu juga, terdapat juga pantang menggunakan sabit semasa menuai
padi. Pantang menggunakan sabit semasa menuai padi berasaskan kepercayaan bahawa
semangat padi perlu dilayan dengan lemah-lembut. Alat penuai adalah yang paling elok
kerana cara ini tidak “menyakitkan” semangat padi. Selain itu juga terdapat juga pantang
tidak boleh membuat bising di kawasan sawah, terutamanya semasa upacara-upacara
dijalankan. Ini adalah kerana semangat padi dipecayai takut kepada bunyi bising. Ada
juga masyarakat Melayu yang berpegang kepada pantang bahawa apabila selepas aktiviti
mengambil padi dan biji benih, petani akan berhenti daripada menuai padi selama tiga
hari.   Selain itu, terdapat juga pantang-larang membuat bising semasa menjalankan
upacara mengambil semangat padi, pantang masuk ke sawah semasa bunting kecil dan
pantang larang membunuh atau menyeksa musuh tanaman di sawah seperti tikus,
burung,dan babi. Di samping pantang larang yang disebutkan ini, terdapat banyak lagi
pantang larang yang lain yang menjadi kepercayaan orang Melayu.


        Pantang larang ini sebenarnya mempunyai erti dan tugas tertentu berdasarkan
kepercayaan orang Melayu. Sebagai contohnya pantang larang membunuh atau menyeksa
binatang musuh seperti tikus, burung,dan babi. Berdasarkan maklumat Tok Ketua
Kampung Teluk Pial iaitu Hj. Samsudin Bin Kassim, binatang musuh ini adalah rakyat
jembalang. Dengan itu sekiranya ada rakyatnya diseksa atau dibunuh, jembalang akan
membalas dendam dengan mendatangkan lebih banyak lagi binatang jenis itu untuk
memusnahkan tanaman padi.



                                                                                     12
5.0    UPACARA PENANAMAN PADI


5.1    SEBELUM PENANAMAN PADI


5.1.1 Memilih Hari dan Ketika.


Dalam menjalankan sesuatu pekerjaan yang berkaitan dengan penanaman padi, seorang
pawang padi akan membuat kiraan untuk memilih dan menentukan ketika dan hari mana
yang sesuai untuknya menanam padi. Cara untuk menentukan “ketika yang baik” dan
“ketika yang tidak baik” bergantung kepada ilmu yang dimiliki oleh pawang tadi. Ada
yang menggunakan kitab-kitab seperti Taj al-Muluk, Mujarabat dan Bintang Dua Belas.
Ada yang menggunakan kaedah “guling padi” dengan berpandukan kedudukan “bintang
ketika” dan “bintang tujuh” di langit pada sebelah dinihari. Ada yang menggunakan
musim buah atau bunga seperti pokok perak atau pokok sentul sudah berbunga atau
belum. Ada juga yang melihat kelibat ikan di sungai. Hari, masa dan ketika itu
terpulanglah kepada petua masing-masing. Ada yang mengira mengikut tilik daripada
"peredaran naga" yang empat kali setahun itu. Ada pula yang mengikut "peredaran jekin"
dan ada pula yang meniliknya dari hari lahirnya dan berbagai-bagailah lagi.


       Di Perak dan Kedah, petani menentukan permulaan musim untuk turun ke sawah
dengan cara “guling padi” iaitu dengan menatang benih padi di telapak tangan pada
waktu dinihari (kira-kira pukul 4.30 pagi). Benih itu akan diperhatikan sama ada
berguling ke bawah atau tidak. Dengan cara tersebut mereka dapat meramalkan sama ada
musim turun ke sawah sudah bermula atau belum. Sesetengah petani pula akan
memerhatikan keadaan di sekeliling tempat kediaman mereka untuk menentukan masa
menanam padi. Mereka akan melihat limpahan air di sungai-sungai tertentu atau melihat
pokok sentul sama ada sudah mula berbunga atau belum, atau melihat ikan di sungai
kerana kononnya ikan mengetahui hal-hal berhubungan dengan hujan dan sebagainya.
Secara ringkasnya, terdapat pelbagai cara digunakan oleh petani Melayu untuk
mengetahui bermulanya musim menanam padi.




                                                                                   13
       Selain mengira musim menanam padi, hari yang sesuai juga akan dipilih untuk
memulakan kerja menanam padi kerana mengikut kepercayaan mereka terdapat “hari
baik”, “hari sial” dan “hari nahas”. Ada petani yang mengira hari berdasarkan nama
malaikat iaitu Jibril, Mikail, Izrail, Israfil, Munkar Nakir, Riduan, Malik, Rakib dan Atid.
Hari pertama ialah Jibril, hari kedua Mikail dan seterusnya. Hari kedua dianggap baik
kerana tugas Mikail ialah menurunkan rezeki manakala hari ketiga tidak baik kerana
tugas Izrail ialah mengambil nyawa dan begitulah seterusnya. Ada sesetengah petani
pula memilih hari berdasarkan angka bulan Hijrah. Hari baik pada awal bulan ialah pada
6 hari bulan, pertengahan bulan jatuh pada 16 hari bulan, dan hujung bulan pula ialah
pada 26 hari bulan. Berdasarkan keterangan ini adalah jelas bahawa angka enam
diutamakan oleh masyarakat Melayu kerana           dipercayai akan membawa tuah atau
kebaikan. Kiraan hari dilakukan adalah bertujuan untuk mencari langkah yang baik dalam
melakukan pekerjaan seperti kerja mencabut anak benih dan memulakan kerja menuai.


5.1.2 Menatau (Menetar)


Upacara ini dilakukan pada mula-mula dibuka hutan untuk dijadikan sawah. Pawang
akan menentukan ketika dan langkah yang baik untuk membuka hutan. Apabila sampai
pada waktu dan ketika yang telah ditetapkan pawang dan anak buahnya akan pergi ke
tengah-tengah hutan yang akan dibuka itu. Setelah sampai di hutan, pawang akan
menambil kayu empat batang dan disusun dibuat petak empat persegi. Pawang akan
membuka upacara dengan membakar kemenyan sebagai perasapan. Kemudian diberi
salam kepada benda ghaib yang disebutnya satu persatu. Selepas itu baru diminta izin
untuk membuka hutan, memohon keselamatan dan kesejahteraan terhadap anak buahnya
dalam masa membuka hutan tersebut. Permohonan tadi dibuat melalui pembacaan jampi
mantera dan doa-doa serta ayat-ayat Al-Quran. Kemudian ditabur bertih dan direnjis
tepung tawar dengan menggunakan perenjis tujuh jenis daun. Selepas selesai upacara itu,
pawang akan memulakan menetak anak-anak kayu dan daun-daun sebagai permulaan
bekerja dan kemudian diikuti oleh anak buahnya.




                                                                                         14
       Petak empat persegi yang dibuat ditengah-tengah hutan itu merupakan satu
kerangka simbolik, iaitu bentuk miniatur tannah atau hutan yang hendak dibuka. Asap
kemenyan pula berfungsi sebagai alat penghubung dengan kuasa-kuasa ghaib seperti
jembalang, hantu, syaitan, penunggu hutan, penunggu gunung-ganang dan lain-lain. Asap
dipercayai dapat menembusi dan menyelinap ke dalam udara, sehingga lubang-lubang
kecil dapat ditembusi. Dengan cara ini dia dapat menghubungi kuasa-kuasa ghaib seperti
jembalang, hantu dan para penunggu. Sebelum datang pengaruh Islam, hubungan
langsung dibuat oleh pawang kepada kuasa-kuasa ghaib tadi. Tapi dengan kedatangan
agama Islam, upacara itu disesuaikan dengan suasana baru. Dikatakan bahawa, pawang
akan berhubung secara langsung kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah yang akan
menyampaikan hajat pawang tadi kepada kuasa-kuasa ghaib. Jadi Allah telah menjadi
perantara antara wasitah antara pawang dengan kuasa-kuasa ghaib.


       Dalam waktu membuat permohonan dibacakan jampi mantera, doa-doa dan ayat-
ayat Al-Quran. Jampinya dalam bahasa Melayu. Manteranya mengandungi nama-nama
dewa dan Tuhan Hindu. Ayat-ayat Al-Quran biasanya dibaca pada permulaan dan
penutup doa dan jampi tadi. Upacara penaburan bertih yang dilakukan kemudian dan juga
perenjisan tepung tawar adalah untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan para petani
tadi. Tepung tawar digunakan untuk menawarkan kekuatan kuasa-kuasa jahat seperti
jembalang dan puaka. Daun tujuh jenis yang digunakan itu dipercayai mempunyai
kekuatan ghabib yang tertentu. Salah satunya ialah daun setawar yang dipercayai
berkuasa untuk menawarkan dan melemahkan kekuatan musuh.


       Di samping itu, ada sesetengah petani akan mengadakan sejenis upacara di sawah
yang bertujuan untuk mengadakan perdamaian dengan jin dan jembalang. Upacara ini
diadakan di pentas kecil yang dibina khas di sawah dan seekor kambing hitam akan
disembelih. Dagingnya sahaja yang akan diambil dan dimasak manakala bahagian lain
seperti kepala,isi perut dan kulit ditanam di bawah pentas yang disediakan itu sebagai
jamuan kepada jin dan jembalang.




                                                                                   15
5.1.3 Istiadat Membayar Niat


Upacara ini dilakukan apabila bermula musim menanam padi. Petani-petani dengan
diketuai oleh pawang pergi ke tempat keramat untuk membayar niat. Di sesetengah
tempat para petani pergi ke ulu air untuk bersemah. Ibu padi dan segala bekas penanaman
padi dibawa sama untuk dijampi oleh pawang supaya padi yang bakal ditanam akan
menjadi dan alat-alat kerja yang digunakan selamat untuk digunakan. Dalam upacara ini
digunakan beberapa jenis benda dan dedaunan. Antara benda yang senantiasa ada ialah
tepung tawar dan pengeras. Tepung tawar berperanan untuk menawar dan melemahkan
kekuatan musuh. Pengeras pula adalah untuk membina kekuatan diri ketika menghadapi
musuh. Pengeras biasanya terdiri daripada besi, kulit kerang atau buah keras.




5.2    SEMASA PENANAMAN PADI


Terdapat beberapa proses yang dilakukan semasa penanaman padi. Proses yang
dilakukan mungkin terdapat sedikit perbezaan mengikut negeri, suku kaum, agama,
tempat dan sebagainya. Ini adalah disebabkan oleh pengaruh daripada masyarakat dulu
dan diwarisi oleh masyarakat yang sedia ada sekarang. Berikut merupakan proses-proses
semasa penanaman padi:


5.2.1 Upacara Persiapan Menabur


Sebelum dilakukan proses menabur bijih benih, persiapan menabur dijalankan terlebih
dahulu. Perkara yang paling utama dalam upacara ini ialah “tepung tawar”. Tepung tawar
dicampurkan pelbagai jenis bahan dan campuran bahan-bahan ini mempunyai sebab yang
tersendiri. Antara daun-daun yang digiling bersama dengan tepung tawar ialah daun sirih,
daun kandang rusa, daun cekur, daun jerangau dan daun bernas (daun duit-duit). Jerangau
dan cekur dicampurkan sekali dengan tepung tawar bertujuan untuk membuang segala
gerun dan ketakutan dalam menjalankan proses penanaman padi. Ia untuk menambahkan
keberanian dan keyakinan petani. Daun bernas pula dicampurkan bertujuan untuk



                                                                                     16
menghasilkan padi yang bernas dan isinya banyak dan padat. Daun bernas             yang
digunakan ialah daun bernas yang tumbuh di atas pokok nangka dan cempedak, dan
mestilah pula daun betina (bukan daun jantan). Daun betina ialah daun yang bulat-bulat.
Setelah siap tepung tawar digiling, dicampurkan pula sedikit minyak kelapa.


       Apabila semuanya telah selesai, padi benih dikeluarkan dan diisikan pula ke
dalam bakul. Mulut bakul akan dililit dengan benang mentah dan pokok bernas. Bakul
itu ditutup dengan kain putih, dan bakul ini merupakan bakul yang menjadi kepala dalam
perarakan menuju ke sawah. Mengikut perkiraan orang tua, ketika yang baik haruslah
dipilih dalam proses untuk persiapan menabur. Semasa turun dari rumah, langkah diatur
dengan penuh isyarat dan petua dan disertai juga dengan mantera-mantera yang telah
diwarisi oleh orang-orang dulu. Mengikut kebiasaannya, bakul-bakul itu tidak boleh
dikilik melainkan dijunjung atau dikandar.


5.2.2 Upacara Menabur


Semasa upacara menabur biji benih, orang berpengalaman akan mencari di sebelah mana
“pintu langit terbuka” di kaki langit (mana-mana bahagian di kaki langit yang tidak
berawan dan kelihatan kelabu atau hitam lapang terbentang, itu tempatnya pintu langit
terbuka). Arah pintu langit yang terbuka di kaki langit itulah merupakan hadap yang baik
untuk mula menabur. Upacara dimulakan dengan menabur tepung tawar. Dari atas batas
petak itu tepung dipercikkan sambil berjalan berkeliling petak tersebut mengikut arah
kanan sehingga sampai balik ke tempat bermula tadi. Daun-daun cekur, jerangau dan
lain-lain yang telah diikat dalam bentuk alat pemercik dipacakkan di situ. Tepung tawar
yang masih berbaki dalam bekas dituangkan kesemuanya ke dalam petak sawah.


       Ketua mengambil segenggam padi daripada bakul yang berisi aneka daun itu lalu
membetulkan hadapnya seperti mula-mula tadi, dipejamkan matanya sambil bertafakur
menggambarkan semai atau anak padi yang elok subur. Setelah nyata seolah-olah
tergambar di ruang matanya semai yang elok seperti hajatnya, ditaburkanlah padi yang
digenggamnya itu ke dalam petak. Dituruti oleh orang-orang lain. Perbuatan



                                                                                     17
memejamkan mata semasa menabur itu ada juga tujuannya, iaitu supaya buta segala mata
penyakit dan berat badannya tidak dapat bergerak datang mengganggu ketenteraman
semai itu. Untuk menjauhkan daripada ayam itik dan kerbau lembu, keliling petak sawah
semaian itu dipagar. Seringkali juga selain daripada masa menyediakan padi benih dan
masa menabur itu, digunakan mentera-mentera dan lain-lainnya agar terjauh daripada
segala penyakit, musuh dan merbahaya. Di petak semaian itu ditanam azimat-azimat
untuk tujuan tersebut.


5.2.3 Upacara Menyemai biji Benih


Benih padi yang digunakan untuk menyemai bukanlah daripada sebarang padi. Padinya
hendaklah padi yang berbangsa dan berjenis baik. Oleh yang demikian padi tersebut
diberi keutamaan dalam membela, mengambil, menyimpan dan sebagainya. Masa padi
sedang masak di padang, ketika itulah petani memerhati mana-mana tempat dalam
sawahnya yang padinya lebih elok. Padi di kawasan seluas mengikut anggaran banyaknya
benih padi yang dikehendaki itu tidak dikerat atau digiau (mengambil padi cara lama
dipotong pendek sedikit daripada mengerat dan panjang sedikit daripada mengetam),
melainkan dibiarkan sehingga tangkai padi betul-betul kering. Tangkai tersebutlah
menunjukkan padi yang cukup masak. Padi itu diketam dengan renggam (sejenis alat
mengetam padi), tidak dengan pisau pengerat biasa seperti sekarang,


       Apabila tapak semaian telah siap dan sawah sudah mula dikerjakan, upacara
menyemai biji benih akan dilakukan. Ibu benih yang telah dibawa ke ulu air dahulu akan
digaul dengan biji benih yang lain. Selain itu biji benih juga digaul bersama-sama dengan
kulit petai (Parkia speciosa) atau jering (Pethecellobium jiringa), bonglai (Zingiber
Cassumunar), jerangau (Acorus calamus), buah segernih, air belacan, minyak kelapa atau
lain-lain bergantung kepada adatistiadat sesuatu tempat. Setiap benda yang digaul tadi
mempunyai fungsi masing-masing. Umpamanya kulit jering atau petai yang rasanya pahit
itu dapat mengelakkan padi dimakan ulat, buah segernih supaya padi bernas dan jernih.
Setelah siap digaul dengan bahan-bahan seperti yang telah dinyatakan itu, doa akan
dibacakan. Kemudian pawang dan anak buahnya akan menabur biji benih di tapak



                                                                                      18
semaian. Pokok setambun akan dipacakkan disekeliling tapak semaian. Di situlah akan
digantung ketupat dan lain-lain termasuk daun sepulih, serai wangi (Cymbopogon
hardus) dan seumpamanya. Kenduri akan dilakukan setelah selesai menyemai dan
ketupat yang digantung tadi akan dimakan beramai-ramai.


       Selain itu, untuk mendapatkan hasil yang baik dan bekalan air yang cukup, kuasa-
kuasa ghaib yang menjadi penjaga di tempat itu akan dipuja dan dihormati untuk
mendapatkan perlindungan dan pertolongan daripadanya. Upacara-upacara lain yang
dijalankan di sawah hanya merupakan amalan magis tiruan dengan harapan untuk
mendapatkan hasil seperti yang dicontohkan dalam upacara itu iaitu buah padi akan
banyak sama seperti banyaknya gantungan ketupat dan lain-lain benda pada ranting
pokok setambun yang dipacakkan di sawah itu. Terdapat juga petani yang mengamalkan
menanam benih padi pada waktu subuh iaitu „sebelum terbang lalat‟. Sebelum terbang
lalat ialah waktu subuh yang masih gelap dan tanah pada waktu itu masih belum
kelihatan lagi. Tujuan mereka memilih waktu itu ialah supaya pekerjaan tersebut tidak
diketahui oleh rengkesa iaitu jembalang yang merosakkan dan memakan hasil padi.




5.2.4 Upacara mengubah anak benih


Mengubah anak benih dikenali sebagai mencabut semai. Proses mengubah anak benih
dilakukan apabila berusia 40-44 hari. Anak benih tersebut akan dicabut dan ditanam di
bendang. Hari mula menanam itu hendaklah mengikut “bintang celaka”. Kononnya
bintang celaka itu sepanjang masa berjalan naik turun dari langit ke bumi dan sebaliknya.
Apabila semai telah siap dicabut pekerjaan mula menanam dijalankan. Anak benih yang
dicabut itu akan dipotong pucuknya dan akarnya direndam dengan baja tulang selama
satu malam. Keesokan harinya, sebelum terbit matahari, diadakan upacara mengubah
anak benih. Tujuan dilakukan sebelum terbit matahari adalah untuk mengelakkan
daripada rengkesa, iaitu jembalang yang merosakkan padi. Sekiranya proses ini terpaksa
dilakukan setelah terbit matahari, hendaklah ditanam mengadap matahari untuk
mengelakkan berlakunya “tindih bayang-bayang”. Jika berlaku tindih bayang-bayang



                                                                                      19
dikatakan semangat padi akan menjadi lemah dan padi tidak akan menjadi. Di Perak,
upacara mengubah anak padi dimulai dengan menanam tujuh perdu anak padi di
sekeliling ancak yang disediakan terlebih dahulu oleh petani. Petani di Terengganu pula
menggunakan daun semeru dan daun pinang. Tujuannya ialah untuk mengelakkan padi
daripada dirosakkan oleh jembalang dan rakyat jembalang yang berupa ulat, burung, dan
tikus serta penyakit merah


       Perkara yang paling penting dalam proses menanam ini ialah pemilihan tempat
permulaan menanam. Tempat ini bukanlah tempat yang sebarangan. Dalam masa
mengerjakan tanah, iaitu semasa menggala, membongkar, mengalih atau dalam masa
merata hendaklah dicari tempat di mana lebih sejuk buminya. Tempat sejuk itu hendaklah
ditandai dengan kayu. Kayu yang digunakan sebagai penanda bumi sejuk juga bukan dari
kayu sebarangan. Dalam hal ini, terdapat perbezaan dalam pemilihan kayu. Ada yang
memilih kayu mali supaya padinya nanti jadi teras berisi macam buah mali. Ada pula
yang memilih batang bemban kerana berkehendakkan pokok padinya licin seperti batang
bemban itu sendiri dan tidak akan dijangkiti penyakit. Selain daripada itu, sesetengah
orang pula memilih turus pagar menjadi penandanya, kerana selagi turus pagar yang mati
itu tidak mungkin berpucuk semula, selama itulah pula penyakit-penyakit tidak mungkin
dapat menghampiri padinya.


       Pekerjaan menanam dimulakan dari bumi sejuk yang bertanda dengan kayu
terpilih itu. Mula-mula hendaklah ditanam dengan sembilan perdu dengan membuat tiga
baris iaitu tiga perdu dalam sebaris. Lepas upacara “mula menanam” itu dilakukan
barulah boleh ditanam kesemuanya sekali semai-semai yang baru dicabut itu ke dalam
petak-petak sawah yang lain. Jarang sekali orang-orang tua kita menanam terus dengan
tidak lebih dahulu mengadakan upacara “mula menanam” itu. Lazimnya, pekerjaan
menanam yang berikutnya dibuat selepas tiga hari dari tarikh “mula menanam”, tetapi
dalam masyarakat hari ini terutamanya hari itu juga sudah di sekalikan.




                                                                                    20
       Semasa upacara ini, terdapat beberapa benda yang perlu disediakan. Umpamanya
daun sepulih (supaya anak benih cepat pulih), daun mengkuang (Pandanus atrocarpus)
untuk mengelak jembalang (kerana daun mengkuang ada duri yang dipercayai ditakuti
oleh jembalang), daun semeru (Claucena excavata) dan daun pinang (Areca catechu)
Daun pinang digunakan bertujuan supaya rakyat jembalang seperti ulat, burung dan tikus
akan mabuk. Bilangan anak benih yang ditanam berbeza mengikut tempat seperti tiga,
lima, tujuh atau sembilan. Bilangan anak benih yang ditanam haruslah ganjil untuk
mengelakkan musuh datang dan tidak boleh genap kerana bilangan genap dipercayai
musuh mudah datang. Angka yang sering dipilih oleh petani ialah tujuh kerana tujuh
dianggap keramat. Ini digambarkan dengan tujuh hari dalam seminggu, tujuh petala
langit dan bumi, tujuh tingkat syurga dan neraka, tujuh kali tawaf dan tujuh kali sa‟i. Para
petani akan    menjalankan setiap pekerjaan dengan teliti dan tertib serta mengikut
peraturan yang digariskan oleh teori kepercayaan dan pandangan alam mereka.




5.2.5 Upacara membela padi


Apabila anak benih sudah membesar, beranak dan selepas itu bunting, maka pada ketika
itu diadakan upacara seterusnya iaitu upacara membela padi. Pada peringkat ini rumpai-
rumpai yang mula tumbuh dicabut, tanah lumpur dikuakkan ke perdu pokok padi. Baja
juga ditambah, supaya pokok padi lebih subur. Apabila sudah ada tanda padi telah mula
bunting, maka akan diadakan kenduri kecil untuk keselamatan padi yang sedang
membesar tadi. Selain itu, di tempat penjuru sawah, daun padi diikat simpul sebagai
“pendinding” dan untuk mengikat musuh-musuh padi. Dengan itu “pendinding ghaib”
diwujudkan bagi keselamatan pokok padi di seluruh sawah.


       Selain itu terdapat juga upacara mengelilingi padi iaitu selepas semua pokok padi
ditanam. Kemudian mereka akan mengadakan kenduri untuk meminta kuasa ghaib
supaya menjaga tanaman padi daripada serangan musuh dan penyakit. Walau
bagaimanapun, upacara ini tidak terdapat di semua tempat di samping terdapat perbezaan
antara satu tempat dengan tempat yang lain. Ada sesetengah tempat mengadakan upacara



                                                                                         21
mengelilingi semasa padi mula membunting kecil iaitu ketika padi itu berumur empat
bulan. Upacara mengelilingi ini akan dibuat pada setiap hari iaitu pokok-pokok padi akan
diasapkan dengan kemenyan.


       Ada sesetengah tempat yang mengadakan upacara mengelilingi padi pada setiap
petang. Cara yang dilakukan untuk mengelilingi padi ialah dengan membakar daun cerek-
cerek di dalam sabut kelapa dan membawanya ke sekeliling sawah. Mereka percaya
bahawa bau bakaran daun itu akan meresap masuk ke dalam buah padi sehingga bau
wangi itu kekal sehingga beras ditanak. Berdasarkan keterangan ini menunjukkan bahawa
upacara mengelilingi padi yang dilakukan oleh petani mempunyai pelbagai jenis dan
berbeza tujuannya. Di sesetengah tempat pula, terdapat petani yang mengadakan
“upacara memandikan padi” kerana mengikut kepercayaan mereka padi adalah sama
seperti manusia, apabila selalu dimandikan padi akan menjadi subur. Cara memandikan
padi ialah dengan merenjiskan air ke pokok-pokok padi sambil membaca mantera yang
mempunyai irama merdu.


       Di Perak, upacara “menjamu negeri” akan dijalankan semasa padi mula bunting.
Dalam upacara ini, jampi mantera akan dibaca dan seekor kerbau balar akan disembelih.
Daging kerbau itu akan dimasak menjadi tujuh jenis makanan. Daging yang dimasak
menjadi tujuh jenis makanan ini akan dijadikan persajian untuk menjamu jembalang dan
roh-roh jahat. Tujuan upacara ini diadakan ialah seperti yang terdapat dalam seni kata
jampi yang dibaca oleh pawang semasa mengakhiri upacara ini iaitu:


       Aku menjamu memberi makanmu aku hendak membela,
       kampung halaman dan bendang huma,minta jauhkan,
       daripada sekalian mara bahaya dan sakit pening.




                                                                                     22
5.2.6 Berpuar


Berpuar ialah upacara menghalau hantu jembalang dan segala musuh tanaman untuk
dinyah keluar dari kampung. Berpuar dimulai dari hulu kampung, biasanya di ulu air.
Tempat permulaan dinamai “memecah puar”. Puar (Armomum cardomomum) ialah
sejenis pokok yang seakan-akan lengkuas (Languas galanga). Puar digunakan sebagai
senjata perang olok-olok di tempat-tempat perhentian (dinamai jamuan) dalam perjalanan
dari tempat “memecah puar” (hulu sungai) hingga ke tempat “mematikan puar” (kuala
sungai). Dalam perang olok-olok ini seolah-olah musuh itu dipukul dan direjam dengan
senjata. Senjatanya ialah batang-batang puar yang panjangnya kira-kira satu meter. Di
tempat memecah puar diadakan upacara menyembelih kerbau. Kepalanya ditanam di
tempat “memecah puar” itu juga. Dagingnya pula diracik-racik dan dibahagikan kepada
petani untuk ditabur di sawah mereka.


       Tujuannya supaya jembalang tidak mengganggu tanaman mereka. Dalam
perjalanan dari tempat memecah puar hingga ke tempat mematikan puar, para petani akan
membunyikan berbagai-bagai bunyian. Mereka akan berhenti di beberapa tampat untuk
mengadakan perang olok-olok seperti yang telah diterangkan. Apabila rombongan sampai
di kuala sungai, diadakan upacara “mematikan puar”. Di situlah disembelih seekor
kerbau hitam pula. Kepala dan isi perutnya ditanam di kuala sungai itu. Dagingnya dibuat
kenduri. Berpuar diadakan tiga atau empat tahun sekali, iaitu apabila berlaku bencana,
atau ketika hasil padi kurang menjadi. Selain berpuar, ada satu lagi upacara yang seakan-
akan berpuar iaitu bersengketa. Apa yang membezakan antara berpuar dengan
bersengketa ialah senjata yang digunakan iaitu saiznya lebih berat dan lebih besar
daripada yang digunakan dalam masa berpuar. Biasanya batang pisang atau kayu yang
digunakan. Dengan itu dalam masa bersengketa banyak peserta upacara ini yang terluka-
luka sama ada berat atau ringan.




                                                                                      23
5.2.7 Menghilirkan sumbang


Istiadat ini lebih besar daripada bersengketa. Adat ini dilakukan oleh penduduk di
sepanjang sungai Perak pada beberapa masa dahulu, yang disertai oleh semua lapisan
masyarakat daripada Raja Muda hingga ke rakyat yang kecil. Upacara dimulai dari Cigar
Galah dan menghilir sampai ke Kota Setia. Tujuannya untuk menghalau segala hantu
yang ada di dalam negeri (Perak). Dalam perjalanan ke hilir para penduduk menaiki rakit
dan kenderaan-kenderaan air yang lain. Mereka berhenti di beberapa tempat yang telah
ditetapkan. Di tempat-tempat perhentian ini disembelih kerbau balar, diadakan kenduri
dan upacara “berhantu”. Kemudian mereka meneruskan perjalanan, berhenti lagi, dan
diulangi lagi upacara-upacara di atas. Apabila sampai di kuala sungai, rakit-rakit tadi
dibiarkan hanyut ke laut bersama-sama muatannya, iaitu kepala kerbau yang telah
disembelih dan segala anggotanya. Mereka percaya bahawa segala kejahatan dan
pengaruh jahat yang ada di dalam negeri itu akan ikut hanyut ke laut bersama-sama rakit
tadi.


5.2.8 Bersemah besar


Upacara bersemah besar pula pernah dilakukan di Baranang pada pertengahan tahun lima
puluhan. Upacara ini dilakukan setelah banjir yang besar yang membawa bencana yang
cukup berat sehingga segala padi dan tanaman lain yang tidak menjadi sama sekali.
Kononnya berpunca daripada kelakuan sumbang sepasang kekasih yang membuat
pekerjaan terkutuk di ulu air di kampung itu. Akibatnya, menurut kepercayaan mereka
lagi, semangat padi lari ke tempat lain dan hantu jembalang serta penunggu kampong
mengamuk dan banjir besar pun berlaku, yang membawa penyakit merah dan serangan
binatang- binatang perosak yang banyak.


        Bagi mengatasi masalah ini, mereka kembali semula kepada upacara lamayang
telah ditinggalkan oleh mereka sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. Beberapa banyak
kerbau, kambing dan ayam telah disembelih untuk menyemah kampung dan sawah
bendang. Dengan takdir Allah tanaman padi mula menjadi, iaitu selepas disemah. Para



                                                                                    24
petani yang berasa gembira telah mengeluarkan zakat padi sebanyak satu persepuluh
kepada pawang tadi. Pawang tadi pula telah menetapkan semah hendaklah diadakan
selama lima tahun berturut-turut dan hasil padi yang didapati hendaklah dikeluarkan
zakat sebanyak satu persepuluh. Bagi bencana-bencana kecil yang berlaku, para petani
biasanya mengadakan upacara yang lebih kecil sifatnya seperti memelas kampung,
membela kampung, membuang ancak, merabun sawah dan seumpamanya.


5.3    SEMASA TUAI
5.3.1 Upacara menuai padi sulung



Upacara ini juga dikenali sebagai “istiadat mengambil semangat padi”. Upacara ini
dilakukan apabila padi telah menguning masak. Upacara ini berbeza mengikut tempat.
Namun apa yang paling utama dalam upacara menuai padi sulung ini ialah pawang akan
mengambil atau menuai sejumlah tangkai padi yang terpilih berdasarkan sifatnya yang
istimewa yakni sifatnya yang “tertutup”, tinggi dan subur. Pawang akan diundang dan
beliau akan memulakan upacara mengikut “ketika” dan “langkah” yang baik. Mula-mula
pawang tadi akan masuk ke sawah untuk memilih padi yang hendak dituai. Padi yang
dipilih ialah yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Namanya berbagai-bagai seperti tongkat
mandah, raja padi, bendahari padi, padi telkum dan padi berdukung. Pawang akan
mengikat tujuh tangkai padi yang dipilih dengan daun terap. Kemudian diadakan upacara
untuk menuainya. Bacaan jampi akan diadakan sempena padi ini dituai. Antara contoh
jampi yang dibaca ialah:

      Ni,bapa (ibu atau emak), mari nak beritahu, dua(tiga atau esaok) hari lagi bapa
      nak datang ambil bawa balik ke rumah,jangan terkejut tergempar apa-apa.”

       Padi tujuh tangkai yang telah dituai, terus dibawa balik ke rumah dan disimpan di
tempat yang telah dikhaskan. Seterusnya padi ini akan dibawa balik ke rumah dalam
keadaan berpayung. Apabila padi ini telah sampai ke rumah tuan punya sawah, ia akan
disambut oleh penghuni rumah dengan penuh rasa hormat. Selepas itu, padi ini akan
disimpan di dalam bekas yang khas. Pantang menuai selama tiga hari akan diadakan oleh



                                                                                     25
petani selepas upacara menuai padi sulung selesai. Kerja menuai padi hanya akan
dilakukan selepas genap tiga hari. Upacara ini dilakukan sesuai dengan perangai
semangat padi yang mudah tersinggung. Bagi menjaga semangat padi, upacara ini
dilakukan dengan penuh tata tertib seperti padi tersebut dibawa dengan berpayung dan
“dijaga”dalam bekas yang disediakan khas untuknya Setelah itu pawang akan kembali ke
sawah untuk menuai padi yang lain barang sebakul untuk digunakan kenduri nasi sulung
tahun. Dalam kenduri ini diadakan jamuan pengat dan bubur untuk rakan-rakan dan jiran
tetangga.

       Padi tuaian pertama adalah penting kerana merupakan “Padi betina”. Padi ini
hendaklah disimpan baik-baik dalam tempat tertentu dengan dipasang pelita dan
diletakkan sebiji kelapa (bergantung kepada adat setempat). Tempat menyimpan padi
pertama ialah di baluh (Kelantan), kepuk (Negeri Sembilan dan Selangor), kembung
(Pahang), kui (Melaka), dangau (Kedah) atau di bumbung rumah.




                                                                                  26
6.0    PETANI, SAWAH DAN PADI MASA HADAPAN


Sejarah menunjukkan bahawa kaum tani Melayu kaya dengan tradisi penanaman
padinya. Ragam-ragam penanaman padi yang diamalkan merupakan keseragaman yang
unik. Walaupun budaya pengairan tidak meluas dalam kalangan kaum tani Melayu tetapi
mereka berjaya menjalankan sistem-sistem penanaman yang sesuai dengan keadaan
tempatan. Apabila semakin meningkat pengetahuan dan kecerdikan manusia semakin
banyak perubahan dan peningkatan yang berlaku. Penanaman padi pada zaman nenek
moyang kita dahulu jauh berbeza dengan penanaman padi pada zaman sekarang. Banyak
perbezaannya yang dapat dilihat jika dikaji dan diteliti secara halus. Perubahan-
perubahan ini tidak lain dan tidak bukan kerana arus pemodenan yang kita kecapi pada
hari ini. Segala perubahan ini dapat dilihat dalam beberapa aspek. Antara aspek yang
dapat dalam proses penanaman padi zaman dahulu dan sekarang ialah :


6.1       Gotong-Royong Penanaman Padi


Pada zaman dahulu, secara keseluruhannya penanaman padi adalah dibuat secara
bergotong-royong. Upacara penanaman padi ini dilakukan secara gotong royong sama
ada bersama ahli keluarga mahupun bersama-sama pesawah yang lain. Semangat
penanaman padi secara bergotong royong menjadi satu syarat kepada seseorang petani
kerana dengan melakukan penanaman padi secara begini secara tidak langsung dapat
menaikkan semangat untuk menanam dan dapat memupuk semangat kerjasama serta
mengeratkan hubungan silaturrahim antara pesawah dan juga ahli keluarga. Selain itu,
penanaman padi secara bergotong royong ini dapat menjimatkan masa untuk penanaman
padi. Hal ini kerana, pada zaman dahulu penanaman padi adalah secara manual yang
memerlukan banyak tenaga dan petani untuk menyiapkan proses menanam.


       Gotong royong antara petani juga dilakukan dengan membuat giliran bagi
membantu penanaman padi bagi setiap tuan sawah. Aktiviti gotong secara bergilir antara
petani ini secara tidak langsung dapat menjadikan padi masak secara berperingkat-
peringkat yang memudahkan proses menuai kelak. Pernyataan ini lebih kukuh lagi



                                                                                   27
dengan penjelasan yang dibuat oleh responden yang kami temui iaitu Haji Samsudin Haji
Kassim iaitu ketua kampung Teluk Pial, Tanjung Piandang, Perak. Beliau menjelaskan ;


       ”Pada zaman dahulu penanaman padi dibuat secara bergotong-royong. Gotong
       royong ini dilakukan antara pesawah secara bergilir-gilir. Upacara menanam
       secara bergilir ini disepakati oleh beberapa orang pesawah dan akan dibuat
       secara bergilir-gilir. Penanaman ini juga disertai oleh ahli keluarga pesawah.
       Pada zaman sekarang masih ada lagi gotong-royong ini tapi kurang disebabkan
       dah banyak teknologi yang memudahkan proses menanam.


       Pada zaman sekarang pula, penanaman padi secara gotong royong ini kurang
diamalkan oleh masyarakat kita. Hal ini disebabkan telah wujud banyak kemudahan
dalam proses penanaman padi. Dalam zaman kemodenan ini telah wujud banyak
kemudahan penanaman padi seperti mesin membajak, mesin menanam padi, mesin
menuai padi dan lain-lain. Kemudahan ini telah menghilangkan semangat gotong-royong
menanam padi berbanding pada zaman dahulu yang begitu bersemangat bergotong-
royong menanam padi. Semua semangat ini telah lenyap ditelan arus pemodenan.


6.2       Alatan Penanaman Padi / Kaedah Penanaman


Pada zaman dahulu, peralatan yang digunakan oleh pesawah dalam penanaman padi
adalah peralatan tradisional. Antara peralatan yang sering digunakan oleh pesawah pada
zaman dahulu ialah cangkul, kuku kambing, pembajak ,kerbau untuk membajak, ketam
untuk menuai padi dan lain-lain. Semua peralatan ini menjadi keperluan masyarakat
Melayu pada zaman dahulu untuk menjalankan proses penanaman padi. Peralatan yang
digunakan ini memerlukan tenaga yang banyak berbanding pada zaman sekarang yang
telah meringankan beban pesawah. Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan ini telah
menjadikan masyarakat dahulu lebih rajin dan wujud semangat kerjasama bagi
meringankan beban yang terpaksa ditanggung untuk menanam padi. Semangat gotong-
royong dan kerjasama inilah yang menggambarkan jati diri masyarakat Melayu. Namun,




                                                                                   28
apa yang menyedihkan terdapat sesetengah peralatan yang digunakan oleh masyarakat
dahulu tidak lagi dikenali oleh generasi kini.


       Pada zaman sekarang pula, semua peralatan penanaman padi telah mengalami
perubahan. Antara peralatan yang digunapakai pada zaman sekarang ini ialah mesin
membajak, mesin menuai, mesin menanam benih padi dan sistem perairan yang
sistematik dan lain-lain. Pada zaman kini, petani mula menggunakan padi jenis baru
seperti padi golden rice dan malinda yang cepat membesar di samping mempunyai
ketahanan terhadap serangan penyakit. Penggunaan padi jenis baru ini telah mengubah
pandangan alam petani kerana padi ini sudah cukup besar sekiranya diubah semasa
berumur 20 hingga 25 hari. Jika padi itu diubah setelah cukup umur 40 hingga 44 hari
sebagaimana yang dilakukan kepada padi jenis lama, anak padi sudah tentu terlalu tua
untuk diubah. Di samping itu ,sistem penanaman padi dua kali setahun yang dijalankan
oleh petani menyebabkan mereka memerlukan bekalan air yang cukup untuk mengairi
sawah. Pembinaan sistem pengairan yang baik dan teratur serta diselenggarakan oleh
pihak kerajaan telah mengatasi masalah kekurangan air untuk mengairi sawah


       Semua peralatan ini memudahkan proses penanaman padi di samping perusahaan
padi dapat diusahakan secara besar-besaran. Penggunaan peralatan yang canggih ini
sedikit sebanyak telah menghakis jati diri masyarakat Melayu yang suka bergotong
royong dan bekerjasama dalam membuat sesuatu pekerjaan dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, terdapat lagi masyarakat kini yang masih menggunakan peralatan
tradisional dalam proses penanaman padi seperti cangkul. Tetapi hanya segelintir sahaja
yang masih menggunakan peralatan ini terutamanya masyarakat yang menanam padi di
kawasan kampung dan pedalaman. Bak kata Tok Ketua Kampung Teluk Pial bahawa


       ”pada zaman sekarang semuanya mudah, tak perlu payah-payah. Banyak alat-
       alat menanam padi yang canggih. Orang sekarang tidak lagi perlu ambil masa
       yang lama untuk menanam padi. Kalau dulu padi ditanam setahun sekali tetapi
       sekarang ditanam dua kali dalam setahun ekoran wujud peralatan-peralatan
       yang canggih ini.



                                                                                    29
6.3       Hasil Padi


Pada zaman dahulu, penanaman padi adalah secara kecil-kecilan dan diusahakan untuk
menyara kehidupan harian sahaja. Hasil padi yang diperolehi adalah sedikit dan hanya
dijadikan bekalan makanan semata-mata. Namun, jika ada lebihan hasil padi itu akan
dijual untuk mendapatkan duit bagi membeli keperluan-keperluan lain. Padi yang dituai
akan disimpan dalam stor padi untuk dijadikan bekalan dan simpanan sementara
menunggu padi yang ditanam berikutnya masak.


       Berbeza dengan zaman sekarang, hasil padi yang diperolehi adalah kebanyakkan
untuk dijual. Hal ini demikian apabila perusahaan padi telah dperluaskan dan hasil yang
diperolehi adalah banyak. Semua ini adalah kerana wujudnya kemudahan peralatan
penanaman padi yang membolehkan padi ditanam dalam kuantiti yang banyak. Jika
diteliti, semua proses penanaman padi pada zaman sekarang kebanyakkanya dilakukan
oleh mesin berbanding dahulu yang sepenuhnya menggunakan kudrat dan tenaga
manusia atau pesawah sahaja. Kemudahan yang canggih ini telah membantu
meningkatkan pengeluaran padi yang seterusnya meningkatkan pendapatan negara.




                                                                                    30
7.0    KESIMPULAN


Penanaman padi dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional merupakan suatu kerja
yang melibatkan perhubungan dengan semangat padi. Perhubungan dengan semangat
padi dilakukan dengan pelbagai upacara dan pantang-larang. Kepercayaan kepada
semangat padi ini merupakan satu kepercayaan kuno yang diwarisi sejak turun-temurun.
Kepercayan ini adalah satu warisan zaman berzaman bermula dengn pengaruh animisme
dan seterusnya pengaruh Hindu-Buddha dan akhirnya berubah dengan kedatangan islam.
Walau bagaimanapun, kepercayaan ini kian terhakis disebabkan perubahan yang berlaku
dalam pelbagai aspek kehidupan orang Melayu terutamanya perubahan di dalam sistem
ekonomi. Kini, kepercayaan terhadap semangat padi semakin pudar dan diamalkan oleh
golongan tua sahaja serta hanya bertahan dalam komuniti petani yang bersifat tradisional
di kawasan luar bandar


       Faktor pengenalan alatan moden seperti jentera pembajak, mesin menuai,
pelbagai jenis baja organik dan kimia serta racun rumpai dan racun serangga telah
membawa kepada terhakisnya kepercayaan mengenai semangat padi ini. Di samping itu,
menurut Amat Juhari Moain (1990) perubahan yang berlaku dalam sistem ekonomi
masyarakat Melayu juga menjadi faktor kepada mereka untuk mula meninggalkan
kepercayaan dan amalan pertanian tradisi. Pemodenan aktiviti ekonomi khususnya dalam
penanaman padi secara tidak langsung telah mengubah pantang larang dan sistem
kepercayaan tradisional Melayu. Konsep Globalisasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh
kerajaan juga telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam sistem tanaman padi
masyarakat Melayu. Menurut Rusly Musa(2006), Globalisasi Ekonomi merupakan satu
proses di mana sempadan ekonomi antara dunia semakin runtuh atau lebih dikenali
sebagai „dunia tanpa sempadan‟. Walau bagaimanapun, kepercayaan mengenai padi dan
semangat padi sepatutnya kekal sebagai satu nilai masyarakat Melayu yang melambang
ekspresi ketamadunan bangsa kita. Anak-anak remaja patut didedahkan mengenai hal ini,
kerana walaupun amalan-amalan ini tidak lagi diamalkan lagi, namun sekurang-kurangya
mereka mengetahui wujudnya kepercayaan yang sangat uni ini.




                                                                                     31

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:2176
posted:3/15/2010
language:Malay
pages:31