Penyakit Jantung Kongenital by mln17564

VIEWS: 0 PAGES: 7

									              Penyakit Jantung Kongenital
Apakah itu Penyakit Jantung Kongenital ?

Kongenital bermaksud wujud semasa atau sebelum kelahiran atau semasa
dalam kandungan. Ia selalunya dikaitkan dengan sesuatu keadaan yang tidak
normal. Oleh itu, penyakit jantung kongenital bermaksud kecacatan jantung yang
wujud semasa kelahiran walaupun, kesan segeranya tidak begitu ketara. PJK
merupakan kecacatan semasa lahir yang paling biasa berlaku. Ia telah
menyebabkan hampir separuh dari kematian akibat kecacatan kongenital.

Penyakit jantung kongenital atau penyakit kardiovaskular kongenital berlaku
apabila terdapatnya kecacatan pada jantung atau pembuluh darah yang
berhampiran tidak terbentuk dengan normal dan wujud ketika kelahiran. Penyakit
jantung kongenital (PJK) merupakan kecacatan fisiologi yang sangat biasa
berlaku kepada bayi baru lahir. Keadaan ini berlaku 1% dari keseluruhan
kelahiran hidup dan ianya merupakan penyebab utama kematian akibat
kecacatan sewaktu kelahiran. Kebanyakan dari kes ini berlaku tanpa gejala atau
jika ada, gejala tersebut biasanya tidak memerlukan rawatan. Kebanyakan
penghidapnya meninggal dunia ketika masih bayi kecuali masalah ini dapat
dikesan lebih awal.

Apakah penjelasan saintifik terhadap kecacatan ini?

Jantung merupakan organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan. Ia
dibahagikan kepada 4 ruang berongga. Terdapat dinding yang memisahkan
antara ruang kanan dan ruang kiri. Setiap bahagian mempunyai 2 ruang dikenali
sebagai atrium. Dari atrium menghala ke bawah terdapat ruang pengepam yang
besar yang dikenali sebagai ventrikel. Terdapat 4 injap di dalam jantung yang
menampan pengaliran darah dari berpatah balik apabila ia mengalir ke satu arah.
Bila jantung mengepam darah, ia mengalir ke paru-paru untuk mendapatkan
oksigen. Darah dari paru-paru yang mengandungi oksigen akan memasuki
bahagian kiri jantung. Seterusnya jantung akan mengepam darah yang kaya
dengan oksigen itu melalui arteri ke seluruh badan.

Apabila oksigen telah digunakan oleh tisu-tisu badan darah yang kini tanpa
oksigen akan kembali semula ke jantung melalui vena dan proses ini akan
berulang semula. Oleh itu, jika terdapat kecacatan pada dinding antara bahagian
kanan dengan kiri atau kewujudan injap jantung yang abnormal di antara ruang-
ruang jantung, maka fungsi jantung akan terjejas.

Kecacatan yang mungkin berlaku ialah:

   •   Kecacatan pada dinding jantung.

   •   Injap jantung bocor atau tersumbat.

                                         1
   •   Terdapat hanya satu ventrikel sahaja.

   •   Saluran darah yang bersambung secara abnormal.

   •   Jantung terletak di bahagian kanan dada.

Apakah penyebab penyakit jantung kongenital?

Penyebab bagi kebanyakan kes penyakit jantung kongenital ini tidak diketahui
tetapi ada beberapa faktor yang dikaitkan dengannya. Walau bagaimanapun kita
tidak boleh memastikan dengan tepat sesuatu faktor itu sebagai penyebab
tunggal yang secara langsungnya menyebabkan penyakit ini. Antara
kemungkinan penyebab-penyebabnya adalah:

   •   ketidakaturan kromosom.

   •   jangkitan virus seperti rubella (German measles) semasa mengandung di
       mana ia mengganggu perkembangan jantung bayi.

   •   pengambilan alkohol yang berlebihan.

   •   Pengingesan (terambil) toksin tertentu dan pengambilan dadah seperti
       thalidomide dan juga fenitoin yang boleh meningkatkan risiko kecacatan
       kongenital.

   •   kadangkala genetik memainkan peranan dalam masalah ini, terutamanya
       apabila berlaku kecacatan pada kromosom 22q11.

Apakah insiden untuk Penyakit Jantung Kongenital ini?

Penyakit jantung kongenital boleh terjadi kepada mana-mana kanak-kanak di
dunia tanpa mengira kedudukan sosio-ekonomi. Kejadian ini berlaku antara 8 -10
kes bagi setiap 1000 kelahiran hidup. Jika seorang anak dijangkiti, kadar
berulangnya kejadian ini pada anaknya nanti ialah antara 4.9 -16% . Penyakit
jantung kongenital merupakan 42% dari keseluruhan kecacatan kelahiran.
Sebahagian besar dari kematian bayi akibat kecacatan kelahiran adalah
disebabkan oleh keabnormalan jantung. Mengikut Persatuan Jantung Amerika,
pada tahun 1992, kecacatan jantung merupakan 31.4% dari kesemua kematian
akibat kecacatan kelahiran. Kira-kira 40,000 bayi yang dilahirkan setiap tahun
mendapat kecacatan jantung. Dari jumlah ini:

   •   8 - 13% menghidap septum atrium terbuka (ASD)

   •   6 - 11% menghidap duktus arteriosus terbuka (PDA)

   •   20 - 25% menghidap septum ventrikel berlubang (VSD)




                                       2
Apakah gejala-gejala Penyakit Jantung Kongenital?

Ada sesetengah bayi dan kanak-kanak yang menghidapi kecacatan jantung tidak
mengalami sebarang gejala. Walau bagaimanapun, gejala yang biasanya wujud
ialah:

   •   Kepucatan atau sianosis - beberapa kes kecacatan jantung dicirikan
       dengan ketara oleh kepucatan atau sianosis, di mana kulit bertukar
       menjadi kebiru-biruan disebabkan oleh kekurangan oksigen di dalam
       darah. Kecacatan tersebut telah menghalang darah dari memperolehi
       oksigen secukupnya. Keadaan ini selalunya dikesan selepas sahaja bayi
       dilahirkan atau semasa bayi membesar. Sianosis begitu ketara sekali
       dalam kes tetralogi fallot tetapi kewujudannya adalah secara beransur-
       ansur dan akan timbul dengan jelasnya selepas beberapa bulan. Secara
       amnya, kanak-kanak yang menghidapi CHD ini akan pucat ketika
       menangis.

   •   Dispnea - kesukaran untuk bernafas.

       Dispnea lazimnya berlaku di kalangan kanak-kanak yang mengalami
       septum atrium terbuka atau ASD. Ia merupakan satu keadaan di mana
       terdapat bukaan antara ruang atrium kanan dan atrium kiri dan bukaan ini
       tidak tertutup sepenuhnya selepas bayi dilahirkan. Dispnea boleh menjadi
       teruk ketika pesakit berkenaan melakukan aktiviti-aktiviti tertentu atau
       kadangkala ketika diberi makan. Ia selalunya berlaku di kalangan bayi
       yang menghidapi stenosis injap pulmonari (penyempitan saluran keluar
       dari ventrikel kanan jantung ke arteri pulmonari).

   •   Mudah kelesuan - Ini lebih jelas terlihat di kalangan kanak- kanak yang
       lebih tua. Mereka mudah letih selepas melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.
       Biasanya, ia berlaku di kalangan mereka yang menghidap ASD, TOF dan
       sindrom Eisenmenger. Contoh yang baik ialah duduk mencangkung
       selepas beriadah merupakan tanda yang amat ketara bagi kes TOF.

   •   Gangguan semasa makan dan tidur - kanak-kanak yang menghidapi
       kecacatan jantung seringkali terganggu ketika makan disebabkan oleh
       dispnea dan kelesuan. Mereka seringkali tidak dapat menghabiskan
       makanan dalam satu pusingan, lantas terus tertidur. Tidurnya tidak lama
       dan akan terganggu disebabkan kelaparan.

   •   Berpeluh berlebihan - kanak-kanak            berpeluh    dengan    banyak
       terutamanya semasa makan.

   •   Gagal membesar dengan baik - PJK adalah penyebab utama kepada
       kegagalan ini. Ia selalunya kelihatan selepas bayi berusia 6 bulan.




                                        3
Apakah komplikasi yang boleh terjadi bagi Penyakit Jantung Kongenital?

Antara komplikasi yang sering terjadi di kalangan pesakit PJK ialah jangkitan
bakteria pada dinding atau injap jantung yang dikenali sebagai endokarditis
bakteria. Komplikasi yang lainnya termasuklah:

   •   Kardiomegali - kebengkakan jantung - jantung menjadi besar akibat
       terpaksa bekerja berlebihan untuk menolak darah menerusi pembuluh
       darah dan injap yang sempit.

   •   Kegagalan jantung dalam kes PDA di mana paten duktus tidak tertutup.

   •   Kematian mengejut disebabkan rentak jantung yang tidak seragam
       terutamanya degupan jantung dalam fibrilasi atria.

   •   Tumbesaran dan perkembangan bayi yang lewat.

   •   Sawan - terutamanya ketika kekurangan oksigen.

   •   Tekanan darah tinggi pulmonari- selalunya berlaku pada kes ASD


Apakah bentuk ujian yang biasa dilakukan?

Ekokardiogram (Echo) merupakan pilihan utama untuk mendiagnoskan
penyakit ini. Jika seseorang kanak-kanak itu disyaki menghidap kecacatan
jantung, ia didiagnos dengan menggunakan alat ini. Kaedah ini merupakan
imbasan ultrasound jantung yang menghasilkan profil struktur dalaman jantung
dalam bentuk dua dimensi. Ia adalah cara yang terbaik untuk mengesan dan
mengesahkan sesuatu kecacatan jantung.

X-ray dada akan menunjukkan imej jantung bagi mengesah kebengkakan
jantung dan kewujudan edema pulmonari.

Ekokardiogram (ECG) menggunakan sejenis mesin yang dipanggil elektrograf
yang mampu mengesan aktiviti jantung secara elektronik. Ia akan memaparkan
pembesaran saiz ruang jantung atau hipertropi. Dengan ini dapat mengesahkan
kewujudan sebarang kecacatan pada organ jantung.

Pengkateteran jantung - kaedah ini jarang digunakan lagi untuk mengesahkan
diagnosis. Angiografi (pemaparan radiografi pembuluh darah setelah disuntik
masuk bahan kontras) selalunya dilakukan semasa pengkateteran bagi
membolehkan kajian selanjutnya dilakukan ke atas imej jantung dan saluran
darah. Kaedah diagnosis ini mempunyai potensi terapeutik yang baik.

Ujian hiperoksia boleh juga dilakukan untuk mengenalpasti penyebab sianosis,
sama ada ianya disebabkan oleh masalah jantung ataupun sistem pernafasan.


                                      4
Rawatan farmakologi

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami penyakit jantung kongenital perlu
mengambil ubat untuk mengawal gejala-gejala yang ada dan mengelakkan
komplikasi. Sesetengah ubat yang diberi dapat menguatkan otot jantung dan
membantu mengeluarkan cecair yang berlebihan dalam badan seperti air dan
garam melalui air kencing. Kebanyakan pesakit diberi antibiotik untuk mencegah
jangkitan endorkarditis bakteria (BE). Di bawah ini diturunkan beberapa jenis
dadah atau ubat yang biasa digunakan:

   •   Diuretik ubat ini digunakan untuk membantu mengurangkan isipadu
       cecair yang berlebihan. Contohnya Furosemide (Lasix).

   •   Antiaritma (antiarrhythmics) ubat yang digunakan untuk mengawal atau
       mencegah rentak jantung yang tidak seragam. Contoh Amiodarone
       (Cordarone)

   •   Penghalang beta (beta-blockers) - ubat ini digunakan untuk mengawal
       tekanan darah dan mengendurkan otot jantung. Ia juga digunakan untuk
       membantu mengawal kadar denyutan jantung. Contoh ubat, Atenolol
       (Tenormin).

   •   Degoxin ubat ini digunakan untuk meningkatkan kuasa pengecutan otot
       jantung. Ia juga boleh digunakan untuk mengawal kadar jantung yang
       cepat. Nama lain untuk ubat ini ialah Lanoxin.

   •   Antibekuan (antikoagulan blood thinners) digunakan untuk
       memanjangkan masa pembekuan darah. Ubat ini diberi kepada pesakit
       yang mempunyai injap jantung mekanikal juga untuk mengatasi gangguan
       ritma jantung. Kedua-dua masalah ini boleh dikaitkan dengan
       pembentukan darah beku. Buat masa ini, ubat Cuomadin adalah satu-
       satunya ubat antibekuan yang terdapat dalam pasaran. Ia diambil secara
       oral. Heparin merupakan ubat antibekuan yang digunakan di hospital-
       hospital dan ianya diberi melalui saluran darah. Dalam kes-kes tertentu pil
       aspirin juga boleh diberi sebagai ubat antibekuan.

   •   Perencat ACE (angiotensin converting enzyme inhibitors) Ubat ini
       digunakan untuk mengurangkan tentangan kepada pengaliran darah yang
       dipam dari jantung. Dengan itu, meringankan beban kerja otot jantung dan
       seterusnya memudahkan jantung mengepam darah ke hadapan. Ubat ini
       juga digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi . Contoh ubat
       perencat ACE ini ialah Captopril (Capoten).




                                        5
Apakah prognosis bagi Penyakit Jantung Kongenital ini?

Kemajuan yang pesat di bidang sains dan teknologi perubatan, telah
memungkinkan masalah kecacatan pada jantung dalam PJK boleh diperbetulkan
melalui pembedahan atau penggunaan peralatan tiruan seperti injap dan
perentak buatan. Melalui pembedahan, prognosis bagi kes-kes PJK adalah
bertambah baik.

Kecacatan septum atrium dan ventrikel boleh diperbetulkan secara pembedahan.
Oleh yang demikian prognosisnya adalah baik. Untuk kes duktus arteriosus
terbuka, jika penutupan duktus dilakukan kesannya adalah memberansangkan.

   •   Koarktasi aorta - pembetulan melalui pembedahan yang dilakukan
       semasa kanak-kanak masih kecil boleh melewatkan komplikasi seperti
       tekanan darah tinggi, di kemudian hari.

   •   Tetralogi Fallot - juga boleh diperbetulkan melalui pembedahan dan
       prognosisnya didapati baik.


Apakah langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil?

Langkah pencegahan untuk penyakit jantung kongenital ini sebenarnya tidak
diketahui tetapi langkah berjaga-jaga boleh diambil untuk mengurangkan risiko
mendapat bayi yang menghidapi masalah jantung, seperti:

   •   Sebelum mengandung seseorang wanita itu perlu memastikan ia telah
       mendapatkan imunisasi rubella.

   •   Jangan merokok, mengambil alkohol, dan menyalahgunakan dadah.

   •   Ibu-ibu yang mengalami penyakit kronik seperti diabetes, fenilketonuria
       (PKU), sawan dan kecacatan jantung perlu berjumpa doktor sebelum
       mengandung.

Persatuan Jantung Amerika (AHA) mencadangkan pemberian antibiotik
pencegahan (prophylaxis) kepada kanak-kanak yang menghidap endokarditis
bakteria apabila mereka menjalani:

   •   Pembedahan membuang tonsil dan adenoids.

   •   Pembedahan gastrousus, salur pembiakan dan saluran kencing.

   •   [Ampicillin 50mg/kg (maksima 2 g) bersama gentamicin 2 mg (maksima
       80 mg) diberi 30 minit sebelum dilakukan prosedur berkenaan. Ianya
       hendaklah diulang 6 jam kemudian bagi kedua-dua ubat tersebut. Ubat



                                      6
    ulangan itu boleh diganti dengan amoxicillin 25 mg (maksima 1.5 g) bagi
    pesakit yang berisiko rendah].

•   Apa-apa prosedur pergigian yang boleh menyebabkan gusi dan mulut
    berdarah . [Ampicillin 50 mg/kg secara oral (maksima 2 g) diberi sejam
    sebelum prosedur atau jika alahan kepada penicillin, berikan clindamycin
    20mg/kg secara oral (maksima 600 mg) sejam sebelum prosedur bermula;
    atau memberi azythromycin atau clarithromycin 15 mg/kg (maksima 500
    mg); atau cephalexin 50 mg/kg (maksima 2 g) 1 jam sebelum prosedur
    dilakukan. Individu yang hipersensitif secara serta merta kepada ubat
    penicillin tidak boleh diberi ubat cephalosporins.




                                   7

								
To top