sukan negara

Document Sample
sukan negara Powered By Docstoc
					                              Isu Sukan Negara


               Sukan merupakan aktiviti yang dapat memberi faedah yang banyak
kepada negara. Selain dapat mengajak rakyat lebih aktif untuk bersenam, sukan juga
dapat memberi peluang kepada atlet-atlet yang mewakili negara untuk mengharumkan
nama negara di mata dunia. Sukan juga dilihat dapat membantu meningkatkan ekonomi
negara melalui acara-acara sukan yang dianjurkan di dalam negara. Justeru, sukan wajar
dimajukan untuk kepentingan negara. Namun, pelbagai isu telah timbul di dalam bidang
sukan seperti isu rasuah, pengambilan dadah oleh atlet dan juga prestasi atlet yang tidak
memberangsangkan.

               Isu rasuah sememangnya telah lama wujud dalam bidang sukan. Ramai
pihak berpendapat bahawa rasuah berpunca daripada aktiviti perjudian di mana pengurus,
pengadil dan atlet-atlet diberi wang supaya mempengaruhi keputusan perlawanan demi
kepentingan mereka yang berjudi. Selain itu, atlet juga dikatakan menerima rasuah
kerana isu bayaran gaji yang selalu tertunggak dan gagal dijelaskan majikan.

               Isu rasuah ini mula hangat diperkatakan pada tahun 1990-an apabila
ramai pemain bola sepak Liga Perdana Malaysia mula menerima rasuah. Menurut
sesetengah pihak, rasuah dalam sukan bola sepak tanah air telah lama wujud, sebelum
tahun 1990-an lagi. Namun, isu ini tidak diperbesarkan dan ramai pihak tidak sedar akan
kewujudannya. Hasil daripada kesedaran tentang meluasnya rasuah dalam sukan bola
sepak ini, ramai pemain yang terlibat didenda dan digantung daripada beraksi dalam liga
ini.

               Rasuah memberikan impak yang negatif kepada bidang sukan. Antara
impak negatif rasuah dalam sukan ialah penurunan prestasi atlet, kehilangan peminat dan
penaja serta mencalarkan imej negara. Contoh kesan rasuah kepada bidang sukan dapat
dilihat sewaktu tahun 1990-an di mana imej sukan bola sepak di negara ini telah jatuh.
Ramai penaja telah menarik diri dan enggan menaja Liga Perdana Malaysia. Peminat
juga berasa tertipu dan kecewa dengan sikap pemain yang mengambil rasuah. Hasilnya,
kemajuan yang diharapkan dalam sukan bola sepak gagal dicapai.

              Selain itu, isu yang agak kerap diperkatakan baik di Malaysia mahupun di
peringkat antarabangsa ialah isu penyalahgunaan dadah oleh atlet-atlet. Dadah
menguatkan prestasi atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Performance
Enhancing Drugs’ digunakan untuk memberi kelebihan kepada atlet ketika bertanding
dalam sesuatu acara sukan.

               Contoh atlet yang didapati bersalah menggunakan dadah baru-baru ini
ialah atlet lumba basikal trek kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi. Fauzan
disahkan positif oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) kerana menggunakan
‘anabolic steroid’ semasa menyertai kejohanan Mini Olimpik. Pelumba tersebut
digantung dua tahun bagi kesalahan yang dilakukan.

               Penggunaan dadah adalah tidak beretika dan berbahaya dari segi
kesihatan. Banyak kajian menunjukkan ramai atlet tidak mempedulikan risiko kesihatan
yang akan dihadapi sekiranya mereka mampu mendapatkan kelebihan dengan cara tidak
tulen. Oleh yang demikian, isu ini telah menjadi masalah yang serius dalam dunia sukan
hari ini.

              Isu kemerosotan prestasi atlet-atlet kebangsaan juga merupakan satu
masalah yang wajar diambil berat. Pencapaian atlet negara dilihat kurang
memberangsangkan berbanding zaman dahulu. Atlet-atlet kebangsaan dahulu seperti Tan
Aik Huang dalam sukan badminton, Mokhtar Dahari dalam sukan bola sepak dan M
Jegathesan dalam bidang olahraga telah dikenali sebagai atlet yang disegani dan berjaya
mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Kegagalan Malaysia merangkul
sebarang pingat pada Sukan Komanwel 2006 di Australia merupakan bukti mutu sukan di
negara belum cukup membanggakan.

              Pelbagai sebab telah dikenalpasti mengapa pencapaian atlet-atlet
kebangsaan tidak membanggakan. Pertama, kurang galakan daripada ibu bapa sejak
kecil mengakibatkan kekurangan atlet-atlet yang cemerlang. Ibu bapa kurang
menggalakkan anak mereka menceburi bidang sukan kerana berpendapat bahawa bidang
akademik lebih penting dalam menentukan kejayaan masa hadapan. Selain itu, ramai ibu
bapa menganggap bidang sukan tidak dapat memberikan jaminan masa depan yang cerah.

                 Kemudahan sukan yang belum mencukupi juga merupakan antara sebab
mengapa atlet kebangsaan gagal beraksi dengan cemerlang. Negara kita masih
kekurangan gymnasium dan kompleks sukan bertaraf dunia untuk membolehkan atlet
berlatih dengan selesa. Malaysia juga kekurangan jurulatih berkaliber, pakar pemakanan,
ahli fisioterapi dan pakar psikologi untuk membantu meningkatkan prestasi atlet.

                Ramai juga berpendapat cirri-ciri fizikal atlet tempatan merupakan factor
atlet negara gagal beraksi dengan cemerlang. Atlet tempatan bersaiz kecil berbanding
atlet negara lain. Perbezaan fizikal ini amat dirasakan terutamanya dalam bidang sukan
yang mementingkan fizikal seperti bola sepak, bola keranjang dan ragbi.

               Di sebalik pelbagai isu yang timbul dalam arena sukan negara, masih
belum terlewat lagi untuk usaha-usaha memajukan sukan dijalankan. Komitmen haruslah
bermula daripada kerajaan dan disokong oleh rakyat supaya isu seperti rasuah,
pengambilan dadah oleh atlet dan pencapaian yang tidak memuaskan dapat ditangani.
Usaha memartabatkan sukan negara dapat mengembalikan imej negara seperti dalam
sukan seperti renang, badminton dan bola sepak. Diharapkan negara dapat melahirkan
lebih ramai atlet yang bertaraf antarabangsa seperti Nicole David yang merupakan
pemain skuasy nombor 1 dunia dan Datuk Lee Chong Wei, pemain badminton nombor 1
dunia.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags: sukan
Stats:
views:12302
posted:2/4/2010
language:Malay
pages:2