Orkid Hutan

Document Sample
Orkid Hutan Powered By Docstoc
					JAKARIA DASAN, Jakaria@ums.edu.my PAPHIOPEDILUM DAN PHALAENOPSIS HAMPIR PUPUS Sekali lagi dalam ruangan rencana ini, saya menonjolkan satu lagi kejayaan Pensyarah UMS dari Institut Penyelidikan Bioteknologi dalam menghasilkan kajian dan penyelidikan yang mampu memelihara dan memulihara serta menjamin kesinambungan hidupan spesis tumbuh-tumbuhan yang jarang-jarang terdapat dimana-mana hutan di dunia. Spesies tumbuhan yang dimaksudkan ialah pokok bunga orkid yang tinggal dalam kumpulan kelompok yang kian mengecil dalam rimba hijau di kawasan hutan Gunung Kinabalu, dan hutan-hutan di kawasan Tawau dan Tenom. Dua daripada beberapa jenis Orkid yang mengalami ancaman kepupusan itu dan dipercayai hanya terdapat di Negeri Sabah sahaja ialah “Slipper Orchid” atau nama saintifiknya, “Paphiopedilum rothschildianum” dan “Elephant-ear Orchid” atau nama saintifiknya “Phalaenopsis gigantea.” Di kawasan tanah tinggi Gunung Kinabalu, terdapat 700 jenis spesis Orkid. Dendrobium, Phalaenopsis, dan Paphiopedilum adalah sebahagian daripada jenis orkid tersebut. Spesis Phalaenopsis juga tumbuh di kawasan tanah rendah khususnya di kawasan hutan di Tawau dan Tenom. Kebanyakan spesis orkid yang ada di Sabah merupakan spesis yang dipelihara dan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya diambil apatah lagi didedahkan kepada ancaman kerosakan akibat daripada pemusnahan hutan dan sebagainya. Dapatan ini adalah hasil daripada usaha penyelidik UMS yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Vijay Kumar, Kenneth Rodrigues, Dr. Zaleha Abdul Aziz dan Prof. Madya Datin Dr. Mariam Abdul Latip telah melakukan penyelidikan mendalam ke atas kedua spesis orkid ini dan dalam kajian mereka itu, turut didapati bahawa habitat semulajadi tumbuhan orkid adalah terdedah kepada ancaman bahaya jika sistem pengawalan hutan tidak dipandang serius. Sebagai contoh, penebangan pokok-pokok kayu balak merupakan salah satu dari ancaman langsung kepada kitaran hidup habitat orkid. Ini adalah kerana kebiasaannya pokok orkid tumbuh pada batang pokok kayu balak itu atau pun di kawasan sekelilingnya. Kedua-dua jenis spesis ini telah dikenalpasti sebagai tumbuhan amat unik dan diancam kepupusan. Ianya telah dikategorikan dalam senarai CITES’ Appendix I and II. Sebenarnya penyelidikan ini turut mendapat kerjasama yang kuat daripada Taman-Taman Sabah, yang juga merupakan ‘rakan baik’ UMS dalam setiap penyelidikan yang menjurus kepada usaha memelihara dan memulihara serta melestarikan keharmonian dan kestabilan hidupan di kawasan hutan. Taman-Taman Sabah sentiasa terlibat secara aktif dan positif dalam menjayakan usaha-usaha para penyelidik dari UMS. Dalam projek ini, dua orang penyelidik Taman-Taman Sabah iaitu Dr. Jamili Nais dan Puan Rimi Ripin telah terlibat secara bersama merealisasikan kajian penyelidikan yang dijalankan. Dr. Vijay menjelaskan bahawa tanpa kerjasama Taman-Taman Sabah, khususnya penyelidik-penyelidik termasuklah Pegawai-Pegawai mereka, usaha beliau dan rakan-rakan penyelidik dari UMS tidak akan berhasil. Penyelidikan yang dilakukan juga secara spesifik memfokus kepada kajian mengenai molekular genetik Orkid. Prof. Datin Dr Ann Anton, Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi, bertanggungjawab dalam mengemukakan cadangan penyelidikan ini. Beliau telah membentuk satu pasukan penyelidik dari pelbagai bidang pengkhususan bagi menghasilkan satu dapatan kajian yang meliputi semua aspek. Dr. Zaleha Aziz, selaku ketua penyelidik, dan Prof. Madya Datin Dr Mariam Abd Latip, kedua-duanya adalah pakar dalam teknik penganalisaan sel tisu (tissueculture). Prof. Madya Dr Vijay Kumar terlibat dalam mengkaji pemuliharaan genetik dan strategi pertumbuhan. Kenneth F. Rodrigues, pembantu makmal yang secara sepenuh masa membantu Dr 1

Vijay mengekstrak dan mendapatkan maklumat perkembangan DNA orkid. Menurut Dr Vijay, galakan dan keprihatinan Prof Datin Dr Ann dalam menjalankan projek ini amat signifikan dengan kejayaan yang diperolehi. Projek ini mendapat dana IRPA. Projek penyelidikan bersama Taman-Taman Sabah ini telah memakan masa selama tiga tahun, adalah juga bertujuan untuk menghasilkan proses pembenihan semula kedua-dua jenis orkid melalui kaedah pembenihan secara genetik. Hasil kajian telah dapat mengenalpasti faktor melibatkan DNA dan klorofil yang menentukan perkembangan pertumbuhan kedua-dua orkid. Penemuan juga dapat mengesan faktor-faktor mikro yang pelbagai untuk menentukan persamaan genetik dan sebagainya. Selain itu, kajian ini juga telah menemui kaedah atau model yang boleh meningkatkan lagi perkembangan genetik orkid sekaligus dapat memelihara, memulihara dan mempertingkatkan pertumbuhan semula kedua-dua jenis orkid yang hampir pupus ini. Hasil daripada penyelidikan ini juga telah membolehkan Dr Vijay dan rakan-rakan, termasuk En Yeoh Keat Ai, mencipta Kit Pengesanan DNA Orkid yang dinamakan Kit_V2. Mungkin tidak ramai yang menyedari nilai orkid kecuali mereka yang benar-benar meminati bunga ini. Pada tumbuhan orkid itu sebenarnya terkandung ciri-ciri unik yang membezakan ianya dengan tumbuhan peliharaan lain. Selain mempunyai corak daya tumbuh dan daya hidup yang lasak, orkid juga boleh menambah keceriaan sesebuah taman atau rumah kediaman. Dilaporkan bahawa nilai sejambangan orkid boleh mencecah ribuan ringgit. Malah orkid juga menjanjikan perniagaan yang bernilai jutaan ringgit. Pernah dilaporkan bagaimana orkid dari negara ini cuba diseludup ke luar negara dalam bentuk benih. Selain itu, hidupan orkid ini hanya terdapat di tempat-tempat tertentu sahaja. Negeri Sabah amat bertuah kerana struktur tanah dan iklimnya memang amat sesuai dengan tumbuhan ini. Justeru, langkah bagi mengawal khazanah nasional ini perlu dipertingkatkan. UMS dalam hubungan ini komited menghasilkan Kit Pengesanan yang dinamakan “Orkid DNA Fingerprinting Kit_V2.” Untuk makluman lanjut mengenai penemuan ini, para pembaca boleh menghubungi Institut Penyelidikan Bioteknologi (Prof Madya Dr Vijay Kumar, tel. 088-320000).

2


				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:2163
posted:1/19/2010
language:Malay
pages:2