Documents
Resources
Learning Center
Upload
Plans & pricing Sign in
Sign Out

Memasyarakatkan Ilmu

VIEWS: 71 PAGES: 4

									New Sabah Times, ms.9 , 7 September 2009 JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my MEMASYARAKATKAN ILMU PENGAJIAN TINGGI Dalam bukunya “Pembentukan Modal Insan Cemerlang: Pendekatan Ekonomi Islam,” Prof. Madya Dr Hj Kasim Hj Md Mansur, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS yang baharu, menyentuh mengenai kepentingan pembangunan modal insan dalam organisasi. Kesinambungan kecemerlangan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada keterampilan dan kecemerlangan modal insan yang dimiliki oleh sesebuah organisasi tersebut. Buku beliau membincangkan dan mengupas pembentukan modal insan mengikut pendekatan Islam. Salah satu topik utama penulisan buku ini ialah mekanisme atau tadbir urus modal insan menurut Islam. Islam bukan hanya berkisar tentang hal-hal keagamaan semata-mata, tetapi merupakan satu cara hidup yang lengkap dan komprehensif. Modal insan menurut Islam membincangkan insan kamil yang bercirikan ketelusan, penuh pertanggungjawaban dan bebas daripada elemen-elemen yang boleh membawa kehancuran bukan hanya terhadap individu tersebut, malah mengundang malapetaka kepada organisasi, masyarakat dan negara. Kecemerlangan akan tercapai jika hubungan yang intim wujud antara majikan dan pekerja. Selanjutnya dalam buku tersebut, Dr Hj Kasim membincang secara terperinci tentang doktrin rangka kerja Islam, pengharaman riba, sumber halal dan haram, undang-undang harta pusaka, peranan institusi zakat serta penetapan harga faktor seperti gaji atau upah pekerja. Isu-isu yang berkaitan dengan perburuhan secara umumnya dibincang berpandukan firmanfirman Allah SWT dan beberapa hadis Rasulullah SAW. Topik-topik seperti buruh wanita dan buruh kanak-kanak juga antara isu yang dihuraikan oleh beliau dalam buku tersebut. Dalam konteks kemahasiswaan di universiti, Dr Hj Kasim menjelaskan bahawa mahasiswa itu perlu mendapat asuhan sebagai modal insan sejak mereka berada di Tahun Pertama pengajian lagi. Teras pembinaan jati diri sebagai mahasiswa yang cemerlang dapat dilaksanakan dengan memahami maksud dan kaedah asas dalam pembentukan modal insan itu sendiri. Walau bagaimanapun, untuk menyerapkan elemen-elemen modal insan dalam kalangan mahasiswa ini, kita perlu menghubungkan mahasiswa dengan masyarakat. Dengan kata lain, mahasiswa perlu mewujudkan suatu hubungan yang langsung dengan keadaan hidup sebenar masyarakat setempat, malah seantero dunia. Ilmu akademik perlu mula diaplikasikan sejak awal mereka menjalani pembelajaran di peringkat universiti. Justeru itu, semasa sesi penerimaan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor HEP & Alumni pada hari Jumaat 28 Ogos baru-baru ini, Prof Madya Dr Hj Kasim Hj Md Mansur berikrar bahawa beliau akan berusaha meningkatkan lagi penglibatan mahasiswa dengan masyarakat. “Community engagement merupakan suatu kaedah yang berkesan dalam menjadikan mahasiswa kita, mahasiswa yang kelak akan menjadi sandaran dan harapan negara yang tulen, yakni yang benarbenar berfikiran glokal dan menguasai konsep 1Malaysia seperti yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri kita, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” ujar beliau. Dalam hubungan ini, apabila mahasiswa sentiasa diajak turun padang melihat sendiri kehidupan masyarakat di sesebuah tempat, maka mereka akan lebih memahami semua konsep ilmu yang dipelajari di bilik-bilik kuliah. Hal ini merupakan proses sebenar dalam usaha menjadikan mahasiswa kita suatu kumpulan modal insan yang tahu berfikir. Teori tidak akan 1

menjadikan kita seorang yang mahir. Sebaliknya jika kita sentiasa mengadaptasi atau melakukan secara praktikal apa yang dipelajari maka kita berupaya memiliki kemahiran yang diperlukan. Secara langsung kemahiran berfikir akan memperkasakan lagi kemahiran insaniah yang sering dititikberatkan dalam menghasilkan graduan yang kelak menjadi pemimpin masa depan. Keterlibatan mahasiswa dan masyarakat juga akan melengkapkan lagi proses kelahiran seorang pemimpin yang berwibawa, berjiwa rakyat, berakhlak mulia dan seumpamanya. Sehubungan itulah, bagi Dr Hj Kasim, ‘turun padang’ tidak semestinya dalam kalangan pemimpin sedia ada. Mahasiswa juga perlu ‘turun padang’ dan menabur bakti mengikut kesesuaian mereka sebagai mahasiswa. Selaku mahasiswa, mereka membawa sama hikmah atau impak keilmuan pengajian tinggi. Melalui aktiviti turun padang itu, mahasiswa secara langsung mempraktikkan konsep latihan dan pendidikan iaitu melalui aktiviti merancang dan melaksana sesuatu program kemasyarakatan yang lebih dikenali sebagai program baktisiswa. Kupasan-kupasan mengenai peri pentingnya ilmu itu ibarat amanah yang wajib disampaikan banyak terkandung dalam buku Dr Hj Kasim. Seperti yang terkandung di halaman 15 yang berbunyi, “tujuan menuntut ilmu pengetahuan bukanlah untuk berlumba-lumba mendapatkan kedudukan, pangkat dan harta kekayaan, sebaliknya untuk membentuk manusia berkeperibadian yang unggul. Keperibadian yang dimaksudkan ialah perkara yang disebut sebagai insan kamil.” Sebuah hadis Rasulullah SAW wajar dijadikan renungan yang bermaksud: “Ilmu yang tidak digunakan adalah seperti harta yang tidak dibelanjakan. Orang yang memilikinya bersusah payah untuk mengumpulkannya tetapi dia tidak pernah mendapat manfaat daripadanya.” Di halaman 200, buku “Pembangunan Modal Insan Cemerlang: Pendekatan Ekonomi Islam” menyentuh mengenai keperluan ilmu itu dikongsi bersama dan disebarkan. Bidang ilmu pengetahuan amat luas. Setiap individu tidak mungkin menguasai sebahagian besar daripada cabang ilmu yang terdapat di permukaan bumi ini. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Dan mereka bertanya kepada mu tentang roh. Katakanlah: “Roh ini termasuk urusan Tuhanku. Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (Surah al-Israa:85) Oleh itu, Islam menganjur dan mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu pengetahuan. Sesungguhnya, ilmu pengetahuan yang mampu diperoleh oleh makhluk yang bernama insan itu terlalu sedikit manakala ilmu pengetahuan yang belum diterokai masih terlalu banyak dan luas. Maka, usaha yang kolektif dan menyeluruh amat dianjurkan dalam usaha memperkaya ilmu dan maklumat bagi maslahat ummah. “Melalui aktiviti bersama masyarakat, akan diwujudkan sesi-sesi perkongsian ilmu di antara mahasiswa dengan masyarakat setempat. Sebagai contoh, kita akan mewujudkan aktiviti seperti program belia masjid iaitu selepas solat Asar di masjid umpamanya, kita meminta agar ustaz di tempat berkenaan memberi tazkirah kepada mahasiswa Muslim. Kita juga akan mengadakan program Wacana Ilmu dan Sembang Buku bersama belia dan pelajar serta murid sekolah,” ujar Dr. Kasim mengenai perancangan beliau melaksanakan misi “Memasyarakatkan Ilmu Pengajian Tinggi.” Melalui pengalaman bersama masyarakat inilah, kita berkeyakinan bahawa graduan yang akan dilahirkan kelak mampu memainkan peranan sebagai pemimpin yang sejati. Dengan mengenali cabaran dan permasalahan masyarakat sewaktu berada di universiti, mereka pastinya akan lebih bersedia dan sentiasa menggagahi cabaran yang menanti mereka kelak. Berkaitan 2

dengan slogan 1Malaysia, maka menerusi community engagement ini juga, mahasiswa akan dapat memahami dan seterusnya sentiasa bersifat ikhlas dan memiliki sikap pertanggungjawaban yang tinggi menjayakannya. Hal ini sebagai menyahut saranan YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang menekankan aspek pembangunan kemahiran insaniah mahasiswa menerusi program community engagement yang terancang dan berkesan. UMS sentiasa aktif dalam penganjuran pelbagai aktiviti perayaan masyarakat majmuk negara ini. Setiap majlis terdiri daripada ahli jawatankuasa yang berlainan suku kaum. Tradisi ini amat dititikberatkan oleh pengurusan UMS, khususnya Yang Berbahagia Kol. Prof Datuk Dr Kamaruzaman Hj Ampon, Naib Canselor UMS. “Tradisi ini, kita akan bawa bila turun padang bersama masyarakat. Mahasiswa dari semua suku kaum akan dilibatkan secara aktif dalam program-program bersama masyarakat,” ujar Dr Hj Kasim. Bagi mewujudkan sebuah tamadun bangsa Malaysia yang perkasa, maka aspek persefahaman yang jitu dalam komuniti yang kaya dengan keunikan adat dan budaya masing-masing perlu dilakukan. Mahasiswa dari luar Sabah akan memperoleh pelbagai pengalaman menarik sewaktu aktiviti kemasyarakatan dijalankan. Demikian bagi mahasiswa dari negeri Sabah sewaktu melakukan aktiviti yang serupa di luar Sabah. Sedar ataupun tidak, pada masa ini terdapat lebih 17,000 orang pelajar UMS di Bandaraya Kota Kinabalu (sebahagian lagi di Kampus Antarabangsa Labuan). Mereka ini bakal berada di bandaraya ini untuk tempoh tiga hingga lima atau enam tahun akan datang. Maka, aktiviti yang dirancang selama ini dengan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan dipergiatkan lagi. Dalam hubungan ini Dr Hj Kasim merancang untuk meningkatkan lagi hubungan akrab mahasiswa dengan semua organisasi pentadbiran di sektor kerajaan, swasta dan NGOs yang berpusat di bandaraya Kota Kinabalu. “Mahasiswa perlu berfikiran bahawa mereka adalah sebahagian daripada warga kota yang perlu bertanggungjawab menceriakan bandaraya ini. Mereka tidak wajar berfikir yang mereka adalah sebagai pelancong sahaja. Ini adalah kerana mereka adalah sebahagian daripada kumpulan “pentadbir” kecemerlangan Bandaraya ini. Sekecilkecil usaha yang mereka perlu lakukan ialah dengan menjadikan kampus UMS terus ceria, bersih dan indah selaku salah satu daripada simbol keagungan Bandaraya ini.” Prof. Madya Dr Hj Kasim Hj Md Mansur mendapat ilmu pengajian tinggi di universiti di Amerika Syarikat. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan pada tahun 1984 dan Sarjana Ekonomi Pembangunan pada tahun 1986 di Indiana State University, Terre Haute, Indiana. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi di University of Wisconsin, Milwauke, Wisconsin dalam tahun 1996. Pada pendapat beliau, mahasiswa perlu mendapat pendedahan mengenai keadaan dunia masa kini. Apatah lagi pada era globalisasi yang sentiasa memberi cabaran baharu kepada kehidupan manusia. Maka, oversea experience atau pengalaman seberang laut akan dijadikan antara aktiviti kemahasiswaan yang perlu dipertingkatkan. Siri-siri lawatan sambil belajar akan dianjurkan mengikut keadaan kewangan dan ekonomi semasa. “Bagi diri saya dan mereka yang berpeluang belajar di luar negara, kita mengalami satu proses kematangan yang sebenar sewaktu masih belajar. Ini adalah kerana rakan sekelas kita adalah dari persekitaran bahasa dan budaya yang berlainan malah apabila keluar dari rumah sahaja kita sudah memulakan kuliah tidak formal iaitu dengan melakukan aktiviti sosial bersama masyarakat di sana seperti di pasar raya, stesen minyak, gelanggang sukan dan sebagainya,” imbas Dr Hj Kasim mengenai pengalaman beliau semasa menuntut di Amerika Syarikat.

3

“Memasyarakatkan Ilmu Pengajian Tinggi,” merupakan suatu pendekatan yang akan dilaksanakan oleh Prof Madya Dr Hj Kasim Hj Md Mansur selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS. Objektif utama menjayakan pendekatan ini ialah untuk membentuk mahasiswa agar menjadi modal insan yang cemerlang seawal Tahun Pertama di universiti. Ramuan kepada menjayakan matlamat ini dapat disorot lebih lanjut dengan membaca buku yang bertajuk Pembentukan Modal Insan Cemerlang: Pendekatan Ekonomi Islam, terbitan Penerbit UMS hasil tulisan Dr Hj Kasim sendiri.

4


								
To top