PENGLIBATAN TENAGA KERJA TEMPATAN DI SEKTOR PEMBINAAN DI MALAYSIA by xpr28091

VIEWS: 1,826 PAGES: 9

									PENGLIBATAN TENAGA KERJA TEMPATAN DI SEKTOR PEMBINAAN DI MALAYSIA - SATU
                              TINJAUAN

                         Yahya Buntat, Muhammad Rashid Rajuddin, Zakaria Mohd Yusof
                          Universiti Teknologi Malaysia, UTM Skudai 81310, Johor, Malaysia


ABSTRAK: Industri pembinaan di Malaysia telah mengalami kekurangan tenaga kerja yang kritikal. Sumber tenaga kerja
tempatan tidak dapat menampung permintaan tenaga kerja binaan yang semakin meningkat. Ini menyebabkan kontraktor
lebih cenderung untuk mengambil tenaga kerja asing. Pengambilan tenaga kerja asing yang terlalu ramai telah menyebabkan
berlakunya ketidakseimbangan taburan tenaga kerja binaan di tapak bina. Keadaan ini telah membawa kepada pelbagai
implikasi yang negatif terhadap industri pembinaan itu sendiri. Tujuan kertas kerja ini ialah untuk mengenal pasti sejauh
mana penglibatan tenaga kerja binaan tempatan dan tenaga kerja asing di tapak binaan mengikut tred binaan. Kajian telah
dijalankan melalui kaedah tinjauan soal selidik terhadap 10 buah tapak bina di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Hasil
kajian menunjukkan tenaga kerja asing didapati memonopoli hampir keseluruhan tred dibandingkan dengan tenaga kerja
tempatan.

Katakunci: Tenaga Kerja binaan, taburan tenaga kerja, latihan kemahiran, tred.


1.   PENGENALAN

     Malaysia kini memasuki abad ke-21, program pembangunan sumber manusia akan terus menjadi matlamat utama
     dalam memastikan semua rakyat berkongsi kemakmuran negara. Kini pembangunan ekonomi yang berasaskan
     pengetahuan akan mempengaruhi arah aliran pertumbuhan permintaan terhadap tenaga kerja pada masa hadapan.
     Sehubungan dengan itu, keutamaan akan diberi kepada penekanan terhadap peluang pendidikan dan latihan yang
     berkualiti bagi menyokong pembangunan ekonomi yang berasaskan pengetahuan tersebut seperti yang dirancangkan
     dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), (Dasar Wawasan Negara, Rangka Rancangan Jangka
     Panjang Ketiga-Ucapan Perdana Menteri bahagian enam).

     Kepentingan tenaga kerja mahir terutamanya tenaga kerja binaan tidak dinafikan kepentingannya, di mana negara
     terpaksa membina institusi-institusi latihan kemahiran yang banyak bagi menampung permintaan yang semakin
     bertambah terhadap tenaga kerja mahir. Menurut Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), negara telah
     mencapai tahap guna tenaga penuh mulai 1993 dan kadar penggangguran dapat dikekalkan pada tahap yang rendah
     walaupun semasa krisis ekonomi pada tahun 1997 hingga 1998. (RRJP3). Sebagai sebuah negara yang sedang pesat
     membangun ke arah menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, Malaysia amat memerlukan tenaga mahir yang
     ramai (Mahathir, Berita Harian, 13 Ogos 1992).

     Tenaga kerja merupakan salah satu aset yang terpenting di dalam industri pembinaan selain daripada modal, mesin,
     bahan dan kepakaran. Tenaga kerja di sektor pembinaan boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu tenaga
     kerja am, tenaga keja separuh mahir dan tenaga keja mahir. Walaupun keperluan tenaga keja ini amat penting di dalam
     industri pembinaan tetapi negara terpaksa mengimport tenaga keja asing daripada negara jiran untuk menampung
     kekurangan tenaga keja tempatan yang semakin kritikal. Perkara tersebut, mungkin berpunca daripada pemikiran
     masyarakat kita sendiri di Malaysia yang memandang rendah dan kotor terhadap tenaga keja binaan ini. Pada masa
     hadapan, kumpulan pekerja ini akan menjadi pekerja elit kerana bertanggungjawab menggerakkan sebahagian besar
     jentera pembangunan terutamanya di sektor binaan. Seiring dengan langkah tersebut kerajaan melalui Lembaga
     Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memperuntukan RM15 juta untuk melatih 18,000 pekerja mahir
     tempatan dalam industri pembinaan. Menurut Mohamed Khaled Nordin, usaha itu adalah strategi kerajaan untuk
     meningkatkan jumlah pekerja mahir tempatan dan kemahiran yang dimiliki dalam sektor pembinaan. Langkah tersebut
     diharap dapat membantu hasrat kerajaan untuk mengurangkan pengantungan terhadap buruh asing (Utusan Malaysia ,
     13 Disember 2000).


2.   ISU DAN MASALAH
     Industri pembinaan pada tahun 2002 menyaksikan peningkatan kontrak-kontrak daripada kedua-dua sektor awam dan
     swasta hasil daripada langkah-langkah penyuntikan bernilai RM7.3 billion yang diperkenalkan oleh kerajaan.
     Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, sektor pembinaan dijangka berkembang
     4.3 peratus tahun 2002. Sektor ini berjaya meningkat sebanyak 1 peratus pada tahun 2003 selepas menghadapi tempoh
     sukar sejak krisis kewangan pada tahun 1997.

     Hasil daripada kerancakan pertumbuhan industri binaan tempatan, sektor ini memerlukan guna tenaga kerja yang
     banyak disamping mempunyai kemahiran dan terlatih, ia juga berupaya menghasilkan kerja yang berkualiti dalam
     tempoh masa dan kos yang dikehendaki di dalam penyiapan projek tersebut. Walaubagaimanapun pada hakikatnya,
     Malaysia pada hari ini sangat bergantung pada tenaga kerja asing. Pengambilan tenaga kerja asing ini mendatangkan
     pelbagai masalah antaranya kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi piawaian yang dikehendaki oleh klien. Menurut
     laporan ekonomi, kerajaan telah meluluskan pengambilan sebanyak 93,025 tenaga keja asing pada tahun 2002 bagi




                                                           -1-
      memastikan perkembangan perniagaan tidak terjejas disebabkan kekurangan tenaga keja tempatan. Pengambilan tenaga
      kerja asing tersebut adalah meliputi tiga sektor utama iaitu sektor pembinaan, pertanian dan perkilangan.

      Berdasarkan kepada isu dan masalah di atas, kertas kerja ini bertujuan untuk meninjau sejauh manakah penglibatan
      tenaga kerja tempatan dan asing di sektor pembinaan berdasarkan kepada tred-tred tertentu yang terdapat dalam kerja
      bangunan.


3.    KEPENTINGAN KAJIAN
      Kajian ini akan memberi gambaran sebenar sejauh manakah tenaga kerja tempatan melibatkan diri di sektor binaan.
      Gambaran ini akan membantu pihak-pihak yang terlibat dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan bagi
      membuat penilaian semula jika perlu, apakah bentuk pendekatan yang harus diambil bagi memastikan lulusan yang
      menamatkan latihan memasuki pasaran sebenar mengikut bidang kemahiran yang dimiliki. Kajian ini juga boleh
      dijadikan sandaran sekiranya strategi jangka pendek dan jangka panjang perlu disediakan. Strategi ini penting bagi
      memastikan lulusan yang dilatih diterima majikan (kontraktor binaan) dan pada masa yang sama usaha ke arah menarik
      minat lepasan sekolah untuk menceburkan diri di sektor binaan perlu dirangka di peringkat lebih awal lagi.


4.    METODOLOGI
      Kajian ini dilaksanakan mengikut tred-tred yang ditetapkan oleh CIDB. Sebanyak 10 tapak binaan telah dikenal pasti
      sebagai sampel untuk dibuat tinjauan. Data-data yang diperolehi melalui soal selidik, dianalisis bagi melihat peratusan
      di antara tenaga kerja tempatan dan tenaga kerja asing secara keseluruhan dan berdasarkan tred.
      Berdasarkan taburan bilangan tenaga kerja tempatan dan asing, dapatlah diketahui sejauh manakah tenaga kerja asing
      memenuhi tapak pembinaan dan sejauh manakah pula penglibatan warga tempatan menceburi sektor pembinaan ini.
      Dalam kajian ini, hanya lapan tred atau tukang sahaja dikaji memandangkan tred ini merupakan tred utama yang
      menjadi tunggak pembinaan sesuatu projek bangunan iaitu;

          a.   Tukang konkrit                     e.   Tukang Jubin
          b.   Tukang Bata                        f.   Tukang Cat
          c.   Tukang Lepa                        g.   Tukang Cermin
          d.   Tukang besi                        h.   Tukang Kayu


5.    SOROTAN LITERATUR

      Tenaga Kerja Binaan di Malaysia
          Proses pembinaan memerlukan empat sumber utama yang terdiri daripada modal, buruh, loji dan bahan. Sumber-
          sumber ini perlu diuruskan dengan efisyen agar peningkatan kos akibat pembaziran sumber tidak berlaku. Tenaga
          kerja merupakan sumber yang penting kerana tanpanya pembinaan tidak dapat dilaksanakan (Asiah, 1999).
          Sumber tenaga kerja ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis tenaga kerja iaitu tenaga kerja mahir, tenaga kerja
          separa mahir dan tenaga kerja tidak mahir. Mengikut Bathurst (1978), tenaga kerja akan mengambil 44% daripada
          kos pembinaan bangunan sementara 56% lagi diambil oleh bahan binaan yang digunakan.

5.2       Takrif Buruh Dan Pembinaan
          Takrif buruh mengikut kamus Dewan Edisi Ketiga menyatakan orang yang bekerja untuk mencari makan atau
          upah atau gaji. Manakala buruh mahir pula ditakrifkan sebagai buruh yang mempunyai kepakaran yang khusus
          yang diperolehi daripada bidang latihan professional dalam bidang tertentu. Selain itu, buruh separa mahir boleh
          dimaksudkan sebagai buruh yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu yang diperolehi daripada
          pengalaman bekerja atau latihan separuh professional.

          Pembinaan pula boleh ditakrifkan sebagai “pembinaan baru, pengubahan, pembaikan dan perolehan, pemasangan
          sebarang jenis jentera atau alat yang sedia ada pada masa pembinaan asas termasuk, serta pemasangan jentera atau
          alat selepas pembinaan asas tetapi memerlukan binaan bagi memasangnya.



5.3       Perkembangan dan Keperluan Tenaga Kerja Binaan di Malaysia
          Kepentingan pembangunan sumber manusia dalam pembangunan negara telah lama diakui. Menurut ahli ekonomi
          barat, Harbinson dan Myers (1964), menyatakan tentang pentingnya pembangunan sumber manusia untuk
          mencapai matlamat politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Ini dibuktikan dengan beberapa negara mampu
          mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi melalui pembangunan sumber manusia yang teliti walaupun
          mempunyai modal fizikal yang kecil. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa buah negara yang kaya dengan
          modal fizikal, tetapi gagal mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi kerana kelemahan pembangunan sumber
          manusianya (Hashim Fauzy, 2000).




                                                             -2-
       Antara aset yang paling penting dalam menghasilkan mutu pembinaan yang dihasilkan ialah pekerja atau buruh.
       Pekerja mesti diurus dan dipimpin dengan baik supaya matlamat organisasi dapat dicapai (Hashim Fauzy, 2000).

       Menurut artikel CIDB News, (Disember 2000), keperluan tenaga buruh untuk mengisi kekosongan dalam industri
       pembinaan sukar dicari. Ini memaksa kerajaan meluluskan kemasukan lebih 500,000 orang pekerja asing ke negara
       ini untuk memenuhi keperluan industri pembinaan. Walaupun pada hakikatnya lebih setengah daripada kira-kira
       800,000 gunatenaga kerja asing telah digunakan untuk mengisi keperluan tenaga buruh ini di dalam industri
       pembinaan yang kebanyakannya burh asing ini tidak berkemahiran. Perkara ini mungkin berlaku akibat salah
       faham terhadap imej industri pembinaan itu sediri. Ramai yang bertanggapan bahawa kerja dalam industri
       pembinaan hanya terhad kepada kerja membancuh dan melepa simen, menyorong kereta tolak dan memasng batu-
       bata di bawah panas terik matahari. Ini dibuktikan dengan ramainya belia tempatan enggan menceburi sektor
       binaan kerana salah tanggapan mereka dalam industri pembinaan ini. Malah ibu bapa dan masyarakat umumnya
       sendiri memandang rendah pekerjaan dalam sektor pembinaan kerana pada mereka sektor ini kotor, berbahaya dan
       sukar. Menyedari hakikat ini, kerajaan melalui salah satu agensi yang terlibat dalam industri pembinaan iaitu
       Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah memperuntukan jutaan ringgit untuk menyediakan
       kemudahan latihan kemahiran bagi melatih belia-belia lepasan SPM. Langkah tersebut merupakan salah satu
       langkah bagi mengatasi kekurangan buruh mahir di pasaran dalam industri pembinaan.

5.4    Pembahagian Tenaga Kerja Dalam Industri Pembinaan
       Menurut Firuz (1992), pembahagian tenaga kerja dalam industri pembinaan boleh dibahagikan kepada 2 bahagian
       iaitu;

           i.    Pembahagian secara menegak
           ii.   Pembahagian secara mendatar

  a.   Pembahagian Tenaga Kerja Secara Menegak
       Kumpulan tenaga yang besar perlu dibahagikan ke dalam suatu bentuk sistem hiraki yang dapat membezakan di
       antara satu sama lain. Cara pembahagian seperti ini mengikut pembahagian buruh yang menggunakan otak (fikiran
       dan ilmu) dan tangan (tenaga). Oleh itu, kumpulan buruh dibahagikan mengikut organisasi ini yang mana setiap
       hiraki darjah keperluan adalah berbeza-beza ke atas dua aspek tersebut.

       Rajah 5.1 menunjukkan organisasi pentadbiran di tapak bina, di mana tempat yang paling atas diisi oleh pengurus
       projek. Pengurus projek ini ditempatkan di atas kerana kebanyakan tugas dan peranannya melibatkan soal-soal
       pentadbiran di tapak bina. Tugas pengurus projek ini lebih menekankan penggunaan kemahiran otak (berfikir dan
       ilmu). Sementara itu, tenaga kerja binaan pula diletakkan di tempat yang paling bawah di dalam carta organisasi
       tersebut. Tenaga binaan ini hanya melakukan kerja-kerja yang menggunakan kemahiran 'tangan' (tenaga) di dalam
       melaksanakan tugasnya.

  b.   Pembahagian Tenaga Kerja Secara Mendatar
       Cara pembahagian tenaga kerja jenis ini menekankan pengkhususan kerja di mana kumpulan tenaga kerja ini
       dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang mempunyai kemahiran yang tertentu terhadap satu-satu kerja yang
       spesifik sahaja. Selalunya pembahagian buruh jenis ini dihubungkaitkan dengan bahan. Contohnya, bata dikaitkan
       dengan tukang bata, kayu dikaitkan dengan tukang kayu dan sebagainya.

       Pembahagian tenaga kerja jenis ini telah mula dipraktikkan pada zaman feudalisma di England lagi. Pada zaman
       tersebut, tenaga kerja seperti tukang kayu dibezakan dengan petani yang mana tukang kayu berkemahiran di dalam
       membina rumah, perabut dan sebagainya. Manakala petani pula dikaitkan dengan penyediaan bahan-bahan
       makanan. Pertukaran keperluan di antara kedua-dua golongan ini pula berlaku di dalam pembahagian keperluan
       penginapan dan makanan dan ia dikawal oleh tuan tanah.

       Cara pembahagian kumpulan tenaga kerja secara mendatar ini ditunjukkan dalam rajah 5.2 Pembahagian tenaga
       kerja mahir ini dipecahkan kepada beberpa kumpulan tenaga kerja seperti tukang konkrit, tukang bata, tukang
       kayu, tukang besi dan sebagainya. Setiap kumpulan ini mempunyai kemahiran masing-masing dan tidak berupaya
       untuk melakukan kerja dari kumpulan lain.




                                                 Ahli Profesional

                                          (1) Supervisor + Juruteknik +
                                                   Juruteknik

                                             Tenaga Kerja Mahir +
                                           Tenaga Kerja Separa Mahir

                                                       Kerja Am
                                                Tenaga-3-
                      Rajah 5.1. Piramid Bagi Keperluan Tenaga Kerja Dalam Industri Pembinaan
                                         Sumber: Wang, Bernard T.H (1998)


5.5       Kategori Tenaga Kerja
          Secara amnya, tenaga di dalam industri binaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu tenaga kerja am,
          tenaga kerja separa mahir dan tenaga kerja mahir.

  a.      Tenaga Kerja Am
          Tenaga kerja am ini tidak mempunyai sebarang kemahiran dan kepakaran di dalam melakukan kerja-kerja binaan
          (Rojiah, 1995). Selalunya, tenaga kerja diperingkat ini adalah dikalangan mereka yang baru mula bekerja dan ia
          biasanya menjadi pembantu kepada tenaga kerja mahir dan tenaga kerja separa mahir di dalam melakukan kerja-
          kerja binaan. Oleh itu, bekalan tenaga kerja untuk tenaga kerja ini lebih mudah diperolehi daripada tenaga kerja
          mahir dan tenaga kerja separa mahir. Upah yang diterima adalah lebih rendah. Tenaga kerja ini masih mempunyai
          peluang untuk meningkatkan status mereka dengan memperolehi taraf kemahiran mereka untuk menjadi tenaga
          kerja separa mahir dan tenaga kerja mahir (Norlinda,1999). Ini diperolehi dengan pengalaman bekerja yang lama.

  b.      Tenaga Kerja Separa Mahir
          Tenaga kerja separa mahir ini lazimnya akan bekerja bersama-sama dengan tenaga kerja mahir di tapak bina.
          Walaupun begitu tahap kemahiran tenaga kerja ini tidak semahir dan secekap tenaga kerja mahir yang banyak
          membuat keputusan dalam menentukan cara kerjanya. Kebiasaanya tenaga kerja separa mahir ini adalah terdiri
          daripada pelatih-pelatih lepasan-lepasan institusi kemahiran seperti IKBN, ABM, IKM dan sebagainya yang baru
          menamatkan tempoh perintis. Pengalaman bekerja mereka dalam bidang yang mereka ceburi itu kurang daripada
          3 tahun.



                                               Pengurus Projek




                                                   Pegawai                  Jurukur               Jurutera
                                                  Pengeluaran                Bahan                 Tapak
       Penjaga Stor         Kerani Gaji



                                                   Penyelia
                                                  Tapak Bina




           Konkrit                     Bata                         Kayu                      Paip




                                  Tenaga Kerja Mahir / Separa Mahir /Am


                                 Rajah 5.2 : Organisasi Pentadbiran Tapak Bina (Norlinda, 1999)


  c.      Tenaga Kerja Mahir
          Tenaga kerja mahir bolehlah ditakrifkan sebagai seorang pekerja yang telah diiktiraf kebolehan dan kepakaranya
          serta cekap dalam bidang yang diceburinya serta mempunyai mutu kerja yang berkualiti, (Majlis Latihan
          Vokasional Kebangsaan "Tenaga Mahir Membina Negara"). Menurut Fairuz (1992), tenaga kerja mahir ini
          didifinasikan sebagai seseorang yang mempunyai latarbelakang kemahiran dari institus-institusi kemahiran tertentu
          dan dibuktikan dengan pensijilan. Selain itu, seseorang yang telah menjadi perintis dalam sesuatu bidang dalam
          tred kerja yang diceburi dalam bidang pembinaan untuk beberapa tahun dan membuatkannya mahir dalam bidang
          tersebut sungguh pun tidak menjalani latihan formal.



                                                           -4-
          Tenaga kerja mahir ini biasanya melakukan kerja-kerja seperti tukang bata, tukang pembengkok besi, tukang kayu,
          jurugegas dan sebagainya. Kepakaran yang dimiliki oleh tenaga kerja mahir ini biasanya diperolehi daripada
          pengalaman, pengetahuan dan bakat individu tersebut (Shafinaz, 2001). Seseorang buruh itu dianggap sebagai
          tenaga kerja mahir jika ia mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya 3 tahun dan lebih selepas tempoh
          perintisnya. Biasanya upah yang diterima ini lebih tinggi daripada tenaga kerja am dan separa mahir. Proses untuk
          menjadi tenaga kerja mahir memerlukan masa yang lama dan panjang. Ini memberi implikasi terhadap penghasilan
          tenaga kerja mahir berjalan dengan perlahan dan tidak mampu memenuhi permintaan semasa. Pembayaran
          perkhidmatan terhadap tenaga kerja mahir ini adalah paling tinggi berbanding dengan kategori tenaga kerja lain
          mengikut kepakaran mereka.

5.6       Sumber Tenaga Kerja

          Pengambilan tenaga kerja di dalam industri pembinaan di Malaysia melibatkan dua sumber utama. Pengambilan
          tenaga kerja daripada dalam negara dan luar negara.

     a.   Pengambilan Tenaga Kerja Dalam Negara
          Sumber tenaga kerja dalam negara merupakan satu sumber yang terpenting kepada industri pembinaan kerana ia
          melibatkan pengolahan sumber manusia di Malaysia. Biasanya tenaga kerja tempatan ini datang daripada negeri
          yang kurang maju (Rojiah, 1995). Dalam tahun 1970an berlaku jumlah penghijrahan yang tinggi di dalam negeri.
          Pola pergerakan penghijrah-penghijrah (tenaga kerja tempatan) meliputi sebahagian besarnya mereka berhijrah ke
          negeri-negeri yang maju seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka yang berhijrah ke dua
          negeri tersebut datang daripada negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perak, Pulau
          Pinang Negeri Sembilan dan Johor. Bagi penghijrah-prnghijrah yang berasal Negeri Pantai Timur Semenanjung
          Malaysia destinssi mereka adalah tertumpu ke Negeri Pahang. Pengambilan tenaga kerja tempatan terutamanya
          tenaga kerja mahir dan separa mahir ini diambil daripada institusi-institusi kemahiran awam seperti Institut
          Kemahiran Mara (IKM), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan sebagainya.

b.        Pengambilan Tenaga Kerja Asing
          Peningkatan dalam penghijrah untuk mencari pekerjaan yang berlaku semenjak pertengahan tahun 1970 an di
          Malaysia telah menimbulkan pelbagai isu yang besar. Perkara ini dapat dilihat sebagai satu proses yang membawa
          faedah ekonomi bersama dan perubahan sosial kepada kedua-dua negara pengirim dan penerima (Rojiah, 1995).
          Tidak dapat dinafikan pengambilan buruh daripada luar negara telah menyumbang membangunkan industri
          pembinaan di negara ini. Kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh pihak kontraktor-kontraktor menyebabkan
          permintaan terhadap tenaga kerja itu meningkat. Ini menyebabkan kadar upah meningkat secara mendadak.
          Peningkatan kadar upah ini menggalakkan kemasukan tenaga kerja asing terutamanya dari negara Indonesia,
          Bangladesh, Thailand dan sebagainya.

5.7       Trend Pekerja Asing Yang datang Ke Malaysia

          Menurut Rojiah (1995), salah satu tempat yang menarik untuk mencari peluang pekerjaan di Asia Tenggara adalah
          Malaysia. Antara destinasi-destinasi utama penghijrahan pekerja asing ini ke Malaysia adalah seperti berikut

               i.     Pekerja asing dari Negara Filipina ke destinasinya ke Sabah dan Sarawak
               ii.    Pekerja asing dari Kalimantan, Indonesia ke Negeri Sabah dan Sarawak
               iii.   Pekerja asing dari Sumatera dan pulau-pulau yang berdekatan ke Semenanjung Malaysia
               iv.    Pekerja asing dari Thailand destinasinya adalah negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia



5.8       Tenaga Kerja Mengikut Tred

          Berikut adalah senarai kategori dan tred kerja-kerja Bangunan yang telah ditetapkan.oleh Lembaga Pembangunan
          Industri Pembinaan (CIDB) dalam Construction Industry Skill Standards,(1999).

                             Jadual5.1: Jenis-jenis tred pekerja binaan yang diklasifikasikan oleh
                                 Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB).

          Tred Pekerja Binaan Biasa
          Pekerja Binaan                                              General Construction Worker

          Tred Pekerja Separuh Mahir Binaan
          Pembantu Paip                                               Assistant Plumber
          Pembantu Perancah                                           Assistant Scaffolder

          Tred Pekerja Mahir Binaan



                                                             -5-
        Pembengkok Besi                                             Barbender
        Penerap Bata                                                Bricklayer
        Tukang Kayu - Tanggam                                       Carpenter -Joinery
        Tukang Kayu - Acuan                                         Carpenter - Formwork
        Tukang Konkrit                                              Concretor
        Pemasang Siling                                             Ceilling Installer
        Pemasang Siling Plasterboard                                Plaster Board Ceilling Installer
        Pemasang Drywall                                            Drywall Installer
        Tukang Kaca                                                 Glazier
        Pemasang Sesalur Air                                        Gutter Installer
        Tukang Besi                                                 Ironmonger
        Tukang Logam                                                Metalworker
        Tukang Cat - Bangunan                                       Painter - Building
        Tukang Lepa                                                 Plasterer
        Tukang Paip                                                 Plumber
        Pemasang Bumbung                                            Roof
        Tukang Pasang Struktur Keluli                               Steel Structure Fabricator
        Tukang Batu                                                 Stone Mason
        Pemasang Jubin                                              Tiler
        Pemasang Struktur Kayu                                      Timber Stucture Erector


6.   DAPATAN KAJIAN

     Borang soal selidik diedarkan kepada 10 syarikat kontraktor pembinaan. Keseluruhan tenaga kerja binaan yang diambil
     sebagai sampel kajian dari 10 syarikat kontraktor binaan ini adalah sebanyak 688 orang. Analisis dibuat berdasarkan
     kaedah statistik penerangan dan kaedah frekuensi. Dapatan kajian adalah seperti berikut;



                         36.7%                                                 41.1%




                                                                            Buruh Am
                                                                            Buruh Separa Mahir
                                                                            Buruh Mahir
                                         22.2%

                             Rajah 6.1 Taburan pekerja binaan mengikut jenis buruh




     Dari Rajah 6.1 di atas, tenaga kerja am mewakili 41.1% daripada keseluruhan jumlah penggunaan tenaga kerja di tapak
     bina yang diambil sebagai kajian. Ini diikuti pula 36.7% penggunaan tenaga kerja mahir dan tenaga kerja separa mahir
     pula adalah sebanyak 22.2%.
     Berdasarkan sampel kajian ke atas 10 kontraktor yang diambil, 69.5% tenaga kerja binaan adalah terdiri daripada warga
     asing yang datang daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh dan sebagainya. Tenaga kerja binaan yang
     terdiri daripada warga tempatan hanya meliputi 30.5% daripada keseluruhan tenaga kerja binaan yang bekerja di tapak
     binaan berdasarkan sampel yang diambil. Pecahan tenaga kerja asing dan tempatan ditunjukan dalam Jadual 6.1.


                  Jadual 6.1: Taburan pekerja binaan asing dan tempatan mengikut katagori kemahiran

                      Jenis Buruh                        Tenaga Tempatan                      Tenaga Asing
                                                   Bilangan          Peratus           Bilangan        Peratus
          Keseluruhan Tenaga Kerja                      210              30.5              478            69.5
          Tenaga Kerja Am                                26              9.2               257            90.8
          Tenaga Kerja Separa Mahir                      51              33.3              102            66.7
          Tenaga Kerja Mahir                            133              52.7              119            47.3



                                                           -6-
     Dari Jadual 6.1 juga, warga asing yang bekerja sebagai tenaga kerja am telah menguasai jenis pekerjaan ini di mana ia
     meliputi 90.8% sementara warga tempatan hanyalah 9.2% sahaja daripada jumlah jenis tenaga kerja am. Bilangan
     warga asing yang ramai diambil bekerja oleh kontraktor sebagai tenaga kerja am ini mungkin disebabkan beberapa
     faktor. Antaranya upah yang murah serta boleh bekerja lebih masa tanpa runggutan selain tahan bekerja dalam keadaan
     kerja yang tidak selesa dan berbahaya merupakan faktor yang menarik minat kontraktor untuk mengambil ramai warga
     asing untuk bekerja sebagai tenaga kerja am.
     Selain itu, tenaga kerja am warga asing ini mudah dan senang didapati berbanding dengan tenaga kerja tempatan. Ini
     menyebabkan kontraktor tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tenaga kerja asing ini sebagai pekerja. Hanya
     sebilangan kecil warga tempatan yang sanggup menjadi tenaga kerja ditapak bina. Keadaan ini menyebabkan jurang
     perbezaan jumlah tenaga kerja yang besar di antara tenaga kerja asing dan tempatan. Perkara yang sama juga berlaku
     pada pekerjaan tenaga kerja separa mahir yang mana ia juga dikuasai oleh tenaga kerja asing asing. Hampir 66.7%
     tenaga kerja separa mahir ini terdiri daripada warga asing manakala warga tempatan hanya mewakili 33.3% daripada
     sampel buruh binaan separa mahir yang diambil dalam kajian ini.


     Kebiasaannya, tenaga kerja separa mahir ini adalah terdiri daripada bekas tenaga kerja am yang sudah berpengalaman
     dalam sesuatu tred atau pertukangan yang diceburi dan pelatih-pelatih daripada lepasan-lepasan institusi-institusi latihan
     kemahiran. Tetapi di dalam kajian ini, kesemua sampel terdiri daripada tenaga kerja separa mahir yang berasal daripada
     tenaga kerja am yang berpengalaman dalam tred yang diceburi. Mereka ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran
     yang ditimba secara tidak langsung semasa mereka bekerja sebagai tenaga kerja am.
     Dalam kes taburan pekerja mahir, adalah didapati ianya agak seimbang di mana warga tempatan mewakili 52.7% dan
     warga asing mewakili 47.3% daripada tenaga kerja mahir yang diambil dari sampel untuk dijadikan tujuan kajian.
     Walaupun jumlah buruh tempatan yang diambil bekerja sebagai buruh mahir ini boleh dikatakan ramai tetapi ia tidak
     dapat menampung jumlah permintaan terhadap tenaga kerja mahir di tapak bina. Ini menyebabkan kontraktor terpaksa
     mengambil tenaga kerja asing bagi mengisi kekosongan tersebut.
     Dalam kes taburan tenaga kerja tempatan dan asing mengikut tred, sampel telah dipecahkan 8 tred kerja bangunan.
     Pecahan-pecahan tred ini ditunjukkan seperti Jadual 6.2 dibawah.


                        Jadual 6.2: Taburan tenaga kerja binaan asing dan tempatan mengikut tred


                              Pecahan Buruh                     Peratus                     Peratus

                        1. Tukang Konkrit                          33                          67
                        2. Tukang Bata                             20                          80
                        3 Tukang Kayu                              22                          78
                        4. Tukang Besi                             18                          82
                        5. Tukang Lepa                             22                          78
                        6. Tukang Jubin                            91                          19
                        7. Tukang cat                              54                          46
                        8. Tukang Cermin                           94                          6
                                  Purata                           44                          56


     Jadual 6.2 di atas menunjukan bahawa tred-tred utama dalam pembinaan bangunan telah dimonopoli oleh tenaga kerja
     asing. Jumlah tenaga kerja asing yang paling ramai adalah terdiri daripada tred tukang konkrit, tred tukang bata, tred
     tukang kayu, tred tukang besi dan tred tukang lepa. Ini adalah kerana didapati bahawa kerja-kerja tred tersebut mudah
     dipelajari dalam masa yang singkat dan tidak memerlukan kemahiran tinggi dengan penggunaan peralatan dan jentera
     yang moden. Kerja-kerja seperti mengikat bata, konkrit, melepa dan kerja-kerja kayu adalah mudah dan boleh
     dikendalikan oleh pekerja asing walaupun tidak berapa mahir.
     Bagi kerja-kerja memasang jubin, memasang cermin dan mengecat bangunan ianya masih dikuasai oleh tenaga kerja
     tempatan. Kebanyakan pihak kontraktor memilih tenaga kerja tempatan yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi
     untuk kerja-kerja tersebut.

7.   KESIMPULAN AWAL

     Kepesatan pembangunan negara menyebabkan industri pembinaan terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing.
     Kekurangan tenaga kerja tempatan yang begitu ketara menyebabkan kerajaan meluluskan lebih 500,000 orang tenaga
     kerja asing untuk memenuhi keperluan industri pembinaan negara. Kajian ini telah menunjukkan bahawa tenaga kerja
     binaan telah dimonopoli oleh tenaga kerja asing. Kebanyakan tred-tred kerja binaan yang dikuasai oleh buruh asing ini



                                                             -7-
adalah terdiri daripada tred tukang konkrit, tukang bata, tukang kayu, tukang besi dan tukang lepa. Kerja-kerja tred
seperti mengikat bata, menuang konkrit, membengkok besi dan melepa boleh dilakukan dengan mudah dan boleh
dikendalikan oleh buruh warga asing walaupun buruh tersebut tidak beberapa mahir.
Tenaga kerja binaan tempatan pula menguasai tred-tred pertukangan seperti tukang jubin, tukang cat dan tukang
cermin. Ini adalah kerana tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang tersebut sahaja boleh melakukan kerja tersebut.
Kebanyakan pihak kontraktor memilih pekerja tempatan yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi untuk
melakukan kerja-kerja tersebut. Terdapat lima jenis tred kerja pertukangan yang mempunyai bilangan pekerja yang
paling ramai di tapak bina iaitu tred tukang kayu, tukang bata, tukang lepa, tukang besi dan tukang konkrit. Hasil
daripada kajian yang dijalankan didapati tukang kayu mempunyai bilangan pekerja yang ramai iaitu seramai 17% dari
keseluruhan jumlah tenaga kerja binaan yang bekerja di tapak bina. Ini diikuti dengan tukang bata 16%, tukang lepa
15%, tukang besi 14 % dan seterusnya ialah 11% yang mewakili tukang konkrit.


Kajian juga mendapati tiada seorang pun tenaga kerja binaan yang ditemui di tapak pembinaan mempunyai sijil
kemahiran atau telah menjalani latihan kemahiran dari institusi-inistitusi latihan kemahiran yang banyak terdapat dalam
negara. Kebanyakan tenaga kerja ini mempelajari kemahiran melalui pengalaman bekerja selama beberapa tahun di
tapak bina sebelum beliau dikatagorikan sebagai tenaga kerja mahir oleh majikan masing-masing.
Persoalan seterusnya ialah, sekiranya benar tiada seorang pun tenaga kerja di tapak bina yang mempunyai sijil
kemahiran dari institusi latihan kemahiran, ke mana pula perginya lulusan-lulusan yang telah mendapat pelbagai bentuk
kemahiran berkaitan di pelbagai institut latihan kemahiran yang ada. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan
menyebabkan negara mengalami kerugian dari segi sumber tenaga kerja tempatan yang sedia ada. Tenaga kerja binaan
tempatan akan mengganggur jika kebanyakan kontraktor mengamalkan dasar mengutamakan tenaga kerja asing. Satu
kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan sektor binaan memperolehi faedah yang sewajarnya dari
kemahiran yang dimiliki oleh para lulusan ini.




                                                       -8-
RUJUKAN

  Abd. Ghani Khalid (1997)., Kajian Permintaan Dan Penawaran Bahan Binaan Utama dan Gunatenaga Industri
       Binaan Sehingga Tahun 2020. Laporan Penyelidikan: Pusat Sumber Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi
       Malaysia.
  Amizan Abdullah (2000). Produktiviti Buruh Di Tapak Bina. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda
  Asiah Juli (1999). Mengenalpasti Sistem Perolehan Sumber Modal Bagi Projek Pembinaan: Universiti Teknologi
       Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
  Bellante, Don (1989). Ekonomi Buruh: Pilihan Dalam Pasaran Buruh. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
       m.s. 20-56.
  Bernard T.H Wang (1998). Construction & Development (with reference to Malaysia). Kuala Lumpur : Pelanduk
       Publication. m.s. 100-113.
  Berita Harian (1992). Sektor Pembinaan Dan Pembuatan Penting. dlm. Berita Harian, 13 Ogos 1992. Kuala Lumpur :
       Berita Harian.
  CIDB Malaysia (2000). Latihan Kemahiran Belia Membuka Peluang Golongan Belia Menyertai Sektor Binaan. dlm.
       CIDB News, Issue 2 Jun 2000. Kuala Lumpur : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
       m.s. 18-19.
  CIDB Malaysia (2001). Mengakreditasi Tenaga Kerja Indsutri Pembinaan Malaysia Bagi Menjana Tenaga Kerja
       Berprestasi Tinggi. dlm. CIDB News, Issue 2 Jun 2001. Kuala Lumpur : Lembaga Pembangunan Industri
       Pembinaan Malaysia (CIDB). m.s. 14-15.
  CIDB Malaysia (2001). Kemahiran Dalam Indsutri Pembinaan Menjanjikan Pendapatan Lumayan. dlm. CIDB News,
       Issue 4 Disember 2001. Kuala Lumpur : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). m.s. 4-5.
  Hisham Fauzy.(Eds.) (2000). Pembangunan Sumber Manusia. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia. m.s. 27-
       41.
  Intan Shafinaz Abd. Rahman (2000). Pendekatan Latihan Untuk Pekerja Pembinaan. Universiti Teknologi Malaysia :
       Tesis Sarjana Muda.
  Jabatan Perangkaan Malaysia (1999). Penyiasatan Industri Pembinaan Tahunan.Untuk Tahun 1998. Kuala Lumpur :
       Jabatan Perangkaan Malaysia.
  Mohd Fairus (1992). Kajian Ke Atas Pasaran Buruh Mahir Dalam Industri Binaan Di Malaysia. Universiti Teknologi
       Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
  Mohd Hanif Kamsani (2003) Taburan Buruh Mengikut Tred Dalam Industri Binaan. Universiti Teknologi Malaysia :
       Tesis Sarjana Muda.
  Nor Aniza Naimudin (1998). Kajian Ke Atas Penawaran Buruh Mahir Dalam Industri Binaan. Universiti Teknologi
       Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
  Norlinda Abu Bakar (2001). Kajian Ke Atas Penglibatan Pekerja Binaan Tempatan Dalam Industri Binaan Di Johor
       Bahru. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
  Utusan Malaysia (2000). Suntikan Kerajaan Rangsang Sektor Pembinaan. dlm. Utusan Malaysia, 20 Disember 2000.
       Kuala Lumpur : Utusan Malaysia.
  Utusan Malaysia (2001). Buruh Asing Diambil Pastikan Perniagaan Tidak Terjejas. dlm. Utusan Malaysia, 19 Oktober
       2001. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.
  Wan Rojiah Wan Mahmud (1995). Kajian Ke Atas Pengambilan Buruh Asing Dalam Industri Binaan Di Malaysia.
       Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
  Zulkifly Osman.(1989). Ekonomi Buruh: Teori Permintaan Dan Penawaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan
       Pustaka. m.s. 90-130.




                                                      -9-

								
To top