Docstoc

MUZIK ASLI MELAYU HARUS DIPELIHARA

Document Sample
MUZIK ASLI MELAYU HARUS DIPELIHARA Powered By Docstoc
					MUZIK ASLI MELAYU HARUS DIPELIHARA

Muzik tradisional Melayu telah kekal sebagai warisan seni bangsa sejak turun temurun. Kini warisan seni ini telah mula pudar ditelan zaman. Pihak yang berwajib haruslah memainkan peranan dalam usaha memartabat warisan seni bangsa agar tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Sebelum kita hendak mengekalkan warisan ini, kita harus kenal akan elemen dan ciri-ciri muzik tradisional bangsa; tak kenal maka tak cinta. Usaha ini haruslah dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran amnya dan Pusat Perkembangan Kurikulum khasnya dengan memperkenalkan lagu-lagu rentak inang, zapin, masri, asli dan joget dalam matapelajaran nyanyian dalam Pendidikan Muzik bermula dari peringkat pra sekolah. Apresiasi kepada rentak ini boleh diselangi dengan pengenalan kepada gerak tari asas untuk setiap rentak dalam komponen muzik dengan gerakan. Dalam permainan alat pula, permainan rentak iringan boleh diaplikasi dalam permainan alat perkusi. Rentetan kepada ansur maju apresiasi muzik tradisional boleh dilakukan dengan pengenalan kepada lagu-lagu nyanyian, gerak tari serta permainan alat yang lebih kompleks sehingga ke peringkat sekolah rendah dan menengah. Pada tahap ini selain mengadakan pertandingan dikir barat (Kempen Anti Dadah Kebangsaan), Bintang Asli (dengan kerjasama KeKKwa) dan Angklung, Tarian & Kompang Formasi (Unit Muzik dan Kebudayaan, Bahagian Sekolah), pihak

Kementerian Pelajaran haruslah terus memberikan peluang kepada masyarakat sekolah khasnya dalam memberi ruang kepada muzik tradisional untuk diletak seiring dengan wacana peningkatan akademik. Kewujudan muzik tradsional ini bertitik tolak dari pencerminan kesantunan budaya Melayu. Di kalangan masyarakat Melayu, pengaruh warisan ini berakar sejak lahir di mana pengamalan budaya menjadi tonggak utama. Bagi mengekalkannya, budaya budi bahasa ketimuran serta acara ritual dan sambutan keraian seperti kenduri kendara untuk majlis perkahwinan, kelahiran anak, hari menuai serta lain-lain acara yang telah diamalkan sejak turun temurun kekal menjadi amalan. Di majlis-majlis seperti inilah ensembel muzik tradisional dimainkan dan ianya pula dihadiri seluruh warga kampung serta komuniti setempat.

Pada majlis kenduri kahwin contohnya caklempong, dan silat Melayu serta Ghazal dimainkan bagi meraikan kedua mempelai. Dalam majlis naik buai pula, hadrah dan marhaban dilagukan. Di pantai timur pula, wayang kulti dan makyung dipersembahkan sebagai hiburan pada pesta dan keraian. Pada Hari Menuai dan

Gawai, muzik keamatan dimainkan. Manakala pada acara-acara rasmi muzik gamelan diperdengarkan sebagi halua telinga kepada para tetamu. Sambutan-sambutan keraian seperti ini harus dikekalkan supaya muzik tradisional bangsa dapat terus dimain dan diperdengarkan. Setelah dikenal dan diwarisi, bagi mereka yang serius untuk mendalami muzik tradisional, ianya wajar dijadikan sebagai wacana akademik dan bidang pengajian di peringkat institiusi pengajian tinggi. Pujian harus diberikan kepada pihak KeKKwa yang telah memartabatkan Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) sebagai institiusi ulung .Dalam usaha menjadikan muzik tradsional terpelihara ia mewajibkan pelajar memilih satu esembel muzik tradisional Melayu sebagai pra-syarat kredit utama dalam menamatkan pengajian. Pihak KeKKwa juga haruslah terus menjalankan usaha

dengan mendekati masyarakat agar ia dapat dipelihara. Ini dapat dilakukan dengan mengadakan kursus-kursus jangka pendek dan bersiri di jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan pusat-pusat komuniti yang memberi fokus kepada elemen ilmiah dan praktikal. Ensembel seperti wayang kulit, kompang, boria, gamelan, caklempong dan makyung boleh dijadikan pilihan dalam mengisi waktu senggang dan aktiviti luar di pejabat. Ini tidak secara langsung akan menyumbang kepada usaha memelihara warisan seni muzik tradisional. Selain daripada Kementerian Pelajaran dan KeKKwa pihak industri hiburan juga boleh menyumbang dalam usaha ini. Ini dapat dilakukan dengan melahir dan mencipta lebih banyak lagu-lagu rentak klasikal Melayu untuk dimuatkan dalam album penyanyipenyanyi tempatan. Para karyawan pula harus kreatif dalam usaha ini dengan mencipta gubahan klasikal Melayu yang dikontemporaikan sesuai dengan citarasa anak muda. Selain itu, pihak media memainkan peranan dengan memain dan mengudarakan lagulagu ini di corong radio dan televisyen. Sebagai kesimpulan, semua pihak bertanggungjwab dalam memelihara muzik tradisional bangsa agar ia kekal sebagai warisan seni tanahair. Kerjasama dan

koloborasi pihak-pihak tertentu akan pasti dapat merealisasikan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia tersohor di persada dunia dengan bukan sahaja kesantunan budi adat ketimuran malah keindahan seni muziknya.


				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:1429
posted:1/18/2010
language:Malay
pages:3