Docstoc

jangan melampau

Document Sample
jangan melampau Powered By Docstoc
					Agamaku Berdiri di Antara Dua JANGAN
November 15th, 2007 | by Abu Saif | 7,820 Views | Print | Email |

“Fastaqim kama umirta“ Istiqamah… konsisten dan teguh berdiri di jalan taat, bagi yang faham akan besarnya beban untuk kekal konsisten, akan menjejak kesannya ke atas Baginda SAW. “Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…”, kata Baginda SAW dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu „anhuma. Begitu sekali sukarnya untuk konsisten? Tentu sahaja. Iman dipahat pada hati bernama QALBUN, iaitu sesuatu yang sifatnya berbolak balik. Siang beriman, malam kufur, pagi memperjuangan kebenaran, malam menjadi juara kebatilan. Hidup memperjuangkan kebaikan, mati di atas jalan kejahatan. Allah…! Lantas memikirkan tentang Istiqamah… Baginda SAW jadi beruban… berubah fizikal dan penampilannya.








(112) Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (113) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (114) Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintahperintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. (115) Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Itulah ayat yang dihujahkan oleh ulama, sebagai isi kandungan Surah Hud yang telah begitu sekali membebankan Nabi SAW. MAKSUD ISTIQAMAH Soalnya apakah maksud istiqamah itu? Jika ia dilihat pada struktur Bahasa Arabnya, ia bermaksud terus diminta berdiri. Sesuai jugalah dengan Bahasa Melayunya yang boleh difahamkan sebagai sentiasa teguh berdiri. Atau jika di dalam Bahasa Inggerisnya, boleh juga difahamkan sebagai standing up consistently. Ada dua unsur penting pada definisi permulaan ini, iaitu berterusan dan kekal di dalam suatu keadaan, dan unsur keduanya pula

ialah berdiri.. iaitu kondisi diri yang aktif lagi dinamik. Berterusan dalam keadaan sedar dan aktif terhadap suatu pegangan dan mahu pun amalan. Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan maksud istiqamah (Fussilat : 30-32, Al-Ahqaf : 1314), begitu juga dengan hadith Nabi SAW. Antaranya: Daripada Abi „Amrah Sufyan bin Abdillah r.a. katanya: Aku bertanya: Ya Rasulallah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakanlah “Aku beriman dengan Allah”, kemudian istiqamah! (Imam Muslim, al-Baihaqi dalam al-Sunan 1/76, Ahmad dalam Musnadnya 5/371, dan al-Daraqutni dalam al-Sunan 3/45 Namun keseluruhan makna yang dicadangkan tentang Istiqamah, ia menjurus kepada terus menerus (konsisten) berpegang secara aktif terhadap keseluruhan kehendak Syara‟.

ISTIQAMAH MENURUT SURAH HUD RUKUN SATU: JANGAN MELAMPAU

“Janganlah kamu melampau” Konsisten terjejas apabila manusia melampau. Kerana lazimnya melampau itu natijah emosi. Emosi penting untuk membakar motif perlakuan, tetapi lazim juga bakarannya hilang kawalan. Inilah perintah SATU dari Allah SWT sebagai kriteria pertama manusia yang beristiqamah. Jangan melampau. Melampau dalam erti kata melakukan lebih dari yang diperlukan, adik beradik dengan Culas, dalam erti kata melakukan sesuatu kurang dari yang dituntut. “Al-Ziyadah wa al-Nuqsan akhawaan. Berlebihan dan berkurangan adalah adik beradik”, kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas ketika menyentuh isu ini (Al-Khumasiyyat al-Mukhtarah fi Tahdhib al-Nafs al-Ammarah) Keterangan-keterangan al-Quran sering menyertakan perbuatan melampau ini dengan fasad. Melampau punca kerosakan. Sifat melampau (taghut) itu dirujukkan kepada kaum „Aad dan Thamud, Firaun dan Qarun, bahawa melampau mereka itulah yang mengundang kerosakan dan kebencanaan. Bukan hanya pada soal moral dan akhlaq, malah hukum Allah pada alam juga begitu. Melampau pada makan minum, binasa badan, melampau pada meratah alam, kehidupan manusia binasa. Sifirnya mudah, melampau itu membunuh keseimbangan. Ia tidak mesra alam, kerana itu ia dicela Pemilik alam. Jangan melampau dalam beragama. Pada amalan, juga pada prinsip dan perasaan.

Masyhur tercatat, sahabat yang kepingin solat malam tanpa tidur, puasa tanpa iftar dan beribadah tanpa nikah, dicela oleh Nabi SAW kerana itu bukan caranya manusia berTuhan. Semua harus seimbang. Puasalah, tetapi berbukalah juga. Bangunlah malam, tapi peruntukkan sebahagiannya untuk tidur. Beribadahlah semahunya, tetapi bernikah juga. Enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau bukan dari umatku”, kata Nabi SAW. Itu soal beramal. Manakala dari aspek prinsip, Islam mengajar kita agar jangan melampau. Jangan melampau pada mengikut dan menyokong, jangan melampau pada menolak dan menentang. Lihat sahajalah ajaran Allah SWT sendiri pada langganan kita terhadap kebenaran, yang sering ada di pihak kawan, mungkin juga di pihak lawan. Tatkala Permaisuri Saba‟ mendengar berita kedatangan Sulayman „alayhi al-Salaam ke kerajaannya, beliau telah membuat suatu kenyataan: Beliau berkata, “sesungguhnya raja-raja apabila mereka itu masuk ke sebuah negeri, mereka akan membinasakannya dan menjadikan orang-orang terhormat di negeri itu, terhina sama sekali” Ia adalah suatu kenyataan yang dibuat oleh seorang musyrikah, musuh Allah, penyembah matahari. Kenyataan itu pula ditujukan kepada Sulaiman, Nabi Allah yang mukmin lagi tinggi dan mulia kedudukannya. Tetapi apabila kenyataan itu benar, maka kebenaran itu yang harus diiyakan, biar pun keluar dari mulut musuh. Lantas Allah SWT sendiri yang mengiyakan kenyataan Permaisuri Saba‟ itu dengan firman-Nya: … dan begitulah lazimnya apa yang raja-raja itu lakukan! (Al-Naml 27: 34) Jangan pula atas sifat melampau kita dalam menyokong seseorang, kata-katanya sudah diiyakan sebelum didengar. Jangan pula atas sifat melampau kita dalam menolak dan membenci seseorang, pendapatnya sudah dinafikan sebelum didengar. Sifat-sifat inilah yang mengundang fasad. Rosak dalam beragama. Terhindar dari petunjuk Allah.

“Mereka yang mahu mendengar pendapat, lalu mereka (kemudiannya) mengikut apa yang terbaik dari himpunan pendapat itu. Mereka yang seperti inilah golongan yang mendapat petunjuk Allah dan mereka inilah yang memiliki sari pati kefahaman” (Al-Zumar 39: 18) Bagaimana mahu memilih pandangan yang terbaik, jika kita sudah siap memutuskan si fulan itu pasti benar percakapannya kerana cinta kita kepadanya, dan pandangan si fulanah pula pasti salah pendapatnya, kerana benci kita kepada dirinya? Sungguh melampau sikap sebegini, dan fasadlah masing-masing dalam beragama, apabila paksi Din itu bukan lagi hujah, tetapi syakhsiah. Jangan melampau…

Bukan sahaja dalam soal-soal mengidolakan ilmuan, bahkan juga dalam politik dan pemerintahan. Baca balik sejarah susur galur politik Malaysia, jika sesak nafas menyelak politik dunia. Mereka yang berlebih-lebihan itulah yang kemudiannya hilang konsistensi. Jika dipinjam sejarah PAS, kita akan bertemu dengan contoh jelas, bagaimana orang yang sukar dikawal percakapan dan tindak-tanduknya, yang membakar api di antara PAS dengan saingannya, mereka inilah pula yang terbalik ke belakang dan kemudiannya secara keji menjilat kembali ludahnya dulu. Sama ada seseorang itu berada di dalam PAS, mahu pun UMNO, jangan melampau dan jangan berlebih-lebihan. Melampau itu emosional dan melampau itu tidak rasional. Ia melanggar hukum keseimbangan, hukum alam dan hukum Tuhan. Bersederhanalah kerana kesederhanaan itu sulit, kecuali bagi mereka yang tenteram akal fikirannya. RUKUN DUA: JANGAN CENDERUNG KEPADA GOLONGAN YANG ZALIM Melampau itu zalim, kerana ia meletakkan pemikiran dan tindakan di luar neraca agama yang ditentukan Allah. Lantas kezaliman itu juga harus dihindarkan sejajar dengan rukun kedua Istiqamah, iaitu jangan pula cenderung kepada golongan yang zalim. Jangan zalim, dan jangan cenderung kepada si zalim. “Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim” Hasan al-Basri pernah menyebut, “telah dijadikan agama itu di antara DUA JANGAN. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim” “Cenderung yang bagaimana?”, saya bertanya. “Cenderung pada dua keadaan. Sama ada kecenderungan prinsip dan emosi, atau kecenderungan pada kebergantungan”, kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam bukunya alKhumasiyyat al-Mukhtarah yang berada di tangan saya. Kecenderungan pertama yang menghapuskan Istiqamah dan konsistensi, ialah pada kecenderungan hati dan emosi kepada manusia yang berlaku zalim. Hatinya tidak menolak, malah cenderung pula dengan jiwa dan perasan, atas sebab yang pelbagai. Rasa terhutang budi, lemah pendirian, semua itu boleh sahaja menjadi puncanya. Manakala kecenderungan kedua pula, ialah berbalik kepada makna perkataan RUKUN yang digunakan di dalam ayat itu tadi. Rukun itu adalah tempat bersandarnya sesuatu, sebagaimana struktur rumah bergantung kepada tiang yang disebut RUKUN. Maka mereka yang cenderung kepada manusia zalim itu, antaranya ialah manusia yang bergantung kepada si zalim. Bergantung kepadanya untuk makan minum. Bergantung kepadanya untuk mengekalkan posisi. Atau apa sahaja kebergantungan yang berbalik kepada penggadaian prinsip itu tadi.

SIAPA SI ZALIM ITU Oleh kerana ia disebut secara umum, maka Sheikh Fadhl Hasan Abbas memilih untuk mengekalkan konteks umumnya. Si zalim itu boleh jadi orang bukan Islam yang menindas, ia juga boleh jadi Muslim sendiri yang turut berlaku zalim dengan pelbagai wasilah yang ada. Maka konsistensi seorang mukmin amat penting pada mengelakkan diri dari kecenderungan kepada golongan ini. Manusia zalim itu adalah manusia mensyirikkan Allah, melakukan maksiat dan menindas hak sesama manusia. Mereka perlu didampingi demi dakwah. Tetapi dampingan itu bukan dengan kecenderungan prinsip untuk mengiyakan perlakuannya. Soal pendekatan, itu pelbagai. Tetapi pada melihat kemungkaran dan kezaliman itu sebagai kemungkaran dan kezaliman, ia harus jelas di dalam pegangan diri. Tetapi dalam zalim yang pelbagai, tentulah zalim yang paling kritikal ialah zalim yang kesannya adalah ke atas massa. Kezaliman begini lazimnya datang dari pemerintah dan penguasa. Manakala manusia yang paling kritikal pada kesan mendampingi pemerintah sebegini, adalah ilmuan yang digelar ulama’. Mungkin kerana itu, Sheikh Fadhl Hasan Abbas menukil secara panjang, peringatannya kepada ulama yang cenderung kepada pemerintah. ULAMA’ HILANG KONSISTENSI Sufyan al-Thauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini)”. Sufyan al-Thauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk kamu menjahit!” Begitu sekali kerasnya amaran Sufyan al-Thauri kepada lelaki berkenaan. Lantas al-Suyuthi telah mengarang sebuah kitab, khusus pada memberi amaran terhadap ulama‟ agar yang mendatangi pemerintah. Beliau menamakan kitab itu sebagai Maa Rawaahu al-Asaatheen fee „Adam al-Majee‟ ilaa al-Salatheen atau Apa Yang Telah Diriwayatkan Oleh Golongan Pakar Tentang Larangan Mendatangi Pemerintah. Istiqamah itu sangat berkait rapat dengan keseimbangan. Seumpama seorang yang meniti di atas jambatan lurus yang kritikal. Sepenuh konsentrasi harus tertuju pada upaya untuk mengimbangkan diri. Jambatan itu terus lurus, namun kegagalan kita mengimbangkan diri dalam perjalanan itulah yang akan menjadikan kita terjerumus. ULAMA DALAM SISTEM, LUAR SISTEM Jika dibalikkan kepada Sejarah, kita akan bertemu dengan dua keadaan ini. Jika diamati pada tingginya institusi Ulama di dalam pemerintahan Othmaniyyah, maka untuk seorang alim duduk di dalam sistem, ia memudahkan beliau berperanan. Kedudukan tertinggi negara

bukannya pada Sultan mahu pun Sadr al-A‟dham (Grand Vizier), tetapi pada seorang alim berjawatan Sheikh al-Islam.

Sultan Suleyman al-Qanuni Lihat sahaja contoh unggul dari zaman Sultan Suleyman al-Qanuni (1520–1566). Beliau selaku ketua sebuah kerajaan terbesar dunia di zamannya, telah dipanggil sebagai saksi untuk suatu kes perbicaraan di mahkamah. Namun kesaksiannya telah ditolak oleh Sheikh al-Islam Ebussuud Efendi dengan alasan, “Sultan gagal hadir ke beberapa solat Jamaah di masjid. Selagi belum terisytihar taubatnya atas kesalahan itu, Sultan tidak layak memberi kesaksian di mahkamah!” Itulah wibawa seorang ilmuan di dalam sistem pemerintahan Othmaniyyah. Mampu berkata benar di hadapan sehebat-hebat pemerintah yang wujud di zamannya. Malah ketika golongan The Young Turk mahu menggulingkan Sultan Abdul Hamid II lebih 300 tahun berikutnya, persetujuan (endorsement) seorang Sheikh al-Islam tetap diperlukan. Dalam sistem yang meletakkan seorang ulama itu lebih tinggi dari kabinet menteri dan Sultan, sejahteralah untuk beliau berada di dalam sistem, berperanan memimpin, memandu dan menegur perjalanan sebuah pemerintahan. Semua ini hasil perkembangan sistem Othmaniyyah yang boleh dilihat dari wasiat Osman Gazi, pengasas Othmaniyyah, kepada anaknya Orhan bahawa “dampingilah ulama‟ kerana daripada mereka itu kamu beroleh panduan”. Ulama yang berani berkata benar di hadapan pemerintah, dan pemerintah yang sentiasa bersedia mendengar nasihat ulama. Maka wujudlah keseimbangan di situ. Keseimbangan yang melakar Istiqamah. Apakah mufti, ulama dan ustaz hari ini ada kedudukan sedemikian rupa? Di kebanyakan zaman silam dan semasa, ia tidak begitu. Institusi ulama tidak setinggi itu. Lantas, himpunan nasihat Golongan Pakar (Rasulullah SAW, Sahabat dan Tabien) di dalam kitab Maa Rawaahu al-Asaatheen fee „Adam al-Majee‟ ilaa al-Salatheen atau Apa Yang Telah Diriwayatkan Oleh Golongan Pakar Tentang Larangan Mendatangi Pemerintah oleh al-Suyuthi, mesti diambil kira. Ia bukan bermaksud agar Ulama dan Umara harus bermusuhan, tetapi sebagai peringatan kepada Ulama dalam hubungan dirinya bersama Umara. AMARAN RASULULLAH SAW Dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, serta Abu Daud dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih dari Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, “sesiapa yang datang ke muka pintu Sultan (pemerintah), maka dia akan ditimpa ujian. Tidaklah sesiapa yang menambah dekatnya dia kepada Sultan (pemerintah) melainkan akan ditambahkan jarak jauhnya dia dari Allah SWT“.

Juga dikeluarkan oleh Ibn Majah daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “sesungguhnya Qurra’ (ahli al-Quran) yang paling dimurkai oleh Allah ialah mereka yang menziarahi pemerintah“ Seterusnya dikeluarkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “apabila kamu melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan Sultan (pemerintah), maka ketahuilah bahawa si alim itu sebenarnya adalah seorang pencuri“ Juga dikeluarkan oleh al-Dailami daripada Umar al-Khattab, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah suka kepada pemerintah apabila mereka ini banyak bercampur gaul dengan Ulama tetapi Allah mengutuk Ulama’ apabila mereka itu bercampur gaul dengan pemerintah, kerana sesungguhnya apabila Ulama itu bercampur gaul dengan pemerintah, mereka menginginkan dunia. Manakala pemerintah apabila bercampur gaul dengan Ulama’, mereka menginginkan Akhirat“. Ini adalah sebahagian daripada petikan pelbagai riwayat yang dikumpulkan oleh al-Suyuthi di dalam kitabnya itu tadi. Sebahagiannya juga dipetik oleh Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam kitabnya al-Khumasiyyat al-Mukhtarah tatkala membahaskan surah Hud ini. Sheikh Fadhl Hasan Abbas buta mata, tetapi hatinya celik pada melontarkan nasihat yang begitu signifikan. PERSOALAN KRITIKAL Peringatan-peringatan ini adalah suatu perkara yang besar. Kecenderungan orang agama kepada pemerintah boleh berlaku dengan pelbagai perkara. “Apa nak buat, nak cari makan!”, kata seorang ustaz yang berputar alam 180 darjah. Itu alasan pertama. Terutamanya apabila orang agama kurang kemahiran. Hanya kenal kitab dan kitab. Pulang dari bumi Anbiya‟ dengan isteri dan anak tiga. Peluang kerja amatlah sulit, beban hidup makin bertambah, ahli keluarga mula menyampah, lantas segala idealisma yang diperjuangkan, rebah di bawah slogan apa nak buat, nak cari makan. Lebih hodoh lagi, jika alasan ini terpacul dari mulut seorang aktivis yang pernah melampau. Dahulunya dia melampau, kemudian berubah kepada bersanadkan keperluan hidup dengan pemerintah, bekerja sebagai jurucakap siasahnya. Maka lengkaplah dua rukun utama yang meruntuhkan konsistensi juga Istiqamah. Lupalah dia kepada nasihat Hasan al-Basri, bahawa agama ini dibina di antara dua jangan. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim. “Kalau boleh dakwah pemerintah, pemerintah akan support dakwah”, kata seorang ustaz yang lebih tinggi martabatnya. Inilah yang menggentarkan jiwa saya. Betapa liciknya pertimbangan kita dalam membaca realiti. Dan langsung enggan peduli kepada sejarah yang menunjuk ajar. Satu demi satu, pendakwah menyandar harapan pada sokongan pemerintah. Pemerintah belum tentu berubah, tetapi diri si alim itulah yang hilang konsistensi, tersasar dari jalan Istiqamah. Di dalam artikel saya yang lepas, saya sudah menyampaikan suatu nasihat buat teman-teman yang meniti jalan-jalan kecenderungan kepada pemerintah. Persoalan khusus dari artikel

berkenaan ialah, apakah mekanisma Al-Din al-Nasihah golongan Ultra Salafi yang begitu teguh dengan idea larangan menegur pemerintah secara terbuka, kepada penguasa. Jika demonstrasi, penyataan parlimen, penulisan dan percakapan terbuka dianggap salah, maka bagaimanakah mekanisma menegur secara tertutup? Maka kali ini, artikel saya ingin melontarkan nasihat, bahawa dalam suasana menegur secara tertutup, sejauh manakah hubungan Ulama‟ dengan Umara‟ ini selamat dari amaran Allah SWT dan Nabi SAW yang sebutkan di atas? Ketika kelompok Ultra Salafi begitu agresif menampal dahi mereka yang tidak bersetuju dengan pemerintah itu dengan label Khawarij, dan diulang berkali-kali atas beratnya dosa menegur pemerintah secara terbuka, maka apa pula justifkasi kalian yang begitu mesra dan intim dengan pemerintah? Ikhtilath kalian dengan pemerintah, bagaimanakah caranya untuk ia tidak disanggah oleh amarah Allah SWT terhadap kencenderungan kepada orang yang zalim? Baca kembali artikel “Peta Pemikiran Astora Jabat Dalam Isu Aurat” serta “Astora, Jangan Jual Agama“, serta nilaikan kembali bahasa teguran kalian kepada pembangkang dan pemerintah. Saya tidak mempertikaikan perjawatan dan kedudukan ahli agama di dalam kerajaan kerana keperluan mereka berperanan ada di situ. Tetapi saya timbulkan pertaruhan Istiqamah dan di atas prinsip, memandangkan pemerintah hari ini masih pemerintah yang sama ketika kedua-dua artikel di atas dikeluarkan. Ketika nada teguran kepada pemerintah dan pembangkang sudah berubah, apakah pemerintah berubah, atau penegur yang beralih arah? GERAKAN SUNNAH Gerakan Sunnah adalah gerakan yang sepatutnya paling selamat kerana berpegang dengan dua tinggalan utama Rasulullah SAW. Tetapi sikap melampau dalam mengkritik saudara seagama yang menentang kezaliman, serta kecenderungan diri kepada golongan yang zalim itu… gerakan Sunnah menempa pengulangan sejarah, bahawa dalam pusingan kali ini, ia bakal sekali lagi diperalatkan.

ANCAMAN KE ATAS KECENDERUNGAN KEPADA SI ZALIM Andaikata kecenderungan itu mengorbankan suatu prinsip Ulama sebagai pemegang amanah Rasul SAW, ancamannya meliputi ancaman dunia dan ancaman Akhirat.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. Golongan yang cenderung kepada para zalimin, bukannya dicampakkan ke neraka, bahkan mereka itu disambar oleh api murka Allah itu jua kerana kesan perbuatannya yang membinasakan masyarakat dalam beragama. Tiada pembantu di Akhirat, selepas terhina di dunia kerana tiada pembantu selepas Allah berlepas diri darinya.

Ingatlah kembali kepada nasihat guru kita Sheikh Fadhal Hasan Abbas yang berkata, “sesungguhnya sejarah silam telah menunjukkan betapa sekalian mereka yang cenderung kepada golongan yang zalim di dalam Perang Salib dan Perang Tatar, bahawa mereka itu dihina oleh Allah sehina-hinanya dan Allah tidak memberikan bantuan kemenangan kepada mereka. Sesungguhnya apa yang telah dibuktikan oleh sejarah silam, turut juga terbukti dalam sejarah semasa, bahawa Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada sesiapa yang cenderung kepada musuhnya yang zalim itu” (al-Khumasiyyat al-Mukhtarah ms. 156) Sesungguhnya agama ini dijadikan di antara dua jangan… JANGAN melampau, dan JANGAN cenderung kepada orang-orang yang zalim. RUKUN TIGA: DIRIKAN SOLAT Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Istiqamah bersandar kepada Solat. Solat itu menjadikan kita terus menerus berhubung dengan Allah SWT. Pada bahagian siang dan bahagian malam, Solat berfungsi menjadikan seseorang itu sedar akan hidupnya yang berTuhan. Sentiasa connected dengan Allah SWT. RUKUN EMPAT: BERSABARLAH

Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. Sabar itu sudah saya kupas dengan panjang lebar di sepanjang Ramadan, bahawa ia saya fahamkan sebagai keupayaan mengawal diri dan tindakan. Bersabarlah wahai sekalian kita dalam beribadah, dalam belajar untuk jadi terpelajar. Bersabarlah wahai sekalian kita dalam berdakwah, agar penolakan yang berlaku tidak mendorong kita mencari jalan pintas yang mengugat Istiqamah. Sabar menjadikan kita terhindar dari dorongan emosi yang mengundang sifat melampau. Sabar menghindarkan diri kita dari ghurur dengan ilmu yang kita perolehi kerana sesungguhnya ilmu dan harta adalah dua subjek panas tatkala masuk ke genggaman seseorang. Sabarlah… agar ilmu datang dengan ketundukan, hartamu datang diiringi kesyukuran. Jangan dengan ilmu itu kamu melampau. Jangan dengan harta itu kamu melampau. Sebagaimana jangan dengan kuasa itu, kamu melampau.

Bersabarlah… tiada sabar kecuali dengan Allah, tiada sabar kecuali dengan bersama Allah, tiada sabar kecuali sabar untuk Allah, dan jangan sekali-kali berlaku sombong dengan menyabarkan diri DARI Allah. Berat sungguh pengucapan Istiqamah ini. Tidak hairanlah Nabi SAW naik beruban kerana memikirkannya. Kesimpulan: Mereka yang menentang kerajaan JANGAN MELAMPAU. Mereka yang menyokong kerajaan JANGAN CENDERUNG KEPADA MANUSIA ZALIM. Semua harus konsisten dengan solat dan semua harus konsisten dengan sabar.


				
DOCUMENT INFO