Docstoc

jangan kecil hati

Document Sample
jangan kecil hati Powered By Docstoc
					Jangan Kecil Hati: Nasihat Teman Bekalan Perjuangan
October 19th, 2007 | by Abu Saif | 3,725 Views | Print | Email |

ZIARAH PENUH MAKNA Abang Mohd Nor sekeluarga datang berkunjung ke rumah saya di Naas, Co. Kildare. Kedatangan mereka amat saya syukuri lantaran banyaknya hikmah dari ziarah itu. Saya mengambil peluang untuk mengajak Abang Mohd Nor mengembara ke belakang rumah saya! Belakang rumah yang saya maksudkan itu adalah jalan kecil yang merentasi perkampungan Kildare, menuju ke Gunung Wicklow, melintasi Wicklow Gap yang masih tebal diliputi sisa salji dan seterusnya turun ke tasik Glendalough yang menyimpan 1001 kenangan buat diri saya dan keluarga. ”Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi ana di Ireland ini. Apa nasihat Abang Mat Nor sebelum ana balik ke Malaysia?”, saya cuba mencungkil mutiara pengalaman Abang Mohd Nor. ”Ustaz lebih tahu tentang hal-hal berkaitan cabaran di Malaysia. Namun hanya satu sahaja rasanya pesanan yang ana kira patut ana sampaikan kepada anta”, ujarnya. ”Apa dia tu?”, saya bertanya. “JANGAN KECIL HATI !”, jawab Abang Mohd Nor sambil tersenyum. “Emm, menarik nasihat tu…”, saya menjabat tangan Abang Mohd Nor sambil mengucapkan terima kasih atas kesudiannya berkongsi pengalaman dengan saya. JANGAN KECIL HATI Jangan kecil hati, adalah ungkapan yang sentiasa terngiang di telinga saya semenjak hari itu. Setiap kali saya teringat kepada pesanan Abang Mohd Nor, saya bagai terbau aroma daun pokok pine yang memenuhi nostalgia pesanan Abang Mohd Nor petang itu, di tepi tasik Glendalough. Selepas saya tiba di Malaysia, setiap hari menjadi bukti kepada saya betapa tepatnyanya nasihat Abang Mohd Nor itu kepada saya. CARI PENGGANTI! Saya pernah memohon maaf kerana terpaksa membatalkan satu ceramah disebabkan oleh kematian mengejut ibu mertua saya pagi tersebut. Apabila saya maklumkan hal ini kepada pegawai sebuah masjid, beliau terus berkata, “kalau macam tu, ustaz boleh carikan pengganti tak?” Subhanallah. Sekurang-kurangnya sudikanlah diri mengucap takziah kepada saya. Ketika hati saya begitu kusut dengan musibah itu, saya diminta mencari pengganti penceramah pula.

MENAGIH PENGHARGAAN Cabaran emosi yang paling rumit, ialah apabila manusia mahu dihargai oleh manusia yang lain. Inilah yang dipesan oleh Abang Mohd Nor kepada saya. Jangan kecil hati, jika kita tidak dihargai. Ia akan berlaku berulang kali, dan jangan sekali-kali seorang pendakwah kecundang kerananya. Pendakwah harus kuat. Bukan sahaja kuat ilmu dan tajam minda, malah kuat emosi dan kukuh perasaan. Jangan mudah dimain perasaan dan jangan pula berdakwah tanpa perasaan! PERSIAPAN AWAL Syukur, saya sudah menyiapkan diri ke arah itu. Semasa di London, saya mengambil peluang untuk belajar membawa diri lecah becak duduk di bawah. Saya bekerja membasuh pinggan di Malaysia Student Department selama hampir setahun. Banyak sungguh pengalaman yang saya pelajari. Saya hairan kenapa orang Melayu begitu mudah berlaku sombong setibanya mereka di bumi London. Kadang-kadang mereka datang hanya dengan duit syarikat, tetapi hidungnya tinggi hingga memperbodohkan diri. Pernah suatu malam, saya duduk menunggu dua lelaki Melayu habis berborak. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Ada dua set pinggan masih terletak di atas meja mereka, bersalut lemak sup ekor yang sudah beku. Akhirnya saya memberanikan diri datang kepada dua lelaki tersebut. “Assalamualaikum encik. Maafkan saya. Boleh saya angkat pinggan ini untuk dibersihkan? Kami sedang berkemas sebelum menutup kedai”, saya cuba bercakap sesopan mungkin. “Awak tak nampak ke yang kami sedang bersembang ni!?”, salah seorangnya menengking saya. Aduh, terkejut sungguh saya ketika itu. Pernah juga suatu hari, saya sedang menjaga kaunter bayaran. Tiba-tiba seorang pelanggan mengherdik saya, “hei, kamu. Tak ada ke surat khabar baru? Ini semua surat khabar lama.” Saya agak terpinga-pinga ketika itu, namun keadaan diselamatkan oleh bos saya, Tok Din. “Awak ingat ini kedai kopi kat kampung ke, yang awak nak tengking-tengking pekerja saya ni? Semua pekerja saya ada degree, awak tahu tak? Yang ini ijazah Syariah, yang itu Master Arkitek, yang ini pengurus syarikat! Awak baik-baik sikit”, kata Tok Din kepada pelanggan tersebut. Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Masih teringat di kepala saya, betapa seorang Datin mengamuk-ngamuk kerana terpaksa beratur untuk membeli makanan di kantin MSD di Braynston Square itu. Majikan saya menasihati beliau supaya makan di hotel jika enggan beratur! TERSILAP PLANET Ya, manusia memang pelbagai ragam.

Jika kita suka mengharapkan agar kebaikan kita dihargai dan disebut-sebut, saya kira orang seperti ini tersilap planet. Hal ini perlu difikirkan semasak-masaknya oleh kita semua. Hanya dengan itu sahaja, the unsung hero yang ramai di tempat kerja, tidak berputus asa untuk terus melakukan kebaikan, biarkan tiada siapa yang peduli apatah lagi mahu menghargainya. Saya pasti ramai di kalangan kita yang setiap hari menahan sabar menutup lampu dan kipas pejabat, tiada siapa yang berterima kasih. Ramai juga yang amanah terhadap harta syarikat, ketika semua kaki tangan lain menswastakan segala yang boleh dicapai tangan, kejujuran kita tidak menyumbang kepada kenaikan pangkat. Kaki kipas juga yang terbang tinggi. Pelbagai lagi kebaikan yang dilakukan oleh hero-hero yang tidak didendangkan ini, sukar untuk diteruskan jika kita masih memikirkan sejauh mana ia dihargai manusia. Selagi ada rasa mahu dihargai manusia, kita memang sudah tersilap mendarat di planet yang lain. Manusia memang sukar menyebut dan menghargai kebaikan. Isteri susah menghargai kebaikan suami. Suami pula sering melupakan kebaikan isteri. Majikan tidak peduli kebaikan pekerja. Pekerja pula asyik mencari kesalahan majikan. Sebab itulah bekerja kerana manusia itu susah. Memilih pakaian ke luar rumah kerana manusia itu payah. Nak memuaskan hati manusia itu rumit. Mahu jasa kita disebut-sebut itu sulit. Kerana itulah, pegang sahaja slogan GOD IS MY CEO . Buat kerja, biar jadi ibadah, itu sahaja justifikasinya. Jika masih mahu dipuji manusia, renung sahaja ayat ini: “Dan sedikit sahaja dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur” (Saba 34: 13) Benar sekali, setelah begitu banyak kebaikan yang Allah curahkan kepada manusia, sedikit sahaja yang mahu berterima kasih kepada-Nya. Maka bagaimana pula kita, hamba Allah yang kerdil ini, boleh tidak lena malam hanya kerana jasanya tidak dikenang seseorang. JANGAN KECIL HATI. Kita kan hamba!