PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

Document Sample
PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA Powered By Docstoc
					                 Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN




    PEMANTAPAN INTEGRITI PERKHIDMATAN AWAM: PELAKSANAAN BERDASARKAN
                       PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)1


                                                 Oleh

                                     HAJI MUSTAFAR HAJI ALI
                                         Timbalan Presiden
                                      Institut Integriti Malaysia

                                               Abstraks

         Gerakan pemantapan integriti yang dipacu oleh PIN dan dikoordinasikan oleh IIM
              ialah suatu gagasan yang semakin menawan imaginasi pelbagai lapisan
             masyarakat Malaysia. Ia sedang menjadi suatu kekuatan masyarakat bagi
         mengurus kejayaan dan mengatasi kelemahan dengan berkesan. Pelancaran PIN
          dan penubuhan Institut ini akan menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian
             matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini akan membolehkan
         Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita menjadi
         sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih
                              cemerlang, gemilang, dan terbilang.2

MUKADDIMAH

1.        Definisi Integriti - Satu kualiti dan ciri positif yang wujud secara keseluruhan pada
individu dan organisasi. Ciri dan kualiti integriti mengandungi unsur “wholeness” (yakni kewujudan
secara berpadu sebagai keseluruhan) pada diri individu ataupun organisasi. Dalam akhlak Islam,
integriti bersesuaian dengan sifat-sifat benar, amanah, setia, pegangan teguh, peribadi teguh,
peribadi mulia, mu’min yang bertaqwa dan sebagainya, yang membawa pengertian menyeluruh
pengamalan nilai-nilai akhlak yang diperlihatkan dalam diri Rasulullah s.a.w.

2.       Oxford Dictionary mentafsirkan ‘integrity’ sebagai quality of being honest and having
strong moral principles, the state of being whole and undivided dan the condition of being unified or
sound in construction.

3.     Y.A.Bhg. Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia
mengatakan ‘Integriti’ berkait amat rapat dengan pembentukan dan pengukuhan etika yang baik.
‘Amanah’ dalam pengurusan, umpamanya, adalah sebahagian daripada etika yang baik.3
1
  Kertas Kerja dibentangkan dalam “Wacana Fasilitator Eksekutif Pengukuhan Integriti Perkhidmatan
Awam (PIPA)” pada 27 Februari 2006 di Hotel Istana Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur, anjuran Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
2
  Petikan Perutusan Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia semasa
Pelancaran Pelan Integriti Nasional dan penubuhan Institut Integriti Malaysia, Putrajaya, 23 April 2004
3
  Petikan Ucapan Y.A.Bhg Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia, semasa
melancarkan Gerakan Pemantapan Keutuhan Pengurusan Kerajaan Malaysia, di Ibu Pejabat BPR Pesiaran
Duta, 8 Januari 1998.


Institut Integriti Malaysia (IIM)                  1
                Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN




4.     Definisi Nilai - Selalu dikatakan bahawa “nilai” merupakan sesuatu yang terlalu abstrak.
Ia mungkin tidak dapat ditunjukkan secara fizikal tetapi boleh dilihat dari sifat yang dizahirkan
dengan perilaku seseorang. ‘Nilai’ sering definisikan sebagai satu set pegangan yang menjadi
asas bagi pembentukan sikap dan kelakuan individu. Set pegangan ini menentukan kriteria
pelakuan yang baiki atau sebaliknya, yang diingini atau tidak dan positif atau negatif.

5.      Pembentukan Nilai, Etika dan Integriti - Nilai seseorang atau sesuatu kelompok
dipengaruhi oleh persekitarannya. Nilai boleh dicorakkan oleh budaya dan agama sesuatu
kelompok manusia. Manakala himpunan nilai dan moral menjadi piawai tingkah laku individu,
organisasi dan profesyen dan merupakan etika yang menjadi panduan dan pegangan mereka.
Tentunya bagi mereka yang bekerja dalam sesebuah organisasi, himpunan nilai inilah yang akan
menjadi garis panduan baginya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berpegang teguh
kepada nilai yang dikehendaki oleh organisasi itu. Bagi memastikan pencapaian output sesebuah
organisasi, nilai bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil menjadi
antara nilai perlu dan utamanya. Justeru, pembentukan nilai, etika dan integriti organisasi itu
ditentukan oleh persekitaran bekerja, kelompok manusia yang mendokongnya, lebih-lebih lagi
yang menerajui atau yang menentukan halatuju organisasi iaitu pemimpin dan kepimpinan
organisasi berkenaan.

PEMBUDAYAAN NILAI, ETIKA DAN INTEGRITI

6.       Nilai dan Budaya - Mungkin perkataan nilai itu tidak wujud dalam satu bentuk perkataan
sejak bermulanya ketamadunan manusia. Namun begitu, ciri-ciri yang diperlihatkan oleh
seseorang individu dalam kelompok masyarakat itu sendiri yang menterjemahkan pemilihan
himpunan nilai yang menjadi pegangan, seterusnya menjadi norma kehidupan. Pengamalan nilai
itu sehari-harian lantas disebut sebagai budaya di kalangan masyarakat itu. Persoalannya, adakah
nilai yang dilakukan oleh seseorang individu atau sesebuah masyarakat itu merupakan nilai yang
baik atau sebaliknya. Dengan lain perkataan, adakah nilai yang dibudayakan itu nilai positif atau
negatif.

7.      Pembudayaan Nilai Murni – Bila dikatakan nilai murni berbanding dengan nilai buruk,
nilai positif dan negatif, di sinilah mungkin wujud polemik atau ‘persengketaan’ mengenai
pembudayaan nilai. Pada sesetengah kelompok, sesuatu yang telah dibudayakan oleh mereka itu
merupakan himpunan nilai yang diterima, sesuai dan perlu. Bermaksud, apa juga nilai yang
diterima itu adalah nilai yang baik dan bukan sahaja wajar tetapi perlu dilakukan.

8.      Pertentangan Antara Nilai - Polemik atau ‘persengketaan’ yang dimaksudkan di sini
adalah, bertentangan dengan kelompok masyarakat atau kumpulan di atas, nilai yang dianggap
baik, perlu dan wajar mungkin dianggap sebagai sesuatu yang berlawanan dengan nilai dan
budaya mereka. Dalam kelompok masyarakat jahiliyyah Quraish umpamanya, membunuh anak
perempuan dianggap nilai yang perlu dan wajar kerana menganggap anak perempuan itu kelak
akan menyebabkan kesusahan. Apabila Fir’aun memerintah, membunuh anak lelaki dianggap nilai
baik dan perlu pada sesetengah kumpulan mereka kerana dikhuatiri kemunculan seseorang yang
boleh menggugat kedudukan Maharaja Fir’aun, yang bukan sahaja sangat berkuasa lantaran
penerimaan nilai dan budaya pengamalan sihir dan kewujudan begitu ramai tukang sihir,
sehinggakan Fir’aun menobatkan dirinya sebagai tuhan!


Institut Integriti Malaysia (IIM)              2
                Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN




9.      Nilai Buruk Tetapi Dianggap Betul dan Baik – Dalam kumpulan Mafia, kumpulan
perompak dan penyangak, melakukan sesuatu yang baik adalah bertentangan dengan naluri
kesepakatan kumpulan mereka. Mencuri, merompak melakukan jenayah bersendikit, keganasan
merupakan pelakuan biasa atau cara kerja seharian kumpulan mereka. Mereka yang baik,
mempunyai nilai murni dan tidak setuju dengan budaya kumpulan Mafia berkenaan (mungkin
kerana telah timbul kesedaran atau keinsafan) akan menjadi terpinggir, dinyahkan, malahan
dilenyapkan daripada muka bumi ini oleh anggota kumpulan yang ‘baik’. Ringkasnya, menjadi baik
merupakan pelanggaran kepada nilai mereka.

10.       Kecelaruan Nilai Masakini - Bukanlah tujuan kertas ini untuk membincangkan masalah
nilai masakini yang mungkin dianggap wujud kecelaruan dan kekeliruan. Tidak juga ia bertujuan
untuk mengemukakan satu kajian komprehensif untuk memperlihatkan nilai masyarakat Malaysia
khususnya, dan di peringkat global amnya, yang dilihat terdapat segelintir yang menyimpang
daripada pengamalan nilai dan budaya masyarakat Malaysia. Namun begitu, adalah dirasakan
dewasa ini kita berasa sangat terpanggil untuk secara bersama membicarakan persoalan nilai dan
pembudayaan nilai itu dalam konteks pelaksanaannya. Pelaksanaan pengukuhan nilai baik dalam
diri individu, setiap sektor khusus seperti sektor awam, swasta, pertubuhan bukan Kerajaan, belia
dan pelajar, seterusnya kepada kelompok masyarakat dan negara. Pastinya dalam kertas kerja
yang ringkas ini tidaklah semua perkara mengenai pembudayaan nilai itu dapat dibicarakan
dengan meluas dan mencakupi pelbagai aspek kehidupan masyarakat.

PEMBENTUKAN DAN PENGUKUHAN NILAI, ETIKA DAN INTEGRITI – APA TELAH
DILAKUKAN?

11.     Apabila disebut pembentukan dan pengukuhan nilai, ia berkait amat rapat dengan
pembentukan dan pengukuhan etika dan integriti. Pelbagai usaha bagi membentuk etika yang baik
dilakukan. Pelbagai slogan, moto, kaedah, pendekatan, mekanisme dan dasar dibuat dan
dikeluarkan untuk pelaksanaan. Pelbagai slogan dan tema menjurus kepada penerapan dan
penghayatan serta pengamalan nilai murni dan mulia di ketengahkan, baik kepada anggota
perkhidmatan awam, mahupun masyarakat awam. Kalau dilihat kebelakang, senarai usaha yang
direkacipta terlalu banyak. Antaranya:

        Piagam Pelanggan
        Penggunaan Tanda Nama
        Penggubalan Kod Etika
        Hari Bertemu Pelanggan
        Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja
        Sistem Pengurusan Akauntabiliti dan Integriti – Aktiviti Berisiko
        Modul Pengurusan Integriti
        Tapisan Keutuhan
        Laporan Perisytiharan Harta
        Program Nilai Murni
        Pusingan tempat kerja
        Penandaarasan
        Tonggak Duabelas
        “Bersih, Cekap, Amanah”


Institut Integriti Malaysia (IIM)                 3
                Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



        penerapan Nilai-Nilai Islam
        Kepimpinan Melalui Teladan”
        Prinsp-Prinsip Rukun Negara
        Pelbagai jawatankuasa ditubuh, antaranya Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan, Pasukan
        Petugas Bagi Mengurangkan Karenah Birokrasi
        Kempen Budi Bahasa Budaya Kita

12.      Senarai ini masih panjang jika hendak catat dan diperincikan satu-persatu dasar dan
usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Namun
begitu, sejauhmana program dan aktiviti yang dirancang itu dilaksanakan. Jika dilaksanakan,
adakah ianya telah mencapai matlamat atau objektif sesuatu program itu. Adakah kumpulan
sasaran yang ditentukan dirangkumi sepenuhnya atau hanya sebahagian kecil terlibat dan
sebahagian kecil sahaja menikmati manfaat dari pelaksanaannya. Adakah usaha dan pendekatan
ini berjaya bukan sahaja mendidik, mengasuh, menerap dan mengamalkan nilai murni dan
disebarkan juga kepada pelanggan? Atau adakah masih banyak kemelut yang melanda umat
manusia masakini hingga ubat paling mujarab masih belum ditemui untuk membantu mengatasi
permasalahan membentuk nilai, etika dan integriti.

PELAN INTEGRITI NASIONAL

13.      Bagi memahami tajuk perbincangan mengenai nilai dalam Pelan Integriti Nasional (PIN),
adalah difikirkan perlu untuk kertas ini menjelaskan sedikit mengenai prinsip dan falsafah PIN itu
sendiri, objektif, strategi pelaksanaannya dan apa yang hendak dicapai oleh PIN itu. Mengenali
dan memahami PIN memudahkan kita mengenalpasti halatuju nilai dalam PIN, khususnya ke arah
Wawasan Negara.

Komitmen Kepimpinan Negara

14.     Sebagai suatu komitmen kepimpinan negara yang mahukan usaha pengukuhan integriti
dimantapkan, pada 5 November 2003, dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Jemaah Menteri yang pertama selaku Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Y.A.B. Dato’ Seri
Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, telah mengumumkan keputusan Kerajaan untuk membentuk
Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Prinsip dan Falsafah PIN

15.    Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal merangkumi semangat dan prinsip Perlembagaan
Persekutuan dan menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara. PIN juga dibimbing oleh gagasan
cabaran Wawasan 2020 yang mahu mewujudkan sebuah negara maju menurut acuan sendiri
menjelang tahun 2020.

Konsep dan Objektif Pelan Integriti Nasional

16.    PIN ialah satu pelan induk yang bertujuan menetapkan hala tuju dan bimbingan kepada
semua sektor supaya mereka dapat bekerjasama dan berkoordinasi dalam suatu usaha bersama
membina masyarakat yang bermoral, beretika dan berintegriti tinggi. PIN merupakan suatu pelan
yang komprehensif yang digerakkan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai


Institut Integriti Malaysia (IIM)               4
                  Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



kaum, sektor dan wilayah. Sinergi bersama secara kolektif ini menjadikan PIN suatu pelan
tindakan yang mempunyai kekuatan mengubah nilai dan amalan masyarakat serta mereformasi
institusi-institusinya ke arah membudayakan integriti.

Objektif Umum Pelan Integriti Nasional (PIN)

17.     PIN mempunyai objektif umum dan objektif khusus. Objektif umum PIN ialah untuk
menyumbang kepada usaha pencapaian Wawasan 2020, iaitu menjadi sebuah negara maju
menurut acuan sendiri dengan “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral
dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang
utuh, dan diitunjangi oleh budi pekerti yang luhur.”

Objektif Khusus

    •     memberikan hala tuju dan bimbingan multi sektor -Kerajaan, swasta, parti politik, kalangan
          agama, wanita, NGO, media, belia, pelajar, dan lapisan lain masyarakat supaya mereka
          dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu,
          berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;

    •     meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor terhadap usaha
          peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam
          semua bidang;

    •     menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta
          mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak
          cergas menegakkan integriti;

    •     menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan
          peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan

    •     meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran
          abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.

    18.       Agenda Keutamaan Negara – Pada dasarnya, penekanan untuk membudayakan
              integriti di kalangan masyarakat Malaysia menjadi agenda keutamaan negara.
              Penggubalan dan pengimplementasian PIN merupakan penterjemahan hasrat, azam
              dan iltizam bersama ke arah pengukuhan dan pemantapan nilai murni yang pastinya
              bagi menyahut gagasan dan wadah Wawasan 2020 – Malaysia sebagai negara maju
              mengikut acuannya sendiri. Bagi mengejar kemajuan dan pembangunan kita
              memerlukan mereka yang berintegriti dan memiliki nilai serta keperibadian mulia.
              Mereka inilah bakal pendokong yang berupaya membawa kemajuan dan
              pembangunan. Tanpanya, pelaksanaan kerja ke arah mencapai kejayaan tidak akan
              berhasil. Setelah maju dan membangun pula, kelangsungan kepada kejayaan itu akan
              terus memerlukan mereka yang berintegriti dan memiliki sifat dan sikap dengan nilai
              yang baik bagi memastikan hasil kejayaan dipertahan dan diperkukuhkan.



Institut Integriti Malaysia (IIM)                 5
                 Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



LIMA SASARAN UTAMA PELAKSANAAN PELAN INTEGRITI NASIONAL: FASA PERTAMA
2004 – 2008 - TEKAD 2008

19.    PIN merupakan usaha dan langkah jangka panjang dalam pembentukan nilai dan integriti
pelbagai sektor dan komponen masyarakat. Perbincangan mengenai nilai dan pengukuhan integriti
yang disepadukan dengan strategi pelaksanaan Agenda Integriti menjadi pengukur ke arah
pemastian pencapaian fasa pertama pelaksanaan PIN iaitu dari tahun 2004 hingga 2008 yang
dinamakan sebagai TEKAD 2008. Lima sasaran utama digariskan untuk dicapai, iaitu:

    •   Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan;

    •   Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi
        karenah birokrasi;

    •   Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;

    •   Memantapkan institusi keluarga; dan

    •   Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.


Strategi Pelaksanaan
20.        Pelaksanaan pendekatan, strategi dan pelan tindakan PIN digarispandukan melalui agenda
integriti. Ia boleh dicapai dengan perancangan dan pelaksanaan secara terperinci strategi pelaksanaan
dan pelan tindakan lapan komponen daripada pelbagai institusi masyarakat dan negara iaitu:

    •   Institusi Keluarga;

    •   Komuniti;

    •   Masyarakat Sivil (Pertubuhan Bukan-Kerajaan);

    •   Institusi Sosiobudaya

    •   Institusi Agama;

    •   Institusi Ekonomi;

    •   Institusi Politik; dan

    •   Institusi Pentadbiran.




Institut Integriti Malaysia (IIM)                6
                Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



Faktor Penentu Kejayaan Pelaksanaan PIN

21.     Dalam apa juga pelaksanaan sesuatu pelan tindakan, terdapat faktor-faktor yang menentukan
kejayaannya. Justeru, keberkesanan dan penentu kejayaan pelaksanaan Agenda Integriti PIN
dikenalpasti dan merangkumi lapan komponen utama seperti gambarajah di bawah. Faktor utama adalah
komitmen padu kepimpinan. Isyarat dan pernyataan yang jelas, tegas dan konsisten, disokong pula
dengan penggembelingan kerja secara kolektif akan mengobarkan semangat, keyakinan dan
keghairahan rakyat untuk turut bersama dengan pemimpin menjayakan pembudayaan integriti kepada
semua sektor.




                                           Kepimpinan
                                                              Dasar yang
                       Kesediaan           berteladan
                                                               jelas dan
                        individu                               matlamat
                         untuk                                yang utuh
                        berubah


                                                                      Pendidikan
               Kecukupan
                  dan
                                                                      berterusan
               kecekapan                      Faktor                     dan
                sumber                       Penentu                   berulang
                                             Kejayaan

                   Kerangka
                 perundangan                                          Komunikasi
                 berkesan dan                                          berkesan
                  kehakiman
                    bebas
                                    Kerjasama          Persekitaran
                                      jentera            budaya
                                     politik dan
                                                          yang
                                      jentera
                                                        kondusif
                                    pentadbiran




                            Gambarajah Faktor Penentu Kejayaan

NILAI, ETIKA DAN INTEGRITI DALAM PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN) – ISU DAN
CABARAN


22.     Berasaskan kepada lima sasaran yang digubal khusus seperti ditentukan dalam TEKAD
2008 di atas (di para 16), penentuan pembentukan nilai dalam aspek tertentu cuba difokuskan:

        22.1    Gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa –
                Gejala ini merupakan perlakuan keji dan terkutuk. Nilai buruk ini jika menjadi
                budaya masyarakat sering diumpamakan seperti penyakit barah dalam badan.



Institut Integriti Malaysia (IIM)                  7
                Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



                Secara perlahan ia akan merosakkan sistem dalam badan. Secara perlahan juga
                perasuah menjahanamkan sistem dan ketahanan Negara. Kerapuhan sistem
                dalam badan akibat barah jika tidak dirawat pada peringkat awal dan berkesan
                mengakibatkan pesakit menunggu ajalnya. Implikasi kepada gejala rasuah dan
                akibat langsung daipada sikap buruk perasuah dan mereka yang hanya
                membiarkan ianya berlaku tanpa wujud kesedaran untuk mencegah dan
                menghalangnya, menyebabkan kerapuhan dalam pelbagai sistem ketahanan
                negara.


                Akibat ketidakpuashatian mereka yang dinafikan hak mereka lantaran segelintir
                mereka yang bernafsu serakah, lebih buruk lagi jika pemimpin dan kepimpinan
                dalam sesebuah negara itu sendiri yang melakukannya, maka ketidakadilan sosial
                (social unjustice) terbentang luas. Apabila keadaan ini berlaku, akan wujud
                keresahan sosial (social unresti) seperti pemberontakkan, rusuhan, malahan
                sehingga ke peringkat peperangan saudara dan sebagainya. Banyak negara
                runtuh atau porak peranda akibat pelakuan rasuah pemimpin mereka. Rakyat
                rakyat jelata, khususnya mereka yang miskin dan tiada kuasa akan menderita.
                Justeru PIN menjadikan usaha mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan
                salahguna kuasa secara berkesan sebagai sasaran pertama.


        22.2    Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam
                dan mengatasi karenah birokrasi -

                Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab anggota perkhidmatan awam sentiasa
                menjadi perhatian masyarakat. Tuntutan untuk mendapat perkhidmatan terbaik,
                cepat, ramah mesra, tidak membebankan, kurangnya karenah birokrasi dan serba
                serbi kemudahan yang ‘terhidang’ menjadi kehendak pelanggan. Kecekapan dan
                keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan kurangnya karenah
                birokrasi menjadi pengukuran prestasi sejauhmana anggota perkhidmatan awam
                menjalankan tugas mereka. Nilai kerja berkualiti dan ikhlas yang dibudayakan
                akan menzahirkan produktiviti tinggi, keyakinan kepada pelanggan dan seterusnya
                kehidupan lebih sempurna.



        22.3    Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan-

                Pelan Integriti Nasional sebagai suatu dasar dan strategi pelan tindakan bagi
                memastikan pembudayaan integriti merangkumi pelbagai sektor. Masyarakat
                peniaga dan korporat tidak terkecuali. Bagi memastikan masyarakat peniaga
                mengamalkan etika perniagaan terbaik, antara pengukuran kejayaan pengukuhan
                dan pemantapan nilai dan integriti dalam sektor ini ialah dengan pengurangan kes
                penipuan korporat, peningkatan tender yang dilakukan secara telus dan




Institut Integriti Malaysia (IIM)              8
                Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



                pengurangan tender secara langsung dan penerimaan Rukuniaga Malaysia oleh
                syarikat-syarikat perniagaan.


        22.4    Memantapkan institusi keluarga -

                Keluarga merupakan unit paling asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni
                dalam diri anggotanya. Keluarga, khususnya ketua keluarga itu sendiri berupaya
                mengasuh dan membimbing tingkah laku dan membentuk serta memantapkan
                nilai dan integriti anggotanya. Sebagaimana selalu disebut, untuk melentur buluh
                hendaklah dari rebungnya. Tumpuan pembentukan nilai-nilai murni perlu
                dimulakan dari akar umbi iaitu bermula daripada peringkat kanak-kanak. Ibu bapa
                dan penjaga mestilah menjadi contoh teladan atau role model terbaik. Pendidikan
                informal dalam keluarga merupakan sumber utama dan antara critical success
                factor gerakan pemantapan integriti secara keseluruhannya.


        22.5    Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat -
                PIN turut menggarikan pelbagai cadangan strategi ke arah peningkatan kualiti
                kehidupan dan kesejahteraan masyarakat. Pelaksanaan pelbagai strategi dan
                pelan tindakan dalam setiap institusi dan sektor seperti yang digariskan di atas
                secara keseluruhannya akan meningkatkan daya tahan gerakan pemantapan
                etika dan integriti yang akan menyumbang kepada pembangunan negara yang
                seimbang dan mampan.

KESIMPULAN

23. Penulisan kertas kerja ini hanyalah sebagai suatu santapan bacaan dan rujukan ringkas bagi
melihat usaha pengukuhan dan pemantapan nilai, etika dan integriti. Apa yang lebih penting ialah
pelaksanaan agenda integriti itu sendiri secara bersistematik, bersepadu dan berterusan oleh
semua sektor masyarakat. Penghayatan dan pelaksanaan Agenda Integriti yang telah digariskan
dalam buku Pelan Integriti Nasional (PIN) yang lebih komprehensif perlu menjadi panduan dan
pemangkin kepada usaha secara kolektif, sistematik dan holistik oleh semua pihak.

                                     ************************




Institut Integriti Malaysia (IIM)               9
                Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



BIODATA
TIMBALAN PRESIDEN INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (IIM)

Nama          :         HAJI MUSTAFAR HAJI ALI
Jawatan                 :     Timbalan Presiden, Institut Integriti Malaysia
Kelulusan Akademik :
              :         B.A.(Hons)(Geografi)(Malaya)-1984
                :       M.Sc (Criminal Justice),New Haven , Connecticut (USA)-1995
Pengalaman Kerjaya :

        -       Cawangan Perhubungan dan Penerbitan
                Ibu Pejabat BPR Malaysia

        -       Cawangan Siasatan Ekonomi
                Ibu Pejabat BPR Malaysia

        -       BPR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

        -       Ketua Cawangan BPR Taiping, Perak

        -       Pegawai Pendakwa, Bahagian Pendakwaan
                Ibu Pejabat BPR Malaysia


        -       Pegawai Urusetia Bahagian Siasatan
                Ibu Pejabat BPR Malaysia

        -       Ketua Cawangan Penyelarasan dan Pengawasan Dasar
                Bahagian Perancangan dan Koordinasi Dasar
                Ibu Pejabat BPR Malaysia

        -       Jawatan terakhir disandang sebelum dipinjamkan ke Institut Integriti Malaysia
                ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan
                Ibu Pejabat BPR Malaysia (sehingga 15 Jun 2004); dan

        -       Mulai 16 Jun 2004 dipinjamkan sebagai Timbalan Presiden, Institut Integriti
                Malaysia (IIM) hingga sekarang




Institut Integriti Malaysia (IIM)              10
                 Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam: Pelaksanaan Berdasarkan PIN



Keahlian Peringkat Kebangsaan:

    -   Ketua Urusetia Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan Peringkat Kebangsaan

    -   Urusetia Bersama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan
        (JKKMKPK) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri

    -   Ahli Jawatankuasa Penyelaras Peringkat Kebangsaan Mengenai Pengubahan Wang
        Haram (National Coordinating Committee on Anti-Money Laundering)

    -   Ahli Jawatankuasa dan Ketua Urusetia Jawatankuasa Penggubal Pelan Integriti Nasional
        dan Penubuhan Institut Integriti Malaysia. Atas dasar ini Haji Mustafar dipinjamkan ke
        Institut Integriti Malaysia (IIM)



Pengalaman Di Peringkat Antarabangsa:

Menghadiri mesyuarat, symposium, persidangan, seminar, woksyop dan lawatan kerja ke
beberapa buah negara, antaranya di:

-       Amerika Syarikat, Canada, United Kingdom, Vienna Austria, Finland, Sweden, Jerman,
        The Haque Netherlands (Belanda), Hungary, Australia, Hong Kong, India, dan negara-
        negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Negara Brunei Darussalam, Singapura,.

Institut Integriti Malaysia
Menara Integriti, Pesiaran Duta off Jalan Duta,
Kuala Lumpur.

Tel: 03-62092022/ 03-62092023
Faks: 03-62092193
E-mail: mustafar@iim.com.my
Laman Web: http://www.iim.com.my




Institut Integriti Malaysia (IIM)                 11