KEFAHAMAN GURU TENTANG KONSEP KOMPONEN KESUSASTERAAN MELAYU DALAM by slappypappy116

VIEWS: 3,338 PAGES: 15

									                                                                      JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



KEFAHAMAN GURU TENTANG KONSEP KOMPONEN KESUSASTERAAN
      MELAYU DALAM MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU



                                       oleh

                                Thahir Nuruddin

                          Jabatan Pengajian Melayu
              Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa



                                   ABSTRAK

      Kajian ini bertujuan untuk melihat pemahaman guru tentang konsep
      Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
      (Komsas) di beberapa buah sekolah menengah di Daerah Larut, Matang
      dan Selama. Kajian ini melibatkan 100 orang guru yang mengajarkan
      mata pelajaran Bahasa Melayu. Daripada jumlah responden tersebut, 50
      orang adalah guru-guru yang mengajar di peringkat menengah rendah.
      Sementara 50 orang lagi mengajar di peringkat menengah atas. Satu
      soal selidik yang berkaitan pemahaman guru tentang konsep Komponen
      Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ditadbir bagi
      memperoleh data. Analisis deskriptif dan ujian t digunakan untuk melihat
      tahap pemahaman guru tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu
      dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hasil kajian menunjukkan bahawa
      tahap kefahaman dalam kalangan guru yang mengajarkan Bahasa Melayu
      tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran
      Bahasa Melayu agak tinggi. Namun begitu, masih terdapat guru-guru
      yang kurang faham tentang konsep, iaitu tidak mengetahui perbezaan
      antara Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa
      Melayu dan Kesusasteraan Melayu (Elektif). Sukatan Pelajaran Bahasa
      Melayu (Edisi Penyesuaian) pula tidak memberi gambaran yang jelas dan
      ada yang tidak bersetuju dengan pernyataan yang menerangkan bahawa
      Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
      dapat menggalakkan pelajar menghasilkan penulisan yang baik.




                                         49
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



                                     PENGENALAN

Pelaksanaan Komponen Kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah telah dilaksanakan secara berperingkat
mulai Mac 2000 bagi tingkatan satu dan empat, tahun 2001 untuk tingkatan dua dan lima
serta tahun 2002 bagi tingkatan tiga. Ini bukanlah merupakan sesuatu yang baru, malah
merupakan lanjutan daripada unsur sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang
diperkenalkan pada tahun 1984.

Mesyuarat Jemaah Menteri Bil.4/99 bertarikh 24 Februari 1999 mencadangkan supaya
Komponen Kesusasteraan Melayu dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
Tingkatan 1 – 5. Gesaan ini telah diterima oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan
mencadangkan supaya Kesusasteraan Melayu diperkenalkan sebagai satu komponen
wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah. Cadangan ini diluluskan
di dalam mesyuarat jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.2/99 pada 11 Jun 1999. Komponen
Sastera (Komsas) dimasukkan dalam pengajaran bahasa bagi mencapai matlamat
pembinaan insan yang positif terhadap ilmu dalam kehidupan.

Keberkesanan pelaksanaan Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu ini berkait rapat dengan guru yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa
Melayu itu sendiri. Guru-guru perlu memahami konsep Komponen Kesusasteraan Melayu
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu itu terlebih dahulu. Ini penting supaya guru-guru dapat
mentafsir sukatan pelajaran dengan tepat dan seterusnya pengajaran yang betul. Menurut
Osman Alauddin (1995) ramai guru sukar merancang dan melaksanakan pengajaran
dengan berkesan kerana kurang jelas tentang konsep sastera dalam pengajaran bahasa.

Oleh itu kajian ini cuba memberi tumpuan kepada pemahaman guru tentang konsep dan
strategi pengajaran Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu.


                                   PERMASALAHAN

Hampir tujuh tahun komponen sastera diperkenalkan, namun masih ada kalangan guru
yang menghadapi pelbagai masalah dalam mengajarkan komponen sastera. Masih ada
lagi guru Bahasa Melayu yang kabur dan keliru untuk melaksanakan program ini. Menurut
Zahirah Aziz dan Kamaruzaman Abdullah dalam satu seminar “Pengajaran KOMSAS
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu” (2001) telah dikenal pasti beberapa masalah yang
dihadapi oleh para guru, iaitu guru tidak mahir dengan istilah sastera sehingga mengganggu
kelancaran pengajaran dan pembelajaran. Guru menjadi serba salah dalam menilai sudut
sastera untuk komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
dan bimbang ia menjadi subjek Kesusasteraan Melayu (Elektif) pula. Menurut Mohd. Kasim
Ismail (1995), kekeliruan ini menyebabkan tumpuan pengajaran guru kepada tema, plot,
watak dan latar.

Senario sebenar di sekolah memperlihatkan kepelbagaian latar belakang pendidikan
guru yang diberi tanggungjawab mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu. Menurut
Salbiah Ani (2001) ada guru yang tidak mempunyai latar belakang Kesusasteraan Melayu
sekalipun mereka terlatih dalam pengajaran Bahasa Melayu ketika menuntut di pusat
pengajian tinggi atau di maktab-maktab perguruan. Kedapatan juga guru yang langsung
tidak mempunyai latar belakang pendidikan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu


                                          50
                                                                     JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



dipertanggungjawabkan mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dengan alasan
mereka orang Melayu.

Abd. Razak dan rakan (1978) telah mendedahkan keadaan yang membimbangkan. Mereka
mendapati kebanyakan guru yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu tidak
mendapat latihan khas untuk mengajar bahasa, malah kedapatan guru-guru yang tidak
mempunyai kemahiran dalam Bahasa Melayu telah ditugaskan mengajarkannya. Lebih
membimbangkan, guru yang mempunyai latar belakang pendidikan kesusasteraan sendiri
tidak memahami konsep Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu kerana mereka menekankan tema, persoalan, watak, plot dan gaya bahasa ketika
mengajarkan Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
yang tiada perbezaan dengan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (Elektif).

Pusat Perkembangan Kurikulum telah dipertanggungjawabkan untuk memberi pendedahan
seperti bengkel, kursus dan seminar tentang Komponen Kesusasteraan Melayu dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu kepada guru-guru. Namun, masih wujud lagi permasalahan
dalam pelaksanaannya. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh
mana pemahaman guru tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah.


                                   OBJEKTIF KAJIAN

Antara objektif khusus kajian ini adalah seperti yang berikut:

        (a)     Mengetahui sejauh mana kefahaman guru-guru bahasa Melayu tentang
                konsep Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

        (b)     Mengenal pasti pemboleh ubah latar belakang yang membezakan kefahaman
                guru-guru bahasa Melayu tentang Komponen Kesusasteraan Melayu dalam
                mata pelajaran Bahasa Melayu.


                                   HIPOTESIS KAJIAN

Terdapat 7 hipotesis dibentuk untuk melihat sejauh mana kefahaman guru-guru tentang
konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu. Hipotesis tersebut adalah dinyatakan dalam bentuk hipotesis nul pada aras
signifikan 0.05.

        Ho 1:   Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman guru
                tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan jantina.

        Ho 2:   Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman guru
                tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan pengkhususan.

        Ho 3:   Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman guru
                tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan kelayakan ikhtisas.


                                              51
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



           Ho 4:      Tidak terdapat perbezaan yang signifikan pemahaman guru tentang konsep
                      Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa
                      Melayu berdasarkan pengalaman mengikuti kursus.
           Ho 5:      Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman guru
                      tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                      pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan tingkatan yang diajar.

           Ho 6:      Tidak terdapat perbezaan yang signifikan pemahaman guru tentang konsep
                      Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa
                      Melayu berdasarkan pengalaman mengajar.

           Ho 7:      Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman guru
                      tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                      pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan kelulusan akademik.


                                     REKA BENTUK KAJIAN

Kajian ini berbentuk deskriptif yang dijalankan melalui soal selidik untuk melihat kefahaman
guru tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu.

                                      Penganalisisan Data

Analisis ini melibatkan penggunaan statistik deskriptif dan ujian t. Statistik deskriptif yang
digunakan ialah jumlah skor, peratus, kekerapan, min, dan sisihan piawai. Ujian t digunakan
untuk menguji hipotesis Ho 1, Ho 2, Ho 3, Ho 4, Ho 5, Ho 6 dan Ho 7.

                                           Responden

Kajian ini telah dijalankan di sebelas sekolah menengah di daerah Larut dan Matang,
Perak. Seramai 100 orang guru terlibat sebagai responden di dalam kajian ini yang terdiri
daripada pelbagai latar belakang seperti berikut :

1.         Taburan Kekerapan Dan Peratusan Mengikut Jantina

           Jadual 1: Taburan kekerapan dan peratusan mengikut jantina




Jadual 1 menunjukkan taburan kekerapan dan peratusan responden mengikut jantina
iaitu, responden lelaki adalah seramai 21 orang (21%) manakala responden perempuan
pula ialah seramai 79 orang (79%).




                                               52
                                                                   JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



2.     Taburan Kekerapan dan Peratusan Mengikut Kelulusan Akademik

       Jadual 2: Taburan kekerapan dan peratusan mengikut kelulusan akademik




Jadual 2 menunjukkan terdapat tiga kumpulan responden yang terlibat dalam kajian ini,
iaitu berkelulusan sarjana 9 orang (9%), sarjana muda 86 orang (86%) dan STPM / SPM
5 orang (5%).

3.     Taburan dan Peratusan Mengikut Pengkhususan Utama

       Jadual 3: Taburan kekerapan dan peratusan mengikut pengkhususan
                 utama




Jadual 3 menunjukkan taburan kekerapan dan peratusan responden mengikut
pengkhususan iaitu Bahasa Melayu seramai 59 orang ( 59%), dan bukan Bahasa Melayu
ialah seramai 41 orang ( 41% ).

4.     Taburan Kekerapan dan Peratusan Mengikut Kelulusan Ikhtisas

       Jadual 4: Taburan kekerapan dan peratusan mengikut kelulusan ikhtisas




Jadual 4 menunjukkan taburan kekerapan dan peratusan responden mengikut kelulusan
iktisas iaitu 95 orang (95%) berkelulusan sarjana muda pendidikan dan 5 orang(5%)
berkelulusan diploma pendidikan.




                                          53
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



5.         Taburan Kekerapan dan Peratusan Responden yang Mengikuti Kursus Komsas

           Jadual 5: Taburan kekerapan dan peratusan responden yang mengikuti
                     kursus Komsas




Jadual 5 menunjukkan responden yang tidak pernah mengikuti kursus Komsas ialah
seramai 51 orang (51%), manakala responden yang pernah mengikuti kursus Komsas
pula ialah seramai 49 ( 49% ).

6.         Taburan Kekerapan dan Peratusan Tempoh Mengikuti Kursus Komsas

           Jadual 6: Taburan kekerapan dan peratusan responden tempoh mengikuti
                     kursus Komsas




Jadual 6 menunjukkan daripada 49 orang responden pernah mengikuti kursus Komsas,
seramai 34 orang ( 69%) mengikuti kursus Komsas antara 1 hingga 2 hari, 8 orang (16%)
antara 3 hingga 4 hari, 4 orang ( 8%) antara 5 hingga 6 hari, dan selebihnya iaitu seramai
3 orang ( 6%) mengikuti kursus Komsas lebih daripada 6 hari.

7.         Taburan Kekerapan dan Peratusan Responden Mengikut Tingkatan Yang Diajar

           Jadual 7: Taburan kekerapan dan peratusan responden mengikut
                     tingkatan yang diajar




Jadual 7 menunjukkan terdapat dua tahap tingkatan yang diajarkan responden, iaitu
menengah rendah (Tingkatan 1 hingga 3) seramai 50 orang (50%) dan menengah atas
(Tingkatan 4 dan 5) seramai 50 orang (50%).




                                          54
                                                                               JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



8.       Taburan Kekerapan dan Peratusan Responden Mengikut Pengalaman Mengajar

         Jadual 8: Taburan kekerapan dan peratusan responden mengikut
                   pengalaman mengajar




Jadual 8 menunjukkan terdapat dua tahap pengalaman mengajar responden, iaitu kurang
5 tahun seramai 22 orang (22%), manakala responden yang mempunyai pengalaman
mengajar lebih 5 tahun ialah seramai 78 orang ( 78%).


                                              ANALISIS DATA

1.   Analisis kekerapan dan peratusan pemahaman guru tentang konsep
Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

         Jadual 9: Taburan kekerapan, peratusan dan min berdasarkan 9 item
                   berkenaan pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan
                   Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu




     1   Komponen Kesusasteraan                  1       1        22     76       3.70
         Melayu meliputi lima genre            (1%)    (1%)    (22%)   (76%)
         iaitu puisi, prosa klasik, cerpen,
         novel dan drama.
     2   Saya dapat membezakan                   5       21      39      35       3.04
         dengan jelas mata pelajaran           (5%)   (21%)    (39%)   (35%)
         Kesusasteraan Melayu (Elektif)
         dengan Komponen
         Kesusasteraan Melayu dalam
         mata pelajaran Bahasa Melayu.
     3   Sukatan Pelajaran dan Huraian           3       21      51      19       2.92
         Sukatan Pelajaran Bahasa              (3%)    (21%)   (51%)   (19%)
         Melayu (Edisi Penyesuaian)
         memberi gambaran yang jelas
         tentang skop
         Komponen Kesusasteraan
         Melayu.
     4   Pendedahan Komponen                     3       9       57      31       3.16
         Kesusasteraan Melayu dalam            (3%)    (9%)    (57%)   (31%)
         mata pelajaran Bahasa Melayu
         boleh meningkatkan
         penguasaan bahasa pelajar.



                                                      55
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



     5      Pengenalan Komponen               3           8       60      29    3.15
            Kesusasteraan Melayu dalam      (3%)        (8%)    (60%)   (29%)
            mata pelajaran Bahasa Melayu
            dapat memupuk minat
            membaca
     6      Komponen Kesusasteraan            2           7       50      41    3.30
            Melayu dalam mata pelajaran     (2%)        (7%)    (50%)   (41%)
            Bahasa Melayu dapat
            memperkenalkan pelajar
            dengan pelbagai ragam bahasa
            dan ayat
     7      Komponen Kesusasteraan            4           22      50      24    2.94
            Melayu dalam mata pelajaran     (4%)        (22%)   (50%)   (24%)
            Bahasa Melayu dapat
            menggalakkan pelajar
            menghasilkan penulisan yang
            baik.
     8      Saya mampu merancang              0           25      58      17    2.92
            kemahiran bahasa dalam          (0%)        (25%)   (58%)   (17%)
            Komponen Kesusasteraan
            Melayu dalam mata pelajaran
            Bahasa Melayu.
     9      Masa yang diperuntukkan bagai     4           14      56      26    3.04
            pengajaran Komponen             (4%)        (14%)   (56%)   (26%)
            Kesusasteraan Melayu dalam
            mata pelajaran Bahasa Melayu
            tidak mencukupi.

Setelah dibuat analisis secara keseluruhan, hasil daripada soal selidik tentang pemahaman
konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu yang diperoleh menunjukkan purata peratusan ialah sebanyak 17.0% berada pada
paras negatif(kurang 2.0). Ini menunjukkan terdapat responden masih tidak mempunyai
pemahaman yang jelas tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu(Komsas)
terutamanya bagi item 2 (26%), item 3 (24%), item 7 (26%) dan item 8 (26%). Manakala
berdasarkan purata peratusan pada aras positif(melebihi 2.0) pula menunjukkan sebanyak
83.0% telah dicapai. Ini menunjukkan sebahagian besar responden mempunyai tahap
pemahaman yang tinggi tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas)
terutamanya bagi item 1 (98%) dan item 6 (91%).


                                     PENGUJIAN HIPOTESIS

Penganalisisan ini mengikut setiap hipotesis yang telah dikemukakan.

           Ho 1 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman
                  guru tentang konsep Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
                  berdasarkan jantina.




                                                   56
                                                                           JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



        Jadual 10: Dapatan ujian t berkenaan dengan pemahaman guru tentang
                   konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                   pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan jantina




Berdasarkan keputusan ujian t, dapatan menunjukkan nilai t (98) = -0.623, p = 0.535
adalah tidak signifikan kerana nilai p lebih besar daripada 0.05. Keputusan ujian di atas
menunjukkan tidak terdapat perbezaan skor min berkenaan pemahaman konsep Komponen
Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu antara responden
lelaki dan responden perempuan. Oleh itu hipotesis nul yang pertama diterima.

        Ho 2 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman
               guru tentang konsep Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
               berdasarkan pengkhususan.

        Jadual 11: Dapatan ujian t berkenaan dengan pemahaman guru tentang
                   konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                   pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan bidang pengkhususan
                   utama.




Berdasarkan keputusan ujian t, iaitu untuk melihat perbezaan skor min berkenaan dengan
pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu antara bidang pengkhususan Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Melayu,
dapatan menunjukkan nilai t (98) = 1.91, p = 0.059 adalah tidak signifikan kerana nilai p lebih
besar daripada 0.05. Keputusan ujian di atas menunjukkan tidak terdapat perbezaan skor
min berkenaan dengan pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas)
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu antara responden dari bidang pengkhususan Bahasa
Melayu dan dengan responden dari bidang pengkhususan bukan Bahasa Melayu. Oleh itu
dapatlah dirumuskan bahawa hipotesis nul yang kedua diterima.

        Ho 3 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman
               guru tentang konsep Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
               berdasarkan kelayakan ikhtisas.

        Jadual 12: Dapatan ujian t berkenaan dengan pemahaman guru tentang
                   konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                   pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan kelayakan ikthisas




                                               57
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



Berdasarkan keputusan ujian t yang dijalankan untuk melihat perbezaan skor min
berkenaan pemahaman guru tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas)
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu antara kelayakan ikthisas iaitu sarjana muda
pendidikan dengan diploma pendidikan. Dapatan menunjukkan nilai t (98) = 1.15, p =
0.254 adalah tidak signifikan kerana nilai p lebih besar daripada 0.05. Keputusan ujian
di atas menunjukkan tidak terdapat perbezaan skor min berkenaan pemahaman konsep
Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
antara kelayakan ikthisas, iaitu sarjana muda pendidikan dan kelayakan ikthisas diploma
pendidikan. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa hipotesis nul yang ketiga diterima.

           Ho 4 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman
                  guru tentang konsep Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
                  berdasarkan pengalaman mengikuti kursus.

           Jadual 13: Dapatan ujian t berkenaan dengan pemahaman guru tentang
                      konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                      pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan pengalaman berkursus




Berdasarkan keputusan ujian t yang dijalankan untuk melihat perbezaan skor min
berkenaan pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu antara responden yang pernah dan tidak pernah menghadiri
kursus pengajaran dan pembelajaran Komsas, dapatan menunjukkan nilai t (98) = 2.80,
p = 0.006 adalah signifikan kerana nilai p lebih kecil daripada 0.05. Keputusan ujian di
atas menunjukkan terdapat perbezaan skor min berkenaan dengan pemahaman konsep
Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu antara
responden yang pernah menghadiri kursus pengajaran dan pembelajaran Komsas dan
responden yang tidak pernah menghadiri kursus. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa
hipotesis nul yang keempat ditolak.

           Ho 5 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman
                  guru tentang konsep Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
                  berdasarkan tingkatan yang diajar.

           Jadual 14: Dapatan ujian t berkenaan dengan pemahaman guru tentang
                      konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                      pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan tingkatan diajar




Berdasarkan keputusan ujian t yang dijalankan iaitu untuk melihat perbezaan skor min
berkenaan pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan tingkatan yang diajar, dapatan menunjukkan nilai
t (98) = )0.647, p = 0.519 adalah tidak signifikan kerana nilai p lebih besar daripada 0.05.


                                           58
                                                                        JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



Keputusan ujian di atas menunjukkan tidak terdapat perbezaan skor min berkenaan dengan
pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu antara responden yang mengajar di menengah rendah dan responden
yang mengajar di menengah atas. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa hipotesis nul
yang kelima diterima.

        Ho 6 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman
               guru tentang konsep Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
               berdasarkan pengalaman mengajar.

        Jadual 15: Dapatan ujian t berkenaan dengan pemahaman guru tentang
                   konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
                   pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan pengalaman mengajar




Berdasarkan keputusan ujian t yang dijalankan untuk melihat perbezaan skor min berkenaan
dengan pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu antara pengalaman mengajar kurang 5 tahun dan pengalaman
mengajar lebih 5 tahun. Dapatan menunjukkan nilai t (98) = 1.603, p = 0.112 adalah tidak
signifikan kerana nilai p lebih besar daripada 0.05. Keputusan ujian di atas menunjukkan
tidak terdapat perbezaan skor min berkenaan dengan pemahaman konsep Komponen
Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu antara responden
berpengalaman mengajar kurang 5 tahun dan responden berpengalaman mengajar lebih 5
tahun. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa hipotesis nul yang keenam diterima.

        Ho 7 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi pemahaman
               guru tentang konsep Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
               berdasarkan kelulusan akademik.

        Jadual 16: Dapatan ujian anova berkenaan dengan pemahaman guru
                   tentang konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas)
                   dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan kelayakan
                   akademik




Berdasarkan keputusan ujian anova yang dijalankan untuk melihat perbezaan skor min
berkenaan pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu antara kelayakan akademik, iaitu SPM/STPM, Sarjana Muda
dan Sarjana, menunjukkan nilai F (2, 97) = 3.43, p = 0.036 adalah signifikan kerana nilai p
lebih kecil daripada 0.05. Keputusan ujian di atas menunjukkan terdapat perbezaan skor
min berkenaan dengan pemahaman konsep Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas)


                                             59
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



dalam mata pelajaran Bahasa Melayu antara responden berkelayakan akademik SPM/
STPM , Sarjana Muda dan responden berkelayakan akademik Sarjana.

Ujian Post Hoc yang dijalankan, menunjukkan nilai (Turkey HSD) berada pada tahap
signifikan 0.05 antara responden yang berkelulusan Sarjana dan responden yang
berkelulusan Ijazah Sarjana Muda. Ini menunjukkan terdapat perbezaan kefahaman konsep
antara kedua-dua kategori responden yang dikaji. Manakala, bagi responden berkelulusan
SPM/STPM tidak terdapat perbezaan kefahaman konsep dengan mana-mana kategori
responden. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa hipotesis nul yang ketujuh ditolak.


                                  PERBINCANGAN

Dapatan kajian menunjukkan bahawa kefahaman guru tentang konsep Komponen
Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ini agak berbeza jika diperinci
satu demi satu item yang berkaitan. Ini kerana 26 peratus guru masih lagi tidak dapat
membezakan antara Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu dengan Kesusasteraan Melayu (Elektif) dan 24 peratus mengatakan Sukatan
Pelajaran Bahasa Melayu (Edisi Penyesuaian) tidak dapat memberi gambaran yang jelas
tentang skop Komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Borhan (2000), iaitu selain pengetahuan dan kemahiran, guru Komsas juga didapati masih
keliru tentang tanggapan dan kefahaman mengenai pengajaran Komsas dalam Bahasa
Melayu. Terdapat guru yang kurang jelas, sama ada hendak mengajar Bahasa Melayu
atau Kesusasteraan Melayu. Kesilapan pemahaman tentang konsep Komsas dalam
Bahasa Melayu dengan Kesusasteraan Melayu akan menyebabkan berlakunya kesilapan
pengajaran.

Selain itu, 12 peratus lagi guru menyatakan pendedahan Komponen Kesusasteraan Melayu
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak boleh meningkatkan penguasaan bahasa
pelajar. Manakala, 88 peratus responden menyatakan Komsas boleh meningkatkan
penguasaan bahasa pelajar. Kenyataan ini selari dengan pendapat Burke dan Brumfit
(1991) yang menjelaskan tujuan pengajaran bahasa dengan menggunakan bahan
sastera ialah memberi mereka kemahiran seperti kemahiran lisan, membina analisis dan
kritikal, kemahiran sosial, menggunakan imaginasi, pembinaan sikap, amalan efektif dan
menyampaikan maklumat. Pendapat Rahman Shaari (1989) menguatkan lagi kenyataan
ini. Beliau menyatakan penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu
membolehkan pelajar menguasai kecekapan berbahasa, ketepatan berkomunikasi,
di samping memahami sistem Bahasa Melayu sebagai alat perhubungan. Pendapat
Samat Buang (1996) turut menyokong kenyataan tersebut. Beliau berpendapat bahawa
penggunaan bahan sastera dapat mengukuhkan penguasaan bahasa dan meningkatkan
kecekapan berbahasa pelajar melalui pembacaan, pemahaman dan penaakulan mesej
yang tersurat dan tersirat.

Dapatan kajian ini juga menunjukkan sebanyak 74 peratus guru menyatakan Komponen
Kesusasteraan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu menggalakkan pelajar menghasilkan
penulisan yang baik manakala 26 peratus lagi menyatakan sebaliknya. Kenyataan ini
selari dengan kajian Noor Zalilah (1990) yang telah membuktikan kelebihan penguasaan
berbahasa pelajar. Hasil kajian beliau mendapati melalui penggunaan bahan sastera dalam
pengajaran bahasa pelajar dapat menggunakan pelbagai jenis ayat secara gramatis dalam
penulisan karangan berbentuk kreatif dan fakta serta mampu mengajar pelajar dari aspek
gaya bahasa dan seterusnya dapat membina penguasaan berbahasa pelajar. Knapton


                                         60
                                                                    JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



dan Evans dalam Koh Boh Boon, 1994 turut menyokong pendapat ini dengan menekankan
bahawa dengan mendedahkan kepada pelbagai jenis bahan sastera dapat meluaskan
perbendaharaan kata pelajar, membaiki kemahiran bertutur dan menulis mereka.

Kajian ini juga mendapati sebanyak 25 peratus guru tidak mampu merancang kemahiran
bahasa dalam komponen Kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu. Hal ini bertepatan
dengan dapatan Osman Alauddin (1995) dan Roshani (1992) yang menyatakan ramai
guru sukar merancang dan melaksanakan pengajaran yang berkesan kerana kurang
jelas tentang konsep. Walau bagaimanapun, perhatian perlu diberi kepada usaha
membaca teks wajib di luar masa pengajaran. Ini kerana kajian mendapati 43 peratus
guru memperuntukkan waktu pengajaran Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu sebagai masa untuk pelajar-pelajar membaca teks wajib. Dapatan
ini selari dengan pendapat Osman Alaudin (1956) yang menyatakan ada sesetengah guru
bahasa menjadikan waktu sekali seminggu yang diperuntukkan untuk penggunaan bahan
sastera itu sebagai pelajaran membaca dan memahami semata-mata. Kemungkinan ini
berlaku kerana pelajar tidak membaca karya Komponen Sastera terlebih dahulu. Dikuatiri
langkah ini akan menyebabkan objektif Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu untuk meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca akan
tidak tercapai.




                                          61
JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



                                        BIBLIOGRAFI

Abd. Murad b. Salleh. (2002). Pelaksanaan pengajaran komponen sastera dalam mata
       pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 4: Satu kajian kes. Kuala Lumpur, Malaysia :
       Universiti Malaya.

Borhan Md. Zin. (2000). Kesusasteraan melayu sebagai komponen Bahasa Melayu:
       Menangani kekeliruan teknik pengajaran. Dewan Sastera, 19-21.

Burke, S. J., & Brumfit C. J. (1991). Is literature language or is language literature? In C. J.
        Brumfit & R. A. Carter (Eds.), Literature and language reading. Oxford : Oxford
        University Press.

Haris Ab. Ghani (1992). Keperluan kursus dalam perkhidmatan guru Bahasa Malaysia
       KBSM peringkat sekolah menengah rendah. Tesis sarjana tidak bercetak, Universiti
       Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

Huraian pelajaran Bahasa Malaysia (cetakan pertama). (1990). Kuala Lumpur, Malaysia:
       Dewan Bahasa dan Pustaka.

Marohaini Yusoff. (2001). Landasan pengajaran komponen sastera dalam Bahasa Melayu.
       Jurnal Dewan Bahasa, 20-26.

Masharyati Musa. (2002). Komponen wajib kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu
       peringkat menengah atas: Satu tinjauan awal tentang teknik pengajaran. UPSI.

Mohd. Amin Arshad. (1988). Satu kajian permasalahan penggunaan bahan-bahan
      kesusasteraan melayu dalam pengajaran Bahasa Malaysia di tingkatan 4. Tesis
      sarjana tidak bercetak, Universiti Putra, Malaysia.

Nik Hassan Basri. (1997). Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran
       Bahasa Melayu. Tesis sarjana tidak bercetak, Universiti Malaya, Kuala Lumpur,
       Malaysia.

Omar Sharif. (2004). Perspektif guru terhadap penguasaan berbahasa pelajar dalam
      pengajaran komponen sastera. UPM.

Osman Alaudin. (1995). Pelaksanaan kurikulum Bahasa Melayu di sekolah-sekolah kini:
      Tatabahasa dan kesusasteraan (unsur sastera). Kertas kerja Konvesyen Pendidikan
      Bahasa Melayu Ke-VI. Kuala Lumpur : Institut Bahasa.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (1999). Kesusasteraan Melayu sebagai satu komponen
       wajib dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah. Kertas
       cadangan yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Kuala Lumpur.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2002). Laporan pelaksanaan komponen sastera
       dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahun
       2001 [translation]. Kuala Lumpur, Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rahman Shaari. (1985). Laporan konvensyen pendidikan Bahasa Melayu kali pertama hlm
      1-2. University of Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.


                                             62
                                                                   JURNAL IPBA Jilid 3: Bil.3



Rose Aza. (2002). Kefahaman guru tentang KOMSAS. Kertas kerja yang telah dibentangkan
       dalam prosiding seminar pengajaran dan pembelajaran Komsas.: Universiti Sains
       Malaysia.

Roshani Abdullah. (1992). Penggunaan novel dalam pengajaran Bahasa Melayu Tingkatan
       Dua di beberapa buah sekolah di daerah Petaling. Tesis sarjana tidak bercetak,
       Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Samat Buang. (1996). Pendekatan, kaedah dan teknik dalam pendidikan Bahasa Melayu
       menggunakan bahan sastera, Dewan Bahasa, 40 (3), 205-217.

Salbiah Ani. “Kemelut komponen sastera dalam Bahasa Melayu”. Berita Harian, Selasa 20
        Mac 2001. hlm 3.

Samat Buang. (2000). Pengenalan komponen wajib kesusasteraan Melayu dalam Bahasa
       Melayu, Pelita Bahasa, Julai, 21-24.

Sharifah Nor Puteh. (2002). Pelaksanaan komponen sastera dalam pengajaran Bahasa
        Melayu dan bahasa Inggeris. Kertas kerja yang dibentangkan Dalam Seminar
        Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan USM, 22-25 Oktober 2002.

Siti Normaniseh Zakaria. (2003). Strategi pengajaran komponen sastera (Komsas) dalam
        mata pelajaran Bahasa Melayu: Satu kajian kes. Tesis sarjana tidak bercetak,
        Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Sukatan pelajaran Bahasa Malaysia KBSM. (1988). Kuala Lumpur, Malaysia: Pusat
      Perkembangan Kurikulum.

Tah Nia Jaman. (2001). Pelaksanaan program komponen sastera melayu dalam mata
       pelajaran Bahasa Melayu berdasarkan model CIPP: Satu kajian kes. Tesis sarjana
       tidak bercetak, Universiti Malaysia Sabah.

Zahirah Aziz & Kamaruzaman Abdullah. (2001). “Pengajaran KOMSAS dalam mata pelajaran
        Bahasa Melayu di sekolah menengah”. Kertas seminar anjuran Dewan Bahasa dan
        Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Bahasa Melayu Malaysia,
        11 – 13 Jun 2001.




                                          63

								
To top