GAYA HIDUP SIHAT DAN CERGAS SECARA TOTAL

Document Sample
GAYA HIDUP SIHAT DAN CERGAS SECARA TOTAL Powered By Docstoc
					              GAYA HIDUP SIHAT DAN CERGAS SECARA TOTAL
                            Oleh Dr Yusof Abas

Sihat dan cergas adalah dua perkara yang berbeza. Sihat fizikal bermakna anda bebas dari
sebarang penyakit akut atau kronik, penyakit yang diketahui punca atau tidak dan juga
penyakit dari genetik. Anda yang cacat anggota badan dan bebas dari sebarang penyakit
sakit juga di kategorikan sebagai sihat.

Cergas pula dikaitkan dengan kemampuan anda untuk melakukan kerja harian tanpa rasa
penat dan mempunyai tenaga tambahan untuk melakukan kerja yang di luar jangkaan
atau di luar kebiasaan. Sebagai contoh, anda biasa pulang dari pejabat jam 5 petang dan
sampai di rumah jam 6 petang atau lebih awal lagi, tetapi ada ketikanya disebabkan oleh
kesesakan jalan raya, anda sampai di rumah jam 7 petang. Sekiranya anda terasa lesu,
letih dan mengantuk; ini bermakna anda tidak cergas.

Untuk bebas dari sebarang penyakit ianya lebih mudah tetapi untuk lebih cergas ianya
memerlukan disiplin dan perlu melakukan aktiviti fizikal. Kecergasan boleh di
kategorikan kepada cergas fizikal, cergas minda dan cergas spiritual.

Ada dua perkara penting untuk mencapai dan mengekalkan kecergasan fizikal iaitu perlu
aktif fizikal dan menjaga pemakanan. Ramai dari kita mampu menjaga pemakanan tetapi
sukar melakukan aktiviti fizikal. Bukan budaya orang Melayu untuk ‘mengeluarkan
peluh’ apa lagi bila usia makin meningkat. Mereka bersenam atau bersukan ketika zaman
sekolah atau ketika zaman bujang, tetapi yang minat menonton sukan ‘hingga hujung
nyawa’ pun ramai. Menonton sambil mengutuk pemain!!. Peminat sukan boleh
memenuhi stadium tetapi di kawasan rekreasi lengang.

Budaya menjaga pemakanan ini membuatkan perniagaan makanan tambahan semakin
berkembang. Dari produk tempatan hingga yang diimport. Namun begitu ada juga orang
yang tidak kisah langsung. Mengambil makanan tambahan pun tidak, bersenam pun
tidak. Rutin harian mereka mencari rezeki, makan, tidur, menonton TV dan sesekali pergi
berkelah dengan anak-anak. Namun untuk bersenam jauh sekali.

Walaupun anda tidak gemuk, ini tidak bermakna anda sihat. Ramai juga di kalangan
mereka yang kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan juga mendapat masalah
tekanan darah tinggi. Malah ramai juga yang cepat ‘lembik’ walaupun mempunyai
bentuk badan yang baik. Tetapi anda yang bertubuh gempal lagilah cepat ‘semput’, naik
tangga ke tingkat tiga sahaja, anda sudah tercungap-cungap seperti orang sudah berlari
5km!!!.

Ramai di antara kita keliru dan kurang faham bahawa aktif fizikal bermakna mesti
bersenam dan bersukan. Aktif fizikal bermaksud anda melakukan pergerakan yang tidak
anda lakukan pada kerja harian anda. Tetapi untuk melakukan aktif fizikal sehingga
mencapai tahap kecergasan mesti dilakukan secara berkala dan berdisiplin. Jangan
dilakukan hangat-hangat tahi ayam. Contoh mudah aktif fizikal yang anda boleh lakukan
di rumah ialah mencuci kereta ,

berkebun bagi yang ada tanah, mencuci lantai,semua ini boleh di lakukan secara
minguan. Badan berpeluh, rumah pun bersih. Bagi yang kreatif lakukan aktiviti ini
dengan bersenam sekali di dalam rumah seperti skipping, basikal statik , treadmill atau
lain alatan senaman. ( Masalahnya alatan sukan anda sudah menjadi tempai menyidai
kain baju atau sudah di letak di bawah katil). Mungkin saranan seperti di atas nampak
‘lucu’ tetapi ianya amat praktikal. Jika lucu, mengapa tidak anda keluar berjogging,
berjalan cepat,senamrobik, badminton, tenis, golf, berenang atau main futsal. Lakukan
secara berkala. Yang terbaik 2-3 kali seminggu. Paling tidak seminggu sekali pada setiap
minggu. Tentu anda biasa dengar kempen cergas , bersenam 3 kali seminggu selama 20
minit ( ada lagu lagi). Sejak awal tahun 90an, kerajaan telah membelanjakan jutaan
ringgit untuk kempen cergas, namun kita tidak cergas-cergas jugak!!!.Samalah dengan
kempen TAK NAK MEROKOK, berjuta duit berkempen, tapi maklumat terkini, kempen
ini gagal, ramai dari anda masih berasap mulut walau rokok makin mahal! Anak dara pun
makin hilang malu merokok. Anda juga boleh melakukan aktiviti yang lebih lasak seperti
mendaki, jungle treking , berkayak, kembara kereta 4 x 4 dan sebagainya . Memancing
tidak termasuk aktiviti fizikal kalau sekadar duduk termenung di tepi kolam.Memancing
di laut mungkin lebih cabarannya.

Bagi kaum perempuan pula aktiviti bersukan adalah sesuatu yang amat jarang dilakukan.
Kalau masa bujang aktif bersukan bila telah berkahwin semua tutup buku.Jarang yang
dapat terus aktif bersenam.Bersenam pun bagi mereka yang cuba menguruskan badan, itu
pun bila suami anda yang boroi itu yang bising. Jika anda wanita bujang dan memiliki
badan yang besar, sukar hendak saya beri komen!. Menjaga fizikal muka, kaum wanita
mahir. Lihatlah di majalah dan akhbar iklan-iklan produk kosmetik, tak larat nak baca
punya lah banyak, bermacam-macam jenama. Dengan iklan yang cantik di samping
pembotolon yang amat menarik. Tentu ianya satu perniagaan yang maju. Kaum lelaki
berkahwin pun tidak ada bezanya. Boroi sudah menjadi tren ‘kesukaan ramai’. Bukan di
kalangan dewasa juga kanak-kanak montel, menurut kajian, tiga dari sepuluh kanak-
kanak di Malaysia yang montel. Emak ayah borek anak rintik.

Kaedah bersenam yang terbaik ialah lakukan senaman yang anda minat dan anda ada
bakat melakukannya. Bagi yang sudah ‘tua’ macam saya, bermain golf, jalan cepat,
senamrobik berenang boleh menjadi satu pilihan. Walaupun ‘boring’ keseorangan main
golf pada pagi Jumaat, saya usahakan juga, paling kurang ke ‘driving range’,inilah
kelebihan golf boleh bermain tanpa kawan. Berjoging tidak memerlukan bakat, cuma
bagi saya bila lutut sudah mula sakit,elok pilih sukan lain. Manakala berenang satu sukan
yang paling mudah , selamat dan kurang risiko cedera. Berenang tidak perlu bakat, teknik
yang betul sahaja. Anak saya yang berusia 8 tahun sudah mengalahkan saya renang gaya
kuak lentang, anak murid mengalahkan jurulatih. Ramai dari kita bawa anak ke kolam
renang untuk main air bukan belajar berenang. Pernahkah anda tengok mereka yang
hanya ada satu kaki dan anggota jari tangan yang tidak lengkap, pantas berenang!.

Kesibukan masa bukan satu alasan, jawapannya anda hendak atau tidak, jika sibuk
menjadi alasan, saya sendiri hampir setiap hari bekerja dari jam 9 pagi ke 10 malam,
Sabtu dan Ahad bekerja, cuti hari Jumaat. Semangat perlu kuat dan sepatutnya semakin
usia meningkat kita makin berusaha hidup lebih aktif kerana proses penuaan dan risiko
mendapat penyakit semakin tinggi, orang muda yang sihat, malas bersenam pun boleh di
maafkan lagi. Dengan semangat ini juga saya berusaha menulis artikel-artikel ini di
celah-celah masa saya yang terluang. Alhamdulillah saya masih mampu mengekalkan
aktif fizikal sehingga sekarang mungkin kerana ada sedikit bakat dan rasa seronok
bersukan. Tetapi saya akui ianya belum mencukupi untuk mendapat tahan kecergasan
yang sepatutnya.

Bersukan boleh di mulakan semula walaupun anda sudah lama meninggalkannya, konsep
ansur maju adalah penting dan konsisten. Enam bulan anda meninggalkan aktiviti fizikal
bermakna tahap kecergsan anda berada di tahan minima walupun sebelumnya anda aktif.
Mereka yang veteran ( usia emas) pun ada yang mampu masuk pertandingan maraton,
saya juga pernah membaca artikel, ada lelaki Finland yang berusia 50 tahun baru belajar
menggunakan alatan jimnasium ( angkat berat), dua tahun kemudian beliau menjadi juara
bina badan peringkat veteran, persoalannya anda hendak bersenam atau banyak memberi
alasan. Yang akan sihat dan cergas ialah anda, bukan orang lain. KESIHATAN ada lah
aset utama kita, duit dan harta tidak memberi makna jika anda berpenyakit. Kalau sakit
sendiri tidak mengapa, ini menyusahkan orang lain.

Cergas fizikal boleh diukur. Di Malaysia kita menggunakan standard UKJK.( Ujian
Kecergasan Jasmani Kebangsaan ). Ia mempunyai tahan-tahap yang berbeza mengikut
tahap individu. Bagi para-para ahli sukan tahap tinggi, ahli komando, mereka mempunyai
standard yang berbeza. Antara komponen yang diambil kira di dalam ujian ini ialah
bentuk badan (body mass index, BMI), kekuatan otot-otot, ketahanan jantung serta
penafasan, kelembutan badan, kepantasan pergerakan.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah jika anda menjaga pemakanan yang baik sahaja,
tidak akan membuatkan anda cergas. Dengan mengamalkan minum madu sahaja atau
lain-lain pil vitamin dan berharap lebih berstamina serta cergas, ia tidak akan menjadi
kenyataan. InsyaAllah anda boleh lebih bertenaga untuk jangka masa pendek tetapi tidak
untuk jangka masa panjang. Kesemua komponen kecergasan seperti yang disebut di atas
mesti seimbang. Dengan kata lain anda mesti dan wajib melakukan aktiviti fizikal.
Ketahanan jantung adalah sangat penting untuk mendapat kecergasan maksima. Jika anda
yang mengamalkan gaya hidup pasif ( sedantry life style) jantung anda amat jarang
berdenyut melebihi 100 denyutan seminit, dengan kata lain jantung tidak bersenam (
jantung romantik).Apabila jantung lebih berdenyut ketika kita bersenam, ia membekal
darah ke seluruh badan terutama otak di samping bekalan darah ke otot-otot jantung pun
meningkat.

Tiada pilihan lain untuk mendapat tahap kecergasan dan kesihatan yang baik melainkan
dengan usaha, masa, wang ringgit, konsisten, kaedah yang betul dan disiplin yang tinggi.
Manakala cergas fizikal perlu di seimbangkn dengan kecergasan minda /mental. Jika
ketahanan anda kurang untuk mengatasi stres dan mudah tertekan, walaupun anda
memiliki kecergasan badan yang tinggi, anda akan mudah mengalami tanda lesu,letih dan
tidak bermaya. Begitu juga jika kecergasan spiritual tidak seimbang , ada yang aktif
bersukan sehingga luput waktu solat. Jangan kita menjadi insan yang senget sebelah. Jika
ingin mencergaskan spiritual tetapi dalam masa yang sama badan mudah letih dan
mengantuk, mampukah anda untuk beribadah dengan sempurna! Ini lah yang di
maksudkan dengan sihat dan cergas secara total.