Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

Document Sample
Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya Powered By Docstoc
					Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

Di atas kertas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kukuh kerana termaktub dalam undang-undang negara. Datuk Hj. Abdul Ghani bin Othman, MB Johor dalam majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta’zim ke VI, 11 Ogos 2007 mengatakan:   Dasar bahasa di Malaysia telah diputuskan melalui ‘kontark sosial’ di antara Melayu, Cina dan India sebelum kemerdekaan dicapai pada   tahun 1957. Dalam perundingan itu bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara. Malangnya keputusan dan kesepakatan ini tidak dirakam atau dimaktub secara jelas dalam undang-undang dasar bahasa yang terdapat dalam artikel 152 perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kedua-dua dokumen undang-undang itu hanya menyebut vahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, tanpa menyebut apakah tujuannya.   Dari segi pendidikan, kedudukan bahasa Melayu ini telah dimantapkan oleh dasar pendidikan negara: - Laporan Razak (1956) yang menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Negara ini.   - Penyata Rahman Talib 1960 - Akta Pelajaran 1961 - Akta Pendidikan 1996. Tetapi apakah sebenarnya kedudukan bahasa Melayu di negara Malaysia sudah mantap? BA HASA YANG PERKASA - Digunakan dalam semua bidang kehidupan bertamadun - Dalam semua urusan kebangsaan dan rasmi sesebuah negara - Sebagai pengantar ilmu pada semua peringkat; dari sekolah sampai ke IPT - Lengkap serta kemas daripada aspek kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa - Wadah pemikiran dan wacana intelektual dan budaya tinggi - Pembentuk identiti bangsa dan negara seperti ungkapan ‘maju dalam acuan sendiri' - Berpotensi digunakan sebagai bahasa serantau dan bahasa dunia Dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Cerita Kejayaan Perancang Bahasa Melayu di Malaysia’ untuk Konvensyen Mahasiswa Nasional 2002, Prof. Dr. Awang Sariyan telah menghuraikan dengan terperinci usaha-usaha DBP memperkasa bahasa Melayu. Antaranya disebutkan istilah yang telah terhasil ‘hampir mencecah jumlah 1 juta (kini barangkali sudah lebih sau juta) dan meliputi ratusan bidang ilmu dan professional.’ Dan di antara bidang baru termasuk ‘aeroangkasa, kejuruteraan kapal terbang dan kejuruteraan automatif.’ Kesimpulan Awang Sariyan:   ‘Huraian ringkas di atas memperlihatkan keupayaan dan kejayaan bahasa Melayu sebagai wahana tamadun moden bagi bangsa dan Negara, khususnya dalam konteks pencapaian kemajuan dengan berasaskan acuan sendiri.’   CABARAN MEMPERKASA BAHASA MELAYU

1/7

Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

Usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar di perinkat sekolah dan institusi pengajian tinggi menghadapi banyak cabaran. Ranjau dan jurang yang perlu dilalui dan diatasi semakin hari semakin hebat. Ahli-ahli bahasa dan ahli-ahli akademik telah bekerja kuat memperkasa bahasa dengan kerja-kerja mencipta istilah, menulis buku, menyiapkan korpus bahasa, memperkemas nahu, melaraskan sebutan dan lain-laian lagi. Pastilah banyak lagi kerja yang perlu dibuat.   Bagaimanapun, batu penghalang terutama kepada pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dari peringkat sekolah rendah sampai ke IPT ialah kerajaaan sendiri. Sikap kerajaan bukan saja tidak tekal tetapi malahan mendirikan batu penghadang di sepanjang jalan. Antara contohnya; -  Mengubah bahasa pengantar sains dan matematik dalam ke Inggeris - Menukar bahasa pengantar di peringkat IPT secara tidak rasmi dan senyap-senyap - Menubuhan IPT swasta menggunakan bahasa pengantar Inggeris dan lain-lain SIKAP TERHADAP BAHASA Sikap orang awam Melayu terhadap bahasanya tercermin pada ungkapan: bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa, hilang bahasa pupus bangsa dan lain-lain lagi. Ramai juga orang Melayu sendiri, terutama dari kalangan yang terpelajar dan pemimpin tinggi politik mencemooh sikap sebegini. Mereka memerikan semangat kebangsaan Melayu sebagai ‘nasionalisme linguistik’ semata-mata.   Sesungguhnya sejarah perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi serta bahasa pengantar ilmu dan budaya tinggi terbukti perjuangan rakyat jelata Melayu terdiri daripada golongan guru, wartawan, sasterawan, seniman, intelek dan peimpin politik di peringkat akar umbi. Merekalah yang telah berusaha mengadakan persidangan dan kongres bahasa dan persuratan. Sejak Kongres Persuratan Melayu pertama pada tahun 1952 sehingga hari ini tujuh kali kongres telah diadakan. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu terakhir telah berlangsung pada 6-8 November 2006 di Kuala Lumpur.   Banyak resolusi yang telah dibuat dan dilaksanakan sebagai hasil kongres-kongres tersebut dan beberapa persidangan lain; termasuklah di antaranya, penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri, pengisian dasar pendidikan kebangsaan, penubuhan sekolah menengah Melayu, Institut Bahasa (LI), Universiti Kebangsaan sebagai puncak kepada sistem pendidikan kebangsaan dan penubuhan Institut Terjemahan Negara Malaysia.   Sering kali kongres dan persidangan ini mendapat kerjasama daripada kerajaan dan resolusinya mendapat perhatian yang serius daripada pihak kerajaan. Bagaimana, sikap pihak kerajaan tidak selalu bersimpati dengan perjuangan rakyat ini. Di sini saya perlu sebutkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu keenam. Pada mulanya, Kongres ini bertujuan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, mengambil sempena nama yang bersejarah itu. Pada pagi itu, 5 September 2002 yang amat bersejarah itu, para peserta amat terperanjat apabila diberitahu kongres telah diusir keluar daripada UPSI dan terpaksa diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, Tanjong Malim.   Barangkali itulah musim yang paling menyedihkan dalam rakaman sejarah perjuangan bahasa

2/7

Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

kebangsaan. Tidak ada bapak menteri yang berani hadir merasmikannya. Akhirnya muncullah Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib yang pada waktu itu bukan seorang Menteri. Saya bersama Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid pulang sebelum persidangan tamat dengan perasaan penuh kecewa. Selepas itu saya telah menulis surat kepada Naib Canselor UPSI (seorang kenalan lama) memprotes peristiwa itu. Beliau tidak menjawab surat saya tetapi menelefon saya mengatakan antara lain, beliau tertekan. Sudah tentu beliau tidak menyebut siapa yang menekan dan apa bentuk tekanannya.   Saya tahu ramai yang menitiskan air mata pada hari malang itu. Melihat ke belakang, inilah cerminan sikap pemimpin kerajaan terhadap usaha memperkasa bahasa Melayu. Sepanjang sejarah memperkasa bahasa Melayu sikap kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu ini memang kurang simpatinya. Kerajaan pada mulanya tidak bersetuju mendirikan sekolah menengah Melayu. Ini perjuangan guru-guru Melayu yang kita semua tidak boleh lupakan. Perjuangan ini banyak memakan korban. Hanya sesudah segolongan guru sekolah Melayu yang memegang jawatan dalam UMNO membuat keputusan meletakkan semua jawatan mereka, ada yang langsung keluar dari UMNO, baru rundingan dijalankan dan akhirnya sekolah menengah Melayu didirikan.   Menurut seorang sasterawan Melayu tahun dua puluhan, Cikgu Ahmad Kotot, sijil sekolah Melayu itu Sijil Hulu Parang. Sebahgian besar mereka menjadi petani. Bayangkan berapa ramai anak Melayu mendapat faedah daripada terdirinya sekolah menengah Melayu. Dan bayangkan kalau dulu mereka ini tidak berjuang mati-matian untuk mendapatkannya. Demikianlah sekolah menengah Melayu bukan diberikan oleh kerajaan secara percuma kepada rakyat Malaysia.   Barangkali wajar ditanyakan pada hari ini di mana letaknya simpati elit Melayu yang menjadi pemimpin negara waktu itu?   Demikianlah juga halnya dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sekolah menengah kebangsaan melahirkan ramai pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran sampai ke peringkat universiti. Peluang mereka terbatas kerana di Universiti Malaya hanya Jabatan Pengajian Melayu dan kemudian Jabatan Sejarah yang sedia menerima mereka. Hanya 0.03 pertus pelajar sekolah kebangsaan yang berjaya melanjutkan pendidikan ke peringkat universiti.   Dalam hubungan ini intelektual Melayu di bawah pimpinan Syed Nasir Ismail (Allah Yarham Tun) telah menubuhkan Badan Penaja penubuhan universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Badan ini dengan cepat mendapat sokongan daripada organisasi mewakili guru, pelajar, sasterawan, wartawan dan orang ramai. Pada peringkat awal Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran masa itu menyatakan penentangannya terhadap gagasan itu. Akhirnya sesudah diadakan Kongres Universiti Kebangsaan maka pihak kerajaan tidak mempunyai pilihan yang lain melainkan menerima syor penubuhan universiti kebangsaan. Ini membawa revolusi kepada system pendidikan tinggi di Malaysia.   Demikianlah kita lihat dari dulu hingga hari ini kerajaan tidak pernah bersunguh-sungguh atau komited dengan usaha memperkasa bahasa Melayu. Semua usaha lahir daripada cetusan fikiran dan desakan rakyat. Dalam hal ini sikap pemimpin Melayu sentiasa bertentangan

3/7

Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

dengan sikap orang ramai.     Kita harus menempatkan usaha kerajaan sekarang ini mengubah bahasa pengantar matematik dan sains daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam konteks sejarah ini. Ini bukan hasrat yang baru. Memang selamanya kerajaan yang ada pada hari ini yang diterajui oleh elit Melayu tidak pernah percaya akan keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar budaya tinggi. Perubahan ini dijalankan secara senyap-senyap tanpa perbincangan awam, jauh sekali mengadakan kongres.   Malahan mereka galak menuduh mereka yang mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai fanatik bahasa, kuno, ketinggalan zaman, anti bahasa Inggeris dan anti dwi-bahasa. Mereka tidak sedar bahawa ramai yang memperjuangkan bahasa Melayu ini menguasai dua bahasa dengan baik secara aktif.    Mereka yang membuat keputusan mengubah bahasa pengantar sains dan matematik ini cukup angkuh kerana tidak mahu merujuk kepada pendapat pakar, berlagak sok tahu segala-galanya. Sedangkan belum pernah dibuktikan di mana-manapun bahawa mengajar sains dan matematik dalam sesuatu bahasa itu boleh meningkatkan penguasaan bahasa itu. Apakah kerana selama ini mereka diberi kuasa yang besar untuk memerintah, mereka menjadi angkuh dan tidak lagi mahu mendengar pandangan orang awam dan pakar. Lebih-lebih lagi apa yang dilakukan ini bertentangan dengan dasar dan akta.   Apakah kita mahu membiarkan diri didera oleh sejarah?   Pada awal tahun enam puluhan dulu, kerajaan telah melempar keluar tulisan Jawi dari bilik darjah sekolah kebanggsaan. Maka beberapa generasi anak Malaysia, khususnya anak Melayu menjadi buta Jawi. Saya masih ingat adik saya, yang kemudiannya, belajar di luar negara tidak dapat berhubungan melalui surat dengan ibu saya. Ibu hanya boleh membaca dan menulis Jawi sedangkan adik saya buta Jawi. Jurang komunikasi seperti ini menyedihkan tetapi pemimpin negara tidaklah menganggap perkara penting sehingga perlu membetulkannya.   Bahawa tidak menguasai tulisan Jawi itu menyukarkan anak-anak membaca al-Quran pun dianggap isu yang remeh sahaja. Bukankah sudah ada sekolah agama untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran? Apabila tidak tahu tulisan Jawi maka nama Abdul Ghafar dan Abdul Ghani pun disebut Abdul Gafar and Abdul Gani saja, lain daripada asalnya. Ini isu remeh temeh yang hanya dibangkitkan oleh ahli-ahli bahasa yang sudah ketinggalan zaman!   Sejak saya kanak-kanak lagi akhbar tulisan Jawi seperti Utusan Melayu dan Majlis serta majalah seperti Mastika dan Qalam menjadi bahan bacaan utama kepada penduduk Malaysia. Akhbar dan majalah ini memainkan peranan utama memberikan maklumat terkini dan pengetahuan am kepada orang ramai. Bahawa membaca dan menulis Jawi itu lebih cepat daripada tulisan rumi pun tidak dianggap sebagai kelebihan. Saya lihat ramai pelajar universiti tahun enam-puluhan mengambil nota dengan cepat dan cekap dalam tulisan Jawi. Ini pun tidak dianggap keuntungan yang begitu besar.   Mengapa bangkitkan isu tulisan Jawi ini? 

4/7

Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

  Barangkali jawapannya lebih baik dalam bentuk soalan pula. Apakah kita prihatin terhadap hakisan warisan yang kita terima daripada ibu bapa, datuk nenek kita ini?  Atau dalam zaman mengejar kemajuan dalam kelajuan supersonik, kita patut abaikan saja warisan turun temurun ini?   Tetapi apabila akhbar Uutusan Melayu hilang daya ekonominya, tidak boleh bertahan secara komersial sebagai sebuah akhbar timbullah semacam panik. Lahirlah usaha untuk menyelamatkan Utusan Melayu. Akhirnya Utusan Melayu menjadi sisipan saja kepada Utusan Malaysia.    Saya bangkitkan perkara ini untuk menyedarkan diri kita bahawa akibat daripada keputusan yang dibuat oleh pemimpin kita hari ini akan dirasakan oleh generasi akan datang, 40 atau 50 tahun lagi. Pada waktu itu, seperti halnya dengan tulisan Jawi, kita tidak akan berdaya memusingkan jarum jam sejarah ke belakang.    Jika dulu, tulisan Jawi diusir keluar dari bilik darjah melalui pintu hadapan. Pada hari ini, sejak 2003 bahasa Melayu dicampak keluar dari bilik darjah melalui jendela. Melalui jendela kerana dibuat secara sembunyi-sembunyi; kerana apa? Kerana  bertentangan dengan Akta Pendidikan.    Mulai 2003 mata pelajaran matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris. Gambaran yang dikemukakan kepada umum bahawa ini hanya melibatkan dua mata pelajaran saja. Tetapi apabila sampai kepada tingkatan IV Sains, peratusnya sudah meningkat kepada lebih 80%. Apa lagi apabila sampai ke peringkat fakulti. Fakulti Perubatan, Farmasi, Kejuruteraan, Sains, Kejuruteraan, Alam Sekitar, Arkitek dan banyak lagi akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar seratus peratus. Inilah yang saya katakan dilaksanakan dengan cara sembunyi-sembunyi!   Apabila ini berlaku maka hasrat memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggal impian belaka. Istilah baru dalam bidang sains, teknologi, perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain tidak perlu dicipta, istilah yang sedia tercipta tidak digunakan. Buku tidak akan ditulis dan diterbitkan.   Perbincangan awam pun dalam bidang-bidang alam sekitar, kesihatan, pembangunan manusia, ekonomi, kewangan dan lain-lain tidak akan dapat dijalankan dalam bahasa Melayu kerana istilah baru tidak dicipta dan penggunanya tidak lagi fasih menggunakan bahasa Melayu. Ahli-ahli parlimen juga akan mendapati sukar membincangkan isu-isu semasa dalam bahasa Melayu. Oleh kerana terlalu sering terpaksa mengatakan ‘dengan izin’ maka paa akhirnya mereka akan dibenarkan terus menggunakan bahasa Inggeris.   Dan selanjutnya para wartawanpun akan mendapati sukar membuat liputan persidangan parlimen dan lain-lain persidangan dalam bahasa Melayu. Akibatnya akhbar berbahasa Melayu tidak lagi akan berdaya maju sebagai badan perniagaan. Edarannya tidak cukup besar untuk menampung kos penerbitannya. Seperti akhbar tulisan Jawi sekarang ini, akhbar berbahasa Melayu 40 tahun nanti akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris – tidak musthail juga

5/7

Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

akhbar Cina - di negara Malaysia merdeka yang kita cinta ini!   Apakah bayangan masa depan kedudukan bahasa Melayu ini khayalan belaka? Jika sejarah tulisan Jawi di Malaysia boleh kita jadikan iktibar, maka kesimpulan ini suatu kemungkinan yang munasabah dan amat menyedihkan lagi menakutkan.   PENUTUP - Jika projek mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini diteruskan maka bahasa Melayu akan berhenti daripada menjadi bahasa moden, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. - Nanti tidak ada lagi keperluan kepada istilah baru dan penerbitan seperti buku dan majalah dalam bidang sains dan teknologi. - Akhbar Melayu akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. - Masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar/lulusan sekolah dan IPT suatu perkara yang serius. Penyelesaian mesti dicari untuk mengatasinya. Mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris bukan kaedah yang telah teruji dimana-manapun untuk menyelesaikan masalah ini. - Perlu dikaji semula kaedah mengajar bahasa, apa bahasapun. Dalam hal bahasa Inggeris di sekolah bagaimana kedudukan kemahiran para guru, apakah korikulumnya sesuai, apakah alat bantunya mencukupi, bagaimana suasana pembelajaran dan lain-lain. Kita boleh memanfaatkan pengalaman negara lain dan orang lain. - Mungkinkah mengajar sesuatu bahasa dalam kelas terdiri daripada 40 orang atau lebih? Kajilah kaedah lain yang menggunakan pendekatan individual. - Kaedah yang telah teruji meningkatkan kemahiran bahasa ialah melalui pembacaan. Maka itu kursus seperti membaca kesusasteraan atau karya besar dalam bahasa Inggeris akan jauh lebih berkesan daripada mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. - Jika projek mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan maka hasrat memperkasa bahasa Melayu akan jadi dongeng Mat Jenin sahaja. - Pada mulanya saya mahu mengatakan di Negara Malaysia ini nanti bahasa Melayu akan menjadi bahasa nombor tiga sesudah Inggeris dan Mandarin. Tetapi sesudah membuat tempahan bilik di Seri Malaysia Kuantan dan mendapat surat jawapan dalam dua bahasa dan bahasa Melayu sama sekali tidak digunakan maka jelaslah bahasa Melayu bukan di nombor tiga tetapi nombol nol. Saya bercerita agak panjang tentang sejarah yang melanda tulisan Jawi untuk menjadikannya sebagai iktibar dalam menghadapi masalah kebahasaan kita hari ini. Kini mereka yang membuat keputusan mengeluarkan Jawi dari bilik darjah sudah tidak ada lagi bersama kita. Generasi hari inilah yang menanggung akibatnya. Allah Yarham Tun Hussein Onn dulu sering mengatakan beliau sangat takut membuat keputusan yang salah. ‘Nanti orang akan kencingkan kubur saya,’ katanya.   Apakah anak cucu Allah Yarham tidak mempunyai ketakutan yang sama?    Wallhua’lam  

6/7

Bahasa Melayu Dan Pemerkasaannya

 

 

Aneh: waktu nak langgar Akta tidak perlu buat kajian, tak tanya pendapat orang ramai. Sekarang nak betulkan kesalahan mesti buat kajian dan minta pendapat orang ramai.

Dari mana timbul ketololan mengajar Sains dan Matematik boleh meningkatkan penguasaan sesuatu bahasa? Bagaimana pemimpin kita boleh tergamak memperjudikan nasib anak bangsanya dengan bereksperimen dengan masa depan mereka? Ketololan ini tidak dapat disembunyikan di sebalik tuduhan mereka yang menentang usaha durjana ini sebagai anti bahasa Inggeris dan anti dwibahasa.

Yang telah terbukti selama ini kesusasteraan boleh membantu pengajaran bahasa, apa bahasa pun.

 

Oleh Abu Bakar A Hamid (Dibentangkan dalam Konvensyen Tamaddun Malaysia dan Bahasa Melayu Anjuran PKPIM, DBP dan Majlis Perwakilan Pelajar, UIAM, Kuantan di Dewan Besar, UIAM Kuantan, Pahang Sabtu, 9 Ogos 2008)

7/7