Sejauh Manakah DBP Memainkan Peranan Memperkasa Bahasa Melayu

Document Sample
Sejauh Manakah DBP Memainkan Peranan Memperkasa Bahasa Melayu Powered By Docstoc
					Sejauh Manakah DBP Memainkan Peranan Memperkasa Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan.
Oleh Nazri Bin Abu Bakar Muhammad Salaebing Shamsinah Bt. Salleh Norizillah Bt. Mohd. Rodzes Laila Bt. Abdullah Fatahiyah Bt. Mohd. Ishak Latar Belakang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya, Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Penubuhan DBP adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Di peringkat awal itu, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16-21 September 1956, Kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu juga, DBP dinaikkan taraf sebagai sebuah badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri. Pada tahun 1957, DBP berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya, yang selaras dengan perisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tinggal negara. Biarpun berumur ‘setahun jagung’ dan beroperasi di sebuah pejabat yang usang lagi daif, DBP tetap bersemangat waja untuk mendepani segala cabaran. Pada tahun 1959, DBP menempa kejayaan apabila dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan menaikkan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu: (i) Menggubal dasarnya yang khusus; (ii) Menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; (iii) Menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan. Kuasa autonomi di atas juga adalah selaras dengan matlamat utama DBP untuk membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan sesuai dengan dasar negara dan hasrat rakyat. Pada 31 Januari 1962, DBP berpindah ke bangunannya sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama ( sekarang Jalan Dewan Bahasa). Perpindahan ini memberi gambaran betapa bersungguhnya DBP memainkan peranannya sebagai institusi yang menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara. Pada tahun 1977, DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan membuka dua cawangan, iaitu: DBP Cawangan Sabah yang beribu pejabat di Kota Kinabalu dan DBP Cawangan Sarawak yang beribu pejabat di Kuching. Kedua-dua cawangan ini menjalankan tugas pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, di samping membantu ibu pejabat DBP di Kuala Lumpur menjalankan tugas penerbitan dan pemasaran buku di Sabah dan Sarawak.

Ini diikuti pula dengan pembukaan tiga Pejabat DBP Wilayahnya, iaitu Pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (1999), Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan (1999) dan Pejabat DBP Wilayah Selatan, Johor Bharu, Johor (2000). Pembukaan ini adalah untuk membantu menyebarluaskan bahasa, sastera dan budaya Melayu hingga ke Thailand negara-negara Indo-China, Sumatera dan Singapura. DBP akhirnya mendapat restu daripada Kerajaan dengan terbina bangunan baharu setinggi 33 tingkat yang siap dibina pada tahun 2002. Bangunan ini memuatkan ruang pejabat, Muzium Bahasa dan Sastera, auditorium dan Galeri Penulis. Di samping itu, ia menjadi mercu tanda bahasa dan sastera melalui penyediaan pelbagai kemudahan canggih untuk melaksanakan pelbagai kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kepustakaan bahasa Melayu.

Perancangan Strategik Menjelang Tahun 2020 Berbekal Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, yang memberinya kuasa autonomi untuk melaksanakan tugas membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan di Malaysia, DBP telah menyatakan wawasan dan misi untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia menjelang tahun 2020. Wawasan keramat ini termaktub dalam Matlamat, Falsafah, Misi, Moto, Rukun Budaya Korporat dan Piagam Pelanggan. Matlamat 1. Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. 2. Memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. 3. Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain. 4. Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. 5. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. 6. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya dapat digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Falsafah Pembinaan Negara Bangsa melalui Bahasa Melayu. Ungkapan ini merupakan manifestasi tugas yang akan dilaksanakan oleh DBP, dan cara melaksanakan program dan aktiviti yang terancang, demi penegasan identiti dan pengukuhan status bahasa Melayu sebagai wahana berfikir dan berkomunikasi serta wahana membina tamadun moden bangsa Malaysia. Misi Menjadikan Bahasa Melayu Bahasa Ilmu yang Berwibawa dalam Pembinaan Tamadun Bangsa. Moto “Bahasa Jiwa Bangsa”

Pemodenan Korpus Bahasa Melayu Pemodenan Korpus Bahasa Melayu bergerak melalui beberapa program, iaitu Bank Istilah Berkomputer dalam Talian (Bikomta), Kerjasama Kebahasaan Peringkat Serantau, Pembinaan dan Pemantapan Korpus Bahasa Melayu, Sebutan Baku Bahasa Melayu, Penyusunan dan Penulisan Sejarah Bahasa Melayu, Kodifikasi Bahasa Melalui Perkamusan dan Pengkomputeran Bahasa Melayu. i. Bank Istilah Berkomputer dalam Talian (Bikomta) Penggunaan komputer dalam kerja peristilahan kini semakin meningkat. DBP telah menubuhkan Bikomta yang merupakan satu sistem penyimpanan dan perekodan maklumat tentang istilah yang diterbitkan oleh DBP dengan menggunakan komputer. Sistem ini dimulakan pada awal tahun 1980-an dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM). Keupayaan Bikomta ini ditingkatkan dari semasa ke semasa menyediakan maklumat yang tuntas dan kemas kini tentang sesuatu istilah. ii. Kerjasama Kebahasaan Peringkat Serantau Penubuhan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada tahun 1972 memulakan era baru dalam kerjasama kebahasaan di rantau ini. Dengan penyertaan negara Brunei Darussalam dalam kerjasama ini, MBIM diperluas menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam- Indonesia- Malaysia (MABBIM) pada tahun 1985. Singapura juga sering mengikut sidang MBIM dan MABBIM sejak tahun 1983 sebagai pemerhati. Kerjasama ini telah menghasilkan penyeragaman pedoman ejaan dan transliterasi, penyeragaman pedoman pembentukan istilah, di samping penyeragaman istilah-istilah ilmu pengajian tinggi dan profesional. Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu merupakan hasil yang penting daripada kerjasama tersebut yang telah banyak membentuk kerja-kerja peristilahan. Setelah hampir 25 tahun penubuhannya, MBIM/MABBIM berjaya memperlihatkan hasil kebahasaan yang semakin mantap dimasyarakatkan di ketiga-tiga buah negara. Sejumlah 164049 istilah dalam pelbagai bidang/subbidang ilmu telah berhasil disepakati. Selain itu, sebanyak 40 buah kamus istilah dapat diterbitkan dalam tempoh dari tahun 1986-2002 dan beberapa buah kamus yang lain sedang diusahakan. Antara hasil kerja peristilahan berbentuk penerbitan sepanjang dua dekad yang lalu termasuklah: (i) Pedoman dan Daftar (enam judul); (ii) Kamus Istilah (empat puluh judul); (iii) Prosiding Seminar Kebahasaan (tiga keluaran); (iv) Jurnal Serantau (tiga keluaran); dan (v) Terbitan Khas: Persidangan dan Keputusan 19721992; Ke Arah Pembentukan Istilah yang Sempurna; General Guidelines for the Formation of Terms in Malay; General Terminological Cictionaries; dan MABBIM Wahana Kebahasaan Serantau yang Akrab, Mantap dan Berwibawa. Sehingga tahun 2002, iaitu sepanjang hampir 46 tahun, DBP telah berjaya menyebarkan sebanyak 752988 istilah menerusi penerbitan dalam pelbagai bidang dan kerja penciptaan istilah terus dijalankan. iii. Pembinaan dan Pemantapan Korpus Bahasa Melayu Pembinaan dan pemantapan korpus bahasa Melayu yang diasaskan pada penyelidikan ilmiah terhadap bahasa dan penggunaannya di kalangan masyarakat bertujuan untuk membakukan dan memantapkan aspek-aspek bahasa, seperti sistem ejaan, sebutan,

tatabahasa, sejarah bahasa Melayu, laporan kaji selidik penggunaan bahasa Melayu, dan perancangan pembinaan dan pengembangan bahasa secara menyeluruh. a. Ejaan Rumi Bahasa Melayu Pada bulan Mac 1957, DBP telah menerbitkan risalah yang pertama, iaitu Kaedah Ejaan Rumi Bahasa Melayu. Seterusnya, usaha telah dijalankan untuk menggandakan satu sistem ejaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Pada 27 Jun 1967, kedua-dua negara telah mencapai keputusan muktamad di DBP, dan sistem ejaan bersama Malaysia-Indonesia pun dilaksanakan. Sistem Ejaan Baharu tersebut telah diisytiharkan secara rasmi serentak di kedua-dua buah negara pada 16 Ogos 1972. Pada tahun 1975, DBP telah menerbitkan sebuah buku pedoman ejaan, iaitu Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Dengan terbitnya buku ini, maka sebahagian besar kekeliruan tentang sistem ejaan bahasa Melayu dapat diatasi. Pada tahun 1981, DBP telah mengeluarkan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia. Buku yang paling mutakhir tentang sistem ejaan Rumi bahasa Melayu ialah Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 1996. b. Ejaan Jawi Bahasa Melayu Usaha yang dilakukan oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Diraja Johor (1937) dan Allahyarham Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba pada tahun 1939, merupakan langkah awal ke arah pembinaan dan pemantapan sistem ejaan Jawi di negara ini. Selepas itu, usaha untuk meneliti dan menyempurnakan ejaan Jawi tidak berlaku sehingga akhir tahun 1970-an, kecuali oleh pihak swasta, seperti penerbit majalah Dian. Dalam dekad 1980-an, usaha untuk membina dan memantapkan sistem ejaan Jawi semakin giat dilakukan. Pada tahun 1981, Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia telah memperakukan supaya sistem ejaan Jawi yang sedia ada hendaklah dikaji semula dan diperkemaskan. Pada tahun 1996, buku Pedoman Ejaan Jawi Bahasa Melayu diusahakan penerbitannya. Buku ini memuatkan maklumat terkini tentang sistem ejaan Jawi yang disusun berdasarkan dokumen pedoman ejaan Jawi yang telah diterbitkan oleh DBP, dan maklumat yang diselaraskan selepas terbitnya Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1989), buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1993) dan Pedoman Ejaan Jawi Bahasa Melayu telah diterbitkan dan dilancarkan pada tahun 2001. iv. Sebutan Baku Bahasa Melayu Perancangan pembakuan sebutan bahasa Melayu merupakan salah satu objektif DBP, iaitu sebagaimana yang termaktub dalam Akta DBP 1959 (disemak 1978/95): “ (iv) Untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam kebangsaan.” Pelaksanaan sebutan baku di Malaysia bermula apabila Kementerian Pendidikan memulakan penggunaan sebutan baku di sektor pendidikan pada penggal kedua tahun 1988, berdasarkan Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/1988: Pelaksanaan Penggunaan Sebutan Baku Ejaan Rumi Bahasa Malaysia di Sekolah-Sekolah bertarikh 2 April 1988. dengan demikian, DBP telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku pedoman sebutan berdasarkan Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu (1988), Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu (1991) dan Pedoman Sebutan Baku Bahasa Malaysia (1994).

v. Penyusunan dan Penulisan Sejarah Bahasa Melayu Gagasan untuk menyusun sejarah bahasa Melayu timbul dengan adanya keinsafan dan kesedaran terhadap ketiadaan satu dokumen yang lengkap, menyeluruh dan yang berwibawa secara ilmiah tentang sejarah bahasa Melayu. Justeru itu, DBP telah berusaha untuk menyusun sejarah bahasa Melayu sebagai satu projek jangka panjang dan bersifat antarabangsa. Projek ini dimulakan pada awal tahun 1984. Sehingga penghujung tahun 1995, sebanyak 11 penerbitan di bawah siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu telah diterbitkan. Pada tahun 2000, Jabatan Bahasa meneroka satu tapak lagi dalam penyusunan sejarah bahasa Melayu, iaitu Projek Sejarah Lisan Perkembangan Bahasa Melayu di samping melanjutkan kajian tertulis. vi. Kodifikasi Bahasa Melalui Perkamusan Kodifikasi atau pengekodan bahasa Melayu dipercayai telah bermula sejak awal abad ke-20 lagi dengan terbitnya kamus yang diberi judul Kitab Benih Bahasa susunan Fadhil Jaafar pada tahun 1917. Buku ini merupakan kamus Melayu yang pertama dihasilkan pada abad ke-20. selepas itu, Kamus al-Muhamudiah (1925) susunan Syed Mahmud Syed Abdul Kadir al-Hindi; Kamus Melayu (1935) susunan Shamsuddin Yunos al-Haj: Buku Katan P.Bm. P.B. Diraja Johor (1936); Kamus Angkatan Bahasa Melayu (1957) susunan Che Yusof Ahmad et al.; dan Kamus Bahasa Melayu (1960) susunan R.O. Winstedt. Selepas kamus ini, terbit Kamus Am Bahasa Melayu (1961) susunan Md. Shah Jetty. Kamus Dewan, iaitu kamus ekabahasa yang pertama bagi DBP telah berjaya diterbitkan pada tahun 1970, dan diulang cetak pada tahun 1984, dengan perubahan ejaan mengikut sistem ejaan baru; edisi kedua, iaitu Kamus Dewan Edisi Baru diterbitkan pada tahun 1989; dan edisi ketiga diterbitkan pada tahun 1994. Kamus Melayu Edisi Pelajar, iaitu Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar, terbit pada tahun 1975. lanjutan daripada kamus ini, Kamus Pelajar Bahasa Malaysia telah diterbitkan pada tahun 1983. Kamus Pelajar disusun berasaskan Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar dan sebahagian besar daripada kandungannya diserap daripada kamus tersebut, tetapi dilakukan sedikit pengubahsuaian. Selain kamus ekabahasa, kamus pelbagai bahasa juga penting dalam kodifikasi bahasa Melayu. Kamus pelbagai bahasa bertujuan untuk memenuhi hasrat dan keperluan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Atas kesedaran ini, pada pertengahan tahun 1971, Kamus Dwibahasa, iaitu Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia telah mula diusahakan dan terbit pada tahun 1991. Selain kamus dwibahasa Inggeris-Melayu, terdapat beberapa kamus dwibahasa lain yang sedang diusahakan oleh DBP, iaitu Kamus Bahasa Tamil-Bahasa Melayu Dewan, Kamus Bahasa Mandarin-Bahasa Melayu Dewan dan Kamus Bahasa Korea-bahasa Melayu Dewan serta kamus bahasa-bahasa utama dunia-bahasa Melayu. Pada tahun 1996, Kamus Perancis-Melayu Dewan telah diterbitkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kedutaan Perancis di Malaysia. DBP juga turut memberi penumpuan pada penerbitan kamus khusus dan teknikal. Bertitik tolak daripada hasil sidang MBIM ke-14 di Bali, bahan istilah Hidrologi, Meteorologi dan Ilmu Kependudukan disediakan sebagai bahan pertukaran untuk Sidang MBIM ke-15, pada bulan September 1980. Akhirnya, penyusunan kamus yang didasarkan pada hasil sidang kelompok Hidrologi MBIM-UNESCO yang pertama, kedua, ketiga dan keempat iaitu Kamus Istilah Hidrogeologi, berjaya diterbitkan pada tahun 1982. Untuk membantu usaha menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai bentuk

kamus khusus diusahakan. Kamus bahasa sukuan yang pertama diterbitkan oleh DBP ialah Kamus Bahasa Iban-Bahasa Malaysia pada tahun 1989. Beberapa glosari dialek turut diusahakan, antaranya: Glosari Dialek Terengganu, Glosari Dialek Kedah, Glosari Dialek Kelantan, Glosari Dialek Negeri Sembilan, Glosari Dialek Pulau Pinang dan Glosari Dialek Perak. Tesaurus bahasa Melayu yang pertama diterbitkan oleh DBP pula ialah Tesaurus Umum Bahasa Melayu pada tahun 1990 dan Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu pula diterbitkan pada tahun 1995. Satu lagi kamus yang telah diterbitkan oleh DBP ialah Kamus Kebalikan Dewan pada tahun 1995. kamus Kebalikan Dewan berbeza daripada kamus biasa kerana proses penggunaan kamus ini terbalik daripada kamus biasa. Kamus jenis ini membolehkan pengguna mencari sesuatu perkataan apabila makna perkataan itu diketahui secara kasar, seperti yang digunakan dalam teka silang kata. vii. Pengkomputeran Bahasa Melayu Pengkomputeran bahasa, dalam perspektif yang luas, melibatkan dua perkara utama, iaitu penyediaan prasarana dan pemprosesan bahasa. Dari sudut linguistik, yang dimaksudkan dengan aspek pemprosesan bahasa (khususnya bahasa tabii) ialah pengkomputeran bahasa per se. Walau bagaimanapun, aspek-aspek pembinaan dan pembangunan sistem yang sekadar mengautomatikkan kerja rutin yang dahulunya ditangani secara insani juga dikatakan pengkomputeran, tetapi secara tegar, bukan pengkomputeran bahasa. a. Pangkalan Data Bahasa Melayu Berkomputer Pembinaan Pangkalan Data Bahasa Melayu Berkomputer bertujuan untuk menyepadukan semua sistem aktiviti dan program kebahasaan berkomputer yang telah dibina, supaya saling dicapai antara satu dengan yang lain bagi tujuan mempermudah dan mempercepat segala aktiviti kebahasaan dan pemprosesan maklumat bahasa. Pangkalan Data Bahasa Melayu Berkomputer mengandungi pelbagai pangkalan data dan sistem pengkomputeran bahasa, iaitu sistem pengkomputeran bahasa,iaitu Sistem Peristilahan Berkomputer, Pangkalan Data Leksikon, Pangkalan Data Korpus, Pangkalan Data Perkamusan, Pangkalan Data Umum Bahasa Melayu dan Sistem Khidmat Nasihat Bahasa. b. Sistem Peristilahan Berkomputer (Bikomta) Sistem Peristilahan Berkomputer merupakan sistem penyimpanan dan perekodan maklumat tentang istilah yang dibentuk di DBP dalam sistem komputer. Projek peristilahan menggunakan komputer pada tahun 1979, merupakan titik permulaan wujudnya usaha sama antara DBP dengan Universiti Sains Malaysia (USM). Pada tahun 1982, setelah sistem ini siap dibina, satu perjanjian kerjasama pengkomputeran bahasa antara DBP dengan USM dan IBM World Trade Corporation telah diadakan. Dalam kerjasama ini, DBP bertindak sebagai pengguna dan pembekal maklumat bahasa, USM sebagai pembina dan pembekal perisian sistem peristilahan, dan IBM pula sebagai pembekal perkakasan komputer. Sistem ini disertakan kepada DBP untuk diuji guna. c. Pangkalan Data Leksikon Pangkalan Data Leksikon dibina untuk mereka bentuk dan membina sebuah sistem leksikon untuk menyimpan semua maklumat tentang sesuatu kata dalam bahasa

Melayu, termasuk maklumat, seperti ejaan, sebutan, makna, morfologi, sintaksis dan etimologi. Pangkalan Data Leksikon terdiri daripada sistem leksikon yang dibina oleh USM, dan sistem daftar induk bahasa Melayu (Dafin BM) yang diusahakan di DBP. Pangkalan data ini telah diwujudkan sejak akhir tahun 1980-an. Sebuah sistem leksikon prototaip telah siap dibina pada tahun 1990 dan pembinaan data diusahakan dengan giatnya melalui kerjasama DBP-USM. d. Pangkalan Data Korpus Projek Pangkalan Data Korpus mempunyai dua matlamat, iaitu pembinaan sistem korpus dan pengumpulan data korpus sebanyak 50 juta perkataan menjelang tahun 2000. Sistem korpus dibina untuk tujuan memproses dan mengolah data mentah bahasa Melayu yang komprehensif ke dalam bentuk output, yang menjadi asas analisis dan kajian bahasa Melayu terutamanya untuk penyusunan pelbagai jenis kamus. Data korpus yang terakam dikategorikan mengikut karya asli, karya terjemahan, buku klasik, data akhbar, majalah, efemeral, puisi, drama dan kad bahan. e. Pangkalan Data Perkamusan Secara ringkas, matlamat projek Pangkalan Data Perkamusan adalah untuk mereka bentuk dan membina sebuah sistem perkamusan yang dapat menyimpan semua kamus terbitan DBP dalam suatu sistem pangkalan data perkamusan, untuk menyusun kamus baru dan menjana kamus terbitan daripada kamus-kamus yang sudah ada dalam Pangkalan Data Perkamusan. Pada masa hadapan, Pangkalan Data Perkamusan ini boleh beroperasi pada persekitaran antara muka pengguna grafik atau tetingkap, dengan pemprosesan boleh dilakukan secara dalam talian dan luar talian, dan pencapaian boleh dibuat melalui LAN dan WAN. f. Pangkalan Data Umum Bahasa Melayu Pangkalan data ini merupakan salah satu impian DBP yang dirancang untuk menempatkan segala maklumat kebahasaan, khususnya buku dan bahan rujukan yang berkaitan dengan pedoman dan rumus bahasa. Pangkalan data ini masih di peringkat pembinaan yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Semua penyelidikan tentang kebahasaan sedapat-dapatnya diusahakan dengan menggunakan komputer, dan bahan kebahasaan yang telah diterbitkan ditukarkan ke bentuk terbacakan komputer untuk dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Umum Bahasa Melayu. Pangkalan data ini dibina untuk menyimpan maklumat dalam bentuk teks wacana yang utuh, seperti buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, Pedoman Umum Transliterasi ArabRumi, Daftar Ejaan Rumi dan Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu; maklumat para penyelidik dan pakar bidang yang terlibat dengan DBP; maklumat kegiatan penyelidik bahasa yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh DBP khususnya, dan oleh badan penyelidikan kebahasaan yang lain amnya; dan segala perisian yang digunakan untuk memproses bahasa, seperti penyemak ejaan, penyemak tatabahasa, penanda dan penghurai. Pangkalan data ini akan menjadi pusat sumber rujukan umum bahasa Melayu yang lengkap dan kemas kini untuk kegunaan orang awam dan para penyelidik melalui LAN atau WAN untuk tujuan rujukan ataupun penyelidikan.

Kempen Kesedaran Bahasa i. Minggua Bahasa Kebangsaan Gerakan yang bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan di kalangan rakyat dilancarkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 30 Januari 1960 dan berakhir pada 6 Februari 1960. Gerakan ini dicadangkan oleh DBP kepada kerajaan melalui Kementerian Pelajaran, DBP diberi mandat untuk merancang dan mengatur persiapan dan mengumpul segala tenaga untuk melaksanakan rancangan itu. Tun Syed Nasir Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pusat Minggu Bahasa Kebangsaan. Gerakan ini diadakan juga di setiap negeri Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1961, gerakan ini diperbesar menjadi gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan. ii. Bulan Bahasa Kebangsaan Pada tahun 1961, sekali lagi DBP menerima tugas daripada Kementerian Pelajaran untuk menangani gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan pada 28 Januari 1961. Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan selama enam tahun, iaitu dari tahun 1961 hingga tahun 1966. Bulan Bahasa Kebangsaan mempunyai dasarnya yang tersendiri, dikukuhkan dengan cara kerja dan acara yang bersepadu pada peringkat negeri dan daerah. Bulan Bahasa Kebangsaan telah diadakan secara berperingkatperingkat. iii. Gerakan Cintailah Bahasa Kita Program Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 oleh Perdana Menteri Malaysia, bertujuan untuk membina kesedaran dan mewujudkan budaya berbahasa kebangsaan di kalangan masyarakat pengguna bahasa di Malaysia. Sempena pelancaran Gerakan Cintailah Bahasa Kita, beberapa kegiatan dilaksanakan. Antaranya termasuklah penyiaran lagu tema Gerakan Cintailah Bahasa Kita di RTM dan TV3; penerbitan dan pengedaran risalah bahasa terbitan DBP; pengedar poster dan pelekat kempen; penayangan filem lagu tema di pawagam; promosi kempen melalui media cetak dan elektronik; pembinaan papan iklan besar di tempat-tempat strategik di Wilayah Persekutuan; dan pameran buku pengajian tinggi. Di antara tahun 1990 hingga tahun 1994, kegiatan yang digerakkan sempena Gerakan Cintailah Bahasa Kita termasuklah penyebaran bahan-bahan panduan bahasa kepada masyarakat. Antara bahan yang diedarkan termasuklah Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu, Bahasa Melayu dan Penyalahgunaannya, risalah Khidmat Nasihat Bahasa dan Ke Arah Bahasa Melayu yang Berkesan. Gerakan yang diadakan pada peringkat pusat dan peringkat negeri ini telah memberikan kesan yang positif terhadap beberapa golongan masyarakat pengguna bahasa di negara kita, termasuklah sektor perundangan dan kehakiman, yang secara langsung atau tidak langsung, menghasilkan pindaan terhadap Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, yang menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah bermula pada Jun 1990. iv. Pengantarabangsaan Bahasa Melayu DBP sebagai institusi bahasa yang berwibawa di Malaysia memang sentiasa proaktif mengembangkan dan mencitrakan bahasa Melayu di peringkat ASEAN, dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Majlis Bahasa Brunei Darussalam-IndonesiaMalaysia (MABBIM) sejak 21 tahun kebelakangan ini menjadi tapak langsung

kerjasama kebahasaan pada peringkat ASEAN, khususnya dalam bidang penyelarasan peristilahan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Langkah awal yang dimulakan oleh DBP untuk merangka hala tuju pengantarabangsa bahasa Melayu adalah dengan mengadakan Kongres Bahasa Melayu Sedunia dari 21 hingga 25 Ogos 1995, yang antara lain, mengusulkan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), penubuhan pusat pemelajaran bahasa Melayu di luar negara. Supaya bahasa Melayu dijadikan salah satu bahasa rasmi dalam setiap pertemuan negara-negara Asia Tenggara dan antarabangsa, meneruskan dan meningkatkan pusat bahasa dan pengajian Melayu di luar negara, di samping membuka peranan yang lebih cergas dalam soal memperkenalkan serta menggalakkan pengajaran bahasa Melayu di luar negara. DBP juga mengadakan kerjasama kebahasaan dengan pelbagai institusi di peringkat antarabangsa dengan mengadakan dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama beberapa institusi, antaranya: Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU). Beijing; Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni dan Kebudayaan Islam (IRCICA), Istanbul; Prince of Songkla University (PSU) Pattani, Thailand; Institut Kajian Asia Tenggara (ISAC), Hanoi, Vietnam; The University of New South Wales (UNSW) Sydney, Australia; dan Persatuan Nusantar, Moscow, Rusia. Di samping itu, DBP juga mengadakan kerjasama kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan dengan Goethe Institute, Jerman; British Library, London; World Book International. Chicago; The Australian National University, Australia; China Radio International (CRI), Beijing; Tokyo University of Foreign Studies, Tokyo; Hankuk University of Foreign Studies, Seoul, Korea Selatan; School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London; dan Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia. Dengan mengadakan dan menandatangani memorandum persefahaman serta kerjasama kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan, bersama pelbagai institusi luar negara, maka Malaysia kini telah melangkah ke satu lagi era pemantapan diaspora dan pengantarabangsaan bahasa Melayu ke seantero dunia. Menerusi kebahasaan dan juga sastera serta penerbitan dapat dipertingkat, khususnya pada abad ke-21.

Kejayaan kesan kecapaian yang telah dan bakal dilaksanakan Penerbitan Ensiklopedia DBP memberi keutamaan kepada penerbitan ensiklopedia dalam bahasa Melayu yang akan menjadi sumber rujukan utama. Penekanan diberi kepada ensiklopedia tentang kesusasteraan, bahasa dan kebudayaan. Penerbitan ensiklopedia dalam talian akan diusahakan sementara penerbitan dalam bentuk konvensional masih diteruskan. Penerbitan Majalah Bagi merealisasikan tuntutan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, bahan korpus bahasa dan sastera dalam bentuk penerbitan berkala yang merangkumi pelbagai bidang ilmu juga diterbitkan dan mencakupi sasaran pembaca dari pelbagai peringkat umur dan kelas. Penerbitan berkala yang dimaksudkan ialah majalah dan jurnal. Penerbitan majalah dan jurnal juga diselenggarakan oleh pihak swasta atas nama DBP. Penerbitan cara ini dinamai “francais”. Majalah yang terlibat ialah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Ekonomi dan Dewan Kosmik, manakala penerbitan jurnal pula ialah Kanun, iaitu sebuah jurnal undang-undang.

Penerbitan Buku Sekolah DBP akan terus menerbitkan buku pendidikan bagi memenuhi sebahagian besar keperluan pendidikan negara. Buku yang termasuk dalam kategori ini ialah buku pengetahuan am, buku teks, buku kerja, buku panduan guru dan buku bacaan tambahan yang menyokong pemelajaran sesuatu bidang ilmu berdasarkan kurikulum yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Penerbitan buku sekolah terbahagi kepada dua, iaitu penerbitan buku teks dan buku sokongan. Penerbitan buku teks sekolah (rendah dan menengah) untuk Kementerian Pendidikan Malaysia dilaksanakan atas prinsip kerjasama antara agensi di bawah kementerian berkenaan. DBP memusatkan penerbitan buku teks dalam satu bahagian, iaitu di Bahagian Buku Teks bagi memudahkan pengurusan, penyelarasan dan pemantauan projek serta memaksimumkan penggunaan tenaga kerja dan peralatan. Kerjasama ini bermula dengan Kementerian Pendidikan menyediakan manuskrip bersih untuk DBP. Buku sokongan pula, dirancang penerbitannya bagi menyokong penggunaan buku teks. Selain membina dan mengembangkan bahasa dan sastera, buku sokongan juga disediakan untuk menambah pengetahuan pelajar. Penerbitan Buku Umum Buku umum terbitan DBP meliputi buku kreatif dan informatif serta ilmiah yang tidak terikat dengan kurikulum untuk bacaan masyarakat umum dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa. Skop penerbitan kreatif merangkumi karya sastera klasik dan moden, antologi cerpen, puisi, drama, cereka sains, cerita agama dan komik manakala buku informatif pula, merangkumi buku pengetahuan dalam pelbagai bidang ilmu, esei dan kritikan, biografi, buku panduan, buku istilah, glosari, direktori dan lain-lain. Jenis penerbitan buku kreatif dan informatif pula terdiri daripada karya asli, karya terjemahan, adaptasi dan edisi ringkas. Sejajar dengan matlamat penubuhan dan fungsi DBP, penerbitan buku umum boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu (i) judul yang diterbitkan untuk memenuhi tanggungjawab sosial DBP dan penerbitannya memerlukan subsidi. Kategori ini meliputi buku sastera klasik, antologi puisi dan cerpen, esei dan kritikan, biografi, buku dalam bidang ilmu tertentu dan buku sastera yang digolongkan dalam karya agung; dan (ii) judul yang mempunyai potensi dari sudut pasaran meliputi pelbagai jenis bidang sama ada yang berbentuk kreatif mahupun informatif. Tumpuan dan pengembangan bahasa, sastera, budaya Melayu dan yang merangsang minda pembaca, buku ilmiah seperti teori falsafah serta buku yang bercorak pengetahuan, terutamanya karya asli atau yang dihasilkan oleh tokoh setempat dan yang berunsurkan Malaysiana akan diberi keutamaan. Penerbitan buku ilmiah dalam bidang khusus pula ditangani oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). MAPIM merupakan sebuah badan induk yang bergiat dalam pembangunan bidang penerbitan ilmiah dan saintifik. MAPIM ditubuhkan pada tahun 1996 dan dianggotai oleh semua bahan penerbitan bahan ilmiah dari segi pusat pengajian tinggi awam tempatan dan agensi kerajaan seperti DBP, MARDI, INTAN dan lain-lain. MAPIM berfungsi untuk membangun, mengembang dan menyelaras penerbitan ilmiah di Malaysia dalam pelbagai bidang. Terdapat tiga jawatankuasa yang bernaung di bawah MAPIM, iaitu (i) Jawatankuasa Pemandu MAPIM; (ii) Jawatankuasa Kerja MAPIM; dan (iii) Jawatankuasa Penyelenggara Aktiviti MAPIM. Dalam hal ini, DBP menjadi setiausaha tetap bagi Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja. Penerbitan Elektronik

Bagi menghadapi perkembangan yang pesat dan canggih dalam dunia penerbitan, DBP telah mual melibatkan diri dalam penerbitan elektronik. Jenis penerbitan elektronik yang diusahakan ialah penerbitan multimedia dan penerbitan web. Bahan yang diterbitkan dalam bentuk elektronik ialah bahan rujukan seperti kamus, ensiklopedia, istilah, biografi dan bahan pemelajaran untuk kanak-kanak dan remaja. DBP melalui Unit Multimedia sedang dan akan melaksanakan penerbitan elektronik mengikut kaedah seperti yang berikut: (i) Menjadi pembekal kandungan bahan penerbitan; (ii) Penerbitan bersama dengan syarikat multimedia swasta; dan (iii) Menerbitkan sendiri bahan melalui Unit Multimedia. Penerbitan Bersama DBP sebagai sebuah organisasi bahasa dan sastera terbesar dan terulung di Malaysia tidak ketinggalan menjalankan hubungan dengan beberapa badan penerbit, badan penyelidikan, badan korporat dan beberapa badan lain bukan sahaja dalam negara malahan di peringkat antarabangsa. Usaha ini bertujuan untuk menyebarluaskan ilmu dalam bentuk penerbitan bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan di Malaysia dan pengembangan bahasa Melayu di seluruh dunia. Kejayaan membentuk kerjasama ini merupakan ekoran daripada penyertaan pegawai DBP dalam seminar dan persidangan bahasa, sastera dan penerbitan antarabangsa, melalui pelawat yang sering mengunjungi DBP dan melalui buku-buku DBP yang dipamerkan di pameran buku luar negara, seperti Frankfurt International Book Fair di Jerman, Jakarta International Book Fair di Indonesia, Asian International Book Fair di Singapura dan Balogna Children’s Book Fair di Itali Kerjasama juga diwujudkan dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MOU) dan pelbagai bentuk lain. Antara kerjasama yang dijalin oleh DBP termasuklah kerjasama dengan: Kedutaan Perancis (1986), Beijing Foreign Studies University, China (1995), Institut Terjemahan Negara Malaysia (1997), Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan (1997), Universiti Pendidikan Sultan Idris (1999), Guandong University Foreign Studies, China (2000); Universiti Ains Sham, Kaherah (2001) dan Universiti La Rochelle (2002) Satu lagi usaha sama yang dimeterai pada dekad ini ialah Kerjasama DBPResearch Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA), Istanbul pada 24 Jun 2000 di DBP. IRCICA merupakan sebuah pusat penyelidikan sejarah, sastera dan budaya Islam dan ditubuhkan sebagai cawangan pertama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam bidang budaya. Sempena majlis tersebut, dua buah buku telah dilancarkan, iaitu Tamadun Islam di Malaysia yang merupakan karya asli dan Seni Khat Warisan Islam, sebuah karya terjemahan berdasarkan hasil terbitan IRCICA. Sebelum ini judul pertama yang telah diterbitkan dalam rangka kerjasama dengan IRCICA ialah Islamic Civilization in the Malay World pada tahun 1997. DBP juga merupakan agensi kebangsaan yang menyertai Rancangan Penerbitan Bersama Wilayah Asia di bawah kelolaan Asian Culture for UNESCO (ACCU) di Tokyo sejak tahun 1974. sehingga kini, lima buah siri buku daripada rancangan tersebut telah diterbitkan oleh DBP dalam bahasa Melayu. Selain itu, pada bulan September 1994, DBP telah menjadi tuan rumah Persidangan Majlis Buku Asia-Africa.

Rancangan Jabatan Penerbitan

Jabatan Penerbitan akan menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu berdasarkan struktur dan fungsi yang ada dengan keperluan penerbitan sebanyak 30% judul dalam bidang sosial dan 70% judul komersial yang merangkum penerbitan konvensional dan elektronik. Judul yang diterbitkan akan memberi manfaat kepada pembaca di samping memenuhi tanggungjawab sosial DBP. Judul yang diterbitkan akan menjadi judul yang laris di pasaran, judul yang membina tamadun bangsa dan judul yang merangsang minda pembaca. Untuk tujuan itu, tumpuan diberi kepada penerbitan buku dan bahan rujukan seperti ensiklopedia dan kamus, penerbitan berkala-majalah dan jurnal, buku teks sekolah rendah dan menengah, buku ilmiah dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu, dan buku dalam pelbagai bidang untuk bacaan umum bagi peringkat dewasa, remaja dan kanak-kanak. Dalam usaha pembinaan judul, penekanan akan diberi kepada judul tentang Malaysia (Malaysia), baik dalam bentuk karya asli mahupun terjemahan. Tumpuan juga diberi kepada penerbitan judul yang berkaitan dengan warisan bangsa Melayuyang membincangkan sistem nilai, budaya dan kemahiran orang Melayu. Contohnya, sistem kerajaan dalam masyarakat Melayu, sistem politik, kepemimpinan dan ekonomi orang Melayu, dan sistem nilai masyarakat Melayu seperti yang tersirat dalam kumpulan puisi lama Melayu. Buku ilmiah dalam bahasa-bahasa dunia yang membicarakan teori, falsafah, agama Islam, politik, ekonomi atau ilmu semasa akan diterjemahkan apabila perlu untuk memastikan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perkembangan ilmu dunia. Penekanan akan diberi kepada karya asli yang ditulis oleh penulis tempatan. Dengan usaha ini, diharap penerbitan DBP dapat mengambil tempatnya yang wajar dalam dunia penerbitan antarabangsa. Memasyarakatkan Ilmu Berdasarkan fungsi bahagian-bahagian di Jabatan Penerbitan, jelas menunjukkan bahawa hasil penerbitan bahagian-bahagian tersebut bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu secara lengkap, padat dan mantap. Secara tidak langsung, usaha ini dapat membantu proses pembentukan masyarakat yang progresif dan saintifik, iaitu masyarakat berbudaya yang mampu memanifestasikan perkembangan idea, adat resam, cita rasa dan aspirasi ke arah pembangunan sosial, pendidikan, teknologi, ekonomi dan politik yang merupakan keperluan dan matlamat kehidupan. Untuk merealisasikan harapan tersebut, Jabatan Penerbitan melalui bahagianbahagian di bawah kawalannya berusaha menerbitkan karya-karya yang menjurus kepada kebangsaan negara dan kedaulatan bangsa. Justeru itu, satu Siri Wacana Minda telah diilhamkan dengan bertujuan bukan sahaja untuk memperkasa khazanah ilmu atau budaya bangsa tetapi juga untuk mengangkat tamadun bangsa ke peringkat antarabangsa atau persada dunia global. Dalam Siri Wacana Minda, beberapa terbitan akan dijalankan sebagai bahan pembicaraan dalam sesi dialog ilmu ini. Dalam sirinya yang pertama, sebuah buku hasil nukilan Ketua Pengarah DBP berjudul Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia telah dilancarkan dan dibicarakan pada 14 Julai 2000.

Pemerkasaan Bahasa Melayu
Kita kini berada pada alaf baru yang menjanjikan seribu harapan dan cabaran. Dalam dekad sebelum memasuki alaf baru ini, pelbagai persediaan telah dibuat supaya alaf baru menjadi alaf yang gemilang bagi negara kita. Paling ketara ialah konsep Wawasan 2020 yang disusun dengan rapi dan teratur. Walaupun kemajuan perancangan ini tergendala sedikit oleh kegawatan ekonomi di rantau ini dan pergolakan politik negara, proses memajukan negara berdasarkan teras yang telah ditetapkan terus berjalan. Siberjaya dan Putrajaya muala menjadi realiti dan projek yang buat seketika dihentikan telah beroperasi kembali. Keadaan ekonomi dikatakan telah kembali pulih. Tidak dapat dinafikan bahawa teras pembinaan negara Malaysia pada awal abad ke-21 ialah Wawasan 2020. Usaha ini telah dimulakan sejak dekad 90-an lagi. Wawasan 2020 berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara industri berasaskan kemajuan sains dan teknologi. Selaras dengan gejala globalisasi, usaha pembangunan di Malaysia dikaitkan dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat. Dengan kadar yang amat cepat, kita digesa melengkapkan diri dalam didang teknologi maklumat agar taraf pencapaian dapat diperoleh dengan segera. Dunia siber diharapkan dapat dialami setelah kita memasuki abad ke-21. Dalam semua aspek kehidupan, kita dikehendaki menyesuaikan diri dengan suasana kemajuan bidang teknologi maklumat. Dalam bidang pendidikan, permulaan secara besar-besaran dibuat melalui sistem sekolah bestari. Sebelum itu, kempen celik komputer sudah bermula dan generasi muda telah dijinak-jinakkan dengan internet dan e-mel, serta pelbagai rangkaian jaringan. Pusat komputer dan kafe siber telah muncul seperti cendawan selepas hujan, dan para remaja (termasuk yang sudah berumur juga) menghabiskan jam demi jam melayari pelbagai jenis laman web dan bermain pelbagai jenis permainan komputer. Teknologi maklumat dicipta dan dikembangkan oleh dunia Barat. Oleh yang demikian, bahasa asas bidang ini sudah semestinya bahasa Inggeris. Namun, teknologi maklumat telah tersebar luas ke seluruh dunia hingga ke alam yang bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa utama. Walaupun bahasa Inggeris bermula dan kekal sebagai satu bahasa penting dalam dunia teknologi maklumat, ruang bagai penggunaan bahasa lain mengikut keperluan masyarakat dan negara masing-masing masih ada. Persepektif demikianlah yang digunakan apabila persoalan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dilihat dalam konteks kemajuan yang dirancang di negara ini. Dalam kes penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam konteks teknologi maklumat, persoalannya tidak berbentuk situasi “kalah-menang”.

Menggunakan bahasa Inggeris tidak bermakna menolak penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam dunia teknologi maklumat pula tidak sekali kali membawa erti bahawa bahasa Inggeris tidak lagi boleh digunakan. Sikap yang sihat perlu wujud. Orang yang begitu kagum dengan bahasa Inggeris diharapkan tidak membuat kesimpulan yang salah. Semua rakyat Malaysia sedar tentang kepentingan bahasa Inggeris dalam konteks dunia ilmu dan arena antarabangsa. Oleh sebab itu, tiada orang yang mahu menolak langsung bahasa Inggeris, apatah lagi dalam dunia teknologi maklumat. Pada masa ini, pendirian yang dipegang oleh sebahagian besar penduduk Malaysia ialah bahawa dunia teknologi maklumat itu dunia bahasa Inggeris dan bahasa lain tidak mampu menanganinya. Pendirian ini agak terpesong. Dunia awal teknologi maklumat memang dunia bahasa Inggeris. Namun, apabila teknologi itu diperkenalkan kepada masyarakat kita, peluang untuk menjadikan dunia tersebut dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu masih ada. Bahasa Melayu bukan tidak mampu menangani teknologi maklumat, tetapi oleh sebab dunia ini baru bagi kita kerana datangnya daripada budaya orang lain, bahasa Melayu perlu dilengkapkan dengan istilah yang cukup. Bagai orang yang pertama kali berhadapan dengan komputer, istilah “mouse” atau tetikus” sama pelik bunyinya. Oleh sebab itu, soal “berasa ganjil” tidak timbul. Alat itu ada, yang diperlukan ialah perkataan untuk merujuk kepada alat tersebut. Selagi tidak ada perkataan, selagi itu bidang tersebut tidak mampu diperkatakan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai tempat dalam dunia teknologi maklumat dengan syarat bahasa itu terlebih dahulu dilengkapkan dengan istilahnya.Pembinaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat meliputi dua aspek, iaitu pembinaan kosa kata dan pembinaan laras. Kedua-dua aspek ini memerlukan iltizam dan usaha gigih. Jalan yang paling senang adalah dengan terus menggunakan bahasa Inggeris yang sedia lengkap dengan segala istilah yang diperlukan. Tetapi, jika kita ingin menjadikan bahasa kebangsaan kita turut terlibat dalam dunia teknologi maklumat, pembinaan kosa kata dan laras ini haus diusahakan. Secara kasar, pemerkasaan bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat meliputi bidang pembinaan kosa kata, pembinaan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul, pembinaan laras, dan pembinaan bahan. Bahasa Melayu hanya dapat menangani bidang teknologi maklumat jika wujud semua istilah yang relevan. Istilah ini tidak semestinya terdiri daripada ungkapan tulen daripada bahasa Melayu, tetapi boleh terdiri daripada pelbagai bentuk, seperti bentuk pinjaman daripada bahasa Inggeris dengan atau tanpa penyesuaian sistem bunyi bahasa Melayu, dan menterjemah konsep dan istilah bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Contohnya, internet, e-mel, multimedia, tetikus, pepijal, laman web, perisian, cakera padat, pengaturcaraan, dan pemprosesan data. Namun, yang menjadi masalah ialah manusia. Oleh sebab terlalu biasa dengan bahasa Inggeris, istilah dalam bahasa Melayu dianggap “ganjil” atau “janggal”. Dalam hal ini, cita rasa terhadap sifat bahasa Melayu perlu dipupuk. Janganlah kerana terlalu biasa makan keju, rasa belacan sudah tidak enak lagi. Semua pihak, terutama Bahagian Peristilahan Dewan Bahasa dan Pustaka, hendaklah berusaha menyesuaikan kosa kota yang cukup supaya ketiadaan istilah tidak lagi diulang-ulang sebagai alasan bahasa Melayu tidak dapat digunakan dalam dunia teknologi maklumat. Kita telah membina satu generasi yang menerima seluruh pendidikan dalam bahasa Melayu. Oleh sebab itu, jika bahasa Melayu dilengkapkan dengan istilah yang

cukup, kita dapat mewujudkan penggunaan teknologi maklumat yang menguasai bahasa Melayu. Namun, perlu disedari bahawa ada juga pengguna teknologi maklumat yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik, iaitu mereka yang tidak terdidik melalui sistem pendidikan kebangsaan. Golongan ini (yang jumlahnya besar juga) hendaklah diyakinkan tentang perlunya bahasa Melayu digunakan di samping bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Melayu mereka juga perlu ditingkatkan ke tahap yang memuaskan. Untuk menyaksikan sesetengah pihak tentang keupayaan bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat, sifat bahasa Melayu dalam bidang ini hendaklah jelas. Dengan kata lain, perlu wujud laras bahasa Melayu teknologi maklumat yang nyata, melalui peristilahan dan acara pengungkapan tersendiri. Hal ini bermakna bahawa perlu wujud contoh bahasa Melayu yang dengan sekali imbas dapat dikaitkan dengan bidang ini. Dalam hal ini, yang perlu dilakukan ialah penghasilan tulisan dalam bahasa Melayu dalam bidang ini, disertai bahan lain seperti laman web dan perisian. Hal ini harus dijadikan cabaran bagi semua pihak yang ingin melihat bahasa Melayu berjaya digunakan dalam teknologi maklumat. Teknologi maklumat sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Datangnya melalui arus yang deras, dan kita tidak berupaya menahannya. Oleh sebab itu, usaha perlu dibuat supaya kita tidak ketinggalan. Kita harus menyertai arus perdana ini. Namun, usaha ini memerlukan kerjasama erat antara beberapa pihak, misalnya Dewan Bahasa dan Pustaka, para cendekia, para pengamal teknologi maklumat, dan para pemimpin.

Dengan ‘Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu’ dimaksudkan peranan Bahasa Melayu sebagai penghantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden, iaitu ilmu Sains, Teknologi, Ekonomi, Kejuruteraan, Kedoktoran, dan Undang-undang di samping itu sastera dan agama. Dengan perkataan lain Bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu moden, misalnya dalam kejuruteraan, Bahasa Melayu harus mempunyai laras-laran bahasa yang khusus untuk menerangkan hal-hal tentang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, dan kejuruteraan kimia. Begitu juga dalam bidang kedoktoran, Bahasa Melayu perlu mempunyai laras bahasa untuk memperkatakan hal-hal dengan tepat tentang bidang Anatomi, Biokimia, Farmakologi, otothinolaringologi, parasitologi, patologi, pediatrik, perubatan psikologi, perubatan kemasyarakatan dan surgeri. Laras-laras saintifik ini berbeza pula dengan laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, laras sejarah, laras seni ukir, laras sains rumah tangga dan sebagainya (Nik Safiah Karim, 1986: 6). Sebagai bahasa ilmu Bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan laras bahasa yang cukup dan sesuai untuk menyatakan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perkauman dan perangkaan. Maksudnya kekuatan Bahasa Melayu seharusnya setanding dengan kekuatan bahasa Inggeris dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden. Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasabahasa antarabangsa yang lain seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa

Jerman, dan Bahasa Jepun, yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya. (Abdul Hamid Mahmood, 1993: 79).

Cabaran dan Harapan
Cabaran pertama dan paling hangat dibincangkan timbul daripada cadangan kerajaan hendak melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan teknologi di peringkat pengajian tinggi. Perdana Menteri sebagaimana dilaporkan oleh media elektronik pada malam 2 Disember 1994 dan media cetak pada 3 Disember 1994 telah memberikan bayangan yang jelas tentang hal itu. Malahan beliau memberikan pilihan kepada rakyat sama ada ingin maju dengan merujuk kepada pentingnya Bahasa Inggeris atau terus mempertahankan warisan bangsa (bahasa Melayu) tetapi mundur. (Utusan Malaysia, 3 Disember 1994). Pada tanggal 6 Mei 1995 Perdana Menteri mengulang lagi kenyataan dengan mengatakan:

BIBLIOGRAFI

Abdul Ghaffar Ramli, 1991. Keradioaktifan Asas dan Penggunaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Hamid Mahmood, 1993. Betulkan Kesalahan Bahasa Anda. Kuala Lumpur: Ensimal (M) Sdn. Bhd. Abdul Hamid Mahmood, 1995. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu: Cabaran dan Harapan. Serdang: Universiti Putra Malaysia. Abdul Hamid Mahmood, 2001. Menguasai Bahasa Melayu Tinggi. Kuala Lumpur : Affluent Master Sdn. Bhd. Abdullah Hassan, 1981. Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Awang Had Salleh, Laporan Jawatankuasa mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia Kuala Lumpur, 1981. Awang Sariyan, 1983. “Pengaruh Sintaksis Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu dengan Rujukan Khusus kepada Laras Bahasa Ilmiah”. Kertas kerja Seminar Unsur Asing dalam Bahasa Melayu, Persatuan Linguistik Malaysia ( 23-25 April1983). Terbitan dalam Dewan Bahasa (September). Awang Sariyan, 1984. Isu-Isu Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Awang Sariyan, “Sinarnya Satu Idealisme”. Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Julai 1995. Bahasa Melayu dulu, kini dan selamanya. (http://202187.231/messageboard/messages/158.html) Bambang Kaswati Purwo, 1984. Deiksis dalam Bahasa Indonesia. Jakarta : Penerbitan Balai Pustaka. “Citra” 2002. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992. Pedoman Umum Pembentukan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. (http://www.dbp.gov.my) Hairulazim Mahmud. Berurusan gunakan bahasa Melayu. (http://www.jphpk.gov.my/malay/jun)%2002001%20023.htm Hazizi Johuni. (http://202.187.18.231/messageboard/messages/158.html) Ismail Dahaman, Oktober 1994. Agenda Bahasa Melayu Dalam Wawasan 2020: Pemantapan Bahasa Rasmi. Dewan Bahasa dan Pustaka Ismail Hussein, 1985. ‘Elit Melayu & Masalah Bahasa Melayu’. Dewan Bahasa (November). James T. Collins, 1997. “Bahasa Melayu Dalam Konteks Globalisasi”. Kertas Kerja Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu VIII. (8 – 9 Oktober). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia.1981. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Marzuki, Sembang-sembang Mengenai DBP (http://marhaeno.tripot.com/mar_a_marzukio1.html) dan Bahasa Inggeris.

Melayu bahasa utama MSC. (http://www.tntsb.com)/news/prq705 som.htm) Mingguan Malaysia, Ahad 7 Mei 1995. Mohd Salleh Majid, 1991/1992. Bahasa Melayu Menjelang 2020. Jurnal Persatuan Linguistik.

Mohd Salleh Majid, 1997. “Peranan Agensi-agensi Swasta dalam Memartabatkan Penggunaan Bahasa Melayu”. Kertas Kerja Konvensyen Pendidikan bahasa Melayu VIII. (8 – 9 Oktober). Musa Mohamad, Datuk. 1984. “Bahasa Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi”. Kertas Kerja Kongres Bahasa &Persuratan Melayu keempat.

Nik Safiah Karim, 1986. Bahasa Melayu Tinggi, Teori dan Penerapan. Persatuan Linguistik Malaysia dengan kerjasama Alam Enterprise. Nik Safiah Karim dan Rakan-Rakan, 1996. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka. Rohani Rustam. Pusat Dokumentasi Melayu Abad ke-25: Pengurusan Kala Depan Kepustakaan Melayu. (http://dbp.gov.my/dbp98/pdm99/RR.html) Samsudin bin Osman.Tan Sri. MajlisPerayaan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka yang Ke-45. (http://www.smpke.jpm.my/web)NotesApp/KSNmain.ns8/0/09c90c90dbe98eb 689548256a7e000…) Shaharir Mohd Zain, 1996. PembangunanSains & Teknologi di Malaysia Menerusi Bahasa Melayu”. (Syarahan Raja Ali Haji 1996), Persatuan Linguistik Malaysia. Takdir Alisjahbana, st. 1977. Dari Perjuangan dan Pertumbuhan Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Modren. Jakarta : PT Dian Rakyat. Utusan Malaysia Isnin, Januari 1995. Wan Hashim Wan The, 1997. “Bahasa Melayu Sebagai Wahana Perkembangan Budaya Berfikir”. Kertas Kerja Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu VIII. (8 – 9 Oktober). Zainal Abidin Mohd. Said, 1989. Memahami KonsepPemasaran . Arena Buku Sdn. Bhd.