57 GAYA PEMBELAJARAN DAN PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM PENGAJARAN by peisty474

VIEWS: 4,648 PAGES: 7

									JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000

JILID 2: BIL. 3

GAYA PEMBELAJARAN DAN PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN Oleh Giam Kah How Jabatan Sains dan Matematik MPSK

1.0 Pengenalan Maktab Perguran Seri Kota telah menjalankan satu kajian tentang gaya pembelajaran guru pelatih di maktab tersebut pada tahun 1996. Antara tujuan kajian ialah mengenal pasti profil gaya pembelajaran guru pelatih serta menentukan sama ada terdapat satu perbezaan yang signifikan dalam gaya pembelajaran di kalangan guru pelatih mengikut opsyen pengajian dan semester. The Center for Innovative Teaching Experience (CITE) Learning Style Instrument telah digunakan dalam kajian tersebut. Instrumen itu dapat mengkaji (1) cara responden mengumpul dan menerima maklumat - visual (bahasa visual atau nombor visual), auditori (bahasa auditori atau nombor auditori) atau auditorivisual-kinestatik; (2) cara responden belajar dan bekerja - individu atau dalam kumpulan; dan (3) cara responden berkomunikasi antara satu sama lain - lisan atau bertulis. Dapatan kajian itu telah menunjukkan bahawa guru pelatih Maktab Perguruan Seri Kota berkecenderungan tinggi dalam gaya pembelajaran nombor visual dan gaya pembelajaran auditori-visual-kinestetik apabila mereka ingin mengumpul dan menerima maklumat. Guru pelatih juga didapati berkecenderungan tinggi belajar secara individu (MPSK, 1997). Dapatan-dapatan kajian tersebut telah menyokong dapatan kajian-kajian lain, misalnya dapatan kajian Venugopalan (1994) dan Shareena (1995) yang menunjukkan bahawa wujudnya kepelbagaian gaya pembelajaran di kalangan pelajar dalam proses pembelajaran.

2.0 Pembelajaran dan Pengajaran Gaya pembelajaran merujuk kepada ciri istimewa kepunyaan seseorang pelajar untuk memperlihat, berinteraksi, dan bergerak balas dalam suatu suasana pembelajaran (Keefe, 1979). Seseorang pelajar mula belajar dari masa dia dilahirkan tetapi cara belajarnya adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti sosia-ekonomi dan budaya keluarga, emosi, dan alam fizikal di persekitarannya. Atas perbezaan faktor-faktor tersebut, gaya pembelajaran seseorang pelajar mungkin berbeza daripada gaya pembelajaran pelajar yang lain. Dapatan-dapatan kajian telah menunjukkan bahawa terdapat pelajar yang lebih cenderung kepada pembelajaran melalui penglihatan dan pendengaran; terdapat juga pelajar yang lebih selesa dengan pembelajaran melalui bahan manipulatif atau reflektif; ada

57

JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000

JILID 2: BIL. 3

juga pelajar yang suka belajar dalam kumpulan dan ada juga pelajar yang lebih selesa belajar secara perseorangan (Felder, 1996). Walaupun seseorang pelajar dikatakan bertanggungjawab terhadap pembelajarannya sendiri, tetapi guru juga memainkan peranan yang penting sebagai penggalak dan pemudahcara melalui pelbagai strategi pengajaran yang digunakan. Antara strategi-strategi ini, terdapat strategi yang berpusatkan guru seperti syarahan dan demonstrasi dan terdapat juga strategi yang berpusatkan pelajar seperti main peranan, simulasi dan pengajaran reflektif (Freiberg, 1996). Hasil daripada kepelbagaian gaya pembelajaran di kalangan pelajar dan kepelbagaian strategi pengajaran di kalangan guru, salah-padanan gaya pembelajaran pelajar dan strategi pengajaran guru mungkin berlaku. Ini mungkin boleh menyebabkan pelajar menjadi bosan dan tidak mengambil perhatian dalam pembelajaran semasa guru mengajar dan seterusnya tidak mencapai prestasi yang diingini. Sebaliknya, guru yang berhadapan dengan murid yang tidak berminat dalam pembelajaran akan kehilangan azam untuk mengajar (Felder, 1993). Untuk mengelakkan kesalah-padanan tersebut, guru-guru harus mengenal pasti dan memahami gaya pembelajaran pelajar supaya strategi pengajaran yang sesuai digunakan untuk memenuhi kehendak pelajar dalam proses pembelajaran. Pelbagai model gaya pembelajaran telah dicadang oleh para pendidik dan satu daripada model-model ini ialah Model Gaya Pembelajaran Felder Silverman.

3.0 Model Gaya Pembelajaran Felder-Silverman Model Gaya Pembelajaran Felder-Silverman mengelaskan gaya pembelajaran pelajar mengikut lima dimensi, iaitu persepsi, input, organisasi, pemprosesan, dan kefahaman (Felder, 1993). Untuk dimensi persepsi, pelajar dikelaskan sebagai pelajar 'sensing' atau pelajar intuitif mengikut jenis maklumat yang diperlihatkan oleh pelajar. Pelajar 'sensing' memperlihatkan sesuatu maklumat melalui organ deria. Pelajar ini dikatakan praktikal, lebih selesa dengan fakta dan pemerhatian, suka belajar melalui situasi yang benar tetapi pelajar bersifat ini tidak suka kepada konsep dan teori yang abstrak. Sebaliknya, pelajar bersifat intuitif adalah lebih cenderung kepada perkara-perkara yang abstrak dan boleh memperlihatkan sesuatu maklumat melalui ingatan, refleksi dan imaginasi. Pelajar intuitif dikatakan lebih imaginatif, lebih cenderung kepada konsep, teori, formula dan sebarang interpretasi yang dikemukakan. Dimensi input mengelaskan pelajar kepada pelajar visual atau pelajar verbal bergantung kepada modaliti yang digunakan oleh pelajar untuk memperlihatkan maklumat. Pelajar bersifat visual memperolehi maklumat daripada imej visual

58

JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000

JILID 2: BIL. 3

seperti gambar, graf, carta dan demonstrasi yang ditunjukkan. Pelajar verbal pula memperoleh maklumat daripada bahan verbal seperti bahan bertulis atau perkataan lisan Pelajar dikelaskan sebagai pelajar induktif atau pelajar deduktif mengikut organisasi maklumat yang diterima oleh pelajar. Pelajar induktif lebih selesa dengan persembahan yang bermula daripada aspek spesifik seperti pemerhatian yang dibuat dan contoh spesifik yang diberi. Dengan adanya kes-kes spesifik tersebut, pelajar ini akan membuat inferens untuk mencapai prinsip dan teori yang diperlukan. Sebaliknya, pelajar deduktif selesa dengan prinsip atau teori pada awal pembelajaran dan mencapai akibat dan aplikasi prinsip pada akhirnya. Untuk dimensi pemprosesan, pelajar dikelaskan sebagai pelajar aktif atau pelajar pasif bergantung kepada cara pelajar memproses maklumat. Pelajar bersifat aktif memproses maklumat dengan melakukan sesuatu secara aktif. Pelajar ini lebih selesa belajar dalam kumpulan. Sebaliknya, pelajar reflektif perlu memikirkan sesuatu sebelum mencuba dan pelajar bersifat ini berkecenderungan belajar secara individu Seseorang pelajar boleh mencapai kefahaman sesuatu maklumat sama ada secara rentet atau global. Pelajar bersifat rentet memperoleh maklumat dan mencapai kefahaman langkah demi langkah mengikut satu urutan yang teratur. Pelajar global adalah lebih condong kepada gambaran holistik dan menerima maklumat-maklumat berasingan tetapi dapat mencapai kefahaman kemudian dengan menghubungkaitkan maklumat-maklumat tersebut.

4.0 Indeks Gaya Pembelajaran Felder dan Soloman telah membangunkan satu inventori gaya pembelajaran untuk mengenal pasti gaya pembelajaran pelajar berasakan Model Gaya Pembelajaran Felder-Silverman (Soloman, 1992). Inventori ini juga dikenali sebagai Indeks Gaya Pembelajaran atau Index of Learning Styles (ILS) dan bertujuan untuk mengelaskan pelajar kepada empat dimensi gaya pembelajaran; iaitu persepsi, input, pemprosesan, dan kefahaman. Inventori tersebut mengandungi 44 item dan setiap item mengandungi dua pilihan iaitu (a) atau (b). Berdasarkan pilihan yang dibuat, seseorang pelajar dapat dikelaskan kepada salah satu gaya pembelajaran dalam sesuatu dimensi yang dinyatakan. Contoh-contoh item adalah seperti berikut :

59

JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000

JILID 2: BIL. 3

Gaya Pembelajaran

Contoh Item

Aktif / Reflektif

Saya memahami sesuatu perkara dengan lebih baik selepas saya: mencuba perkara itu memikirkan tentang perkara itu Saya lebih suka memperoleh maklumat daripada gambar, graf, peta, carta arahan bertulis dan maklumat lisan Semasa saya mengambil kira sesuatu maklumat, saya lebih suka memberi fokus kepada perkara terperinci daripada holistik memberi perhatian kepada perkara secara holistik daripada perkara terperinci

Visual / Verbal

Rentet / Global

Saya lebih suka kursus yang menitikberatkan Sensing / Intuitif bahan konkrit seperti fakta dan data bahan abstrak seperti konsep dan teori

S. Montgomery (1995) telah menggunakan Indeks Gaya Pembelajaran ini untuk mengenal pasti gaya pembelajaran sekumpulan pelajar. Dapatan beliau menunjukkan bahawa 67% daripada pelajar tersebut ialah pelajar aktif, 57% ialah pelajar sensing, 69% ialah pelajar visual dan 28% ialah pelajar global. Mengikut beliau, gaya pembelajaran pelajar-pelajar ini masih tidak dilayan oleh gaya pengajaran guru yang berlangsung di dalam kelas. Ini kerana pengajaran yang diadakan (1) agak pasif dan tidak memberi peluang kepada pelajar melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran walaupun lebih daripada 60% pelajar ialah pelajar aktif; (2) agak tertumpu kepada pengajaran secara intuitif yang mana konsep dan teori dititikberatkan dan ini menyukarkan pelajar 'sensing'; (3) disampaikan secara lisan dan bertulis walaupun hampir 70% pelajar lebih cenderung kepada pembelajaran secara visual; (4) kurang memberi fokus kepada gambaran keseluruhan untuk menghubungkaitkan idea-idea yang disampaikan dan ini menyebabkan pelajar global menghadapi masalah dalam pembelajaran. Untuk membolehkan seseorang guru melayan gaya pembelajaran pelajar dengan lebih memuaskan, beliau telah mencadangkan supaya perisian multimedia digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

60

JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000

JILID 2: BIL. 3

5.0 Penggunaan Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Daripada dapatan psikologi kognitif, seseorang pelajar akan ingat 10% daripada apa yang dibaca, 20% daripada apa yang didengar, 30% daripada apa yang dilihat, 50% daripada apa yang didengar dan dilihat, 70% daripada apa yang disuarakan sendiri dan 90% daripada apa yang dilakukan sendiri (Rief, 1993). Dapatan tersebut memberi implikasi bahawa pembelajaran yang berkesan boleh tercapai sekiranya pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Pelajar perlu melihat, mendengar dan melakukan sesuatu aktiviti. Selain daripada itu, pelajar juga perlu berkomunikasi dengan guru serta berkomunikasi di antara satu sama lain. Untuk memudahkan pembelajaran sedemikian, penggunaan multimedia telah dicadangkan. Multimedia memang sudah lama digunakan dalam bidang pendidikan sebelum pengenalan komputer peribadi di sekolah (Poole, 1995). Pada masa itu, multimedia merujuk kepada bahan-bahan bantu mengajar audio-visual seperti pita radio, televesyen, projektor slaid, projektor filem. Bahan-bahan ini biasanya digunakan secara berasingan dan tidak ada kaitan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, teknologi komputer telah beransur-beransur mengambil alih peranan yang dimainkan oleh bahan-bahan ini. Perkembangan yang pesat pada masa kini dalam bidang terknologi komputer dari segi kelajuan pemprosesan data, ruang penyimpanan data, peranti sisian seperti pemacu CD-ROM, pengimbas, dan kamera digital telah membolehkan guru dan pelajar menghasilkan sendiri multimedia CD-ROM dengan menggunakan alat-alat pengarangan yang sesuai. Dengan kemudahan yang sedia ada, mereka boleh menggabungkan teks, grafik, audio, video dan animasi dalam satu CD-ROM untuk dijadikan satu multimedia interaktif. Mengikut Phillips (1997), multimedia interaktif boleh mengubah cara seseorang memperolehi maklumat serta cara seseorang itu belajar sekiranya digunakan dengan berkesan. Ini kerana multimedia dapat (1) memudahkan pembelajaran yang berpusatkan pelajar kerana pelajar diberi kebebasan memilih bahan pembelajaran sendiri dan belajar pada kadar yang sesuai dengan diri sendiri; (2) melayan gaya pembelajaran yang berbeza di kalangan pelajar dengan elemenelemen yang terdapat dalam multimedia; (3) menggalakkan pembelajaran kooperatif dan interaksi di antara pelajar melalui perbincangan dan projek kumpulan; dan (4) memudahkan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme. Dengan menggunakan multimedia interaktif, seseorang pelajar mempunyai kebebasan mengawal pembelajaran sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain. Pelajar boleh memilih bahan pembelajaran sendiri dan belajar pada kadar yang sesuai mengikut minat dan kehendak sendiri. Dengan memasukkan kata kunci yang sesuai ke dalam ensaiklopedia multimedia, seseorang pelajar boleh mencapai kepada maklumat yang dikehendaki dan belajar memilih untuk belajar sama ada melalui teks, gambar, audio atau video mengikut gaya pembelajaran sendiri. Di samping itu, pelajar juga boleh mencetak rencana-rencana yang diperlukan untuk rujukan kemudian. Untuk pelajar yang dapat belajar dengan cepat, dia diberi peluang untuk menerokai dan menemui perkara-perkara yang

61

JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000

JILID 2: BIL. 3

baru tanpa sebarang batasan. Sebaliknya, untuk pelajar yang lambat dalam pembelajaran, dia boleh mengulangi perkara yang sudah dilalui sehingga dapat memahami perkara yang dipelajari. Pendek kata, multimedia interaktif membolehkan pelajar menjadi lebih proaktif dan membina pengetahuan mengikut pilihan, kadar dan kehendak sendiri. Multimedia merupakan satu gabungan teks, grafik, audio, video dan animasi. Dengan gabungan elemen-elemen ini dalam sesuatu pengajaran, guru boleh mewujudkan satu suasana pembelajaran yang penuh dengan persembahan audiovisual yang bukan sahaja dapat menarik minat pelajar serta merangsangkan deria pelajar dalam pembelajaran tetapi juga dapat melayan pelbagai gaya pembelajaran pelajar. Selain daripada melayan gaya pembelajaran kecenderungan pelajar seperti visual, reflektif dan global, penggunaan multimedia juga boleh menggalakkan pelajar belajar dengan menggunakan gaya pembelajaran yang pelajar kurang cenderung. Ini dapat membantu pelajar memperkembangkan gaya-gaya pembelajaran yang lain supaya pelajar menjadi lebih fleksibel dalam pembelajaran dan tidak terhad kepada pembelajaran melalui gaya pembelajaran kecenderungan mereka sahaja. Multimedia interaktif juga menggalakkan pembelajaran koperatif dan interaksi antara pelajar. Pelajar memang lebih suka belajar daripada rakan sebaya. Oleh itu, multimedia memang sesuai untuk pelajar aktif. Mereka berpeluang membentuk kumpulan kecil untuk berbincang dan memahami sesuatu topik, menyelesai masalah dan membuat keputusan dan menghasilkan projek multimedia bersama. Kepakaran, pengetahuan dan pengalaman setiap ahli kumpulan akan digunakan sepenuhnya dalam proses pembelajaran tersebut. Menurut konstruktivisme, pelajar adalah bertanggungjawb atas pembelajaran diri sendiri. Pelajar membina pengetahuan sendiri berasaskan pengalaman yang diperoleh daripada persekitaran (Scott, 1987). Pendekatan ini mementingkan penglibatan yang aktif daripada pihak pelajar dan tanggungjawab guru ialah menyediakan suasana yang kondusif untuk pembelajaran. Guru perlu menyediakan bahan yang sesuai, memudahcara, memberi sokongan dan galakan supaya pelajar dapat menerima dan memproses maklumat sendiri. Dengan teknologi multimedia yang ada pada masa kini, pembelajaran yang berasaskan pendekatan ini boleh diadakan. Berpandukan soalan-soalan yang diberi oleh guru, pelajar boleh merujuk kepada perisian multimedia yang sesuai untuk mendapatkan maklumat dan jawapan. Dalam usaha ini, pelajar dapat membina pengetahuan sendiri. Selain daripada itu, pelajar juga boleh diberi satu topik pelajaran dan diminta mendapatkan data dan maklumat yang sesuai bagi menghasilkan satu laporan atau persembahan pada akhirnya. Dalam proses penyediaan laporan atau persembahan, pelbagai gaya pembelajaran dan kemahiran digunakan dan pembelajaran aktif terhasil. Pelajar akan memain peranan yang aktif dalam pembelajaran dan bukan lagi semata-mata sebagai penerima maklumat yang pasif seperti mana yang terdapat dalam suasana kelas yang tradisional (Qasem, 1992). Cross (1987) menyatakan bahawa apabila pelajar terlibat secara aktif dalam

62

JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000

JILID 2: BIL. 3

pembelajaran, pelajar akan lebih banyak belajar jika dibandingkan dengan keadaan apabila pelajar semata-mata menerima arahan dan maklumat daripada guru secara pasif. Selain daripada itu, pelajar didapati lebih banyak belajar perkara-perkara yang mereka lakukan.

6.0 Penutup Gaya pembelajaran pelajar boleh dikenal pasti dengan pelbagai instrumen, antaranya ialah Indeks Gaya Pembelajaran (ILS) yang dibangunkan berasaskan Model Gaya Pembelajaran Felder-Silverman. Dengan mengenal pasti pelbagai gaya pembelajaran kepunyaan pelajar, guru dapat merancang strategi yang sesuai untuk memenuhi kehendak pelajar mengikut gaya pembelajaran yang menjadi kecenderungan mereka. Walau bagaimanapun, objektif pendidikan bukan sahaja mementingkan gaya pembelajaran kecenderungan pelajar tetapi gaya pembelajaran yang dirasai kurang kecenderungan oleh pelajar juga perlu diperkembangkan dengan harapan bahawa satu keseimbangan tercapai. Dalam hubungan ini, proses pengajaran dan pembelajaran harus dapat melayan pelbagai gaya pembelajaran pelajar supaya pembelajaran yang lebih berkesan terhasil. Kajian-kajian dalam bidang ini telah menunjukkan bahawa multimedia merupakan satu daripada alat-alat yang boleh digunakan ke arah mencapai tujuan ini kerana penggunaan multimedia boleh menggalakkan perbincangan, interaksi dan refleksi di kalangan pelajar dan guru. Ia dapat melayan pelbagai gaya pembelajaran pelajar. Oleh itu, penggunaan multimedia harus dieksploitasikan sepenuhnya dalam sistem pendidikan untuk kepentingan pelajar.

63


								
To top