Documents
Resources
Learning Center
Upload
Plans & pricing Sign in
Sign Out

TAMADDUN YANG SELAMAT

VIEWS: 26 PAGES: 2

									                             TAMADDUN YANG SELAMAT

Kita tidak dapat menafikan bahawa ilmu, kemajuan, pembangunan dan tamadun material dan
fizikal ia boleh memberi kemudahan hidup dan kehidupan kepada manusia.Ia boleh membawa
keselesaan hidup, apa yang dikehendaki oleh manusia dicapai, apa yang dicita-cita mudah dapat,
tetapi semata-mata itu sahaja, ia bukan segala-galanya.

Sekadar itu saja belum boleh menjamin keselamatan, kebahagiaan dan keharmonian di dalam
kehidupan bermasyarakat di dunia ini. Apatah lagi untuk memperolehi keselamatan dan
kebahagiaan di Akhirat kelak.

Kalau kemajuan, pembangunan dan tamadun yang dibangunkan itu tidak bertunjangkan iman
dan ketaqwaan, jika iman dan taqwa tidak menjadi tunjang kepada segala usaha kita, ertinya kita
telah memutuskan diri dari Allah Taala, kita terlepas daripada Allah. Maka Allah akan berlepas
diri dari kita.

Justeru itu risikonya yang kita akan tanggung itu berat iaitu bermacam-macam masalah akan
timbul daripada usaha kita sekalipun usaha kita itu berjaya, nampak lahirnya hebat, gah, cantik,
indah, mempesona, ia sepertilah seorang yang berkahwin dengan seorang gadis yang cantik,
berpelajaran, bangsawan, hartawan, tapi mulutnya celupar, suka merajuk, curang, tidak setia,
tidak boleh dikontrol, melawan dan berbagai-bagai kerenah lagi. Hajat hendak berkahwin dengan
perempuan cantik tercapai, orang lain melihat iri hati, namun demikian masa habis hendak
melayan kehendak-kehendaknya serta terseksa berhadapan dengan kerenah-kerenahnya.
Lantaran itulah Allah Taala berfirman:
Maksudnya:
“Barang siapa yang berpaling dari mengingati Aku, baginya hidup yang susah.” (Thaha: 124)

Kerana jika tamadun lahiriah semata-mata, ia sangat dekat dengan nafsu, ia sangat dicintai oleh
nafsu manusia. Sedangkan nafsu watak semula jadinya; seperti yang Allah SWT gambarkan
melalui Al Quran, terlalu jahat, iaitu:
Maksudnya:
“Sesungguhnya nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)

Ertinya nafsu sangat cenderung kepada kejahatan. Di antara kejahatannya ialah, rakus, tamak,
bakhil, gelojoh, melulu, mementingkan diri, angkuh, suka monopoli, suka berfoya-foya,
cenderung kepada wanita, makan minum, harta kemewahan, pangkat, darjat dan lain-lain.

Justeru itu kemajuan dan tamadun lahiriah kalau tidak ditunjangi oleh iman dan ketaqwaan, ia
akan disalahgunakan dan merosakkan manusia. Ia akan melahirkan manusia yang sombong,
bangga, tamak, bakhil, mementingkan diri, penindasan dan kezaliman, suka zina, pembaziran,
suka menompok-nompok harta, menghina orang, lupa Allah dan Akhirat dan seribu satu macam
kejahatan lagi.

Dari penyakit-penyakit tadi akan lahir pula penyakit-penyakit lain reaksi dari gejala-gejala tadi.
Orang akan sakit hati, dengki, rasuah, dendam, perbalahan, krisis, jatuh-menjatuhkan, tuduh-
menuduh, fitnah-memfitnah, kemuncaknya pembunuhan.Kalau sudah begitu, hilanglah kasih
sayang, retak perpaduan, terkuburlah ukhwah, matilah keharmonian. Keamanan dan keselamatan
yang diidam-idamkan hanya tinggal di dalam impian semata-mata.

Itulah yang telah berlaku kepada Firaun dan orang-orangnya,Namrud dan orang-orangnya. Itulah
juga yang berlaku kepada Qarun dan Hamman, itulah juga yang telah berlaku kepada kuasa-
kuasa Barat dan negara blok komunis terutama Rusia dan China.
Maka justeru itulah dalam wahyu yang pertama lagi Allah SWT telah mengingatkan iaitu:
Maksudnya:
“Bacalah dengan nama Tuhan yang Mencipta.” (Al ‘Alaq: 1)

Yakni Allah mengajak kita mengingati-Nya dan mengajak kita membaca atas nama-Nya.
Dengan kata-kata yang lain yang lebih luas lagi kalau kita huraikan, Allah mengajak manusia
hendaklah menggunakan akal, mencari ilmu, berkemajuan, membangun, berjuang menegakkan
tamadun dan apa sahaja hendaklah atas nama-Nya iaitu Tuhan yang mencipta manusia dari
segumpal darah. Iaitu segala-galanya dilakukan dan dibangunkan atas dasar iman dan
ketaqwaan, kerana Allah, cara Allah dan untuk keredhaan Allah.

Kesannya tidak usah bimbang, memanglah kepada manusia, untungnya adalah kepada manusia.
Allah tidak memerlukan kemajuan, Allah tidak berkehendak kepada tempat tinggal dan makan
minum, Allah tidak perlu itu semua. Yang perlu itu semua adalah manusia, Allah sudah sedia
sempurna dan selamat.Justeru itu Allah mengajak membuat apa sahaja kerana-Nya, dengan itu
Allah akan memberi rahmat dan keberkatan. Allah akan menjaga dan melindungi daripada segala
pancaroba daripada usaha-usaha itu.

Atau dengan kata-kata yang lain, seolah-olah Allah berkata:Belajarlah atas nama-Ku,
beribadahlah atas nama-Ku, berekonomilah atas nama-Ku, berkemajuanlah atas nama-Ku,
berpendidikanlah atas nama-Ku, berjuanglah atas nama-Ku, merdekalah atas nama-Ku,
bernegaralah atas nama-Ku, mentadbirlah atas nama-Ku, bertamadunlah atas nama-Ku, begitulah
seterusnya.

Oleh itu Allah tidak mengajar manusia membuat apa sahaja kerana selain-Nya. Ertinya, Allah
melarang beribadah, mencari ilmu, membuat kemajuan, membantu, menderma,
bergotongroyong, berpolitik, berjuang, mentadbir, berekonomi, berpendidikan kerana atau untuk
diri, bangsa atau negara, atau kerana megah, kerana mahu dihormati, kerana mahu disanjung dan
dipuji, kerana nama dan lain-lain lagi, tetapi Allah mengajak kerana-Nya. Kalau dibuat selain
kerana Allah, dianggap syirik khafi, sia-sia sahaja, usaha-usahanya itu tidak dapat apa-apa
pahala, Allah berlepas diri. Kalau ada pun sedikit keuntungan, hanya keuntungan di dunia. Di
Akhirat kebaikannya tertolak, akibatnya terjunlah ke Neraka, wal’iyazubillah.

								
To top