Docstoc

PERANAN TAQWA

Document Sample
PERANAN TAQWA Powered By Docstoc
					                                    PERANAN TAQWA

Semenjak dahulu, TAQWA adalah faktor yang membawa kepada bantuan Allah SWT di dalam
segala usaha ikhtiar umat Islam. Terutama di kalangan para Sahabat. Allah buka pintu hati
manusia sehingga mudah menerima kebenaran, mudah menerima Islam dan mudah dalam
perjuangan. Allah buka laluan kepada perkembangan Islam yang pesat. Allah buka laluan dengan
didatangkan para pendokong yang berkemampuan membangunkan umat. Allah datangkan rasa
berani yang luar biasa kepada umat Islam dan rasa ketakutan yang amat sangat kepada para
penentang.

Di zaman para Tabiin di mana golongan taqwa masih ramai di tahap pemimpin hingga ke rakyat
biasa, maka Allah buka pintu ilmu pengetahuan dalam bidang kehidupan. Ketika Barat masih
dalam era kegelapan, Islam pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru
dalam ilmu pengetahuan.

Tetapi itu semua telah berlalu dan sudah menjadi fakta sejarah. Telah berlaku satu zaman di
mana umat Islam asyik dengan Allah dan merindui Akhirat. Berlaku juga satu zaman yang telah
Allah curahkan segala-galanya kerana kebanyakan umatnya bertaqwa. Kini, umat Islam sudah
tidak bertaqwa lagi.




Bila tidak bertaqwa, hati jadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas kita melupai
Allah SWT. Hati tidak bergantung kepada Allah lantas Allah melupai kita. Seperti mana tidak
ada kuasa yang dapat menahan apabila Allah kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak
ada sebarang kuasa yang berdaya untuk menebus kekalahan dan kehinaan umat Islam apabila
Allah kehendaki ia berlaku begitu.

Taqwa memang penting bagi umat Islam. Sebab itu ia menjadi rukun khutbah. Ertinya kalau
tertinggal maka khutbah tidak sah. Bila khutbah tidak sah, tidak sahlah sembahyang Jumaat dan
tidak sahlah sembahyang sunat hari raya. Ini menunjukkan besarnya sifat taqwa hingga ia
menjadi rukun khutbah. Namun taqwa itu bukan sahaja tidak dihayati malah kurang difahami
oleh umat Islam.

Taqwa ini telah disalahertikan. Ia telah diremehkan, diambil ringan dan tidak dititikberatkan.
Fahaman tentang taqwa ini telah dipermudahkan. Taqwa hanya ditakrifkan sebagai buat apa
yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Pengertian seperti ini tidak mempunyai roh atau
tidak membabitkan pengertian yang mendalam. Maka jadilah ia sesuatu yang hambar dan tidak
memberi manfaat. Akibatnya, umat Islam seolah-olah terasing dan terpisah dari persoalan taqwa.
Taqwa tidak lagi menjadi teras dalam kehidupan umat Islam. la hanya tinggal sebutan yang
ramai umat Islam tidak faham apa sebenar maksud, hakikat dan tuntutannya.

Oleh kerana taqwa ini adalah syarat dan landasan untuk umat Islam mendapatkan dunia dan
Akhirat, maka tanpa taqwa, umat Islam terumbang-ambing dalam kehidupan. Akhirat terlepas,
dunia berciciran. Umat Islam terpaksa meniti di atas landasan orang kafir. Sebab itu umat Islam
terhina di mana-mana, ditindas dan diperkotak-katikkan, miskin, mundur dan berpecah belah.
Umat Islam tidak ada wibawa, tidak ada maruah dan tidak ada kekuatan.




Ramai ulama dan ustaz-ustaz yang memahami bahawa sifat taqwa itu adalah bekalan untuk
negeri Akhirat semata-mata. Tidak dapat dinafikan itulah yang paling penting. Itulah yang paling
asas. Namun, kalau orang mukmin hendak senang juga di dunia, mestilah berbekalkan sifat
taqwa. Kerana sifat taqwa itu merupakan jalan atau landasan untuk mendapatkan dunianya.
Hendak mendapatkan keuntungan dalam ekonomi mesti dengan sifat taqwa. Hendak mendapat
kemenangan dalam perjuangan mesti ada taqwa. Hendak mendapat bantuan dan pertolongan
Tuhan juga adalah kerana taqwa. Hendak terlepas dari bala bencana atau azab penderitaan di
dunia juga mesti berdasarkan sifat taqwa.

Kalau orang Islam itu tidak ada sifat taqwa, Tuhan bantu juga. Tuhan bagi makan juga. Tuhan
bagi ilmu juga selama mana mereka hidup. Tapi cara ini bahaya. Tuhan bagi secara kutukan.
Tuhan bagi secara murka. Tuhan bagi secara tidak redha. Ini samalah caranya Tuhan bantu orang
kafir iaitu atas dasar istidraj yakni dengan kemurkaan. Itu sebenarnya adalah tipuan dari Tuhan.
Akhirnya dengan bantuan seperti itu, dia terjun ke Neraka. Dengan bantuan seperti itulah dia
akan membuat kezaliman dan kejahatan di atas muka bumi. Kerana mendapat sesuatu dari Tuhan
secara tidak sihat, maka hasilnya tidak sihat dan natijahnya juga tidak sihat. la rosak dan
merosakkan.

Amalan taqwa pula bukan setakat sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca Quran, berwirid
dan berzikir. Bukan juga bersuluk dan beruzlah, menjauhkan diri dari orang ramai. Taqwa bukan
sahaja di surau dan di masjid. Taqwa merangkumi segala perkara yang berlaku dalam kehidupan,
di mana sahaja, baik dalam kehidupan bermasyarakat seharian, dalam ekonomi, pembangunan,
pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, kesihatan dan sebagainya. Yang penting,
setiap amalan itu ada rohnya, dihayati dan dijiwai. Barulah setiap amalan itu menjadi amalan
taqwa.

Kita mesti bertaqwa kepada Allah sejauh yang termungkin. ` Sejauh yang termungkin` di sini
bermaksud turun naik nafas, mendengar, melihat, makan minum, berjalan dan berhibur,
kesemuanya mesti dijadikan amalan taqwa. Jangan ada satu hembusan nafas yang tidak jadi
taqwa. Jangan ada seulas nasi yang tidak jadi taqwa. Jangan ada satu pendengaran atau
penglihatan yang tidak jadi taqwa.

Sebenarnya erti taqwa itu terlalu besar. la aset untuk orang Islam dunia dan Akhirat. Kalau ini
difahami dan dihayati, barulah kita akan selamat dunia Akhirat.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Tags:
Stats:
views:25
posted:1/7/2013
language:Malay
pages:3