Documents
Resources
Learning Center
Upload
Plans & pricing Sign in
Sign Out

PINGGIR PANTAI

VIEWS: 45 PAGES: 10

									PINGGIR PANTAI

Peta Konsep:

                                                     Istilah pantai.

                                                     Agen Geomorfologi pantai.

               Geomorfologi Pantai.                  Jenis-jenis ombak dan arus.

                                                     Proses hakisan pantai.

                                                     Proses pengangkutan dan
                                                     Pemendapan di pantai.

                                                     Bentuk bumi yang terhasil.

                                                     Penjanaan hakisan pantai
                                                     Oleh manusia dan langkah
                                                     Mengatasinya.

A.       Konsep zon pinggir pantai dan agen geomorfologi yang bertindak.

        Zon pinggir pantai ialah zon antara tikas air pasang dengan tikas air surut.
         Agen geomorfologi yang bertindak ialah seperti ombak, arus pesisir pantai,
         arus pasang surut dan juga angin.
        Agen geomorfologi ini boleh bertindak menghakis, mengangkut dan
         memendapkan bahan-bahan yang dibawanya di pinggir pantai.



B.       Faktor-faktor yang mempengaruhi tindakan ombak di pinggir pantai.

        Halaju angin yang tiba di pinggir pantai dan juga orientasi pantai samada
         terdedah atau terlindung daripada tiupan angina kencang.
        Faktor kuantiti dan kualiti bahan/muatan yang dibawa oleh ombak dan
         agen-agen yang lain.
        Faktor geologi di tebing cenuram yang mengadap ombak samada keras atau
         lembut.
        Faktor halaju arus sungai dan ombak apabila bertenbung di muara.
        Faktor tindakan manusia seperti aktiviti penyahutanan hutan bakau dan
         aktiviti memperdalamkan muara.

C.       Hakisan ombak dan bentuk bumi yang terhasil.
        Ombak menghakis pantai melalui empat cara iaitu; hakisan lagaan, hakisan
         hidraulik, hakisan geselan dan hakisan larutan.
        Bentuk-bentuk bumi yang terhasil ialah seperti tebing tinggi dan pentas
         hakisan ombak, gua, gerbang laut, batu tunggul, tunggul sisa, gloup dan geo.

D.       Pengangkutan dan pemendapan ombak serta bentuk bumi yang terhasil.

        Muatan ombak diangkut secara golekan, lompatan, ampaian dan larutan
         dan pemendapan akan berlaku apabila halaju arus berkurangan.
        Proses pengangkutan dan pemendapan kebanyakannya dilakukan oleh arus
         pesisir pantai yang menghasilkan bentuk-bentuk seperti pelbagai jenis
         beting pasir, anak tanjung dan tombolo.

E.    Aktiviti manusia yang menjejaskan zon pinggir pantai dan langkah
mengatasinya.

      Aktiviti seperti penyahutanan hutan pantai untuk dibina resort, chalet,
       hotel, padang golf dan juga kolam ternakan disamping aktiviti pengambilan
       pasir laut yang akan meningkatkan kadar hakisan zon pinggir pantai.
    Mengadunkan langkah perundangan, amalan pengurusan dan juga kempen
       kesedaran.
Unit 2.6.1:    Proses Geomorfologi di Pinggir Pantai dan Faktor-Faktor Yang
Mempengaruhinya.

A.    Konsep Zon Pinggir Pantai dan Agen-agen Geomorfologi Yang
Bertindak di Zon Pinggir pantai.

 1.        Pada umumnya pantai adalah zon yang terletak di antara tikas air pasang dengan tikas air surut
ombak. Secara khususnya pantai merupakan satu jalur linear daratan yang terdiri daripada timbunan bahan
mendak yang peroi seperti pasir, kulit-kulit kerang dan siput, lumpur dan kelodak yang berasal dari laut dan
sungai. Di antara contoh-contoh pantai berpasir yang bersih dan indah adalah seperti pantai di pulau-pulau
Langkawi, pantai Mersing di Johor, pantai Cerating di Pahang, pantai Batu Buruk di Terengganu dan lain-
lain lagi.
2.         Terdapat pelbagai agen geomorfologi yang bertindak di zon pinggir pantai. Antaranya ialah:

         a)       Ombak. Ombak boleh dibahagikan kepada ombak pembina dan ombak pembinasa.
Ombak pembina mengangkut dan memendapkan bahan muatannya di pinggir pantai lalu membentuk
jaluran pantai yang lebar manakala ombak pembinasa pula menghakis dan memusnahkan jaluran pantai
yang telah dibina oleh ombak pembina tadi. Ombak pembinasa biasanya berlaku ketika ribut seperti pada
musim tengkujuh atau gelombang “Tsunami” yang disebabkan oleh gempa bumi dan gerakan tektonik di
dasar laut.

         b)       Arus. Terdapat pelbagai jenis arus seperti arus pesisir pantai dan arus pembalik dasar.
Arus pesisir pantai atau dikenali juga sebagai hanyutan pesisir pantai terhasil daripada perbezaan sudut
damparan dan balikan ombak. Arus ini akan bergerak di sepanjang garis pantai dan mengangkut bahan
pantai secara “Zig – Zag”. Arus –arus lautan yang lain pula terbentuk akibat perubahan arah tiupan dan
biasan angin lazim serta kesan daya koriolis putaran bumi.
         c)       Arus pasang - surut. Agen pasang dan surut juga boleh mempengaruhi bentuk-bentuk
muka bumi di zon pinggir pantai khususnya di kawasan muara sungai. Pasang dan surut terjadi akibat
putaran bumi di atas paksinya.

         d)       Tindakan angin. Di zon luar pesisir yang tidak dicapai oleh tikas air pasang biasanya
dipengaruhi oleh tindakan angin. Angin boleh mengangkut, memendap dan memusnahkan bentuk-bentuk
yang ada di zon luar pesisir ini. Di antara contoh bentuk bumi yang terhasil ialah bukit-bukit pasir yang
dikenali sebagai diun atau gumuk pasir.

B.    Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Proses Geomorfologi Pinggir
Pantai.

Di antara ke empat-empat agen geomorfologi di atas, tindakan ombak dan arus merupakan tindakan yang
paling dominan dan berkesan dalam membentuk, mengukir dan mengubah bentuk-bentuk bumi di pinggir
pantai. Kedua-dua agen geomorfologi di atas akan menghakis, mengangkut dan memendapkan bahan-
bahan yang dibawanya. Proses-proses hakisan, pengangkutan dan pemendapan ini dipengaruhi oleh faktor-
faktor berikut:

        a)        Halaju angin yang akan menentukan saiz dan kekuatan ombak. Tiupan angin yang
perlahan membolehkan ombak pembina terbentuk untuk memendapkan muatannya. Manakala angin
kencang seperti ribut akan menghasilkan ombak pembinasa yang bertindak menjalankan hakisan ombak.

         b)     Orientasi pantai samada terdedah atau terlindung . Pantai yang terdedah secara langsung
kepada serangan ombak seperti kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia akan mengalami kadar
hakisan yang kuat terutamanya pada musim tengkujuh. Sebaliknya pantai yang terlindung seperti oleh
pulau akan mengalami kadar pemendapan yang tinggi kerana di kawasan ini halaju ombak menjadi
perlahan.

         c)       Kedalaman air di kawasan pantai. Kawasan air dalam seperti di kawasan pantai berteluk
akan mengalami kadar hakisan yang tinggi sebaliknya kawasan pantai cetek, ombak akan kehilangan
tenaga akibat geseran dengan dasar pantai dan kesannya kadar pemendapan pula menjadi tinggi..

          d)       Faktor geologi yang membentuk cerun pantai. Seperti jenis dan ketahanan batuan serta
struktur cerun tersebut. Jika pantai dibentuk oleh batuan yang keras maka ia akan tahan dihakis oleh ombak
dan pantai ini berbentuk tanjung. Manakala pantai yang berbatuan lembut, mudah dihakis dan ia akan
berbentuk teluk.




         e)        Kuantiti dan kualiti bahan/muatan yang dibawa oleh ombak. Jika ombak membawa
muatan yang keras seperti batu kerikil dan batu tongkol maka kadar hakisan pantai akan meningkat kerana
bahan-bahan tersebut akan bertindak sebagai alat penghakis yang berkesan. Sebaliknya jika ombak
membawa batuan yang lembut dalam kuantiti yang banyak seperti batu lada, kulit-kulit kerang dan siput
serta pasir laut akan mempengaruhi pula kadar pemendapan di pingir pantai berkenaan.

         f)      Pertembungan arus laut dengan arus sungai. Pertembungan ini biasanya berlaku di muara.
Akibat pertembungan maka ke dua-dua arus berkenaan akan kehilangan tenaga lalu memendapkan bahan-
bahanya di dasar muara berkenaan. Kadar pemendapan bergantung kepada kuantiti bahan yang di bawa
oleh ke dua-dua arus tadi.

          g)       Perbezaan antara tikas air pasang dengan tikas air surut air laut. Semakin besar perbezaan
ini maka zon yang boleh dihakis dan dimendapkan menjadi semakin lebar. Tikas air pasang yang tinggi dan
tikas air surut yang rendah di muara akan mempengaruhi kelebaran bahan muatan yang akan dimendapkan
dan seterusnya kelebaran delta yang akan terbentuk.
C.    Faktor- Faktor Yang Menyebabkan Kelandaian dan Kecuraman Cerun
Pantai.

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kecuraman dan kelandaian sesebuah pantai. Keadaan profil
pantai yang curam atau landai juga boleh berubah-ubah mengikut masa. Kecerunan pantai tidak kekal
sesuai dengan pantai itu sendiri yang dinamik sifatnya. Di antara sebab-sebab ada pantai yang curam dan
landai ialah;

1.       Kepelbagaian jenis dan saiz bahan mendak (sedimen) yang di bawa oleh ombak. Bahan mendak
yang kasar seperti kulit kerang/siput, kerikil dan bijian pasir yang besar dan kasar akan membentuk cerun
pantai yang curam. Manakala bijian pasir yang halus akan membentuk cerun pantai yang landai.
Sebenarnya daripada segi taburan bijian pasir yang ada di sesebuah cerun pantai menunjukkan bijian kasar
di sebelah atas cerun dan semakin halus menghala ke gigi air. Justeru itu cerun pantai juga lebih curam di
bahagian atas berbanding dengan bahagian bawahnya. Hal ini berlaku kerana tenaga damparan (swash)
ombak lebih tinggi semasa menghempas pantai untuk melontar bijian pasir ke atas berbanding dengan
tenaga lurutannya yang hanya mampu menarik turun bijian yang halus sahaja. Tenaga lurutan ombak yang
lemah disebabkan oleh geseran lurutan (backwash) ombak dengan permukaan pantai itu sendiri.

2.      Faktor jenis dan kekuatan ombak. Tenaga ombak memainkan peranan penting dalam mengubah
cerun pantai. Ombak pembinasa atau dikenali sebagai ombak junam yang berlaku pada musim
tengkujuh/ribut mempunyai tenaga kinetik yang kuat untuk menghempas dan memusnahkan cerun pantai.
Selepas ombak ini berlaku cerun pantai yang landai bertukar menjadi lebih curam, profil rentas pantai
juga menjadi lebih pendek kerana ombak ini mempunyai kuasa hakis-angkut yang kuat. Sekiranya ombak
pembina atau ombak limpah tiba di sesebuah pantai maka banyak bahan-bahan enapan akan ditimbunkan
lalu menghasilkan pantai-pantai yang lebih landai cerunnya.

3.       Faktor orientasi pantai samada terdedah atau terlindung. Pantai yang terbuka dan terdedah kepada
lautan luas tanpa ada halangan dari pulau-pulau biasanya akan menghasilkan cerun yang lebih curam
kerana di kawasan pantai ini mengalami tenaga ombak dan arus yang kuat berbanding dengan pantai yang
terlindung. Misalnya pantai-pantai di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia lebih landai sifatnya
berbanding dengan pantai-pantai di pantai timur semenanjung. Ini kerana di zon pantai barat pantainya
dilindungi oleh kepulauan sumatera Indonesia dari pengaruh monson barat daya. Halangan oleh kepulauan
sumatera menyebabkan tiupan angin monson barat daya menjadi lebih perlahan sekaligus kekuatan
ombaknya juga perlahan. Sebaliknya di zon pantai timur, pantainya terdedah terus ke laut China Selatan
yang menerima secara langsung pengaruh angin monson timur laut tanpa ada halangan.



4.        Faktor manusia. Aktiviti manusia juga boleh mempengaruhi kecerunan pantai. Aktiviti-aktiviti
seperti penebangan hutan pantai seperti hutan bakau, rhu dan nipah untuk didirikan chalet dan resort atau
aktiviti pengambilan pasir di tepi pantai dan aktiviti memperdalamkan muara sungai akan menyebabkan
cerun pantai menjadi lebih curam. Ini kerana kawasan pantai tersebut akan mengalami hakisan yang kuat
oleh ombak dan arus bagi mengimbangi kawasan pasir yang dikorek tadi. Sebaliknya aktiviti penyuburan
pantai dengan menanam pokok-pokok rhu dan bakau, membina benteng pemecah ombak (Groin dan
Gabion) akan menambahkan pasir-pasir di tepi pantai seterusnya cerun pantai menjadi lebih landai.

5.      Pengaruh arus. Selain ombak, arus juga beroperasi di kawasan pantai. Misalnya arus pasang surut
yang bergerak selari dengan garis pantai. Jika sesebuah pantai itu terletak berdekatan atau bersebelahan
dengan muara sungai maka arus pesisir pantai akan membawa banyak bahan enapan dari muara yang
kebanyakkanya terdiri daripada kelodak dan Lumpur untuk dimendapkan di pesisir pantai tersebut.
Semakin banyak kadar penimbunan maka cerun pantai menjadi semakin landai. Justeru pantai-pantai yang
berlumpur sebenarnya lebih landai berbanding dengan pantai yang berpasir kerana ia mempunyai kuantiti,
mengalami serakan dan timbun-tambah bahan sedimen yang lebih banyak.
        Proses dan Kesan atau Bentuk Muka Bumi Yang Terhasil

A.      Proses Hakisan Ombak dan Bentuk Muka Bumi Yang Terhasil.
Sepertimana sungai, mekanisme hakisan ombak juga berlangsung melalui empat cara iaitu ; Tindakan
Hidraul, Tindakan Kikisan atau Geselan, Tindakan Lagaan dan Tindakan Larutan.

1.        Tindakan Hidraul (Hydraulic action). Tindakan hakisan yang disebabkan oleh kuasa air laut
itu sendiri tanpa melibatkan bahan/muatan yang dibawanya. Ombak yang menghempas pantai (swash) yang
berbatu akan memasuki rekahan-rekahan yang ada pada batuan di tepi pantai seperti di kaki cenuram atau
di tanjung. Apabila air laut memasuki dan memenuhi rekahan batuan maka ia akan memampatkan udara
yang ada di dalam rekahan tersebut dan rekahan akan mengalami pengembangan. Apabila ombak
mengundur (backwash) pula maka udara yang ada dalam rekahan tadi menguncup dan rekahan mengalami
kenduran. Proses pengembangan dan pengucupan yang berulang kali yang dialami oleh rekahan batuan
akibat swash dan backwash yang bersilih ganti lama kelamaan rekahan akan menjadi lebih luas dan dalam
dan akhirnya memecah dan meruntuhkan cenuram atau tanjung berkenaan.

2.      Tindakan Kikisan atau Geselan (Corrasion). Tindakan ini melibatkan bahan-bahan/muatan
yang dibawa oleh ombak dengan batuan di kaki cenuram atau tanjung yang mengadap ombak. Bahan
ombak seperti batu pasir, kerikil, batu lada, serpihan batuan akan bertindak sebagai alat penghakis untuk
menggesel dan menghauskan kaki cenuram tadi. Keberkesanan tindakan ini amat bergantung kepada
kekerasan bahan yang dibawa oleh ombak itu. Tanpa bahan ombak yang bertindak sebagai alat penghakis,
maka proses kikisan ini tidak akan terjadi.

3.       Tindakan lagaan (Attribution). Ialah satu proses hakisan yang melibatkan perubahan saiz
dan bentuk pada bahan-bahan pantai apabila mereka berlanggar dan berlaga sesama sendiri sehingga ia
pecah dan saiznya menjadi kecil. Misalnya batu tongkol bertukar menjadi serpihan-serpihan prismatic yang
lebih kecil akibat perlanggaran. Perlanggaran berlaku dalam dua arah iaitu ke atas dan ke bawah semasa
damparan dan semasa lurutan ombak.

4.       Tindakan larutan (Solution). Ialah satu proses hakisan laut secara kimia dimana air laut
bertindak melarutkan mineral batuan yang ada di pinggir pantai. Terutama sekali mineral yang mudah larut
dan bersifat menyerap air seperti kalsium karbonat dalam batu kapur dan dolomit. Air laut bertindak
sebagai pelarut, mineral batuan bertindak sebagai bahan larutan dan biasanya menghasilkan komposisi
mineral yang baru yang dikenali sebagai hasil larutan. Sebagai contoh jika mineral kalsium karbonat akan
menjadi kalsium hidrogen karbonat atau kalsium bikarbonat.

Bentuk Bumi Akibat Hakisan Ombak.

Sila lukis sendiri. Rujuk buku Teks Pra-U Alam Sekitar Fizikal STPM oleh Rusly Musa.


B.   Proses Pengangkutan dan Pemendapan Ombak serta Bentuk Bumi
Yang Terhasil

1.      Sebelum berlakunya proses pemendapan bahan-bahan pantai akan mengalami pengangkutan.
Terdapat pelbagai jenis bahan pantai yang diangkut dengan cara yang berbeza oleh ombak dan arus.
Antaranya ialah:

        a)       Batu tongkol (Boulder) dan batu lada yang berukuran antara 200 hingga 600 mm akan
                 diangkut dengan cara seretan atau golekan.
         b)       Batu kerikil yang bersaiz antara 20 hingga 60 mm akan diangkut secara lompatan
                  (saltasi).
         c)       Batu pasir yang halus dan sederhana yang berukuran antara 0.06 hingga 2 mm diangkut
                  dengan cara lompatan.
         d)       Kelodak dan tanah liat yang halus yang berukuran antara 0.002 hingga 0.06 mm akan
                  diangkut dengan cara ampaian atau apungan.

2.       Proses pengangkutan bahan-bahan pantai oleh ombak ini berlangsung dalam dua arah. Pertama
pergerakan ke atas semasa damparan ombak dan ke dua pergerakan ke bawah semasa lurutan ombak.
Bahan-bahan ini akan digerak secara berulang-ulang kali mengikut pergerakan damparan (swash) dan
lurutan (bacawash) ombak. Bagi menghuraikan pergerakan naik-turun bahan pantai ini maka W.V.Lewis
(1931) telah memperkenalkan dua jenis ombak yang berbeza sama sekali dalam mempengaruhi proses
pengangkutan bahan pantai. Dua jenis ombak tersebut ialah ombak Pembina dan ombak Pembinasa.

3.        Ombak Pembina (Constructive waves). Ialah sejenis ombak panjang yang rendah dengan selang
masa kejadian antara 8 hingga 10 saat dan kekerapannya antara 6 hingga 10 kali dalam seminit. Ia
merupakan gelombang limpah yang mempunyai damparan yang kuat tetapi lurutannya adalah lemah.
Justeru itu, ombak pembina mempunyai keupayaan untuk membawa dan menyebarkan bahan ke atas pantai
dengan banyak tetapi membawa balik semasa lurutannya adalah sedikit sahaja. Kesannya kadar
pemendapan oleh ombak Pembina adalah tinggi berbanding dengan kadar hakisannya. Ombak ini lazimnya
berbentuk wujud ketika laut tenang dengan tiupan angin lazim yang lemah.

4.      Ombak pembinasa (Destructive waves) . Ialah sejenis ombak pendek yang lebih tinggi dengan
selang masa kejadian antara 4 hingga 5 saat dan kekerapannya antara 12 hingga 15 kali seminit. Ia
merupakan gelombang junam yang mempunyai damparan yang perlahan tetapi lurutan yang kuat. Justeru
itu ombak pembinasa berkeupayaan untuk membawa balik dengan banyak bahan pantai kembali semula ke
laut semasa lurutannya berbanding dengan keupayaan untuk mengangkut dan melemparkan muatan ombak
ke atas pantai. Kesannya ombak ini lebih banyak menghakis daripada memendap. Fenomena ombak
pembinasa lazimnya berlaku semasa ribut atau musim tengkujuh.

5.       Selain ombak, pengangkutan bahan-bahan pantai juga dilakukan oleh arus pesisir pantai yang
bergerak selari dengan garis pantai mengikut arah tiupan angin lazim. Arus pesisir pantai (Longshore Drift)
terjadi akibat damparan ombak yang membawa muatannya tiba di pantai dalam keadaan sudut serong
manakala lurutannya pula berkeadaan sudut tepat dengan garis pantai. Kejadian ini menghasilkan
pergerakan bahan pantai secara “Zig –Zag” di atas pantai. Arah pergerakan hanyutan pesisir pantai ini
berubah-ubah mengikut musim dan arah tiupan angin lazim.

Bentuk-bentuk Bumi Hasil Pemendapan Ombak.
1.        Pantai. Pantai ialah satu kawasan pinggir laut yang terletak antara tikas air surut yang terendah
dengan tikas air pasang yang tertinggi. Pantai yang terbentuk dengan sempurna dan ideal biasanya terdiri
daripada beberapa bahagian iaitu pertama, pantai ribut yang terletak pada aras yang paling tinggi dan terdiri
daripada timbunan batu lada yang kasar, ke dua ialah permatang pantai atau berm hasil longgokan batu
kelikir oleh ombak pembina, ke tiga ialah bucu pantai yang merupakan pemisah antara bahagian atas pantai
yang bercerun curam dengan bahagian bawah pantai yang bercerun landai, ke empat ialah riak pasir yang
terletak di bahagian bawah pantai yang bercerun landai, dan ke lima ialah permatang yang rendah dan
beralur-alur kecil .

2.        Bahan-bahan yang membentuk pantai pada dasarnya berasal daripada dua sumber utama, pertama
dari kawasan daratan yang diangkut oleh sungai seperti bahan regolit luluhawa dan juga bahan hakisan.
Selain itu bahan daratan juga di bawa oleh angin seperti debu dan pasir yang dimendapkan di pantai. Kedua
bahan yang berasal dari laut seperti pasir, batu lada. Kulit-kulit kerang yang diangkut dan dimendapkan
oleh ombak. Namun begitu bahan dari laut adalah lebih banyak berbanding dengan bahan daratan.

3.       Beting pasir. Iaitu semua bentuk permatang pasir dan batu kerikil yang ditimbunkan oleh ombak
di pinggir laut. Beting pasir terdiri daripada beberapa jenis seperti beting pasir luar pantai, beting pasir
muka teluk dan juga tombolo. Beting pasir luar pantai merupakan permatang pasir yang rendah dan selari
dengan garis pantai. Beting pasir ini terletak di zon ombak pecah dan di pisahkan dari pantai oleh kawasan
laut yang cetek dikenali sebagai lagun. Ia dibentuk oleh ombak junam yang pecah lantas mewujudkan
putaran, menggali pasir dan memendapkan di sebelah belakangnya. Sifat beting pasir ini tidak kekal, ia
akan musnah apabila ditimpa oleh ombak ribut.

4.       Selain itu beting pasir muka teluk pula terbentuk di kawasan pantai yang berteluk-teluk dan
hampir menutupi muka teluk dari laut lepas. Sekiranya proses pemendapan berlaku dari dua arah yang
bertentangan sehingga menyebabkan hujung beting pasir tersebut bersambung ia akan mewujudkan beting
pasir bucu pantai. Dalam keadaan tertentu arus pesisir pantai boleh mengangkut dan menyebarkan beting
pasir dari pantai hingga bersambung dengan pulau yang berdekatan. Bentuk ini dinamakan sebagai
Tombolo.

5.        Anak tanjung. Anak tanjung juga merupakan bentuk hasil penimbunan ombak dan arus pesisir
pantai. Ia merupakan permatang yang bersambung dengan pantai dan hujungnya menganjur masuk ke laut.
Anak tanjung boleh terbentuk dalam keadaan-keadaan berikut. Pertama, apabila terdapat perubahan pada
garis pantai dari lurus ke melengkung ke dua terdapat garis pantai yang berteluk atau bermuara.
Pembentukannya berkait rapat dengan arus pesisir pantai yang mengangkut bahan enapan di sepanjang
garis pantai. Apabila tiba di bahagian pantai yang melengkung atau berteluk/muara maka arus pesisir pantai
akan terlajak dan tenaganya menjadi lemah. Kesannya ia akan memendapkan bahan-bahan yang dibawa
disepanjang lajakannya tadi dan bentuk pemendapan seolah-olah seperti taji. Proses yang berterusan anak
tanjung boleh berkembang menjadi lebih rencam dan kompleks


6.       Bukit-bukit pasir. Selain ombak dan arus, agen geomorfologi yang berpengaruh di pinggir pantai
ialah angin. Tindakan angin amat berkesan di zon lepas pesisir. Di antara bentuk yang penting akibat
pemendapan angin ialah bukit-bukit pasir atau diun pasir. Di bawah keadaan yang sesuai bukit pasir boleh
terbentuk dan berkembang dengan baik dan ketinggiannya meningkat antara 5 hingga 15 meter. Bentuk
bukit pasir juga berbeza-beza antara satu sama lain. R.J Small (1970), menggariskan beberapa factor yang
mempengaruhi perkembangan bukit pasir antaranya ialah, (a) adanya kemaraan pantai pada penghujung
teluk yang berpasir, (b) adanya longgokan atau timbunan batu lada, beting pasir dan anak tanjung dan (c)
adanya permukaan cerun atau tebing tinggi yang mengadap ke laut. Pada asasnya bukit-bukit pasir ini juga
tidak kekal dan sering kali musnah atau berubah apabila adanya tiupan angin kencang atau ribut.

     Kesan Aktiviti Pembangunan Manusia ke Atas Pinggir Pantai dan Langkah
Mengatasinya.

A.      Aktiviti Pembangunan Manusia dan Kesannya.

1.        Memang tidak dapat dinafikan zon pinggir pantai merupakan satu zon yang strategi untuk
melaksanakan aktiviti pembangunan. Justeru itu terdapat pelbagai bentuk pembangunan telah dijalankan di
kawasan ini seperti pembangunan pelancongan, pembangunan petempatan dan bandar, pembangunan
industri dan pelabuhan, pertanian akuakultur dan sebagainya yang melibatkan pemusnahan sumber-sumber
semulajadi secara besar-besaran khususnya pemusnahan hutan bakau. Akibat tumpuan pembangunan yang
melampau terhadap zon ini maka ia kini menghadapi satu permasalahan fizikal yang agak serius iaitu
meningkatnya kadar hakisan pinggir pantai yang menyebabkan saiz pantai semakin sempit.

2.       Sesebuah pantai yang cantik sebenarnya terbentuk hasil daripada kombinasi proses-proses
geomorfologi yang telah dibincangkan di atas tadi. Pada asalnya jika zon pinggir pantai tidak diganggu
gugat secara melampau oleh manusia maka sifat fizikal pantai akan dapat dikekalkan. Ini kerana secara
semulajadi segala proses geomorfologi yang bertindak akan sentiasa berada pada tahap keseimbangan
(equalibirium). Tetapi kerakusan manusia yang telah membangunkan kawasan pantai secara berlebihan
tanpa melaksanakan proses pemeliharaan dan pemuliharaan yang sistematik telah menyebabkan
keseimbangan proses-proses geomorfologi tergugat. Pantai semakin terhakis dan sempit. Manusialah
sebenarnaya bertanggungjawab menjana dan mempercepatkan lagi kadar hakisan di zon pinggir pantai.
3.         Mengikut Prof. Aziz Ibrahim, Ketua Pengarah National Hydraulic Research Institute of
Malaysia (NAHRIM), kini terdapat sekurang-kurangnya 74 tempat di sepanjang pantai di negara ini yang
menghadapi resiko hakisan yang serius. Semuanya berpunca daripada perbuatan manusia sendiri. 74 tempat
ini, bila diambil kira kesemuanya merupakan satu pertiga daripada keseluruhan pantai negara ini iaitu lebih
kurang 4800 kilometer. Hakisan yang paling teruk berlaku adalah di pantai timur semenanjung. Ada
bahagian-bahagian jalan raya yang telah rosak di sebabkan hakisan pantai yang telah sekian lama
berlarutan. Prof. Aziz menambah, ada dua bentuk hakisan pantai yang berlaku di negara ini. Pertama
hakisan yang berlaku sedikit demi sedikit – hakisan biasa akibat fenomena semulajadi dan keduanya
hakisan secara cepat, mendadak atau hakisan luar biasa akibat perbuatan manusia sendiri. Di antara contoh-
contoh pantai yang terhakis secara mendadak akibat pembangunan manusia ialah seperti di Pantai
Kelebang Melaka, Pantai Tanjung Karang Selangor yang berpunca daripada pemusnahan hutan bakau dan
Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kelantan yang berpunca daripada kerja-kerja memperdalamkan muara di
Pengkalan Datu semenjak pertengahan 80-an lagi.

4.       Kajian oleh National Erosion Study 1985, menunjukkan bahawa hakisan sepanjang garis pantai
Malaysia adalah meluas, giat dan serius sekali. Sekurang-kurangnya 1300 km (atau 27%) daripada 4800
km garis pantai Malaysia mengalami hakisan. Kadar hakisan pantai yang giat kebanyakannya menjejaskan
kawasan-kawasan pertanian, perumahan, kemudahan pengangkutan, tempat-tempat pelancongan dan
reakreasi. Laporan ini juga menyebut bahawa kadar hakisan di kawasan-kawasan kritikal adalah di sekitar
3 – 4 meter setahun dan ada juga yang mencapai 100 meter setahun seperti di Balik Pulau, Pulau Pinang. Di
antara contoh-contoh pantai di Malaysia yang giat terhakis ialah seperti Pantai Kuala Kedah dan Pantai
Merdeka, Pantai Tanjung Dawai dan Batu Feringgi di Pulau Pinang, Pantai Morib di Selangor, Desaru dan
Pantai Remis di Johor, Pantai Kuala Dungun, Kuala Kemaman, Kuala Terengganu hingga ke Kuala Ibai di
Terengganu serta Pantai Cahaya Bulan, Pantai Sabak dan Pantai Seri Tujuh di Kelantan.

5.       Terdapat beberapa aktiviti manusia yang dikenalpasti meningkatkan lagi kadar hakisan pantai.
Antaranya ialah seperti pembangunan pelancongan (pembinaan hotel,resort padang golf dll), pemusnahan
hutan bakau untuk pelbagai tujuan, aktiviti pengorekan pasir seperti memperdalamkan pelabuhan,
pengambilan pasir laut/pantai untuk pelbagai projek pembinaan dan lain-lain yang berkaitan. Kepesatan
pembangunan pelancongan telah mendedahkan zon pinggir pantai kepada agen-agen geomorfologi secara
berterusan terutama sekali di peringkat awal kerja-kerja pembinaan hotel, resort, chalet dan sebagainya. Ini
disebabkan oleh penebangan pokok-pokok pelindung pantai bagi tujuan membina pelbagai bangunan yang
berkaitan. Sebelum zon pinggir pantai dipulihkan kembali melalui kaedah “penyuburan pantai” dengan
ditanam pokok-pokok pelindung maka sudah tentu zon pinggir pantai tersebut terhakis teruk. Kajian yang
dijalankan di Pulau Langkawi yang merupakan salah satu kawasan yang pesat membangun dengan sektor
pelancongan di Malaysia mendapati bahawa 17.3% daripada pengusaha penginapan di kawasan pinggir
pantainya mengalami masalah hakisan pantai. Di antara pantai yang mengalami masalah hakisan di
Langkawi ialah Pantai Tanjung Rhu, Pantai Chenang dan juga Pantai Kuala Teriang. Bagi pengusaha hotel,
resort dan chalet berkenaan usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kadar hakisan berkenaan ialah
dengan menanam lebih banyak pokok, pembinaan benteng konkrit, menambak pasir di kawasan yang
terhakis dan “back filling”.

6.       Selain itu pemusnahan hutan bakau untuk pelbagai projek pembangunan juga dikenalpasti menjadi
punca utama kadar hakisan pantai secara mendadak berlaku. Fenomena ini kebanyakannya terjadi di pantai
Barat Semenanjung. Hutan bakau sebenarnya berfungsi sebagai zon penampan semulajadi (buffer zone)
yang paling berkesan sekali untuk menahan segala bentuk hakisan samada disebabkan oleh pergerakan air,
ombak, arus,hujan ribut, angin dan sebagainya. Hal ini kerana ciri-ciri kepadatan kanopinya, sistem akar
yang kompleks yang berupaya menahan/mengurangkan tenaga hakisan dan sebaliknya berfungsi
memerangkap segala bahan yang dibawa oleh agen-agen hakisan lalu memendapkannya. Jika hutan bakau
dimusnahkan maka fungsi ini tidak boleh dikembalikan seperti sediakala, lantas garis pantai akan terdedah
secara langsung kepada agen-agen hakisan. Selain daripada fungsinya sebagai penahan hakisan, hutan
bakau juga penting untuk mengekalkan sistem ekologi setempat, pengimbang kitaran karbon dioksida
dalam atmosfera, mengekalkan pusingan bekalan makanan (nutrien), menjadi habitat pelbagai jenis spesis
dan mampu memelihara kualiti air.
7.       Zon pinggir pantai boleh dianggap sebagai satu unit sistem geomorfologi yang dinamik sifatnya.
Justeru itu memang menjadi sifat semulajadi sesebuah sistem untuk sentiasa mencapai ke tahap
keseimbangan apabila elemen-elemen dalam sesebuah sistem             tersebut menerima gangguan.(self
regulation). Dalam hal ini ketidakseimbangan kepada profil pantai akan terjadi apabila aktiviti pengorekan
pasir laut dilakukan misalnya bagi tujuan memperdalamkan muara ataupun pelabuhan. Bagi tujuan
mengimbangi profil pantai maka agen-agen geomorfologi seperti ombak dan arus akan bertindak
menghakis, mengaut dan mengangkut pasir-pasir di tepi pantai untuk ditimbunkan kembali di bahagian
muara yang dikorek tadi. Ombak akan menghakis dan mengaut pasir dari bahagian dataran pantai manakala
arus pesisir akan membawa pasir-pasir tersebut untuk dimendapkan di bahagian muara berkenaan.
Akhirnya garis pantai akan terhakis dan semakin mengundur ke daratan. Kes ini amat ketara berlaku di
Pantai Kuala Kemaman, Terengganu. Akibat kerja-kerja memperdalamkan pelabuhan Kemaman serta
muara sungai Kemaman maka garis pantai di sekitar kuala Kemaman itu sendiri mengalami hakisan yang
teruk sehingga meliputi kawasan petempatan nelayan. Apabila resiko hakisan boleh mengancam
keselamatan nelayan maka kerajaan negeri terpaksa memindahkan nelayan-nelayan yang terbabit ke satu
kawasan petempatan baru yang lebih selamat.

B.   Langkah Mengatasinya : Strategi Pembangunan Lestari -
Mengurangkan Kadar Hakisan di Zon Pinggir Pantai.
1.   Pembangunan lestari adalah satu idea pembangunan yang dilaksanakan bagi tujuan mengekalkan
keadaan asal (sustainable development) sesuatu sumber di sesebuah kawasan agar dapat dinikmati secara
berterusan oleh generasi kini dan akan datang. Justeru itu adunan pembangunan dengan usaha
pemeliharaan dan pemuliharaan secara saintifik dan sistematik mestilah dilaksanakan di zon pinggir pantai
khususnya dalam konteks mengawal kadar hakisan yang semakin giat berlaku. Strategi pembangunan bagi
mengurangkan kadar hakisan ini boleh dilakukan melalui tiga langkah penting. Pertama, langkah
perundangan, ke dua amalan pengurusan yang cekap dan ke tiga kempen kesedaran.
2.        Langkah perundangan melibatkan perlaksanaan akta-akta tertentu bagi mencegah sesuatu sumber
daripada mengalami kemusnahan. Dalam konteks ini pemusnahan hutan bakau boleh dicegah melalui
penguatkuasaan undang-undang yang ada misalnya Akta Perhutanan Negara 1984. Kawasan hutan bakau
digazetkan sebagai hutan simpan kekal dan saiz hutan simpan ini mesti diperluaskan bagi setiap negeri di
Malaysia. Peristiharan hutan bakau sebagai kawasan hutan simpan perlindungan, yang kini lebih dikenali
sebagai “wetland sanctuary” seperti taman negara Endau – Rompin akan mengelakkannya dari sebarang
bentuk pencerobohan. Dengan melindungi hutan bakau maka secara langsung kadar hakisan pantai boleh
dikawal secara semulajadi. Selain daripada hutan bakau, tumbuhan hutan pantai yang lain seperti pokok
rhu, pokok nipah, pokok jaras, pokok gelam juga perlu dilindungi oleh undang-undang kerana pokok-
pokok tersebut juga amat berfungsi mengekang hakisan angin.
3.        Amalan pengurusan sumber yang cekap juga boleh membantu mengelakkan kadar hakisan pantai.
Misalnya dalam konteks penebangan hutan bakau. Bagi kawasan hutan bakau yang dibenarkan sebagai
“kawasan usaha - hasilan” mestilah diuruskan secara sistem tebangan memilih dan diharamkan sama
sekali sistem tebang - bersih. Pokok-pokok yang benar-benar matang sahaja yang dibenarkan di tebang
dan mengikut kadar pusingan tebangan antara 25 hingga 30 tahun sekali. Ini memberikan peluang kepada
proses tumbesaran secukupnya kepada pokok-pokok yang lebih muda. Tunggul dan sisa penebangan pula
akan dibiarkan reput dalam kawasan hutan tersebut bagi menggalakkan pertumbuhan anak benih yang baru
berlaku, dan jika dalam tempoh dua tahun didapati tidak berlaku pertumbuhan benih maka program
penanaman semula pokok bakau mestilah dijalankan segera dengan menanam pokok bakau yang bernilai
tinggi dari spesis Rhizophora Apiculata agar sistem paya bakau dapat terus berfungsi seperti keadaan asal
khususnya dalam konteks mengawal hakisan pantai.
4.        Pada amnya kaedah kawalan hakisan pantai boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu melalui
kaedah penyuburan pantai dan juga kaedah kawalan struktur. Kaedah penyuburan pantai melibatkan
usaha-uasha penanaman tumbuh-tumbuhan seperti pokok rhu dan rumput di atas pantai atau bukit pasir
(diun) agar wujud satu lapisan perlindungan daripada agen–agen hakisan. Pokok rhu amat sesuai ditanam
bukan sahaja untuk mengekang hakisan angin tetapi juga sebagai mencantikkan lagi kawasan pantai
manakala system akar rumput pula boleh mengikat dan mengukuhkan butiran pasir ditepi pantai. Kaedah
ini boleh dikelaskan sebagai kawalan biologi.
5.        Manakala kaedah kawalan struktur pula melibatkan aspek kejuruteraan pantai. Antaranya seperti
pembinaan benteng konkrit, aspalt, batu, pancang kayu, guni pasir termasuklah “Groin dan Gabion”.
Groin ialah struktur yang pendek diperbuat daripada konkrit atau kayu yang dibina menganjur ke laut
bersudut tepat dengan garis pantai bertujuan untuk memerangkap enapan pasir yang di bawa oleh ombak
dan juga arus pesisir pantai. Manakala Gabion ialah sangkar dawai logam berbentuk empat segi bujur yang
diisi dengan batu kerikil dan diletakkan di zon ombak pecah. Dengan itu tenaga ombak tidak seratus
peratus menghempas pantai sebaliknya akan ditahan dan diserap oleh gabion berkenaan sebelum tiba ke
pantai. Selain daripada penggunaan sangkar dawai dan kerikil, gabion juga boleh diperbuat daripada tayar-
tayar buruk yang diikat antara satu sama lain dan direntangkan di zon ombak pecah. Fungsinya sama, iaitu
untuk menahan dan menyerap tenaga hempasan ombak agar tidak terus tiba ke pantai. Penggunaan tayar-
tayar buruk boleh bertindak sebagai tukun-tukun tiruan yang kelak menjadi tempat pembiakan/habitat
ikan. Bagi kawasan yang agak serius kadar hakisannya maka pembinaan benteng konkrit atau ketulan-
ketulan batu yang besar boleh diletakkan di tepi-tepi pantai berkenaan bagi mengurangkan kesan hempasan
ombak ke atas pantai. Sebagai contoh sekitar hotel Primula di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu dan
di pantai pelabuhan Kuantan di Pahang.

6.       Langkah kawalan pantai yang berkesan seharusnya dilengkapi dengan aspek kesedaran terhadap
semua lapisan masyarakat. Zon pinggir pantai tidak seharusnya dinilai daripada aspek ekonomi semata-
mata. Nilai-nilai biologi dan estetikanya mestilah dijaga. Justeru setiap projek pembangunan yang hendak
dilaksanakan mestilah diadunkan dengan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan. Pengusaha harus
menyedari pemeliharaan dan pemuliharaan merupakan satu kos yang mesti dibayar. Justeru itu kajian EIA
(Environment Impact Assesment) mestilah dilakukan dan dipatuhi sepenuhnya sebelum semasa dan
selepas projek dilaksanakan. Masyarakat umum mesti sentiasa disedarkan melalui kempen,program usaha
sama/gotong royong, pendidikan alam sekitar khususnya menerusi media massa dan pendidikan formal di
sekolah.

								
To top