ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI

Document Sample
ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI Powered By Docstoc
					ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI ( SIRI 4 )

KAUM LANOH

1. PENGENALAN

Lanoh, suku kaum orang Asli daripada rumpun bangsa Semang-Negrito. Masyarakat ini
turut dikenali sebagai Lano dan Sabubn tetapi nama Sabubn sudah tidak
digunakan.Petempatan mereka bertaburan di utara negeri Perak khususnya di Daerah
Lenggong. Amalan berpindah randah kadangkala membawa memasuki wilayah suku
kaum lain. Wilayah Lanoh dikelilingi wilayah Kintak di utara, wilayah Jahai di Timur dan
wilayah Temiar di Tenggara.

Dari sudut lingustik dan budaya, orang Lanoh paling hamper kepada suku kaum Kensiu
dan Kintak. Malah ada pengkaji yang menganggap ketiga-tiga masyarakat ini sebagai
sebuah masyarakat yang sama. Ditinjau secara khusus, masyarakat Lanoh dari segi
ras (bangsa) dan budaya merupakan Negrito tetapi dari segi bahasa mereka hanya
menggunakan bahasa Temiar.

Sistem social keluarga asas merupakan unit yang memastikan kesinambungan dari
segi kewujudan dan kelangsungan hidup masyarakat ini. Keluarga asas
bertanggungjawab memasyarakatkan anak sebagai ‘ahli masyarakat yang baru’ dengan
nilai dan budaya Lanoh. Ahli baru ini diajar dan diterapkan dengan nilai-nilai
menghormati orang tua, tidak melakukan perkara yang dilarang, menerima
tanggungjawab perkongsian dalam kegiatan harian kelompok, menghormati pantang
larang dan berpegang teguh pada kepercayaan Lanoh.


2. PERKAHWINAN

Perkahwinan kebiasaannya berdasarkan suka sama suka antara pasangan. Mereka
memilih pasangan sendiri tanpa melibatkan ibu bapa ataupun keluarga terdekat dengan
membina tempat tinggal bersama, pasangan sudah memadai digelar suami isteri. Tiada
kenduri-kendara dilangsungkan, hanya si suami memberi sedikit hadiah kepada si isteri
dan mertua. Bagi si isteri pula membalas pemberian hanya kepada si suami.
Kebiasaannya perceraian akan berlaku di awal perkahwinan dan pasangan remaja
akan cuba mencari sehingga mendapat pasangan sejati. Jarang pula berlaku
perceraian apabila pasangan mendapat anak.

Keluarga asas penting sebagai sebuah unit ekonomi. Keluarga asas pula merupakan
sebuah kumpulan kerja dan menampakkan sedikit pembahagian tugas antara lelaki dan
wanita. Bapa akan dibantu oleh anak lelakinya yang dewasa untuk memastikan
keluarga asas mereka sentiasa mempunyai bekalan daging dan makanan yang
mencukupi. Manakala ibu dibantu oleh anak perempuannya memungut buah-buahan
hutan dan sayur-sayuran. Hasil yang diperolehi daripada kegiatan memburu dan
memungut hasil hutan ini biasanya tidak dikongsi dengan ahli keluarga (puak) lain.
Hasil tersebut menjadi hak keluarga asas kecuali ada lebihan, barulah diagih-agihkan.

Suami dalam apa jua atau ruang tetap menjadi ketua keluarga asas. Isteri akan
mengganti tampuk sebagai ketua sekiranyan suami meninggal dunia. Memandangkan
dalam sesetengah hal, keluarga asas turut merupakan unit keagamaan, maka suami
berperanan besar memastikan pantang larang tidak dilanggar.


3. IBU MENGANDUNG/KELAHIRAN BAYI


Ibu yang sudah harus berpantang dengan tidak boleh turun memijak tanah selama dua
minggu. Selama dua ke tiga bulan makanan untuk ibu tidak boleh ditambah garam.
Makanan yang menggunakan minyak juga pantang dimakan.


4. KEMATIAN

Apabila berlaku kematian, berita tersebut akan disebarkan kepada penghulu dan kaum
keluarga terdekat. Mayat akan dimandikan dan dibersihkan. Mayat wanita akan
dihiaskan dengan barang kemas seperti cincin, gelang dan rantai. Kemudian dibalut
dengan kain batik yang baru dan seterusnya digulung dengan tikar dan diikat dengan
kuat. Mayat lelaki pula dibalut dengan kain pelikat sebelum digulung dengan tikar. Di
tanah perkuburan, liang digali lebih kurang sedalam 2 meter. Semua harta kepunyaan
simati akan ditanam bersama-sama mayat. Setelah dikambus, 2 batang kayu sebagai
tanda dipacakkan sebagai tanda kepala dan kaki simati. Di bahagian kepala kubur
dinyalakan api supaya dapat menghalang binatang buas seperti harimau dan babi
merosakkan kubur. Jika suami meninggal dunia, si isteri tidak boleh bersolek selama 7
hari. Pada hari pertama diadakan kenduri untuk menjamu roh. Kenduri juga diadakan
pada hari ketujuh untuk roh simati pulang terus ke alam ghaib.


4. KEPERCAYAAN
Orang Lanoh berpegang pada sistem kepercayaan animisme. Perasaan takut kepada
hantu umpamanya merupakan satu cirri dalam kepercayaan animisme. Namun
masyarakat ini turut mempercayai tuhan sebagai lambang kuasa yang unggul. Sistem
kepercayaan dikawal dan dipelihara oleh autoriti yang bergelar Halak. Di samping
menagani hal ehwal ‘keagamaan’, ‘Halak’ turut berperanan sebagai pengamal
perubatan tradisional Lanoh.


5. STATUS EKONOMI

Gabungan beberapa keluarga asas (biasanya tidak melebihi 10 keluarga asas) yang
mempunyai pertalian darah atau bersaudara membentuk sebuah puak. Puak diketuai
oleh seorang ketua tetapi tidak mempunyai sebarang gelaran. Ketua puak biasanya
terdiri daripada anggota puak tertua, berpengalaman luas dan memiliki pengetahuan
mendalam tentang ilmu kebatinan dan perubatan tradisional Lanoh.

Tanggungjawab utama seseorang ketua tidak hanya terbatas sebagai pembuat
keputusan dalam hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi seperti jenis kegiatan
ekonomi yang harus dijalankan dalam sesuatu masa atau musim, menetapkan masa
untuk membuat rumah dan berpindah dan seumpamanya, tetapi juga untuk memelihara
peraturan sosial seperti usaha menjatuhkan hukuman atas kesalahan yang bersifat
jenayah.

Orang Lanoh hari ini telah menerima perubahan yang dianjurkan oleh kerajaan dengan
baik. Pada masa ini kerajaan mewajibkan masyarakat ini tinggal secara kekal di
perkampungan dan dalam Rancangan Penempatan Semula yang dibangunkan oleh
kerajaan. Di kawasan penempatan baru ini, ketua orang Lanoh bergelar Penghulu, satu
sistem yang dianjurkan oleh kerajaan. Penghulu dilantik di kalangan anggota yang
‘berpendidikan dan berpengalaman dalam pengaulan luar’. Dia berperanan sebagai
orang perantaraan di antara penduduk kampung dengan orang luar, terutamananya
kerajaan. Orang Lanoh telah menerima baik system pertanian kekal yang dianjurkan
oleh kerajaan. Terdapat juga pertanian kekal ini secara persendirian. Selain itu, mereka
terlibat dalam kegiatan ekonomi moden, khususnya dalam sektor makan gaji.

Namun dalam satu perkembangan lain, semakin ramai orang Lanoh diasimilasikan ke
dalam suku kaum Orang Asli yang lain seperti Temiar. Fenomena ini berpunca daripada
perkahwinan campur dan kedua, akibat sistem petempatan kekal. Dalam satu
rancangan kekal umpamanya di Kampung Grik, beberapa keluarga Lanoh telah
ditempatkan bersama-sama majoriti orang Temiar. Dalam jangka panjang, masyarakat
ini akan terserap dalam masyarakat Temiar. Mereka menggunakan bahasa Temiar
walaupun bercakap sesame orang Lanoh sendiri. Fenomena ini secara tidak langsung
sebenarnya menunjukkan sifat positif dan kepekaan masyarakat terhadap
pembangunan dan perkembangan alam sekeliling mereka.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:59
posted:8/27/2012
language:Malay
pages:4