transform by seketoi

VIEWS: 5 PAGES: 11

									                         BAB 3
       TRANSFORMASI PERHUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
                       Mansor Mohd. Noor dan Shamsul Amri Baharuddin




3.1    Pengenalan

Malaysia mempunyai lebih daripada 24 juta penduduk dalam tahun 2005. Rakyat di negara
ini terdiri daripada lebih 200 kumpulan etnik. Antara kumpulan etnik terbesarnya ialah
Melayu, Kadazan-Dusun, Banjar, Iban, Bidayuh, Cina, India, dan lain-lain. Dengan senario
penduduk yang pelbagai budaya, perpaduan etnik atau sebaliknya sentiasa menjadi agenda
dalam pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara ini.

Pelbagai tafsiran telah dibuat berkaitan kemampuan negara ini menguruskan masyarakatnya
yang pelbagai budaya; ada tafsiran yang optimis dan ada pula yang pesimis. Namun begitu,
negara ini telah melalui pelbagai bentuk perubahan, bukan sahaja dalam bidang politik,
ekonomi, dan sosial, bahkan juga dalam bidang perhubungan etnik. Walau bagaimanapun,
ada antara kita gagal membaca perubahan ini dan buta dengan keadaan yang sedang berlaku.
Gambaran pengalaman pahit dalam lipatan sejarah negara kita sering dijadikan hujah untuk
mengukur hala tuju dan masa hadapan negara ini.

3.2    Andaian Keretakan Etnik

Oleh sebab kepelbagaian budaya, agama, dan bahasa wujud di kalangan rakyat di negara ini,
maka beberapa kemungkinan yang akan menimpa negara ini sering diandaikan. Kebanyakan
andaian tentang perhubungan etnik yang dibuat semenjak negara ini belum mencapai
kemerdekaan dalam tahun 1957 hingga ke hari ini lebih bersifat negatif. Dikatakan bahawa
perkauman akan sentiasa menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum, pembangunan
akan mengukuhkan lagi batas perkauman, perebutan sumber dan kedudukan dalam
masyarakat akan dipengaruhi oleh batas kaum, dan persaingan antara kaum ini boleh
melahirkan perhubungan kaum yang tegang dan membawa kepada konflik perkauman yang
boleh pula menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan keruntuhan pemerintahan
negara ini.

3.3    Simpang Siur Perjalanan Sejarah Negara

Perjalanan sejarah negara ini telah membuktikan bahawa andaian-andaian negatif ini
mungkin ada kebenarannya tetapi yang jelas perbezaan budaya, bahasa, dan agama di
kalangan rakyat pelbagai budaya tidak semestinya menjadi punca konflik antara kaum.
Malahan jika berlaku pun konflik antara kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969, insiden
Kampung Rawa 1997, dan insiden Kampung Medan 2001 konflik tersebut berlaku kerana
ketidakseimbangan pembangunan dan kelemahan tadbir urus kerajaan, ketidaksamarataan
ekonomi antara kaum dan wilayah, kemiskinan penduduk bandar, dan peminggiran rakyat
daripada perkhidmatan kerajaan (Mansor Mohd. Noor 2001).




                                                                                      17
3.4    Kestabilan dan Kemakmuran Mengatasi Keretakan Etnik

Di sebalik kejadian konflik antara kaum di atas, negara secara umumnya stabil, makmur, dan
harmoni. Malahan, di sebalik ketidakseimbangan yang wujud, negara telah berjaya
mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan mencatat tujuh
peratus kadar pertumbuhan ekonomi setahun. Dalam arena ekonomi juga, amalan
perkongsian bijak antara elit ekonomi daripada pelbagai kaum di peringkat ahli-ahli korporat
telah berjaya menjana pertumbuhan sektor swasta. Elit ekonomi ini bukan sahaja bergiat
cergas di negara ini, malah mereka juga memainkan peranan yang sama di peringkat global.
Senario politik negara pada hari ini, kecuali semasa rusuhan kaum dalam tahun 1969 dan
krisis mata wang pada tahun 1997-1998, stabil dan rakyat pelbagai kaum telah berkongsi
kuasa dalam membentuk kerajaan di negara ini.

Pembangunan negara, kestabilan politik, dan kemakmuran ekonomi yang dicapai telah
memodenkan dan mengembangkan lagi budaya hidup kelas menengah di kalangan rakyat di
Malaysia hingga lahir satu budaya keterbukaan dalam masyarakat negara ini yang boleh
menerima, memperaku, menghormati, dan berbangga dengan masyarakat yang bersifat
pelbagai budaya. Mereka, tanpa mengira etnik, boleh berkongsi nilai dan pendapat awam
hingga terbina hubungan silang budaya antara mereka walaupun latar belakang mereka tidak
seragam dari segi budaya, bahasa, dan agama.

Perkongsian nilai dan pendapat awam di kalangan rakyat pelbagai budaya ini amat terserlah
dalam etos masyarakat yang mengutamakan perpaduan, keharmonian, dan kestabilan dalam
kehidupan masyarakat dan negara mereka. Mereka akan bersama-sama menolak apa-apa
bentuk yang melampau dan keganasan, walaupun individu dan pergerakan sosial itu datang
daripada kelompok etnik dan agama mereka sendiri, seperti Suqui, Al Maunah, Al Arqam,
Kumpulan Mujahideen Malaysia, dan lain-lain.

3.5    Masalah Salah Faham Antara Etnik di Malaysia

Agak sulit untuk memahami perubahan sosial yang telah melanda perhubungan etnik di
negara ini kerana kegagalan golongan sarjana dan politik melahirkan pemikiran dalam
masyarakat yang dapat mendorong masyarakat, dasar, dan pemerintahan negara menjurus ke
arah tadbir urus yang peka dan sensitif dengan dimensi etnik.

Para sarjana masih lagi terikat dengan pemikiran era penjajah Inggeris yang berpendapat
masyarakat pelbagai budaya di negara ini tidak ada nilai yang boleh mengikat mereka
bersama. Apa-apa bentuk pembangunan dan perindustrian yang akan dilakukan pasti
menebalkan batas kumpulan etnik hingga menyebabkan mereka sentiasa terpisah dan terasing
satu sama lain. Hal yang sama berlarutan dalam arena politik. Ahli politik dan pengundi akan
mempertahankan hujah bahawa kepentingan mereka bersama berasaskan perkiraan etnik
semata-mata, bukan berasaskan kepentingan mereka sendiri (Furnivall 1948, Leo Kupper
1974 dan 1977, dan Horowitz 1989).

Tidak rumit bagi kita memahami pemikiran sedemikian di kalangan rakyat biasa, ahli politik,
dan sarjana kerana ketiga-tiga golongan ini berpendapat ikatan etnik tidak boleh dan tidak
akan berubah. Malahan ikatan etnik ini dikatakan mempunyai kuasanya yang tersendiri
sehingga setiap individu, tanpa mengira etnik, tidak bebas tetapi dicorakkan oleh pengaruh
etnik itu. Pemikiran tentang etnik dalam kotak yang terpisah dan terasing tanpa jalan
pertemuan itu lahir daripada ilmu era penjajah Inggeris yang mahu mengekalkan kuasanya ke


                                                                                         18
atas anak-anak jajahan yang terdiri daripada masyarakat pelbagai budaya, bahasa, dan agama.
Penjajah Inggeris berpegang kepada konsep etnik yang tertutup sedemikian bukan kerana
mahu mengukuhkan status quo kuasa mereka semata-mata bahkan juga kerana sikap rasisme
dan etnosentrik mereka sendiri terhadap budaya-budaya lain.

Selain kerangka konsep dan teori masyarakat majmuk yang dibawa oleh Furnivall di atas,
pada tahun 1990-an lahir satu pendekatan yang berpendapat konsep etnik ialah satu binaan
sosial dan golongan kelas menengah mampu menipiskan perkiraan batas etnik di kalangan
masyarakat pelbagai budaya di Malaysia (Johan Savaranamuttu 1992, Abdul Rahman
Embong 1996 dan 2001, dan Loh Kok Wah 2001). Pemerhatian terhadap kelas menengah
yang boleh menipiskan batas etnik ini ada kebenarannya kerana individu daripada pelbagai
budaya ini didapati dapat berhubung antara satu sama lain melintasi batas kumpulan etnik
mereka. Semasa pilihan raya umum di Malaysia dalam tahun 1999 dan 2004, kajian tingkah
laku pengundi mendapati pengundi-pengundi di kawasan barat Semenanjung mendokong
tesis kelas menengah ini. Dalam hal ini, tanpa mengira etnik, pengundi mengutamakan
perkiraan pembangunan, pekerjaan, dan tadbir urus yang baik (Johan Sivaranamuttu 2002).
Namun di kalangan pengundi di kawasan majoriti Melayu, seperti di utara dan pantai timur
Semenanjung, mereka mengutamakan pengurusan etos agama dan budaya Melayu; hal
pembangunan, pekerjaan, dan tadbir urus yang baik hanya dianggap sebagai perkiraan kedua
yang terpenting (Mansor Mohd. Noor 2004). Ini bermakna pendekatan kajian ini walaupun
sudah mengandungi kefahaman yang konsep etnik bersifat berubah-ubah tetapi penekanan
kepada ciri kelas menengah sebagai asas perubahan masyarakat masih lagi didapati gagal
diguna pakai untuk memahami setiap tingkah laku kumpulan etnik yang pelbagai budaya itu.

Sebenarnya pegangan konsep etnik di Alam Melayu, bukan seperti yang digambarkan oleh
penjajah Inggeris dan ahli sarjana dan politik tempatan yang telah merujuk kepada kefahaman
ilmu penjajah yang memerangkap diri sendiri dengan kerangka pemikiran itu. Buku Sejarah
Melayu dan Hang Tuah, dikukuhkan oleh kajian ilmiah kini menunjukkan konsep etnik di
Alam Melayu ini memiliki sifat batas kelompok etnik yang berubah-ubah atau keetnisitian
telap. Manakala konsep etnik yang memiliki batas kelompok etnik yang berubah-ubah pula
didapati mengandungi etnik yang terikat antara satu sama lain di bawah satu payung etnik
atau keetnisitian payung berdasarkan ciri-ciri bahasa, budaya, dan agama di rantau ini.
Persoalan kesetaraan kumpulan etnik tidak timbul kerana mereka mengubah suai dan
mengikat diri kumpulan mereka dengan kumpulan utama di Alam Melayu ini; dan peri laku
ini mewujudkan hubungan etnik yang berbeza-beza (Robert Heffner 2001, dan Shamsul Amri
Baharuddin 1994).

Kumpulan etnik di Alam Melayu ini seperti Melayu, Jawa, Minangkabau, Banjar, Bajau,
Kadazan-Dusun, Murut, Iban, Bidayuh, Melanau, Bugis, dan kelompok etnik tempatan yang
lain didapati tidak memiliki batas etnik yang tertutup. Batas kumpulan etnik mereka
berubah-ubah kerana wujud hubungan silang kumpulan yang menyebabkan kumpulan saling
pinjam-meminjam ciri-ciri tertentu hingga terbina integrasi budaya dan sosial antara etnik.
Gambaran yang sama didapati berlaku juga dalam masyarakat Arab, Cina, Portugis, dan India
yang berhijrah ke alam ini. Akibat hubungan melintasi batas kumpulan dan konsep kumpulan
etnik yang berubah-ubah, kumpulan migran ini juga didapati melalui proses integrasi budaya
dan sosial dengan masyarakat setempat hingga lahir subkelompok seperti Jawi Pekan,
Peranakan, Baba Nyonya, dan Chetti di kalangan mereka (Charles Coppell 1997).

Paling penting diingat, kumpulan etnik ini tidak terpisah dan terasing serta batas etnik mereka
pula bersifat berubah-ubah. Setiap kumpulan etnik pula terikat dengan payung etnik Alam


                                                                                            19
Melayu berdasarkan bahasa, budaya, dan gaya hidup Melayu dan Islam walaupun mereka
masih lagi mengamalkan bahasa, budaya, dan agama kumpulan etnik masing-masing.
Gambaran perhubungan etnik sedemikian jelas kelihatan dalam sejarah di Alam Melayu
semenjak tersebarnya pengaruh agama Hindu dengan empayar Majapahit di Jawa dan di
Merbok, Kedah dan pengaruh agama Islam dengan kesultanan Melayu di Pasai, Acheh, dan
Melaka.

Alam Melayu sebelum kedatangan penjajah-penjajah Barat telah berjaya membina
masyarakat pelbagai budaya menerusi ikatan antara kumpulan hingga wujud hubungan silang
budaya berteraskan konsep keetnisitian telap dan keetnisitian payung. Model pengurusan
masyarakat silang budaya yang sudah sedia terbina di Alam Melayu sebelum kedatangan
penjajah Barat sangat berbeza dengan kefahaman konsep ras dari Barat yang sempit itu.
Pengalaman pengurusan masyarakat pelbagai etnik di Alam Melayu sepatutnya dijadikan
kerangka untuk menganalisis dan model untuk membangunkan masyarakat yang stabil,
makmur, adil, dan harmoni. Kita perlu menolak kefahaman ras yang dibawa oleh penjajah
Inggeris yang membawa konsep ras yang tertutup dengan sikap etnosentrisme mereka kerana
kaedah itu telah menanamkan bibit perpecahan di kalangan rakyat pelbagai budaya di negara
dan rantau ini.

3.6    Tahap Transformasi Perhubungan Etnik di Malaysia

Berdasarkan konsep keetnisitian telap dan keetnisitian payung (Robert Hefner 2001) seiring
dengan teori pilihan rasional (Michael Banton dan Mansor Mohd. Noor 1992) yang berfokus
kepada usaha memahami pilihan bertindak seseorang individu berdasarkan peluang-peluang
yang ada, di bawah akan digariskan perjalanan sejarah negara dalam memetakan arah
transformasi perhubungan etnik di negara ini mengikut tahap-tahapnya.

3.6.1 Tahap Etnik Telap dan Payung

Sebelum kedatangan penjajah Portugis, Belanda, dan Inggeris ke Tanah Melayu, Sabah, dan
Sarawak khususnya, dan wilayah Alam Melayu amnya, perhubungan etnik di kalangan
pelbagai budaya di kawasan ini bersifat telap dan payung (Robert Heffner 2001, Shamsul
Amri Baharuddin 1996a dan 1996b). Setiap kumpulan etnik mempunyai ciri-ciri bahasa,
budaya, dan agama tersendiri tetapi di sebalik kewujudan jati diri dan identiti sendiri ini,
setiap kumpulan etnik itu memiliki batas kumpulan etnik masing-masing yang terbuka
kepada pengaruh sosiobudaya masyarakat setempat. Dengan kata lain, mereka berlainan
tetapi berteduh di bawah payung etnik Melayu dari segi bahasa, budaya, dan agama.

3.6.2 Tahap Masyarakat Majmuk

Dengan kedatangan penjajah, konsep ras atau diterjemahkan sebagai bangsa dalam bahasa
Melayu, telah digunakan untuk mengkategorikan kumpulan pelbagai etnik ini ke dalam
pentadbiran dan wacana politik di negara ini. Dengan kuasa pentadbiran yang ada di tangan,
pihak penjajah Inggeris telah mengkategorikan kumpulan etnik ini berdasarkan kefahaman
konsep ras dan rasisme yang dibawa daripada pengalaman sejarah mereka sendiri. Mereka
telah mengamalkan konsep ras yang ditafsirkan secara tertutup berdasarkan ikatan darah dan
mempunyai implikasi superioriti ras dan rasisme (Michael Banton 1983).

Masyarakat disusun atur, misalnya dalam bidang ekonomi orang kulit putih berada di atas
susun lapis masyarakat, manakala Cina, India, Melayu, dan Bumiputera Lain di bawahnya.


                                                                                         20
Orang kulit putih diberi ruang ekonomi dalam perdagangan, perlombongan bijih timah, dan
ladang-ladang getah; orang Cina dijadikan sebagai buruh dalam kegiatan perlombongan bijih
timah dan perniagaan; orang India dijadikan buruh dalam sektor awam, pembinaan
infrastruktur bangunan dan jalan, serta sebagai penoreh getah di ladang getah; dan orang
Melayu dijadikan sebagai pentadbir bawahan, petani, dan nelayan sahaja. Mengikut
Horowitz, konsep ras dan status sosial diguna pakai oleh penjajah Inggeris demi
mengukuhkan kepentingan ekonomi dan kuasa jajahan mereka di negara ini.

Berdasarkan konsep ras, rasisme, dan status sosial Inggeris ini, maka pentadbir mengatur
struktur ekonomi masyarakat. Kegiatan ekonomi utama, perdagangan import eksport, dan
peladangan besar-besaran dipegang oleh orang Inggeris, perniagaan runcit dan melombong
bijih timah diberikan kepada masyarakat Cina, tugas sebagai penoreh getah dan tenaga buruh
membangunkan infrastruktur jalan raya, keretapi, dan telekomunikasi pula diisi oleh kaum
etnik India, dan kaum etnik Melayu diatur untuk menjadi pegawai tadbir rendah, petani, dan
nelayan sahaja. Manakala dalam struktur politik pula, orang Inggeris memegang kuasa utama,
diikuti oleh raja dan bangsawan Melayu, dan diikuti seterusnya oleh Cina, India, dan yang
lain-lain. Kaedah pemerintahan penjajah Inggeris yang telah menggunakan falsafah
pemerintahan pecah dan perintah ini telah diamalkan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga
sebelum kedatangan mereka ke sini, di Afrika dan India. Dasar pecah dan perintah penjajah
Inggeris telah mengubah bentuk hubungan etnik yang terbina di Alam Melayu sebelum
kedatangan Inggeris hingga jelas kelihatan bentuk pekerjaan yang dilakukan oleh sesuatu
etnik itu teragih mengikut kumpulan etnik.

3.6.3 Tahap Menuju ke Era Kemerdekaan

Pemerintahan dan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh penjajah Inggeris bermatlamat
memberikan keuntungan kepada kelompok elit ekonomi Inggeris dan negara mereka semata-
mata. Hasil pembangunan sedemikian telah mewujudkan masyarakat majmuk seperti yang
diperhatikan oleh Furnivall, yakni mereka hidup terpisah dan terasing, bertemu sewaktu
membeli belah di pasar, dan tidak mengongsi nilai bersama yang mengikat mereka. Oleh
sebab itu isu kemiskinan, kemunduran, dan peminggiran masyarakat Melayu daripada arus
pembangunan serta kerisauan akan kehilangan identiti dan kuasa politik di negara sendiri
telah mempengaruhi agenda pergerakan nasionalisme Melayu di Tanah Melayu. Penggunaan
bahasa Melayu, pendidikan, kedudukan Raja, hak terhadap tanah, dan isu kerakyatan menjadi
agenda yang digembleng oleh pemimpin Melayu, terutama melalui Pertubuhan Kebangsaan
Bersatu Melayu (UMNO). UMNO menggemblengkan masyarakat dan raja-raja Melayu
dengan agenda-agenda ini dalam penentangan mereka terhadap cadangan Malayan Union
oleh penjajah Inggeris selepas Perang Dunia Kedua.

Sebelum kemerdekaan negara, kumpulan etnik Cina dan India di Negeri-Negeri Selat seperti
Pulau Pinang, Melaka, dan Singapura terbahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama
merasakan mereka ialah rakyat British. Kumpulan kedua pula berpendapat mereka ialah
rakyat negara asal mereka hingga apa-apa bentuk kegiatan nasionalisme di sini hanya
bermatlamat untuk memerdekakan dan membebaskan negara mereka sendiri daripada dijajah
oleh Barat dan Jepun. Manakala kumpulan ketiga mahu menetap dan menjadi rakyat negara
ini tetapi mahu mengekalkan jati diri, bahasa, dan budaya kumpulan etnik mereka.

Dalam perkiraan suasana sejarah sedemikian, kumpulan etnik Cina dan India tidak begitu
aktif memainkan peranan bersama-sama dengan masyarakat Melayu semasa perbincangan
menuntut kemerdekaan daripada pihak Inggeris. Kalau ada pun kumpulan Cina melibatkan


                                                                                       21
diri dalam pergerakan nasionalisme tempatan, seperti gabungan Parti Komunis Malaya dan
pergerakan nasionalisme kiri Melayu, penglibatan ini merupakan strategi perjuangan dua
tahap revolusi parti komunis Malaya yang diatur oleh komunis antarabangsa untuk
mengkomuniskan negara ini dengan cara membina hubungan rakan pejuang dengan
Angkatan Pemuda Insaf (Ramlah Adam 1998).

Walau bagaimanapun, setelah perbincangan kemerdekaan dengan pihak Inggeris menuju ke
arah kepastian dalam tahun 1950-an, kumpulan pendesak Cina telah berjuang mengekalkan
bahasa Mandarin, budaya Cina, sekolah aliran Cina, dan kerakyatan berdasarkan pemastautin
di sini (Heng Pek Hoon 1998).

Orang Melayu yang terhimpit dengan kedudukan ekonomi etnik Cina, merasakan
kepentingan mereka dari segi tanah, pekerjaan, pendidikan, dan bantuan pembangunan
terhakis dan mereka telah mendesak agar kepentingan mereka dimasukkan ke dalam
Perlembagaan Malaya pada masa itu.

Daripada perbahasan ini, dapat kita perhatikan bahawa konsep etnik telap dan payung sudah
dikebelakangkan dalam perjalanan sejarah negara menuju kemerdekaan. Malahan demi
kepentingan etnik masing-masing, kumpulan etnik telah mendesak agar kerakyatan diberikan
kepada mereka tetapi pada masa yang sama mereka mahu hidup terpisah dan terasing dari
segi bahasa, budaya, agama, kepimpinan, pendidikan, dan kegiatan ekonomi walaupun terikat
dengan pemerintahan yang sama.

Namun begitu, pihak penjajah Inggeris tidak mahu memerdekakan negara ini dan
menyerahkannya kepada pergerakan yang berteraskan ideologi sosialis seperti Kesatuan
Melayu Malaya, berteraskan komunis seperti Parti Komunis Malaya atau kumpulan
berfahaman Islam seperti Parti Agama Islam Malaya (PAS). Kumpulan perjuangan nasionalis
Melayu daripada UMNO yang mendokong sistem pemerintahan negara, jentera kerajaan yang
dibina oleh penjajah dan sistem monarki raja-raja Melayu, dan sistem ekonomi kapitalis telah
bersedia bukan sahaja untuk bertolak ansur dengan pihak Inggeris tetapi juga membuka ruang
untuk bekerjasama dengan mereka yang mempunyai kepentingan politik dalam kelompok
etnik Cina dan India, masing-masing melalui Persatuan Cina Malaya (MCA) dan Kongres
India Malaya (MIC). Ketiga-tiga parti politik telah bekerjasama semasa pilihan raya di
peringkat pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur pada tahun 1955 dan di peringkat
negara dengan terbentuknya Parti Perikatan. Selepas 13 Mei 1969, perkongsian kuasa politik
ini diperluaskan hingga melibatkan 12 parti politik lain dan dipanggil Barisan Nasional.

Amalan perkongsian kuasa politik ini berlainan dengan amalan perkongsian kuasa yang
diamalkan di India, Indonesia, Itali, dan lain-lain. Semua negara ini mengamalkan demokrasi
dan menentukan kerajaan yang memerintah melalui pilihan raya. Di Malaysia perkongsian
kuasa telah ditentukan secara persetujuan sebelum hari pengundian, manakala di negara-
negara lain, perkongsian kuasa itu berlaku kerana mereka terpaksa bergabung jika mahu
membentuk kerajaan.

Nyata sekali kaedah perkongsian kuasa politik acuan Malaysia lebih stabil dan berpanjangan
amalannya. Ini boleh menjadi realiti kerana konsep etnik payung merupakan antara ciri
etnisiti dalam masyarakat Melayu dan konsep ini dipersetujui dan diamalkan oleh parti-parti
politik yang lain. Dalam konsep ini kuasa politik yang dominan terletak di tangan UMNO dan
kepentingan politik etnik-etnik lain akan dipertahankan bersama.



                                                                                         22
3.6.4 Tahap Dekad Pertama Kemerdekaan

Setelah sepuluh tahun merdeka, pembangunan negara yang dilaksanakan melalui falsafah
sistem ekonomi bebas terus mengukuhkan kepentingan pelabur ekonomi asing, terutama dari
Barat. Pembangunan infrastruktur jalan raya, saluran, dan parit serta kemudahan awam
seperti sekolah dan klinik kesihatan dibangunkan tetapi tidak seimbang kerana lebih tertumpu
di kawasan bandar di bahagian barat Semenanjung.

Dalam dekad 60-an, hasil beberapa Kongres Ekonomi Bumiputera, masyarakat Melayu
berpendapat kemerdekaan tidak memberi makna dan membawa kepada peningkatan taraf
hidup. Orang Melayu mahu negara diwarnai oleh bahasa, budaya, dan agama mereka dan
kehidupan yang tidak dipinggirkan oleh penguasaan ekonomi oleh kaum Cina dan India.

Kumpulan etnik Cina dan India diberikan kerakyatan negara ini dengan mudah tetapi
pembangunan negara terus menguntungkan mereka yang berada di bandar, terutama dalam
bidang ekonomi. Masyarakat India dan, terutamanya, Cina bukan sahaja terus mengukuhkan
kumpulan mereka dalam arena perdagangan dan peruncitan tetapi juga mendesak agar sistem
persekolahan bahasa ibunda mereka dikekalkan. Masyarakat Cina menolak dasar pendidikan
kebangsaan berteraskan satu bahasa kebangsaan dan yang meminggirkan bahasa ibunda
kaum etnik lain. Persatuan sekolah dan guru sekolah Cina didapati telah memperjuangkan
ekstremis budaya ini di kalangan masyarakat Cina di negara ini semenjak sebelum merdeka
lagi.

Di hujung dekad 60-an, ketegangan wujud dalam perhubungan etnik yang membawa kepada
konflik dalam tahun 1969 kerana masalah ketidaksamarataan, kemunduran, kemiskinan,
produktiviti rendah, dan ketiadaan kemudahan awam telah bertindih-tindih antara satu sama
lain mengikut garis etnik, agama, bandar-desa, dan wilayah. Perbahasan tentang ideologi dan
jati negara yang berbeza antara kumpulan etnik, merenggangkan hubungan antara mereka dan
meruncingkan lagi jurang sosial yang wujud itu.

Pembangunan negara yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi boleh menjamin
kemakmuran tetapi tanpa kesamarataan dan keadilan pertumbuhan ini tidak boleh menjamin
kestabilan dan keharmonian etnik dalam negara ini. Amalan demokrasi ala Westminster
mungkin unggul di United Kingdom tetapi dalam suasana kewujudan jurang sosial dari segi
pendidikan, pekerjaan, pendapatan, dan ekuiti yang luas antara etnik, kebebasan bercakap dan
berkumpul menjadi duri dalam masyarakat hingga masalah yang bersifat sosial dan material
bertukar menjadi isu etnik. Akhirnya, penyelesaian dan penggemblengan dibuat berdasarkan
perkiraan perbezaan etnik.

3.6.5 Tahap Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Selepas kejadian rusuhan etnik 1969, kerajaan menyedari wujudnya jurang sosioekonomi
antara etnik yang luas dan kelonggaran ikatan kewarganegaraan di kalangan rakyat pelbagai
budaya. Pihak kerajaan telah melaksanakan dua dasar utama setelah politik negara kembali
stabil, iaitu DEB dan Rukunegara. DEB mempunyai beberapa penekanan bermula dengan
membasmi kemiskinan, menyusun semula struktur ekonomi agar pekerjaan tidak bercirikan
batas etnik, dan mewujudkan masyarakat industri dan perniagaan bumiputera.

Manakala kontrak sosial negara yang termaktub dalam perlembagaan diolah kembali melalui
Rukunegara agar dapat dijadikan prinsip dan pegangan hidup rakyat Malaysia. Demi


                                                                                         23
membina masyarakat yang bersatu padu, skim Rukun Tetangga telah dilancarkan pada tahun
1975 untuk membina perhubungan etnik di peringkat masyarakat melalui skim rondaan dan
konsep muhibah.

Rakyat Malaysia didapati memiliki nafas sabar yang agak pendek apabila dasar-dasar ini
mula dilancarkan kerana mereka sering bertindak dengan mengkritik dan menolak
pelaksanaan dasar dan program ini. Masing-masing etnik mahu mengaut keuntungan ke arah
diri sendiri dan tidak mahu menunggu kesan positif yang mungkin lahir dari dasar-dasar yang
dilancarkan itu di hari kemudian. Ada di kalangan masyarakat Cina yang berhijrah keluar ke
negara lain, ada yang pergi belajar ke luar negara dan tidak kembali ke negara sendiri, dan
ada yang membawa modal ke luar negara dan melabur di negara lain sebagai tanda protes
kepada perubahan dasar pemerintahan negara. Di bidang budaya dan pendidikan, masyarakat
Cina terutamanya, mengorak langkah untuk memperkukuh bahasa, budaya, dan persekolahan
ibunda mereka sendiri.

Perkembangan ini juga merupakan reaksi kepada beberapa perubahan yang diambil oleh
pihak kerajaan, seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang mengutamakan budaya Melayu,
Islam, dan mengambil elemen budaya lain yang selari dengan budaya tempatan; tindakan
kerajaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti; dan
pelaksanaan Akta Koordinasi Industri 1974 yang meletakkan syarikat bermodal tertentu
menerima ekuiti bumiputera dalam perniagaan mereka. Masyarakat Melayu dapat menarik
nafas lega dengan perubahan-perubahan ini tetapi masyarakat Cina dan India berasa tertekan.
Perubahan-perubahan ini telah merisaukan masyarakat bukan Melayu, terutama etnik Cina,
dengan persepsi pesimis hingga menyebabkan prestasi kurang cemerlang parti politik MCA
dalam pilihan raya 1969 yang hampir menghakis kedudukan politik mereka.

Di sebalik salah faham yang wujud, kestabilan politik yang dicapai hasil peluasan amalan
perkongsian kuasa politik antara parti politik berteraskan etnik dan agama telah berjaya
menarik pelaburan asing yang telah membuka peluang pekerjaan. Hingga pada akhir
pelaksanaan DEB, negara telah mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi,
kemiskinan dikurangkan, masyarakat kelas menengah di kalangan masyarakat Cina dan
Melayu dikembangkan; dan negara didapati makmur dan harmoni.

Pembangunan yang telah berjaya membasmi kemiskinan dan membina kelas menengah yang
besar telah melahirkan budaya hidup komersial di kalangan rakyat pelbagai budaya. Aspirasi
dan pandangan hidup mereka dikongsi bersama dan perkongsian ini telah membina hubungan
saling pergantungan antara satu sama lain dan mewujudkan hubungan silang budaya yang
melintas batas etnik. Kajian telah menunjukkan pada dekad 1990-an batas etnik di kalangan
masyarakat pelbagai budaya ini nipis dan hubungan dua individu daripada kumpulan etnik
yang berlainan walaupun berbentuk hubungan sosial, perkiraan sosial, bukan etnik yang lebih
diutamakan dalam tindakan mereka (Mansor Mohd Noor 1999a, Johan Savaranamuttu 1992).

Malahan dasar-dasar kerajaan yang digubal selepas 13 Mei 1969, yang condong ke arah
nasionalisme Melayu, didapati tidak menjadi amalan dalam pemerintahan negara. Ada antara
dasar ini yang diubah, seperti Akta Koordinasi Industri dan kedudukan Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan (SRJK) dan ada pula yang masih dipegang sebagai dasar tetapi telah
menunjukkan kematangan dengan menerima budaya dan amalan agama kumpulan etnik lain
sebagai sebahagian daripada lanskap masyarakat ini. Kepelbagaian dan ketidakseragaman
hidup dari segi budaya, bahasa, dan agama di kalangan rakyat di Malaysia sudah boleh
diterima, diperaku, dan diraikan. Malahan sudah wujud ruang sosial yang luas yang


                                                                                        24
memperlihatkan perkongsian pendapat awam sudah lebih terbina di kalangan rakyat pelbagai
budaya jika dibandingkan dengan perbezaan antara mereka. Jika ada perbezaan pendapat pun,
perbezaan berkenaan sudah boleh diterima dan disepakati tanpa mempengaruhi perhubungan
sosial yang sudah terbina harmoni antara mereka.

Struktur perhubungan etnik di Malaysia di tahap ini lebih dipengaruhi oleh kumpulan etnik
yang batas mereka nipis dan perhubungan antara mereka berdasarkan perkiraan bukan etnik.
Hubungan etnik di tahap ini lebih bersifat utilitarian dan mengikat mereka dalam jalinan
silang budaya; merentas batas etnik dan agama masing-masing. Namun demikian ada yang
bermain dengan corak tingkah laku pengelompokan etnik yang tidak sihat dengan
memanipulasi etnik demi mempertahankan kepentingan material dan kedudukan mereka,
seperti yang sering dilakukan semasa pilihan raya dan kemasukan ke institusi pengajian
awam.

Kumpulan etnik ini juga didapati masih tercari-cari identiti bangsa dan negara yang
diinginkan hingga tugas pembentukan negara dan negara bangsa, yang sudah diletakkan batu
asasnya oleh perjuangan kemerdekaan, menjadi kabur dan tidak terbina secara persetujuan
antara rakyat, terutamanya isu kontrak sosial dan kedudukan bahasa Melayu. Dari satu segi,
perbahasan tentang isu-isu ini merupakan perkara biasa kerana struktur umur dan pendidikan
rakyat berubah.

Yang paling menakutkan, masih ada di kalangan etnik Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun,
Iban, Bidayuh, dan etnik lain yang bermain dengan sentimen etnisiti dan agama. Kelompok
etnik serpihan ini perlu dikenal pasti jika tindakan melampau dan kecenderungan ke arah
ketenteraan dan keganasan pergerakan sosial ini mahu ditangani.

Punca kepada terbentuknya isu perhubungan etnik, seperti manipulasi etnik, perbahasan
tentang identiti diri serta negara, dan amalan bermain dengan sentimen etnisiti serta agama di
atas perlu dikaji, kerana tidak mustahil teras masalahnya bukan terletak pada dimensi
perbezaan etnik, budaya, bahasa, dan agama tetapi mungkin disebabkan kemunduran,
pengangguran, kemiskinan, peminggiran, dan ketidaksamarataan dalam kehidupan serta
masyarakat.

Oleh sebab itu pintu masuk kepada konflik etnik di Malaysia pada tahap ini bukan lagi ala 13
Mei 1969, iaitu jurang ekonomi yang memisahkan etnik Melayu dan Cina, tetapi mungkin
konflik di kalangan masyarakat miskin dan pinggiran, terutama di bandar. Kejadian
pergaduhan seperti di Kampung Rawa, Pulau Pinang dalam tahun 1997 dan Kampung
Medan, Selangor pada tahun 2001 antara Melayu dengan India menunjukkan pengurusan
kumpulan miskin dan pinggiran di bandar perlu diberi perhatian utama jika keharmonian
etnik yang dikecapi sekarang ini mahu dikekalkan dan ditingkatkan. Jika ini ialah intipati
masalah etnik di Malaysia, maka penyelesaiannya bukan asimilasi etnik tetapi pentadbiran
yang cekap dalam pemerintahan negara ini.

Acuan ekonomi negara yang menekankan pertumbuhan ekonomi negara dan pengagihan
sumber material antara etnik, agama, wilayah, bandar, dan desa ialah asas kepada kejayaan
negara ini memakmurkan dan mensejahterakan masyarakat pelbagai budayanya. Tetapi
formula ini perlu penyuburan yang berterusan di pihak tadbir urus kerajaan dan swasta,
terutamanya dari segi pentadbiran yang baik dan adil dalam pengurusan masyarakat pelbagai
budaya ini jika insiden Kampung Rawa dan Kampung Medan mahu dijadikan sebagai fakta
sejarah.


                                                                                           25
3.6.6 Tahap di Ambang Alaf Baru

Kesan pembangunan dan tadbir urus kerajaan yang baik telah berjaya meningkatkan taraf
hidup, menyusun masyarakat, dan menipiskan batas etnik di kalangan rakyat pelbagai etnik
hingga hubungan antara mereka lebih bersifat sosial dan bukan etnik. Mereka dicorakkan
oleh perkiraan sejagat, beretoskan komersial, dan ini telah membina pelbagai ikatan sosial
yang merintangi batas etnik.

Dalam suasana perhubungan sosial yang sedemikian, masing-masing kumpulan etnik mahu
kepelbagaian budaya hidup diakui, diterima, dihormati, dan diraikan bersama sebagai
sebahagian lanskap budaya negara ini. Penghayatan kehidupan pelbagai budaya ini dapat
dilihat apabila di sebalik perbezaan budaya, rakyat Malaysia sangat peka dengan kemiskinan,
penindasan, dan kesulitan hidup akibat bencana alam dan mala petaka lain tanpa mengira
etnik mangsa itu. Mereka juga telah bersedia untuk menghormati perbezaan budaya lain dan
bertindak menyesuaikan diri dengan pilihan makanan kumpulan etnik lain apabila menjemput
atau meraikan mereka di majlis perkahwinan dan hari kebesaran kumpulan etnik mereka.
Mereka juga sudah berani mendesak pihak kerajaan dan kumpulan etnik lain untuk
menghormati cita rasa dan pilihan mereka walaupun berbeza dengan kumpulan etnik lain.

Dalam suasana penghayatan pelbagai budaya ini, orang India mahu pilihan makanan
vegetarian disediakan, tanah perkuburan dan pembakaran mayat bagi orang bukan Islam
diadakan, dialog antara agama dijalankan, dan perkongsian menyambut hari kebesaran etnik
masing-masing dianjurkan. Diharap kesediaan untuk membuka perhubungan dengan
kumpulan etnik lain akan meluaskan dan mengukuhkan lagi hubungan silang budaya hingga
di sebalik perbezaan akan wujud masyarakat pelbagai budaya yang boleh berkongsi nilai
hidup dan pendapat awam dan paling tidak menerima dan menghormati perbezaan yang
wujud antara mereka.

3.6.7 Tahap Menuju Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia

Kerajaan bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri, maju, dan
demokratik, dan dalam negara ini setiap rakyat tanpa mengira etnik akan hidup bersama
dalam suasana makmur, adil, dan sejahtera. Dengan kestabilan politik dan kemakmuran
ekonomi yang dicapai pada masa ini, perjalanan negara untuk mencapai cita-cita
pembentukan bangsa Malaysia itu bukan lagi menjadi satu utopia semata-mata.

Antara prasyarat mewujudkan negara yang seperti ini ialah memastikan amalan tadbir urus
yang baik di sektor awam dan swasta yang berjalan tanpa meminggirkan, mengasingkan, dan
mengetepikan mana-mana individu dan kumpulan etnik dalam operasi sektor-sektor ini.
Pengalaman perhubungan etnik di Malaysia telah membuktikan bahawa perbezaan etnik
bukan penyebab berlakunya konflik antara etnik. Sebaliknya, kemunduran,
ketidaksamarataan, kemiskinan, dan peminggiran yang melanda rakyat dan kegagalan
institusi kerajaan mengatasi masalah ini hingga menyebabkan rakyat bertindak memanipulasi
faktor etnik untuk menyelesaikan masalah inilah yang telah menjadi pencetus konflik antara
etnik berkenaan.

Tindakan yang penting untuk mengukuhkan lagi perhubungan etnik yang harmoni ialah
mempertingkatkan tahap kepekaan etnik di kalangan rakyat yang pelbagai budaya. Mata
pelajaran kehidupan pelbagai budaya di Malaysia perlu diajarkan di sekolah, bukan sahaja di
peringkat universiti. Pelajar sekolah perlu digalakkan belajar bahasa ibunda lain selain bahasa


                                                                                            26
Melayu dan Inggeris yang dipelajari sekarang. Malahan mata pelajaran membina kemahiran
hubungan satu sama lain yang merentas batas budaya dan agama perlu ditingkatkan terutama
untuk ibu bapa, guru, lapisan kepimpinan dalam komuniti, ahli Rukun Tetangga, media, dan
ahli politik di negara ini.

Kestabilan, kemakmuran, dan keharmonian etnik yang dikecapi oleh kita sekarang tidak
datang bergolek tetapi lahir menerusi kesedaran dan kemahuan kita untuk menjadikan
perkara-perkara ini sebagai sebahagian kehidupan kita. Justeru kita tidak boleh menganggap
kejayaan kita boleh dicapai secara sambil lewa. Kita perlu bersikap proaktif, merancang,
melaksanakan dasar dan program, serta mengawasinya agar hasilnya ialah sesuatu yang kita
cita-citakan; yakni sebuah negara yang makmur, stabil, dan harmoni.

3.7    Kesimpulan

Perjalanan untuk memakmurkan dan mensejahterakan masyarakat pelbagai budaya ini akan
sentiasa bersimpang siur antara keharmonian-kestabilan dan ketegangan-konflik. Walau
bagaimanapun, sejarah telah membuktikan pandangan pesimis tentang perhubungan etnik di
Malaysia tidak mewakili realiti sosial yang sebenar. Namun begitu, hubungan etnik ini pula
tidaklah seoptimis seperti yang digambarkan di atas kerana insiden 13 Mei 1969, Kampung
Rawa, dan Kampung Medan juga berlaku. Tetapi jika kita kembali kepada amalan sejarah di
rantau ini yang mengamalkan konsep etnik payung dan etnik berbatas, sudah tentu ruang
untuk menang-menang dalam politik, ekonomi, dan kehidupan masyarakat pelbagai budaya
boleh dicapai jika acuan perkongsian kuasa, pengagihan sumber ekonomi, dan pengurusan
dimensi etnik serta agama berteraskan kesederhanaan dijadikan amalan tadbir urus negara
yang baik dan adil. Hasil pendekatan tadbir urus negara seperti ini pasti akan dapat
mengurangkan perasaan risiko kerana perbezaan etnik, budaya, bahasa, dan agama dalam
masyarakat pelbagai budaya ini hingga terbina perpaduan negara dan integrasi nasional.




                                                                                       27

								
To top