Khutbah Jumaat 6 Zulkaedah 1428H (16 by 81ZTt02

VIEWS: 5 PAGES: 4

									         KHUTBAH JUMAAT 07 ZULKAEDAH 1431H/15 OKTOBER 2010M


                    TINGKAT KESEDARAN
                         PENJAGAAN MATA
                                        Oleh: Ustaz Najion Jamil




SAUDARA MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!

Sesungguhnya segala bentuk kesenangan atau nikmat hidup di dunia ini adalah bersifat sementara
sahaja. Sama ada nikmat itu berupa kekayaan harta-benda, kebijaksanaan, kesihatan tubuh badan,
keluarga bahagia dan lain-lain lagi, semuanya akan hilang dari sisi kita apabila Allah menghendakinya.
Yang kekal bersama kita hanyalah pahala amal-amal soleh yang dikerjakan dengan penuh keimanan
dan keihkhlasan mengharapkan reda Allah semata-mata. Inilah inti pati daripada perigatan Allah SWT
menerusi firman-Nya:-




Yang bermaksud: “Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu maka ia hanyalah nikmat kesenangan
hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah
lebih baik dan lebih kekal bagi orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.”
(S. As-Syuraa: 36).

Sehubungan dengan pengertian firman Allah tersebut, marilah kita sama-sama hargai dan syukuri
segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita akan terus beroleh keberkatan, rahmat, taufiq
serta maghfirah dari Allah SWT sekali gus berhasil mencapai darjat takwa. Sesungguhnya kenikmatan
hidup di akhirat kelak adalah lebih kekal dan bermakna khusus bagi hamba Allah yang beriman,
beramal soleh dan bertakwa.
                                                  1
SAUDARA MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!

Antara sekian banyak nikmat yang sangat berharga dikurniakan Allah kepada manusia ialah mata. Mata
merupakan salah satu organ manusia yang membolehkan kita melihat. Ini bererti mata memainkan
peranan penting dalam kehidupan manusia. Jika organ ini terjejas, maka pelbagai jenis urusan atau
pekerjaan turut terjejas hatta keindahan dunia pun tidak akan dapat dinikmati sepenuhnya.

Berdasarkan kepada fakta dan kenyataan tersebut, mata hendaklah dijaga dengan baik setiap masa
kerana kornea mata amat sensitif sifatnya. Tambahan pula sistem penglihatan yang sempurna akan
berkurang sedikit demi sedikit apabila meningkatnya usia. Dan, masih ramai di kalangan masyarakat
hari ini yang kurang prihatin terhadap fenomena ini, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke
atas.

Menyedari akan keprihatinan masyarakat yang masih rendah terhadap kepentingan mata dan gejala
gangguan penglihatan, maka hari KHAMIS kedua bulan Oktober setiap tahun diisytiharkan sebagai
tarikh sambutan Hari Penglihatan Sedunia.

Sambutan ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman dan perhatian kepada isu sejagat berkaitan
masalah penglihatan dan kebutaan yang boleh dielakkan. Sambutan Hari Penglihatan Sedunia ini juga
secara langsung membantu meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap kepentingan
penjagaan mata.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!

Kita semua perlu menitikberatkan soal penjagaan mata bagi mempastikan keselesaan hidup untuk
melihat keadaan sekeliling, membaca, menonton, bergerak dan sebagainya tidak terjejas. Ibu, bapa
mahupun penjaga kepada anak-anak harus memahami keperluan menjaga organ itu dengan memberi
tumpuan khusus kepada penjagaan mata kanak-kanak sejak awal. Ini berikutan dengan kebanyakan
kanak-kanak kini terdedah kepada permainan komputer dan alat elektronik yang memberi kesan kurang
baik kepada penglihatan mereka.

Justeru, apabila mereka mengadu penglihatan kabur, bawalah mereka untuk pemeriksaan segera bagi
mengelakkan komplikasi lebih serius. Ini kerana jumlah kanak-kanak yang mengalami kekurangan
penglihatan seawal tahun pertama persekolahan dikatakan semakin meningkat. Di sinilah pentingnya
ibu, bapa, penjaga dan masyarakat seluruhnya mempelajari teknik penjagaan kesihatan mata dengan
mendapatkan tunjuk ajar serta maklumat daripada pegawai-pegawai perubatan di klinik-klinik kesihatan
serta hospital yang terdekat.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!
Sebagai makluman kita bersama, katarak, glaukoma, kemerosotan makular berkaitan usia (AMD) dan
retinopati diabetik adalah antara masalah mata yang paling banyak dikesan dan biasa berlaku kini. Ada
yang boleh dipulihkan semula walaupun selepas mencapai tahap hilang penglihatan sepenuhnya.
Bagaimanapun, banyak juga yang tidak dapat dipulihkan lagi jika sudah menjadi buta. Keadaan ini
memberi isyarat yang jelas bahawa betapa pentingnya langkah pencegahan dan pengesanan awal
dilakukan.

Menurut pakar mata, faktor genetik dan faktor alam sekitar di samping tabiat pemakanan mempengaruhi
kesihatan mata seseorang. Faktor genetik misalnya menentukan sama ada seseorang itu mengalami
rabun, katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain. Manakala tabiat mengambil
kadar gula yang tinggi boleh menyebabkan kencing manis sekali gus mempengaruhi kesihatan mata.

                                                 2
Oleh hal yang demikian, selain melakukan pemeriksaan mata secara berkala dengan pakar mata di
klinik dan hospital, kita juga hendaklah menjaga makan minum. Kurangkan gula dalam makanan dan
minuman, tetapi banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan di samping menjauhi
rokok sejak usia muda.

Golongan yang sihat tubuh badan dan berumur kurang daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan
mata setiap dua tahun, manakala orang yang berumur 40 tahun ke atas, harus menjalani pemeriksaan
setiap tahun. Manakala mereka yang mengidap kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani
pemeriksaan setiap tahun walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.

Ini kerana apabila berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata
yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma, degenerasi makula dan
katarak. Penyakit-penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal. Ia hanya dapat dikesan
oleh pakar mata.

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!
Dari sudut pandangan Islam, penjagaan mata bukan sekadar melakukan pemeriksaan dan mencegah
kehilangan deria penglihatan semata-mata. Islam menyaran umatnya supaya menjaga mata daripada
melihat benda yang haram dilihat seperti aurat lelaki atau wanita yang wajib ditutup. Kita juga dilarang
membaca bahan yang lucah dan merosakkan di samping larangan menonton video atau filem yang
boleh merosakkan minda, akhlak, akidah dan sebagainya.

Dalam erti kata yang lain, penjagaan mata dari perspektif Islam turut membawa maksud memanfaatkan
deria penglihatan yang dikurniakan Allah pada perkara atau tempat yang wajar dan diredai Allah. Ini
termasuklah membaca al-Quran, hadis, kitab-kitab ilmu di samping melihat serta menghayati tanda-
tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

Marilah kita sedari dan insafi bersama bahawa kegagalan memanfaatkan mata pada fungsinya yang
sepatutnya boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka Jahanam. Peringatan serta balasan
yang maha dasyat ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-




Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada
jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat
Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda
kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar
(ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah
orang yang lalai.” (S. Al-A’raaf: 179).




                                                   3
Sehubungan dengan peringatan serta ancaman Allah tersebut, hargai dan syukurilah nikmat mata
dengan cara memeliharanya dari aspek kesihatan dan pandangan. Lakukan pemeriksaan mata secara
berkala demi mengelak berlakunya sebarang masalah penglihatan. Manakala dari segi memelihara
pandangan mata, jangan melihat sesuatu yang diharamkan oleh syarak.

Pada masa sama, jangan sekali-kali alpa dan lalai daripada memanfaatkan mata untuk melihat dan
mengambil iktibar serta pengajaran daripada alam ciptaan Allah ini. Segala jenis makhluk sama ada di
bumi mahupun di langit mengandung hikmah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah yang seharusnya
menyedarkan kita terhadap kekerdilan diri kita berbanding Allah yang mencipta dan mentadbir seluruh
alam ini. Kesedaran serta keinsafan yang lahir daripada penghayatan terhadap kebesaran dan
kekuasaan Allah SWT itu pula diharap dapat mentarbiah kita menjadi insan Muslim yang beriman dan
beramal soleh ke arah memperolehi balasan syurga yang telah dijanjikan, sebagaimana firman Allah:-




Yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia
beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurang
balasannya) sedikitpun.” (S. An-Nisaa’: 124).




                                               Disediakan oleh:
                                     Bahagian Penyelidikan dan Informasi
                                 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah




                                                     4

								
To top