MONOLOG ANAK BUANGAN by HC120520061720

VIEWS: 12 PAGES: 5

									                   MONOLOG ANAK BUANGAN
                     (ANIS JULAI 2003)
                 (DARA.COM DISEMBER 2003)

     Suara itu! Ah! Suara itu singgah lagi di gegendang
telingaku. Indah dan merdu sehingga menusuk ke jiwa. Kalbu
yang berombak   lara tenang seketika. Badai pilu yang acap
kali menghempas pantai hati kembali membelai. Pintu hati
yang terkunci, terbuka luas menjemput masuk pawana syahdu
memercik   damai.   Allahuakbar  Allahuakbar!!  Ya   Allah!
Sesungguhnya Kaulah Yang Maha Besar. Aku tunduk pada kudrat
dan iradat-Mu. Ingin sekali kuselami Ma’rifat-Mu. Mahu
rasanya mendampingi-Mu setiap kali rindu ini bertandang.
Naluriku meronta-ronta ingin mencungkil rahsia di sebalik
dugaan ini.

     Peti suaraku kukejutkan. Ingin sekali kulemparkan
intonasi suara semaksima mungkin, agar insan-insan itu
menyedari pedih luka yang masih berdarah. Namun apalah
dayaku. Sebanyak manalah kudratku. Aku anak malang. Hanya
mampu menzahirkan perasaan yang terbuku dengan deraian air
mata. Hanya naluriku yang mampu menangis hiba.     Berkali-
kali aku cuba menjerit, merayu meminta ihsan. Namun mereka
masih tidak mengerti. Ah! Aku sudah mula dibuai perasaan
putus asa. Dadaku sebak mengenangkan penderitaan yang telah
dan bakal aku tempuhi.

     Ibu! Ibu! Di mana dirimu ibu? Anakmu ini terlalu
merinduimu. Terlalu mendambakan curahan kasih sucimu.
Adakah semudah itu kau melupakan tubuh ini yang sembilan
bulan sepuluh hari terkandung dalam kantung rahimmu?
Lupakah dirimu ibu, susah payah kau melahirkanku ke dunia?
Sememangnya aku telah ditakdirkan bermula dengan gametes.
Ovummu   dan  sperma   lelaki  itu  bersenyawa   di  salur
falloppiomu lantas mencipta 46 kromosom menjadi zigot yang
sempurna.

      Di sinilah aku. Titisan nutfah yang tercipta hasil
daripada   hubungan    terlarang  lalu   membentuk   alaqah.
Peralihan masa yang menjadi fitrah setiap penciptaan Ilahi
menyaksikan aku yang perlahan-lahan membentuk mudhghah.
Embriomu ini diimplantasikan di dinding rahimmu lantas
menjadi   janin   yang    terus  berkembang.   Pancainderaku
dilengkapkan. Tubuhku disempurnakan. Segumpal daging ini
lalu ditiupkan roh lantas dinding anteriormu mula merasa
cetusan gerak-gerak kecilku.
     Aku mula hidup dan membesar dalam tubuhmu. Mula
menerima nutrien yang terhadam dari arus salur plasenta.
Aku bernafas seiring dengan sesalanmu. Denyut nadiku dan
detap   jantungmu   bersama-sama   menghitung   hari.  Hari
penentuan yang bakal membongkar segala rahsia yang kau
pendamkan. Dan kehadiranku akhirnya terzahir walaupun kau
cuba   menyembunyikannya.  Perutmu   makin  memboyot  besar
sehingga akhirnya kau dihalau dari laman ayah bondamu.
Mahligai perteduhanmu tidak mahu dipijak oleh dirimu yang
penuh noda. Keluargamu sudah tidak sanggup merelakan
contengan arang ke wajah mereka. Umpat nista, caci seranah
semuanya masih terngiang-ngiang di telingaku, ibu.

     Kejahilan dirimu dan hasutan nafsu syaitan yang pernah
membuak-buak suatu ketika dulu menyebabkan air matamu
kering ketika manusia-manusia itu menghukummu dengan nada
celaan. Dirimu sedar akan kebersalahanmu itu. Kau membawa
dirimu dan aku bersama palitan dosa dan maruah yang telah
kau robekkan. Saat itu aku tidak tahu entah berapa kali
empangan mataku pecah. Aku juga tidak tahu sudah berapa
dalam lurah kesalku ini. Antara jijik melihatmu, merasa
betapa rendahnya darjat diri ini dan rasa kasih yang mula
bertamu di hatiku pada dirimu, seorang ibu.

     Hari-hari yang kita lalui mengundang selautan suka dan
duka. Memang hidup banyak mehnahnya. Antara segunung
kekesalan masa lampau dan selautan keyakinan untuk menempuh
hari-hari mendatang, kau membawa diri. Kakimu terus
melangkah menagih secebis kasih daripada insan yang pernah
menguntum bunga-bunga cinta di perdu jiwamu. Namun kau
terus direjam dengan panahan kata-kata nista. Apalah
nasibmu duhai ibu. Lelaki yang menanam benih di ladang
milikmu galak bersandiwara di hadapan keluarganya. Dia
dianggap mulia ketika seranah bersembunyi di sebalik diri
syaitan yang bertopengkan manusia itu. Dan akhirnya kau
pergi membawa suatu penghinaan yang pahit untuk ditelan.
Mengapa beban ini hanya tergalas di bahumu saja? Mengapa
tidak sama-sama bertanggungjawab dan bermuhasabah lantaran
dosa yang masing-masing merelakannya?

     Langkah demi langkah kau atur. Lemah dan tidak
berdaya. Mentari mula bersinar pijar seakan-akan turut sama
menghukummu. Dan tika itu, pandanganmu menjadi gelap. Kau
terbaring tidak bermaya lantaran fizikalmu yang dihenyak
kepenatan seiring batinmu yang dihimpit sesalan. Oh ibu!
Tabahkanlah hatimu. Syukur pada-Nya kerana masih ada insan
yang ingin menghulur simpati. Akhirnya kau diambil bekerja
di gerai makan milik Pak Osman dan Mak Mah. Dan mereka kau
anggap sebagai anugerah Ilahi, menggantikan ayah bondamu
yang telah memadamkan namamu dari kamus sejarah keluarga.
Mulianya hati kedua insan itu yang membenarkan kau berteduh
di teratak damai mereka. Kau mereka tatang seperti anak
yang menjadi amanah Rabb.

     Mewangi kuntuman bahagia antara kita. Kasih sayang
yang tidak pernah kau miliki dulu mula kau kecapinya di
sini. Aku gembira, ibu! Saat aku melihat dirimu kembali
tertawa dan ceria. Saat aku menyaksikan sinar ketenangan di
birai matamu. Saat kau dendangkan aku dengan alunan kalam
Ilahi. Surah Maryam dan Luqman menggetarkan denyut nadiku.
Mendamaikan jiwaku. Dan kau mula tersenyum saat aku memberi
tindak balas pada kalimah tayyibah yang kau lagukan.

     Ibu! Memanik jernih meluncur laju dari kolam mataku.
Aku menangis, ibu. Aku menangis setelah melihat dirimu yang
setiap   detik  berbisik-bisik   dengan-Nya.  Cahaya   damai
terpancar di raut wajahmu. Kewajipan lima waktu yang
seringkali kau abaikan dulu, kini ditunaikan di awal waktu.
Tiang agama itu dibina kembali setelah sekian lama ia
runtuh. Kau sering berbicara padaku bahawa dulu kau hidup
dalam pesona dunia. Terlalu mengagungkan modenisasi dan
kemewahan. Namun aku tidak mahu menyalahkan dirimu. Kau
dididik dan dibesarkan dalam gaya hidup sebegitu. Ayah dan
bondamu bangga melakar sejarah di celah-celah masyarakat
madani.   Merekalah   korporat   berjaya   yang   menganggap
kebahagiaan dan maruah boleh dibeli dengan wang ringgit.
Namun mereka terlupa pada sebuah kelalaian yang akhirnya
membunuh masa depanmu. Dan hari ini mereka terus rakus
menikam sembilu ke jiwa        sucimu tanpa sedar bahawa
permainan duniawi ini sebenarnya bermula daripada dua
pemain tunggak.

     Kau sering membisikkan padaku kekesalanmu kerana
terlanjur melalui detik-detik hitam dalam hidupmu yang
penuh pura-pura itu. Aku mengerti ibu perasaan tulusmu itu.
Saat kau bermuhasabah dan bermunajat di hamparan suci itu,
aku turut menangis ibu. Aku tahu dan sedar, manusia memang
tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Namun
seringkali   terhukum  sehingga   adakalanya  mereka   mula
mengulangi kesilapan lalu dek terhenyak dengan kata cemuh
masyarakat sekeliling. Terhimpit dek dinding rekaan insan
sehingga tidak mampu keluar menebus kesalahan diri. Lalu
insan-insan yang tercalar itu makin parah lukanya hingga
tiada penawar lagi.
     Telah termaktub di Loh Mahfuz, ketika fajar siddiq
mula menjengah alam dari celah-celah bukit, ketika itulah
kau mula mengadu kesakitan. Aku sudah tidak dapat menahan
keinginan diri untuk menyaksikan sendiri fatamorgana dunia
yang sering kau ceritakan padaku. Aku ingin sekali menempuh
samudera hidup bersama-samamu, ibu. Terasa ingin berbicara
denganmu. Redup mataku bertemu dengan hening matamu.

     Pak Osman dan Mak Mah menemanimu di rumah sakit. Saat-
saat itu aku rasakan kau amat memerlukan perhatian dan
sokongan daripada insan-insan yang kau sayangi. Namun kau
akur pada kehendak Ilahi. Katamu ini adalah kifarah atas
segala noda hitam yang telah kau palitkan di kanvas
hidupmu. Oh ibu! Kesabaranmu tiada bertepi.

     Kuncupan rahimmu memaksaku keluar dari kepompong yang
telah lama aku diami. Kau bermujahadah dengan kesakitan
yang tercetus. Perhitungan antara hidup dan mati. Akhirnya
dewan bersalin bergema dengan raungan suatu kelahiran insan
baru. Kini aku dapat menatap wajahmu, ibu. Dan kau
hadiahkan aku sebuah senyuman ketika seorang wanita
berpakaian putih memperlihatkan diriku padamu.

     Kedamaian menyusup masuk mendiami naluriku tatkala aku
berada dalam pelukanmu. Kucupanmu ke pipiku serasa satu
nikmat yang tidak dapat aku gambarkan. Telinga kananku
diazankan dan telinga kiriku diiqamatkan dengan kalimat
seruan yang mulia. Aku bahagia, ibu. Aku bahagia kerana
anak yang terhasil daripada hubungan terlarang sepertiku
masih dapat mendengar kalimat suci kalam Rabbul Jalil. Dan
aku lihat ada manik-manik jernih yang luruh membasahi
pipimu ketika Pak Osman mula berbicara indah.
     “Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah
     Islami).   Ayah   dan   ibunyalah   kelak   yang  akan
     menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

     Dari sumurmu, kau hilangkan dahagaku. Dari lembut
belaian tanganmu, kau redakan tangisanku. Dari kucupan
mesramu, kau hadiahkanku sejambak kasih suci. Dari nyanyian
zikir rindu buat Al-Rahman, kau tenangkan jiwaku. Kemulian
hati dan ketulusan jiwamu memaut erat perasaan cintaku
padamu, ibu. Terima kasih kerana sudi melahirkanku ke dunia
ini.

     Dan kini ibu. Nyalaan lilin cintamu        telah kau
padamkan. Aku cuba menyalakan kembali sumbu     lilin yang
telah sebati dalam kandil jiwaku, namun tidak berdaya. Kau
pergi saat aku berlayar tenang di samudera kasihmu.
Kelainan bicaramu pada malam nan dingin itu menjadi realiti
igauan buruk yang mengunjungi lena tidurku. Aku terasa
seolah-olah kau ingin meninggalkanku. Dan apa yang amat
kutakuti itu telah kau realitikannya. Percayalah ibu!
Betapa   anakmu  ini   amat  merinduimu.   Kembalilah  ibu!
Kembalilah!




Nukilan Rasa :

Ghafirah bt. Idris
830117-14-5506

Peti Surat 742
Batu 5 Kg. Paya
Jln. Kaki Bukit
02400 Beseri, Perlis
04-9777113 / 012-4303359

								
To top