Karangan Keganasan Rumah Tangga Semakin Serius

Document Sample
Karangan Keganasan Rumah Tangga Semakin Serius Powered By Docstoc
					Masalah sosial yang paling kritikal dan hangat diperkatakan ialah masalah keganasan rumah
tangga. anda bercadang untuk menulis sebuah rencana di akhbar dengan menyentuh punca-punca
berlakunya masalah ini . Tulis rencana tersebut selengkapnya.

                       Keganasan Rumah Tangga Barah Masyarakat
                                   oleh: Chong Ka Yi
       Keganasan rumah tangga ditakrifkan sebagai tindakan ganas yang melibatkan fizikal yang
dilakukan oleh anggota keluarga yang terdiri daripada suami, isteri, ibu bapa, anak dan sebagainya
sehingga membawa kemudaratan yang teruk. Tindakan penderaan fizikal ini boleh ditentukan melalui
kesan-kesan calar, luka, lebam dan patah yang dialami. Kemelut ini memang serius kerana turut disiarkan
oleh media massa menerusi program-program beritanya. Lantaranya, ada pelbagai faktor penyebab yang
perlu difahami dan langkah pencegahannya supaya masalah ini mampu dikawal penularannya, terutama
dalam kalangan pasangan muda negara.

        Penularan sindrom sosial ini boleh dikatakan berpunca daripada corak pemikiran masyarakat kita
terutama kaum lelaki yang menganggap diri mereka sebagai ketua rumah yang mutlak. Konsep ini
dijelmakan menerusi semua arahan suami harus dipenuhi dan dilaksanakan dengan segera oleh isteri yang
bakal menimbulkan kesan negatif jika gagal dibuat dengan sebaik mungkin. Sikap suami yang terlalu
mendesak isteri supaya mematuhi arahannya menyebabkan gejala negatif ini mudah berlaku. Jelaslah,
sikap lelaki yang ego menjadi penentu kemelut ini terus berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

      Polemik ini turut menular kerana meningkatnya tekanan di pejabat yang menyebabkan ada
golongan ibu bapa yang tidak berupaya untuk menahan impak psikologi bebanan ini. Masalah kerja yang
dialami itu terus dibawa pulang ke rumah yang menyaksikan ramai yang menjadikan anak mereka
sebagai tempat meluahkan perasaan marah mereka itu. Tindakan mendera yang mungkin pada peringkat
awal dilakukan tanpa sedar terus menjadi-jadi seiringan dengan bertambahnya tekanan yang dialami di
pejabat. Mungkinkah kaum ibu bapa harus lebih peka dengan bijak mengawal tekanan pejabat daripada
terus menjejaskan pertimbangan mereka?

    Selain itu, kemelut sosial ini turut meningkat saban tahun kerana kurangnya pendedahan wanita
terhadap hak mereka dalam sesuatu perhubungan itu. Kegagalan wanita untuk memahami hak mereka
sebagai pasangan menyebabkan mereka seolah-olah merelakan penderaan yang dialami itu. Keadaan ini
pula diburukkan dengan keadaan ketiadaan tempat untuk mengadu masalah ini. Oleh itu, masalah yang
memalukan ini terus wujud kerana wanita masih kabur tentang hak mereka dalam kehidupan zaman
moden.

        Lebih-lebih lagi televisyen yang merupakan media arus perdana sering memaparkan adegan-
adegan ganas melalui filem-filem dan siri drama. Hal ini merupakan pemangkin penderaan rumah tangga.
Senario ini terjadi kerana babak-babak keganasan telah sebati dengan jiwa benak penonton yang terlalu
leka menonton rancangan televisyen. Jangan hairanlah mereka mengaplikasikan tindakan ganas terhadap
ahli keluarga kerana mempercayai bahawa tindak ganas merupakan langkah penyelesaian terhadap segala
masalah yang dihadapi.

       Tambahan pula, kemelut ini turut dikaitkan dengan pandangan masyarakat yang menganggap
masalah rumah tangga sebagai satu masalah peribadi seseorang dan tidak mahu menjaga tepi kain orang.
Persepsi ini menyebabkan masyarakat terus menyepi diri walaupun mengetahui wujudnya masalah ini
dalam kalangan jiran mereka. Keengganan masyarakat untuk melibatkan diri secara serius dalam isu ini
turut menyukarkan mangsa untuk mendapatkan nasihat dan panduan menyelesaikan masalah ini. Justeru,
masalah ini terus wujud dalam diri seseorang itu seperti api dalam serkam yang secara senyap-senyap
memusnahan kehidupan seseorang insan itu.

       Kesimpulannya, semua faktor di atas menjadi satu pemangkin yang mewujudkan kemelut sosial ini.
Kegagalan individu untuk mengawal perasaan mereka menjadi penentu dalam menyelesaikan masalah
yang tidak mengira kaum, umur dan tahap pendidikan ini. Kegagalan untuk membendung gejala sumbang
ini berupaya untuk membawa kemusnahan institusi keluarga. Peribahasa 'sudah habis madu sepah
dibuang' menghuraikan betapa mudahnya kasih sayang antara manusia menghilang.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:23
posted:3/2/2012
language:Malay
pages:2