persefahaman asas perpaduan ummah rumi by WzmWYhF6

VIEWS: 21 PAGES: 6

									                          Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

              “PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH”
                  (2 DISEMBER 2011 / 6 MUHARAM 1433H)




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian,
agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan
membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan
sunnah ,   mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah SWT dan memperolehi
keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan
membincangkan tajuk: PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH”

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Masa berlalu begitu pantas dan kini kita telah memasuki tahun baru hijrah yang sudah
tentu menunggu kita dengan pelbagai peristiwa dan lebaran baru. Maka bersempena
dengan kedatangan tahun baru ini seelok-eloknya kita luangkan sedikit masa dan
waktu untuk kita melakukan muhasabah supaya kita tidak lagi mengulangi kesalahan
dan kekurangan terdahulu dan bertindak serta merancang dengan lebih bijak demi
kecemerlangan dan kesejahteraan diri, bangsa dan negara serta berupaya menyinarkan
keagungan Islam agar sentiasa berada di tahap yang tertinggi. Sesungguhnya hijrah
Rasulullah SAW merupakan peristiwa besar dalam sejarah Islam yang tercetus melalui
                                         1
tindakan dan perancangan yang rapi serta perencanaan yang sistematik dan penuh
berstrategik. Peristiwa hijrah juga menutut kita berubah untuk mencapai sesuatu
kejayaan melalui usaha gigih dan konsisten serta semangat yang kental lagi tinggi.
       Bagi mencapai keagungan ini maka Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar
dalam semua bidang kehidupan umat manusia termasuk konsep hidup bermasyarakat
dan bernegara yang terkandung di dalamnya sistem keadilan, toleransi dan
persefahaman. Persefahaman yang dimaksudkan disini ialah menjalin hubungan
sesama manusia dengan tujuan saling memahami antara satu sama lain dan hormat-
menghormati. Umat manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan kriteria dan watak
yang berbeza-beza. Kita berbeza dari segi adat, budaya dan cara hidup serta amalan
keagamaan. Persefahaman yang wujud akan melahirkan ikatan jiwa yang ditunjangi
dengan aqidah dan iman yang amat teguh kerana ikatannya berkait terus dengan Allah
SWT yang bersifat kekal abadi. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13:




Maksudnya : “ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Apabila Islam muncul Nabi Muhammad SAW telah membawa pendekatan yang
unik dalam mewujudkan perpaduan ummah iaitu menyeru umat Islam menguatkan
persefahaman. Rasulullah SAW telah menyeru seluruh umat Islam dengan
menunjukkkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat
dan negara dengan mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warga negara Madinah
yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan. Dalam piagam
Madinah yang telah dipersetujui dengan masyarakat bukan Islam, Rasulullah SAW
                                          2
telah mewajibkan ke atas semua penduduk agar menyayangi dan menghormati bumi
Madinah dan tidak melakukan kezaliman. Antara yang termaktub dalam Piagam
tersebut ialah: Sesiapa yang cenderung atau melakukan perkara-perkara yang
menjejaskan perpaduan di kalangan warga Madinah, maka orang itu dikira sebagai
mencabul kesejahteraan Madinah. FirmanAllah SWT dalam Surah Al-An’aam ayat
108:




Maksudnya : “Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari
Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu
pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat
akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali
mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

       Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa perbezaan agama sebenarnya bukan
penghalang terjalinnya persefahaman di antara sesama manusia. Meskipun kita
bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kerukunan hidup tetap
menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama
dan berbuat baik kepada mereka yang menganut agama bukan Islam. Dalam sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti
orang bukan Islam(Ahli Zimmah) yang berada di bawah perlindungan Islam, maka
sesungguhnya ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka
sesungguhnya ia telah menyakiti Allah”.( Riwayat at-Tabrani).”
       Begitu juga dalam membina persefahaman dan perpaduan dikalangan
masyarakat Rasulullah SAW telah membina masjid sebagai asas persaudaraan dan
penyatuan, seterusnya mempersatukan dua golongan yang beratus tahun bermusuhan
sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khajraj. Berdasarkan penjelasan ini
menunjukkan bahawa amalan persefahaman dan saling hormat menghormati adalah


                                         3
dasar yang paling penting bagi membina dan mengeratkan perpaduan serta memain
peranan utama dalam menangani isu kemasyarakatan dalam sesebuah negara.
Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Persoalan besar timbul ialah apakah penyebab utama kepada persefahaman antara
masyarakat?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa sikap kesederhanaan
dan keseimbangan (Wasatiyyah) merupakan asas bagi mewujudkan persefahaman.
Wasatiyyah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu perkara itu secara berhikmah,
berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi
kaum    dan   agama    dan   dalam    masa   yang    sama   agama    Islam   dapat
dimartabatkan.Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:



Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil,
supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia
dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu..”

       Kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat untuk
mencari kebenaran dan keadilan. Mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam
adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti
kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya
yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah” Dalam menjamin keharmonian hidup
ajaran Islam telah mengajak kita agar berbicara dan berunding dengan cara yang baik
melalui prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan
bertimbang rasa dengan pihak-pihak yang lain. Janganlah pula kita terhasut dengan
pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Mimbar ingin
mengingatkan kepada semua pihak bahawa jangan kita melampaui batas dalam apa
perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan yang telah dipersetujui
bersama. Semangat melampau yang berteraskan perkauman, taksub kepada
kepimpinan dan ideologi serta sentimen kepartian yang sempit         akan menjadi



                                         4
pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan
kestabilan sosio-politik negara.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Mimbar sekali lagi ingin mengingatkan para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa
persefahaman adalah asas kepada perpaduan ummah dan ianya merupakan roh kepada
kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, semangat
kekitaan dalam masyarakat serta saling bantu membantu di antara satu sama lain. Ia
juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia dan
dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk kita sama-sama
berganding bahu bagi memakmurkan sesebuah masyarakat dan negara.
      Dalam konteks negara kita dengan kebijaksanan kepimpinan pada hari ini yang
menekankan perpaduan berlandaskan konsep 1Malaysia,        rakyat dapat menikmati
kemakmuran hidup dengan saling menerima dan menghormati antara satu sama lain
dan pada masa       yang sama syariat dan aqidah Islam tidak diketepikan. Bagi
mengerakkan negara ke hadapan sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 pihak
kerajaan telah memperkenalkan model ekonomi baru yang berteraskan program
transformasi ekonomi agar kehidupan sosial, ekonomi rakyat dapat ditingkatkan.
Hakikatnya apa yang dilaksanakan pada hari ini merupakan satu proses penghijrahan
sebagaimana yang dituntut oleh agama kita demi kesenangan hidup di dunia dan
akhirat. Ternyata pada hari ini negara kita menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai
model sehingga banyak negara luar yang menunjukkan minat untuk mengetahui rahsia
kejayaan ini.
      Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan tahun baru hijrah ,
mimbar menyeru semua umat Islam, marilah kita sama-sama membentuk ummah
yang terbaik dengan mengimbangi kehidupan kita secara saksama, adil dan bertepatan
dengan apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Ambillah contoh tauladan yang
telah digariskan oleh Baginda semasa pemerintahannya agar kita tidak tersasar
daripada konsep hidup bermasyarakat yang sebenarnya. Renungilah kisan kejatuhan

                                        5
negeri Saba’ sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran sebagai satu
pengajaran. Negeri yang penuh dengan limpahan nikmat daripada Allah SWT, namun
akibat rakyatnya yang tidak bersyukur, tidak mahu bertaubat malah memilih untuk
hidup bersendirian dan tidak menghiraukan orang lain, maka seluruh rakyatnya di
timpa bencana, malapetaka dari Allah SWT. Mudah-mudahan         pengajaran kisah
Saba’ menjadikan kita sebagai hamba Allah SWT yang sentiasa bersyukur dengan
apa yang kita nikmati pada hari ini. Ingatlah bahawa hanya dengan persefahaman,
semangat kental yang tinggi serta tindakan yang ikhlas dan istiqamah sahaja yang
boleh membawa ummah ke arah kecemerlangan. Marilah sama-sama kita merenung
firman Allah SWT dalam surah al-Anfaal ayat 46:




Maksudnya: " Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu
berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang
kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar. ."




                                        6

								
To top