seni cetak

Document Sample
seni cetak Powered By Docstoc
					                        SENI CETAK DI MALAYSIA
                            Oleh MULIYADI MAHAMOOD
                              Dewan Budaya Julai 2003

Hasil penulisan tentang perkembangan seni cetak di Malaysia masih terlalu kurang jika
dibandingkan dengan seni catan.Seperti seni arca, seni cetak tidak begitu mendapat
perhatian dalam perkembangan awal seni lukis kontemporari Malaysia kerana
perkembangan sejarah seni moden lazimnya dilihat dari sudut sejarah seni catan.Hal ini
diburukkan oleh hakikat bahawa seni cetak hanyalah kegiatan "seni pinggiran" bagi
karyawan catan pada peringkat awal perkembangan seni lukis kontemporari Malaysia.

Fenomena ini menyebabkan seni cetak terpinggir, meskipun dari sudut sejarah,seni
cetak berkembang seiringan dengan seni catan sewaktu era penjajahan Inggeris.Bastin
dan Rohatgi dalam kajian mereka menyebut bahawa penemuan teknik cetakan akuatin
telah memungkinkan keindahan landskap tanah jajahan yang dirakamkan menerusi
lukisan dan catan pelukis Barat sekitar 1786 hingga 1824 dipindahkan dalam bentuk
seni.Dalam konteks ini, seni cetak turut memainkan peranan dalam mempopularkan
tema landskap dalam kegiatan seni lukis era penjajahan.

Antara faktor lain yang menghalang seni cetak berkembang sebaik catan adalah kerana
disiplin seni ini memerlukan persediaan kelengkapan yang besar kos perbelanjaannya
seperti penyediaan bengkel dengan peralatan-peralatan khusus.Hal ini tidak
memungkinkan kegiatan seni cetak dilakukan secara serius oleh kebanyakkan
pelukis,kecuali mereka yang benar-benar komited.

Di samping faktor-faktor fizikal ini, seni cetak turut dihimpit oleh kecenderungan
khayalak dan institusi seni yang secara umumnya lebih memihak kepada seni catan,
baik dalam konteks penaungan,pemilikan,mahupun penganjuran aktiviti serta
pemeran.Kefahaman khayalak terhadap konsep dan etika disiplin seni cetak asli masih
diragukan,serta lenyapnya batasan dalam mentakrifkan cabang-cabang seni halus juga
merugikan bidang seni cetak.

Di samping itu,kemunculan seni digital yang berlandaskan kemajuan teknologi
komputer turut mencabar kewibawaan bidang seni cetak dalam mengharungi arus
perkembangan seni lukis negara.Justeru,kepentingan pengertian seni cetak semakin
dipersoalkan.

Perkembangan awal seni cetak kontemporari di negara ini boleh dirujuk kepada
kegiatan seni cetak potongan kayu oleh pelukis-pelukis Akedemi Nanyang di Singapura
pada akhir tahun 1940-an.Tidak seperti kegiatan seni catan awal pada akhir tahun
1920-an yang tertumpu pada tema landskap alam semula jadi yang romantis,karya seni
cetak awal lebih banyak menggambarkan suasana kehidupan seharian
masyarakat,seperti kehidupan pekerja buruh kasar,peniaga,dan kehidupan penduduk di
kawasan setinggan dan kampung Melayu.Hal ini ada kaitan dengan prinsip seni pelukis
Nanyang,kecenderungan media massa, dan pengaruh seni cetakan kayu Cina.

Meskipun kecenderungan merakamkan pemandangan tempatan menjadi trend umum
pelukis-pelukis nanyang sejak penubuhannya pada tahun 1938,terdapat sekumpulan
pelukis muda akademi itu pada akhir tahun 1940-an yang lebih berminat
menggambarkan tema kemasyarakatan.

Mereka terdiri daripada beberapa tenaga pengajar muda seperti Lim Yew Kuan,Chuah
Mia Tee,dan Tan Tee Chie.Mereka menganggap diri mereka sebagai pelukis realis
yang menekankan gambaran realiri kehidupan seharian tanpa ciri-ciri romantik dan
sentimental.

Perkembangan tema dan gaya seni lukis kontemporari Malaysia pascamerdeka banyak
dipengaruhi oleh faktor pendidikan.Pada dekad 1950-an,dua kumpulan pelukis yang
penting telah ditubuhkan di Kuala Lumpur,iaitu Wednesday Art Group (1952) dan
Angkatan Pelukis Semenanjung (1956),Ketika negara belum mempunyai sekolah seni
lukis secara formal, kedua-dua kumpulan ini memainkan peranan besar dalam
mengembangkan seni lukis menerusi kelas-kelas lukisan yang dianjurkan.

Pada tahun 1954 program latihan guru seni lukis diperkenalkan di Institut Perguruan
Ilmu Khas untuk melahirkan guru-guru terlatih dalam mengendalikan mata pelajaran
seni lukis di sekolah-sekolah.Kesedaran akan pentingnya pendidikan seni serta
kekurangan guru-guru terlatih memungkinkan lebih ramai pelukis dihantar belajar ke
luar negara bagi mendalami bidang seni.Antara mereka ialah Tay Hooi Keat,Syed
Ahmad Jamal,Abdul Latiff Mohidin,Lee Joo For,Yeoh Jin Leng,Ismail Zain,dan Ibrahim
Hussein.Pada dekad 1960-an lebih banyak pelukis menuntut di luar negara,seperti
Redza Piyadasa,Sulaiman Esa,Joseph Tan,Long Thien Shih,Loh Foo Sang,Hashim
Hassan,dan Ahmad Khalid Yusof.

Lee Joo For dan Abdul Latiff Mohidin adalah antara pelukis negara yang aktif
menghasilkan karya seni cetak pada dekad 1960-an.Meskipun begitu,seni cetak
umumnya masih bersifat sampingan kerana kerja kreatif utama pelukis Malaysia ketika
itu ialah catan.Menerusi cetakan gurisan asid dan potongan lino,Lee Joo For
menggabungkanjalinkan imejan-imejan kepelbagaian budaya yang dipinjam daripada
kesenian dan tradisi Jepun,India,dan malahan daripada karya-karya pelukis moden
seperti Matisse,Picasso,dan kubisme.



Meskipun kegiatan seni cetak masih bersifat pinggiran,terdapat juga beberapa pameran
khusus mengenainya di Kuala Lumpur pada sekitaran dekad 1960-an itu.Antaranya
pameran seni cetak potongan kayu Akedemi Nanyang (1966) dan pameran gurisan
asid pelukis Atelier 17 Paris di Galeri Samat (1968)

Pameran-pameran seumpama ini telah mendedahkan khayalak,terutamanya guru-guru
dan murid-murid sekolah akan keunikan seni cetak,justeru telah mempopularkan bidang
seni cetak potongan lino di sekolah-sekolah.Edward Pragasam adalah antara guru seni
cetak yang gigih mendidik pelajar-pelajarnya seni cetakan lino di Sekolah Menengah
Baki Johor Bahru pada sekitar 1970-an.

Menjelang akhir tahun 1960-an,lebih banyak pelukis tempatan melanjutkan pengajian di
luar negara.Antara mereka yang turut menyumbang ke arah perkembangan gaya dan
tema seni cetak di negara ini ialah Sulaiman Esa,Long Thien Shih,Loo Foh Sang,dan
Ahmad Khalid Yusof.Long Thien Shih,Loo Foh Sang,dan Abdul Latiff Mohidin mengikuti
pengajian seni cetak di Atelier 17,Paris,pada akhir dekad 1960-an.

Ahmad Khalid Yusof yang menuntut di Wichester School of Art di England (1965-69)
banyak menghasilkan karya seni cetak sutera saring pada tahun 1970-an,begitu juga
dengan Lee Kian Seng yang belajar seni cetak di Institut Seni Cetak Tokyo,Universiti
Seni Halus Jepun.Sumbangan para pelukis ini dalam perkembangan gaya dan tema
seni cetak Malaysia begitu menyerlah mulai tahun 1970-an.

Long Thien Shih dalam tulisannya menyebut bahawa pada akhir tahun 1960-an,karya
seni cetak terus terpinggir oleh kepopularan seni catan abstrak dan seni catan bukan
objektif.Seni cetak yang berukuran kecil tidak dapat bersaing dengan karya catan yang
besar.

Dalam keadaan seni cetak terus terhimpit,kegigihan beberapa pengkarnya untuk terus
mengetengahkan seni cetak telah memastikan ia tidak terus terkubur.Dalam konteks
ini,penglibatan para lulusan Atelier 17,Paris,seperti Long Thien Shih,Loo Foh
Sang,Abdul Latiff Mohidin,dan Sulaiman Esa,serta karyawan-karyawan lain seperti Lee
Joo For,Ahmad Khalid Yusof,dan Lee Kian Seng amat penting dalam meneruskan
tradisi seni cetak kontemporari di negara ini.

Pada tahun 1970 seni cetak menerima nafas baru apabila ditawarkan sebagai satu
bidang pengkhususan di samping catan dan arca dalam program diploma seni halus di
Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (KSSR),Institut Teknologi MARA (ITM).Antara tenaga
pengajar ketika itu ialah Abdul Latiff Mohidin,Sulaiman Esa,Lee Kian Seng,dan Kok
Yew Phuah.



Penawaran seni cetak sebagai satu bidang pengkhususan dalam program seni halus di
KSSR,ITM telah berjaya menghasilkan banyak pengkarya seni cetak yang utama di
negara ini seperti Ponirin Amin,Mansor Ibrahim,Ismail Latiff,Juhari Said,Awang Damit
Ahmad,Rahime Harun,Bahaman Hashim,dan Mohd Jamil Mat Isa.

Sistem kurikulum yang membolehkan pelajar memilih bidang pengkhususan major dan
minor daripada cabang-cabang seni catan,arca dan cetakan telah memungkinkan
pelajar-pelajar di institusi itu terdedah kepada seni cetak.Hasilnya,mereka kenal dan
mampu menghasilkan karya seni cetak,kalaupun tidak menjadikannya sebagai ,edium
ekspresi estetik yang utama.

Ada antara lulusan seni cetak itu yang melanjutkan pengajian di luar negara dalam
bidang seni cetak itu yang melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang seni
cetak dan kembali sebagai tenaga pengajar,misalnya Ponirin Amin (West Surrey School
of Art and Design,Manchester Polytechnic UK),Abdul Mansor Ibrahim (Atelier
17,Paris),Bahaman Hashim (School of Art Institute,Chicago),dan Mohd. Jamil Mat Isa
(University of Central England).

Juhari Said pula menerima anugerah penyelidikan daripada Kerajaan Perancis untuk
mengikuti pengajian seni cetak di Paris pada tahun 1993 dan anugerah daripada Japan
Foundation untuk mengikuti pengajian seni cetak tersohor Jepun Yoshisuke
Funasaka.Dalam barisan nama pelukis tanah air,Juhari Said muncul sebaga salah
seorang pengkarya seni cetak sepenuh masa yang paling profilik,gigih,konsisten dan
berjaya.

Selain penawran seni cetak sebagai bidang pengkhususan program seni halus di
institusi-institusi pengajian tinggi tempatan,suasana sihat seni cetak pada dekad 1970-
an turut tercermin menerusi panganjuran pameran dan pertandingan seni cetak oleh
Balai Seni Lukis Negara.Lee Kian Seng memenangi hadiah utama menerusi karya of
Image Object,Illusion off Series Mechanism dalam Pertandingan Terbuka Seni Lukis
dan Cetakan Grafik 1971 anjuran ESSO dan dikelolakan oleh Balai Seni Lukis
Negara.Pameran Terbuka dan Pertandingan Seni Cetak Kebangsaan pada tahun 1974
yang bertujuan menghidupkan minat terhadap seni grafik di negara ini menerima 196
karya daripada 41 peserta.Karya serigrafi Raja Zahabuddin Raja Yaacob yang berjudul
Luar dari yang Tidak Diketahui memenangi hadiah utama.Dalam Salon Malaysia
1978/79,karya Ponirin Amin berjudul Di Atas Pentasmu Nan Sepi dan karya Ismail Latiff
Lembah Binaan memenangi anugerah Frank Sullivan.

Tema dan gaya seni cetak tidak terpisah daripada isu-isu berkaitan kebudayaan dan
kesenian setempat,terutamanya dalam persoalan mencari identiti.Setelah gaya seni
abstrak Barat mendominasi seni lukis dekad 1960-an,para pelukis berusaha mencari
pengucapan seni yang baru bersesuaian dengan rupa dan jiwa setempat,di samping
mempersoalkan gaya sedia ada.
Justeru,muncul kumpulan pelukis yang berusaha mencari gaya estetik alternatif
menerusi pameran-pameran seperti The New Scene (1969),Experiment ' 70 (1970),dan
Dokumentasi ' 72 (1972).Pelukis-pelukis yang terlibat dalam pameran-pameran ini ialah
Redza Piyadasa,Sulaiman Esa,Tan Teong Eng,Tan Teong Kooi,Tang Tuck Kan,dan
Choong Kam Kow.

Mohamed Ali Abdul Rahman dalam kajiannya Modern Malaysian Art : Manifestation of
Malay Form and Content antara lain menghuraikan aspek-aspek rupa dan jiwa Melayu
dalam karya-karya seni tempatan terjelma menerusi rujukan para pelukis terhadap
kesusasteraan dan mitologi ; agama,kepercayaan dan adat ; alam semula jadi,kuasa
ghaib dan luar biasa ; serta hikayat da lagenda.Sumber-sumber asas ini diolah oleh
para pengkarya menerusi tatabahasa visual yang pelbagai.

Pendekatan figuratif dalam seni cetak digunakan oleh Long Thien Shih dan Lee Kian
Seng dalam menyelesaikan persoalan identiti.Long Thien Shih menerusi cetakan
gurisan asid Not Yet,But It's Going To Happen (1971) dan Roh-roh yang
Mentertawakan Kita (1975) menggabungjalinkan unsur-unsur jenaka dan surealistik
bagi membangkitkan isu kemanusiaan dan alam sekitar.Lee Kian Seng pula
menggunakan ciri-ciri seni pop melalui teknik serigrafi dan batik untuk menggarap isu-
isu jati diri dan identiti seperti dalam Of Image Object,Illusion off Series Mechanism
(1971) dan Yin Yang Series Soul and Form ... Sound (1973/74).

Persoalan identiti,terutamanya isu pertembungan atau konflik nilai Timur-Islam dengan
Barat telah dikupas oleh Sulaiman Esa menerusi karya cetakan gurisan asid yang
kontroversi berjudul Waiting For Godot (1978).Pertentangan nilai itu dikiaskan oleh
pelukis menerusi imejan figura wanita bogel yang mewakili budaya barat dengan ragam
hias seni bina Islam bagi mewakili nilai-nilai Islam.

Dalam konteks seni lukis kontemporari Malaysia,Piyadasa menyifatkan salah satu
sumbangan besar Sulaiman Esa dalam dunia seni lukis tempatan adalah menerusi
bidang seni cetak yang diceburinya.Menjelang pertengahan 1980-an,Sulaiman Esa
menemui identiti keislaman dalam seninya menerusi karya-karya abstrak motif Islam ke
Arah Tauhid

Kongres Kebudayaan Kebangsaan mempengaruhi terutamanya bentuk dan makna
karya-karya seni cetak pelukis Melayu dan lulusan KSSR,ITM.Ahmad Khalid Yusof
menerusi catan dan cetakan sutera saring seperti Alif Ba Ta (1971) menggunakan
huruf-huruf Jawi sebagai motif seni yang bukan sahaja menyelesaikan masalah ruang
dan permukaan karya malah menjawab kepada persoalan mencari identiti seni
berteraskan nilai-nilai tradisi dan keislaman.Dalam konteks ini,dia telah sejak awal
1970-an menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan dalam Kongres Kebudayaan
Kebangsaan.
Di samping Ahmad Khalid Yusof,nafas kesenian Islam turut terjelma dalam karya-karya
cetakan Ponirin Amin,lulusan dan tenaga pengajar di ITM.Berbeza daripada Ahmad
Khalid Yusof yang menggunakan Jawi,Ponirin memindahkan petikan-petikan ayat suci
al-Quran ke dalam karya seni cetaknya,justeru menghubungkan secara langsung tradisi
seni cetak kontemporari Malaysia dengan pendekatan seni Islam.

Karyawan-karyawan lain yang turut merujuk kepada aspek-aspek tradisi dan peribumi
ialah Victor Chin,Ilse Noor,Tay Chee Toh,Ismail Latiff,Othman Mansor,Lai Loong
Seng,Mansor Ibrahim,Juhari Said,Awang Damit Ahmad,Mohd Jamil Mat Isa,dan Wan
Jamarul Imran.

Antara pengucapan unik yang tercermin dalam karya-karya Juhari Said,merujuk kepada
peribahasa dan simpulan bahasa sebagai asas subjek dan pengerak bentuk serta
mesej,seperti dalam karya Katak Nak Jadi Lembu (1999) dan Bila Telunjuk
Menunding,Tiga Jari Menunding ke Arah Kita (1996).Rujukan terhadap kedua-dua
cabang kesusasteraan tradisi ini amat menarik dan segar,kerana sebelumnya banyak
karyawan merujuk kesusateraan tradisi sebagai sumber ilham,tetapi lebih tertumpu
pada aspek-aspek sejarah,hikayat dan legenda.

Namun begitu,sebelum menemui siri karya berasaskan peribahasa dan simpulan
bahasa ini,Juhari telah melewati beberapa tahap penting dalam kariernya : era
percubaan (1982/83) ; pencarian subjek kukuh (1984/85) ; siri taman (1986/89) ; siri
baju kurung (1990/92) ; dan printmaker's drawing : baju kurung no. 1-9 (1993).Karyanya
Tiga Cawan Kopi (potongan kayu dan lino,1991) memenangi hadiah utama bahagian
seni cetak dalam salon Malaysia 1991/1992.

Percubaan beberapa karyawan memperkenalkan teknik cetakan komputer dari satu
sudut memperluaskan kemungkinan baru dalam pengolahan tatabahasa visual seni
itu,dan dari satu sudut yang lain memperjudikan nilai seni cetak asli dengan
mengaburkan definisi dan etika penghasilannya.

Penerimaan karyawan dan khayalak seni cetak terhadap cetakan komputer
Kamarudzaman Md Isa Tanpa Tajuk (1985),ataupun karya-karya Ismail Zain Al Rumi
(1986) dan Happy Birthday,Mr. Parameswara (1987) sebagai seni cetak asli ,masih
boleh dipertikaikan.Namun begitu,dalam era pluralis yang menyaksikan peranan seni
berpihak kepada suatu wadah pernyataan,apa jua bentuk seni yang dilihat daripada
persepsi konvensional akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan kemungkinan.



Jika direnungkan kembali serta dibandingkan dengan perkembangan pada dekad 1940-
an hingga akhir 1960-an,seni cetak di negara ini ternyata telah melalui satu proses
perubahan yang memberansangkan,sama ada dari segi tema mahupun gaya,ataupun
penerimaan khayalak dan institusi seni secara umumnya.

Dalam era pluralis yang memberi banyak ruang serta kebebasan untuk pelukis berkarya
tanpa dikongkong oleh batasan perngertian bentuk seni,kefahaman khayalak terhadap
konsep dan etika disiplin seni cetak asli sewajarnya diperkukuhkan.Lenyapnya batasan
dalam mentakrifkan seni cetak asli hanya akan merugikan bidang seni cetak itu sendiri.

Kemunculan seni digital yang berlandaskan kemajuan teknologi komputer turut
mencabar kewibawaan bidang seni cetak dalam mengharungi arus perkembangan seni
lukis negara.Justeru,pengertian serta etika menghasilkan seni cetak asli sewajarnya
dipelajari dan dipertahankan,di samping menggunakan kemajuan teknologi sebagai
pengukuh dalam proses pengkaryaan.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:113
posted:2/12/2012
language:Malay
pages:7