Menguasai Kertas Bahasa Melayu 1 SPM

Document Sample
Menguasai Kertas Bahasa Melayu 1 SPM Powered By Docstoc
					                                                   1


                        Menguasai Kertas Bahasa Melayu 1 SPM

           TEKNIK MENGARANG MENGGUNAKAN FORMULA
         DiKeMaSeN+A [PENGHURIAN MENGGUNAKAN ICK + H]
                                         Khairuddin Ayip
                                Sekolah Menengah Teknik Shah Alam


                                             ABSTRAK
Kertas ini dihasilkan sebagai maklumat tambahan untuk memudahkan guru mengajar karangan di dalam
kelas. Kelazimannya, untuk pengajaran dan pembelajaran karangan, guru akan membincangkan tajuk
daripada pelbagai aspek dan para pelajar akan mencatat isi-isi penting yang guru nyatakan. Sesi
perbincangan secara kumpulan juga diadakan. Kemudian, guru akan meminta para pelajar menulis
karangan. Sekiranya karangan tersebut tidak dapat disiapkan di dalam kelas, guru akan meminta para
pelajar menyudahkan karangan itu di rumah. Teknik inilah yang guru biasa lakukan tanpa menggunakan
formula berkesan menyebabkan para pelajar mengalami kesulitan untuk mengembangkan isi-isi yang
diberi oleh guru. Menerusi formula DiKeMaSeN+A, para pelajar telah didedahkan dengan isi utama
bagi setiap karangan (khususnya karangan jenis pendapat). DiKeMaSeN+A merupakan kependekan
daripada DIRI, KELUARGA, MASYARAKAT, SEKOLAH, NEGARA, dan ANTARABANGSA. Isi-isi
utama tersebut disusun sedemikian rupa untuk memudahkan para pelajar mengingat, dari sesuatu yang
dekat sehinggalah yang jauh. Manakala penghuraian isi menggunakan kaedah ICK (ISI, CONTOH, dan
KESAN). Perlu diingat, formula DiKeMaSeN+A ini sesuai untuk calon PMR dan SPM sahaja, manakala
untuk calon UPSR, cukup sekadar ICK. Diharapkan menerusi formula ini, para pelajar berasa mudah
mengarang dan dapat menjawab mengikuti kehendak soalan.

                                           PENGENALAN
Karangan merupakan bahagian yang penting untuk memastikan para pelajar memperoleh kecemerlangan
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Di peringkat sekolah rendah, menerusi peperiksaan UPSR, satu
kertas khusus iaitu Penulisan perlu dihadapi oleh setiap calon. Kertas ini di bahagikan kepada tiga
bahagian; Bahagian A (Memindahkan Maklumat / 10 markah), Bahagian B (Karangan Umum / 30
markah), dan Bahagian C (Ulasan / 20 markah). Di peringkat PMR pula, menerusi Kertas 2, dalam
Bahagian B, terdapat karangan berdasarkan bahan rangsangan (20 markah) dan Bahagian C (Karangan
Umum / 40 markah). Seterusnya di peringkat SPM, dalam Kertas 1, terdapat dua jenis karangan yang
perlu dijawab oleh calon, iaitu dalam Bahagian A, calon perlu menjawab berdasarkan bahan rangsangan
(30 markah) dan Bahagian B, calon perlu menjawab Karangan Umum (100 markah). Hal ini
menunjukkan, karangan merupakan topik penting yang perlu diberi perhatian oleh guru. Kecemerlangan
dalam peperiksaan banyak dibantu kemahiran pelajar dalam mengarang.

                                     FORMULA DiKeMaSeN+A
Formula ini dicipta untuk memudahkan para pelajar mengarang. Teknik ini diyakini mampu merangsang
para pelajar mengarang kerana isi-isi sudah tersedia dalam minda dan para pelajar hanya perlu
mengembangkannya. Berikut merupakan penerangan yang terperinci tentang formula DiKeMaSeN+A.
Bagi tujuan mengarang, konsep ini digunakan sebagai isi utama dan isi yang berkaitan sebagai isi kecil.

       Isi Utama 1: Diri (Di)
       Isi yang berkaitan ialah kesedaran, motivasi, taat kepada perintah Tuhan, kegigihan berusaha, tahu
       memilih rakan sebaya, dan apa-apa sahaja yang berpunca daripada diri bagi mengubah sesuatu
       perkara yang berlaku dan tambah PESA (Politik/Ekonomi/Sosial/Agama).
                                                   2

       Isi Utama 2: Keluarga (Ke)
       Isi yang berkaitan seperti peranan ibu bapa dalam memberi perhatian terhadap anak, didikan
       agama, wawasan membawa keluarga ke arah hidup yang lebih baik, dan apa-apa sahaja yang
       dekat dengan keluarga, dan tambah PESA.

       Isi Utama 3: Masyarakat (Ma)
       Individu amat dekat dengan masyarakat. Masyarakat pula berperanan mengubah individu
       menerusi amalan tegur-menegur, gotong-royong, dan tambah PESA.

       Isi Utama 4: Sekolah (Se)
       Sekolah memainkan peranan penting dalam mengubah individu menerusi pengajaran guru,
       aktiviti, dan tambah PESA.

       Isi Utama 5: Negara (N)
       Bagi mengubah individu ke arah berfikiran positif, kerajaan perlu mengadakan kempen,
       penguatkuasaan undang-undang, peranan media, dan peranan para pemimpin, serta tambah PESA.

       Isi Utama 6: Antarabangsa (A)
       Isi keenam ini hanya sesuai untuk calon SPM dan STPM sahaja. Isu yang boleh disentuh ialah
       peranan PBB, Asean, dan negara-negara jiran, serta tambah PESA.

                                         MEMAHAMI ICK+H
ICK+H merupakan kependekan ISI, CONTOH, KESAN, dan HURAIAN. Setiap perenggan dalam
sesebuah karangan perlu mempunyai satu isi. Untuk memastikan isi yang kita berikan berdiri kukuh
(diterima oleh pemeriksa) perlu diberi contoh (contoh daripada isi), kesan (kesan daripada contoh), dan
untuk keterangan lebih lanjut aspek tersebut, perlu diberi penghuraian (keterangan) yang lebih mendalam.
Berikut merupakan pecahan tiga ayat berdasarkan tiga orang pelajar berdasarkan tahap pemahaman yang
berbeza berdasarkan tajuk “Cara-cara Mengatasi Kemalangan di Jalan Raya”.

       Pelajar Pertama (Lemah)
       (a) Ayat Pertama: Kemalangan sering berlaku di jalan raya di negara kita.
       (b) Ayat Kedua: Oleh itu, pemandu janganlah memandu laju.
       (c) Ayat Ketiga: Kelajuan yang berlebihan menyebabkan berlakunya
           kemalangan.
       Pelajar Kedua (Sederhana)
       (a) Ayat Pertama: Ketika memandu, kita hendaklah memandu mengikut
            had laju yang ditetapkan.
       (b) Ayat Kedua: Jika kita melanggar peraturan yang ditetapkan, mudah
           berlaku kemalangan.
       (c) Apabila berlaku kemalangan menyebabkan berlakunya kesesakan di
           jalan raya.
       Pelajar Ketiga (Baik / Cemerlang)
       (a) Ketika memandu, pemandu perlulah mematuhi had kelajuan
           yang ditetapkan.
       (b) Ketika di lebuh raya, bagi pengguna kereta, kita perlu memandu tidak
           melebihi 110 kilometer sejam.
       (c) Apabila mematuhi had laju yang ditetapkan, sekiranya berlakunya
           kecemasan seperti tayar pancit, kita masih sempat membrek dengan
           tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
                                                  3

             CONTOH PENGGUNAAN DiKeMaSeN+A [HASIL KEMAHIRAN ICK]

[Isi Utama Pertama] Bagi mengatasi masalah kemalangan di jalan raya, banyak bergantung kepada diri
sendiri. [Isi Kecil 1] Ketika memandu, pemandu perlulah mematuhi had kelajuan yang ditetapkan.
[Contoh] Ketika di lebuh raya, bagi pengguna kereta, kita perlu memandu tidak melebihi 110 kilometer
sejam. [Kesan] Apabila mematuhi had laju yang ditetapkan, sekiranya berlakunya kecemasan seperti
tayar pancit, kita masih sempat membrek dengan tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain. [Isi
Kecil 2] Selain itu, didiklah diri dengan sifat sabar. [Contoh] Memang ada yang ingin mengajak berlumba
atau bersikap kurang ajar, tetap tanamkan dalam diri akan perlunya bertenang menghadapi kerenah
manusia. [Huraian] Biarlah kita mengamalkan sikap berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. [Huraian] Sebab, apa faedahnya melayan manusia
yang kakinya tidak memijak bumi dan tangan tidak menggapai langit? [Kesan] Apabila ada kesedaran di
dalam diri dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan, paling tidak diri sendiri tidak menyumbang
kepada penambahan kadar kemalangan di jalan raya.
                                           PETA DiKeMaSeN+A
Isi Utama 1: Di (Diri)                                 Isi Utama 2: Ke (Keluarga)
PESA [Politik/Ekonomi/Sosial/Agama]                    PESA [Politik/Ekonomi/Sosial/Agama]
Peribahasa:                                            Peribahasa:
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke              Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-              Kata-kata Hikmat:
senang kemudian.                                       Tangan kanan yang mengayun buaian itu
Kata-kata Hikmat:                                      dapat menggoncang dunia dengan tangan
Orang yang belum pernah gagal sebenarnya               kirinya.
orang yang belum pernah mencuba.                       Napolean Bonaparte
    Emmett Le Compte
      Kesedaran                                            Pendidikan Agama
      Motivasi                                             Perhatian / Kasih Sayang
      Taat kepada Perintah Tuhan                           Model
      Kegigihan
      Rakan sebaya
      Jati Diri
      Pembacaan / Menuntut Ilmu

Isi Utama 3: Ma (Masyarakat)                      Isi Utama 4: Se (Sekolah)
PESA [Politik/Ekonomi/Sosial/Agama]               PESA [Politik/Ekonomi/Sosial/Agama]
Peribahasa:                                       Peribahasa:
Gajah mati meninggalkan tulang, harimau           Jika tidak pecahkan ruyung, manakan dapat
mati meninggalkan belang, manusia mati            sagunya.
meninggalkan nama.                                Kata-kata Hikmat:
Kata-kata Hikmat:                                 Apa yang kita pungut daripada kehidupan ini
Orang akan sangat dihormati apabila               ialah apa yang kita tanam di dalamnya.
melakukan pekerjaan untuk kesejahteraan           Dr. Marion Hillard
masyarakat sekitarnya.                                 Pengajaran & Pembelajaran Guru
                          Mahatma Gandhi               Kokurikulum
                                                       Aktiviti (Ceramah & Pertandingan)
    Aktiviti Hari Keluarga / Gotong-
       royong
    Prihatin / Saling menegur
    Ceramah
                                                   4


Isi Utama 5: N (Negara @ Kerajaan)                 Isi Utama 6: A (Antarabangsa)
PESA [Politik/Ekonomi/Sosial/Agama]                PESA [Politik/Ekonomi/Sosial/Agama]
Peribahasa:                                        Peribahasa:
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di          Banyak udang banyak garam, banyak orang
negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.      banyak ragam.
Kata-kata Hikmat:                                  Kata-kata Hikmat:
Jangan tanya apa yang dibuat oleh negara           Engkau sanggup menipu sekian orang
untukmu, tetapi tanyalah apa yang boleh            separuh zaman dan engkau pun sanggup
kamu buat untuk negara.                            menipu separuh orang untuk sekian zaman,
                              Abraham Lincoln      tetapi engkau tidak sanggup menipu semua
                                                   orang untuk sekian zaman.
       Kempen                                     Abraham Lincoln
       Penguatkuasaan Undang-undang
       Peranan Pemimpin                                PBB
       Media Massa                                     ASEAN
       PLKN                                            Negara Jiran



                                         Model 1: Aras PMR
Malaysia bercadang menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Pelbagai persiapan telah dijalankan
untuk memastikan matlamat mulia itu bakal menjadi kenyataan.
Terangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan impian tersebut menjadi kenyataan.

                                 Usaha-usaha Menjadikan Malaysia
                               Sebuah Negara Maju Pada Tahun 2020

[Pendahuluan] Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai
wawasan yang besar iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020. [Huraian] Hasrat
tersebut diteruskan oleh penggantinya, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. [Huraian] Untuk
memastikan hasrat tersebut menjadi kenyataan, pelbagai usaha telah dilakukan. [Contoh] Hasrat tersebut
pasti menjadi kenyataan sekiranya semua pihak memegang kata-kata Iskandar Dzulkarnain yang berbunyi,
“Tidak ada yang mustahil bagi orang-orang yang berani mencuba”.

        [Isi Utama 1] Untuk memastikan hasrat tersebut menjadi kenyataan, peranan setiap rakyat, iaitu
individu amat penting. [Isi Kecil 1] Dalam hal ini, setiap rakyat perlu berfikiran positif terhadap usaha
yang dilakukan oleh kerajaan. [Kesan] Sekiranya hal ini ada di dalam minda, kita boleh merangsang diri
untuk bergerak seiring dengan wawasan negara. [Isi Kecil 2] Selain itu, rakyat Malaysia yang masih
menuntut perlu melengkapkan diri dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). [Huraian] Hal ini
demikian kerana, pada tahun 2020, kemajuan negara digerakkan oleh teknologi berasaskan sains dan
teknologi.

       [Isi Utama 2] Seterusnya, peranan keluarga amat penting bagi memastikan negara maju menjadi
kenyataan. [Isi Kecil 1] Ibu bapa hendaklah menekankan ilmu pendidikan terhadap anak-anak. [Huraian]
Hal-hal yang remeh seperti mengganti perabot baharu menjelang hari perayaan hendaklah dielakkan.
[Contoh] Sebaliknya memastikan setiap rumah memiliki sebuah komputer. [Isi Kecil 2] Selain itu, ibu
bapa hendaklah menyisipkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak. [Huraian] Sebab, tiada gunanya
menjadi negara maju sekiranya rakyat ketandusan akhlak mulia.
                                                   5

       [Isi Utama 3] Peranan masyarakat tidak boleh diketepikan. [Isi Kecil 1] Masyarakat hendaklah
bersama-sama mempertahankan keharmonian hidup masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
[Huraian] Sebab, kemajuan negara tidak akan tercapai sekiranya ahli masyarakat berprasangka buruk dan
mementingkan diri sendiri. [Isi Kecil 2] Pada waktu yang sama, aktiviti yang dapat memupuk hubungan
kaum seperti hari keluarga hendaklah diadakan. [Kesan] Apabila saling bertemu, akan wujudlah
kemesraan, sekali gus impian menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur akan menjadi kenyataan.

         [Isi Utama 4] Sekolah memainkan peranan yang besar untuk memastikan hasrat menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjadi kenyataan. [Isi Kecil 1] Dalam hal ini, warga pendidik perlu
menyampaikan impian kerajaan menerusi pengajaran dan pembelajaran di kelas. [Contoh] Pelajar yang
tidak jelas akan Wawasan 2020 perlu diterangkan secara mendalam. [Isi Kecil 2] Selain itu, penekanan
terhadap sains dan teknologi perlu diberi keutamaan. [Contoh] Penekanan ini boleh dilakukan bukan
sahaja menerusi mata pelajaran Sains, tetapi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

        [Isi Utama 5] Oleh sebab wawasan ini datangnya daripada kerajaan, sudah tentu peranan kerajaan
tidak boleh disisihkan. [Isi Kecil 1] Oleh itu, kerajaan telah dan sedang berusaha melahirkan masyarakat
yang seimbang. [Contoh] Seimbang daripada sudut ilmu dan sahsiah. [Isi Kecil 2] Pendedahan dalam
bentuk maklumat terus diadakan. [Contoh] Sebagai contoh, seminar, kempen, dan maklumat secara
langsung daripada para pemimpin terus diadakan. [Huraian] Sesungguhnya kita selalu mengharapkan
yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang. [Huraian] Namun, semua itu tidak akan
menjadi kenyataan sekiranya kita tidak mahu berusaha.

        [Penutup] Pepatah Arab ada menyebut, “Masa itu umpama pedang, jika kamu tidak
memancungnya, pasti masa akan memancung kamu”. [Huraian] Pepatah tersebut sengaja dipetik
menyedarkan kepada warga pelajar bahawa Wawasan 2020 kian terbuka jendelanya. [Huraian] Sekiranya
kita tidak bersedia, sudah pasti kita akan ketinggalan. [Huraian] Pada tahun tersebut, kitalah barisan
kepimpinan negara, bukan sebagai penonton. [Huraian] Oleh itu, persediaan melengkapkan diri dengan
pelbagai ilmu pengetahuan perlu dimulakan dari sekarang. [Huraian] Langkah yang pertama, kita perlu
memperoleh 8A dalam PMR kelak.


                                         Model 2 Aras PMR
Pada suatu hari anda dapat bertemu dengan rakan lama anda yang aktif dalam bidang sukan. Dalam
pertemuan itu, anda berbual tentang faedah-faedah yang diperoleh hasil penglibatan individu dalam
bidang sukan.
Tulis perbualan anda itu selengkapnya.

                              Faedah-faedah yang diperoleh daripada
                             Penglibatan Individu dalam Bidang Sukan

Pada suatu hari saya ke perpustakaan awam yang terletak tidak jauh dari sekolah. Tanpa diduga, saya
telah menemui rakan lama saya, Najib yang kini menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Berikut hasil
perbualan kami berdua.

NABIL: [Pendahuluan] Hai Najib! Apa khabar? Lama tak jumpa! Apa tujuan ke
      sini?

NAJIB: Oh, Nabil! [Huraian] Walaupun saya minat dalam bidang sukan, tak
      salah kalau waktu cuti persekolahan saya ke perpustakaan awam. [Huraian] Bersukan, bersukan
      juga, tetapi pelajaran tetap saya tidak lupakan. [Contoh] Thomas Edison ada berkata,
      “Kecerdikan ialah satu peratus inspirasi dan 99 peratus lagi memerlukan kerja keras”.
                                                    6


NABIL: [Huraian] Baguslah kalau macam itu. [Huraian] Atlet alaf baharu memang
      mempunyai wawasan besar. [Huraian] Sukan telah banyak mengubah hidup kamu.

NAJIB: Pernyataan yang baik. [Isi Utama 1] Apabila bercakap tentang faedah
       bersukan, tentulah akan banyak mengubah diri seseorang itu. [Isi Kecil 1] Yang pertama dapat
       menyihatkan tubuh badan. [Contoh] Hal ini demikian kerana, sewaktu bersukan kita berlari,
       melompat, dan menggerakkan tubuh. [Kesan] Aktiviti yang dijalankan menyebabkan otot-otot
       mengeluarkan peluh, sekali gus menyebabkan tubuh kita sihat. [Isi Kecil 2] Selain itu dapat
       memberi hiburan. [Kesan] Apa tidaknya, apabila kita berlari ataupun bermain bola sepak, rasa
       tertekan setelah belajar akan hilang. [Kesan] Lalu, mudahlah untuk kita mengulang kaji pelajaran
       seterusnya.

NABIL: Apakah sukan dapat memberi faedah kepada keluarga?

NAJIB: [Isi Utama 2] Sukan memang banyak memberi faedah kepada
       keluarga. [Isi Kecil 1] Sukan menyebabkan anak-anak remaja dapat memanfaatkan masa terluang.
       [Contoh] Pada waktu petang, kita boleh bermain bola sepak ataupun sepak takraw. [Kesan] Jika
       tidak terlibat dalam sukan, kemungkinan kita bercampur gaul dengan budak-budak nakal, sekali
       gus kemungkinan terjebak dalam kegiatan negatif seperti merokok. [Isi Kecil 2] Selain itu, diri
       kita lebih mudah untuk membantu keluarga kerana kita sentiasa berfikiran luas dan positif.
       [Kesan] Jika kena gayanya, sikap ringan tulang yang kita tunjukkan sudah pasti akan
       menggembirakan ibu bapa kita.

NABIL: [Isi Utama 3] Saya ingin menambah, sukan dapat memberi faedah
      kepada masyarakat. [Isi Kecil 1] Sesungguhnya sukan melahirkan masyarakat yang sihat. [Kesan]
      Apa tidaknya, sukan menyebabkan kita berhubung erat dengan jiran-tetangga kita. [Contoh]
      Sebagai contoh, aktiviti hari keluarga sudah pasti akan diisi dengan acara sukan, seperti tarik tali
      dan bermain bola sepak. [Isi Kecil 2] Malah, sukan menyebabkan hubungan kaum kita dengan
      masyarakat setempat akan lebih padu. [Huraian] Hal ini demikian kerana apabila selalu bertemu
      menerusi aktiviti sukan, kemesraan dapat diperteguh. [Kesan] Secara tidak langsung dapat
      memperteguh perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada Melayu, Cina, India ,
      dan kaum-kaum lain.

NAJIB: [Isi Utama 4] Sukan memberi faedah yang besar kepada sekolah. [Isi
       Kecil 1] Apa tidaknya, tanpa sukan tubuh pelajar yang ulat buku akan lesu dan tidak bermaya.
       [Kesan] Apabila mereka aktif bersukan, wujud kesegaran dalam diri dan minda, seterusnya
       mengasah bakat yang terpendam. [Isi Kecil 2] Menerusi sukan juga dapat mengharumkan nama
       sekolah. [Kesan] Menerusi penyertaan kita dalam sukan, nama sekolah akan lebih dikenali
       masyarakat apabila kita menjuarai sesuatu pertandingan. [Huraian] Apatah lagi jika kita terpilih
       mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

NABIL: Bagaimana pula faedahnya kepada negara?

NAJIB: [Isi Utama 5] Sukan memberi faedah yang besar kepada negara. [1si
       Kecil 1] Sukanlah menyebabkan nama Malaysia dikenali di mata dunia. [Contoh] Menerusi
       badminton yang ditonjolkan oleh keluarga Allahyarham Datuk Sidek dan skuasy menerusi Nicol
       David yang dicanangkan sebagai Pemain Skuasy Terbaik Dunia, nama Malaysia semakin harum
       di mata dunia. [Huraian] Jika menerusi iklan untuk menonjolkan nama negara bukan sahaja
       memerlukan wang yang banyak tetapi kesannya kurang. [Isi Kecil 2] Penganjuran dalam sesuatu
       kejohanan sukan merupakan industri yang menguntungkan. [Contoh] Sebagai contoh, menerusi
                                                  7

       Sukan Komanwel pada tahun 1988, kemasukan jumlah pelancong meningkat berlipat kali ganda,
       menyebabkan kerajaan dapat meraih jutaan ringgit.

NABIL: [Penutup] Memang sukan memberi faedah kepada diri, keluarga,
      masyarakat, sekolah, dan negara. [Huraian] Peringatan daripada Kementerian Pelajaran yang
      mahukan para pelajar aktif dalam bidang sukan kena pada masanya. [Huraian] Oleh itu, kita patut
      lebih aktif melibatkan diri dalam bidang sukan. [Huraian] Nampaknya perbualan kita sudah
      panjang dan pintu perpustakaan di depan pula sudah lama terbuka. Mari kita masuk.

NAJIB: Mari!

Selepas perbualan tersebut, kami bersama melangkah masuk ke Perpustakaan Tun Uda.

                                         Model 3: Aras SPM
Kecemerlangan akhlak merupakan antara faktor penting untuk mewujudkan
sebuah negara yang bermaruah seperti Malaysia.
Nyatakan usaha yang perlu diambil bagi membentuk kecemerlangan akhlak dalam kalangan remaja
untuk memenuhi hasrat tersebut.


                     Usaha-usaha Membentuk Kecemerlangan Akhlak Remaja

[Pendahuluan] Hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut, “Sesungguhnya aku diutus untuk
menyempurnakan budi pekerti yang mulia”. [Contoh] Manakala dalam hadis yang lain, baginda ada
bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling baik akhlaknya”.
[Huraian] Menerusi hadis tersebut jelaslah kepada kita betapa pentingnya akhlak yang sempurna sesuai
dengan tuntutan agama, adat budaya orang Timur, dan kerukunan hidup masyarakat Malaysia. [Kesan]
Akhlak yang cemerlang amat penting kerana akhlak merupakan antara faktor untuk mewujudkan sebuah
negara yang bermaruah. [Huraian] Akhlak yang bagaimanakah yang dikatakan cemerlang? [Huraian]
Sudah tentu model yang boleh dijadikan kita ialah junjungan besar Nabi Muhammad. [Huraian] Oleh hal
yang demikian, akhlak berlandasan agama Islam merupakan yang paling cemerlang dan patut diikuti oleh
semua umat Islam.

          [Isi Utama 1] Bagi memastikan akhlak kita cemerlang, usaha yang paling penting ialah diri
sendiri. [Huraian] Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mengubah diri kita sekiranya kita
bersikap negatif. [Isi Kecil 1] Dalam diri kita perlulah ada keinginan berubah. [Huraian] Bagaimanakah
caranya untuk berubah dan apakah yang perlu diubah? [Contoh] Saban malam, jika ada kelapangan,
berkunjunglah ke surau untuk berjemaah dan mendengar tazkirah. [Kesan] Ceramah yang mengajak kita
ke arah kebaikan akan menyusup gegendang telinga kita dan meresap ke dalam hati. [Isi Kecil 2] Selain
itu, kita perlu pandai memilih rakan. [Huraian] Pilih rakan yang mempunyai wawasan hidup. [Isi Kecil 3]
Bagi seorang pelajar, perlulah mempunyai wawasan untuk memperoleh kecemerlangan dalam SPM.
[Kesan] Tetapi sekiranya kita bersikap “tidak kisah” dan mengikut sahaja yang rakan kita lakukan,
akhirnya kita akan terjebak dalam gejala keruntuhan moral, sekali gus menjatuhkan maruah sebagai umat
Islam.

         [Isi Utama 2] Keluarga memainkan peranan penting dalam menentukan kecemerlangan akhlak
belia. [Huraian] Walaupun sibuk dengan kerja; keluar dari rumah jam 7.00 pagi dan pulang pula ketika
senja mahu merebut malam, tetapi perhatian terhadap anak-anak jangan dilupakan. [Isi Kecil 1] Masa
yang berkualiti perlu diberikan kepada anak masing-masing. [Contoh] Di rumah, ada kesempatan, solat
berjemaah dan makan bersama-sama. [Kesan] Berikan teladan yang baik kepada anak-anak supaya anak-
                                                    8

anak tidak keliru dan memperoleh model untuk dicontohi. [Huraian] Pada waktu yang sama, ibu bapa
perlu mengenal pasti rakan anak-anak mereka. [Isi Kecil 2] Sikap lepas tangan dan menaruh kepercayaan
membabi buta hendaklah dielakkan. [Contoh] Anak sewaktu di rumah pijak semut pun tidak mati,
tetapi apabila di luar rumah, perangai mereka akan berubah 100 peratus. [Kesan] Dengan perhatian, kasih
sayang, model yang diberikan, anak akan terasa dirinya dihargai, mempunyai wawasan hidup yang betul,
dan mereka akan merasakan kehidupan ini begitu indah.

        [Isi Utama 3] Masyarakat juga memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan akhlak
remaja yang cemerlang. [Huraian] Jika dibuat perbandingan antara masyarakat kampung dan masyarakat
kota, keruntuhan jelas kelihatan bagi masyarakat kota. [Huraian] Hal ini demikian kerana masyarakat
kota bersikap tidak kisah terhadap apa yang dilakukan oleh jiran-tetangga. [Huraian] Sikap
mementingkan diri seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing tidak boleh
dijadikan contoh. [Isi Kecil 1] Bagi masyarakat yang masih mengamalkan corak hidup berlandaskan roh
keislaman, sudah tentu akan menegur jika ternampak anak muda yang melakukan perbuatan tidak
senonoh. [Huraian] Jika tiada kesanggupan untuk bertindak, sewajarnya melaporkan kepada ibu bapa
remaja terbabit. [Isi Kecil 2] Selain itu, cara hidup masyarakat yang terpuji akan diikuti oleh anak-anak
muda yang masih mencari arah. [Isi Kecil 3] Pada waktu yang sama, masyarakat setempat perlu
memperbanyak aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong. [Kesan] Cara ini akan memupuk perasaan
hormat-menghormati dalam kalangan ahli masyarakat.

        [Huraian] Remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun masih lagi bergelar pelajar. [Isi Utama 4]
Oleh sebab sebahagian masa mereka banyak dihabiskan di sekolah, peranan sekolah dalam melahirkan
remaja berakhlak cemerlang tidak perlu disisihkan. [Isi Kecil 1] Mata pelajaran yang diajar di sekolah,
contohnya Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebenarnya menuju ke arah remaja yang berakhlak
mulia. [Contoh] Selain itu beberapa mata pelajaran lagi seperti Bahasa Melayu, akan menyisipkan nilai-
nilai murni dalam pembelajaran. [Isi Kecil 2] Disiplin yang ketat di sekolah wajib dipatuhi oleh pelajar.
[Contoh] Mereka yang ingkar seperti ponteng sekolah, merokok, berkelakuan tidak senonoh akan melalui
proses nasihat, surat amaran, gantung persekolahan, dan yang terakhir sekali buang sekolah. [Isi Kecil 3]
Pada waktu yang sama, menerusi aktiviti kokurikulum seperti unit beruniform dan berpersatuan dapat
mendedahkan pelajar tentang nilai-nilai yang mulia yang perlu diamalkan apabila keluar dari sekolah.
[Kesan] Melalui proses pembelajaran tidak langsung ini diyakini dapat melahirkan remaja berakhlak
mulia.

        [Isi Utama 5] Sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan masyarakat yang
kaya dengan nilai budaya, kerajaan berusaha memastikan seluruh masyarakat, terutamanya golongan
remaja sebagai barisan kepimpinan negara mempunyai akhlak yang mulia. [Isi Kecil 1] Oleh itu, peranan
kerajaan diperlukan untuk memastikan rakyat Malaysia yang masih bergelar remaja mempunyai akhlak
yang mulia. [Contoh] Menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan, telah diadakan
Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni. [Huraian] Menerusi kempen tersebut, masyarakat
didedahkan dengan nilai-nilai mulia yang perlu menjadi amalan seharian. [Isi Kecil 2] Selain itu, kerajaan
mengawal program televisyen untuk memastikan babak-babak ganas, berunsur seks, bertentangan dengan
agama Islam, dan isu-isu yang boleh menyentuh perasaan kaum-kaum lain hendaklah dielakkan. [Isi
Kecil 3] Manakala program ke arah amalan mulia diperbanyak. [Kesan] Usaha, pelaksanaan, dan
tindakan yang dilakukan oleh kerajaan diyakini mampu membentuk masyarakat yang berakhlak mulia dan
seterusnya dapat mewujudkan sebuah negara bermaruah.

       [Huraian] Perkembangan teknologi moden menyebabkan dunia terasa begitu kecil. [Isi Utama 6]
Oleh hal demikian, badan-badan dunia memainkan peranan penting dalam memastikan seluruh
masyarakat remaja di dunia ini mempunyai akhlak yang selaras dengan nilai-nilai hidup sesebuah negara.
[Huraian] Kita mempunyai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 24 Oktober 1945
dan kini dianggotai oleh 185 negara. [Huraian] [Isi Kecil 1] Oleh hal demikian, PBB menerusi
                                                  9

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) perlulah
memikirkan tentang akhlak masyarakat dunia yang kini lebih ke arah mengaut kekayaan dengan menindas
negara yang miskin dan lemah. [Contoh] Amerika Syarikat yang masyarakatnya lebih 75 peratus rosak
akhlaknya tidak boleh dijadikan contoh. [Isi Kecil 2] Jika ada kesepakatan seluruh negara untuk
membentuk akhlak yang cemerlang, sudah pasti kehidupan di dunia ini bagai aur dengan tebing dengan
menolak kekejaman, pembunuhan, dan penindasan.

        [Penutup] Sesungguhnya, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. [Huraian] Dalam
hal ini, firman Allah boleh dijadikan renungan. [Contoh]           Allah berfirman, “Sesuatu umat
bagaimanapun hebat kekuatan dan kekayaan yang dimilikinya, akan tetapi jika budi pekertinya
telah binasa, maka umat itu akan mudah binasa. Manusia yang tidak punya akhlak, mereka
sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya. Mereka sanggup berbohong, membuat
fitnah, menjual maruah diri dan keluarga, malah dengan tidak segan silu lagi akan menjual agama
dan negara”. [Kesan] Jika firman Allah ini dihayati, akhlak yang mulia menjadi amalan seluruh umat
manusia, khususnya remaja Malaysia yang berkeinginan mempertahankan maruah sebagai bangsa
berdaulat. [Huraian] Lalu kita akan fikirkan, jika akhlak meresap ke dalam jiwa, adakah Presiden
Amerika Syarikat, George W. Bush akan menyerang Iraq dan Israel akan berterusan menindas rakyat
Palestin? [Huraian] Tanpa berfikir jauh, diri kita sendiri hendaklah berusaha menyemai akhlak yang
mulia, sebelum menyuruh orang lain berbuat demikian.


                                        Model 4: Aras SPM
Sempena Minggu Bahasa dan Sastera Melayu di sebuah sekolah, anda telah diundang untuk
menyampaikan syarahan. Tajuk yang ditetapkan ialah “Peranan Kerajaan untuk Menarik
Minat Masyarakat Terhadap Kesusasteraan Melayu”.
Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya.

                               Peranan Kerajaan untuk Menarik
                        Minat Masyarakat Terhadap Kesusasteraan Melayu


[Kata Alu-aluan / Pendahuluan] Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berusaha, Tuan Haji
Amirul Hafiz, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning, guru-guru penolong kanan,
guru-guru, dan pelajar sekalian. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak sekolah mengundang
saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Peranan Kerajaan untuk Menarik Minat Masyarakat
Terhadap Kesusasteraan Melayu”. Kesusasteraan merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui
bahasa. Dari segi hurufiahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud “kumpulan buku-buku yang indah
bahasanya dan baik isinya”. Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai
segala pengucapan yang indah-indah, sama ada tertulis atau tidak. Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud
dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan
sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita. Misalnya, kita
akan mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Kita sendiri pula akan
menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya juga merupakan
kesusasteraan. Kesusasteraan dapat dilahirkan dalam pelbagai bentuk bahasa. Secara kasarnya boleh
dikategorikan kepada dua kategori yang besar menurut bentuk bahasa yang digunakan, yakni prosa dan
puisi.

        [Isi Utama 1] Memang tidak dapat dinafikan bahawa, untuk menarik minat masyarakat terhadap
kesusasteraan Melayu, kerajaan memainkan peranan yang besar. [Isi Kecil 1] Oleh itu, menerusi Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP), kerajaan memberi biaya yang besar untuk memastikan DBP dapat
                                                  10

menerbitkan karya sasterawan tempatan. Kemudian, pada waktu yang sama, kita mengharapkan DBP
menyebarluaskan karya yang diterbitkan itu untuk memudahkan musyarakat membelinya. [Isi Kecil 2]
Selain itu, kerajaan telah dan terus mengangkat karya yang terbaik untuk diberi anugerah seperti Hadiah
Sastera Perdana. Pengiktirafan ini mampu memberi galakan kepada penulis untuk menghasilkan karya
yang lebih hebat. Pada waktu yang sama, karya yang diangkat sebagai penerima anugerah pula akan
menjadi buruan pembaca. Karya yang baik sudah pastinya menjadi pilihan kepada pembaca untuk
menatapnya. [Isi Kecil 3] Selain itu, karya yang baik pula diterjemahkan kepada bahasa asing. Manakala
karya antarabangsa asing, biasanya dalam bahasa Inggeris diterjemahkan ke bahasa kebangsaan. Menerusi
cara ini, pembaca akan dapat berkongsi pengalaman dengan penulis yang berlatar belakang yang berbeza.
Karya tempatan yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris seperti Salina karya A. Samad Said, Ranjau
Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, dan koleksi puisi Usman Awang.
Hadirin yang dimuliakan,

         [Isi Utama 2] Kerajaan juga perlu memastikan setiap rakyat Malaysia berminat membaca karya
sastera. [Isi Kecil 1] Oleh hal demikian, kerajaan perlu menekankan rakyat supaya membaca karya-karya
sastera. Kita tidak dapat menafikan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia begitu tinggi, tetapi
bahan yang dibaca hanyalah buku teks (bagi pelajar), majalah hiburan (bagi remaja), dan akhbar (bagi
orang dewasa). Minat membaca ini amat baik, tetapi pendedahan akan faedah membaca karya sastera
perlu kerajaan suburkan menerusi media massa. [Isi Kecil 2] Pada waktu yang sama, kita perlu mendidik
diri sendiri supaya berusaha membaca karya sastera, sekurang-kurangnya senaskhah dalam tempoh
sebulan. Jangan terlalu berkira soal wang kerana buku sastera bukanlah terlalu mahal, jika dibandingkan
kesanggupan menghabiskan RM10.00 untuk membeli makanan segera. [Isi Kecil 3] Seterusnya, kita
buang prasangka buruk bahawa membaca karya sastera meletihkan otak, membazirkan masa dan wang,
dan terlalu sukar difahami. Untuk perangat awal, bacalah novel yang agak ringan, sebelum membaca
karya sastera yang lebih berat. Sebenarnya membaca karya sastera yang agak berat boleh merangsang
minda untuk berfikir secara lebih kritis.

         [Isi Utama 3] Kerajaan perlu memastikan ibu bapa memainkan peranan yang sama untuk
menggalakkan setiap ahli masyarakat membaca karya sastera. [Isi Kecil 1] Oleh itu, ibu bapa hendaklah
memastikan di setiap rumah mempunyai perpustakaan mini. Dalam perpustakaan tersebut, selain diisi
dengan majalah, dan buku-buku ringan, perlu juga diselitkan dengan karya sastera. Untuk memastikan
anak-anak terangsang untuk membaca, cukup sekadar disediakan novel-novel remaja yang banyak
terdapat di pasaran. Ibu bapa perlu tahu, buku yang dibeli perlu seimbang dengan minat anak-anak,
baharulah buku tersebut mahu dibaca. [Isi Kecil 2] Pada waktu yang sama, sekiranya mahu membeli
hadiah atas kejayaan anak-anak dalam pelajaran, ataupun pada hari lahir mereka, hadiahkan mereka buku-
buku terbaharu. Cara ini dapat menarik minat membaca dalam jiwa anak-anak. [Isi Kecil 3] Selain itu, ibu
bapa perlu membawa anak-anak ke Pesta Buku Antarabangsa yang sering diadakan di Kuala Lumpur pada
bulan April, ataupun pesta buku di daerah masing-masing. Selama ini membawa anak bercuti ke tempat
peranginan, apa salahnya jika membawa anak-anak ke gedung yang dipenuhi ilmu.

Hadirin yang dikasihi,
         [Isi Utama 4] Kerajaan juga perlu menekankan masyarakat supaya bersama-sama menarik minat
seluruh rakyat Malaysia membaca karya sastera. [Isi Kecil 1] Oleh hal demikian, aktiviti berkaitan dengan
kesusasteraan perlu disuburkan. Satu ketika dahulu, dalam upacara peminangan, akan diadakan upacara
berbalas pantun untuk menyampaikan hasrat wakil yang datang berkunjung. Namun, oleh sebab
kemahiran berpantun semakin berkurangan, tradisi tersebut tidak diamalkan lagi. Oleh itu, amalan mulia
ini patut dihidupkan semula untuk dicontohi generasi muda yang biasanya turut serta dalam majlis seperti
itu. [Isi Kecil 2] Selain itu, Jawatan Kemajuan Kampung ataupun taman perumahan perlu lebih kerap
mengadakan majlis kesenian yang mengandungi nilai-nilai kesusasteraan seperti dondang sayang
(mengandungi aktiviti berbalas pantun) dan wayang kulit (mengandungi mantera). Usaha ini selain
mampu menarik minat remaja terhadap karya sastera, juga mampu mengetengahkan kesenian tradisional.
                                                 11

[Isi Kecil 3] Seterusnya, aktiviti menggalakkan minat membaca karya sastera menerusi pertandingan
boleh diadakan. Jika ada pertandingan landskap tercantik ataupun rumah yang ceria, tidak menjadi
kesalahan jika diadakan pertandingan rumah yang mempunyai perpustakaan paling lengkap. Usaha ini
wajar disokong oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

         [Isi Utama 5] Kerajaan perlu melibatkan sekolah untuk menyemarakkan minat pelajar terhadap
karya kesusasteraan. [Isi Kecil 1] Oleh itu, langkah kerajaan memperkenalkan Komponen Kesusasteraan
Melayu (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu amatlah disanjung tinggi. Oleh sebab mata
pelajaran Bahasa Melayu wajib diambil dan wajib lulus, maka mahu atau tidak, para pelajar terpaksa
mempelajari KOMSAS. Langkah ini menyemai minat para pelajar terhadap kesusasteraan Melayu, yang
diharapkan mereka akan membaca karya-karya sastera yang terdapat di pasaran. [Isi Kecil 2] Pada waktu
yang sama, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang kelihatan layu kerana kurang diambil oleh calon
SPM diharapkan, sudah sewajarnya diubahsuai sukatan pelajarannya agar lebih ramai pelajar untuk
mengambilnya. Selama ini, para pelajar yang mendapat keputusan yang buruk dalam PMR sahaja yang
dibenarkan ambil. Manakala pelajar yang cemerlang pula dicadangkan mengambil mata pelajaran yang
dianggap mempunyai nilai untuk melangkah ke pengajian tinggi. [Isi Kecil 3] Seterusnya, guru-guru
sendiri perlu mendedahkan para pelajar dengan buku-buku sastera. Guru boleh menceritakan sinopsis
novel yang tinggi nilai sasteranya untuk menarik minat pelajar mendapatkan novel tersebut.

Guru-guru dan para pelajar yang dikasihi,
        [Isi Utama 6] Kerajaan juga boleh mengharapkan badan-badan antarabangsa bagi
mengembangkan kesusasteraan Melayu. [Isi Kecil 1] Salah satu daripadanya ialah Hadiah Nobel yang
dimulakan oleh dan dianugerahkan kepada individu (dan juga pertubuhan dalam kes) yang telah mencipta
formula yang luar biasa atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat. Bagi kategori
kesusasteraan, hadiah ini dianugerahkan oleh kepada individu yang telah menghasilkan karya
berkecenderungan idealistik yang paling cemerlang dalam bidang kesusasteraan. Oleh itu, kerajaan perlu
memberi dana untuk memastikan sasterawan negara dapat menghasilkan karya yang bermutu agar
dicalonkan untuk Hadiah Nobel. [Isi Kecil 2] Kerajaan juga perlu menghantar sasterawan Malaysia ke
bengkel atau seminar di luar negara untuk mendedahkan sasterawan dengan pengalaman baharu. Selain
memperoleh ilmu, peluang bertemu dengan rakan sasterawan dari negara luar boleh dimanfaatkan untuk
meningkatkan kesusasteraan Melayu, sekali gus dapat menarik minat masyarakat untuk membacanya. [Isi
Kecil 3] Seterusnya, karya asing yang terbaik dan telah diterjemahkan ke bahasa Melayu perlu
disebarluaskan di perpustakaan sekolah. Kita boleh mengharapkan para pelajar untuk membaca dan
mengkaji bagi merangsang minat mereka untuk membaca karya sastera.

        [Penutup] Kesimpulannya, dunia kesusasteraan Melayu harus menjadi sebuah dunia yang terbuka
luas dan menjadi pusat serta saluran terhadap pemikiran bukan sahaja masyarakat Malaysia tetapi juga
masyarakat Nusantara dan antarabangsa. Pandangan ini bukanlah suatu utopia sebenarnya jika usaha dan
sikap positif itu menjadi tabiat “orang-orang sastera”. Dunia kesusasteraan Melayu harus membina suatu
bentuk perasaan sepunya untuk semua masyarakat di Malaysia. Maka keperluan kepada sebuah dasar bagi
kesusasteraan, dilihat lebih kepada sikap positif serta objektif dan bukannya ditekan oleh perasaan
terancam atau terdesak. Cadangan mewujudkan Dasar Kesusasteraan Kebangsaan atau Nasional adalah
satu langkah terkedepan dan harus disegerakan. Kewujudannya diharapkan dapat menyumbang kepada
pembangunan dan kemajuan bukan sahaja terhadap dunia sastera tetapi juga hubungan antara masyarakat
keseluruhannya. Kesusasteraan Melayu harus berani untuk membuka dirinya kepada dunia yang luas dan
bersedia untuk menerima unsur-unsur di luar tipikal sastera Melayu. Sesungguhnya, untuk
mengembangkan minat masyarakat terhadap kesusasteraan Melayu, peranan kerajaan tidak dapat
dipersoalkan lagi. Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai perancangan untuk memastikan sastera Melayu gah
di mata masyarakat, seperti kata Frank Tibolt, “Seseorang yang mempunyai perancangan dapat
mengatasi sepuluh orang yang tidak mempunyai perancangan”.
                                                                12

                         SEMUA PENDAHULUAN KARANGAN BOLEH DIHAFAL


Pengenalan
Ramai calon menghadapi masalah untuk membina pendahuluan bagi menjawab karangan umum. Oleh itu,
penulis menyediakan empat jenis pendahuluan yang perlu setiap calon hafal (sekurang-kurangnya satu).
Sebaik-baiknya calon perlu mengubahsuai serba sedikit contoh yang diberi mengikut kemampuan calon.
Selepas mencatat pendahuluan yang penulis berikan, calon perlu mengaitkan dengan tajuk karangan.

(a) Contoh Pendahuluan 1

Wawasan 2020 dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat Tun Dr. Mahathir bin
Mohamad ketika melancarkan penubuhan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991. Wawasan
2020 mengandungi sembilan cabaran yang hendak dipenuhi menjelang tahun 2020, yang meliputi aspek-
aspek dalaman dan luaran bagi menentukan arah tujuan dan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah
negara yang benar-benar maju. Cabaran tersebut ialah membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu
padu; melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan mempunyai keyakinan diri;
membangunkan masyarakat demokratis yang matang; membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral
dan etikanya dan utuh nilai keagamaannya; mewujudkan masyarakat yang matang dan bersifat toleran;
membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif; mewujudkan masyarakat berbudi dan
berbudaya penyayang; menjamin pembentukan sebuah masyarakat yang adil ekonominya; dan
mewujudkan masyarakat yang makmur. Pada tahun 2020, adalah dijangkakan Malaysia menjadi sebuah
negara maju. Namun, kemajuan tidak membawa erti sekiranya [kaitkan dengan tajuk karangan]
...............................................................

(b) Contoh Pendahuluan 2
Kebanyakan program pembangunan ekonomi Malaysia kini di landasan kukuh sejak negara mencapai
kemerdekaan 50 tahun lalu dan kini menuju menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Kerajaan
juga sentiasa fokus untuk meningkatkan lagi ekonomi dengan menyediakan perancangan ke depan bagi
menghadapi cabaran dan persaingan pasaran dunia, seiring dengan pelaksanaan mekanisme Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9). Dagangan Malaysia berkembang ke tahap satu trilion setahun, manakala
permodalan pasaran di Bursa Malaysia juga mencapai satu trilion yang dianggap satu pencapaian
tertinggi yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Kejayaan ini merupakan hadiah paling bermakna
kerajaan kepada rakyat pada setengah abad kemerdekaan negara. Banyak lagi program yang akan
dilaksanakan termasuk menjadikan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor sama seperti
pembangunan Shanzen di China. Namun pembangunan negara [kaitkan dengan tajuk karangan]
..............................................

(c) Contoh Pendahuluan 3

Sejak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis pada 1511 yang kemudian menjajah selama
130 tahun, diikuti Belanda (180 tahun) disusuli Inggeris (117 tahun) dan kemudian pendudukan Jepun
(empat tahun) seterusnya sekali lagi Inggeris (12 tahun) sehingga kemerdekaan negara pada 1957 yang
mengambil masa 446 tahun, rakyat Tanah Melayu ketika itu hidup terumbang-ambing mengikut
percaturan kuasa asing. Apa-apa juga keputusan ditentukan orang lain mengikut kepentingan mereka
seperti kata pepatah bahawa hidup dijajah ibarat “melukut di tepi gantang”. Walaupun tanah air ini
dimiliki bangsa peribumi, disebabkan kehilangan kuasa, penjajah boleh melakukan apa-apa sahaja. Hitam
kata mereka, maka hitamlah jadinya. Kaum peribumi hanya mampu mengikut telunjuk. Bagi mereka yang
dijajah, sesuatu yang nyata ialah mereka kehilangan maruah, martabat diri, dan bangsa mereka. Namun
sejak akhir-akhir ini [kaitkan dengan tajuk karangan] ...............................................................................
                                                   13

(d) Contoh Pendahuluan 4

Teriakan keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali oleh putera Sultan Kedah, Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 menandakan negara kita bebas daripada cengkaman
penjajah selama 446 tahun. Sejak beliau memimpin negara, Tanah Melayu, kemudian ditukar kepada
Malaysia pada tahun 1963, negara terus menuju pembangunan yang pesat. Negara kemudiannya dipimpin
oleh anak watan berjiwa besar iaitu Tun Abdul Razak Hussain, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir
Mohamed, dan kini Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Keruntuhan Kota Melaka telah didirikan
Putrajaya. Malaysia kini telah gah di mata dunia. Kita bangga mempunyai Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur yang canggih. Dunia berasa kagum dengan terdirinya Bangunan Berkembar
Petronas, antara bangunan tertinggi di dunia. Namun kekaguman tersebut tiada ertinya sekiranya [kaitkan
dengan tajuk karangan] .............................

(e) Contoh Pendahuluan 5

Tepat jam 2121 tanggal 10 Oktober 2007, Rabu, 28 Ramadan 1428 Hijrah, terakam dalam sejarah apabila
angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 35, berjaya ke angkasa, 46 tahun enam bulan
sesudah Yuri Gargarin, berada di ruang angkasa lepas selama satu jam 48 minit dengan sekali pusingan
melingkari orbit bumi di atas kapal Vostok-1. Malah, catatan Sheikh Muszaphar sebagai angkasawan ke-
141 amat bermakna kepada negara kerana berlangsung bersempena dengan 50 tahun usia kemerdekaan
tanah air. Penglibatan ini    memberi gambaran yang amat jelas tentang kesungguhan negara untuk
menyertai penerokaan angkasa lepas dengan menghantar angkasawan pertama selepas tiga tahun
ditawarkan berbuat demikian. Tiada siapa boleh menidakkan betapa kejayaan angkasawan pertama negara
menjadi kebanggaan kita sekali gus melonjakkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Walaupun rakyat
Malaysia berjaya menerokai angkasa lepas, namun [kaitkan dengan tajuk karangan] ...........................

(f) Contoh Pendahuluan 6

Ayah dan Ibu

Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapatlah melihat bulan dan matahari
Ahai...

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ahai...
Ayah dan ibulah mesti dihormati

Ayah dan ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai...
Bagilah tunjuk ajar dan nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat.

Lirik lagu di atas telah didendangkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Menerusi lirik lagu
itu, kita didendangkan dengan pengorbanan ayah dan ibu yang tiada batasannya. Kita juga dididik menjadi
manusia yang tahu menghormati orang yang banyak berjasa kepada kita. Malahan segala ajaran dan
nasihat yang diberikan selama ini menjadi azimat kepada kita dalam menjalani kehidupan penuh makna.
                                                   14

Anak-anak yang memahami lagu ini dan mengikuti segala nasihat yang dititipkan oleh kedua-dua orang
tua pasti menjadi orang yang berjaya. Namun..... [kaitkan dengan tajuk]

(g) Contoh Pendahuluan 7

Sirih junjung sirih pinang,
        Sirih kami susun bertingkat;
Adat dijunjung pusaka dikenang,
        Bangsa berbudi hidup muafakat.
Sirih junjung sirih pinang,
        Sirih kuning diberi nama;
Adat dijunjung pusaka dikenang,
        Hidup berbudi muafakat bersama.
Sirih kuning sirih dara,
        Sirih tanya berserta cincin;
Hidup beradat aman sejahtera,
        Budaya lama tetap terjamin.
Sirih kuning diberi nama,
        Sirih tanya berserta cincin;
Hidup berunding muafakat bersama,
        Bangsa mulia budaya dijamin.
Berdasarkan rangkap pantun di atas, sudah jelaslah kepada kita bahawa masyarakat kita mengamalkan
sikap bermuafakat ketika menjalani kehidupan seharian. Pada waktu yang sama adat terus dijunjung dan
amalan berbudi terus dipertahankan. Kita yakin, jika sifat-sifat mulia ini terus diamalkan, sudah tentulah
apa-apa juga permasalahan dapat diselesaikan dengan mudah. Namun, pembangunan pesat menyebabkan
amalan bermuafakat terus dipinggirkan dan adat pula sering dianggap penghalang kemajuan. Oleh hal
demikian, tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini kita berhadapan dengan pelbagai masalah yang melanda
negara. [Kaitkan dengan tajuk]


(h) Contoh Pendahuluan 8

Bunga Popi

Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
Rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
Hasil manusia gila perang membunuh mesra,
Bunga merah berkembang indah minta disembah.

Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
Kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
Perang dalam kenangan penuh kengerian,
Sekarang dalam kepahitan, dalam kesepian.

Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
Hilang pergantungan, hilang pencarian, hidup kebuluran,
Ribuan janda, ribuan kecewa, ribuan sengsara,
Jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.

Tiga rangkap di atas merupakan petikan daripada sajak “Bunga Popi” karya Sasterawan Negara Datuk Dr.
Usman Awang. Penyair memaparkan gelodak jiwa manusia yang tiada nilai-nilai kemanusiaan
                                                  15

sehinggakan sanggup berbunuhan. Saban hari kita terbaca kekejaman rejim Israel yang mengebom anak-
anak Palestin yang tidak berdosa. Serangan demi serangan terus dilakukan dan masyarakat dunia hanya
mengutuk tetapi tidak bertindak. Akibatnya nyawa tiada nilai lagi dan pembunuhan terus berlaku.
Sehubungan dengan hal itu, kita berasa bangga kerana Malaysia terus aman dan rakyatnya dapat menjalani
hidup dengan bahagia. Namun, kebanggaan kita akan mencair apabila memikirkan sikap.....[Kaitkan
dengan tajuk]


                  SEMUA AYAT BAGI PENGHURAIAN ISI BOLEH DIHAFAL

Pengenalan
Bagi karangan yang menggunakan Teknik DiKeMaSeN+A, penghuraian untuk memulakan isi adalah
sama. Mungkin juga boleh digunakan bagi karangan yang tidak menggunakan Teknik DiKeMaSeN+A.

(a) Isi Utama Pertama: Diri
Prof. Hamka, seorang sasterawan Indonesia ada berkata, “Semiskin-miskin orang, adalah orang yang
miskin budi pekertinya”. Kata-kata ini sengaja dipilih untuk menggambarkan budi bahasa seseorang itu
amat penting dalam menjalani kehidupan yang penuh berbudaya. Dalam hal ini, peranan diri sendiri
amatlah penting untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Oleh itu ..................................

(b) Isi Utama Kedua: Keluarga
Pepatah Melayu ada menyebut, “Bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Pepatah ini membawa maksud,
bagaimana kelakuan ibu atau bapa, begitulah kelakuan anaknya. Oleh itu, peranan ibu bapa amat penting
untuk          mengubah               kelakuan             anak masing-masing. Sehubungan dengan hal itu,
..............................................................

(c) Isu Utama Ketiga: Masyarakat
Hendrtk Ibsen ada berkata, “Masyarakat adalah seperti perahu, semua orang perlu membantu bagi
menentukan arah kemudinya”. Kata-kata itu sengaja dipilih untuk menunjukkan masyarakat berperanan
dalam mengubah institusi keluarga, seterusnya kehidupan seseorang. Oleh hal demikian
.............................................

(d) Isi Utama Keempat: Sekolah

Pepatah Melayu ada menyebut, “Belakang parang kalau diasah nescaya tajam”. Pepatah tersebut
membawa maksud, bagaimana bodoh sekalipun seseorang itu, jika diasuh akhirnya orang itu akan pandai
juga. Pepatah ini sesuai dengan peranan sekolah, khususnya guru dalam memastikan anak muridnya
menjadi seorang yang berwawasan, mempunyai jati diri, dan berilmu pengetahuan. Sehubungan dengan
hal itu, ......................................................................................

(e) Isi Utama Kelima: Negara
“Yang perlu dijaga adalah urusan yang kecil-kecil supaya jangan sampai merosakkan bahagian
yang besar”. Kata-kata itu diucapkan oleh Jesse untuk menggambarkan sesuatu perkara yang kecil jangan
diperbesar untuk mengelakkan masalah yang lebih kronik. Dalam hal ini, jelaslah kepada kita akan
pentingnya kerajaan, khususnya pemerintah untuk memastikan masalah rakyat dapat diatasi dengan baik.
Oleh itu ....................................................................

(f) Isi Utama Keenam: Antarabangsa
Menurut Horace Walpole, “Dunia ini adalah komedi bagi mereka yang berfikir dan tragedi bagi
mereka yang merasakannya”. Sebenarnya masalah yang berbangkit dalam sesebuah negara, peranan
                                                   16

negara-negara lain amat penting untuk membantu menyelesaikannya. Sehubungan dengan hal itu,
.........................................


                                          KESIMPULAN
Berdasarkan keterangan dan contoh yang diberi, diharapkan guru-guru dapat memanfaatkan formula yang
diberikan untuk P&P di kelas. Penulis mempunyai keyakinan bahawa, sekiranya para pelajar diberi
penerangan yang mendalam berserta model-model yang sesuai dan latihan yang lebih kerap, insya-Allah
para pelajar dapat mengarang dengan baik mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.


DATA PERIBADI




KHAIRUDDIN AYIP menjadi pendidik sejak tahun 1985. Beliau telah menerima pendidikan di Sekolah
Kebangsaan Pintas Raya, Sekolah Menengah Tun Ismail Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar, Maktab
Perguruan Temenggung Ibrahim, dan Universiti Putra Malaysia. Beliau banyak menghasilkan buku karya
kreatif seperti novel remaja, cerpen, dan sajak. Hasil penglibatannya dalam penulisan kreatif beliau telah
memenangi beberapa anugerah seperti (i) tempat ketiga Sayembara Hadiah Sastera Remaja Esso-Gapena
11 1980 (Guruku Ibuku Jua), (ii) tempat pertama Peraduan Menulis Novel Kanak-kanak DBP 1987
(Sayang Disayang), (iii) hadiah penghargaan Novel Remaja Utusan-Public Bank 1989 (Bukan Untukku),
(iv) tempat pertama Peraduan Menulis Novel Remaja DBP 1990 (Songket Berbenang Emas), (v) tempat
kedua Peraduan Menulis Novel Kanak-kanak DBP 1991 (Mawar Putih Mawar Merah), dan (vi) tempat
kedua Peraduan Menulis Cerpen Kanak-kanak Hari Guru Kebangsaan 2000 (Semerah Saga). Kini beliau
banyak menumpukan penulisan dalam buku teks, buku rujukan, dan buku kerja. Sebanyak 300 judul telah
dihasilkan dan 30 daripadanya merupakan buku karangan untuk tahun 1 sehingga tingkatan 5. Bermula
tahun 1999, beliau menjadi pendidik di Sekolah Menengah Teknik Shah Alam, Selangor. Kini beliau
menjadi Guru Cemerlang di sekolah tersebut.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:387
posted:2/7/2012
language:Malay
pages:16