Kursus Kecemerlangan Usia Emas Untuk Bakal Pesara
CARA MENGURUS KEWANGAN KETIKA BERSARA
Apabila anda mencapai usia 50an, anak-anak mungkin sudah berdikari dan
mula membina kerjaya sendiri. Anda pula menerima gaji tertinggi sepanjang
kerjaya anda atau mungkin sudah bersara. Walau apa pun, anda tidak perlu
khuatir kerana apabila anda mencecah usia lima puluhan, terdapat
beberapa cara/petua untuk membantu anda menyara hidup tanpa gaji
tetap.
Petua 1 : Memahami nilai persaraan anda
Anda akan bergantung pada wang simpanan untuk menanggung
perbelanjaan sepanjang persaraan anda. Anda perlu mengira berapa banyak
yang anda boleh kumpul daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP), simpanan, pelaburan dan sebarang polisi takaful bertempoh tetap.
Seterusnya, anda perlu faham bahawa nilai persaraan anda akan digunakan
sepanjang baki hayat dan menampung segala perkara luar jangka dalam
hidup, contohnya kos perubatan. Anda perlu mengetahi kos sara hidup
untuk menanggung persaraan anda. Buat pengiraan paling terperinci kerana
ini akan menjadi belanjawan anda selepas anda bersara. Anda perlu
berdisiplin dan mengikut rancangan yang telah ditetapkan.
Jika nilai persaraan anda tidak mencukupi, anda mungkin perlu
mengamalkan gaya hidup yang lebih sederhana.
Petua 2 : Bagaimana kalau nilai persaraan anda tidak mencukupi?
Hakikatnya sesetengah daripada kita mungkin tidak mempunyai nilai
persaraan yang mencukupi. Memang tidak ada jalan mudah untuk
menyelesaikan masalah anda. Namun begitu, anda masih boleh
mempertimbangkan beberapa alternatif.
PUTP Excel Sdn. Bhd.
Perunding Pengurusan & Keusahawanan
Kursus Kecemerlangan Usia Emas Untuk Bakal Pesara
Jika anda hidup di kawasan dengan kos sara hidup yang tinggi, satu pilihan
bagi anda ialah berpindah ke kawasan yang lebih termampu. Jika anak-
anak sudah tinggal berasingan dan anda masih duduk di rumah besar yang
meningkat nilainya, pertimbangkan untuk menjual rumah besar itu dan
membeli rumah yang lebih berpatutan. Anda bukan sahaja menjimatkan
ansuran bulanan, jika anda masih belum melangsaikan pinjaman rumah,
tetapi juga boleh mengurangkan bil api dan air.
Satu lagi pilihan bagi mereka yang hampir bersara ialah bekerja lebih lama.
Walaupun rancangan asal ialah bersara pada usia 55 tahun, langkah
melanjutkan kerjaya anda boleh membantu dalam dua cara. Pertama sekali,
anda boleh melewatkan pengeluaran simpanan terkumpul dan memberi
masa tambahan untuk wang anda meraih pulangan. Kedua, bekerja lebih
lama bermakna anda mendapat gaji lebih lama, seterusnya mengisi
tabungan persaraan anda dan meningkatkan nilai persaraan dengan ketara.
Petua 3 : Laburkan wang persaraan secara konservatif
Anda tidak mampu rugi sejumlah wang yang besar pada peringkat ini dan
cara melindungi wang adalah melabur secara konservatif. Kalau boleh
jangan melabur dalam pelaburan yang anda langsung tidak tahu-menahu
tentangnya. Lebih baik melindungi wang daripada kerugian wang.
Jika anda mempunyai wang yang dilaburkan dalam dana risiko sederhana
hingga tinggi, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk bertukar
kepada pelaburan lebih konservatif untuk menjamin keselamatan wang
anda.
PUTP Excel Sdn. Bhd.
Perunding Pengurusan & Keusahawanan
Kursus Kecemerlangan Usia Emas Untuk Bakal Pesara
Petua 4 : Ambil kesempatan daripada tawaran simpanan!
Pasaran akaun simpanan bagi mereka yang berusia lebih 50 tahun adalah
amat besar. Lazimnya terdapat akaun simpanan warga emas yang
menawarkan kadar simpanan menarik. Selidik pelbagai tawaran deposit
yang ada, khususnya deposit tetap.
Petua 5 : Kurangkan hutang anda!
Rumah atau kondominium anda dalah satu pelaburan penting. Anda perlu
melindunginya dan melangsaikan sepenuhnya hutang, kalau boleh, sebelum
bersara. Inilah faktor yang boleh membantu menambah simpanan
persaraan, iaitu dengan membayar hutang. Wang yang digunakan untuk
bayaran pinjaman kini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan
semasa bersara.
Dalam usia persaraan, cuba elakkan daripada menggunakan kemudahan
hutang yang mengenakan kadar faedah tinggi, terutamanya kad kredit.
Walaupun anda sudah hampir bersara dan kedudukan kewangan anda
kurang mantap, jangan terlalu khuatir kerana masih ada cara untuk
memastikan anda dapat hidup selesa dan menikmati zaman emas anda.
Sumber : Dipetik dari rencana yang disediakan oleh OCBC Al-Amin yang disiarkan melalui
Utusan Malaysia, Sabtu 09 April 2011.
PUTP Excel Sdn. Bhd.
Perunding Pengurusan & Keusahawanan