Definisi Zakat: by BH3fJP

VIEWS: 0 PAGES: 16

									                       PERAKAUNAN ZAKAT PENDAPATAN:
                            SATU KAJIAN SEMULA1

                                     Zahri Hamat2
                      Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
                                Universiti Sains Malaysia


                                             Abstrak

        Menurut amalan sekarang, perakaunan zakat pendapatan dikenakan
        pada kadar 2.5%. Asas perakaunan zakat ini diqiyaskan kepada zakat
        emas. Persoalannya, mengapa zakat pendapatan diqiyaskan kepada
        zakat emas dan tidak kepada zakat-zakat lain seperti zakat pertanian?
        Berdasarkan aplikasi kaedah qiyas, kertaskerja ini akan cuba membuat
        analisis perlunya asas perakaunan zakat ke atas beberapa jenis
        pendapatan dikaji semula. Pendapatan-pendapatan tersebut meliputi
        pendapatan penggajian dan upahan, pendapatan profesional,
        pendapatan dari sewaan dan pajakan, pendapatan dari pelaburan,
        pendapatan dari perkilangan, pendapatan dari pembangunan hartanah
        dan pendapatan dari perniagaan. Kajian semula ini adalah
        berdasarkan kepada qiyas zakat pertanian. Akan dihujahkan bahawa
        qiyas zakat pertanian ini adalah yang paling sesuai dipakai kerana
        dalam usaha untuk mendapatkan pendapatan-pendapatan tersebut,
        kaedah-kaedah tertentu terpaksa digunakan. Kaedah-kaedah yang sama
        digunakan dalam usaha mendapatkan pendapatan dari pertanian.
        Berdasarkan aplikasi qiyas, terbukti bahawa wujudnya persamaan
        antara kedua-dua kaedah tersebut. Kertaskerja ini akan merumuskan
        bahawa kadar yang perlu digunakan bagi pendapatan-pendapatan
        tersebut ialah sama ada 5% atau 10%, bukannya 2.5% seperti yang
        diamalkan sekarang. Sebenarnya, dalam sejarah pemerintahan Islam,
        sama ada pada zaman Khalifah al-Rasyidin, pada zaman para sahabat
        mahupun pada zaman tabi’in, perakaunan zakat pernah mengalami
        perubahan. Oleh itu ia bukanlah satu perkara yang baru. Berdasarkan
        kepada hakikat inilah maka diyakini bahawa perakaunan zakat adalah
        terbuka kepada kajian semula untuk melahirkan cadangan-cadangan
        baru yang lebih jitu dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Inilah
        yang cuba dilakukan oleh kertaskerja ini.

    1
     Kertaskerja yang dibentangkan di Muzakarah Pakar Zakat anjuran Kumpulan Kajian Zakat, Fakulti
Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 21 – 22 Disember 2002.
    2
       Penyelidik Bersekutu Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) dan calon Ijazah
Kedoktoran di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pernah
bertugas sebagai akauntan di Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), di Jabatan Akauntan
Negara, dan di Kementerian Kewangan Malaysia sebelum bersara pada tahun 1997.
PENDAHULUAN

Menurut Muhammad Akhtar Saeed al-Sidiqqi (1988), perkembangan hukum zakat baik
pada zaman Rasulullah s.a.w, sahabat mahu pun pada zaman tabi’in adalah berasaskan
ijtihad. Hal yang sama sepatutnya berlaku dalam perkembangan hukum dan pengurusan
zakat di Malaysia. Ia diakui sendiri oleh Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Malah
menurut beliau, para ilmuan Islam perlulah terbuka menerima pembaharuan dan
pengalihan hukum yang ditinggalkan oleh ulama’-ulama’ silam khususnya di dalam
perkara yang berkaitan dengan zakat (Mohd. Tamyes Abdul Wahid, 2002: 11).
Berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin pula, paling tidak
empat reformasi dalam pengurusan zakat boleh dilaksanakan (Zahri Hamat, 2001a).
Pertama, pemerintah boleh menggunakan kuasa bagi menentukan zakat ditunaikan oleh
semua pihak yang telah cukup syarat sekalipun terpaksa mengisytiharkan perang ke
atas mereka. Kedua, pemerintah boleh mengkaji semula pelaksanaan hukum-hukum
yang telah ditetapkan sebelumnya dan mengubahnya bersesuaian dengan keadaan dan
suasana semasa. Ketiga, pemerintah boleh membuat perubahan ke atas perakaunan
zakat yang diamalkan. Penalti boleh dikenakan sekiranya pembayar zakat sengaja
menipu taksiran zakat. Keempat, pemerintah boleh memperluaskan asas zakat dengan
mengenakan zakat ke atas sesuatu harta yang baru ditemui atau baru wujud di kalangan
masyarakat.

Hal ini selaras dengan kefardhuan zakat yang disebut secara umum dalam al-Qur’an itu
sendiri. Misalnya, firman Allah s.w.t yang bermaksud:

       “Ambillah (sebahagian) dari harta-harta mereka menjadi sedekah
       (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa)
       dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk
       mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi
       mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
       (al-Taubah, 9: 103).

Dalam ayat yang lain, antara harta yang dikenakan zakat ialah seperti mana firman
Allah s.w.t yang bermaksud:

       “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak
       menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukan kepada mereka
       (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih” (at-Taubah, 9: 34);

       “Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah,
       dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan dikeluarkan
       zakat)” (al-An’am, 6: 141); dan

       “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah)
       sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari
       apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (al-Baqarah, 2: 267).

                                         2
Sunnah Rasulullah s.a.w kemudian menjelaskan harta-harta yang yang difardhukan
zakat, berapakah nisabnya, dan berapakah kadar yang dikenakan dengan lebih lanjut
(al-Qaradawi, 1999: 71). Antaranya seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

         “…tidak difardhukan atas kamu sesuatu pun pada emas sehingga ada
         bagi kamu dua puluh dinar; kalau engkau ada dua puluh dinar, dan ia
         pula genap setahun lamanya dalam simpanan kamu, maka zakatnya
         ialah setengah dinar…” (riwayat Ahmad dan Abu Dawud);

         “Rasulullah s.a.w memerintah kami supaya mengeluarkan zakat ke atas
         barangan yang disediakan untuk dijual” (riwayat Abu Dawud);

         “Tanaman yang disiram dengan air hujan atau air mata atau tumbuh
         sendiri zakatnya satu per sepuluh dan tanaman yang disiram dengan
         alat siraman zakatnya satu per duapuluh” (riwayat Bukhari);

         “…tidak dikenakan zakat pada unta yang kurang dari lima ekor”
         (riwayat Bukhari), dan

         “…dan pada rikaz (difardhukan zakatnya) satu perlima…” (riwayat
         Bukhari)

Berdasarkan Sunnah Rasulullah s.a.w inilah para fuqaha’ telah membahagikan harta
yang difardhukan zakat kepada lima jenis. Ia meliputi al-‘ayn yakni, emas dan perak;
al-tijarah yakni, perniagaan; al-harth yakni, pertanian; al-mashiyyah yakni, ternakan;
dan al-rikaz yakni, hasil dari perut bumi (Wahbah al-Zuhaili, 1994: 849).


PERAKAUNAN ZAKAT HARTA-HARTA

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, harta yang difardhukan zakat boleh dibahagi
kepada lima jenis. Masing-masing mempunyai kaedah perakaunan zakatnya tersendiri.
Ia boleh dibahagi kepada tiga kaedah. Kaedah pertama, mengikut jenis harta, iaitu
sama ada sesuatu harta itu merupakan harta tetap atau harta semasa.3 Berdasarkan
kedua-dua kategori harta tersebut, maka Muhammad Kamal ‘Atiyah (1995: 3)
merumuskannya seperti berikut:


    3
       Ada juga di kalangan fuqaha’ membahagikan harta mengikut keadaan fizikal harta-harta tersebut
seperti harta tetap dan harta berubah (Muhammad Kamal ‘Atiyah, 1995: 3); dan harta zahir dan harta
batin (Afzalul-Rahman, 1994). Manakala menurut undang-undang sivil pula, harta boleh dibahagi kepada
harta bernilai dan harta tidak bernilai, harta alih dan harta tak alih, harta mithli (ada bandingan) dan harta
qimi (tidak ada bandingan), dan harta istihlaki (pakai habis) dan harta isti’mali (guna) (Wahbah al-
Zuhaili, 1994: 44 - 55).




                                                      3
   (i)     Zakat ke atas harta tetap dikenakan ke atas pendapatan yang diperolehi dari
           harta tetap tersebut pada kadar 5% ataupun 10%. Harta tetap ialah harta
           yang digunakan manfaat darinya secara berterusan seperti kenderaan, kilang
           dan bangunan.

   (ii)    Harta semasa pula dikenakan zakat ke atas harta dan pendapatan dari harta
           tersebut pada kadar 2.5%. Harta semasa pula terdiri dari wang tunai,
           barangan perniagaan dan harta lain yang mudah ditukar kepada tunai.

Kaedah kedua, berdasarkan kepada kos pengeluaran dan cara taksiran zakat dibuat.
Berdasarkan kepada kedua-dua cara ini, maka Husain al-Syahatah merumuskannya
seperti berikut (dipetik dari Mujaini Tarimin, 1999: 137 – 138):

   (i)     Berdasarkan kepada kos pengeluaran sama ada mahal atau murah.
           Contohnya, hasil pertanian yang diusahakan secara tradisional dengan
           menggunakan sumber alam yang asli seperti air hujan semata-mata
           dikenakan zakat pada kadar 10%. Manakala hasil pengeluaran yang
           berteknologi tinggi dengan menggunakan kos yang mahal dikenakan zakat
           pada kadar 5%.

   (ii)    Berdasarkan kepada cara taksiran sama ada modal dan hasilnya ditaksirkan
           bersama atau berasingan. Contohnya, zakat perniagaan, modal dan
           keuntungan ditaksirkan bersama, maka kadar zakatnya diringankan menjadi
           2.5%. Kadar zakat pertanian pula tinggi, iaitu 5% - 10% kerana modal
           (tanah) tidak ditaksirkan. Penaksiran hanya ke atas hasil pengeluaran sahaja.

Kaedah ketiga, berdasarkan Sunnah Rasulullah s.a.w sendiri. Menurut Sunnah
Rasulullah s.a.w, kaedah perakaunan zakat boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Ia
boleh dirumuskan seperti berikut:

   (i)     Zakat hanya dikenakan ke atas harta itu sahaja. Kaedah ini meliputi zakat
           emas, perak dan barangan perniagaan. Kadar zakat yang dikenakan ialah
           2.5%.

   (ii)    Zakat dikenakan ke atas harta dan pendapatan yang diperolehi dari harta
           tersebut. Kaedah ini hanya untuk zakat binatang ternakan. Kadar zakatnya
           seperti yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w.

   (iii)   Zakat dikenakan hanya ke atas pendapatan yang diperolehi dari harta
           tersebut. Kaedah ini meliputi zakat pendapatan pertanian pada kadar 5%
           atau 10%, dan pendapatan yang diperolehi dari perut bumi pada kadar 20%.

Pemakaian ketiga-tiga kaedah perakaunan zakat di atas perlulah disesuaikan dengan
harta yang akan dikenakan zakat. Ia boleh dipakai ke atas semua harta sama ada yang
telah tersedia ada ataupun yang baru muncul. Yang perlu beri perhatian ialah, ia
mestilah diqiyaskan kepada salah satu dari lima jenis harta yang difardhukan zakat,
                                           4
sama ada emas dan perak, perniagaan, pertanian, ternakan, ataupun hasil dari perut
bumi.4 Kadar zakatnya pula mestilah menurut kadar yang telahpun ditetapkan oleh
Rasulullah s.a.w. Dengan kata lain, kadar zakat tidak boleh diubah kerana kadar
tersebut telah disepakati oleh para fuqaha’ berpandukan Sunnah Rasulullah s.a.w (Syed
Othman Alhabshi, 2000: 2).5

Dari ketiga-tiga kaedah ini, penulis berpendapat, kaedah yang ketiga adalah lebih sesuai
untuk digunapakai. Hal ini paling tidak berdasarkan tiga sebab. Pertama, kaedah ini
dibentuk berasaskan kepada Hadith Rasulullah s.a.w sendiri. Misalnya, Rasulullah
s.a.w secara jelas menyatakan bahawa emas, perak dan barangan perniagaan
difardhukan zakat. Kedua, kaedah tersebut mudah dipakai kerana ia boleh diqiyaskan
kepada semua jenis harta sama ada harta yang sedia ada ataupun harta yang baru
muncul. Misalnya, jika sesuatu harta digolongkan di dalam kategori ketiga, maka zakat
akan dikenakan hanya ke atas pendapatan yang diperolehi dari harta itu sahaja.
Manakala harta itu sendiri akan dikecualikan dari zakat. Ketiga, kadar zakat dan kaedah
taksiran bagi setiap kategori harta telahpun ditetapkan. Misalnya, zakat emas, perak dan
barangan perniagaan dikenakan pada kadar 2.5%. Jadual yang lengkap telah ditentukan
oleh Rasulullah s.a.w bagi zakat binatang ternakan. Zakat pertanian pula dikenakan
pada kadar 5% atau 10% tertakluk kepada jenis pengairan yang digunakan. Manakala
zakat hasil dari perut bumi pada kadar 20%.

PEMAKAIAN QIYAS BERASASKAN KADAR ZAKAT PERTANIAN

Qiyas ialah proses membuat perbandingan masalah yang tiada nas dengan masalah
yang ada nas berlandaskan sebab hukum yang sama. Dengan kata lain, qiyas ialah
mengembalikan masalah yang tidak ada nas kepada hukum yang disebut dengan jelas
di dalam al-Qur’an dan Hadith kerana kedua-duanya berkongsi illah yang sama (Abbas
Husni Mohamad, 1996:11). Illah boleh berubah dengan perubahan masa dan tempat.
Illah juga boleh disempit dan diluaskan.6 Manakala penentuan sesuatu sifat yang boleh
diiktiraf sebagai illah pula banyak dipengaruhi oleh konsep-konsep semasa dan
setempat. Malah sesuatu sifat yang dilihat oleh masyarakat tertentu sebagai berkaitan
dengan sesuatu hukum mungkin dilihat sebaliknya oleh masyarakat yang lain
(Mahmood Zuhdi Abdul Majid, 1999: 15).




    4
      Dr. Yusuf al-Qaradawi (1999) misalnya, harta-harta yang difardhukan zakat meliputi ternakan,
emas dan perak, perniagaan, pertanian, madu dan keluaran haiwan, rikaz dan hasil laut, perkilangan, gaji
dan upah, dan pelaburan saham.
    5
     Namun ada di kalangan ahli ekonomi menghujahkan agar kadar zakat diubahsuai, misalnya,
Afazuddin, Izadi, Husaini, Sali Tug dan Mahmud Ahmad (Muhammad Nejatullah Siddiqi, 1989: 31).
    6
     Untuk huraian terperinci, sila lihat oleh Mohd. Daud Bakar (1999: 22 - 29 ) semasa
membincangkan pengaruh faktor tempat dan semasa kepada perubahan qiyas.

                                                   5
Di dalam teori zakah, para fuqaha’ telah sepakat berpendapat bahawa illah kepada
harta yang difardhukan zakat ialah berkembang atau berpotensi untuk berkembang.7
Dengan kata lain, zakat hanya difardhukan ke atas harta yang dapat menghasilkan
sama ada pendapatan, keuntungan, dan tambahan ke atas harta yang sedia ada. Namun
ia tidak dipersetujui oleh beberapa tokoh semasa. Antaranya ialah Mohd. Daud Bakar
(1998: 3 - 15). Beliau tidak bersetuju sifat berkembang itu merupakan illah kepada
harta yang difardhukan zakat. Menurut beliau, kekayaan itu sendiri merupakan illah
kepada kefardhuan zakat. Begitu juga dengan Monzer Kahf (1999: 183). Beliau
menyatakan bahawa terdapat beberapa teks dari al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah
s.a.w yang menyokong pandangan ini. Menurut Mohd. Daud Bakar (1999: 25 – 26)
lagi, sekiranya zakat difardhukan hanya ke atas harta berkembang, maka hak ramai
golongan miskin akan diketepikan. Malah pendapat yang lebih umum ialah dari
Muhammad ‘Uthman Shibir. Menurut beliau, semua harta adalah diwajibkan zakat
apabila ianya melepasi nisab, tempoh setahun melepasi kadar kegunaan dan keperluan
peribadi dan ahli keluarga (dipetik dari Mohd. Daud Bakar, 1999: 26).

Zakat pendapatan dari pertanian akan dijadikan asas sebagai qiyas dalam kertaskerja
ini. Menurut pendapat yang terkuat, semua jenis pendapatan dari pertanian adalah
difardhukan zakat. Pendapat ini dikeluarkan oleh Imam Abu Hanifah yang
bersumberkan dari Umar b. Abdul Aziz, Mujahid, Hamad, Dawud dan Nakha’i (al-
Qaradawi, 1999: 337). Manakala kadar zakat pula ditentukan berasaskan kepada
sumber air yang digunakan. Ketentuan ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w
yang bermaksud: “Pada yang disirami dengan hujan dan matair (kadar zakatnya) satu
persepuluh dan pada yang disiram dengan mengangkut air, kadar zakatnya satu
perduapuluh (riwayat Muslim). Dari sabda Rasulullah s.a.w ini, dapatlah dirumuskan
bahawa kadar zakat pertanian adalah seperti berikut:

    (i)     Bagi tanaman yang disiram dengan air tanpa menggunakan sebarang tenaga
            (seperti air hujan), maka kadar zakatnya ialah 10%.

    (ii)    Bagi tanaman yang disiram dengan air yang diangkut atau dibeli, maka
            kadar zakatnya ialah 5%.

Dalam usaha memperolehi pendapatan dari pertanian pula, ia melibatkan dua perkara
penting. Pertama, faktor pengeluaran, yang antara lain meliputi usaha, modal,
teknologi dan tanah. Gabungan semua faktor pengeluaran ini akan menentukan jumlah
pendapatan yang bakal diperolehi. Kedua, tanah yang digunakan dalam usaha tersebut
merupakan faktor tetap. Ia tidak mengalami sebarang susutan walaupun digunakan
berulang-kali. Malah kesuburan tanah itu sendiri boleh dikawal dan ditingkatkan
dengan adanya teknologi moden.



    7
      Harta yang tidak dapat berkembang dikecualikan dari zakat. Ia biasanya dikenali sebagai harta
yang dimiliki untuk kegunaan peribadi seperti rumah, perabut, kelengkapan, kendaraan dan sebagainya.
Berdasarkan kepada illah harta terletak kepada kemampuannya untuk berkembang, maka semua harta
yang memiliki sifat sedemikian dikenakan zakat sekalipun ia tiada di zaman Rasululah s.a.w.
                                                 6
Dalam perbincangan kertaskerja ini, cara atau kaedah bagaimana pendapatan itu
diperolehi dijadikan illah bagi kefardhuan zakat pertanian. Qiyas untuk menentukan
kadar zakat pula dibuat secara perbandingan, iaitu perbandingan antara kaedah untuk
mendapat pendapatan dari pertanian dengan kaedah untuk mendapat pelbagai
pendapatan yang lain. Jika terdapat persamaan tentang kaedah bagaimana pendapatan
tersebut diperolehi, maka kaedah taksiran dan kadar zakat pertanian akan dipakai.

Penulis akan menggunakan pendapatan sebagai asas dalam menentukan kadar zakat
yang patut dikenakan. Sebenarnya, penaksiran zakat berasaskan pendapatan bukan
suatu hal yang baru. Monzer Kahf (1991: 179) misalnya, merumuskan bahawa
pendapatan yang difardhukan zakat boleh dibahagikan kepada empat kategori.
Pertama, pendapatan dari perniagaan; kedua, pertambahan dalam bilangan dan nilai
binatang ternakan; pendapatan dari pertanian; dan keempat, pendapatan-pendapatan
lain termasuklah bayaran pampasan, pendapatan dari harta kewangan dan harta-harta
lain, pendapatan profesional, pemberian, hadiah, harta pesaka dan sebagainya. Menurut
beliau lagi, majoriti fuqaha’ telah sepakat bahawa pendapatan bagi kategori pertama,
kedua dan ketiga difardhukan zakat. Manakala pendapatan bagi kategori yang
keempat, hanya sebilangan kecil fuqaha’ yang bersetuju zakat difardhukan.

Oleh yang demikian, kertaskerja ini cuba menjelaskan bagaimana kadar zakat
pendapatan penggajian dan upahan, pendapatan profesional, pendapatan dari sewaan
dan pajakan, pendapatan dari pelaburan, pendapatan dari perkilangan, pendapatan dari
pembangunan hartanah dan pendapatan dari perniagaan ditentukan secara qiyas.
Penentuan kadar zakat semua pendapatan ini akan diqiyaskan kepada kadar zakat
pendapatan pertanian.


CADANGAN PERUBAHAN KADAR ZAKAT PENDAPATAN

Dalam perbincangan dalam kertaskerja ini, pendapatan dibahagikan kepada dua
kategori. Pertama, pendapatan penggajian dan upahan, pendapatan profesional,
pendapatan dari sewaan dan pajakan, dan pendapatan dari pelaburan. Kedua,
pendapatan dari perkilangan, pendapatan dari pembangunan hartanah, dan pendapatan
dari perniagaan. Pendapatan kategori pertama, zakat biasanya dikenakan pada kadar
2.5% berasaskan pendapatan. Begitu juga pendapatan bagi kategori kedua. Zakat
dikenakan pada kadar 2.5% tetapi ia ditaksir berasaskan modal kerja, iaitu dikenakan
sebagai zakat perniagaan. Namun, akan dihujahkan bahawa kedua-dua kategori ini
menggunakan kaedah yang sama dalam mendapatkan pendapatan masing-masing. Oleh
yang demikian, kedua-dua kategori pendapatan ini akan diqiyaskan kepada zakat
pendapatan pertanian. Justeru itu, zakat akan dikenakan ke atas pendapatan. Walau
bagaimanapun, pendapatan penggajian dan upahan sahaja yang akan dibincangkan bagi
kategori pertama. Hal ini kerana pendapatan professional, pendapatan dari sewaan dan
dari pajakan dan pendapatan pelaburan mempunyai kaedah yang sama bagi
memperolehi pendapat tersebut. Begitu juga bagi kategori kedua. Pendapatan dari



                                          7
perniagaan sahaja yang akan dibincangkan kerana pendapatan dari perkilangan,
pendapatan dari pembangunan tanah biasanya dikenakan zakat perniagaan.8

PENDAPATAN DARI PENGGAJIAN DAN UPAHAN

Mengikut amalan sekarang, zakat ke atas pendapatan gaji dan upahan dikenakan pada
kadar 2.5%. Ia diqiyaskan kepada zakat emas dan perak. Qiyas ini dibuat berdasarkan
kepada penjawat awam dan swasta menerima pendapatan dalam bentuk wang. Walau
bagaimana pun, terdapat beberapa pendapat mutakhir ini yang berbeza. Ia dikeluarkan
oleh Abu Zahrah, Abd. Wahab Khalaf dan Abd. Rahman Hassan. Menurut mereka,
zakat ke atas pendapatan gaji dan upahan sepatutnya dikenakan pada kadar 5% dari
pendapatan kasar, atau 5% dari pendapatan bersih (al-Qaradawi, 1999: 488).
Muhammad al-Ghazali juga menyamakan zakat pendapatan gaji, pendapatan ahli
profesional dan sebagainya dengan zakat pertanian dan kadar zakat yang dikenakan
bergantung kepada kesukaran yang dihadapi. Sekiranya banyak kesukaran yang
dihadapi, maka kadar zakat ialah 5% dan sekiranya sederhana, maka kadar zakat ialah
7.5% atau 10% (Abdullah Ibrahim, 1997: 103). Begitu juga pendapat dari beberapa
tokoh terkemuka di Malaysia. Mujaini Tarimin (1999: 141) misalnya, berpendapat
kadar yang paling adil dan sesuai yang patut dikenakan bagi pendapatan gaji ialah 5%.
Hal yang sama telah juga dibangkitkan oleh Syed Othman Alhabshi (2001: 5). Menurut
beliau, sekiranya pendapatan diperolehi dengan cara menjual ilmu termasuklah
kepakaran, maka zakat sepatutnya dikenakan pada kadar 5% atau 10%. Ia perlu
diqiyaskan kepada zakat pertanian.

Dalam usaha mendapatkan pendapatan gaji dan upahan, ia juga mempunyai dua
perkara penting. Pertama, faktor pengeluaran, iaitu antara lain meliputi usaha, akal dan
pengetahuan digunakan bagi melaksanakan tugasan masing-masing digunakan.
Gabungan semua faktor pengeluaran ini akan menentukan jumlah pendapatan yang
bakal diperolehi. Kedua, aqal dan pengetahuan yang digunakan untuk usaha tersebut
merupakan faktor tetap. Ia tidak mengalami sebarang susutan walaupun digunakan
berulang-kali. Malah apa yang berlaku adalah sebaliknya, tahap kecerdasan akal dan
pengetahuan yang dimiliki itu makin meningkat kesan dari ianya digunakan berulang-
kali dalam menyelesaikan tugasan tersebut. Kaedah yang sama digunakan dalam usaha
mendapatkan hasil dari pertanian.

Justeru itu, dalam membuat taksiran zakat pendapatan penggajian dan upahan, maka
qiyas dengan pendapatan pertanian henadaklah dipakai. Berasaskan kepada qiyas
tersebut, maka kadar yang perlu digunakan ialah, sama ada 5% atau 10%, iaitu kadar
yang digunakan untuk perkiraan zakat pertanian. Namun, penulis mencadangkan supaya
pendapat yang dikeluarkan oleh Abu Zahrah, Abd. Wahab Khalaf dan Abd. Rahman
Hassan, iaitu zakat ke atas pendapatan gaji dan upahan dikenakan pada kadar 5% dari
pendapatan kasar, atau 10% dari pendapatan bersih patut diterimapakai.


     8
        Namun di tempat-tempat yang difikirkan perlu, perbincangan zakat untuk pendapatan-
pendapatan ini akan disebut secara ringkas.
                                            8
PENDAPATAN DARI PERNIAGAAN

Amalan di Malaysia, zakat perniagaan ditaksir melalui dua kaedah.9 Pertama, kaedah
modal berkembang (urfi’ah). Ia mengambilkira ekuiti pemilik entiti perniagaan
tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada
dicampur atau sebaliknya. Dengan lain perkataan kaedah urfi’ah ialah modal dicampur
dengan keuntungan. Kaedah urfi’ah dapat dirumuskan seperti berikut:

     Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang - Aset Tetap - Aset Bukan Semasa
     +/- Pelarasan = Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat.

Kedua, kaedah modal kerja (syari’ah). Ia mengambilkira kedudukan harta semasa
perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan
beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat. Pelarasan ini dibuat sama ada dengan
men-campurkan item-item yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau membuat
tolakan. Kaedah syari’ah dapat dirumuskan seperti berikut:

     Aset Semasa - Liabiliti Semasa +/- Pelarasan = Harta Perniagaan Yang
     Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat.

Perbezaan kedua-dua kaedah ini hanyalah dari segi pendekatan sahaja kerana ianya
berasaskan persamaan perakaunan, iaitu:

     Ekuti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang - Aset Tetap - Aset Bukan Semasa =
     Aset Semasa - Liabiliti Semasa.

Pelarasan-pelarasan dibuat berdasarkan tiga hujah. Pertama, semasa mengambilkira
harta semasa, item-item bukan milik sempurna dan tidak produktif perlu ditolak
daripada aset semasa.10 Kedua, semasa mengambilkira harta semasa juga semua
sumbangan, derma dan sedekah yang dibuat oleh entiti perniagaan tersebut pada akhir
haul (sukuan terakhir) perlu dicampurkan semula ke dalam harta semasa kerana harta

     9
       Kedua-dua kaedah taksiran zakat perniagaan ini dipetik dari Syed Ghazali Wafa Syed Adwam
Wafa (2001: 28 – 31). Walau bagaimanapun, Accounting and Auditing Organization For Islamic
Financial Institutions (AAOIFI) mencadangkan zakat perniagaan dikenakan pada 2.5775% sekiranya
penyata kewangan tahunan disediakan berasaskan tahun Mesihi.
    10
        Pelarasan tersebut adalah meliputi pertama, barang-barang tidak wajib zakat hendaklah
dikeluarkan seperti barang-barang dan hasil yang haram umpama riba, judi dan arak; kedua, bukan milik
sempurna seperti bayaran deposit air, deposit telefon, elektrik dan lain-lain yang seumpamanya; ketiga,
penghutang kewangan, yakni wang yang dipinjamkan; keempat, tiada item yang dikenakan zakat dua kali
seperti dividen yang sudah dibayar zakat oleh syarikat yang dilaburkan; kelima, aset semasa mestilah
yang produktif, hutang lapuk, stok lupus, penurunan nilai yang ketara dan kekal hendaklah ditolak; dan
keenam, tabung-tabung yang bersifat kebajikan. Bagaimanapun, tabung kebajikan yang bersifat pusingan
seperti pinjaman Qardhul Hassan, amaun yang dikecualikan zakat adalah nilai pokok yang
dimanfaatkan. Tetapi tabung kebajikan yang bersifat hangus melalui pemberian derma, khairat maka
hanya nilai baki tabung yang dikecualikan.

                                                  9
semasa yang disalurkan untuk kebajikan masih dikenakan zakat dan perlu dicampur
kepada aset semasa, kecuali kalau sumbernya adalah dari tabung kebajikan. Ketiga,
semasa mengambil kira tanggungan semasa, item-item tertentu tidak dibenarkan tolak
daripada tanggungan semasa.11 Bagi item-item liabiliti semasa yang boleh ditolak
adalah yang bersifat operasi sahaja termasuk pemiutang perdagangan (trade creditors),
belanja-belanja operasi (operation payables) seperti gaji, elektrik, telefon, dan cukai

Namun berdasarkan Sunnah Rasulullah s.a.w, zakat perniagaan diwajibkan hanya ke
atas barangan perniagaan sahaja. Ini berasaskan Hadith Rasulullah s.a.w seperti yang
dilaporkan oleh Abu Dawud dari Samra b. Jundub, yang bermaksud:

         “Rasulullah s.a.w memerintahkan kami supaya mengeluarkan zakat ke
         atas barangan yang disediakan untuk dijual” (Abu Dawud, Kitab
         Zakat, 1984: 405)12

Mengikut Sayyid Sabiq (1986: 19), sesuatu barangan dikategorikan sebagai barangan
perniagaan sekiranya barangan tersebut diperolehi melalui perniagaan dan diniatkan
untuk tujuan perniagaan semasa barangan itu diperolehi. Walaupun begitu, mengikut
Imam Ahmad, sesuatu barangan dikategorikan sebagai barangan perniagaan hanya
sekadar dengan niat (dipetik dari Abd. Karim Zaidan, 1999 : 68).13

Bagi maksud taksiran zakat perniagaan, barangan perniagaan hendaklah dinilaikan
berasaskan harga pasaran yang sah pada masa zakat diwajibkan sama ada ianya lebih
rendah ataupun lebih tinggi daripada harga belian.14 Kaedah ini tidaklah menimbulkan

    11
       Item-item tersebut meliputi pertama, pinjaman yang bukan berbentuk operasi perniagaan yakni,
‘financial loans’ dan pengkelasan semula pinjaman berjangka; kedua, dividen yang dicadangkan
(dividend payable); ketiga, overdraf; dan keempat, pajakan kewangan/modal (financial/capital lease).
    12
       Dilaporkan oleh Daruqutni dan Abu Dawud melalui Jaafar bin Sa’ad dari sumber Khabib bin
Sulaiman bin Samra dari sumber ayahnya Samra bin Jundab. Ibnu Human mengatakan Hadith tersebut
adalah Hadith Hasan begitu juga menurut Ibn Abdil Bar, tetapi Ibn Hajar mengatakan sanad Hadith itu
tidak cukup kuat. Ibn Hazm menyerang sanad Hadith itu kerana Ja’afar bin Sa’ad, Khabib bin Sulaiman
bin Samra dan ayahnya Sulaiman tidak dikenal. Syeikh Ahmad Syakir membantah, mereka dikenal
kerana disebut oleh Ibn Hibban dalam at-Thiqat. Al-Zahabi mengutip dari Ibn Hibban, tidak seorangpun
mengetahui siapa mereka sedangkan para ahli Hadith sudah berusaha keras menyelidikinya, padahal
sanad itu meriwayatkan banyak Hadith. Abdul Haq Azdi mengatakan bahawa Kabib lemah dan Ja'afar
tidak cukup dipercayai. Ringkasnya sanad itu tidak benar dan tidak boleh dijadikan sumber hukum.
Begitulah ulasan yang telah dibuat oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi (1999 : 302) mengenai kedudukan
Hadith berkenaan.
    13
      Sekiranya sesuatu barangan dibeli dengan niat untuk diperniagakan tetapi sebelum menjualkannya
diubahkan niat untuk kegunaan peribadi, maka dengan niat itu telah mengubah barangan tersebut
menjadi barangan milik peribadi. Sebaliknya, jika barangan itu dibeli untuk kegunaan peribadi kemudian
diubah niatnya untuk dijual, maka barangan tersebut tidak akan menjadi barangan perniagaan dengan
perubahan niat tanpa diikuti dengan urusan jual beli.
    14
      Disepakati oleh Shafi’e, Ahmad, Abu Ubayd, ad-Daraqutni, al-Baihaqi dari Abu ‘Amr Ibn
Hammas melaporkan dari bapanya menyebut bapanya menjual kulit dan bekas anak panah. Suatu hari
Umar al-Khattab melewati hadapan saya dan berkata: Keluarkan zakat ke atas kekayaan engkau. Saya
                                                 10
sebarang masalah bagi perniagaan yang hanya terbabit dalam urusan jual beli barangan
yang telah siap. Namun, masalah akan timbul bagi syarikat yang mengilangkan sendiri
barangan yang dijual,15 perniagaan yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan16 dan
peniagaan yang terlibat dalam pembangunan hartanah.17

Barangan separa siap yang masih dalam bentuk kerja-kerja dalam proses bagi syarikat
yang mengilangkan sendiri, kerja-kerja dalam pelaksanaan bagi syarikat yang terlibat
dalam pembinaan dan tanah yang masih belum dibangunkan bagi syarikat yang
terbabit dalam pembangunan hartanah adalah bukan merupakan barangan
perniagaan.18 Semua barangan tersebut sepatutnya dikecualikan daripada zakat.
Sekiranya barangan tersebut hendak dikeluarkan zakat, maka ia perlu dinilai
berasaskan harga pasaran pada masa zakat diwajibkan tanpa melihat kepada harga kos
yang terlibat.19

menjawab: Saya tidak mempunyai apa-apa selain dari bekas anak panah dan beberapa lembar kulit.
Nilaikan harga dan keluarkan zakatnya (Sayyid Sabiq, 1999: 18; al-Qaradawi, 1986: 304).
    15
       Bagi syarikat yang mengilang sendiri barangan yang dijual, maka dalam proses pengilangan
tersebut akan ada stok barangan separa siap. Kos-kos yang terlibat secara langsung dalam proses
pengilangan ialah kos bahan mentah, kos buruh langsung dan kos overhead untuk pengeluaran tersebut.
Di samping stok kerja-kerja dalam proses, syarikat juga mungkin mempunyai stok bahan mentah yang
masih belum digunakan.
    16
        Bagi perniagaan yang terbabit dalam kerja-kerja pembinaan seperti pembinaan jambatan,
empangan, kapal dan bangunan yang tempoh penyiapan yang panjang, kadang kala menjangkau dua
hingga tiga tahun juga mempunyai stok barangan perniagaan. Barangan perniagaan itu mungkin terdiri
dari kerja-kerja dalam pelaksanaan yang masih belum siap sepenuhnya dan belum sedia untuk dijual.
Kos-kos yang terlibat ialah pertama, kos yang terlibat secara langsung dengan pembinaan seperti kos
buruh di tapak pembinaan, kos bahan mentah yang digunakan untuk projek tersebut, dan susutnilai alat-
alat kelengkapan yang digunakan. Kedua, kos yang terbabit secara tidak langsung dengan kerja-kerja
pembinaan seperti belanja insuran, kos untuk rekabentuk dan teknikal dan lain-lain overhead yang
terbabit untuk pembinaan. Dan ketiga, kos-kos yang berkait dengan aktiviti syarikat secara umum, tetapi
tidak secara langsung dengan sesuatu kerja pembinaan seperti kos pentadbiran, kos penyelidikan dan
pembangunan, dan susutnilai suatu harta tetap yang tidak digunakan secara langsung dengan sesuatu
projek.
    17
       Hal yang sama timbul bagi perniagaan yang terbabit dalam pembangunan hartanah. Syarikat akan
mempunyai stok dalam bentuk tanah yang masih belum dibangunkan. Sekiranya tanah itu dibeli dengan
niat untuk dijual, maka tanah tersebut merupakan barangan perniagaan. Sebaliknya, tanah tersebut dibeli
bukan diniatkan untuk dijual semula tetapi diniatkan untuk pembangunan hartanah seperti projek
perumahan ataupun kompleks perniagaan dan akan dijual hanya setelah kerja-kerja tersebut siap. Ia
bukan merupakan barangan perniagaan.
    18
       Malah harta-harta ini masih belum sedia untuk dijual. Namun, sekiranya zakat dilihat dari segi
semangat dan maksud zakat itu sendiri iaitu, mengambil harta dari golongan kaya untuk diagihkan
kepada orang miskin, maka barangan itu sepatutnya dikenakan zakat. Walaupun untuk memenuhi
kepentingan dan keutamaan golongan miskin, namun tindakan itu harus dibuat secara berhati-hati supaya
pada masa yang sama ianya tidak menzalimi pemilik kekayaan.
    19
       Sekiranya penilaian mengikut harga pasaran begitu sukar pada masa itu, maka apa yang disebut
oleh Ibnu Rusyd iaitu, “Sebahagian ulama’ fiqh mengatakan bahawa zakat dikira dari harga belian atau
kos bukan pada harga waktu itu” adalah boleh dipakai bagi memudahkan perkiraan zakat (dipetik dari
al-Qaradawi, 1999: 320).
                                                  11
Walau bagaimanapun, dilaporkan dari Maimun b. Mahran di dalam Kitab al-Amwal,
menyebut bahawa zakat perniagaan seharusnya dikenakan ke atas modal kerja bagi
sesuatu perniagaan bukan hanya ke atas barangan perniagaan. Kaedah taksiran ini
berlainan dari apa yang dinyatakan dari Sunnah Rasulullah s.a.w. Kaedahnya adalah
seperti berikut:

         “Apabila sudah tiba waktu kamu mengeluarkan zakat, kiralah berapa
         jumlah wang tunai yang ada padamu, kira berapa nilai barangan
         perniagaan yang kamu miliki, kemudian taksirkan keseluruhan barangan
         tersebut dengan nilai wang tunai, dan kiralah hutang yang dapat
         dijelaskan20 (yang diberi persetujuan untuk dibayar), dan tolaklah hutang
         yang perlu dijelaskan, kemudian keluarkanlah zakat bakinya” (Abu
         Ubayd, 1991: 362).

Berasaskan kepada kaedah tersebut, langkah-langkah yang perlu diambil dalam
membuat taksiran zakat perniagaan ialah pertama, kira semua wang tunai yang ada
pada pada masa itu; kedua, kira barangan perniagaan yang dimiliki pada masa itu dan
kemudian nilaikan keseluruhan barangan perniagaan tersebut berasaskan mata wang;
ketiga, kira berapa jumlah hutang sebenar yang pasti dapat dipungut dari pihak
penghutang; keempat, kira jumlah hutang yang perlu dibayar dan seterusnya
menjumlahkan tunai, nilai barangan perniagaan dan hutang yang akan diterima,
kemudian menolak hutang yang perlu dibayar. Zakat dikenakan pada kadar 2.5% ke
atas baki, iaitu modal kerja perniagaan.

Bagi memastikan kaedah taksiran zakat perniagaan dibuat selari dengan maksud
kefarduan zakat, iaitu mengambil harta golongan kaya dan diberikan kepada golongan
miskin, maka makna perniagaan juga mestilah dibahaskan. Mengikut Ibn Khaldun
(1995: 467 – 468), perniagaan bererti usaha untuk membuat keuntungan melalui
membeli barangan dengan harga yang rendah dan menjualnya pada harga yang tinggi.21
Usaha ini boleh dibuat melalui dua cara, iaitu menyimpan barangan itu hinggalah
harga pasaran melambung; atau memperniagakan barangan itu di tempat permintaan

    20
       Hutang perniagaan dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu hutang yang dapat dijelaskan dan
hutang yang tidak dapat dijelaskan (Abd. Karim Zaidan, 1999 : 93 - 94). Hutang yang dapat dijelaskan
ialah hutang dari seseorang yang mengaku berhutang dan mampu menjelaskannya atau yang tidak
mengaku berhutang tetapi ada bukti ke atas hutang itu. Hutang yang tidak dapat dijelaskan ialah hutang
yang ada pada sesaorang yang tidak mengaku berhutang dan tidak terdapat apa-apa bukti mengenai
hutang tersebut. Ia juga termasuk hutang pada seseorang yang mengakui berhutang tetapi sentiasa
menangguhkan pembayaran, atau berada di dalam keadaan kesempitan kewangan sehingga tidak mampu
menjelaskannya. Hutang yang tidak dapat dijelaskan adalah tidak wajib dikeluarkan zakat kecuali
setelah hutang tersebut benar-benar diterima (Wahbah al-Zuhaili, 1994 : 860).
    21
       Mengikut Dr. Yusuf al-Qaradawi (1995 : 173 - 174), perniagaan bermaksud membeli dan menjual
barangan dengan maksud mendapatkan keuntungan. Peniaga bermakna orang yang membeli barangan
dan menjualnya dengan harapan mendapat keuntungan. Keuntungan ialah perbezaan yang berlebihan di
antara harga jual dengan harga beli yang dicampur dengan kos perniagaan.

                                                 12
yang lebih banyak. Mengikut Ibn Khaldun lagi, seorang peniaga yang berpengalaman
memberitahu kepada seseorang tentang hakikat perniagaan:

         “Saya akan menasihati kamu dengan dua perkataan. Beli dengan harga
         yang murah, dan jual dengan harga yang tinggi. Itulah makna perniagaan
         untuk kamu fahami.” (Ibn Khaldun, 1995 : 468)

Oleh itu matlamat operasi sesuatu perniagaan ialah untuk memaksimumkan
keuntungan. Matlamat ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w
sendiri mengambil keuntungan dan memberi kebenaran kepada para sahabat untuk
mengambil keuntungan dalam perniagaan masing-masing (Muhammad al-Khudhari,
1995 : 32).22 Sebenarnya tiada nas daripada Al Qur’an, Sunnah Rasulullah s.a.w dan
Khulafa’ al-Rasyidin yang menetapkan kadar tertentu23 bagi keuntungan yang mesti
dipatuhi (al-Qaradawi, 1995 : 180).24 Keuntungan atau kerugian dari sesuatu
perniagaan boleh diperolehi dengan merujuk kepada penyata pendapatan dari operasi
perniagaan tersebut. Penyata pendapatan ialah suatu penyata yang menunjukkan
ringkasan hasil atau pendapatan dan belanja sesebuah perniagaan bagi tempoh masa
tertentu. Sekiranya hasil melebihi belanja, maka operasi perniagaan tersebut
    22
        Dilaporkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, daripada ‘Urwah yang bermaksud: “(Pada suatu
hari) Rasulullah s.a.w menemui sekumpulan binatang ternakan yang hendak dijual. Lalu Rasulullah
s.a.w memberi kepadaku satu dinar dan berkata: “Wahai Urwah, pergi kepada lelaki tersebut dan
belikan untukku seekor kambing.” Akupun pergi menemui lelaki tersebut dan melakukan tawar
menawar sehingga aku dapat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar. Kemudian aku
membawa kedua ekor kambing tersebut. Di perjalanan, seorang lelaki menemui aku dan ingin membeli
salah seekor kambing daripadaku. Lalu aku menjualnya dengan harga satu dinar. Kemudian aku
berjumpa Rasulullah s.a.w dengan membawa seekor kambing dan satu dinar lalu aku berkata: “Wahai
Rasulullah, inilah dinar dan kambing milikmu.” Rasulullah bertanya: Bagaimana kamu
melakukannya? Akupun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku lakukan lalu Baginda
berkata: “Ya Allah, berkatilah perniagaanya.” Dilaporkan juga bahawa Zubair al-Awwam telah
membeli sekeping tanah hutan dan tanah ini luas serta masyhur daripada beberapa keluarga Madinah
dengan harga 170,000. Kemudian anaknya, Abdullah bin Zubair telah menjualnya dengan harga
1,600,000 iaitu lebih dari sembilan kali ganda (dipetik dari al-Qaradawi, 1995 : 184 - 185). Walaupun di
zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat menunjukkan keuntungan boleh diambil pada kadar melebihi
seratus peratus, tetapi ini tidaklah bermakna setiap jual beli harus mengambil keuntungan sedemikian.
Bahkan tidak boleh diambil hukum umum untuk semua jenis barangan terutamanya barangan keperluam
asasi (al-Qaradawi, 1995 : 188)
    23
       Hadith yang bermaksud: Daripada Anas Ibn Malik katanya: Orang ramai telah mengadu kepada
Nabi s.a.w: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah naik, oleh sebab itu tentukan dan turunkanlah
harga untuk kami supaya murah sedikit).” Maka Baginda menjawab: “Bahawa sesungguhnya Allah
sahaja yang menetapkan harga, Yang Maha Kuasa menyempitkan, Yang Maha Kuasa
menyederhanakan penghidupan, Yang Maha Kuasa Melapangkan, Yang Maha Kuasa memberi rezeki.
Dan aku sesungguhnya sangat berharap dapat menemui Allah dan tidak ada seorang pun di antara
kamu yang dapat menuntut daripadaku sebarang kezaliman berkaitan dengan darah dan harta benda”
(dipetik dari Abd. Latif Muda dan Rosmawati Ali, 1999: 156 – 175).
    24
      Seseorang peniaga dibenarkan memaksimumkan keuntungan yang diperolehi asalkan mereka
mematuhi prinsip yang dibenarkan oleh Islam, terutamanya dengan mengurangkan kos melalui
mempertingkat kecekapan dan/atau mengelakkan pembaziran. Malah tindakan tersebut adalah baik
kepada ekonomi kerana penggunaan sumber-sumber secara optimum (Zakariya dan Mohd. Khir, 1991 :
61).
                                                  13
memperolehi keuntungan dan sebaliknya, jika belanja melebihi hasil, maka operasi itu
mengalami kerugian (Ahmed Belkaoui, 1992 : 377 - 379).25

Keuntungan adalah merupakan pengukur kepada prestasi sesuatu operasi perniagaan.
Disebabkan keuntungan merupakan pengukur kepada operasi perniagaan, oleh kerana
itu taksiran zakat perniagaan berasaskan keuntungan mempunyai asas. Menurut Abu
Ishaq al-Shatibi, zakat barangan perniagaan dikenakan hanya setelah barangan
perniagaan itu dijual. Zakat dikenakan pada pada harga jualan dan setelah melampau
satu tahun (Muhammad Khalid Masud, 1977: 128). Hal yang sama pernah disebut oleh
Ibnu Abbas. Dilaporkan bahawa beliau berkata harus untuk menunggu sehingga
barangan perniagaan dijual dan kemudian zakat dikenakan pada harga tersebut (Abu
Ubayd, 1991: 362). Begitu juga kandungan surat khalifah Umar b. Abdul Aziz yang
menyebut bahawa tidak boleh dipungut zakat ke atas keuntungan peniaga sehingga ia
melampaui tempoh satu tahun26. Malah ada di kalangan fuqaha’ berpendapat, zakat
dikecualikan ke atas operasi perniagaan pada tahun-tahun yang mengalami kerugian
(Barjoyai, 2001: 23).

Dalam usaha mendapatkan pendapatan perniagaan akan membabitkan dua perkara
penting. Pertama, faktor pengeluaran, iaitu antara lain meliputi usaha, akal,
pengetahuan dan harta tetap seperti mesin, kilang dan sebagainya digunakan bagi
melaksanakan tugasan masing-masing digunakan. Gabungan semua faktor pengeluaran
ini akan menentukan jumlah pendapatan yang bakal diperolehi. Kedua, harta tetap
yang digunakan untuk usaha tersebut merupakan faktor tetap. Walaupun ia susut nilai,
namun dengan adanya peruntukan susutnilai tahunan, maka harta tetap tersebut dapat
diganti semula apabila ia tidak boleh digunakan lagi. Kaedah yang sama digunakan
dalam usaha mendapatkan hasil dari pertanian. Kadar zakat yang patut dikenakan ialah
10% atau 5% dari pendapatan. Namun penulis mencadangkan pendapatan dari
perniagaan dikenakan zakat pada kadar 5% dari pendapatan kasar, atau 10% dari
pendapatan bersih patut diterimapakai.




    25
       Belanja-belanja yang dibenarkan adalah belanja yang digunakan untuk mewujudkan hasil seperti
kos barang dijual dan belanja-belanja yang berkaitan secara langsung dengan urusan perniagaan seperti
belanja pentadbiran, belanja pemasaran dan sebagainya. Belanja-belanja tersebut mestilah dibuat secara
sederhana, tidak kedekut dan tidak boros serta tidak dibelanjakan kepada perkara-perkara yang
diharamkan oleh Islam (Muhammad Kamal ‘Atiyah, 1993 : 309 - 317 dan 336 - 342). Yang penting
ialah operasi perniagaan mestilah sekurang-kurangnya berada di tahap titik pulang modal agar dapat
dipastikan perniagaan itu akan dapat terus beroperasi (Zakariya dan Mohd. Khir, 1991 : 59).
    26
      Dilaporkan dari Ibnu ‘Awn, seorang sahabat telah berkata kepada aku; “Kamu telah berada di sini,
adakah kamu telah mendengar kandungan surat Umar b. Abdul Aziz tentang keuntungan dari peniaga-
peniaga di mana isi surat tersebut menyebut tidak boleh dipungut zakat ke atas keuntungan peniaga
sehingga ia melampaui tempoh satu tahun (Abu Ubayd, 1999: 355).

                                                 14
KESIMPULAN

Sebenarnya menilai semula perakaunan zakat ke atas harta ini bukanlah sesuatu yang
baru. Dari sejarah terbukti bahawa banyak kali berlaku perakaunan zakat harta telah
dinilai semula. Ia berlaku baik di zaman Khalifah al-Rasyidin, zaman sahabat mahupun
di zaman tabi’in. Antara harta yang kerap dinilai semula adalah kuda.

Walau bagaimanapun, harta kekayaan yang difardhukan zakat dapat dibahagikan
kepada lima kategori sahaja. Ia meliputi emas dan perak, perniagaan, pertanian,
ternakan, dan hasil dari perut bumi. Namum sebenarnya, dalam menentukan kaedah
perkiraan zakat, harta kekayaan tersebut boleh dikategorikan hanya kepada tiga jenis.
Pertama, harta kekayaan itu sahaja yang dikenakan zakat pada kadar 2.5%. Kedua, harta
kekayaan dan hasil yang diperolehi dari harta kekayaan tersebut yang dikenakan zakat.
Ia terpakai hanya kepada binatang ternakan. Dan ketiga, hasil yang diperolehi dari harta
kekayaan itu sahaja yang dikenakan zakat pada kadar sama ada 5%, 10% atau 20%.

Oleh itu sekiranya taksiran sesuatu harta itu dibuat berasaskan kepada pendapatan,
maka kadar yang perlu dipakai ialah, sama ada 5%, 10% atau 20%. Dari rumusan
kaedah yang seperti yang telah dibincang di atas, tiada kaedah yang mengenakan zakat
ke atas pendapatan pada kadar 2.5%.

RUJUKAN

Abdul Aziz Muhammad, 1993. Zakat and Rural Develepment in Malaysia, Kuala
   Lumpur: Berita Publishing.
Abu Dawud, 1984. Terj. Ahmad Hasan, Sunan Abu Dawud, Vol. II, Lahore : Sh.
   Muhammad Ashraf.
Abu Ubayd al-Qasim b. Salam, 1991. Terj. Noor Mohammad Ghiffari, Kitab al-
   Amwal, Islamabad: Pakistan Hijra Council.
Afzalul-Rahman, 1994. Terj. Zaharah Salleh, Doktrin Ekonomi Islam, Jld. III, Kuala
   Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Barjoyai Bardai, 2001. “Zakat Perniagaan : Implikasinya Terhadap Cukai Korporat”,
   kertas dibentangkan di Konvensyen Zakat Kebangsaan, 18 – 19 September
Malik Ibn Anas, 1989. Terj. Aisha Abdurahman Bewley, Al-Muwatta’ of Imam Malik
   Ibn Anas, London : Kegan Paul International.
Mahmood Zuhdi Ab. Majid, 1999. “Fiqh Malaysia: Konsep dan Cabaran”, kertas
   dibentang di Seminar Hukum Islam Semasa II di Peringkat Kebangsaan, 23 Jun.
Mohd. Daud Bakar, 1998. “The Malaysian Zakat System: Law and Policy Reform”,
   dlm. Jurnal Undang-undang IKIM, Vol. 2 No. 2, Kuala Lumpur: Institut
   Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Julai – Disember.
Mohd. Daud Bakar, 1999. “Faktor-faktor Semasa dan Setempat di Malaysia Yang
   Boleh Mempengaruhi Penentuan Hukum Berasaskan Qiyas”, kertas dibentang di
   Seminar Hukum Islam Semasa II di Peringkat Kebangsaan, 23 Jun.
Monzer Kahf, 1987. “Zakat - Unresolverd Issues”, dlm. Development and Finance in
   Islam, sunt. AbulHasan Muhammad Sadeq et. al, Kuala Lumpur : International
   Islamic Unversity Press.
                                          15
Muhammad Kamal ‘Atiyah, 1995. Terj. Mohd. Nor Ngah, Perakaunan Zakat -Teori
   dan Praktis, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Tamyes Abdul Wahid, 2002. “Matlamat Seminar Fiqh Zakat
   Kontemporari, kertas dasar dibentangkan di Seminar Fiqh Zakat 2002, 31 Oktober.
Muhammad Akhtar Saeed Siddiqui, 1981. “A Study of Evolution of Ijtihad (Legal
   Reasoning) in The Development of The Zakat Law During The 1st Century A.H”,
   Tesis Ph.D, University of Edinburgh.
Mujaimi Tarimin, 1999. Zakat Pendapatan : Hukum dan Persoalannya, Kuala
   Lumpur: Kaisha Services Sdn. Bhd.
Syed Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, 2001. “Zakat Perniagaan : Potensi dan
   Cabaran Di Era Ekonomi Baru”, kertas dibentangkan di Konvensyen Zakat
   Kebangsaan, 18 – 19 September
Syed Othman Al Habshi, 2001. “Zakat Perniagaan : Potensi dan Cabaran Di Era
   Ekonomi Baru”, kertas dibentangkan di Konvensyen Zakat Kebangsaan, 18 – 19
   September.
Wahbah Wahbah al-Zuhaili, 1994. Terj. Md. Khir Hj. Yaacob, at el, Fiqh &
   Perundangan Islam, Jld. III, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yusuf al-Qaradawi, 1999. Terj. Salman Harun et al, Hukum Zakat - Studi Komparatif
   Mengenai Status dan Filsafat Zakat Berdasarkan Qur'an dan Hadis, Indonesia :
   Penerbit Litera AntarNusa dan penerbit Mizan.
Zahri Hamat, 2001a. “Pengurusan Zakat Perlukan Reformasi dan Ijtihad”, Berita
   Harian, Jumaat, 12 Januari.
Zahri Hamat, 2001b. “Keuntungan: Asas Perakaunan Zakat Perniagaan”, Dewan
   Ekonomi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jun.
Zahri Hamat, 2001c. “Kadar Zakat Perniagaan Perlu Kajian Semula”, Dewan Ekonomi,
   Dewan Bahasa dan Pustaka, Ogos.
Zahri Hamat, 2002. “Penilaian Semula Kaedah Taksiran Zakat Harta : Satu Tinjauan
   Awal”, Dewan Ekonomi, Dewan Bahasa dan Pustaka, November.




                                       16

								
To top