LINGUISTIK UNTUK GURU BAHASA

Document Sample
LINGUISTIK UNTUK GURU BAHASA Powered By Docstoc
					                     LINGUISTIK UNTUK GURU BAHASA

Betulkah Guru Bahasa Malaysia Memerlukan Pengetahuan Linguistik?

Perkara ini memang telah lama dan selalu dipersoalkan oleh guru dan orang ramai.
Semenjak linguistik menjadi satu disiplin yang popular, ahli linguistik juga kerap
bertanyakan hal yang sama. Hal ini berlaku bukan kerana mereka tidak tahu kegunaan
linguistik. Memang betul ramai antara ahli linguistik yang jarang memikirkan tentang
kegunaan linguistik. Mereka hanya kerap berkecimpung dengan teori dan analisis
linguistik sahaja. Sebenarnya memang ramai ahli linguistik yang telah mencuba
menggunakan linguistik dalam bidang lain. Ramai ahli linguistik yang telah lama
berkecimpung dalam bidang pengajaran bahasa. ada pula yang berusaha dalam bidang
terjemahan, sosiolinguistik, psikolinguistik, dan sebagainya. Di samping itu banyak lagi
kegunaan linguistik. Mungkin juga bukan ahli linguistik yang harus menentukan bahawa
ilmu linguistik itu berguna dalam pendidikan, tetapi, terpulanglah kepada para pendidik
untuk menentukan kegunaan linguistik dalam bidang pengajaran. Walau
bagaimanapun, linguistik ialah satu ilmu baharu yang berkembang pesat, walaupun
sebenarnya ilmu ini telah mula dikenali sejak zaman kesarjanaan Yunani dahulu lagi.
Tetapi ilmu ini tidak begitu mudah difahami. Tambahan pula, kebanyakan buku linguistik
sukar untuk dibaca dan difahami. Perkembangan linguistik amat pesat berlaku dan ini
menambahkan kesukaran untuk memahaminya. Hal ini dapat dibuktikan dengan
melihat bilangan jabatan pengajian linguistik yang telah dibuka di universiti-universiti,
dan banyak pula kajian dijalankan serta penerbitan dihasilkan tentang linguistik.
Kesemua perkembangan ini telah menambahkan kebingungan orang ramai. Itulah
sebabnya linguistik dilihat dengan penuh kesangsian dan sukar diterima, dan malah
kadang-kadang ada pihak yang terus menolaknya. Sebenarnya, kalau linguistik ini
ditolak, bukanlah kerana kegunaannya kurang, tetapi kerana linguistik itu tidak
dimengertikan dan tidak digunakan dengan baik.

Guna Linguistik dalam Pengajaran Bahasa
Kegunaan linguistik itu memang menjadi soalan yang selalu dikemukakan oleh ramai
orang. Apakah gunanya linguistik terhadap pengajaran bahasa moden? Jadi
bersidanglah seramai lebih kurang 200 orang ahli linguistik di Stockholm pada tahun
1963. Persidangan ini telah melahirkan Persatuan Linguistik Gunaan Antarabangsa.
Persidangannya yang pertama diadakan di Nancy dan Persatuan itu menumpukan
seluruh perhatian terhadap pengajaran bahasa moden. Banyak daripada butir dan isu
yang disebut dalam makalah ini dikutip daripada laporan persidangan tersebut, iaitu
Linguistic Theories and Their Applications, AIDELA (1967).
Seseorang penulis buku linguistik akan tentu dapat menyenaraikan banyak kegunaan
ilmu linguistik. Kita boleh melihat kegunaan linguistik itu dalam bidang neurologi,
matematik, sains maklumat, logik, falsafah, epistemologi, sejarah sosial, kesusasteraan,
filologi, antropologi, sosiologi, psikologi, dan pedagogi. Baru-baru ini linguistik juga
digunakan dalam terjemahan melalui komputer. Penggunaan linguistik dalam
pengajaran selalunya dikenali sebagai linguistik gunaan dan ini termasuklah kajian
fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan kadang-kadang termasuk juga
tajuk-tajuk lain seperti psikolinguistik dan sosiolinguistik yang masing-masing memberi
tumpuan kepada teori pemerolehan dan keadaan bahasa. Tajuk-tajuk lain juga mungkin
termasuk. Sudah banyak kajian dan pendebatan ditumpukan kepada implikasi
pengajaran yang terkandung dalam ilmu linguistik. Ini terkandung, misalnya, dalam
buku S.P. Corder (19730, D.A. Wilkins (1972), P.Strevens (1977), K.C. Diller (1971),
dan banyak lagi hasil karangan sarjana lain. Dengan itu, tidaklah bijak kalau kita hanya
memandang sepi terhadap segala perkembangan ini dan masih meragui kegunaan
linguistik dalam pengajaran bahasa.

Linguistik Bermula daripada Tatabahasa Tradisional
Memang selalu kita mendengar guru mengatakan mereka tidak memerlukan linguistik
untuk mengajarkan bahasa Malaysia. Hal ini boleh jadi benar. Ada ramai guru bahasa
Malaysia, lebih-lebih lagi daripada generasi yang lalu, tidak pun mendengar istilah
linguistik, tetapi telah dapat mengajarkan bahasa Malaysia dengan baik. Hari ini guru
bahasa diberi pengetahuan linguistik, dan dilengkapi pula dengan segala macam alat
dan kemudahan, tetapi masih menghasilkan pelajar yang kadang-kadang tidak pun
boleh bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan sempurna. Ini menimbulkan
persoalan. Kita ketepikan semua soalan ini dan ambil satu sahaja. Betulkah linguistik itu
diperlukan oleh guru bahasa Malaysia? Ada satu perkara yang jelas. Kita tidak harus
berlagak seperti Pak Pandir dan menganggap linguistik baru sahaja ditemui. Linguistik
ini satu ilmu yang sudah lama dipelajari. R.H. Robins (1967 hlm. 9-40) telah
menunjukkan beberapa kejayaan sarjana Yunani. Memanglah sarjana-sarjana Yunani
ini memikirkan hal bahasa dan masalah-masalah yang timbul daripada penyelidikan
bahasa. hal ini memulakan apa yang kita kenali sebagai ilmu linguistik dalam
pengertian yang luas. Kajian ini berterusan hingga ke hari ini. Linguistik telah lama
digunakan oleh guru bahasa. bezanya hanyalah, mereka menggunakan linguistik tradisi
yang penuh dengan pernyataan preskriptif dan normatif, tetapi, linguistik moden pula
bersifat struktural dan deskriptif. Seseorang guru yang menggunakan sebuah buku
tatabahasa lama untuk mengajarkan sebutan, tatabahasa, atau makna, sebenarnya
menggunakan pengetahuan linguistik, iaitu linguistik tradisional. Ini juga linguistik dalam
pengertian yang luas.

Linguistik dalam Kursus Perguruan
Kalau mahu mencari bukti lain bahawa linguistik itu berguna dalam pengajaran bahasa,
kita tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja butir-butir semua panduan kursus
TESL/TEFL/TESOL yang ditawarkan oleh sebarang universiti atau maktab di mana-
mana sahaja. Semuanya memasukkan fonetik, fonologi, sintaksis, dan semantik ke
dalam kursusnya. Ini ialah inti ilmu linguistik. Perkara-perkara ini tidak akan diajarkan
kalau tidak penting dalam pengajaran bahasa. begitu juga kursus perguruan untuk
bakal pengajar bahasa Malaysia, semuanya mengandungi unsur-unsur linguistik.
Kalau demikian, bagaimanakah kita dapat mengatakan linguistik itu penting untuk
pengajaran bahasa? Jawapannya akan dapat kita ketahui dengan melihat bagaimana
fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik mana-mana bahasa itu berguna
dalam pengajaran bahasa tersebut. Tentulah tidak dapat kita sangkal asas teori
bahawa sebarang pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran itu penting dalam
pengajaran mata pelajaran tersebut. Deskripsi linguistik itu merupakan asas teori
sesuatu bahasa. Deskripsi linguistik memberi deskripsi bahasa: struktur dan fungsi
bahasa itu. Tentu sekali pengetahuan ini berguna dalam pengajaran bahasa.
Ada banyak cara linguistik itu boleh menjadi berguna kepada seseorang guru bahasa.
E. Roulet (1975: 65-75) memberikan enam kegunaan linguistik dalam pengajaran
bahasa:

   Teori linguistik memberikan maklumat tentang struktur dan fungsi sistem bahasa itu
   secara umum kepada guru bahasa. Hal ini mungkin memainkan peranan penting
   dalam menentukan tujuan, isi, dan pendekatan sesebuah kursus bahasa.

   Teori linguistik juga memberikan suatu bahasa perantaraan kepada guru. Ini ialah
   kesejagatan bentuk seperti jenis-jenis rumusan yang berlainan dalam tatabahasa
   transformasi generatif (rumus penyingkiran, rumus transformasi, dan sebagainya)
   dan keseragaman kategori-kategori seperti Frasa Nama, Frasa Kerja, atau ciri-ciri
   nahuan kata, seperti: + animat, + statif, dan seterusnya. Semua perkara ini boleh
   dipakai oleh guru dalam pengajaran bahasa.

   Sama ada secara langsung atau tidak, teori linguistik tentang pemerolehan bahasa
   mempengaruhi perkaedahan pengajaran bahasa, lebih-lebih lagi bagaimana kursus-
   kursus bahasa diajarkan.

   Sebuah deskripsi bahasa akan menyedarkan guru tentang struktur bahasa yang
   akan diajarkan, dan dengan itu dapat meningkatkan kualiti isi linguistik dalam kursus
   bahasa.

   Deskripsi bahasa juga memberi guru bahasa itu suatu pengetahuan tentang unit-unit
   unsur seperti fonem, morfem, tagmem, dan sebagainya. Ia juga memberikan senarai
   struktur atau suatu sistem rumusan bagi sesuatu bahasa yang boleh digunakan
   dalam kursusnya.
   Suatu deskripsi bahasa memberikan satu sistem rumusan yang berentetan. Ini
   boleh digunakan untuk membentuk bahan mengajar. Kadang-kadang rentetan itu
   tidaklah perlu dituruti secara rapi.

       Walau bagaimanapun, ahli linguistik bukanlah memberikan teori atau
deskripsi bahasa. Linguistik hanya memberikan teknik analisis. Kedua-dua ahli linguistik
dan guru bahasa menggunakan bahasa yang sama lain. Susah kita hendak menerima
bagaimana sebuah bahasa itu boleh diajarkan tanpa sebuah deskripsi bahasa. walau
bagaimanapun, tentu ada pula yang memerlukan penyesuaian untuk diajarkan.
Pengajaran bahasa itu tentu sentiasa mempengaruhi deskripsi bahasa.
Guru bahasa memang memerlukan linguistik. Oleh itu mereka hendaklah tahu
hubungannya antara linguistik dengan pengajaran bahasa. D.A. Wilkins (1972)
menyatakan ada tiga jenis hubungan tersebut. Pertama, linguistik memberikan deskripsi
yang lengkap tentang bahasa, tetapi tidak memberikan cara mengajar yang paling baik.
Kedua, sebarang perkembangan dalam bidang linguistik itu, janganlah
disalahmengertikan sebagai suatu sebab untuk membuat perubahan. Banyak daripada
maklumat demikian yang akan dipakai untuk mengajarkan bahasa. tetapi seseorang
guru bahasa itu hendaklah menyesuaikan maklumat tersebut untuk tujuan dan
kepentingannya. Ketiga, linguistik memang mempengaruhi pengajaran bahasa, tetapi
tidaklah pula selalunya begitu, tetapi biarlah dihadkan kepada keperluan semasa.

Berapa Banyakkah Pengetahuan Linguistik yang Perlu Diketahui oleh Guru
Bahasa?

Mungkin ramai antara guru bahasa yang tidak begitu jelas mengetahui manfaat yang
boleh mereka dapati daripada ilmu linguistik. Dengan kata lain mereka tidak
mengetahui kegunaan linguistik di dalam bilik darjah. Ini bukalah kesalahan guru
bahasa sahaja. Ada banyak sebab yang menimbulkan keadaan ini. Pertama, sifat ilmu
linguistik itu dan banyaknya bahan tentang linguistik itu harus akan membunuh
sebarang minat seseorang guru bahasa yang kurang keyakinannya terhadap linguistik.
Misalnya, dalam usaha mempelajari sistem bunyi bahasa Malaysia, seseorang guru
bahasa harus akan menjadi gusar, dan mungkin terus kecewa, kalau dia diberikan
bahan tertulis dalam bentuk ciri-ciri pembeza. Begitu jugalah dengan deskripsi
tatabahasa transformasi, nampaknya seolah-olah berbelit-belit sehingga menakutkan.
Selalunya deskripsi tersebut penuh pula dengan simbol-simbol matematik. Bagi ramai
guru bahasa, linguistik ini masih asing dan mereka kurang faham bagaimana
tatabahasa menghubungkannya dengan tugas mengajar sehari-hari. Mereka ini
perlulah diberi versi yang sudah dipermudah, supaya mereka tidak berasa begitu gusar
semasa menghadapi linguistik untuk pertama kalinya.
Guru Memerlukan Linguistik Normatif
Memang perlu juga dimengertikan bahawa ada bezanya antara seorang guru bahasa
dengan ahli linguistik. Seseorang ahli linguistik berhadapan dengan banyak bahasa,
tetapi guru bahasa hanya terlibat dengan satu bahasa sahaja, mungkin dua, kalau
diambil kira bahasa kandung pelajar itu. Ahli linguistik cuba bersikap objektif dan
saintifik dalam menganalisis data daripada sesuatu bahasa, tetapi seseorang guru
bahasa hanya mengajarkan bentuk dan norma baku bahasa itu. Jadi, guru lebih rapat
berhubung dengan aspek normatif bahasa itu daripada aspek deskripsinya. Perbezaan-
perbezaan ini seharusnya membawa perhubungan yang saling melengkapi antara guru
dengan ahli linguistik. Guru bergantung pada ahli linguistik untuk mendapatkan
bahannya, dan ahli linguistik mengharapkan guru menggunakan hasil deskripsi bahasa
yang dibuatnya. Tetapi kita hendaklah juga sedar, seperti kata Wilkins (1972), bahawa
seorang guru yang cukup matang dalam tatabahasa tradisi mungkin mendapati bahawa
deskripsi bahasa yang dibuat oleh ahli linguistik moden itu mengecewakan. Dia
mungkin tidak akan mendapat satu pun pengetahuan hal yang sama dalam bentuk dan
ungkapan baharu. Linguistik hanya mengambil jalan lain untuk menuju tempat yang
sama. Memang ada banyak hal baharu yang terdapat dalam linguistik, tetapi
tatabahasa tradisi juga mungkin dapat memberikan maklumat yang sama. Kita haruslah
dapat bergerak bersama-sama perkembangan, dan ini adalah satu daripada
perkembangan yang menuntut penyertaan kita. Sebenarnya, sebagai yang kita akan
bincangkan kelak, linguistik memang mempunyai kegunaan positif yang banyak.

Linguistik Gunaan
Oleh sebab kesukaran ini, dan juga dalam usaha menentukan bidang linguistik yang
diperlukan oleh guru bahasa, maka terdapatlah beberapa buah buku yang dikarang
oleh ahli linguistik bertujuan khusus untuk menyelesaikan masalah tersebut, misalnya:
B Arthur (1973), M.A.K. Halliday et al. (1973), M. Kehoe (1968), P. Strevens (1977),
K.C. Diller (1971), Lim Keat Boey (1975), dan lain-lain lagi. Ada banyak kegunaan
linguistik dalam mengajarkan bahasa. bidang inilah yang dikenali sebagai linguistik
gunaan. Deskripsi sesuatu bahasa itu bolehlah menjadi bahan mengajar. Memang
kadang-kadang bahan tersebut tidak berbeza isinya daripada tatabahasa tradisi. Tetapi
memang tidak boleh disangkal bahawa salah satu daripada sumbangan linguistik ialah
memberi pandangan baharu terhadap pengajaran bahasa. jadi, gunanya linguistik itu
ialah memberi maklumat dan analisis yang dihasilkan daripada deskripsi sesuatu
bahasa tersebut, untuk dimanfaatkan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran
bahasa.

Linguistik Adalah Bahan Mata Pelajaran
Apa yang jelas ialah seseorang guru itu hendaklah mempunyai pengetahuan yang
cukup tentang mata pelajaran yang diajarkannya. Seorang guru matematik mesti
mengetahui matematik pada peringkat yang hendak diajarkannya. Jadi, dengan alasan
yang sama, seorang guru bahasa memerlukan deskripsi bahasa tersebut, termasuklah
sebarang penjelasan dan cara sistem bahasa itu berlaku untuk dijadikan bahan
mengajar. Inilah yang dikatakan tatabahasa pedagogi. Sebenarnya kita boleh juga
menentukan pengetahuan linguistik yang diperlukan sekiranya kita tahu rancangan
bahasa yang akan diajarkan itu. Sesiapa yang mengajar pertuturan hendaklah
mengetahui sistem bunyi bahasa tersebut. Memang patut juga guru bahasa itu
mengetahui seluruh deskripsi bahasa itu. Dia juga perlu tahu teori-teori linguistik yang
akan berguna baginya semasa mengajar. Misalnya, di Malaysia, seorang guru bahasa
itu perlu juga mengetahui deskripsi bahasa kandung pelajar itu, seperti bahasa Cina
dan India, atau sebarang bahasa atau dialek yang berkenaan. Mengajar bahasa
sebagai bahasa kedua memerlukan guru mengetahui masalah pelajar. Ini hanya boleh
dicapai sekiranya guru mengetahui kebiasaan bahasa pelajar. Jadi, bukan ilmu
linguistik sahaja yang perlu diketahui oleh seseorang guru bahasa itu, ada aspek lain
yang juga penting bagi guru. Linguistik sahaja tidak akan dapat membentuk guru
bahasa yang baik. Juga tidaklah dapat ditentukan nisbah antara linguistik dengan
perkaedahan. Apa yang jelas ialah bahawa linguistik itu adalah penting dalam melatih
guru bahasa.

Apakah Jenis Linguistik yang Diperlukan?
Soalan ini mengingatkan saya kepada suatu iktibar yang diberikan oleh seorang
peserta dalam Persidangan Linguistik di Stockholm pada tahun 1963. Dia berkata, „...
perancang persidangan mengingatkan bahawa linguistik ini boleh dibahagi dengan
senang kepada bahagian-bahagiannya seperti ulas-ulas sebuah limau‟. Kalau dia
memilih buah lain sebagai bandingannya, mungkin akan terdapat persidangan yang lain
dengan perhubungan dan kesimpulan yang berlainan pula. Iktibar ini baik. Ada banyak
teori linguistik; dan kita hendaklah mengetahui teori yang hendak diambil untuk
pengajaran bahasa. Kalau kita perluaskan iktibar yang sama, guru bahasa hanya perlu
mendapatkan sesuatu faedah daripada teori itu, dan jangan terlalu bimbang tentang
apa teorinya. Misalnya, kita tidak perlu bimbang tentang apa jenis buah yang kita
makan. Kita hanya perlu mengambil yang baik sahaja daripada setiap buah itu.
Mungkin inilah sikap yang paling mudah boleh dipegang oleh seseorang guru bahasa
itu, dan tidak perlu berasa lemas kerana ada terlalu banyak teori linguistik itu.
Memang hal ini tidak semudah itu apabila kita berhadapan dengan linguistik. Ada
banyak teori linguistik tetapi bukan semuanya telah diterapkan sepenuhnya untuk
kegunaan guru. Misalnya, dalam bidang analisis dan deskripsi, linguistik amat tidak
memuaskan. Secara ringkas dapat saya katakan selain jenis deskripsi tradisional, tidak
banyak terdapat deskripsi dan penjelasan tentang mana-mana bahasa telah dijalankan
dengan lengkap untuk diambil dan digunakan oleh guru. Ini perlu dijelaskan lagi, tetapi
sebelum itu perlulah diberi sedikit definisi linguistik dan jenis-jenis teori yang wujud
sekarang.
Linguistik bolehlah didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang bahasa (J. Lyons 1968:
1). Istilah „saintifik‟ itu bermaksud bahawa dia menggunakan eksperimen terkawal yang
mengandungi faktor-faktor variabel yang telah ditentukan dengan secara objektif.
Perkaedahannya juga diterangkan supaya hasilnya dapat diberi verifikasi. Jadi, kajian
saintifik ini hendaklah empirikal, khusus, dan objektif (F. Dinneen 1967:4). Ini
bermaksud bahawa linguistik itu adalah satu bidang ilmu yang lengkap dengan teori
dan perkaedahannya, dan ketepatan hasilnya boleh diuji. Jadi, bidang linguistik tidaklah
merupakan sesuatu yang hanya dihasilkan menurut agakan, tekaan atau emosi
seseorang penulis sahaja.

Guru Memerlukan Pendeskripsian Bahasa
Ungkapan Dinneen (1967) dalam mendefinisikan bahasa, amatlah sesuai digunakan di
sini. Dia mengatakan bahawa deskripsi bahasa itu pada asasnya adalah bunyi-bunyi
yang boleh dideskripsikan secara linear dan sistematis. Ini berlaku semasa membentuk
gabungan bunyi-bunyi yang mungkin dan dalam membentuk gabungan unsur-unsur
yang bermakna dalam sesuatu bahasa itu. Guru bahasa memang telah lama
bergantung pada deskripsi bahan yang demikian untuk menjalankan tugasnya sebagai
guru di dalam bilik darjah. Tidak ada guru yang akan dapat mengajarkan bahasa tanpa
pengetahuan deskripsi linguistik bahasa itu. Walau bagaimanapun, deskripsi demikian
tidak boleh dikatakan sesuai dengan ilmu linguistik moden sahaja. Deskripsi bahasa itu
dalam bentuk tatabahasa tradisi boleh juga digunakan, sebagai yang telah lama
berlaku.
Dalam mendefinisikan teori-teori linguistik ini, kita tidak bermaksud untuk hanya
mengemukakan model-model deskripsi linguistik yang utarakan oleh beberapa mazhab
linguistik sahaja. Kita patut juga menerima deskripsi dan penjelasan yang diterbitkan
oleh ilmu linguistik secara umumnya. Kita akan melihat contoh yang dimaksudkan.
Contoh deskripsi yang paling popular ialah deskripsi struktur yang dijalankan dalam
tahun 50-an. Mazhab ini dianggap sebagai mazhab struktur deskriptif, dan dipelopori
oleh sarjana-sarjana seperti L. Bloomfield, C.F. Hockett, h.a. Gleason, Z. Harris, R.H.
Robinss, F.R. Palmer, dan lain-lain. Mazhab ini telah banyak mengeluarkan deskripsi
bahasa. Setakat ini sebenarnya mazhab inilah yang menghasilkan deskripsi bahasa
yang agak lengkap dengan erti kata bahawa deskripsi itu meliputi semua aspek bahasa.
ini termasuklah fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, dan leksikon. Bahan bahasa yang
sudah dianalisis ini bolehlah disifatkan sebagai menjadi bahan untuk mengajarkan
bahasa. bahan demikianlah yang dihasilkan oleh ramai sarjana linguistik. Seorang ahli
linguistik sahaja tidak mungkin berbuat demikian. Misalnya, untuk bahasa Malaysia
sudah terdapat kajian seperti The Malay Sound System oleh Yunus Maris (1980), The
Morphology of Malay oleh Abdullah Hassan (1974), The Malay Phonology and
Morphology oleh Farid Onn (1976), Bahasa Malaysia Syntax oleh Nik Safiah Karim
(1978), dan The Syntax of Interrogatives oleh Mashudi Kader (1981). Di samping buku
deskripsi tatabahasa bahasa Malaysia ini terdapat pula beberapa buah kamus seperti
Kamus Dewan (1970/1981), Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Hj. Omar (1980).
Mengajar Tatabahasa oleh Arbak Othman (1985), Penerbitan Kata dalam Bahasa
Malaysia oleh Abdullah Hassan (1986), dan Tatabahasa Dewan Jilid I: Ayat oleh Nik
Safiah Karim et al., (1986). Hanya bahan yang meliputi semua aspek bahasa, bunyi,
tatabahasa, dan makna seperti inilah yang dapat dianggap berguna dalam pengajaran
bahasa. dalam hal ini, hasil dua tiga orang ahli linguistik mungkin diperlukan untuk
mendapatkan deskripsi yang lebih lengkap tentang sesuatu bahasa itu.

Tatabahasa Jenis Lain
Di samping jenis deskripsi ini ada banyak teori dan model deskripsi bahasa, seperti,
Tagmemik (K.L. Pike 1954, 1958 dan W.A. Cooks 1969), Tatabahasa Tingkatan (S.M.
Lamb 1966), Tatabahasa Kasus (J. Anderson 1971), Glosematik (J. Uldall 1930),
Tatabahasa Skala dan Kategori (M.A.K. Halliday 1961), dan Tatabahasa Generatif (N.
Chomsky 1957, 1964, J.J. Katz & P.M. Postal 1964), dan lain-lain. Baru-baru ini ada
pula Tatabahasa Hubungan. Apa sahaja teori atau model deskripsi bahasa ini, ia
mestilah mampu mendeskripsikan seluruh bahasa itu sebelum hasilnya dapat dianggap
berguna untuk pengajaran bahasa. untuk berbuat demikian tatabahasa itu bukan hanya
sekadar mampu menunjukkan perbezaan-perbezaan antara struktur ayat ayang pada
permukaannya nampak serupa, tetapi juga menunjukkan persamaan struktur sintaksis
yang pada permukaannya kelihatan berbeza. Memang ada beberapa teori moden yang
nampaknya banyak mempunyai kebaikan atau gunanya dalam pengajaran bahasa.
Tetapi malangnya kebanyakan teori baharu ini hanya membuat deskripsi tentang
sebahagian atau aspek kecil sesuatu bahasa itu sahaja. Tidak ada yang menghasilkan
deskripsi yang lengkap tentang mana-mana bahasa. Tatabahasa transformasi generatif
yang amat popular itu pun tidak pernah mendeskripsikan mana-mana bahasa dengan
lengkap. Oleh yang demikian kita hanya berbincang tentang kemungkinan penggunaan
bahan-bahan demikian sahaja. Walaupun demikian kemungkinan terapannya agak
jelas juga daripada contoh-contoh terhad yang diberikan. memang benar antara mode
ini, tatabahasa transformasi generatif, dan tatabahasa mazhab Inggeris itu
menunjukkan kemungkinan kegunaan yang berlebih sedikit, tetapi masih belum
diusahakan sepenuhnya.
Mungkin agak sesuai tatabahasa transformasi generatif dijadikan dasar kepada latihan
mengajarkan struktur. Rumus penerbitan ayat-ayatnya adalah tersusun. Walau
bagaimanapun, mengajarkan sebutan dengan berpandukan ciri-ciri pembeza memang
tidak akan memudahkan guru atau pelajar. Halliday juga ada menyusun bahan
mengajarkan bahasa Inggeris berdasarkan teori mazhab Inggeris yang menunjukkan
kemampuan yang tinggi. Kemungkinan kegunaannya memang baik, seperti yang
disebut di atas tadi. Teori deskripsi yang baharu ini menunjukkan beberapa kebaikan
berbanding dengan deskripsi lama bahasa-bahasa, tetapi tidak ada antara model ini
yang pernah mendeskripsikan keseluruhan bahasa.
Dalam mencadangkan penggunaan linguistik dalam pengajaran bahasa, kita hendaklah
faham tentang arah penerapan tersebut. Wilkins (1972) dan Roulet (1975) telah
menunjukkan bahawa hubungan ini hendaklah berlaku dalam dua arah; linguistik
bolehlah mempengaruhi pengajaran bahasa, dan sebaliknya pengajaran bahasa
hendaklah juga mempengaruhi linguistik.

Deskripsi Tatabahasa Perlu Tuntas
Agak sukar juga bagi seorang ahli linguistik yang bukannya seorang guru menentukan
jenis model linguistik yang diperlukan oleh seseorang guru bahasa. Yang jelas ialah
guru itu terpaksa memilih deskripsi dan pernyataan tatabahasa yang paling lengkap.
Deskripsi yang hanya sebahagian tidaklah akan berguna sangat. Deskripsi ini tidaklah
pula selalunya boleh digunakan tanpa sebarang penyesuaian. Misalnya, pengajaran
bahasa bolehlah memakai hasil deskripsi linguistik seperti suatu rumusan tatabahasa.
Kita tidaklah perlu mementingkan sangat sama ada kita mengatakan bentuk pasif
dalam bahasa Malaysia itu ialah “Apabila objek penderita menjadi subjek penderita atau
FN1 + me + KK + FN2  FN2 + di + KK + oleh + FN1.” Yang pentingnya ialah Ali
memukul anjing menjadi Anjing dipukul oleh Ali. Dengan itu memang ada faedahnya
jikalau seseorang guru bahasa itu mempunyai pengetahuan linguistik walaupun sedikit
supaya dia dapat memilih apa yang baik antara model deskripsi bahasa tersebut, sama
ada tatabahasa tradisi, tatabahasa transformasi, tatabahasa tagmemik, tatabahasa
skala-dan-kategori, tatabahasa kasus, atau tatabahasa hubungan, dan sebagainya.

Hasil Penyelidikan Perlu Disesuaikan untuk Pengajaran
Walau bagaimanapun, memang betul, apa yang dihasilkan oleh ahli linguistik itu
mungkin tidak merupakan apa yang diperlukan oleh guru bahasa. begitu juga, apa yang
difikirkan dasar oleh seorang ahli linguistik, mungkin tidak menjadi dasar kepada guru
bahasa. yang jelas ialah, hasil deskripsi linguistik itu hendaklah disesuaikan. Dalam
penerapannya banyaklah isu yang boleh dibangkitkan, misalnya, teori pemerolehan
bahasa, sosiolinguistik, dan sebagainya (Roulet 1975). Hal-hal ini juga amat penting
dalam pengajaran bahasa.

Kesimpulan
Dalam bab ini kita telah meninjau sedikit tentang bagaimana teori dan deskripsi bahasa
dapat membantu pengajaran bahasa. tetapi, kalaulah seorang guru itu telah belajar
atau didedahkan kepada sistem bunyi, tatabahasa, dan struktur makna dalam bahasa
Malaysia, masih belum terjamin yang dia akan menjadi guru bahasa Malaysia yang
biak. Untuk menjadi seorang guru yang baik, diperlukan banyak sifat dan pengetahuan
yang lain, seperti bahan mengajar, motivasi pelajar, kaedah, persekitaran yang
mendorong, sikap yang sihat, alat bantu, dan sebagainya. Setiap satu hal ini sama
pentingnya. Pengetahuan linguistik bahasa Malaysia itu akan menjadi alat sahaja. Ini
akan membolehkan kita memahami bahan yang diajarkannya itu. Agak mustahil bagi
kita memahami bagaimana seorang guru itu akan dapat mengajarkan bahasa Malaysia
tanpa pengetahuan sistem dan bagaimana sistem itu berlaku.
Wilkins (1972) mengatakan kita jangan harus menerima sahaja hasil linguistik dan terus
mencari kegunaannya. Apa yang patut dilakukan ialah kita mengenali semua masalah
pengajaran bahasa dan kemudian baru melihat jawapannya dalam linguistik. Inilah
sumbangan besar linguistik kepada pengajaran bahasa, iaitu memberi maklumat
tentang bahasa itu.
Kalau seorang guru bahasa itu gagal mencapai tujuan sesebuah rancangan
mengajarkan bahasa itu, maka harus ada banyak sebabnya. Misalnya, kegagalan
mengajarkan bahasa Malaysia di sekolah itu boleh disebabkan oleh banyak hal.
Kekurangan pengetahuan linguistik memangnya menjadi satu sebab. Latihan guru
bahasa Malaysia juga menjadi sebab, iaitu guru yang tidak terlatih mengajar bahasa
Malaysia. Guru yang tidak mahir dalam bahasa Malaysia ditugaskan mengajarkan
bahasa Malaysia. Guru-guru seperti ini tidak akan berjaya. Ada banyak sebabnya dan
kita tidak harus menyalahkan mana-mana satu pihak sahaja.

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:133
posted:12/12/2011
language:Malay
pages:10