PENGKORPORATAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI
AWAM (IPTA)
Prof. Dato’ Dr. Hassan Said
Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia
Pendahuluan
Pendidikan tinggi di Malaysia mempunyai objektif penubuhan yang utama iaitu
untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkelayakan dan berkualiti untuk
membantu Negara mencapai wawasan. Tenaga kerja yang berkepakaran ini
dijadikan pemangkin ke arah persaingan global yang kompetitif. Ini seterusnya
membantu mewujudkan kesetaraan sosio- ekonomi untuk pelbagai kaum dan
bangsa di Malaysia. Di samping itu pendidikan tinggi juga merupakan pentas
bagi pembentukan pemimpin untuk masa depan. Ini kerana dalam pendidikan
tinggi, pelajar didedahkan kepada nilai- nilai kepimpinan melalui gerak kerja ko-
kurikulum, persatuan dan lain- lain. Pendidikan tinggi juga menyediakan
kemudahan pembelajaran tinggi yang merangkumi peringkat ijazah, master dan
doktor falsafah. Seterusnya pendidikan tinggi diharap dapat menyokong hasrat
pendidikan sepanjang hayat.
Status semasa IPTA
Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia pada masa kini terdiri
daripada 11 buah universiti dan kolej universiti. Mengikut definasi, kolej
universiti membawa maksud sebuah universiti yang kecil dan memfokus di
dalam sesuatu bidang. Contohnya KUKUM (Kolej Universiti Kejuteraan Utara
Malaysia) yang hanya memfokus di dalam bidang kejuruteraan. Statistik terkini
merangkumi jumlah pelajar dan kakitangan di IPTA ialah seperti berikut:
Perkara Jumlah
Pelajar diploma 90,000
Pelajar ijazah pertama 200,000
Pelajar ijazah tinggi 30,000
Pelajar luar negeri 5,200
Kakitangan akademik 16,000
Kakitangan bukan 22,000
akademik
Jadual 1: Statistik terkini berkaitan pelajar dan kakitangan di IPTA
Pembelanjaan mengurus yang diperuntukan merangkumi semua IPTA bagi
tahun 2003 ialah sebanyak RM 4 billion. Sementara bagi peruntukan
Pembangunan pula, anggaran yang diberi dalam Rancangan Malaysia ke- 8 ialah
sebanyak RM 7 billion. Bagi yuran pengajian ijazah pertama, julat bayaran yang
dikenakan adalah RM1,200 – RM1,800.
Panduan perundangan
Pendidikan tinggi di Malaysia yang terdiri daripada IPTA dan IPTS mempunyai
6 buah panduan perundangan seperti berikut:
Akta Pendidikan Baru (1996) – New Education Act
Akta Universiti dan Kolej Universiti (1996) – Universities and University
Colleges Act
Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta (1996) – Private Higher Education
Institution Act
Akta Akreditasi Kebangsaan (1996) – National Accreditation Act
Akta Tabung Pendidikan Tinggi Negara (1997) – National Higher
Education Fun Board Act
Pendirian kerajaan dalam membenarkan pihak- pihak swasta untuk
menubuhkan IPTS adalah kerana kerajaan merasakan adalah amat perlu untuk
meluaskan peluang untuk pendidikan kepada rakyat. Di samping itu aliran
keluar Ringgit Malaysia juga boleh dikurangkan kerana rakyat tidak perlu pergi
ke luar negera untuk melanjutkan pelajaran.
Pengkorporatan IPTA
Pengkorporatan IPTA telah bermula pada tahun 1998. Pengkorporatan ini hanya
menumpukan kepada sistem pentadbiran yang memfokus ke arah mewujudkan
sistem pengurusan yang cekap ( Pengkorporatan pengurusan wang tidak diberi
tumpuan ).
Pengkorporatan telah membantu IPTA dalam urusan lantikan dan kenaikan
pangkat. Kenaikan pangkat untuk peringkat professor madya dan professor
tidak lagi memerlukan tawaran jawatan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
kerana keduanya ini adalah KUP. Kuasa lantikan untuk professor madya dan
professor ke gred B terletak kepada lembaga pengarah universiti dan
pengurusan universiti. Sementara untuk lantikan professor dari gred B ke
professor gred A pula memerlukan kelulusan daripada menteri pendidikan.
Pengkorporatan juga menurunkan kuasa kepada IPTA dalam beberapa urusan
kewangan seperti tender. Buat masa ini IPTA masih belum lagi diberi
tanggungjawab sepenuhnya untuk mengendalikan soal kewangan.
Pengkorporatan juga memperlihatkan kepada penubuhan syarikat untuk
penjanaan kewangan (contohnya UKM holdings dan UPM holdings). Aktiviti
syarikat- syarikat ini perlulah selari dengan teras penubuhan (core business)
universiti iaitu bidang pendidikan. Sekiranya aktiviti syarikat- syarikat ini tidak
berkaitan dengan teras penubuhan universiti, maka kementerian pendidikan
tidak akan memberi kebenaran.
Walaupun pengkorporatan sudah dimulakan sejak 5 tahun dahulu, namun
konsep “let the managers manage and accountability” masih belum mampu
diterapkan sepenuhnya.
Pengalaman
Pengkorporatan IPTA telah memberi tanggapan kepada kakitangan bahawa
mereka akan mendapat ganjaran yang lebih. Malangnya tuntutan ini masih
belum dapat diberikan kerana permohonan berkaitan kenaikan gaji selepas
pengkorporatan belum lagi diputuskan oleh kementerian.
Kekangan- kekangan tertentu ke atas IPTA masih wujud walaupun
pengkorporatan sudah dimulakan. Ini bermaksud bahawa tidak semua tindakan
boleh diputuskan sendiri oleh universiti. Masih ada perkara- perkara atau isu
yang perlu dirujuk kepada kementerian sebelum diputuskan tindakan.
Peranan Lembaga Pengarah Universiti kini mula berubah. Lembaga Pengarah
yang terdiri daripada 8 orang yang dipengerusikan oleh seorang yang
mempunyai pengalaman luas di dalam bidang pendidikan dan sektor swasta.
Tujuan pengerusi yang berkelayakan sedemikian adalah untuk mengimbangai
peranan universiti sebagai badan pendidikan dan pada masa yang sama
bertindak sebagai badan korporat.
Kaedah pentadbiran korporat (Corporate Governance) masih belum mampu
dilaksanakan sepenuhnya. Keadaan ini disebabkan oleh pentadbir- pentadbir
universiti yang rata- rata terdiri daripada kalangan akademik. Mereka
mempunyai ilmu pengetahun dan kemahiran tertentu tetapi penghayatan
berkenaan kaedah pentadbiran korporat masih belum mencukupi.
Pelbagai kaedah untuk menambahkan perolehan pendapatan dilakukan oleh
universiti. Contohnya seperti Pengajian Jarak Jauh (PJJ). Boleh dikatakan semua
universiti awam di Malaysia mempunyai program PJJ malam program ini juga
ada dilaksanakan di universiti dan kolej swasta.
Kekangan
Sistem saraan dan perjawatan masih di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA). Pihak universiti tidak boleh membuka jawatan baru tanpa tawaran
yang dikemukakan oleh JPA.
Kuasa Kementerian Kewangan masih kekal yang meliputi peraturan, kelulusan,
perolehan dan tender. Oleh itu pihak universiti tidak boleh bertindak sendirian
dalam urusan tersebut.
Pengambilan pelajar dan yuran pengajian ijazah pertama masih di bawah
kawalan Kementerian Pendidikan. Kementerian berpendapatan bahawa
pengambilan pelajar perlu diuruskan oleh kementerian sendiri kerana untuk
mengawal-selia kaedah meritokrasi yang diamalkan sekarang. Yuran pengajian
bagi ijazah pertama pula perlu diseragamkan supaya tidak wujud perbezaan
yang ketara antara IPTA dan ini perlu dilakukan oleh pihak kementerian.
Kuasa pelantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor adalah masih
dibawah kementerian pendidikan dan tertakluk kepada AUKU. Oleh itu pihak
universiti tidak boleh melantik sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk
jawatan tersebut.
IMPAK
Pengkorporatan menampakkan kesan yang ketara terhadap pemantapan sistem
pengurusan di universiti. Perubahan ini disebabkan tanggungjawab diberikan
kepada universiti untuk menguruskan hal- hal penting seperti LPU,
keperintahan (governan) dan lain- lain.
Budaya akauntabiliti dan audit memberi kesan positif. Kewujudan audit
dalaman di setiap IPTA selain audit dari luar menjadikan audit lebih teliti dan
bertanggungjawab kerana tindakan dalam pembelanjaan sentiasa dipantau.
Keberkesanan kos juga memberi petanda positif kerana setiap perbelanjaan yang
diperuntukkan untuk sesuatu projek atau aktiviti digunakan secara betul.
Walaupun kadang-kala peruntukkan yang diberi adalah kurang daripada kos
sebenar, sesuatu projek atau aktiviti tersebut masih boleh dilaksanakan dengan
berkesan. Secara tidak langsung membantu ke arah penjimatan kos.
Penyerapan konsep korporat mula menampakkan hasil walaupun tidak
menyeluruh. Pentadbir universiti memulakan langkah ke arah pengkorporatan,
contohnya perlaksanaan program PJJ dan penubuhan syarikat- syarikat di IPTA
yang bertujuan untuk menjana kewangan.
IPTA juga mula menunjukkan kesungguhan dalam bersaing sesama mereka.
Aspek persaingan yang ketara boleh dilihat dari segi penyelidikan dan kualiti
graduan yang dihasilkan. Mereka tidak mahu ketinggalan berbanding IPTA lain
kerana pencapaian mereka akan memberi kesan yang negatif terhadap mereka
sendiri.
Dalam persaingan ke arah kecemerlangan ini, aspek kualiti juga tidak dilupakan.
IPTA mula mengejar pengiktirafan berkaitan kualiti seperti ISO dalam beberapa
bidang. Pengiktirafan ini penting sebagai daya tarikan kepada umum dan
sebagai kayu pengukur terhadap sejauh manakah kejayaan yang dicapai.
Kelemahan
Kekangan-kekangan yang wujud telah memberi kesan yang melemahkan
perkorporatan IPTA. Antara kelemahan tersebut ialah berkaitan kuasa otonomi
di mana IPTA tidak diberikan kuasa mutlak untuk memutuskan sesuatu
tindakan dalam apa jua perkara. IPTA masih perlu merujuk kepada kementerian
dalam beberapa bidang.
Wujud pertembungan pemikiran di kalangan tenaga akademik iaitu pemikiran
sebagai ahli akademik dan pemikiran sebagai ahli korporat. Contohnya
seseorang ahli akademik yang menghasilkan buku mempunyai masalah dalam
memasarkan karyanya lantaran pengalaman yang terhad dalam bidang
pemasaran. Kekurangan ini menyebabkan karyanya tidak mampu untuk
dikomersilkan dan seterusnya mengurangkan keuntungan.
Ganjaran kewangan di IPTA gagal untuk menarik minat ahli akademik bertaraf
antarabangsa. Sekiranya ahli akademik dari luar Negara diambil untuk
berkhidmat di IPTA, bayaran gaji kepadanya masih mengikut skim kerajaan.
Keadaan ini berbeza dengan Singapura yang sanggup membayar gaji ahli
akademik dari luar dengan berlipat kali ganda.
Tenaga akademik di IPTA kurang berupaya untuk mengambil kesempatan
dalam mengkomersilkan sumber intelek. Tenaga akademik ini mempunyai
pengetahuan, sumber, infrastrutur dan kemahiran tetapi tidak cekap untuk
mengkomersilkannya lantaran pengetahuan dan pengalaman dalam dunia
korporat yang kurang.
Pengurusan kewangan di IPTA sering mendapat teguran daripada Kementerian
Kewangan dan Audit Negara kerana masih terdapat kelemahan walaupun IPTA
sudah mula dikorporatkan.
Persepsi terhadap IPTA
Di dalam memasuki dunia korporat, IPTA seharusnya tidak melupakan
persepsi- persepsi dari luar. Persepsi ini perlu dipertimbangkan oleh IPTA
supaya perubahan yang dilakukan dalam pengkorporatan tidak akan tersasar
daripada persepsi- persepsi ini. Antara persepsi tersebut ialah:
Masyarakat memandang tinggi terhadap orang yang berilmu. Ahli akademik
dianggap sebagai mahaguru yang boleh memberi hujah, fatwa dan pandangan
dalam membimbing masyarakat. Di samping itu graduan yang dikeluarkan
perlulah berkualiti kerana kualiti graduan mencerminkan kualiti IPTA. Di
samping itu IPTA dianggap sebagai agen kepada perubahan sosio-ekonomi
masyarakat.
Pihak industri menganggap IPTA dapat membantu mereka untuk meningkatkan
ekonomi melalui kerjasama R&D dengan menghasilkan produk- produk yang
kompetitif, mengadakan latihan dan perkongsian. Jadi keperluan untuk industri
luar tidak harus diketepikan.
Kementerian Pendidikan membuat penilaian yang teliti terhadap sesebuah IPTA
kerana peruntukkan yang tinggi diberikan dan kementerian berharap hasilnya
adalah setimpal. Antara penilaian yang dibuat ialah: Adakah perbelanjaan yang
diperuntukkan oleh kementerian setimpal dengan kualit graduan yang
dihasilkan? Adakah tenaga akademik di IPTA mencapai tahap produktiviti yang
diharapkan? Bagaimanakah IPTA bersedia menghadapi isu- isu yang mencabar?
Sejauh manakah keberkesanan perancangan dan pengurusan IPTA ke arah
kecemerlangan?
Kerajaan pula mengharapkan agar pelaksanaan dasar- dasar universiti selaras
dengan hasrat kerajaan. Pembangunan sumber manusia mestilah relevan supaya
dapat menanggani masalah pengangguran. Masalah ketidaksesuaian kursus
dengan kerja juga perlu untuk diatasi.
Tindakan
IPTA perlu meningkatkan sistem pengurusan dalaman yang meliputi semua
peringkat pengurusan dengan menyediakan latihan yang cukup melibatkan
tenaga akademik dan kakitangan sokongan. Keupayaan mengurus kewangan
juga perlu ditingkatkan supaya tidak berlaku pembaziran dan pembelanjaan
dapat digunakan secara optimum. Mutu pensyarah dan produktiviti mereka
perlu dipantau supaya dapat mengimbangi kos yang telah digunakan. Budaya
kualiti atau persaingan global harus dititikberat dengan mewujudkan pusat
kualiti di setiap IPTA bagi menyediakan kriteria piawai bagi memudahkan
persaingan di peringkat global.
Pembangunan imej dan pembetulan persepsi terhadap IPTA harus dilakukan.
Antara persepsi liar mengenai IPTA ialah IPTA anti-kerajaan, tidak mampu
menghasilkan graduan bermutu, pensyarah- pensyarah IPTA tidak produktif
dan sebagainya. IPTA harus menangkis segala persepsi liar ini dengan membuat
perubahan kerana persepsi ini sedikit- sebanyak akan mengganggu proses
pengkorporatan.
Pihak Kementerian Pendidikan perlu menyediakan garis panduan dan piawaian
supaya pengkorporatan IPTA sejajar dengan kehendak kementerian dan
kerajaan. Sekiranya tiada garis panduan, dikhuatiri pengkorporatan IPTA tidak
dapat diselaraskan dan mengundang banyak masalah.
Latihan pengurusan korporat dan kewangan kepada semua lapisan pentadbir
perlu ditingkatkan. Latihan ini melibatkan IPTA itu sendiri, IPTA sesama IPTA,
IPTA dengan kementerian, kerajaan dan sektor swasta.
Interaksi dengan pihak luar perlu selalu diadakan seprti dialog dengan sektor
swasta untuk menonjolkan kualiti yang terdapat pada IPTA. Pada masa yang
sama IPTA mampu memahami keperluan semasa pihak luar dan maklumat
tersebut boleh dijadikan input dalam merangka sukatan kursus- kursus di IPTA.
Benchmarking / Best practices dalam cara- cara mengurus universiti perlu melihat
kepada contoh- contoh yang diamalkan di dalam dan luar Negara. Tindakan ini
membantu IPTA dalam menyediakan panduan mengurus universiti yang
bervariasi.
IPTA perlu lebih fleksibel dalam menyediakan peraturan- peraturan di
universiti. IPTA tidak perlu hanya menunggu arahan daripada Jabatan
Pendidikan Tinggi (JPT). Sekiranya IPTA mempunyai cadangan dalam apa jua
aspek peraturan, maka cadangan tersebut perlulah dimajukan kepada JPT untuk
penelitian.
Strategi (2003 - 2010)
Pada tahun 2010 dianggarkan warganegara berusia 17 – 23 tahun adalah seramai
4 juta orang. Dari jumlah tersebut dianggarkan 40% akan menerima peluang
pendidikan yang bersamaan dengan 1.6 juta orang. 350,000 daripadanya adalah
pelajar ijazah pertama dengan 60% adalah dalam bidang sains dan teknologi dan
40% adalah sastera. 25% berpeluang mengikuti pendidikan ijazah tinggi. 75%
daripada pensyarah mempunyai kelayakkan doktor falsafah atau setaraf. 30%
kos pengurusan universiti diperolehi sendiri oleh IPTA.
Dianggarkan juga untuk setiap IPTA terdapat satu pusat kecemerlangan bertaraf
antarabangsa. Pusat kecermelangan ini menjurus terhadap sesuatu bidang
tertentu.
Kementerian berhasrat untuk mewujudkan beberapa universiti penyelidikan di
Malaysia. Ciri- ciri universiti penyelidikan ialah universiti yang menumpukan
perhatian dalam bidang penyelidikan. Universiti ini perlu mempunyai bilangan
pelajar siswazah sekurang- kurangnya seramai 40% daripada jumlah pelajar. Di
samping itu, universiti perlu mendapatkan geran- geran penyelidikan dari luar,
bukan hanya bergantung kepada geran- geran IRPA. Bilangan tenaga akademik
universiti yang mempunyai kelayakkan doktor falsafah juga harus ditingkatkan.
Penutup
Peranan IPTA perlu diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran era baru samada
dari dalam Negara mahupun luar Negara. Tindakan ini perlu diambil supaya
IPTA mampu bersaing dengan mana- mana universiti dan berjaya memenuhi
keperluan industri.
Cabaran teknologi yang sentiasa berkembang perlu diambilkira dalam
merancang Pembangunan universiti. IPTA perlu sentiasa terkini dan
Pembangunan IPTA haruslah selari dengan perkembangan teknologi supaya
tidak ketinggalan.
Pemantapan keupayaan dalam pengurusan, pengajaran, penyelidikan dan
perancangan harus ditingkatkan supaya IPTA mampu menjadi model
pengkorporatan yang berjaya.
IPTA perlu sensitif terhadap keperluan luar seperti masyarakat dan industri
supaya kemajuan IPTA selari dengan keperluan luar. Pada masa yang sama
IPTA akan berjaya meningkatkan keyakinan dan membetulkan persepsi luar.
Semangat persaingan global; IPTA tidak lagi perlu mengutamakan persaingan
sesama sendiri. Persaingan harus dialihkan kepada universiti- universiti luar dan
terkenal seperti Universiti Oxford dan Universiti Harvard.
Dalam apa jua perubahan yang dilakukan, aspek kualiti perlu dititikberatkan.
IPTA perlu berubah bersama- sama kualiti.