Sumber Bahan Pengajaran by KatiriHaimin

VIEWS: 1,021 PAGES: 32

									   Sumber Bahan Pengajaran Dan Pembelajaran

PENDAHULUAN

      Menyedari akan hakikat bahawa Islam itu merangkumi keseluruhan cara
hidup dan amalan setiap detik bagi seorang muslim, maka Pendidikan Islam
menekankan aspek ilmu, amalan dan penghayatan. Murid diberi pengetahuan
dan kefahaman yang mendalam serta mencukupi tentang pelbagai persoalan
dan isu kehidupan yang luas bagi mencorak dan mempengaruhi budaya serta
cara hidup masyarakat dan umat Islam. Pengajaran dan pembelajaran
Pendidikan Islam KBSM ini, hendaklah diajar dengan tulisan Jawi. Bidang-bidang
pembelajaran hendaklah diolah dan disampaikan dengan berkesan melalui cara
yang lebih menarik dan sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek ilmu dan
amalan yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan secara meluas, mampu
mengubah dan membangunkan diri sendiri serta masyarakat yang mempunyai
daya fikir yang cemerlang, berakhlak mulia, bersefahaman, bersyukur dan
bersatu padu. Pengolahan yang demikian rupa hendaknya mampu menghasilkan
tamadun ummah yang tinggi serta dapat memberi sumbangan terhadap
pembangunan dan kesejahteraan negara. Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain
seperti Sains, Geografi, Sejarah dan Matematik juga perlulah direntas supaya
wujud kesepaduan daripada pelbagai ilmu yang diperolehi di sekolah menengah.
Melalui pendekatan ini, cita-cita untuk melahirkan insan harmonis, seimbang dan
bertaqwa akan tercapai.

      Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan muslim yang
berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh, beradab dan berakhlak mulia
berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai hamba dan khalifah Allah yang
bertaqwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara.




                                                                           1
        Islam tidak pernah meminggirkan teknologi dan perkembangan terkini
untuk menghasilkan kaedah pendidikan yang terbaik. Walau bagaimanapun,
kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang diamalkan oleh Rasulullah
s.a.w. perlu dijadikan asas dan rujukan. Ini kerana Baginda s.a.w. merupakan
model terbaik yang mengajak umat Islam mengamalkan ajaran Islam dan akhlak
Islamiyyah.

        Tidak dinafikan kejayaan P&P Pendidikan Islam berkait rapat dengan
kemahiran dan peranan guru yang berkesan. Kemahiran asas P&P yang perlu
dikuasai meliputi penyediaan Bahan Bantu Mengajar (BBM), mengendalikan set
induksi, penerapan Kemahiran Berfikir Secara Kreatif dan Kritis (KBKK),
kemahiran menyoal dan pengendalian kelas untuk pengayaan dan pemulihan.

        Kepentingan   Pendidikan    Islam   merangkumi       aspek    pembacaan,
pemahaman, dan hafazan ayat al–Quran, akidah, ibadat, akhlak Islamiyyah,
sirah, tokoh dan tamadun Islam. Penguasaan dan penghayatan keseluruhan
aspek ini mampu membentuk pelajar menjadi insan soleh.




(a)

DEFINISI

        Sumber bahan pengajaran dan pembelajaran ialah apa-apa sahaja alat
atau bahan yang berperanan dan bertugas untuk membantu guru-guru supaya
dapat    menyampaikan   isi   pelajaran   supaya   pelajar    dapat   memperolehi
pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai berdasarkan objektif kurikulum. Alat-
alat atau bahan-bahan ini dapat membantu guru dengan menyokong
penyampaian pelajaran. Terdapat beberapa jenis sumber atau alat yang boleh
membantu dalam pengajaran guru. Jenis-jenis alat             tersebut ialah bahan
bercetak, bahan teknologi maklumat dan bahan maujud.

                                                                              2
      Semua sumber P&P yang digunakan ini mempunyai beberapa tujuan
selain daripada menyampaikan isi pelajaran sahaja. Antara tujuan tersebut ialah
untuk merangsang deria rangsangan murid-murid, kefahaman dan interpretasi
maklumat kepada murid-murid, pengekalan minat dan tumpuan melalui pelbagai
media, peningkatan daya ingatan, kemahiran berfikir, peningkatan motivasi,
peningkatan      kreativiti,   keseronokan   dalam   pembelajaran,     kemahiran
interpersonal dan intrapersonal dan akhir sekali kemahiran psikomotor.

      Guru-guru perlu tahu menggunakan sumber ini mengikut kesesuian
murid-murid dari segi tajuk, objektif, dan isi pelajaran. Selain itu aspek tahap
kebolehan dan perkembangan kognitif pelajar juga harus diambil perhatian oleh
guru. Sumber pengajaran yang digunakan juga harus menepati keperluan murid
iaitu dari segi mutunya iaitu sesuai dengan mesej, tahan lasak serta tidak mudah
rosak. Penghasilan sumber ini harus dapat menarik minat dan perhatian pelajar.
Ini adalah bertujuan supaya dapat merangsang dan memotivasikan pelajar untuk
memberi lebih perhatian kepada proses pengajaran tersebut sekaligus
menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih efektif serta berkesan.

      Sumber-Sumber Pendidikan Islam merupakan asas dan prinsip utama di
dalam menentukan dasar dan hala tuju Pendidikan Islam. Sumber utama
Pendidikan Islam adalah satu sahaja iaitu wahyu Ilahi. Sementara wahyu Ilahi
pula terbahagi kepada dua iaitu Al-Quranul Karim dan Hadis Sahih. Sementara
itu di sana ada satu lagi sumber Pendidikan Islam yang menjadi rujukan umat
Islam iaitu Ijmak Ulamak dan Qias yang berlandaskan wahyu Ilahi iaitu Al-Quran
dan al-Sunnah.




PEMILIHAN DAN PENILAIAN SUMBER




                                                                             3
      Pemilihan sumber dalam proses pengajaran dan pembelajaran merujuk
kepada penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai. Penggunaan bahan
bantu mengajar memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk
konsep yang tepat daripada isi pelajaran yang sedang disampaikan dengan
menggunakan prinsip pengajaran daripada konkrit kepada abstrak. Perlu
diingatkan bahawa sumber pelajaran tidak terhad kepada buku teks, kapur dan
papan tulis sahaja. Sumber pelajar juga boleh termasuklah carta, gambarajah,
bahan-bahan konkrit, TV, model, spesimen dan sebagainya. Dengan pemilihan
sumber yang sesuai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih
seronok dan berkesan.




JENIS-JENIS SUMBER

      Terdapat beberapa jenis sumber atau alat bantu pengajaran dan
pembelajaran yang boleh digunakan untuk membantu guru dalam proses
pembelajaran.   Dalam    tugasan   ini   jenis-jenis   sumber   pengajaran   dan
pembelajaran yang terlibat ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan
bahan maujud. Semua jenis-jenis bahan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza
tetapi akan mencapai hasil yang sama iaitu untuk memastikan murid-murid
memahami isi-isi pelajaran serta mencapai objektif pembelajaran.

      Melalui sumber-sumber yang         sedia ada mahupun yang direkacipta
mengikut kreativiti sendiri, guru perlu peka dalam memilih sumber P&P yang
hendak digunakan dalam proses pembelajaran. Terdapat banyak sumber-
sumber yang boleh digunakan oleh guru-guru yang mengajar. Antara bahan-
bahan yang boleh digunakan ialah buku teks, buku rujukan, buku latihan dan
lampiran nota. Kebanyakan sumber ini biasa digunakan oleh guru-guru di
sekolah. Untuk memberi kelainan atau penambahan yang lebih menarik kepada



                                                                             4
proses P&P, guru boleh menggunakan alat audio visual contohnya LCD, peta,
komputer, gambar rajah dan televisyen.




                           JENIS-JENIS SUMBER




       Menerusi penggunaan bahan-bahan ini, murid-murid akan lebih tertarik
untuk melihat serta mendengar apa yang hendak disampaikan oleh guru dan
secara tidak langsung murid dapat memberikan tumpuan dengan sepenuhnya
kepada guru. Dengan cara ini juga, objektif yang hendak dicapai akan menjadi
lebih mudah untuk dilaksanakan dan hasilnya akan lebih memuaskan serta
memberi manfaat kepada kedua belah pihak iaitu murid-murid dan guru itu
sendiri.




SUMBER BAHAN BERCETAK




                                                                        5
      Bahan bercetak boleh didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai
tulisan dan wujud secara fizikal. Bahan ini boleh disentuh dan boleh dibaca
secara terus. Ciri penting pada bahan bercetak ialah ianya mestilah dihasilkan
melalui cetakan dan bukan hasil daripada tulisan tangan mana-mana individu.
Bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensiklopedia, surat khabar, kad
katalog, kamus, buku teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak.
Bahan bercetak seperti ini banyak disimpan di pusat sumber atau di
perpustakaan ataupun di arkib. Semuanya dihasilkan oleh penulis-penulis atau
pereka-pereka yang mahir dan terkenal di bidang masing-masing.

      Sumber pengajaran dan pembelajaran ini telah digunakan secara meluas
oleh guru-guru di sekolah sejak beberapa lama kerana kelebihan yang terdapat
pada bahan ini. Bahan ini murah dan senang didapati di mana-mana. Selain itu
ia adalah bahan yang kekal dan mudah dirujuk pada bila-bila masa.
Kelebihannya yang lain ialah ia mudah alih dan mudah diakses yang
menyebabkan ia menjadi sumber pengajaran dan pembelajaran yang terkenal
dan selalu digunakan.

      Namun begitu terdapat beberapa kelemahan yang ada pada bahan
bercetak ini. Kebiasaaannya bahan bercetak selalu didapati dalam bentuk buku
yang tebal contohnya buku teks. Jadi ia sukar untuk dibawa kerana berat. Ia juga
tidak boleh disunting dan akan menjadi masalah apabila berlakunya peredaran
zaman di mana isi kandungan buku tersebut menjadi ketinggalan dan tidak
terkini. Ini kerana buku-buku selalunya perlu disunting terlebih dahulu kemudian
dicetak seterusnya diedar di mana ia mengambil masa yang agak lama untuk
mengikut peredaran zaman.




SUMBER BAHAN TEKNOLOGI MAKLUMAT



                                                                            6
      Bahan     teknologi   maklumat   merupakan   sumber       pengajaran    dan
pembelajaran yang semestinya mendapat perhatian daripada murid-murid.
Teknologi Maklumat (Information Technology) ataupun IT adalah teknologi dunia
yang terkini dan dapat memberi banyak manfaat jika digunakan secara betul.
Penggunaan sumber ini perlulah dikendalikan oleh guru yang berkemahiran
kerana pengguanaan IT secara terancang dan bersesuaian dapat meningkatkan
kecekapan proses dan keberkesanan P&P itu.

      Bagi    guru   yang   menggunakan   sumber P&P     ini,     mereka     boleh
menggunakan portal pendidikan, internet dan intranet, rangkaian LAN dan akhir
sekali ialah multimedia. Komputer adalah alat atau bahan utama yang perlu
digunakan oleh guru untuk menyampaikan isi pelajaran dalam proses P&P. Pada
masa kini guru-guru sudah mempunyai kemudahan kerana terdapat perisian-
perisian yang percuma disediakan oleh kerajaan di mana isi perisian tersebut
bertepatan dengan sukatan pelajaran yang sedia ada. Banyak kelebihan bahan
ini di mana jika ia digunakan secara betul jadi guru perlu selalu memantau
pergerakan murid-murid semasa proses P&P sedang berlangsung.

      Kelebihan bahan ini ialah murid-murid cepat mudah faham kerana mereka
akan tertarik dengan grafik yang ada pada bahan ini di mana secara tidak
langsung telah menarik perhatian mereka. Selain itu murid-murid mudah untuk
mengulangkaji apa yang telah dipelajari dan guru juga mudah untuk membuat
suntingan sekiranya guru mendapati terdapat perubahan yang perlu dibuat.
Secara keseluruhannya penggunaan bahan teknologi maklumat ini adalah
banyak kelebihannya berbanding kelemahan yang ada dan dengan bimbingan
daripada guru. Walaubagaimanapun tidak dinafikan kelemahan yang mungkin
timbul tetapi ia akan dapat diatasi dengan mudah sekiranya pengisian yang
menarik daripada guru dihasilkan.




                                                                              7
SUMBER BAHAN MAUJUD

      Sumber pengajaran dan pembelajaran bahan maujud adalah merupakan
bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Bahan
maujud ini juga adalah nyata yang ada di lingkungan alam, baik digunakan
dalam keadaan hidup ataupun yang sudah diawetkan. Contoh bahan maujud
bukan sahaja tergolong dalam sumber P&P sahaja malah kota atau bangunan
yang kekal serta alam persekitaran juga boleh dikatakan sebagai bahan maujud.
Manakala dari segi sumber P&P pula bahan-bahan yang mungkin terlibat ialah
alat komputer, OHP, alat tulis dan perkakas sains.

      Bahan maujud terbahagi pula kepada 3 jenis iaitu realia asli, realia awet
dan spesimen. Realia asli terbahagi kepada dua iaitu bahan yang hidup dan
bahan bukan hidup. Bahan yang pertama ialah bahan hidup yang sebenar dalam
dunia realiti dan masih hidup contohnya cacing tanah. Manakala bahan bukan
hidup pula ialah seperti jentera ataupun bangunan. Realia awet pula mestilah
berasal daripada benda hidup yang kemudiannya diawet dan disimpan di dalam
bendalir kimia. Jenis bahan maujud yang ketiga ialah spesimen.

      Spesimen ialah sample atau contoh hidupan yang dapat mewakili
kumpulan hidup-hidupan tertentu yang mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang
lazimnya terdapat pada kumpulan hidup tersebut. Kebiasaanya spesimen selalu
didapati dalam bentuk bahan awetan. Contoh bahan hidup yang boleh dijadikan
spesimen   ialah   daun-daun.   Aplikasi penggunaan    bahan maujud      boleh
menggunakan situasi, gambaran atau kenyataan sebenar. Murid akan
didedahkan dengan pengalaman sebenar di mana melibatkan pengalaman sedia
ada mereka dan juga merangsang penggunaan deria penglihatan, pendengaran,
rasa, sentuhan dan bauan murid-murid.




                                                                           8
KRITERIA DALAM PEMILIHAN DAN PENILAIAN SUMBER PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN

      Dalam    melaksanakan    pengajaran,     guru      sentiasa    dikehendaki
mengintegrasikan kemahiran-kemahiran generik seperti kemahiran belajar,
kemahiran berfikir kreatif dan kritis, kemahiran teknologi maklumat dan
kemahiran mentaksir dan menilai,      supaya dikuasai oleh pelajar. Bagi
mengendalikan pembelajaran berpusatkan pelajar dan berdaya fikir guru perlu
menggunakan teknik-teknik pengurusan pembelajaran yang sesuai. Lain-lain
prinsip pengajaran dan pembelajaran KBSR dan KBSM perlu diambil kira bagi
memastikan pencapaian matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

      Kemahiran belajar merupakan salah satu kemahiran utama dalam
pengajaran dan pembelajaran bestari. Ianya bermula dari menentukan bahan
yang optimum hingga ke pemerolehan maklumat dan seterusnya memproses
maklumat.

      Dengan   ujudnya   ledakan   maklumat,   pelajar    harus     mahir   dalam
pemerolehan maklumat secara efektif dan efisen. Seterusnya bahan yang
diperolehi perlu diproses supaya lebih mudah difahami. Ini dilakukan dengan
menggunakan kaedah-kaedah tertentu.

PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN




                                                                              9
RANGSANGAN

      Dalam tubuh manusia terdapat beberapa jenis deria yang bertindak untuk
mengesan rangsangan daripada persekitaran. Antara deria rangsangan yang
terlibat ialah deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, bauan dan rasa. Kelima-
lima deria rasa ini perlulah dipupuk penggunaannya kepada murid-murid melalui
aktiviti atau proses pembelajaran dalam Pendidikan Islam. Sumber pengajaran
dan pembelajaran yang digunakan bertujuan untuk melatih murid-murid supaya
dapat menggunakan kelima-lima deria yang sedia ada ini. Dalam menggunakan
sumber atau bahan bantu pengajaran, semua deria ini dapat dilatih contohnya
bagi deria penglihatan dan pendengaran, sumber pengajaran dan pembelajaran
yang boleh digunakan dari aspek Pendidikan Islam ialah dengan menggunakan
tayangan video. Berdasarkan huraian sukatan pelajaran Pendidikan Islam, guru
boleh menunjukkan tayangan video tentang Rukun Islam, seperti aktiviti ibadat
Haji di Mekah untuk merangsang deria penglihatan dan pendengaran murid-
murid. Murid-murid dengan secara tidak langsung akan tertarik dan berminat


                                                                            10
untuk melihat dan mendengar apa yang ditayangkan dalam video yang
disediakan.




KEFAHAMAN DAN INTERPRETASI MAKLUMAT

      Tujuan kedua penggunaan sumber P&P pula ialah untuk meningkatkan
kefahaman murid-murid dalam sesuatu pembelajaran. Tidak dinafikan walaupun
tanpa penggunaan sumber P&P dalam sesuatu proses pembelajaran, murid-
murid masih boleh memahami mesej yang ingin disampaikan oleh guru. Tetapi
dengan penggunaan sumber P&P yang sesuai, kefahaman murid-murid akan
dapat ditingkatkan dengan lebih cepat berbanding tanpa menggunakan sebarang
sumber P&P. Ini kerana, murid-murid atau kanak-kanak khususnya lebih
cenderung dan mudah terangsang apabila melihat dan mendengar sesuatu yang
berkaitan dengan alam persekitaran mereka.

      Menurut teori kognitif yang disokong oleh Atkinson, McClelland dan
Bruner, kejayaan dan kegagalan seseorang individu adalah bergantung kepada
kefahaman terhadap sesuatu institusi dan keperibadiannya. Ini bermakna
penggunaan sumber P&P juga adalah penting di mana kefahaman seseorang itu
bergantung kepada sesuatu intstitusi tersebut. Dalam hal ini, sumber P&P akan
bertindak sebagai institusi yang bertanggungjawab untuk mencapai kefahaman
murid-murid.

      Di samping kefahaman yang diterima oleh murid-murid, mereka boleh
melakukan interpretasi maklumat di mana mereka akan bertukar-tukar maklumat
yang diperolehi sesama mereka. Dengan kata lain setelah murid-murid
memahami sesuatu pelajaran, mereka boleh mengadakan perbincangan untuk
menjawab sebarang persoalan yang mungkin timbul dalam diri masing-masing.
Jadi dengan cara ini juga dapat meningkatkan lagi kefahaman mereka di dalam


                                                                         11
sesuatu subjek itu. Di samping itu murid-murid akan dapat mengukuhkan lagi
kefahaman di mana mungkin terdapat maklumat yang tidak sampai kepada
mereka semasa proses pembelajaran berlangsung, mereka akan mendapat
penambahan maklumat tersebut daripada rakan-rakan diskusi mereka.




PENGEKALAN MINAT DAN TUMPUAN MELALUI PELBAGAI MEDIA

      Menurut Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner, setiap individu
mempunyai 8 jenis kecerdasan dan kesemua jenis kecerdasan itu boleh
digunakan untuk murid-murid belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis
sumber P&P yang ada. Tujuan seterusnya penggunaan sumber P&P ialah untuk
mengekalkan minat murid-murid terhadap sesuatu subjek dan juga untuk
menarik tumpuan mereka melalui pelbagai jenis sumber P&P.

      Minat murid-murid terhadap sesuatu subjek itu terutamanya bagi subjek
Pendidikan   Islam   boleh   dipupuk sekiranya    guru   mengaplikasikan   cara
pengunaan sumber P&P dengan betul. Guru perlu tahu kunci untuk menarik
minat semua murid-murid. Dengan cara mempelbagaikan penggunaan sumber
P&P juga dapat membantu dalam hal ini. Tumpuan murid-murid dalam proses
P&P juga adalah penting dan untuk mencapai objektif ini guru perlu memainkan
peranan dengan mengadakan komunikasi dua hala bagi menjadikan murid lebih
aktif dari segi penglibatan semasa dalam kelas.




PENINGKATAN DAYA INGATAN

      Melalui pengetahuan sedia ada pada murid-murid, penggunaan sumber
P&P dapat meningkatkan lagi daya ingatan mereka terhadap sesuatu perkara
yang terdapat dalam subjek ini. Daya ingatan murid-murid boleh ditingkatkan


                                                                           12
dengan guru memberikan maklumat baru melalui penggunaan sumber P&P yang
sesuai. Penambahan sebarang maklumat yang baru akan menyebabkan
peningkatan daya ingatan mereka kepada sesuatu perkara. Perkara ini boleh
dibuktikan melalui teori konstruktivisme yang disokong oleh Von Glassefel,
Piaget dan Vygotsky di mana mereka menyatakan Ilmu pengetahuan terbina
hasil penglibatan aktif individu yang menghubungkait maklumat baru dengan
pengalaman sedia ada.

      Oleh itu guru yang mengajar seharusnya peka kepada keperluan murid-
murid dengan mengetahui tentang latar belakang atau maklumat yang perlu.
Guru perlu menggunakan sumber P&P dengan sebaik mungkin di mana selari
dengan pengetahuan dan minat murid-murid.

KEMAHIRAN BERFIKIR

      Kemahiran berfikir adalah sesuatu yang amat penting bagi murid-murid.
Ini kerana kemahiran ini sangat diperlukan untuk murid-murid melakukan
analisis, mencari maklumat, banding beza, pengkelasan, menjana idea,
membuat inferens serta mengumpul maklumat dan banyak lagi perkara yang lain
semasa penglibatan mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Semasa proses P&P dijalankan, penggunaan sumber P&P dapat membantu
murid-murid untuk menajamkan lagi kemahiran berfikir mereka. Ini kerana
terdapat sumber P&P yang memerlukan murid-murid untuk membuat analisis
dan seterusnya melakukan pengkelasan di mana semua ini memerlukan
kemahiran berfikir yang baik.

      Guru yang cemerlang tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber P&P.
Jadi untuk memberikan murid-murid kesan pembelajaran yang maksima, guru
boleh membuat penilaian dengan mengadakan soal jawab untuk menguji sejauh
mana kefahaman dan daya ingatan murid-murid tentang apa yang telah



                                                                       13
dipelajari. Secara tidak langsung guru dapat mengetahui sama ada objektif kelas
pada hari itu telah tercapai ataupun tidak.




PENINGKATAN MOTIVASI

        Di   dalam   setiap   kelas   yang    diadakan   murid-murid   perlu   untuk
memusatkan perhatian mereka kepada apa yang diajar oleh guru. Tetapi untuk
mengekalkan perhatian sepenuhnya adalah susah untuk dilakukan oleh murid-
murid. Ini adalah disebabkan oleh keinginan murid-murid untuk menghadiri suatu
proses pembelajaran itu yang semakin pudar. Jadi motivasi adalah perkara yang
diperlukan untuk mengekalkan perhatian murid-murid terhadap pelajaran.
Terdapat beberapa sebab yang mungkin menyebabkan murid-murid kurang
keinginan untuk belajar. Mungkin kerana kaedah pembelajaran yang digunakan
adalah sama dan murid-murid menjadi bosan atau mungkin juga kaedah
pembelajaran yang digunakan adalah tidak kreatif dan tidak dapat menarik
perhatian mereka.

        Jadi langkah penyelesaiannya ialah dengan menggunakan sumber P&P
yang sesuai dengan tahap IQ murid-murid dan disertakan dengan pengelolaan
oleh guru secara kreatif supaya murid-murid mempunyai motivasi sama ada
melalui cara ekstrinsik mahupun instrinsik. Pengelolaan yang baik oleh guru
terbukti dapat memberikan motivasi kepada murid-murid. Penggunaan sumber
P&P yang boleh digunakan ialah bahan bercetak di mana murid-murid sendiri
yang menghasilkan bahan tersebut. Dengan cara ini murid-murid bukan sahaja
mendapat pengetahuan serta maklumat yang perlu, malah mereka akan lebih
sedar dan akan mendapat motivasi untuk terus meneladani contoh yang baik di
mana ia akan sedikit sebanyak dapat mempengaruhi rakan-rakan mereka yang
lain.



                                                                                14
PENINGKATAN KREATIVITI

      Meningkatkan daya kreativiti murid-murid adalah merupakan salah satu
tujuan penggunaan sumber P&P di sekolah. Ini kerana kreativiti merupakan
salah satu kemahiran halus yang boleh digilap untuk menjadikan murid-murid
lebih berfikir ke arah mencipta perkara baru yang lebih bernas serta menarik.
Proses pembelajaran yang memerlukan daya kreativiti daripada murid-murid
perlulah diadakan bagi melatih daya kreativiti mereka yang sedia ada.

      Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dianjurkan oleh guru di mana aktiviti
tersebut boleh menguji sejauh mana daya kreativiti yang ada pada murid-murid.
Selain itu guru juga boleh meningkatkan lagi daya kreativiti murid-murid dengan
menggunakan sumber P&P yang sesuai.

      Dengan itu, secara tidak langsung murid-murid akan menerima input yang
baru dan idea-idea baru akan mula timbul dalam kotak fikiran mereka hasil
daripada pendedahan yang diterima. Kemudian melalui penggunaan bahan
maujud guru boleh menguji daya kreativi murid-murid dengan mengadakan
aktiviti melukis poster. Daya kreativiti murid-murid boleh dikesan melalui idea-
idea yang dicurahkan ke atas kertas lukisan mereka. Guru juga dari masa ke
semasa perlu juga memantau aktiviti murid-murid bagi melihat perkembangan
mereka dan memberi sedikit tunjuk ajar untuk perkara-perkara yang perlu.




KESERONOKAN DALAM PEMBELAJARAN

      Setiap murid-murid merupakan kanak-kanak yang tidak akan lengkap
tanpa melakukan perkara yang boleh mendatangkan keseronokan kepada diri
mereka. Ini adalah merupakan keperluan asas bagi setiap kanak-kanak yang


                                                                             15
normal. Jadi guru perlu mengambil berat tentang hal ini dan untuk proses
pembelajaran yang berkesan guru perlu mendapat perhatian daripada murid-
murid terlebih dahulu.

Keseronokan dalam pembelajaran boleh dicipta oleh guru untuk mengekalkan
perhatian murid-murid supaya mereka mendapat isi pelajaran yang hendak
disampaikan.    Seseorang   guru   boleh   mengubahsuai     cara   penyampaian
pembelajaran dengan menggunakan bahan maujud. Permainan perlulah
direkacipta bagi menimbulkan suasana yang seronok di dalam kelas kerana
murid-murid mudah terangsang dengan aktiviti permainan. Contoh yang boleh
diberi ialah permainan ‘dart’. Akan terdapat satu papan dart berbentuk bulatan di
mana terdapat skor bagi pemain yang membaling panah dart tersebut. Setiap
bulatan mempunyai skor yang tertentu dan jika murid-murid memanah mengenai
mana-mana skor, murid tersebut perlu menjawab soalan berkaitan dengan mata
pelajaran Pendidikan Islam yang terdapat di sebalik skor yang diperolehinya.
Markah akan dikira berdasarkan skor yang diperolehi hanya jika jawapan yang
diberi adalah betul.

       Permainan ini adalah pengubahsuaian yang dilakukan untuk disesuaikan
dengan proses pembelajaran di mana dapat menyampaikan isi pelajaran yang
berkaitan tema yang dipilih. Soalan-soalan yang dipilih untuk diletakkan di
sebalik skor perlulah menepati aras yang telah dipilih dan bersesuaian dengan
tahap murid-murid. Permainan ini boleh dikatakan sebagai kuiz tetapi dalam cara
yang berbeza yang lebih menarik perhatian murid-murid.




KEMAHIRAN INTERPERSONAL DAN INTRAPERSONAL

       Kemahiran interpersonal menurut pencetus Teori Kecerdasan Pelbagai
iaitu Howard Gardner ialah kebolehan memahami perasaan, motivasi, tabiat


                                                                             16
serta hasrat orang lain dan kebolehan bertindak secara berkesan kepada orang
lain. Kemahiran ini memerlukan seseorang individu itu mampu berkomunikasi
dengan baik di kalangan masyarakat yang berada di persekitaran. Dalam
konteks ini murid-murid mampu berkomunikasi dengan baik sesama murid dan
murid mampu juga berkomunikasi dengan baik kepada guru.

        Kemahiran intrapersonal pula didefinisikan oleh Howard Gardner sebagai
kebolehan memahami diri sendiri dari segi kekuatan, kelemahan, hasrat dan
kehendak. Kebolehan      menangani perasaan, mengawal kemarahan dan
kesedihan diri serta kebolehan membantu diri lebih berdisplin, beradab dan
bersopan. Kemahiran ini lebih memberikan tumpuan dari segi dalaman diri
individu tersebut. Dalam konteks pembelajaran, murid-murid mempunyai
kebolehan untuk menangani sebarang masalah peribadi mereka serta dapat
menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembelajaran.

        Sumber P&P mempunyai pelbagai jenis di mana tidak dinafikan mampu
menerapkan nilai-nilai murni serta dapat melatih kemahiran interpersonal dan
intrapersonal murid-murid. Gerak kerja kumpulan adalah contoh aktiviti yang
dapat    mengasah     kedua-dua   kemahiran    interpersonal   dan   kemahiran
intrapersonal murid-murid. Contoh yang boleh diberikan ialah aktiviti melukis
poster di mana ia melibatkan bahan maujud. Aktiviti seperti ini memerlukan
kerjasama daripada murid-murid dan secara umumnya guru boleh melatih
kemahiran interpersonal manakala kemahiran intrapersonal pula dapat dilatih
dengan melihat sejauh mana penglibatan seseorang murid itu dalam aktiviti yang
diadakan.




KEMAHIRAN PSIKOMOTOR




                                                                           17
      Kemahiran psikomotor merupakan kemahiran pergerakan di mana
memerlukan murid-murid menggunakan semua anggota badan mereka untuk
melakukan kerja. Terdapat banyak jenis pergerakan psikomotor tetapi adalah
bergantung kepada guru untuk melatih mana-mana kemahiran psikomotor
kepada murid-murid dengan menggunakan sumber P&P.

      Contoh yang boleh diambil dalam Pendidikan Islam, ialah daripada tema
Rukun Islam yang ke lima di mana aktiviti yang boleh dijalankan ialah aktiviti
amali seperti tawaf dalam ibadat haji. Di samping murid-murid dapat melakukan
dan merasai sendiri aktiviti tawaf, mereka dapat juga menjaga kesihatan mereka
dengan melakukan aktiviti yang melibatkan otot badan dan otot karvadiaskular.
Aktiviti-aktiviti lain yang boleh menjadi pilihan untuk dilaksanakan ialah
sukaneka, riadah dan rumah terbuka.

      Aktiviti di dalam kelas juga boleh diadakan untuk melatih kemahiran
psikomotor murid-murid. Melalui topik solat, guru boleh mengadakan aktiviti
amali mengikut pergerakan sebenar dalam solat. Aktiviti ini melibatkan banyak
pergerakan yang unik dan secara tidak langsung kemahiran psikomotor dapat
dilatih. Guru perlu memantau aktiviti murid-murid dan banyak memberi tunjuk
ajar kepada mereka tentang perkara-perkara baru yang masih lagi asing bagi
murid-murid. Aktiviti ini memerlukan latihan yang kerap untuk memastikan murid-
murid dapat mencapai objektif pembelajaran serta menepati tujuan penggunaan
sumber P&P yag telah digunakan.




(b)

DEFINISI

      Pengajaran Mikro merupakan satu teknik pengajaran untuk meningkatkan
kemahiran pengajaran guru dalam aspek-aspek tertentu seperti set induksi,

                                                                           18
motivasi, penyoalan, variasi rangsangan, penggunaan papan kapor, alat bantuan
mengajar, pengukuhan, penutup dan lain-lain. Tempoh Pengajaran Mikro ialah
antara 10-15 minit dan dilaksanakan dalam satu kumpulan 25-30 orang pelajar.

         Pengajaran Makro merupakan satu sesi pengajaran praktik yang lengkap
bermula dari pendahuluan, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup.
Biasanya, pengajaran Makro dipraktikkan di dalam bilik darjah sepenuhnya.
Untuk memahami konsep pengajaran Mikro, kita perlu memahami konsep
pengajaran Mikro terlebih dahulu. Ini kerana, pengajaran Makro berkait rapat
dengan pengajaran Mikro.

         Perkataan Mikro diambil dari bahasa Greek yang bermakna kecil. Ini
bererti pengajaran mikro adalah proses pengajaran yang dijalankan dalam unit
kecil sebagai simulasi kepada guru pelatih. Pengajaran mikro bertujuan untuk
mengurangkan masalah-masalah yang mungkin timbul semasa pengajaran
makro dijalankan.

         Sebelum melaksanakan sesi pengajaran makro, guru pelatih perlu
merancang dan menyediakan persediaan mengajar yang lengkap dan baik.
Perancangan yang lengkap menghasilkan pengajaran yang berkesan.




PENGAJARAN MIKRO DAN MAKRO

         Pengajaran mikro dan makro membolehkan guru memahirkan diri dalam
beberapa kemahiran tertentu seperti latihan teknik mengajar, menyoal,
mengawal kelas, membuat penilaian dan sebagainya.

         Pengajaran mikro ialah sesi yang hanya mengendalikan satu bahagian
daripada keseluruhan pengajaran misalnya kemahiran set induksi bagi sesuatu
tajuk.


                                                                          19
      Pengajaran makro pula adalah kemahiran mengendalikan seluruh sesi
pengajaran bermula daripada set induksi sehinggalah penutup pengajaran.

      Sesi pengajaran mikro dan makro membolehkan guru-guru pelatih
mendapat maklum balas secara serta merta dan dapat berbincang bagi
mengatasi kelemahan-kelemahan semasa sesi pengajaran dijalankan, terutama
jika pengajaran mikro itu dirakam.

      Sesi pengajaran mikro dan makro ini juga dapat mempertingkatkan
keyakinan guru-guru pelatih untuk mengajar di dalam kelas sebenarnya. Melalui
rakaman video, guru pelatih dapat menyaksikan kekuatan dan kelemahan diri
sendiri semasa mengajar, di samping mendapat maklum balas rakan-rakan
seopsyen.

      Guru pelatih juga akan mendapat ulasan pensyarah yang memberikan
bimbingan untuk membaiki pengajaran jika terdapat kekurangan atau kelemahan
semasa sesi mikro atau makro dijalankan. Penilaian spontan selepas sesi mikro
dan makro ini penting kepada guru pelatih kerana mereka mendapat keyakinan
mengajar dan tidak mengulangi kelemahan yang sama pada masa yang akan
datang.

      Selain itu, guru pelatih juga berpeluang melihat kekuatan dan kelemahan
guru pelatih lain untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.




PENGAJARAN MIKRO

Konsep

      Pengajaran mikro digunakan untuk memperihalkan teknik pengajaran
untuk membolehkan pelatih atau pelajar menguasai, melatih atau memurnikan



                                                                            20
kemahiran pengajaran dalam situasi yang dikurangkan dari segi kesukarannya.
Maka dalam melaksanakan pengajaran mikro bilangan pelajar dan peruntukan
masa dikurangkan.

Tujuan

           Pelaksanaan pengajaran mikro akan;

     i.          membekalkan situasi    pengajaran yang realistik kepada guru
                 pelatih

     ii.         mengurangkan risiko kepada guru dan pelajar

    iii.         memberi    peluang    kepada   pelatih   mengaplikasikan     teori
                 pembelajaran

    iv.          meningkat dan mengembangkan pengalaman pengajaran

     v.          menjimatkan masa dan sumber dalam pengajaran dan           menilai
                 kemahiran spesifik.




Pelaksanaan Pengajaran Mikro

           Dalam melaksanakan pengajaran mikro pelajar membina satu rancangan
mengajar yang singkat 5-20 minit berdasarkan bidang kepakarannya , membuat
objektif spesifik dan mengajarnya kepada sebilangan kecil pelajar lain.

           Setelah pengajaran telah dilaksanakan satu penilaian atau pencerapan
dilakukan untuk mengesan kelemahan Pencerapan hendaklah dilaksanakan oleh
pensyarah atau penyelia, rakan-rakan dan kendiri.




                                                                               21
      Seterusnya satu perancangan semula perlu dilaksanakan untuk tujuan
penambahbaikan. Pengajaran mikro merupakan satu kitaran atau satu pusingan
seperti yang digambarkan dalam rajah di bawah:




                            Kitaran pengajaran mikro




Kemahiran-Kemahiran dalam Pengajaran Mikro

1.    Kemahiran set induksi

      Set induksi merupakan satu proses yang digunakan dalam permulaan
pengajaran, apabila menukar topik, sebelum soal jawab sebelum pertunjukan
slaid atau video dengan tujuan menarik perhatian pelajar dan mendorong
pembelajaran. Prinsip-prinsip set induksi seperti berikut:

      1.1.   memfokuskan perhatian pelajar terhadap apa yang hendak di ajar

      1.2.   membentuk satu rangka rujukan semasa pengajaran

      1.3.   memberi makna terhadap sesuatu konsep atau makna baru

      1.4.   merangsang minat dan penglibatan murid




                                                                         22
       1.5.   meletakkan murid dalam set mental atau keadaan yang sesuai
              untuk belajar

       1.6.   menggalakkan pelajar enyertai pelajaran dengan giat.

              1.7.    mewujudkan keadaan ingin tahu dikalangan murid

2.     Kemahiran menggunakan papan tulis

       Papan tulis penting dalam meningkatkan pembelajaran pelajar dari segi
menjelaskan lagi penerangan guru tentang fakta, konsep atau idea yang abstrak.

       Oleh itu rancangkan bagaimana penggunaan papan tulis dari segi masa,
pembahagian ruang dan penglibatan pelajar.

3.     Kemahiran variasi ransangan

       Kemahiran ini adalah untuk membangkitkan perhatian pelajar dan
mefokuskan perhatian pelajar kepada fakta penting dalam pelajaran.

       Variasi ransangan berkait rapat dengan kebijaksanaan guru pelatih
mempelbagaikan strategi pengajaran, kecekapan penggunaan alat bantu
mengajar , persekitaran bilik darjah, komunikasi verbal dan non-verbal guru.

4.     Kemahiran penyoalan

       Penyoalan merupakan satu aspek penting yang boleh mebawa pelajar
kepada aktiviti kognitif aras tinggi.

       Guru harus faham dan tahu tentang kepentingan soalan dalam
pengajaran dan pembelajaran seperti membantu pelajar mengingat kembali
fakta-fakta dan mencungkil fikiran pelajar.




                                                                               23
Soalan yang dibentuk hendaklah dirancang dengan rapi dan mengikut kebolehan
pelajar.

5.      Kemahiran menggunakan pengukuhan

        Guru yang mempunyai kemahiran pengukuhan dapat menggalak pelajar
menjawab soalan, mengemukakan cadangan dan secara keseluruhannya dapat
melibatkan pelajar melibatkan diri dalam perbincangan bilik darjah.

6.      Kemahiran penutup

        Penutup haruslah sesuai dengan objektif dan aktiviti pelajaran yang telah
disampaikan. Semasa penutup ini aktiviti susulan juga harus dirancang dengan
teliti dan ada kesinambungan dengan pelajaran akan datang.

        Tujuan penutup adalah untuk menarik perhatian perhatian pelajar tentang
pelajaran baru yang dipelajari, mengukuhkan konsep, prinsip atau kemahiran
baru,      mewujudkan   perasaan   pencapaian    dan   kejayaan       dan   peluang
mengaplikasi konsep dan kemahiran baru.




PENGAJARAN MAKRO

1.      PRINSIP PENGAJARAN MAKRO

        Antara prinsip pengajaran makro ialah:

        1.1    Objektif pengajaran dan pembelajaran

               Dalam pengajaran makro, guru mempunyai objektif yang besar dan
               luas merangkumi aras pengetahuan pelajar.

        1.2    Jumlah pelajar


                                                                                24
      Jumlah pelajar yang terlibat jauh lebih ramai bergantung kepada
      bilangan pelajar di dalam kelas sebenar. Pelajar yang terlibat
      adalah pelajar yang sebenar dan bukan dari lakonan rakan-rakan.
      Justeru itu, pengajaran guru adalah mencabar dengan karenah
      para pelajar.

1.3   Strategi pengajaran

      Dalam pengajaran mikro, guru perlu mempelbagaikan teknik dan
      strategi pengajaran supaya sesi pengajaran dan pembelajaran
      lebih berkesan dan menarik.

1.4   Jangkamasa Pengajaran

      Jangkamasa yang ditentukan dalam pengajaran makro adalah
      berdasarkan kepada jadual waktu kelas yang memakan masa
      selama antara 35 hingga 45 minit satu masa. Ekoran itu, guru perlu
      bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan peruntukan
      masa yang ditetapkan.

1.5   Bahan pelajaran

      Dalam pengajaran makro, guru perlu menyampaikan keseluruhan
      isi pengajaran yang telah dirancang dalam Rancangan Pengajaran
      Harian (RPH). Oleh itu, guru perlu menguasai sepenuhnya bahan
      yang hendak disampaikan dan tumpuan guru ketika menyampaikan
      adalah menyeluruh.

1.6   Perbincangan dan refleksi

      Penilaian kendiri perlu dibuat selepas guru selesai melaksanakan
      pengajaran sebagai refleksi atau muhasabah berkaitan pengajaran



                                                                    25
           guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran perlu
           diperbaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang perlu
           dibuat refleksi ialah objektif, disiplin kelas danpenglibatan murid
           disamping keazaman guru untuk memperbaiki pengajarannya.

2.   MATLAMAT PENGAJARAN MAKRO

     2.1   Memberi keyakinan kepada guru

           Hasil daripada pengajaran makro dapat memberi keyakinan
           mengajar kepada guru-gur baru. Setelah melalui sesi pengajaran
           mikro dan makro guru akan lebih yakin berhadapan dengan situasi
           pengajaran dan pembelajaran sebenar dalam bilik darjah.

     2.2   Menguasai kemahiran mengajar

           Dengan adanya pengajaran makro, ianya dapat mendedahkan
           para guru kepada beberapa jenis kemahiran mengajar. Guru juga
           akan   benar-benar     menguasai    kemahiran    tersebut   setelah
           berpengalaman untuk mengaplikasikannya dalam pengajaran.
           Kemahiran tersebut akan lebih terserlah apabila guru berkenaan
           mengajar di sekolah.

     2.3   Mengenal pasti potensi guru

           Setiap guru mempunyai potensi sendiri. Potensi diri seperti memiliki
           suara yang jelas dan lantang, berkebolehan menyanyi, berlakon
           dan sebagainya. Potensi diri guru penting sebagai medium dalam
           sesi pengajaran & pembelajaran dengan sebaik mungkin.

     2.4   Mengenal pastti kelemahan guru




                                                                           26
              Dengan pengajaran mikro kelemahan pengajaran seorang guru
              mudah dikenal pasti dan diperbaiki. Hasil perbincangan dan
              pandangan rakan sekursus dan pensyarah, guru berkenaan boleh
              mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya dalam sesi
              pengajaran dan pembelajaran seterusnya .

      2.5     Mewujudkan semangat kekitaan dan bekerjasama

              Dalam    sesi   pengajaran    mikro,   setiap    guru    pelatih   akan
              berkerjasama untuk menjayakan sesi tersebut. Semua individu
              akan memainkan peranan masing-masing samaada sebagai guru
              atau pelajar. Secara tidak langsung perasaan malu dan takut akan
              hilang kerana ia tidak melibatkan pihak lain.

3.    CARA MELAKSANAKAN SESI PENGAJARAN MAKRO

      Sebelum     melaksanakan      pengajaran    makro,      adalah   penting   bagi
seseorang guru pelatih mengetahui konsep pengajaran mikro. Ini kerana,
pengajaran mikro terkandung juga dalam pengajaran makro.

      Menurut Alien. D. dan Kyan K, pengajaran mikro mempunyai lima
peringkat iaitu merancang, praktikal, mengulas atau komen, merancang semula,
mengajar semula dan membuat komen sekali lagi.

      Semasa pengajaran makro dijalankan, konsep-konsep berikut perlu
difahami. Ini kerana konsep tersebut terkandung semasa pengajaran makro
dijalankan.

      3.1     KEMAHIRAN SET INDUKSI

              Kemahiran set induksi merupakan sesi permulaan sesuatu proses
              pengajran. Tujuan utama mengadakan set induksi ini adalah



                                                                                  27
      menarik perhatian dan menimbulkan minat murid-murid supaya
      mereka dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti pengajaran
      dan   pembelajaran    yang   hendak       disampaikan.   Cara-cara
      memulakan set induksi ini seperti menggunakan alat-alat bantuan,
      menyoal, ulangkaji topik lepas, membuat ingatan kembali dan
      sebagainya. Masa peruntukan dalam pelaksanaan set induki ini
      harus ringkas dan biasanya kurang 5 minit dalam awal sesuatu
      pelajaran.

3.2   KEMAHIRAN MENYEBARKAN PENYOALAN

      Kemahiran menyoal merupakan teknik yang penting dalam aktiviti
      pengajaran guru. Kemahiran ini digunakan untuk menolong murid
      mengingatkan kembali ilmu pengetahuan lepas. Guru perlu
      menguasai kemahiran ini untuk mencapai kejayaan dalam aktiviti
      pengajarannya.

3.3   KEMAHIRAN PENGURUSAN PAPAN HIJAU

      Kemahiran    pengurusan   papan   hijau    ialah   kecekapan   guru
      merancang penggunaan ruang papan hijau dan menyusun tulisan,
      nota dan gambarajah di ruang papan hijau yang paling berkesan.
      Kemahiran ini dapat membantu murid-murid membaca catatan
      guru dan memahami tulisan guru semasa penerangan guru.

3.4   KEMAHIRAN PENGUKUHAN

      Kemahiran pengukuhan atau peneguhan merupakansatu teknik
      motivasi kepada murid-murid yang berjaya menjawab soalan guru
      atau menunjukkan prestasi yang baik. Peneguhan ini boleh diberi
      secara vebal atau non-vebal. Tingkah laku vebal merupakan pujian
      secara lisan seperti baik, bagus manakala tingkah laku non-verbal

                                                                     28
          pula merupakan gerak geri positif seperti senyuman, angguk
          kepala dan sebagainya.

    3.5   KEMAHIRAN PENUTUP

          Kemahiran penutup merupakan satu teknik mengakhiri satu sesi
          pelajaran. Ia merupakan bahagiaan terakhir pengajaran dan
          pembelajaran guru. Ia boleh ditutup dengan aktiviti penilaian,
          pengukuhan atau ulasan mudah skop pengajaran pada hari itu.
          Penutup boleh dilakukan dengan cara:-

          3.5.1 Membuat rumusan isi pengajaran dan menyalin cacatan isi
                pelajaran di papan hijau.

          3.5.2 Memberi kerja bertulis sama ada dalam buku latihan atau
                soalan-soalan di papan hijau.

          3.5.3 Memberi latihan pengayaan kepada murid-murid.

          3.5.4 Menyoal murid-murid tentang isi pelajaran lepas atau
                pengajaran tadi.

          3.5.5 Pujian kepada murid-murid yang berkelakuan yang baik.

          3.5.6 Memberitahu berita semasa yang ada kaitan dengan
                pengajaran.

          3.5.7 Memberi motivasi kepada murid-murid untuk terus belajar.




PENUTUP




                                                                        29
      Sistem pendidikan merupakan wadah utama untuk membentuk identiti
anak bangsa, menjadi alat terpenting untuk menjayakan pembangunan negara,
berfungsi sebagai wahana yang kukuh untuk mencapai perpaduan serta
kesejahteraan bangsa dan negara. (Tajul Ariffin dan Nor’Aini,1992). Pendidikan
adalah proses dan aktiviti yang bertujuan untuk menghasilkan perubahan yang
dikehendaki di dalam diri seseorang (Atan Long, 1978). Ia juga adalah satu
proses menukarkan pola tingkah laku manusia. Tingkah laku ini bermaksud
tingkah laku dalam pengertian yang luas termasuk pemikiran, perasaan dan
perbuatan nyata. Menurut Ralph (1949), objektif pendidikan bermakna
perubahan tingkah laku yang dicari atau yang dikehendaki berlaku oleh
sesebuah institusi pendidikan ke atas pelajar-pelajarnya.

      Guru memainkan peranan yang penting untuk mendidik pelajar dalam
melahirkan seorang insan atau generasi yang berketerampilan, mahir,
berkebolehan, inovasi, kreatif, bertanggungjawab serta bermodal tinggi. Guru
merupakan orang yang memainkan peranan untuk menentukan perkara-perkara
yang akan dipelajari oleh pelajar. Di samping itu, mereka juga mestilah orang
yang berpengetahuan dalam perkara-perkara yang hendak diajar. Oleh itu, guru
juga mestilah dididik terlebih dahulu. Perkara-perkara yang diajar oleh guru
mungkin tidak dapat memenuhi kehendak dan minat pelajar. Ini dapat dilakukan
oleh guru dengan menggunakan sumber dan kaedah pengajaran yang berkesan
(Abdul Rahman Aroff, 1987).




                                                                          30
BIBLIOGRAFI




1. Aninah Janang. (2007). Profesion Keguruan Semakin Malap? Dewan
   Masyarakat. (5).

2. Ee Ah Meng. (2002). Pedagogi III, Edisi Kedua (Semester III). Selangor:
   Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

3. Ghazali Darusalam. (2004). Pedagogi pendidikan Islam. Kuala Lumpur:
   Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

4. Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. (2007). Pendidikan Islam: Kaedah
   pengajaran & pembelajaran. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.



                                                                           31
5. Mohd Yusuf Ahmad. (2004). Falsafah dan Sejarah Pendidikan Islam. Kuala
   Lumpur: Universiti Malaya.

6. Mok Song Sang dan Lee Shok Mee. (1991 ). Pedagogi 3 Bahagian A
   Pengajaran dan Persediaan Mengajar. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman
   Sdn.Bhd.

7. Shahabuddin Hashim, Dr. Rohizani Yaacub & Mohd. Zohir Ahmad. (2007).
   Pedagogi Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur :
   PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

8. Tengku Sarina Aini Tengku Kasim dan Yusmina Md. Yusoff. (2006). Kaedah
   Mengajar dan Kemahiran Interpersonal Guru. Selangor: PTS Professional
   Publishing Sdn. Bhd.

9. Zainudin bin Hassan,Tengku Suhashila bt. Tengku Langjuna,Mohad. Najib
   bin Abdul Ghaffar& Hamdan bin Said. (2007). Tahap Penggunaan Alat Bantu
   Mengajar di Kalangan Guru Pelatih. Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut
   Perguruan Batu Lintang.




                                                                          32

								
To top