Docstoc

Matlamat Dan Falsafah Pendidikan Islam

Document Sample
Matlamat Dan Falsafah Pendidikan Islam Powered By Docstoc
					    Matlamat Dan Falsafah Pendidikan Islam

PENDAHULUAN

      Pendidikan merupakan satu aspek yang penting di dalam kehidupan
setiap individu. Pendidikan bermula sejak seorang itu dilahirkan sehinggalah ia
menemui ajalnya. Pendidikan bagi manusia meliputi aspek jasmani,rohani, akal
dan sosial. “Manusia mendidik anaknya supaya badannya sihat dan kuat,
akalnya waras dan cerdas, rohaninya luhur dan berbudi pekerti tinggi, tahu
bermasyarakat dan menyesuaikan diri dalam kelompoknya” (Musa bin
Daia,1986).

      Di antara pendidikan yang paling penting bagi setiap manusia ialah
pendidikan Islam. “Pendidikan Islam adalah pendidikan yang melatih kepekaan
(sensibility) para peserta didik sedemikian rupa sehingga sikap hidup dan
perilaku, juga keputusan dan pendekatannya kepada semua jenis pengetahuan
dikuasai oleh perasaan mendalam nilai-nilai etik dan spiritual Islam. Mereka
dilatih dan mentalnya didisiplinkan, sehingga mereka mencari pengetahuan tidak
sekadar untuk memuaskan keingin-tahuan intelektual atau hanya untuk
keuntungan dunia material belaka, tetapi juga untuk mengembangkan diri
sebagai   makhluk   rasional   dan   saleh   yang   kelak   dapat   memberikan
kesejahteraan fisik, moral dan spiritual bagi keluarga, masyarakat dan umat
manusia” (Syed Sajjad Husain & Syed Ali Ashraf , 2000).

      Malaysia yang menjadikan Agama Islam sebagai Agama Rasmi, amat
mementingkan pendidikan Islam. Pendidikan Islam mula diberikan kepada
kanak-kanak sejak mereka berada di peringkat prasekolah hinggalah ke
universiti. Untuk menanamkan ajaran-ajaran Islam di kalangan pelajar-pelajar




                                                                           1
dengan lebih berkesan, maka satu kurikulum yang lengkap, kemas dan tersusun
rapi serta berkesinambungan amatlah diperlukan.




      Kurikulum pendidikan Islam tidak terbatas setakat mempelajari mata
pelajaran   pengetahuan    Agama     Islam    sahaja   sebagaimana   kefahaman
kebanyakkan masyarakat hari ini. Tetapi pendidikan Islam itu sebenarnya
mempunyai skop jangkauan yang lebih luas meliputi semua cabang ilmu
pengetahuan yang dibenarkan oleh agama Islam.




DEFINISI

DEFINISI KURIKULUM

      Pengetahuan terus berkembang dan pendidikan semakin kompleks untuk
memenuhi keperluan masyarakat dan negara. Kemajuan yang sentiasa dicapai
dalam bidang pendidikan telah menyebabkan berubahnya konsep pendidikan
dalam sebuah negara dari semasa ke semasa. Bagi mengimbangi perubahan
konsep pendidikan, maka apa yang berlaku di dalam proses pendidikan juga
perlu diubah agar pelajar dapat mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan.

      Dalam ertikata lain berubahlah kurikulum bagi setiap sekolah, maktab,
universiti dan pusat pengajian tinggi lainnya. Selaras dengan perkembangan ini,
maka definisi kurikulum juga turut berubah.

      Berbagai-bagai definisi kurikulum telah dikemukakan oleh para pendidik,
tokoh-tokoh ilmuan dan para sarjana dari berbagai bangsa. Ada pengertian yang
sangat luas dan sebaliknya terdapat pengertian yang sempit. Perkataan



                                                                           2
kurikulum berasal dari bahasa Latin yang luas digunakan oleh bangsa Yunani.
‟Curriculum’ dalam bahasa Latin bermaksud „Ruang tempat pembelajaran
berlaku‟ (Sharifah Alwiah Alsagoff,1986).




       Walaupun terdapat berbagai-bagai definisi untuk kurikulum, namun
hampir semua makna, atau pengertian kurikulum dari definisi-definisi itu akan
kembali ke pengertian asal, iaitu satu rancangan pengajian (Sharifah Alwiah
Alsagoff,1986).

       Di dalam kamus bahasa Arab kurikulum (Manhaj) sering didefinisikan
sebagai jalan yang terang, atau jalan terang yang dilalui oleh manusia pada
berbagai bidang kehidupannya. Seterusnya,Prof. Dr. Omar Al-Syaibani (1991)
menjelaskan kurikulum (manhaj) dimaksudkan sebagai jalan terang yang dilalui
oleh pendidik atau guru dengan orang-orang yang dididik atau dilatihnya untuk
mengembangkan pengetahuan, keterampilan, dan sikap mereka.

       Sementara itu Wiles dan Bondi (1993) memberikan definisi kurikulum
sebagai: “It is the range of experiences,both indirect and directed,concerned in
unfolding the abilities of the individual,or it is a series of consciously directed
training experiences that the school use for completing and perfecting the
individual”

       Menurut Zuharani (1983), “Kurikulum adalah semua pengetahuan,
kegiatan-kegiatan atau pengalaman belajar yang diatur dengan kaedah yang
sistematik, yang diterima anak untuk mencapai suatu tujuan”.

       Sementara itu Kementerian Pelajaran Malaysia (1984) menjelaskan
“Kurikulum bermaksud segala rancangan pendidikan yang dikendalikan oleh




                                                                               3
sesebuah sekolah ataupun institusi pelajaran untuk mencapai matlamat
pendidikan”.

      Seterusnya, Pg. Dr. Hj. Abu Bakar(2008) menjelaskan: “Kurikulum adalah
maklumat dan ilmu pengetahuan yang diajar oleh guru atau yang dipelajari oleh
pelajar di sekolah atau lain-lain institusi pendidikan, dalam bentuk mata pelajaran
yang terdapat dalam buku teks dalam setiap tahap pendidikannya”.

      Ini bermakna kurikulum itu ialah segala pengalaman yang diperolehi oleh
pelajar di sekolah yang mempunyai pengaruh yang baik terhadap kelakuan anak
di bawah bimbingan guru bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan.




DEFINISI PENDIDIKAN ISLAM

      Istilah “Pendidikan Islam” merupakan rangkai kata yang membawa makna
yang sangat luas. Dalam ungkapan ini sendiri telah tersirat konsep, falsafah dan
matlamatnya. Ini agak berbeza dengan kefahaman umum masyarakat hari ini
yang menganggap pendidikan Islam itu ialah Mata Pelajaran Agama Islam atau
Pengetahuan Agama Islam di sekolah(Mohd Yusuf Ahmad, 2004).

      Untuk memberikan pengertian pendidikan Islam yang sempurna, terlebih
dahulu kita menjelaskan makna kata „pendidikan‟ dan „Islam‟. Menurut Al-
Attas,Hassan Langgulung dan Burlian Somad maksud pendidikan itu ialah
perubahan dalaman dan perubahan tingkah laku (Mohd Yusuf Ahmad, 2004).
Apabila disebut pendidikan Islam ia menjadi lebih khusus dan bermaksud
pendidikan yang berteraskan syariat Islam yang berpandukan Al-Quran dan Al-
Hadis, dan perubahan yang dikehendaki pula ialah perubahan rohani, akhlak dan
tingkah laku menurut Islam.




                                                                               4
      Dalam bahasa Inggeris istilah pendidikan disebut education. Manakala
dalam bahasa Arab pengertian kata pendidikan, sering digunakan pada
beberapa istilah, antaranya “ta‟lim”, tarbiyah dan ta‟dib. Namun demikian, ketiga-
tiga kata tersebut memiliki makna tersendiri dalam menunjuk atau menerangkan
pengertian pendidikan (Dr. Samsul Nizar,M.A: 2001).

      Kata at-ta‟lim merujuk kepada pengajaran yang bersifat pemberian atau
penyampaian pengertian, pengetahuan, dan keterampilan. Kata at-tarbiyah
membawa erti mengasuh, mendidik, dan memelihara. Sementara Kata at-ta‟dib
dapat diertikan sebagai proses mendidik yang memfokuskan kepada pembinaan
dan penyempurnaan akhlak atau budi pekerti pelajar. Pendidikan adalah „latihan
atau ajaran‟ (Dr.Teuku Iskandar,1986). Sementara itu menurut al-Quran, Islam
ialah penyerahan diri dan kepatuhan sesuai dengan firman Allah swt dalam
Surah Ali „Imran ayat 83:


       
            
  
     
                              
“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal
kepada-Nyalah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan
suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan”

      Ini menunjukkan kepada kita bahawa, pendidikan Islam merupakan
usaha-usaha pembentukan anak-anak sesuai dengan ajaran Islam, maka
dengan itu melalui pendidikan Islam akan dapat menyerapi dan menyedari hal-
hal yang sebenar atau hakikat-hakikat baik dalam ajaran dan amalan Islam, atau
apa yang terkandung dalam akidahnya, ibadatnya, sistem akhlaknya dan juga
ajaran syariatnya yang dilihat dari segi hukum-hukumnya yang zahir. Ahli-ahli
fikir Islam berpendapat bahawa dengan menyedari hal-hal ini semua manusia

                                                                              5
akan mencapai kebahagiaan dalam dunia dan akhirat (Dr. Haron Din & Dr. Sobri
Salamon, 1988)

      Lebih jauh lagi, pendidikan Islam ialah satu „kesatuan‟ yang terdiri
daripada dua aspek yang bersepadu. Yang pertama ialah bahawa sebahagian
daripada ajaran Islam dan undang-undang serta moral hendaklah diajar dengan
begitu rupa untuk membolehkan pelajar memahami, setakat yang memadai,
asas-asas Islam. Aspek yang kedua ialah untuk melatih pemikiran pelajar
dengan cara yang saintifik dan rasional supaya dia dapat menyelaraskan
perilakunya dengan moral, undang-undang dan keimanannya terhadap Islam
(Muhammad Hamid Al-Afendi & Nabi Ahmed Baloch, 1992) .

      Menurut Mohd Kamal Hasan, pendidikan Islam menyatukan semua ilmu
pengetahuan di bawah authority dan pengendalian Al-Quran dan Sunnah yang
merupakan teras dalam sistem pendidikan dan kebudayaan Islam seluruhnya.
Akidah Islam menjadi pusat bagi semua ilmu serta sifatnya integrated. Menurut
beliau pendidikan Islam itu boleh dibahagi dua, iaitu formal dan informal (Mohd
Yusuf Ahmad,2004).

      Akhirnya, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa tiada makna yang tepat
bagi pendidikan Islam namun dapat difahami oleh semua orang bahawa
pendidikan Islam adalah satu usaha untuk mengembangkan fitrah manusia
sesuai dengan ajaran agama Islam berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang
akhirnya akan mewujudkan satu masyarakat yang bertamadun tinggi, penuh
rahmat dan kebahagiaan serta mendapat keredaan Allah.




DASAR PENDIDIKAN ISLAM




                                                                           6
      Dasar adalah tempat bermula sesuatu aktiviti manusia. Maka ketika
menetapkan dasar sesuatu perkara, khasnya dasar pendidikan Islam, setiap
individu akan menjadikan pandangan hidup dan hukum-hukum dasar agamanya
sebagai panduan. Pendidikan Islam adalah satu aktiviti manusia yang
mempunyai dasar-dasar tertentu. Adapun dasar pendidikan Islam ialah Al-Quran,
Hadith (As-Sunnah) dan Ijtihad para ulama.




SIFAT PENDIDIKAN ISLAM DAN KONSEP ILMUNYA

      Pendidikan      yang tidak sama ertinya    dengan pembelajaran atau
pengajaran   tetapi    merangkumi   kedua-duanya   ditentukan   sifatnya   oleh
pandangan hidup (Weltanschauung) sesuatu kebudayaan kerana ia merupakan
alat terpenting untuk merealisasikan tujuan-tujuan dari pandangan hidup itu.
Oleh kerana ruang lingkup agama Islam merangkumi semua aspek kehidupan
insan sebagai homo sapien, homo politicus, homo aeconomicus, homo religious,
dan sebagai theomorphic being (iaitu makhluk yang dapat mengenal Tuhan dan
mencapai penghampiran denganNya) maka pendidikan Islam mempunyai sifat
yang serba merangkumi.

      Kecenderungan tabi'e pendidikan Islam ialah menyatukan semua ilmu
pengetahuan di bawah authority dan pengendalian Al Quran dan Sunnah yang
merupakan teras di dalam sistem pendidikannya dan kebudayaan Islam
seluruhnya. Di dalam kebulatan dan kesatuan ilmu-ilmu itu akidah Islamiah yang
menjadi pusatnya yang menentukan orientasi dan methodology dan matlamat
ilmu-ilmu lain oleh kerana ia membicarakan soal-soal yang terpenting di dalam
hidup manusia; dari mana ia datang, apakah sifat manusia yang sebenar, untuk
apakah ia dijadikan dan untuk apakah alam ini diciptakan, kemana ia akan pergi
dan bagaimanakah seharusnya ia melakukan hubungan dengan Penciptanya



                                                                           7
dan bagaimanakah ia harus menjalani hidup di dunia ini. kebenaran-kebenaran
mutlak yang terkandung di dalam "ilmu agama" (baik dalam bidang akidah,
kerohanian, ibadah, akhlak, ilmu Al-Quran dan Hadith) mewarnai dan menjiwai
seluruh pendekatan seorang Muslim kepada ilmu-ilmu lain seperti sains fizikal
dan tabi'e, sains kemanusiaan dan sains kemasyarakatan.




      Konsep pendidikan yang unified ini yang berdasarkan kepada konsep ilmu
yang integrated yang merupakan keistimewaan Islam berlawanan sekali dengan
aliran pemikiran yang memisahkan ilmu ke dalam dua "water-tigh compartments"
yang tidak dapat di damaikan iaitu yang disebut di Barat sebagai "theology" dan
"science" atau "religious knowledge" dengan "secular knowledge" atau faith dan
knowledge. Pengkotakan yang "antagonistic" ini tidak dapat berlaku dan tidak
dibenarkan berlaku di dalam teori pendidikan Islam, oleh kerana isi kandungan
"theology" dan "science" di dalam Islam tidak mengkontradik satu sama lain
malah ia bersifat isi-mengisi dan lengkap melengkapi. Kedua-duanya lahir dari
outlook yang satu iaitu Tauhid. sebaliknya sejarah peradaban Barat dari zaman
Pertengahan sampai kepada zaman moden menunjukkan pertarungan yang
hebat "theology" dan "science" yang akhirnya dimenangi oleh science. Sebab
permulaan timbulnya permusuhan itu tidak lain oleh kerana "theology"
mengemukakan dogma-dogma yang anti-rasional yang hendak dipertahankan
bermati-matian walaupun akal waras sudah tidak dapat menerimanya lagi.
Pertentangan itu berubah menjadi konflik antara "authority" dan "truth". Dengan
terpisahnya gereja dari Negara, terpisahlah juga "science" dari "religion",
sehingga berkembanglah sains di atas dinamismanya sendiri, lepas dan
bebas"autonomous" dari segala norma-norma agama. Sekularisma atau faham
keduniaan semata-mata menjadi fait accompli dalam tamaddun Barat dan ini


                                                                           8
membolehkan akal manusia Barat dengan scientific methodnya berkembang
tanpa sekatan dari irrational dogmas lagi. Akhirnya akal yang tidak lagi
dikendalikan oleh norma-norma transcendant (samawi) membawa para cerdik
pandai kepada faham scientism atau pendewaan sains dengan segala akibat-
akibat buruk yang dapat dilihat dalam zaman technocentric ini.

        Selain daripada sifat kesatuannya, pendidikan Islam merangkumi
pendidikan formal dan informal. Ia adalah pendidikan "sepanjang hayat". Di
dalam pendidikan informal yang sangat berkesan ialah pendidikan di rumah
tangga dalam lingkungan keluarga kerana di sinilah seorang Muslim mendapat
asas-asas    pembentukan      peribadinya.   Seterusnya        pendidikan   di   dalam
masyarakat, melalui proses sosialisasi seorang Muslim, tidak kurang besar
pengaruhnya di atas pertumbuhan peribadi Muslim. Pendidikan formal dan
pendidikan informal di dalam Islam mempunyai pengaruh timbal balik dan
hubungan yang complementary yang satu tidak dapat berdiri sendiri tanpa
mengalami sesuatu ketidakseimbangan.

        Sejarah tamadun Islam menunjukkan bahawa bentuk pendidikan formal
adalah biasanya responsive kepada perubahan zaman dan tingkatan kemajuan
kehidupan sosio-politik masyarakat tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang
asasi dalam pendidikan Islam. Adanya sistem halaqah di masjid-masjid, kitab-
kitab untuk mengajar membaca dan menulis, sekolah istana, "sekolah" kedai
buku,   kumpulan-kumpulan      diskusi   (literary   salons)    untuk   cendiakawan-
cendiakawan    tertentu,   madrasah-madrasah,        pusat-pusat pendidikan atau
universiti-universiti di dalam pendidikan formal Islam menunjukkan juga bahawa
bentuk lahiriah adalah masalah yang tidak begitu penting dalam Islam, asal
isinya mampu membentuk manusia-manusia yang benar-benar terdidik.
Organisasi pengajian yang berbeza-beza itu juga menunjukkan perkembangan
pendidikan Islam dari tahap yang simple kepada tahap-tahap yang lebih
kompleks dan sophisticated.


                                                                                   9
TUJUAN PENDIDIKAN ISLAM

      Tujuan adalah dasar yang hendak dicapai dalam semua kegiatan
manusia.   Tujuan   berfungsi   untuk   mengarahkan,    mengendalikan     dan
mengembangkan sesuatu kegiatan. Oleh sebab itu setiap tujuan hendaklah
dirumuskan dengan tegas dan jelas. Dengan adanya tujuan semua aktiviti dan
pergerakan manusia akan menjadi terarah dan bermakna.

      Kefahaman kita mengenai tujuan hidup di dunia adalah penting untuk
menetapkan tujuan pendidikan Islam kerana setiap didikan yang diterima oleh
manusia adalah untuk mencapai tujuan hidup tersebut.

      Menurut Islam, manusia diturunkan ke bumi oleh Allah swt adalah sebagai
seorang khalifah yang mempunyai tugas untuk:

i.    Memakmurkan bumi demi kebahagiaan hidup seperti firmannya dalam
      Surah Faathir ayat 39:


                   
                    

      Ertinya: “Dia-lah (Allah) yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka
      bumi”

ii.   Berbakti kepada Allah swt seperti firmannya dalam Surah Adz-Dzaariyaat
      ayat 56:


             
        
                                


                                                                          10
      Ertinya: “dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
      untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.

      Daripada keterangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa, “tujuan sejati
pendidikan Islam adalah menghasilkan orang-orang yang beriman dan juga
berpengetahuan, yang satu sama lain saling bekerjasama. Islam tidak
memandang bahawa pencarian pengetahuan adalah demi pengetahuan sendiri
tanpa merujuk pada cita-cita spiritual yang harus dicapai manusia, tetapi untuk
mewujudkan sebanyak mungkin kemaslahatan bagi umat manusia. Pengetahuan
yang diceraikan dari agama bukan hanya membuat pengetahuan menjadi bias,
bahkan akan menjadikannya sebagai kejahilan jenis modern. Islam menganggap
orang yang tidak beriman kepada Allah swt sebagai orang yang tidak
berpengetahuan. Orang semacam ini, betapapun luas pengetahuannya, hanya
akan mempunyai pandangan yang tidak lengkap mengenai jagat raya” (Syed
Sajjad Husain & Syed Ali Ashraf,2000).

      Sementara itu menurut Sayid Sabiq (1981), tujuan pendidikan Islam ialah
agar jiwa seseorang dapat terdidik secara sempurna. Agar seseorang dapat
menunaikan kewajipan-kewajipannya kerana Allah. Dapat berusaha untuk
kepentingan keluargannya, kepentingan masyarakatnya, serta dapat berkata
jujur, dan berpihak kepada yang benar serta mahu menyebarkan benih-benih
kebaikan pada manusia. Apabila seseorang mempunyai sifat-sifat seperti itu,
bererti ia telah mencapai tingkat orang-orang salih sebagaimana yang
dikehendaki oleh Allah, iaitu orang-orang yang berpegang teguh pada
agamanya.

      Pendidikan   Islam   juga   bertujuan   untuk   mencapai   keseimbangan
pertumbuhan dari peribadi manusia secara menyeluruh melalui latihan-latihan
kejiwaan, akal fikiran, kecerdasan, perasaan dan pancaindera. Oleh kerana itu
pendidikan Islam harus mengembangkan seluruh aspek kehidupan manusia,


                                                                           11
baik spiritual, intelektual, imaginasi (fantasi), jasmani, keilmiahannya, bahasanya,
baik secara individual maupun kelompok, dan mendorong aspek-aspek tersebut
kearah kebaikan dan pencapaian kesempurnaan hidup (Abdul Raof Dalip, 1990).

       Sementara itu, menurut hasil Kongres Pendidikan Islam Sedunia Tahun
1980 di Islamabad, menyebutkan bahawa pendidikan Islam haruslah bertujuan
mencapai pertumbuhan keperibadian manusia yang menyeluruh, secara
seimbang melalui latihan jiwa, intelek, diri manusia yang rasional, perasaan dan
indera. Kerana itu, pendidikan harus mencapai pertumbuhan manusia dalam
segala aspeknya; spiritual, intelektual, imajinatif, fisik, ilmiah dan bahasa secara
individual maupun kolektif. Mendorong semua aspek kearah kebaikan dan
mencapai    kesempurnaan.      Tujuan   akhirnya    adalah   dengan    perwujudan
ketundukan yang sempurna kepada Allah, baik secara peribadi, komunitas,
maupun seluruh umat manusia (Dr. Samsul Nizar,M.A, 2001)

       Akhirnya dapatlah diambil kesimpulan bahawa tujuan pendidikan Islam itu
tidak statik. Ia sering mengalami perubahan mengikut kepentingan dan
perkembangan masyarakat di mana pendidikan itu dilaksanakan. Walaupun
begitu sebagai umat Islam kita mestilah berpegang teguh dan terus merujuk
kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam melaksanakan tujuan pendidikan Islam.




MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM

       Pendidikan Islam mempunyai beberapa matlamat tertentu. Di antara
matlamat-matlamatnya adalah jelas untuk melahirkan insan yang budiman,
beriman, bertakwa dan salih. Pendidikan Islam nyata sekali menuju ke arah
perkembangan tingkahlaku yang sihat. Ekoran daripada matlamat murni ini
berkembanglah manusia yang menyedari hakikat lahirnya sebagai hamba Allah



                                                                                12
swt yang menurut perintahnya, yang beramanah dan bertanggungjawab
(Kamarudin Hj. Kacar,1989).

      Menurut Dr. Abdur Rosyad Syuhudi(1990) di antara matlamat pendidikan
Islam itu ialah untuk mengenal diri manusia itu sendiri, untuk mengenal tugas
dan tanggungjawab manusia, untuk menyusun struktur masyarakat, untuk
membentuk akhlak yang mulia di kalangan manusia, untuk menjaga kepentingan
agama dan kehidupan serta untuk memberikan kepentingan jasmani dan rohani.

      Ustaz Abdul Raof Dalip (1990) ada menyatakan beberapa matlamat
pendidikan Islam. Antaranya ialah untuk mentauhidkan diri kepada Allah, untuk
pembentukan akhlak yang mulia, menyedarkan manusia mengenai keperluan
ilmu pengetahuan, menyedarkan manusia mengenai peranannya sebagai
Khalifah, untuk pembentukan insan soleh, untuk pembentukan akhlak atau
syahsiah Islamiah di dalam diri manusia, untuk mempersiapkan manusia bagi
kehidupan di dunia dan di akhirat, untuk memberi perhatian serta menjaga
kemanfaatan individu dan masyarakat, dan akhir sekali untuk penyediaan tenaga
mahir dan profesion dalam berbagai bidang kehidupan.

      Ghazali Darussalam (2004) di dalam buku „Pedagogi Pendidikan Islam‟
ada menyebutkan beberapa pendapat sarjana dan ilmuan mengenai matlamat
pendidikan Islam. Antaranya, Prof. Dr. Mohd. Athiyah Al-Abrasyi menjelaskan
matlamat pendidikan Islam adalah;

      “Pendidikan hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat
hidup dengan sempurna, bahagia, cintakan negara, kuat jasmaninya, sempurna
akhlaknya, teratur pendidikannya, halus dan murni perasaannya, cekap dalam
kerjanya, berkerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya dan
lisannya serta tangannya dapat membuat sesuatu pekerjaan itu dengan baik.”




                                                                             13
       Daripada keterangan di atas maka jelaslah bahawa tujuan dan matlamat
pendidikan Islam itu tidak jauh berbeza malah hampir sama. Sebagai rumusan
kita lihat petikan berikut;

       “Al-Qabisi,   berpendapat   bahawa   tujuan   pendidikan   adalah   untuk
mengetahui ajaran agama baik secara ilmiah maupun secara amaliah. Ini kerana
dia termasuk ulama ahli fiqih dan tokoh dari ulama ahli sunnah wal jama’ah.
Sedangkan Ibnu Maskawih berpendapat bahawa tujuan pendidikan ialah
tercapainya kebajikan, kebenaran dan keindahan. Ikhwan As-Safa, cenderung
berpendapat bahawa tujuan pendidikan itu adalah mengembangkan faham
filsafat dan akidah politik yang mereka anut. Al-Ghazali, berpendapat bahawa
tujuan pendidikan itu adalah melatih para pelajar untuk mencapai makrifat
kepada Allah melalui jalan tasawuf iaitu dengan mujahadah dan riyadhah.




FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

       Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam
pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991).
Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang.
Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa. Dalam Oxfort
Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai: “Seeking after wisdom or
knowledge especially that which deals with ultimate reality, or with the most
general causes and principles of things and ideas and human perception and
knowledge of them, physical phenomena and ethics”.

       Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking
the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba mencari
erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang sebenar hanya
Allah sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang


                                                                            14
diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan
sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu
tidaklah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif. Sebab itu bermacam-
macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme,
Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak
lagi. Jika falsafah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama
sahaja perinsipnya dan juga matlamatnya. Falsafah Islam ialah falsafah yang
berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang
Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada
falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya
tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam
yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami
falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam.
Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan
dengan kehendak Islam. Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau
kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang
berasaskan ajaran Islam. Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-
Quran dan As-Sunnah.

      Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang
falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai
asas perbincangan, iaitu: Siapa anda (apa hakikat diri anda)? Dari mana anda
datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi?
Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991).

      Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan
maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya
bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125). Mengikut Muhammad Nasir (1978)
hikmah di sini bermaksud mengenal golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula
berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan


                                                                             15
faedahnya". Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah
penyuluh untuk mengenal sesuatu. Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam
versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang
benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang
berfaedah". Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud
orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik
dan halus (Muhammad Nasir, 1978).




        Adakalanya    hikmah     itu   bermaksud     ilmu,    iaitu   ilmu   yang   tinggi
martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah Al-Baqarah. Orang yang
mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau
enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini jelas seperti
cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran. Falsafah Islam cuba maencari
hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir
berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh
Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka
akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang
diberikan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-
Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.

        Pendidikan    Islam    adalah     satu    usaha      yang     berterusan    untuk
menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berteraskan Al-Quran
dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan
hidup    sebagai     hamba     Allah    yang     mempunyai      tanggungjawab       untuk
membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai
kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Falsafah Pendidikan Islam
adalah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Islam, iaitu falsafah Islam untuk
pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991). Jadi,


                                                                                      16
maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan
dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan
tanggungjawabnya,     serta   mengetahui     cara   untuk    menjalankan    atau
melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia
dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia
insan yang saleh.




      Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang
yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah
ke dalam kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai,
pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan
beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya,
faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah
dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang
Islam atau pun bukan Islam.

      Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan
Islam ialah: Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak,
Pendidikan   Akal,   Pendidikan   Jasmani,    Pendidikan    Rohani,   Pendidikan
Keterampilan,   Pendidikan     Keibubapaan,     Pendidikan     Kemasyarakatan,
Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi. Jadi, berdasarkan falsafah Islam,
semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk
penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah dapat
melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba
dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam
Matlamat Pendidikan Islam. Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang



                                                                             17
digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk
menuju ke arah ini.




SAHSIAH GURU PENDIDIKAN ISLAM

      Said Bin Jubair meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa beliau
berkata: “Orang yang mengajar orang lain akan kebaikan, seluruh makhluk Allah
termasuk ikan di laut memohon keampunan Allah untuknya.”




Maksud Sahsiah

      Sahsiah bermakna peribadi atau personaliti. Ia merujuk kepada traits yang
mencirikan peribadi orang berkenaan. Peribadi menggambarkan sifat personaliti
individu yang membezakannya daripada orang lain. Sifat sahsiah merangkumi
gaya hidup, kepercayaan, harapan, nilai, motif, pemikiran, perasaan, budi
pekerti, persepsi, tabiat, sikap dan watak seseorang.

      Mengikut G.W Allport dalam bukunya “Pattern and Growth in Personality”,
sahsiah ditakrifkan sebagai organisasi dinamik sesuatu sistem psikofizikal di
dalam diri seseorang individu yang menentukan tingkah laku dan fikirannya yang
khusus. Sistem psikofizikal merangkumi segala unsur-unsur psikologi seperti
tabiat, sikap, nilai, kepercayaan dan emosi, bersama dengan unsur-unsur fizikal
seperti bentuk tubuh badan, urat saraf, kelenjar, wajah dan gerak geri seseorang
(Mok Soon Sang, 1994:1).

      Sahsiah mempunyai tiga ciri utama. Pertama, ialah keunikan dengan
maksud tersendiri. Kedua, kebolehsuaian atau keupayaannya untuk berubah
dan diubah; hasil pembelajaran atau pengalaman. Ketiga, ialah organisasi.

                                                                            18
Dengan perkataan lain ia bukan sekadar himpunan tingkahlaku sebaliknya ia
melibatkan corak tindakan dan operasi yang bersifat konsisten. Tegasnya
sahsiah mencerminkan sifat, fizikal, kognitif, emosi, sosial dan rohani seseorang.

      Tidak diragukan lagi bahawa guru yang mempunyai keperibadian yang
baik akan meninggalkan kesan yang positif dalam diri anak didik mereka. Alat
teknologi moden walau bagaimana canggih sekalipun tidak dapat mengambil
peranan guru. Faktor manusia tetap diperlukan dalam proses pembentukan dan
pematangan sahsiah murid. Sebab itu banyak kajian dibuat tentang sifat-sifat
yang perlu ada pada seorang guru yang baik dan berkesan dalam pengajaran
mereka.

      Menurut Prof. Omar al-Toumi al-Syibani sifat dan ciri seorang guru muslim
hendaklah merangkumi:

(a)   Sifat Rohaniah
      1.     Keimanan yang kental kepada Allah yang maha sempurna
      2.     Keimanan kepada hari akhirat, hari pembalasan dan seluruh para
             Rasul
      3.     Sifat-sifat keimanan asas yang lain

(b)   Sifat-Sifat Akhlak

      1.     Benar dan jujur
      2.     Menepati janji
      3.     Amanah
      4.     Ikhlas dalam perkataan dan perbuatan
      5.     Merendah diri
      6.     Sabar, tabah dan cekal
      7.     Hilm, pemaaf dan toleransi



                                                                               19
      8.     Menyayangi murid, mementingkan orang lain, pemurah, zuhud dan
             qanaah

(c)   Sifat Mental, Kejiwaan dan Jasmani

      i.     Sifat Mental
             1.     Cerdas (Kepintaran teori, amali dan sosial)
             2.     Menguasai mata pelajaran takhassus
             3.     Luas pengetahuan am
             4.     Cenderung kepada pelbagai bidang akliah, dan ilmiah yang
                    sihat
             5.     Mengenal ciri, watak, kecenderungan dan keperluan murid
             6.     Fasih, bijak dan petah dalam penyampaian

      ii.    Sifat Kejiwaan

             1.     Sifat tenang dan emosi yang mantap
             2.     Optimistik dalam hidup, penuh harap kepada Allah dan
                    tenang jiwa bila mengingatiNya.
             3.     Kepercayaan kepada diri dan mempunyai kemahuan yang
                    kuat
             4.     Bersifat lemah lembut dan baik dalam pergaulan
             5.     Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan
                    masyarakat

      iii.   Sifat Fizikal

             1.     Sihat tubuh badan dan terhindar dari penyakit berjangkit
                    atau tidak berjangkit
             2.     Berperawakan tampan, kemas dan bersih




                                                                          20
      Guru Muslim yang mempunyai sahsiah yang baik juga ialah guru yang
mengamalkan etika keguruan Islam yang standard. Kod etika berkenaan
memperincikan secara khusus sifat dan ciri tertentu yang menjadi garis panduan
guru-guru yang baik personaliti mereka.




Etika Guru Muslim

      Etika perguruan Islam belum dibuat secara khusus oleh kumpulan yang
dianggotai oleh berbagai kalangan yang profesional. Namun sebagai percubaan
awal hal ini boleh diusahakan secara perseorangan dan kemudiannya dapat
ditokok tambah oleh khalayak pendidik serta dihayati oleh mereka sebagai suatu
etika profesion keguruan. Antara yang boleh dirumuskan ialah:

Tanggungjawab Terhadap Allah

      Etika guru muslim terhadap Allah ialah seperti berikut:

1.    Seorang guru Muslim hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan /
      keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang
      berterusan denganNya.

2.    Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh hendaklah
      menjadi amalan harian.

3.    Guru Muslim mustahak menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada
      Allah.




                                                                          21
4.   Guru Muslim hendaklah prihatin untuk sentiasa mengagungkan syiar
     agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam.

5.   Guru Muslim mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari
     laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang
     berkaitan dengannya.

6.   Guru Muslim hendaklah bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa
     kepadaNya dengan membaca ayat-ayat Allah dan merendahkan diri ke
     hadratNya.




Tanggungjawab Terhadap Diri

1.   Guru muslim hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada
     dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral.

2.   Prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian, perawakan dan tempat tinggal.

3.   Memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta
     ditingkatkan dari segenap aspek.

4.   Meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan
     sebanyak mungkin kepada Allah, masyarakat dan negara.

5.   Melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan
     kualiti profesion sebagai seorang guru.

Tanggungjawab Terhadap Ilmu

     Guru muslim hendaklah:



                                                                           22
1.   Memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam.

2.   Beriltizam dengan amanah ilmiah.

3.   Prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari.

4.   Sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran
     ilmu yang berkaitan.

5.   Dari semasa ke semasa guru Muslim hendaklah menelusuri sudut atau
     dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan.

6.   Sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan
     dan keamanan umat manusia sejagat.

Tanggungjawab terhadap Profesion

1.   Seorang guru tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh
     mencemarkan sifat profesionnya dan yang mana menyebabkan kurang
     kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.

2.   Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa
     kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan
     kewangan.

3.   Dalam   semua    hubungan      dan   tugas   seseorang   guru   hendaklah
     menjalankannya dengan jujur.

4.   Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya.
     Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain
     seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.




                                                                            23
5.    Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar
      tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan.

6.    Dia haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha
      membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang
      diterima oleh masyarakat.

7.    Dia   haruslah   menumpukan      perhatian      terhadap   keperluan   setiap
      pelajarnya.

8.    Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap
      semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama,
      kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-
      status lain.

9.    Dia harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan
      pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari
      segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani.

10.   Dia harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat
      sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi
      lain yang tidak berkenaan.

11.   Dia tidaklah harus bertingkah laku terhadap para pelajarnya begitu rupa
      yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.

12.   Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan
      pelajar, masyarakat awam atau negara.

13.   Dia haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya
      supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia
      dan beragama.

                                                                               24
14.   Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh
      mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapanya.

15.   Dia haruslah bertingkah laku begitu rupa supaya menjadi contoh yang
      baik terhadap pelajar.

16.   Dia tidaklah harus menerima apa-apa bayaran daripada para pelajarnya
      untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu
      sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran-bayaran yang disahkan.

17.   Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja-kerja tuisyen atau
      pengajaran persendirian.

18.   Dia   tidaklah   harus     memaksa   kepercayaan   keagamaan,   politik
      persendirian terhadap para pelajarnya.

19.   Dia tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibu bapa para
      pelajar atau ahli-ahli masyarakat dalam menjalankan tugas-tugas
      profesionnya.

20.   Dia tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain.

21.   Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah
      menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan).

22.   Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-
      membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam
      profesion perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Pelajar




                                                                           25
1.   Guru muslim hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan
     pelajar dari hal-hal lain.

2.   Bersikap adil terhadap setiap seorang tanpa mengira faktor-faktor
     jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama.

3.   Menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat
     memberikan contoh yang baik kepada pelajar.

4.   Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau
     dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang
     bayaran.

5.   Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian,
     lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau
     seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat

1.   Guru muslim hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang
     kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang
     guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh
     menjatuhkan maruah seseorang guru.

2.   Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan
     sebagai guru.

3.   Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin
     dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial.

4.   Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang
     baru dalam profesion perguruan.


                                                                              26
5.   Sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion
     perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara

1.   Mengelakkan diri daripada meyebarkan sesuatu ajaran yang boleh
     merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang
     boleh bertentangan dengan Rukunegara.

2.   Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu
     dan membimbing mereka untuk menjadi warga negara yang taat setia,
     bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua
     dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.

3.   Menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat dan memenuhi
     segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa
     sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.

4.   Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu
     bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.

5.   Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan tahap kehidupan
     morality, kebudayaan dan kecendikiawanan masyarakat.

6.   Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh
     masyarakat dan menjalani kehidupan harian dengan baik.

Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa

1.   Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak
     mereka.




                                                                      27
2.    Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di
      antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.

3.    Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai
      keadaan rumahtangga atau anak mereka sebagai sulit dan tidak akan
      membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak
      mengetahuinya.




4.    Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak
      mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa
      secara teliti dan bijaksana.

5.    Mengelakkan diri daripada penggunaan atau dipengaruhi oleh kedudukan
      sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.

6.    Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan
      sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa
      atau penjaga mereka.

      Kod etika keguruan Islam ini kalau benar-benar dipatuhi dan diamalkan
akan membantu keberkesanan pangajaran guru. Perkataan keberkesanan
pengajaran guru ini mungkin kabur pagi setengah pihak. Oleh itu ada baiknya
kita menjelaskan maksud perkataan tersebut. Keberkesanan bermaksud
pengajaran guru berkenaan mencapai puncak matlamat yang digariskan.




Maksud Keberkesanan Pendidikan Islam


                                                                       28
      Meskipun ciri dan sahsiah guru yang baik telah dicapai namun itu tidak
pula bermakna pengajaran mereka dengan sendirinya berkesan. Pengajaran
guru sama ada berkesan atau tidak bergantung kepada beberapa faktor yang
berkaitan degan proses pengajaran guru dan pembelajaran murid.

      Keberkesanan Pendidikan Islam tidak hanya bergantung kepada teknologi
pendidikan atau pendekatan sistem tetapi lebih jauh dari itu, ia memerlukan asas
falsafah pendidikan yang Islamik dari yang sedia ada sekarang, baik di peringkat
tadika, rendah, menengah mahupun di peringkat tinggi. Kita memerlukan
falsafah pendidikan yang menyeluruh dalam segenap bidang, baik dalam bidang
pendidikan guru, vokasional, ketenteraan, kesihatan, keusahawanan mahupun
dalam pendidikan politik, kesenian, kesukanan dan sebagainya. Di samping itu ia
perlu dibingkai oleh dasar-dasar negara yang Islamik juga; samada dasar
pembangunan ekonomi, dasar pendidikan, dasar belia, dasar penerangan, dasar
pembangunan wanita dan dasar-dasar lain.

      Suatu bentuk reformasi yang meyeluruh hendaklah dilaksanakan demi
memastikan keberkesanan pendidikan Islam dalam membentuk sahsiah
generasi baru. Reformasi tersebut harus mencakup bidang-bidang berikut:

1.    Falsafah dan Konsep Pendidikan Islam
2.    Kurikulum
3.    Sistem Pendidikan
4.    Pengajaran dan Pembelajaran
5.    Sumber Pendidikan
6.    Perkembangan Kakitangan
7.    Pengurusan Pendidikan Islam
8.    Pembinaan Potensi Pelajar dan Guru
9.    Membangun Imej Pendidikan Islam




                                                                            29
       Guru-guru pendidikan Islam haruslah terdiri dari orang-orang yang benar-
benar memahami, menghayati dan memperjuangkan cita-cita Islam yang syumul
dan merangkum. Dengan keikhlasan dan semangat Islam yang membara guru
dapat mengatasi kekurangan alat teknologi untuk menghasilkan keberkesanan
pengajaran mereka.

       Antara ciri-ciri seorang guru yang baik dan berkesan adalah seperti rajah
berikut:




Guru yang Berkesan                      Guru yang Tidak Berkesan

*   Adil                                *   Pilih kasih
*   Demokratik                          *   Autokratik
*   Bertimbang rasa                     *   Terbatas
*   Responsif                           *   Menjauhkan diri
*   Baik hati                           *   Kasar
*   Tidak membosankan                   *   Membosankan
*   Original                            *   Stereotype
*   Tangkas                             *   Tidak peduli
*   Menarik                             *   Tidak memberi kesan
*   Bertanggungjawab                    *   Bersikap dalih
*   Stabil                              *   Tidak seimbang
*   Tenang                              *   Mudah naik perasan
*   Yakin                               *   Tidak tentu




                                                                            30
PENUTUP

      Pendidikan Islam mencelup keperibadian Muslim dengan celupan yang
khas yang membezakan dari bentuk-bentuk pendidikan yang lain. (Hassan
Langgulung,1979). Pernyataan di atas memberi gambaran kepada kita bahawa
pendidikan Islam merupakan faktor utama yang paling penting untuk membentuk
ketinggian peribadi setiap Muslim. Pendidikan Islam mempunyai tujuan-tujuan
dan   matlamat-matlamat     tertentu   yang   semata-mata    untuk   mewujudkan
kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dan seterusnya untuk memperolehi
keredaan Allah s.w.t.




      Skop pendidikan Islam terlalu luas. Ia merangkumi syariah, adabiah,
riadhah, akliah dan seluruh penghidupan manusia, perbuatan, tingkahlaku dan
amalan. Untuk menghayati skop pendidikan Islam ini, maka setiap individu
Muslim haruslah memahami terlebih dahulu asas-asas dan konsep yang
bertunjangkan   akidah    Islamiah.    Kemudian   diikuti   dengan   akliah   ilmu
pengetahuan, akhlak dan kesihatan. Pendidikan Islam itu memerlukan amalan
dan penghayatan sebab seseorang itu tidak boleh mengamalkan sesuatu
perkara tanpa memahaminya terlebih dahulu, khasnya asas-asas pendidikan
Islam, seperti mengenal Allah, memahami rukun-rukun iman dan rukun-rukun
Islam dan sebagainya (Ustaz Abdul Raof Dalip, 1990).

      Jelasnya, di dalam pendidikan Islam terkumpul empat bidang utama iaitu
pendidikan jiwa, pembersihan rohani, pembentukan akal fikiran yang sihat serta
kecergasan tubuh badan.

      Seorang guru Muslim memiliki peranan bukan sahaja di dalam sekolah,
tetapi juga diluarnya.   Oleh yang demikian menyiapkannya juga harus untuk
sekolah dan untuk luar sekolah. Maka haruslah penyiapan ini juga dipikul


                                                                              31
bersama oleh institusi-institusi penyiapan guru seperti fakulti-fakulti pendidikan
dan maktab-maktab perguruan bersama-sama dengan masyarakat Islam sendiri,
sehingga guru-guru yang dihasilkannya adalah guru yang soleh, membawa
perbaikan (muslih), memberi dan mendapat petunjuk untuk menyiarkan risalah
pendidikan Islam.

      Petunjuk (hidayah) Islam di dalam dan di luar adalah sebab tujuan
pendidikan dalam Islam untuk membentuk generasi-generasi umat Islam yang
memahami dan menyedari risalahnya dalam kehidupan dan melaksanakan
risalah ini dengan sungguh-sungguh dan amanah dan juga menyedari bahawa
mereka mempunyai kewajipan kepada Allah S.W.T dan mereka harus
melaksanakan tugas itu dengan sungguh-sungguh dan ikhlas. Begitu juga
mereka sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab, maka mereka
menghadapinya dengan sabar, hati-hati dan penuh prihatin. Mereka sedar
bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakatnya, maka
mereka     melaksanakannya      dengan     penuh     tanggungjawab,      amanah,
professionalisme dan kecekalan.

      Dengan demikian umat Islam akan mencapai cita-citanya dalam
kehidupan dengan penuh kemuliaan, kekuatan, ketenteraman dan kebanggaan.
Sebab Allah S.W.T telah mewajibkan kepada diriNya sendiri dalam surah al-Nahl
ayat ke 97:


     
               
   
         
   
                                
      Ertinya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang
ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan


                                                                              32
kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka,
Dengan memberikan pahala Yang lebih dari apa Yang mereka telah kerjakan”.




BIBLIOGRAFI




1.   Al-Quran Al-Karim.

2.   Abdul Halim El-Muhammady Dr., Pendidikan Islam;Falsafah,Disiplin dan
         Peranan Pendidik, Dewan Pustaka Islam, Selangor Darul Ehsan,1991.

3.   Abdul Raof Dalip,Ustaz, Asas-Asas Pendidikan Islam, Progressive Products
         Supply, Selangor Darul Ehsan,1990.

4.   Gamal   Zakaria,Dr.,   Ibnu   Sahnun,   Mutiara   Pendidik   Muslim,Pusat
         Penyelidikan dan Pembangunan Akademik,Kolej Islam Darul Ehsan,
         Selangor Darul Ehsan, 2002.

5.   Ghazali Darusalam, Pedagogi Pendidikan Islam, Utusan Publication &
         Distributors Sdn Bhd, kuala Lumpur, 2004.




                                                                          33
6.   Hj. Abdullah Ishak, Dr., Sejarah Perkembangan Pelajaran Dan Pendidikan
         Islam, Al-Rahmaniah, Selangor Darul Ehsan, 1989.

7.   Haron Din,Dr. & Sobri Salamon, Dr., Masalah Pendidikan Islam Di Malaysia,
         Al-Rahmaniah, Kuala Lumpur, 1988.

8.   Hassan Langgulung, Pendidikan Islam, Pustaka Antara, Kuala Lumpur,
         1979.

9.   Mohd Yusuf Ahmad, Falsafah dan Sejarah Pendidikan Islam, Penerbit
         Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2002.

10. Omar Al-Syaibani, Prof. Dr., Falsafah Pendidikan Islam, terjemahan Prof.
         Dr.Hasan Langgulung,Hizbi Sdn. Bhd., Selangor Darul Ehsan, 1991.

11. Samsul Nizar, M.A., Dr., Penghantar Dasar-Dasar Pemikiran Pendidikan
         Islam, Gaya Media Pratama, Jakarta,2001.

12. Sharifah Alwiah Alsagoff, Ilmu Pendidikan:Pedagogi, Heinemann, Kuala
         Lumpur, 1986.

13. Teuku Iskandar,Dr., Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
         Lumpur, Malaysia, 1986.




                                                                          34

				
DOCUMENT INFO
Shared By:
Categories:
Tags:
Stats:
views:257
posted:11/26/2011
language:Malay
pages:34