BAB 1: Pengenalan by toVV2OW

VIEWS: 0 PAGES: 7

									                                     BAB I




                                PENGENALAN




1.1    Pengenalan




       Pandangan rakyat Malaysia mengenai kepentingan tadahan dan guna tanah
sudah mula berubah. Kerajaan dan masyarakat di negara ini tidak kira bangsa dan
keturunan sudah mula mencapai kata sepakat untuk memelihara dan memulihara
sumber air sebagai salah satu langkah untuk mencapai status negara maju pada tahun
2020. Pada hakikatnya, keseimbangan hidrologi dan sumber air kini telah terganggu
disebabkan oleh manusia sendiri yang inginkan kekayaan dengan cara yang mudah
dan cepat. Sifat tamak dan kurangnya pengetahuan mengenai kepentingan
kesimbangan hidrologi dan pengawalan penerokaan kawasan perlindungan air telah
menggalakan berlakunya malapetaka seperti banjir kilat, tanah runtuh dan hakisan
tebing sungai menjadi semakin kerap berlaku. Hal ini akan bertambah rumit apabila
melibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang besar.




       Pembangunan dan penerokaan hutan yang tidak terkawal di kawasan
lembangan sungai yang merupakan kawasan tadahan air telah membawa kesan
negatif terhadap punca bekalan air bersih penduduk kampung. Lazimnya, aktiviti-
aktiviti guna tanah seperti pertanian yang dijalankan secara komersial melibatkan
                                                                                  2

kawasan tanah yang luas. Kawasan hutan yang sebelumnya menjadi kawasan
tadahan air yang bersih mula tercemar oleh bahan kimia. Habitat hidupan liar juga
telah bertukar menjadi kawasan ladang kelapa sawit dan getah. Aktiviti-aktiviti
pembalakan yang kurang terkawal menyumbangkan kemusnahan hutan semulajadi.
Kawasan yang berkecuraman tinggi umpamanya di kawasan pergunungan              yang
mudah terdedah terhadap agen hakisan akan menghasilkan enapan kelodak di dasar
sungai dan kawasan dataran banjir. Enapan yang terlalu banyak di dasar sungai
mengakibatkan sungai semakin cetek dan ini akan mengakibakan limpahan air
sungai mudah berlaku. Kerja-kerja teknikal yang diamalkan secara tradisional seperti
mengorek sungai, memasang jerangkap kelodak sudah tidak mampu menampung
impak negatif tersebut.




       Pengurusan tadahan yang bersepadu seperti menggubal garis panduan guna
tanah, penguatkuasaan undang-undang serta penggunaan teknologi moden seperti
teknologi maklumat berkomputer amat diperlukan. Sistem Maklumat Geografi
(SMG) merupakan perisian komputer yang dapat membantu mencapai matlamat
tersebut.   Ia   bukan    saja   membantu    dalam    membuat     keputusan   malah
mempermudahkan dan mempercepatkan kelancaran kerja. Pangkalan data SMG
mampu menyimpan pelbagai format data yang dijadikan sebagai rujukan bagi
mengenal pasti aktiviti tanah yang sesuai untuk meningkatkan kualiti hidup
masyarakat.




       Selain daripada itu, pangkalan data SMG memudahkan kerja penyiasatan dan
penyelidikan awal sebelum kawasan tersebut dipohon oleh individu tertentu bagi
tujuan penempatan. Para penyelidik tidak perlu turun ke kawasan lapangan beberapa
kerap kerana data simpanan dalam pangkalan data dapat dirujuk serta dianalisis
dengan cepat dan tepat. Ia bukan sahaja membantu mempercepatkan kerja malah
menjadikan setiap data itu selamat dan disimpan secara teratur.
                                                                                  3

1.2    Kepentingan Kajian




       Kajian ini amat penting bagi membantu menyelesaikan masalah pengurusan
tadahan dan penentuan sempadan kawasan perlindungan air serta memastikan
sumber air terjamin pada masa hadapan. Di samping itu, kajian ini dilaksanakan
bertujuan untuk membangunkan satu rangkaian pangkalan data bagi setiap kejadian
di muka bumi ke dalam format set data digital sama ada dalam bentuk data ruang dan
data teks. Penggunaan perisian ArcView dalam analisis adalah untuk memastikan
setiap data dalam pangkalan data SMG boleh dirujuk dan diproses dengan mudah
dan cepat. Selain daripada itu, hasil analisis yang dibanggunkan boleh dijadikan
sebagai rujukan garis panduan kepada agensi tertentu membuat pertimbangan dalam
meluluskan permohonan setiap aktiviti tanah seperti laporan EIA yang diterima.
Proses membuat keputusan untuk kelulusan juga dapat dipercepatkan. Kajian ini
bukan saja membantu membanggunkan pangkalan data kawasan perlindungan air
malah membantu pihak kerajaan dalam merancang aktiviti untuk kepentingan
masyarakat. Aplikasi SMG secara tidak langsung dapat memperbaiki faktor masa,
kos dan kualiti kerja dalam setiap kajian bagi menghadapi dunia moden masa kini




1.3    Objektif Kajian




Objektif utama kajian adalah:



1.     Mengenal pasti keberkesanan aplikas SMG menggunakan perisian ArcView
       dan membangunkan pangkalan data dalam pengurusan tadahan bersepadu.


2.     Menentukan sempadan kawasan perlindungan air dengan          menggunakan
       parameter-parameter hidrologi dan data-data yang berkaitan di daerah
       Tambunan Sabah.
                                                                                   4

1.4    Skop Kajian




       Kajian ini meliputi analisis asas data-data hidrologi bagi mengenal pasti
keberkesanan penggunaan aplikasi SMG dalam pengurusan tadahan dan sumber air.
Penghasilan data melibatkan penggunaan SMG yang memerlukan pelbagai jenis data
ruang bagi tujuan rekabentuk hidrologi. Satu kawasan tadahan dalam daerah
Tambunan Sabah dijadikan sebagai kawasan kajian projek.

Antara skop kajian lain yang diambil kira dalam kajian ini iaitu;



1.     Menggunakan perisian ArcView dalam setiap kajian dan analisis SMG.

2.     Mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan
       kawasan cadangan perlindungan air daerah.

3.     Membina satu pangkalan data dalam perisian ArcView sebagai rujukan.

4.     Mendapatkan kawasan yang berkecerunan lebih 25 darjah sebagai parameter
       utama dalam penentuan sempadan kawasan perlindungan air seperti yang
       terdapat dalam garis panduan kestabilan tanah Jabatan Pertanian Malaysia.

5.     Mendapatkan kebenaran Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah menggunakan
       data-data ruang dan teks sebagai data asas.

6.     Membuat pemerhatian di lapangan bagi mendapatkan gambaran jelas
       keadaan sebenar.



Selain itu kajian ini juga turut membincangkan beberapa langkah penyelesaian yang
difikirkan sesuai dan bertepatan dengan matlamat kajian.
                                                                               5

1.5    Hipotesis Kajian




       Kecanggihan teknologi maklumat pada masa kini amat mempengaruhi
perkembangan ekonomi semasa. Penyimpanan dan pemprosesan data dilakukan
dalam bentuk digital. Data dalam bentuk teks dan ruang digabungkan untuk
menjadikan ia kelihatan lebih nyata dan menarik. Segala data yang disimpan secara
manual akan terdedah kepada kerosakan dan akan menjadikan ia mudah lupus dan
hilang. Dengan adanya SMG setiap data yang disimpan selamat dan mudah untuk
dikemas kini.




Di antara hipotesis kajian ini ialah:


a.)    Penggunaan perisian ArcView dalam menentukan sempadan kawasan
       perlindungan air dapat memudahkan rujukan dalam setiap analisis.


b.)    Kajian ini dapat menghasilkan satu garis panduan kepada agensi kerajaan
       terutama Bahagian Pengurusan Sumber Air menentukan aktiviti guna tanah
       yang sesuai dalam sesebuah tadahan di dalam kawasan yang berkecuraman
       tinggi dalam daerah Tambunan khasnya dan negeri Sabah amnya.


c.)    Data yang terhasil daripada kajian ini akan dapat digunakan sebagai data
       rujukan bagi membantu membuat keputusan dan mempercepatkan proses
       kelulusan permohonan laporan EIA pemaju yang sebelumnya mengambil
       masa yang lama untuk disiapkan.


d.)    Penggunaan SMG dapat membantu mengurangkan kos dan masa kakitangan
       bertugas untuk pergi ke kawasan kajian untuk mengambil data dan membuat
       pemerhatian.
                                                                                6

1.6    Kenyataan Masalah




       Daerah Tambunan merupakan kawasan pendalaman yang kaya dengan
sumber semula jadi terutamanya sumber kayu balak. Sejak kebelakangan ini, aktiviti
pembalakan semakin menjadi isu utama akibat kesan pembalakan yang sentiasa
mendatangkan malapetaka kepada penduduk kampung di pendalaman. Ia menjadi
semakin meruncingkan apabila permohonan lesen dapat dikeluarkan dengan mudah
oleh pihak berkuasa yang terlibat. Hal ini berlaku disebabkan pihak berkuasa yang
terlibat dalam meluluskan permohonan tersebut tidak dapat berbuat apa-apa
disebabkan kekurangan teknologi moden seperti SMG. Kelulusan hanya berdasarkan
kepada laporan EIA yang disertakan semasa membuat permohonan.




       Sebahagian besar kawasan yang telah dibalak kemudian ditanam semula
dengan kelapa sawit dan aktiviti pertanian lain. Kawasan-kawasan hutan yang curam
iaitu melebihi 25 darjah diterokai. Pada hakikatnya kawasan ini merupakan yang
sensitif dan tidak boleh diganggu akibat kestabilan tanah yang kurang baik serta
mudah mengalami hakisan. Selain itu kawasan ini merupakan kawasan yang sangat
sesuai dijadikan kawasan perlindungan air bagi tujuan bekalan air bersih kepada
penduduk. Sekiranya hutan di kawasan ini diganggu akan mengakibatkan banjir dan
tanah runtuh berlaku.


       Dengan menggunakan perisian SMG setiap kawasan yang sensitif dapat
ditentukan dengan mudah. Ia dapat memberi panduan kepada pihak tertentu
membuat pelan tindakan bagi memastikan masalah banjir dan kekurangan bekalan
air bersih tidak berlaku di masa hadapan.
                                                                                 7

1.7    Ringkasan Aliran Bab




       Bab 1 merupakan halaman pengenalan kepada tajuk kajian. Dalam bab ini,
perkara-perkara seperti objektif, masalah, skop, lokasi dan kepentingan kajian
dinyatakan secara umum.


       Bab 2 iaitu Kajian Literatur, menyatakan tentang latar belakang atau sejarah
dan juga definisi Sistem Maklumat Geografi. Selain itu, huraian ringkas tentang
komponen-komponen        yang    mempengaruhi      penentuan   sempadan   kawasan
perlindungan air dilakukan. Melalui bab ini akan dapat memberi pengertian yang
jelas tentang tujuan analisis yang hendak dihasilkan.


       Metodologi Kajian pada bab 3 pula menerangkan tentang cara kajian
dilaksanakan. Kajian dalam bab ini lebih banyak menerangkan tentang kaedah setiap
komponan diproses dan dikaitkan dengan penentuan kawasan perlindungan air.
Pembangunan pangkalan data asas menggunakan perisian ArcView ini diterangkan
secara mudah dan ringkas.


       Bab 4 iaitu kajian kes menerangkan tentang isu pembalakan yang sering
berlaku di kawasan tadahan. Ia menerangkan tentang kaedah menyelesaikan masalah
setiap permohonan aktiviti tersebut menggunakan data asas SMG yang telah dihasil
melalui projek ini. Langkah-langkah memasukan data diterangkan dengan jelas
dalam bab ini.


       Bab 5 menerangkan tentang hasil analisis dan cadangan yang telah dilakukan
dalam kawasan kajian di Daerah Tambunan. Selain daripada itu bab ini juga
menerangkan tentang beberapa cadangan aktiviti pembangunan SMG pada masa
hadapan.


       Bab 6 menerangkan tentang masalah yang dihadapi sewaktu menjalankan
kajian projek ini dan kesimpulan.

								
To top