cerpen ‘Kenapa by nuhman10

VIEWS: 45 PAGES: 5

									‘Kenapa kamu lari bila saya panggil?’


Sengihnya masih seperti kerang busuk. Matanya melilau-lilau ke kiri dan kanan. Jarinya
menggaru-garu di celah-celah lubang kopiah kusamnya.


‘Kamu ingat saya main-main ke?’


Ktup! Aku mengacahnya dengan mengetukkan kayu penyapu betul-betul di hujung
kakinya. Sepantas kilat dia mengundur. Hampir-hampir sahaja kakinya terjelepuk ke
dalam longkang. Dengan perlahan dibetulkannya semula kopiah yang hampir terlurut.
Kepalanya ditunduk. Matanya terpacak memandang lantai.


‘Nama?’


‘Khairul. Mohamad Khairul.’


‘Tingkatan?’


‘4 Farabi.’


‘Dah tingkatan 4 pun masih nak ponteng kelas lagi?’


Suara terketar-ketarnya antara dengar dan tidak. Sekarang baru dia tahu langit itu tinggi
rendah. Tapi panas hatiku masih belum reda. Penatku mengejarnya keliling surau masih
belum hilang.


‘Saya nak kamu kutip semua sampah keliling surau ni.’


Mukanya masam mencuka. Mulutnya muncung. Dahinya berkerut. Matanya dibulatkan
sambil merenung tepat ke arahku.


‘Apa pandang-pandang? Cepat kutip sampah! Lepas ni ikut saya pergi jumpa pengetua.’


                              ...............................................


‘Waa… aku ingat aku sorang aje singa betina kat sini.’


‘Tak tahan la Kak Bada. Sakit hati saya. Kalau ikutkan hati, nak aje saya suruh dia kutip
sampah keliling sekolah.’
Masih terbayang-bayang lagi di kepalaku caranya mengutip sampah petang tadi.
Bagaikan melepaskan batuk di tangga. Hanya satu pembungkus roti sahaja dikutipnya.
Yang lain dikuis-kuiskannya sahaja dengan kaki.


‘Pengetua buat apa dengan budak tu?’


‘Entah. Lepas bawak dia jumpa pengetua, aku terus balik asrama. Tapi aku ada dengar
macam bunyi rotan.’


‘Sape nama budak tu?’


‘Khairul. Tingkatan 4 Farabi. Kau ada ajar budak tu?’


‘Ooo.. budak tu. Orang panggil dia ustaz rock.’


‘Ustaz rock? Kenapa orang panggil dia macam tu?’


‘Ntah. Budak-budak kelas dia yang gelar dia macam tu. Tapi hari tu Ramza ada jumpa
poster kumpulan rock dalam locker dia masa spot-check.’


‘Hai.. budak sekolah agama pun minat rock jugak?’


‘Rambut sama hitam, hati lain-lain tau. Kat aspuri ni pun bukan semua datang nak
ngaji.’


                             ...............................................


‘Ustazah, pengetua panggil pergi pejabat. Segera!’


Kesian Roslan. Termengah-mengah dia mengambil nafas. Seragam pengawasnya lencun
dengan peluh. Aku dan Kak Bada berpandangan.


‘Kenapa?’


‘Ustaz Ramza tangkap budak pecahkan cermin kereta Ustazah.’


‘Hah?’


Hatiku bagai dipanah petir. Jantungku berdegup kencang. Aku segera bergegas ke
pejabat meninggalkan Kak Bada yang masih tercengang.
Macam sudah jatuh ditimpa tangga. Minggu lepas, tukar minyak hitam sahaja sudah
habis hampir seratus. Dua hari lepas, bayar insurans dan cukai jalan habis lagi seribu
lebih. Mana pula hendak cari duit untuk ganti cermin baru nanti?


‘Aku cekik jugak budak tu nanti.’


                             ...............................................


‘Ustazah Siti, Ustaz Ramza tangkap pelajar ni baling batu ke cermin kereta Ustazah
waktu rehat tadi.’


Ustaz Ramza yang bersandar di tepi meja sambil menyilangkan tangan mengangguk
perlahan. Hampir-hampir sahaja aku menjerit apabila melihat ustaz rock terpaku di
hadapan meja pengetua.


‘Saya akan panggil ibubapa dia datang ke sekolah’


Aku segera teringatkan kepada ibuku di kampung. Terngiang-ngiang di telingaku
pesannya ketika aku memberitahunya aku ditawarkan kerja untuk mengajar di sini.


‘Besar tanggungjawab jadi cikgu ni. Ingat.. kalau cikgu kencing berdiri, anak murid akan
kencing berlari.’


Rasa bersalah mula bersarang di hatiku. Mungkin ini berpunca dari tindakan aku
semalam.


‘Ustaz, boleh tak saya bercakap dulu dengan pelajar ni?’


‘Baiklah. Kalau ada apa-apa, saya ada di luar.’


‘Terima kasih ustaz.’


Ustaz Ramza menggelengkan kepala. Sambil mengekori pengetua keluar dari bilik, dia
sempat menjeling tajam kepadaku.


‘Siti, jangan nak dukung biawak hidup.’


                             ...............................................


‘Khairul, betul kamu pecahkan cermin kereta saya?’
Tiada perkataan keluar dari mulutnya. Kepalanya tunduk memandang lantai. Kedua-dua
belah tangannya disilangkan ke belakang.


‘Khairul, kamu tahu tak apa yang kamu dah buat? Kamu tahu tak apa yang akan jadi
kalau mak ayah kamu datang?’


Aku seperti bercakap dengan tunggul.


‘Kamu marah saya denda kamu kutip sampah semalam? Sebab tu kamu pecahkan
cermin kereta saya?’


Macam mencurah air ke daun keladi. Aku tidak fikir dia akan membuka mulut. Mungkin
betul kata Ustaz Ramza. Tiada gunanya aku memikul biawak hidup. Aku baru separuh
jalan ke muka pintu bila tiba-tiba dia bersuara.


‘Saya dah tak ada mak ayah. Mak ayah saya meninggal masa saya masih kecik.’


Aku memberhentikan langkah. Aku ingin memohon maaf tetapi suaraku tidak keluar.


Air matanya berderai. Sesekali dia menyedut hingus. Perlahan-lahan aku
menghampirinya.


‘Saya tak suka belajar kat sini. Semua orang tak suka saya. Semua orang hanya nak
hukum saya.’


Sambil teresak-esak, dia meluahkan segalanya. Berulang kali dia menyalahkan tok wan
yang ‘menyumbat’nya ke sini. Tidak cukup tisu yang dapat kuberikan untuk mengesat
airmatanya.


‘Kalaulah mak dan ayah saya masih ada lagi…’


‘Khairul, kita semua ada di sini. Kita akan jadi emak dan ayah awak.’


Aku tidak sedar bila pengetua dan Ustaz Ramza masuk.


‘Sudahlah. Perkara ini habis di sini sahaja. Bukan begitu Ustazah?’ Sekali lagi Ustaz
Ramza menjeling kepadaku. Kali ini dengan pandangan yang lebih lembut.


‘Ya, Khairul. Ustazah maafkan kamu. Tapi kamu kena berjanji dengan ustazah, kamu
akan belajar bersungguh-sungguh di sini. Insya-Allah kami semua akan membantu.’


Tangisannya semakin surut. Pengetua menggosok-gosok belakangnya.
‘Insya-Allah, ustaz doakan kamu akan jadi seorang yang berjaya.’


                              ...............................................


Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Ustaz rock telah
hampir 20 tahun meninggalkan sekolah ini. Tetapi aku akan sentiasa mengingati ustaz
rock itu sebagai orang yang telah mengajarkanku bagaimana untuk menjadi seorang
guru yang baik. Ustaz rock akan sentiasa mengingatkanku betapa untuk mendidik, aku
perlu terlebih dahulu mengenali dan memahami siapa yang aku ingin didik.


Barangkali hanya sebilangan orang sahaja yang masih mengenalinya sebagai ustaz rock.
Kepada orang lain, ustaz rock itu ialah ‘ustaz yang selalu keluar tv’.

								
To top